Mentadak Orkid kelihatan mirip seperti bunga orkid, menunggu serangga. |
Seperti yang kita
ketahui terdapat pelbagai spesis serangga dan sukar sekali bagi kita menentukan
jumlah sebenar mereka – manakala spesis terbaru sentiasa ditemui. Mungkin
kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang terlalu jauh daripada manusia atau
mereka sendiri terlalu sukar untuk dikesan.
Mentadak orkid
adalah sejenis serangga yang menyerupai bunga orkid iaitu tempat di mana ia
akan meluangkan masa menunggu mangsanya – serangga pendebunga yang lain seperti
rama-rama dan lebah. Oleh kerana rupa bentuk dan warnanya mirip sekali dengan
persekitaran – bunga orkid, jadi mangsa dan pemangsa sukar sekali mengesan
kehadiran Mentadak Orkid ini.
Mentadak Orkid (Hymenopus coronatus) mendiami kawasan
persekitaran hutan hujan termasuklah Malaysia. Dalam ekspedisi untuk mengkaji
mentadak istimewa ini dua saintis James O’hanlon dan Marie Herberstein daripada
Macquarie University, Australia mendapatkan khidmat penduduk tempatan (asli)
bagi mengesan dan mendekati serangga ini dengan lebih dekat.
Serangga dengan mata majmuk. |
Melalui kajian
mereka menggunakan peralatan yang mampu mengukur warna melalui jarak gelombang (spectrophotometer) untuk membezakan
warna mentadak dan juga warna bunga-bungaan di mana mentadak ini biasanya
menunggu mangsanya. Kajian mendapati adalah agak sukar bagi serangga membuat
perbezaan kerana mata serangga adalah berbeza dengan mata manusia dan kelebihan
inilah yang digunakan oleh mentadak orkid bagi mengelirukan mangsanya.
Perbezaan daya penglihatan serangga seperti yang digambarkan di kaca TV, penglihatan sebenar dan pengelihatan manusia. |
Kajian saintis
ini turut dimuatkan di dalam majalah ‘American Naturalist’ setelah menjayakan
kajian ini melalui tajaan oleh National Geographic di kawasan hutan Borneo,
Malaysia.
Maka dengan ini
anda pasti akan terfikir berapa banyakkah lagi serangga-serangga yang masih
belum lagi dikenal pasti dan apakah keunikan mereka? Adakalanya sifat-sifat
istimewa inilah yang digunakan oleh manusia di dalam teknologi pembuatan, ketenteraan,
reka bentuk dan sebagainya. Jadi jangan lepaskan peluang anda sekiranya
mempunyai sedikit masa untuk memerhatikan haiwan atau serangga yang berada di
sekeliling anda.