Isnin, 14 April 2014

Keunikan Hidupan Laut Dalam, Barreleye


Barreleye
Barreleye sangat unik kerana memiliki tengkorak kepala yang lutsinar.

Hidupan laut dalam sememangnya kelihatan unik dan jauh berbeza daripada hidupan laut yang biasa. Oleh kerana persekitaran yang gelap dan juga tekanan yang tinggi rupa fizikal hidupan laut dalam amat berbeza dan adakalanya menakutkan. Namun begitu banyak ciri-ciri unik yang perlu kita ketahui bagi membantu kita untuk lebih mengetahui tentang keajaiban hidupan di bumi ini.

Barreleye (Macropinna microstoma) adalah sejenis ikan yang tinggal pada kedalaman 600 hingga 800 meter (2,000 ke 2,600 kaki) di dalam laut. Pada kedalaman ini cahaya amat kurang, begitu juga dengan kandungan oksigen dan hidupan lain untuk dijadikan sebagai makanan. Bagi membolehkan hidupan yang tinggal pada kedalaman ini terus hidup pelbagai ciri-ciri keistimewaan yang diperolehi oleh spesis-spesis tertentu termasuklah ikan Barreleye.


Barreleye top
Mata Barreleye berada di dalam kepala ikan tersebut yang lutsinar - perhatikan dengan baik.

Barreleye mendapat namanya daripada matanya yang menyerupai ‘barrel’ dan tersimpan di dalam tengkorak kepalanya yang rata-rata adalah lutsinar seperti kaca. Ini membolehkan ikan Barreleye melihat menerusi tengkorak kepalanya. Keunikan mata ikan ini adalah untuk membantunya bagi melihat di dalam keadaan yang gelap. Kelebihan mata ikan Barreleye ini adalah dalam menumpukan cahaya untuk melihat di dalam gelap pada kedalaman yang tinggi. Namun begitu mata ikan tersebut mempunyai sudut pandangan yang kecil, jadi tengkoraknya yang lutsinar membolehkan ikan Barreleye melihat mangsa di atas kepalanya tanpa perlu menoleh.



Banyak lagi hidupan laut dalam yang unik dan mungkin kita akan saksikan dalam post-post yang lain. Selian daripada mengenali keunikan spesis-spesis ini mungkin kita boleh belajar sesuatu daripadanya seperti penciptaan rekaan terbaru untuk menjelajahi dunia laut dalam nanti.



Free Download



Keunikan Bunga Terbesar Di Dunia

Bunga Rafflesia boleh mencapai saiz sehingga 1 meter.

Bunga terbesar di dunia mungkin tidak akan menjadi hiasan di halaman anda kerana ianya bukanlah dari jenis yang sesuai di tanam di halaman. Namun begitu keunikan bunga ini jauh berbeza dari bunga-bungaan yang lain dan mempunyai fungsi tersendiri dalam mengawal keseimbangan alam.

Terdapat 2 jenis bunga yang mencapai saiz yang jauh besar berbanding bunga-bunga yang lain. Selain daripada saiz bunganya yang besar itu, ia juga mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada tumbuhan-tumbuhan yang lain;

Rafflesia


Rafflesia adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan Khatulistiwa termasuk Borneo, Sumatra, Thailand dan Philipina. Terdapat juga spesis rafflesia yang hidup di kawasan hutan hujan di Semenanjung Malaysia seperti di Hutan Simpan Belum, Perak. Perbezaan yang paling ketara untuk Rafflesia ini adalah ianya tidak mempunyai batang ataupun daun. Ia merupakan tumbuhan parasit yang hidup di atas tumbuhan yang lain. Malah ia mempunyai ciri-ciri yang lebih mirip kepada kulat atau cendawan.

Saiz Rafflesia boleh menjangkau sehingga 1 meter (3 kaki) lebar dengan berat sehingga 10 kg (22 lb.). Disamping itu juga Rafflesia mengeluarkan bau yang kurang enak seperti daging busuk untuk menarik perhatian serangga-serangga di dalam hutan untuk membantu proses pendebungaan bunganya. Ini kerana Rafflesia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina.


Bunga Rafflesia tumbuh di atas tumbuhan lain.

Dari dekat bahagian tengah bunga Rafflesia.

Bunga Bangkai


Bunga bangkai mempunyai saiz yang menakjubkan.

Berbeza dengan Rafflesia, Bunga Bangkai (Amorphophallus titanum) lebih menyerupai bunga dari tumbuhan-tumbuhan yang lain kerana terdapat tumbuhan dari spesis yang sama di tanam sebagai hiasan di rumah-rumah. Namun begitu ia tidak sesuai sebagai tanaman hiasan kerana turut menghasilkan bau yang kurang enak seperti daging busuk – sebab itulah ianya dinamakan ‘Bunga Bangkai’ di kawasan asal mereka iaitu Sumatra.

Struktur bunganya yang menegak boleh mencapai sehingga 2.73 meter (8 kaki 11 inci) seperti sample yang dibesarkan di University of Bonn, Germany. Oleh kerana pokok ini sangat berbeza dari pokok-pokok yang lain ia banyak dibesarkan di taman-taman botani dan pengumpul tumbuhan dari seluruh dunia.


Bunga yang menjadi koleksi taman-taman botani di Eropah!

Bunga bangkai sentiasa mendapat perhatian para peminat tumbuhan.

Seperti juga bunga Rafflesia ia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina. Malah bunga betina akan hanya boleh didebungakan dalam masa 1 malam sahaja. Maka dengan itu ia perlu berjaya menarik perhatian serangga untuk memastikan proses pendebungaan dapat berjalan dalam masa yang ditentukan.

Itulah serba sedikit tentang dua bunga terbesar di dunia. Mungkin ia tidak akan menjadi hiasan di halaman rumah anda, tetapi ia tetap memainkan fungsi di dalam alam semulajadi dalam mengawal keseimbangannya. Malah ia mungkin mempunyai fungsi yang lain seperti perubatan. Terima kasih kerana membaca.

Free Download



Sabtu, 12 April 2014

Perkara Yang Anda Perlu Ketahui Mengenai Ebook Reader


Kindle & Kindle Fire
Kindle oleh Amazon merupakan peralatan membaca ebook yang terbaik.

Ebook Reader merupakan apps yang penting bagi membolehkan anda membaca buku elektronik melalui telefon bimbit anda samada ianya menggunakan sistem pengoperasian Android ataupun iOS. Melalui kemudahan ini anda boleh meluangkan masa dengan membaca buku melalui telefon bimbit di mana sahaja tanpa perlu membawa buku anda bersama. Malah anda mungkin boleh membawa bersama berpuluh-puluh atau mungkin ratusan buku yang boleh disimpan di dalam memory telefon anda.

Sebelum anda menggunakan aplikasi Ebook Reader apa yang anda perlu ketahui adalah format ebook yang boleh digunakan menggunakan 'reader' tersebut. Ini kerana setiap aplikasi mungkin hanya boleh membaca format-format tertentu sahaja. Ini mungkin menyebabkan fail buku yang anda 'download' tidak boleh dibaca dengan betul. Namun begitu ianya bukanlah masalah yang besar melalui sedikit pengetahuan mengenai format ebook dan juga reader yang betul.

Android gadget
Peralatan Android dan iOS juga boleh digunakan untuk membaca fail-fail ebook.

Acrobat Reader merupakan aplikasi yang paling mudah digunakan untuk membaca sebarang buku atau dokumen dengan format .pdf (portable document format). Malah aplikasi ini disediakan untuk kedua-dua OS iaitu Android dan iOS. Dokumen atau buku yang disimpan dalam format ini mudah untuk dibaca kerana ia menyerupai format asal sama seperti yang dilihat fizikalnya lengkap dengan gambar dan link-link di dalam dokumen juga berfungsi dengan baik.

Namun begitu terdapat banyak jenis fail ebook yang hanya boleh dibaca menggunakan peralatan-peralatan tertentu seperti Kindle (Amazon), Nook (Barnes & Noble), Sony Reader (Sony), Kobo eReader (Kobo), Viewsonic VEB612, Windows Phone, Onyx Boox 60 dan macam-macam lagi. Semua peralatan ini mempunyai jenis fail yang berbeza. Jadi untuk membolehkan anda membaca format ebook yang digunakan untuk peralatan-peralatan ini anda perlulah mempunyai aplikasi yang boleh membaca fail buku-buku tersebut. Jadi sebelum anda membuat pembelian ebook atau mendownload sesebuah fail ebook anda perlulah memastikan jenis fail yang anda perlukan.

Bagi memudahkan anda memahami serba sedikit mengenai format ebook sebagai contoh Kindle ereader boleh membaca format .txt, .mobi, .pdf, .html, .epub (Amazon Kindle Fire). Manakala Nook dari Barnes & Noble boleh membaca fail-fail .txt, .pdf, .epub dan .html. Masalah ini sering dihadapi oleh pengguna-pengguna baru ebook kerana tidak dapat mengenal pasti jenis ebook yang didownload menyebabkan kandungan buku tidak dipaparkan dengan betul.

Bagi memudahkan anda membuat pilihan ebook reader untuk peralatan Android atau iOS anda pula pastikan aplikasi tersebut boleh membaca fail-fail seperti yang disebutkan di atas. Sekiranya anda mempunyai fail ebook daripada Amazon Kindle ataupun Barnes & Noble atau lain-lain seperti buku yang dibeli daripada iTunes Store.


Cool Reader
Cool Reader sebuah aplikasi pembaca ebook yang baik.

Antara aplikasi Anroid yang paling mudah digunakan adalah Cool Reader, Moon+ reader Pro dan juga FBReader. Ketiga-tiga aplikasi ini mempunyai kemampuan untuk membaca lebih banyak jenis format fail ebook. Jadi anda tidak mempunyai masalah sekiranya memiliki sebarang fail ebook yang dibeli atau didownload secara percuma dari internet. Jadi sekiranya anda menggunakan iOS saya percaya dua aplikasi yang paling penting untuk membaca ebook pada peralatan anda adalah iBook dan Adobe Reader.

Jadi dengan memanfaatkan peralatan Android atau iOS anda untuk membaca buku-buku ebook anda telah mengoptimumkan penggunaan peralatan tersebut. Malah beratus-ratus buku boleh dibawa bersama di dalam sesebuah peralatan (bergantung kepada saiz memory) atau anda juga boleh menggunakan ruang penyimpanan cloud seperti Dropbox dan Google Drive untuk menyimpan buku-buku anda secara online.


Menarik bukan kemudahan yang disediakan oleh peralatan yang berada di dalam gengaman anda. Semoga dengan ini minat membaca akan dapat diterapkan semula dalam masyarakat. Apa yang penting anda perlu mencuba aplikasi buku ebook ini kerana kelebihan yang ditawarkan ebook adalah jauh berbeza – dan anda pasti akan menyukainya.


Free Download



Perkara Yang Perlu Kita Ketahui Mengenai TV

TV lama
Salah sebuah peti TV lama.

Televisyen (TV) merupakan peralatan yang boleh dikatakan ada hampir di setiap rumah hari ini. Oleh kerana kepesatan teknologi menyebabkan hari ini terdapat pelbagai jenis TV yang disediakan untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna. Namun begitu sebelum kita membeli set TV yang baru beberapa perkara perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan pembaziran.

Tahukah anda yang menukar set televisyen anda yang lama mungkin dapat menjimat bil elektrik anda? Ia merupakan satu perkara yang penting mengapa kita perlu menukar peti TV dengan jenis TV yang baru kerana ia jauh menjimatkan dari segi penggunaan tenaga elektrik. TV dari jenis Plasma dan LED menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah (dengan keluasan skrin yang sama) berbanding peti TV yang lama menggunakan CRT (Cathode Ray Tube). Namun begitu TV LED adalah lebih menjimatkan berbanding TV Plasma dan mempunyai kualiti gambar yang lebih baik – dengan nisbah contrast yang tinggi.

HD TV
LED TV bukan sahaja nipis malah mempunyai gambar yang lebih menarik.

Teknologi TV lama yang menggunakan CRT bukan sahaja mempunyai saiz yang besar dan berat malah memerlukan voltan tinggi untuk membolehkan ia menghasilkan gambar pada permukaan skrin. Oleh kerana peti TV lama mempunyai litar ber-voltan tinggi, ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya cuba dibaiki oleh seorang yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang membaiki TV. Bagi TV warna pula ia mempunyai 3 senapang elektron untuk menghasilkan tiga cahaya utama (primer) iaitu merah, hijau dan biru.

Manakala TV yang baharu seperti TV plasma dan LED dihasilkan melalui teknologi yang jauh berbeza. Ia sama seperti skrin telefon anda cuma saiznya yang lebih besar. Selain daripada mempunyai skrin yang lebih rata ia juga membolehkan fail video dengan format komputer (seperti .avi, .mp4, .flv, . mpg, .mov, .wmv, .3gp dan sebagainya) dimainkan terus – mengikut keserasian peralatan yang telah diprogramkan. Ini menjimatkan lagi kos bagi mengurangkan peralatan tambahan seperti set pemain pita video untuk TV CRT yang lama.

Set TV yang baru juga mempunyai kelebihan untuk digunakan dengan set peralatan yang baru seperti decoder TV satelit dan kabel TV. Peralatan-peratalan lain seperti pemain cakera BlueRay dan set permainnan video games seperti Sony Playstation atau Xbox boleh disambung dengan mudah. Malah anda juga boleh menggantikan paparan komputer dengan menjadikan TV anda sebagai skrin paparan – untuk mendapatkan paparan yang lebih luas.

Resolusi TV
Perbezaan resolusi TV.

Namun begitu kemajuan teknologi TV ini juga berkembang dengan cepat dan semakin banyak teknologi baru diperkenalkan seperti 4K TV dan akan datang ialah 8K TV. Adalah dinasihatkan supaya anda tidak terlalu cepat menukar set TV anda berikutan teknologi ini masih belum disediakan untuk kegunaan umum – masih kurang bahan video atau saluran yang menyediakan rancangan dalam format ini. Namun begitu anda berlu besedia kerana suatu masa nanti kita juga perlu bertukar kepada teknologi semasa.

Jadi buatlah keputusan yang boleh memberikan anda faedah jangka panjang dari segi penjimatan tenaga yang digunakan juga perbelanjaan yang perlu anda keluarkan untuk memenuhi keperluan hiburan ataupun pekerjaan

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 10 April 2014

Jalan-jalan ke Kedah, Langkawi Pulau Lagenda

Dataran Helang
Mercu tanda Langkawi di Pekan Kuah.

Pulau Langkawi atau juga sinonim dengan gelaran Pulau Lagenda merupakan antara destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Setiap hari pulau ini sentiasa dibanjiri oleh pelancong dari dalam dan luar negara untuk menjelajah keistimewaan pulau yang menyimpan 1001 keajaiban ini.

Pulau Langkawi yang terletak di Utara Malaysia menyediakan kemudahan pengangkutan yang dapat memudahkan para pelancong datang ke sini samada dengan perkhidmatan feri, bot dan juga pengangkutan udara. Kemudahan yang terdapat di pulau ini juga memudahkan para pengunjung bagi sebarang keperluan semasa di sini. Pulau Langkawi juga merupakan destinasi perbelanjaan bebas cukai di Malaysia. Jadi sekiranya anda berhasrat untuk berbelanja leih semasa berada di sini, ia merupakan antara pilihan yang tepat.

Perkhidmatan Feri

Jeti Kuah, Langkawi
Jeti Kuah dengan feri-feri pembawa penumpang.

Bagi yang memilih untuk menaiki feri, perkhidmatan feri disediakan daripada Kuala Kedah bagi setiap jam dari jam 7:00 pagi hingga ke 6:00 petang. Perjalanan dari Kuala Kedah akan mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Perkhidmatan feri juga disediakan daripada jeti Kuala Perlis dan Satun, Thailand dengan perjalanan yang akan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Perkhidmatan Udara


Perkhidmatan udara juga disediakan di sini. Penerbangan dari Kuala Lumpur dari syarikat-syarikat penerbangan Malaysian Airlines dan juga Air Asia boleh digunakan dengan mudah. Penerbangan turut disediakan daripada Pulau Pinang dan Singapore. Perjalanan udara dari KLIA akan mengambil masa kira-kira 45 minit. Jadi anda akan mempunyai masa yang lebih untuk berehat dan mejelajahi pulau ini nanti.

Pengangkutan di Langkawi


Semasa berada di Langkawi anda boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan antaranya bas, teksi, kereta sewa dan juga motorsikal. Perkhidmatan ini boleh ditempah awal atau sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke Pulau ini. Jadi tidak ada apa yang perlu di risaukan sekiranya anda ingin melawat ke serata pulau peranginan ini nanti.

Tempat-tempat Menarik


Dataran Helang – merupakan mercu tanda Langkawi yang dikatakan berasal dari sebutan ‘Helang’ atau ‘Lang’ dan ‘kawi’ bermaksud merah. Mercu tanda ini berukuran 12 meter tinggi menghadap ke arah laut di mana feri-feri yang menuju ke Langkawi akan berlabuh bersebelahan dengan pelabuhan feri di pekan Kuah. Di pelabuhan ini juga anda akan mendapat kemudahan-kemudahan asas lain semasa berada di Langkawi.

Kampung Kristal – terletak di Pulau Rebak dan diusahakan oleh syarikat Langkawi Crystal Sdn. Bhd. Merupakan syarikat pengeluar barangan Kristal yang terulung di Malaysia. Selain daripada untuk pasaran Malaysia ia juga turut mendapat pasaran luar yang menggalakkan terutama China dan Eropah. Selain daripada melihat proses penghasilan Kristal di sini anda juga mungkin berpeluang untuk membawa pulang cenderahati sebagai kenangan atau hadiah.


Gunung Mat Chincang
Keindahan puncak Gunung Mat Chincang.

Gunung Mat Chincang – gunung Mat Chincang merupakan kawasan pergunungan yang mencapai ketinggian sehingga 713 meter (2,339 kaki) dari paras laut. Selain daripada kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna ia juga menyediakan kemudahan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung mengunjungi puncak Gunung Mat Chincang. Dari puncak gunung ini anda akan berpeluang untuk melihat pemandangan sekitar Pulau Langkawi yang indah.

Pekan Kuah – pekan yang dinamakan sempena kejadian ‘kuah’ yang tertumpah di kawasan ini. Peristiwa pergaduhan antara Mat Chincang dengan Mat Raya ini telah memberikan nama gelaran setiap lokasi di Langkawi. Ia merupakan lagenda lama yang menjadikan Pulau Langkawi mempunyai keunikan tersendiri.

Selain itu Pekan Kuah merupakan kawasan Bandar di Langkawi yang membolehkan para pelancong mendapatkan segala kemudahan. Sebagai sebuah destinasi pelancongan yang ternama ia dilengkapi dari kemudahan asas seperti penginapan sehinggalah kemudahan membeli belah yang setaraf dengan Bandar-bandar utama yang lain.


Langkawi Westin
Kemudahan percutian yang lengkap di Langkawi.

Pulau Dayang Bunting – merupakan pulau terbesar selepas Langkawi di dalam gugusan kepulauan tersebut. Terletak kira-kira 17.6 km dari pekan Kuah dan mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan daripada jeti pekan Kuah. Kadar sewaan bot ke Pulau Dayang Bunting adalah RM45.00 seorang. Apa yang menarik di pulau ini terdapat tasik air tawar yang dikelilingi oleh laut dengan air masin.

Makam Mahsuri – merupakan tempat di mana Mahsuri Binti Pandak Maya dimakamkan. Kisah lagenda mahsuri merupakan antara lagenda tersohor di pulau ini. Makam Mahsuri juga terletak di mana lokasi Rumah Mahsuri dan Telaga Mahsuri di tempatkan yang dikatakan merupakan tempat asal kediaman wanita tersebut. Kisah Mahsuri boleh di baca dengan lebih lanjut melalui pautan ini: Lagenda Mahsuri.

Telaga Air Hangat – terletak kira-kira 14 km daripada pekan kuah komplek ini juga dikenali sebagai ‘Air Hangat Village’ yang juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain untuk para pengunjung. Bagi meraikan para pengunjung beberapa bahan pameran lain turut disediakan termasuk tarian kebudayaan dan permainan tradisi.


Langkawi
Langkawi dengan keindahan semulajadi.

Beras Terbakar – bagi yang ingin mengetahui kisah silam Pulau Lagenda ini bolehlah melawat ke lokasi ‘Beras Terbakar’ semasa peristiwa Datuk Kerma Wijaya dikalahkan olen tentera-tentera dari Siam. Kisah ini boleh diikuti dengan lebih lanjut daripada kisah Mahsuri di atas. Jadi untuk memastikan anda benar-benar mendapat pendedahan yang lebih lengkap mengenai kisah-kisah ini maka pastikan lawatan anda nanti turut ke lokasi ‘Beras Terbakar’.

Underwater World – selain daripada bahan berunsur lagenda dan tempat-tempat bersejarah Langkawi juga turut menyediakan bahan pameran yang moden seperti ‘Underwater World’ ini. Ia merupakan pusat pameran marin seperti juga ‘Aquaria KLCC’ dan mula dibuka sejak 26 Ogos, 1995 lagi. Turut dilengkapi dengan terowong gergasi 15 meter melalui aquarium dengan kapasiti 500,000 liter air laut. Dibuka daripada jam 10:00 pagi sehingga 6:00 petang dengan bayaran: Dewasa, RM30.00 dan Kanak-kanak, RM28.00


Pantai Chenang, Langkawi
Keindahan pantai di Langkawi.

Perkampungan Buku – perkampungan buku menyediakan pelbagai buku daripada pelbagai bahasa terdiri daripada buku-buku yang baru dan lama. Malah terdapat juga buku-buku terpakai untuk dikongsi bersama dengan peminat-peminat buku. Terletak kira-kira 10 minit daripada lapangan terbang Langkawi dan kira-kira 15 minit daripada pekan Kuah. Sekiranya anda peminat buku pastikan anda tidak ketinggalan melawat lokasi ini nanti. Dibuka daripada  jam 9:30 pagi hingga 5:30 petang dan masuk adalah percuma.

Kereta Kabel Langkawi – perkhidmatan Kereta Kabel Langkawi jugak terletak di kawasan Pergunungan Mat Chincang yang terkenal dengan keunikan flora dan faunanya. Perjalanan yang merangkumi jarak 2.2 km menuju ke puncak gunung yang mencapai ketinggian 708 meter dengan sudut mencapai 42 darjah. Sekiranya anda tidak berani – mungkin ada baiknya anda tidak menaikinya. Berada di atas puncak Gunung Mat Chincang banyak lagi kemudahan disediakan untuk anda menikmati keindahan pemandangan keseluruhan Pulau Langkawi.

Pantai Pasir Hitam – Pantai Pasir Hitam merupakan satu lagi lokasi yang menyimpan pelbagai misteri di pulau lagenda ini. Ia merupakan tinggalan daripada pergaduhan di antara Burung Garuda dan juga Jentayu. Ia juga dikenali sebagai pantai tengkorak kerana terdapat tinggalan tulang atau serpihan kapal dibawa ke pantai. Ia juga dikatakan tinggalan kapal yang tenggelam di perairan utara kepulauan ini yang juga menempatkan pusaran air. Misteri dan menarik!

Jadi banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui dan mungkin anda akan mengetahuinya dengan lebih lanjut apabila melawat ke pulau peranginan popular ini nanti. Selain daripada lagenda, misteri dan keindahan pulau ini mungkin adakalanya apa yang anda perlukan di sini adalah tempat yang aman untuk berehat.

Anda juga boleh mendapatkan brochure pelancongan Langkawi di sini: Download

Peta Langkawi: Download



Free Download



Selasa, 8 April 2014

Kelebihan Memiliki Office Bergerak Dengan Gadget Sesuai

Mobile Office
Sebuah Office bergerak yang lengkap.

Kelebihan teknologi perkomputeran memberikan banyak kelebihan bagi membolehkan kita memiliki Office Bergerak yang membolehkan kerja-kerja dilakukan hampir di mana sahaja. Kalau dahulu bagi orang-orang yang produktif akan memastikan mereka sentiasa membawa diari mereka ke mana-mana, namun hari ini kesemua kelengkapan pejabat berada di tangan mereka hampir setiap masa.

Gadget seperti tablet memberikan kemudahan asas seperti 'Organizer' yang juga menyediakan 'alarm' untuk memberitahu anda tentang waktu-waktu penting yang telah anda 'set' kan supaya 'alarm' berfungsi. Ia juga turut dilengkapi dengan program-program atau 'apps' yang anda perlukan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang lain seperti menyediakan laporan, membuat rujukan melalui internet dan juga berkongsi fail melalui storan 'cloud'. Jadi gadget seperti tablet sememangnya berupaya membantu anda untuk membuat kebanyakan perkara sama seperti anda berada di dalam pejabat. Apa yang penting pastikan anda mengetahui setiap fungsi aplikasi yang anda perlukan.

Untuk memudahkan anda melakukan kerja-kerja dengan mudah tablet dengan saiz yang sesuai untuk anda menaip diperlukan. Ini kerana saiz yang terlalu kecil seperti telefon mungkin memudahkan anda untuk membuat rujukan tetapi tidak untuk membuat kerja-kerja seperti menaip. Pilihlah juga tablet yang mudah anda gunakan dengan kemampuan untuk membuat perkongsian fail dengan peralatan anda yang lain. Sebagai contoh memiliki tablet Android dan PC Laptop mungkin lebih mudah berbanding sekiranya anda memiliki sebuah iPad (Apple) bersama PC Laptop. Walaubagaimanapun bagi mereka yang telah biasa mungkin tidak menjadi masalah yang besar.

Tablets
Pelbagai jenis tablet yang berada di pasaran sepatutnya dapat dimanfaatkan dengan baik.

Bagi membolehkan anda melakukan kerja-kerja dengan lebih efisyen juga anda memerlukan sambungan ke rangkaian internet yang bagus. Selain menggunakan kemudahan Wi-Fi yang disediakan di café anda juga mungkin boleh mendapatkan sambungan internet melalui rangkaian telefon dengan pelan-pelan internet yang sesuai. Adakalanya anda hanya memerlukan satu rangkaian internet yang boleh dikongsikan untuk kesemua gadget yang anda miliki. Sebagai langkah penjimatan juga anda mungkin tidak perlu menggunakan talian internet sepanjang masa tetapi hanya membuat penyambungan apabila perlu sahaja.

Sebagai contoh hari ini artikel yang saya kongsikan di sini disediakan semasa saya berada di dalam keretapi KTM Komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur. Oleh kerana perjalanan yang agak panjang jadi saya gunakan masa tersebut untuk menyediakan artikel ini. Sebelum itu saya juga sempat menghantar fail yang perlu dihantar kepada rakan lain melalui fail yang dikongsi melalui Google Drive memandangkan fail tersebut perlu dihantar secepat mungkin.

Begitulah antara perkara yang dapat saya kongsikan buat kali ini supaya kita dapat sama-sama memanfaatkan kemudahan yang kita miliki supaya ianya tidak menjadi sekadar satu pembaziran. Akhir kata mungkin anda juga ingin berkongsi bagaimana anda memanfaatkan gadget-gadget yang anda miliki.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 3 April 2014

Persediaan Sebelum Ke Pusat Pengajian Tinggi

Graduan IPT
Menjadi graduan adalah metlamat utama para penuntut di IPT.

Tidak lama lagi tentu ramai para lepasan SPM dan STPM akan melanjutkan pelajaran mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi. Mungkin ramai yang tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading ini. Maklumlah satu lembaran baru dalam kehidupan dengan suasana pembelajaran yang jauh berbeza daripada zaman persekolahan.

Namun sebelum para pelajar ghairah untuk ke menara gading, di sini ingin dikongsikan beberapa perkara yang agak penting bagi memastikan peluang yang diperolehi nanti tidak disia-siakan begitu sahaja. Persediaan awal mungkin membantu para pelajar untuk mendapat kelulusan yang lebih baik daripada yang diperolehi semasa peperiksaan SPM dan STPM dahulu. Perlu diingat kejayaan lepas tidak semestinya berulang dan ia masih boleh diperbaiki lagi.

Sehubungan dengan itu mari kita lihat beberapa perkara yang boleh kita lakukan sebelum kita menjejakkan kaki ke IPTA/IPTS supaya apa yang kita keluarkan (perbelanjaan, masa, pengorbanan, dll.) lebih berbaloi.

Belajar Bahasa Inggeris


Bahasa Inggeris amat penting untuk pembelajaran di peringkat tinggi. Ini kerana bahan rujukan banyak disediakan di dalam Bahasa Inggeris. Bagi mereka yang masih lemah di dalam penguasaan Bahasa Inggeris, inilah masa yang paling sesuai untuk membuat persediaan. Gunakan kemudahan yang ada samada kursus bahasa, internet, TV, majalah atau buku untuk memperbaiki kelemahan anda.

Bahasa Inggeris memerlukan latihan untuk dikuasai dengan baik. Bagi yang mengikuti kursus bahasa tentulah lebih mudah kerana ia dilakukan secara sistematik. Namun begitu bagi yang tidak berpeluang mengikuti kursus bahasa anda bolehlah membiasakan diri dengan membaca dan menonton rancangan di dalam Bahasa Inggeris.

Carilah bahan yang anda minati supaya anda akan lebih berminat untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Baca, dengar dan ulang bahagian perkataan yang anda rasakan mampu. Jangan terlalu takut jika melakukan kesalahan. Semua orang yang belajar akan melakukan kesilapan dan dari kesilapan inilah anda dapat mengenalpasti kelemahan anda dalam menguasai Bahasa Inggeris.

Teruskan Membaca


Buku
Membaca dapat mengekalkan otak agar sentiasa aktif.

Membaca dapat mengekalkan otak untuk terus aktif. Selain daripada menambah ilmu pengetahuan atau membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai bidang yang anda minati ia juga memastikan otak terus cekap untuk menerima pelajaran-pelajaran baru apabila anda melangkah ke IPT nanti.

Apa yang menarik buat masa ini anda bebas membaca sebarang bahan bacaan. Namun lebih baik sekiranya anda memilih bahan bacaan yang dapat menambahkan kemahiran anda di dalam lapangan yang ingin anda ceburi. Anda juga digalakkan memilih bahan bacaan di dalam Bahasa Inggeris kerana di dalam masa yang sama anda telah melakukan dua perkara di dalam satu masa.

Latihan Menaip


Jika anda memiliki komputer atau laptop di rumah bolehlah luangkan masa utuk melatih diri menaip menggunakan perisian yang sesuai. Ini kerana apabila anda melangkah ke IPT nanti anda mungkin perlu menyiapkan assignment di dalam tempoh yang singkat. Waktu ini adalah masa yang terbaik untuk malatih diri menaip dan menggunakan perisian yang betul.

Semasa menaip pastikan anda menggunakan kedua-dua belah tangan dengan menggunakan kesemua jari-jemari anda. Elakkan tangan bersilang – ini bermaksud setiap jari hanya akan menekan butang-butang tertentu dan kelajuan anda menaip akan meningkat. Anda juga boleh mencari kaedah menaip yang betul daripada internet atau carilah bahan belajar menaip daripada buku-buku yang berkaitan.

Selain daripada itu pastikan juga kaedah yang betul menggunakan perisian yang anda gunakan. Pastikan kaedah untuk meletakkan gambar, jadual, gambarajah dengan betul. Terdapat juga perisian yang membolehkan anda meletakkan bahan-bahan lain seperti audio dan video. Malah anda juga boleh melengkapkan fail anda seperti sebuah buku yang lengkap dilengkapi dengan bahagian seperti muka hadapan, isi kandungan, pra-kata, muka surat, nota kaki dan bahagian rujukan. Malah anda juga boleh membuat link-link di antara isi kandungan di dalam fail anda.

Perisian-perisian yang bersesuaian untuk kerja-kerja menaip adalah seperti Microsoft Office Word, Apple Pages, Applix Word (Linux), Documents To Go, iStudio Publisher (Mac), Kingsoft Writer, Lotus Word Pro, WordPerfect, WordPad, Polaris Office dan sebagainya. Anda tidak perlu belajar menggunakan kesemua perisian ini, tapi pilihlah di antaranya yang anda fikirkan sesuai.

Belajar Mencari Bahan Rujukan


membuat rujukan
Mencari bahan rujukan merupakan asas kemahiran di IPT.

Mencari bahan rujukan memerlukan kemahiran dan anda akan memerlukannya lebih lagi apabila berada di IPT nanti. Sebagai persediaan carilah bahan rujukan berkaitan dengan perkara-perkara yang anda diminati contohnya “Kaedah Penghasilan Tenaga”. Gunakan segala bahan yang anda boleh perolehi dan kaitkan semua maklumat tersebut menjadi satu laporan lengkap.

Melalui latihan sebegini anda dapat melihat sendiri bagaimana proses pengumpulan maklumat tersebut dapat membantu anda mencari jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Apa yang menarik latihan ini tidak perlu menjadikan anda terlalau ‘stress ‘ dan anda mempunyai ruang yang besar dalam mengembangkan tajuk tersebut.  Untuk lebih menarik, kongsikan kepada rakan taulan melalui laman sosial ataupun sebagai isi perbualan semasa keluar minum bersama.

Bertukar pendapat
Bertukar-tukar pendapat dapat memperbaiki lagi idea yang telah anda perolehi.

Itu adalah antara beberapa perkara yang anda boleh lakukan sebagai persediaan ke IPT nanti. Terdapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan bagi mengisi masa menunggu ini. Jadi jangan biarkan masa terluang begitu sahaja. Isilah waktu tersebut dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat supaya bila di IPT nanti anda tidak dibebani dengan perkara-perkara yang sepatutnya boleh anda lakukan sekarang - Semoga berjaya.

*Artikel daripada: Math&Brain Malaysia



Free Download





Arkib Blog