Rabu, 5 Mac 2014

Sotong Gergasi Bukan Satu Dongengan

Giant Squid attack
Sotong gergasi seperti yang biasa digambarkan.

Sotong gergasi bukanlah satu perkara baru yang diperkatakan malah telah lama diceritakan sebagai lagenda rakyat ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu. Selain daripada sotong gergasi ini beberapa haiwan ganjil yang lain turut mendapat perhatian di dalam cereka rakyat antaranya adalah ikan duyung, naga, garuda, kuda bertanduk dan berbagai lagi. Walaupun dalam kecanggihan dunia moden hari ini kita masih lagi tidak mampu membuktikan kesahihan kewujudan makhluk-makhluk ganjil ini tetapi sebahagiannya telah mula dikesan.

Oleh kerana keterbatasan teknologi di zaman dahulu kala tiada bukti kukuh yang dapat menjawab kenyataan kewujudan makhluk ini, apapun bukti-bukti kewujudan samada terdapat di dalam cerita-cerita rakyat ataupun lukisan yang menceritakan penemuan tersebut. Bukti sahih seperti penemuan rangka ataupun gambar adalah lebih mudah diterima, walaupun hari ini bukti gambar juga perlu diperiksa secara terperinci kerana ia juga mudah dimanipulasi demi kepentingan sesetengah pihak. Sehubungan itu kajian daripada para saintis (yang bertujuan mencari kesahihan tanpa perlu membenarkan atau sebaliknya) adalah lebih penting bagi menjawab persoalan seperti ini.

Giant squid photo
Salah satu gambar awal yang berjaya diambil.

Pencarian sotong gergasi sebenarnya bukanlah suatu perkara yang baru, bagaimanapun penemuan terhadap bukti kewujudan sotong gergasi ini telah membuahkan hasil setelah puluhan tahun usaha dijalankan. Walaupun penemuan terhadap sotong gergasi pernah direkodkan sejak ratusan tahun dahulu bukti-bukti terbaru dan maklumat mengenainya hanya dikongsi kepada orang ramai hanya beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 30 september 2004, dua orang pengkaji iaitu Tsunemi Kubodera dari ‘NationalScience Museum of Japan’ bersama dengan Kyoichi Mori dari ‘Ogasawara WhaleWatching Association’ telah berjaya merakamkan imej pertama sotong ini di habitat asal mereka. Sejumlah gambar lain disebarkan setahun kemudian (556 keping). Apa yang lebih menarik pada Julai 2012 NHK dan Discovery Channel telah bekerjasama dalam menghasilkan pengambaran mengenai sotong gergasi ini di habitatnya di Chichi-Jima dan ditayangkan untuk tatapan orang ramai pada Januari 2013.

Apa yang membawa mereka kepada kejayaan membuat rakaman ini adalah dengan mengekori kumpulan ikan paus yang lebih dikenali sebagai ‘sperm whale’ iaitu spesis ikan paus yang diketahui menjadikan spesis sotong ini sebagai makanan mereka. Kesan pergelutan antara sotong gergasi ini dan ikan paus kelihatan pada permukaan kulit ikan paus. Selain itu juga ia boleh dijumpai dalam perut ikan paus yang telah mati. Melalui bukti-bukti inilah kedua-dua pengkaji ini membuat andaian dan mengekori kumpulan ikan paus tersebut untuk menjejaki sotong ini di habitat mereka.

Giant squid fight
Diorama yang terdapat di Hall of Ocean Life di 'American Museum of Natural History'.

Dalam usaha mereka menjejaki sotong ini mereka mengekori kumpulan ‘sperm whale’ sehingga jarak 970 km (600 mi) dari pantai dan tali pancing yang mampu mencapai kedalaman 900 meter (3000 kaki) telah digunakan. Tali pancing yang juga dilengkapi dengan umpan itu disertakan bersama peralatan kamera serta ‘flash’. Mereka hanya berjaya merakamkan hasil mereka setelah 20 kali percubaan untuk mendapatkan hasil gambar sotong gergasi mereka yang pertama.

Terdapat juga spesis lain sotong yang mencapai saiz yang lebih besar yang dikenali sebagai ‘colossal squid’ dan mempunyai tentikal yang lebih pendek berbanding sotong gergasi atau juga dikenali sebgai ‘Architeuthis’ ini. Sotong ‘colossal’ pernah ditangkap oleh nelayan di New Zealand pada tahun 2007 dan ia mencapai berat sekitar 1,000 pound. Mungkinkah terdapat sotong lain yang lebih besar atau masih belum ditemui?


Memandangkan saiz lautan yang lebih luas berbanding daratan dan manusia masih belum mampu meneroka pada kedalaman yang ekstrim (2,000 hingga 3,000 kaki) maka banyak kemungkinan yang masih belum kita ketahui. Apa yang menarik semakin ramai yang sedar bahawa apa yang kita ketahui mengenai lautan hari ini masih lagi terlalu sedikit bukan sahaja dari segi hidupan malah tinggalan sejarah di dasar laut juga semakin banyak yang ditemui.


Free Download



Ahad, 2 Mac 2014

Jalan-jalan Ke Melaka, Kompleks Muzium Rakyat

Red Buildings Melaka
Antara kawasan yang menjadi tarikan utama Bandar Melaka.

Baru-baru ini dalam lawatan ke Melaka untuk menghadiri kursus yang di jalankan di UTC, Melaka, saya sempat untuk singgah di beberapa tempat menarik di Melaka untuk mengambil gambar dan mendapat gambaran sebenar tentang tempat menarik tersebut. Ini kerana sebelum ini kami pernah menyenaraikan beberapa muzium yang terdapat di Melaka untuk tatapan semua.

Walaupun sebelum ini saya pernah beberapa kali melawat ke Melaka di sekitar kawasan Bandar Hilir namun dalam pengenalan mengenai muzium-muzium di Melaka lebih banyak perkara yang dapat saya pelajari mengenai tempat-tempat menarik yang lain. Tujuan saya adalah untuk mendapatkan gambar yang menarik di sekitar Bangunan Merah, Muzium Samudera, A’Famosa dan juga Muzium Kesultanan Melaka (kerana di dalam lawatan sebelum ini saya tidak berpeluang untuk membuat tinjauan khusus).

Old buildings Melaka
Deretan bangunan lama di Melaka.

Walaupun saya tidak berapa mengenali Bandar Melaka dan keadaan jalan di sana yang agak mengelirukan saya terlebih dahulu membuat tinjauan melalui peta yang disediakan melalui ‘Maps’ yang terdapat di dalam sistem iPad sebagai persediaan awal. Melalui peta dapat saya pastikan kawasan menarik berada di sekitar ‘Bandar Hilir’ dan kursus yang perlu saya hadiri akan diadakan di sekitar Jalan Hang Tuah iaitu di Bangunan UTC.

Kawasan yang mula saya singgah di Melaka kali ini adalah sekitar Bangunan Merah yang juga menempatkan Muzium Belia, Bangunan Jam dan air pancur (tidak beroperasi pada hari tersebut). Kawasan sekitar pada pagi tersebut amat menarik, kerana ia tidak begitu sibuk (bukan hujung minggu). Deretan beca yang menunggu para pelancong menambahkan lagi suasana yang berbeza dari kawasan-kawasan yang lain. 

Manakala keadaan lalulintas yang tidak sibuk membolehkan kerja saya untuk mengambil gambar lebih mudah. Saya bagaimanapun mengambil kesempatan untuk berjalan di sekitar kawasan tersebut untuk melihat dengan lebih lanjut bangunan-bangunan lama terebut. Memang ia satu kawasan yang menarik dan berbeza dari kawasan-kawasan yang lain.

Setelah melihat kawasan sekitar deretan bangunan lama, saya cuba untuk mendapatkan sudut untuk mendapatkan gambar yang lebih sesuai. Saya menuju ke arah Bangunan Penerangan Pelancongan kerana dari sana saya dapat melihat keseluruhan kawasan dengan lebih jelas. Keseluruhan Bangunan utama, menara jam dan dataran di mana pelawat singgah dapat dilihat dengan jelas. Lorong lalaun bangunan lama juga dapat dilihat dari sini. Jadi saya cuba merakamkan keunikan Panorama Bandar Melaka yang pertama di sini. Setelah membuat sedikit tinjauan di sekitar kawasan ini saya pun mengambil keputusan untuk terus ke destinasi seterusnya.

Kurang lima minit adalah destinasi lawatan berikutnya iaitu Muzium Samudera. Muzium unik yang berbentuk kapal lama ini telah lama dibina dan telahpun saya lawati sebelum ini. Tujuan saya kali ini adalah untuk mendapatkan gambar yang unik untuk muzium ini. Jadi saya hanya meluangkan masa berada di kawasan berhadapan muzium tersebut yang juga menempatkan deretan kedai-kedai cenderahati dan sebagainya. Jelas kelihatan bangunan muzium ini kelihatan agak lama dan tiada pembaharuan yang ketara dilakukan pada bangunan ataupun di sekitar muzium ini. Bersebelahannya pula adalah Muzium Kastam, Muzium Tentera Laut dan Menara Taming Sari.

Tempat-tempat lawatan yang lain juga berada di sekitar kawasan ini. Jadi adalah lebih mudah sekiranya saya terus berjalan berbanding mencari kawasan sesuai yang lain untuk meletakkan kenderaan. Perjalanan di sekitar Dataran Pahlawan tidak terasa memenatkan kerana ia dipenuhi dengan pohonan rimbun disamping banyak bahan yang dipamerkan untuk tontonan sepanjang perjalanan. Walaupun cuaca yang agak panas, taman ini dijaga dengan baik dimana rumput dan pokok-pokok yang ditanam kelihatan hijau dan segar. Saya kemudiannya berhenti di hadapan Kompleks Muzium Rakyat. Mungkin ini adalah peluang terbaik untuk saya singgah memandangkan saya belum pernah lagi melihat bahan yang dipamerkan di sini.

Walaupun saya tidak mengjangkakan apa-apa yang menarik dari Muzium ini tetapi mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh dipelajari di sini. Tedapat tiga aras yang menempatkan bahan pameran. Memang terdapat bahan menarik yang terdapat di muzium ini. Walaubagaimanapun ia tidak dipamerkan dengan penuh minat – terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dan ruang tingkap yang mengganggu fokus bahan yang dipamerkan. Sebagai seorang ‘photographer’ adalah sukar untuk saya mendapatkan gambar yang terbaik untuk ruangan pameran seperti ini. Walaupun harga tiket tidak begitu membebankan pengunjung, tetapi peluang untuk mempamerkan bahan dengan lebih menarik telah dipersiakan. Mungkin anda memahami apa yang saya perkatakan sebaik sahaja anda melihat tiket masuk ke muzium ini (perhatikan tiket tersebut dengan baik!)

Lawatan ringkas saya tidak dapat memerhatikan setiap perkara yang dipamerkan dengan terperinci. Saya masih ingin melawat ke Muzium Kesultanan Melaka. Bangunan istana lama tersebut amat unik dan saya tidak berpeluang melawatnya sebelum ini. Ia memang merupakan sebuah bangunan yang cantik. Berbeza dengan bangunan istana-istana lama yang lain. Semasa melangkah masuk ke perkarangan muzium tersebut apa yang menjadi tanda tanya pada saya adalah – bagaimana saya ingin mengambil gambar penuh istana ini nanti (kerana ruangan hadapan yang begitu kecil).

Muzium Kesultanan Melaka
Muzium Kesultanan Melaka yang unik.

Berada di dalam istana lama terebut memang satu pengalaman yang agak menarik. Ini kerana ia dibina sepenuhnya daripada kayu dan dipenuhi dengan ukiran yang unik. Terdapat juga bahan pameran yang memenuhi ruang dalaman istana tersebut yang sedikit sebanyak menambahkan lagi perkara yang perlu diketahui. Ruang istana juga agak besar berbanding dengan istana-istana lain di Malaysia (istana lama). Terdapat juga ruang-ruang kecil dan ruang atas disamping ruang utama atau lebih dikenali sebagai ‘Balai Mengadap’.

Dalaman Muzium Kesultanan Melaka
Dalaman Muzium Kesultanan Melaka.

Sebelum saya meninggalkan perkarangan istana tersebut saya cuba juga untuk mendapatkan gambar penuh ‘Muzium Kesultanan Melaka’. Mungkin tidak secantik yang saya harapkan, tetapi cukup sebagai kenangan lawatan. Sebelum beredar saya juga perlu mengabadikan gambar lawatan ke perkarangan tinggalan sejarah Kota A’Famosa satu lagi ikon menarik Bandar Melaka. Saya perlu beredar segera kerana, Bangunan UTC di Jalan Hang Tuah, saya tidak pasti bagaimana hendak ke sana.

A'Famosa tinggalan lama yang paling popular di Melaka
A'Famosa tinggalan lama yang paling popular di Melaka.

Memang unik sekali Melaka, Bandar Bersejarah ini, lebih menarik sekiranya bahan-bahan yang disajikan kepada pengunjung dapat dipamerkan dengan baik. Ya, mungkin tidak semua. Tetapi sebahagiannya perlu diperbaiki, dipelihara dan dipamerkan dengan penuh minat beserta penghargaan terhadap nilai sejarah bahan tersebut. Bagi yang diberikan tanggungjawab dan juga yang mendukung perlaksaan kerja-kerja tersebut diharap dapat melakukan yang lebih baik untuk masa-masa akan datang. Saya pasti akan datang lagi membuat kunjungan dan membuat tinjauan dari kacamata saya sendiri – begitu juga dengan yang lain.


Masa untuk ke program seterusnya. Ke bangunan UTC dan pulang semula ke Negeri Sembilan.

Artikel Oleh: Ibbyphotography

Free Download



Masalah Laptop Anda Panas Menggunakan Windows

CPU Fan
Sistem penyejuk pada pemproses PC yang lebih berkesan.

Kebanyakan kita menggunakan laptop dengan sistem pengoperasian Windows dan adakalanya kita akan mendapati laptop menjadi agak panas. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan berlaku boleh mengakibatkan komputer terdedah kepada kerosakan terutama pada chip grafik.

Perkakasan di dalam laptop agak berbeza berbanding PC desktop yang lebih tahan lasak kerana ia dilengkapi dengan sistem penyejuk yang lebih berkesan untuk menyejukkan prosessor dengan lebih baik. Begitu juga dengan chip pada grafik card yang dilengkapi dengan kipas penyejuk masing-masing. Penggunaan yang lebih berat dan lama tidak merbahaya kepada PC – melainkan sekiranya sistem penyejuk gagal berfungsi semasa kegunaan penuh sistem pemproses atau grafik.

Adalah penting bagi anda memastikan kipas penyejuk pada laptop anda sentiasa berfungsi dengan baik semasa anda menggunakannya. Sesekali letakkan tangan anda pada laluan udara pada lubang kipas laptop bagi memastikan kipas berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat angin panas (suam) keluar daripada laluan udara tersebut bermakna kipas anda berfungsi dengan baik, jika sebaliknya langkah-langkah lain perlu dilakukan untuk memastikan kipas anda masih berungsi.

Suhu pada laptop atau pemproses boleh meningkat disebabkan oleh beberapa perkara dan berikut adalah beberapa kaedah untuk memastikan sistem penyejuk pada laptop berfungsi dengan baik;

- Kipas tidak akan berfungsi sekiranya suhu pemproses masih sejuk (sekiranya anda tidak menggunakan laptop anda untuk fungsi-fungsi yang berat).

- Kipas anda mungkin berfungsi tetapi lubang udara tersumbat. Ini akan menyebabkan laptop anda menjadi panas dan kedengaran bunyi kipas, tetapi tiada udara panas keluar daripada lubang udara. Pastikan lubang udara dibersihkan sebelum anda menggunakan laptop anda.

- Terdapat program yang menggunakan sistem CPU yang melampau dan ia juga boleh disebabkan oleh beberapa perkara;

i) Program yang befungsi di belakang. Berhati-hati semasa anda membuat download sebarang program dari internet kerana ia mungkin mengandungi program seumpama ini.

ii) Terdapat program virus yang beroperasi tanpa pengetahuan anda.

iii) Program yang mengalami ‘crashed’, terus berjalan tanpa henti terutama setelah anda mengaktifkan laptop untuk satu jangka masa yang panjang.

Tune-up Utilities
Perisian seperti Tune-up Utilitise dapat memastikan sistem Windows beroperasi dengan lancar.

Tertapat beberapa kaedah untuk memperbaiki masalah ini dan cara yang paling mudah untuk anda memastikan sistem dapat kembali berfungsi dengan normal adalah dengan melakukan ‘shutdown’ atau ‘restart’. Sebelum itu anda perlulah menyimpan segala kerja-kerja yang masih belum disimpan. Langkah ini dapat mengembalikan komputer anda seperti keadaan asal.

Namun berbeza sekiranya komputer anda telah dijangkiti virus yang melakukan aktiviti tanpa anda menyedarinya. Walaubagaimanapun anda masih boleh mengesannya apabila komputer anda kembali panas tanpa mengaktifkan program-program berat seperti menonton video, permainan ‘video games’ atau perisian grafik yang bersaiz besar.

Laptop anda juga boleh menjadi panas sekiranya anda membuka ‘tab’ pada ‘browser’ yang terlalu banyak. Ini kerana ia menyebabkan prosessor bekerja lebih kuat untuk memastikan data-data pada setiap ‘tab’ dapat dipaparkan dengan cepat. Jadi pastikan anda memadam tab yang tidak digunakan lagi dan ‘bookmarks’ bagi laman yang anda rasa perlu lawati semula, dengan cara ini anda mengurangkan beban pada pemproses.

Anda juga perlu sesekali melakukan ‘disk scan’ dan ‘defrag’ bagi mengelakkan masalah seperti ‘crash’ pada sistem. Perkara-perkara lain juga perlu anda lakukan secara rutin dan banyak aplikasi yang memudahkan anda untuk kerja-kerja tersebut seperti ‘C-cleaner’, Tune-up Utilities dan sebagainya. Pastikan juga anda membuat ‘update’ untuk perisian ‘antivirus’ anda untuk mengelakkan serangan virus terbaru.

Sememangnya keadaan suhu yang tinggi pada prosessor tidak dapat dielakkan, tetapi ia perlu berada di dalam keadaan yang selamat. Sistem penyejuk pada laptop tidak mampun untuk menyejukkan prosessor dengan berkesan tambahan pula ia bersaiz kecil dan lebih mudah rosak berbanding pemproses yang di bina untuk sistem PC desktop.


Sekiranya anda dapat mengawal masalah haba berlebihan pada laptop anda mungkin ianya akan memanjangkan lagi jangka hayat laptop anda untuk beberapa tahun. Malah anda juga perlu memikirkan tentang kos membaik pulih laptop yang jauh lebih mahal berbanding PC desktop. Adalah dengan ini diharap dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam menjaga supaya laptop anda tahan lebih lama. 



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 25 Februari 2014

Peluang Mengikuti Kursus Math&Brain di Malaysia


Math-Brain Program 2014
Program Math&Brain 2014 dengan beberapa pembaharuan.

Math&Brain bukanlah satu produk yang baru. Oleh kerana pada mulanya ianya diterbitkan dalam bentuk sebuah buku berbahasa Inggeris dan hanya dijual secara online melalui laman penerbit dan amazon.com maka ia kurang dikenali di Malaysia. Kurus Math&Brain hanya mula di perkenalkan pada lewat tahun 2013 di beberapa buah sekolah sahaja.

Program Math&Brain dapat membantu para pelajar dalam menghadapi peperiksaan mereka seperti UPSR, PMR dan SPM. Namun begitu para pelajar IPT juga seharusnya memandang serius kemahiran ini, begitu juga bagi mereka yang telahpun bekerja kerana kemahiran berfikir amat penting pada setiap peringkat umur.

Memandangkan kursus ini mendapat sambutan dari para pelajar, maka ianya akan diteruskan dan dalam membantu lebih ramai mendapat manfaat dari kursus ini, ia akan turut diperkenalkan dalam beberapa bentuk pendekatan yang lain.

Bagaimana Math&Brain Berfungsi?


Pada peringkat awal ramai yang menyangka Math&Brain adalah untuk menyelesaikan masalah matematik seperti kaedah Aritmetik yang telah lama diketahui ramai. Namun tujuan sebenar Math&Brain adalah bertujuan untuk membantu orang ramai berfikir dengan menggunakan kedua-dua belah otak, iaitu otak kiri dan otak kanan. Oleh kerana kaedah pemikiran ini biasa diperkatakan, maka Math&Brain membekalkan latihan amali yang lebih praktikal. Malah pengguna tidak perlu mengetahui bagaimana ia bekerja untuk mendapat faedah berfikir menggunakan kedua-dua belah otak ini.

Dalam membentuk modul Math&Brain beberapa sudut penting yang memberikan kefahaman diberikan perhatian mendalam.

i) Kefahaman mengenai otak  (neurologi) – ini merupakan konsep utama yang membentuk Math&Brain. Perbezaan kaedah otak kiri dan otak kanan bekerja yang berbeza amat mempengaruhi cara seseorang menyelesaikan masalah. Manakala gabungan kedua belah otak ini akan membantu membentuk kreativiti dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Selain itu juga kaedah mengingat (memori), fungsi saraf dan sell saraf juga diberikan perhatian.

ii) Teori pembelajaran – ia juga membantu Math&Brain menghasilkan modul yang berkesan dan impak kepada pengguna. Ini kerana dalam memastikan hasil yang diingini kaedah yang berkesan perlu digunakan seperti contoh yang mudah difahami, pengulangan, rujukan dan peningkatan yang berterusan. Malah latihan yang disediakan dianggarkan hanya mengambil masa 10 minit sehari selama 30 hari bagi memastikan corak pemikiran dapat dikekalkan.

iii) Latihan yang mudah – latihan merupakan kaedah terbaik dalam mencapai hasil yang diingini. Latihan mudah bermaksud ia bersesuaian dengan tahap kemahiran di setiap peringkat. Ya, anda tidak mungkin merasakan latihan pada hari ke-25 mudah sekiranya ia dilakukan pada hari pertama.

Slide Math-Brain
Slide program Math&Brain memberikan impak pada peserta.

Latihan 10 Minit 30 Hari


Modul latihan merupakan satu ciri penting di dalam program Math&Brain. Ia merupakan persoalan asas mengapa Math&Brain dibentuk. Cuba fikirkan persoalan ini, “Sekiranya berfikir dengan otak kiri dan otak kanan amat bermanfaat, apakah yang anda perlu lakukan untuk menguasainya?” Jawapannya tentulah, latihan yang tepat/khusus!

Latihan mudah ini bermaksud ia boleh dilakukan oleh semua peringkat umur. Malah pengguna boleh melakukan latihan ini tanpa mengetahui bagaimana otak kiri dan otak kanan berfungsi – tetapi masih mendapat hasil dari menggunakan kedua-dua belah bahagian otak ini. Latihannya yang mudah tidak akan mengganggu jadual harian anda (sekiranya anda mampu meluangkan sedikit masa untuk program kemajuan diri ini). Menggunakan operasi matematik asas sebagai kaedah latihan, ia sesuai untuk individu ataupun seisi keluarga.

Ciri Latihan Math-Brain
Ciri-ciri khusus pada latihan Math&Brain lebih praktikal.

Bagaimana Math&Brain di Aplikasikan?


Bagi membantu Math&Brain dapat dimanfaatkan oleh semua (terutama rakyat Malaysia khususnya), beberapa pendekatan dilakukan antaranya;

i) Pembelian secara terus secara online – pembelian terus Math&Brain secara online melalui amazon.com atau laman penerbit boleh dilakukan bila-bila masa 24 jam sehari. Melalui laman penerbit anda boleh membeli modul Math&Brain dalam bentuk buku ataupun e-book. Di mana pembelian e-book dapat menjimatkan perbelanjaan pengeposan dan ianya lebih pantas.

ii) Menghadiri kursus Math&Brain di sekolah-sekolah yang berminat – ia lebih bergantung kepada pihak sekolah yang perlu menganjurkan program ini di sekolah mereka. Namun begitu ia merupakan satu program yang lebih baik, kerana konsep Math&Brain dapat diterangkan secara terus kepada pelajar. Manakala pelajar akan meneruskan dengan program latihan mereka selama 30 hari.

Tempahan awal perlu dibuat bagi memastikan program dapat dijalankan dengan lancar. Malah Math&Brain juga amat berminat untuk mengadakan program ini di Sabah, Sarawak dan juga Brunei.

iii) Modul Math&Brain Edisi Khas (Bahasa Melayu) – disediakan khas untuk pasaran di Malaysia sahaja. Tempahan boleh dibuat melalui laman fanpage Math&Brain Malaysia. Hantarkan mesej anda pada ‘admin’ untuk membuat tempahan modul khas ini.

iv) Khidmat Nasihat secara terus untuk kaedah pembelajaran Math&Brain – perkhidmatan ini juga perlu dibuat melalui fanpage Math&Brain Malaysia di Facebook. Walaubagaimanapun khidmat ini amat terhad dan diharap permohonan anda dapat dipertimbangkan.

Adalah lebih baik program Math&Brain dilakukan secara berkumpulan seperti di sekolah-sekolah kerana ianya jauh menjimatkan dan dapat membantu para pelajar dalam skala yang besar. Kaedah ini juga menjimatkan dari segi kos per pelajar (berbanding harga sebuah buku Math&Brain yang perlu dibelanjakan sekiranya dibeli secara online).

Kaedah pemikiran keseluruhan otak ini amat penting dalam membantu menyelesaikan masalah secara kreatif. Maka tidak hairanlah ia penting bagi semua peringkat umur. Malah setelah menguasai kemahiran ini anda mungkin tidak menyangka terdapat banyak kaedah untuk menyelesaikan masalah anda – dan anda hanya perlu memikirkan kaedah yang manakah lebih efisyen. Bayangkan sekiranya ia dikuasai di peringkat sekolah lagi.

Mungkin anda menyangka bijak pandai dilahirkan dengan kelebihan istimewa. Namun kajian menunjukkan bahawa kita semua dilahirkan dengan kemampuan yang sama untuk menguasai sesuatu perkara/ pelajaran. Apakah yang menyebabkan kita mempunyai tahap kemahiran berbeza? Bolehkah keadaan ini diperbaiki? Bagaimana sekiranya anda mengubah cara anda berfikir? Bantulah diri anda dan bantulah orang lain untuk terus memajukan lagi diri mereka dan masyarakat, semoga kita akan terus mencapai pembangunan yang berterusan.


Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai program Math&Brain ini anda bolehlah menghubungi fanpage Math&Brain Malaysia ataupun melalui email: wikipelajar@gmail.com


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Ahad, 23 Februari 2014

Makanan Untuk Kesihatan, Kacang Walnut


Walnut
Walnut yang masih di atas pokok.

Sebagai usaha untuk mempromosikan makanan yang membantu meningkatkan kesihatan para pengguna saya memaparkan lagi beberapa makanan yang dapat mempertingkatkan tahap kesihatan melalui khasiat pemakanan yang terkandung di dalam makanan tersebut. Kali ini kita akan melihat pula tentang khasiat kekacang yang dikenali sebagai walnut. Seperti juga kekacang yang lain, walnut kaya dengan protein dan khasiat yang membantu untuk kecerdasan otak.

Persian atau English walnut, Juglans regia
Nilai nutrient untuk setiap hidangan
Saiz hidangan
100 grams
Tenaga
2,738 kJ (654 kcal)
Karbohidrat
13.71
- Starch
0.06
- Gula
2.61
  - Laktosa
0
- Dietary fiber
6.7
Lemak
65.21
- tepu
6.126
- monounsaturated
8.933
- polyunsaturated
47.174
Protein
15.23
Air
4.07
Alcohol
0
Caffeine
0
Vitamin A equiv.
1 μg (0%)
Vitamin A
20 IU
- beta-carotene
12 μg (0%)
lutein and zeaxanthin
9 μg
Thiamine (vit. B1)
0.341 mg (30%)
Riboflavin (vit. B2)
0.15 mg (13%)
Niacin (vit. B3)
1.125 mg (8%)
Pantothenic acid (B5)
0.570 mg (11%)
Vitamin B6
0.537 mg (41%)
Folate (vit. B9)
98 μg (25%)
Vitamin B12
0 μg (0%)
Vitamin C
1.3 mg (2%)
Vitamin D
0 μg (0%)
Vitamin D
0 IU (0%)
Vitamin E
0.7 mg (5%)
Vitamin K
2.7 μg (3%)
Kalsium
98 mg (10%)
Zat Besi
2.91 mg (22%)
Magnesium
158 mg (45%)
Manganese
3.414 mg (163%)
Fosforus
346 mg (49%)
Potassium
441 mg (9%)
Sodium
2 mg (0%)
Zinc
3.09 mg (33%)

Satu perkara yang anda perlu ketahui mengenai makanan yang kaya dengan protein adalah ia boleh membantu anda merasa kenyang untuk tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan makanan yang kaya dengan karbohidrat. Dengan kata lain, ia dapat membantu mencegah anda daripada terus makan tanpa henti – secara tidak langsung ia membantu anda mengawal berat badan. Protein tumbuhan juga kurang lemak, manakala bagi kekacang ianya adalah dalam bentuk lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan jantung anda.

Seperti yang saya katakan di dalam artikel mengenai kekacang badam, walnut juga merupakan antara makanan kegemaran bagi para doktor dan profesional yang lain. Selagi ianya tidak ditambah garam berlebihan (salted nuts) atau ditambah perisa lain (terutama MSG), ianya amat baik untuk kesihatan anda juga. Pengambilan sedikit kekacang setiap hari dapat membantu mengimbangi keperluan protein dan lemak tak tepu untuk kecerdasan otak anda.

Walnut adalah kekacang yang padat dengan nutrient: di dalam 100 gram walnut mengandungi 15.2 gram protein, 65.2 gram lemak (terutamanya lemak tak tepu), 6.7 gram serat dan lain-lain mikro-nutrient yang turut diperlukan oleh badan. Apa yang menariknya ia juga mengandungi Omega 3 dan Omega 6 yang baik untuk fungsi otak anda. Maka tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan snack kegemaran para doktor dan profesional.

Selain itu juga, berbanding dengan kekacang yang lain walnut mengandungi antioksidan yang lebih tinggi dalam bentuk antioksida bebas dan antioksidan terikat pada serat. Aktioksida baik untuk mencegah kanser dan juga kerosakan sel-sel di dalam tubuh badan anda.

Agak sukar bagi kita untuk mengenali pokok walnut ini kerana ianya tidak ditanam di Malaysia. Negara pengeluar walnut utama dunia adalah China dengan jumlah pegeluaran sebanyak 2.55 juta tan metrik pada tahun 2010, ini diikuti oleh Iran, United States, Turkey, Ukraine, Mexico, Romania, India, Perancis dan Chile.

Bagi kita masyarakat Malaysia pemakanan kekacang mungkin merupakan sesuatu yang janggal kerana ianya hanya biasa digunakan di dalam penyediaan kuih-muih dan masakan seperti kek. Selain itu juga harga kekacang ini agak mahal jika dibandingkan dengan makanan snack (makanan ringan) yang lain. Namun begitu khasiat yang terkandung di dalam kekacang ini adalah sesuai jika dibandingkan dengan harganya, malah anda hanya memerlukan kuantiti yang sedikit sebagai makanan tambahan sahaja.

Isi walnut
Isi walnut yang boleh dimakan.

Begitulah serba sedikit mengenai walnut yang ingin saya kongsi buat kali ini. Terdapat banyak lagi kekacang lain yang akan saya kongsi untuk tatapan semua. Semoga pengetahuan ini dapat membantu anda untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat, lebih bermanfaat untuk diri anda juga keluarga tersayang.



Free Download




Arkib Blog