Rabu, 1 Januari 2014

Kaedah Pembersihan Perkakasan Elektronik, Komputer dan Tablet

Peralatan pembersihan perkakasan elektronik/komputer

Pembersihan perkakasan elektronik seperti komputer, tablet, telefon bimbit dan apa juga perkakasan kesayangan anda mungkin boleh membantu untuk jangka hayat peralatan yang lebih lama. Jadi peralatan serta kaedah yang betul perlu digunakan atau proses ini mungkin boleh mendatangkan masalah kepada peralatan kesayangan anda.

Komputer dan peralatan elektronik yang lain sememangnya perlu dibersihkan selalu bagi mengekalkan kualiti peralatan tersebut, terutama pada skrinnya yang memaparkan maklumat yang perlu dilihat. Pembersihan yang kurang cermat mungkin akan mengakibatkan skrin bercalar seterusnya anda tidak lagi dapat melihat hasil paparan yang baik. Terdapat juga beberapa peralatan yang lain bagi membersihkan papan kekunci dari habuk dan debu yang boleh menyebabkan kerosakan sekiranya dibiarkan berpanjangan. Tanpa berlengah lagi mari kita lihat peralatan-peralatan tersebut dan kaedah pembersihan yang baik.


Peralatan asas untuk kerja-kerja pembersihan;


Peralatan asas pembersihan a) pam angin b) berus lembut c) cecair pembersih d) kain pengelap lembut

a) Cecair pencuci – gunakan cecair khas untuk pembersihan skrin komputer. Ini kerana cecair ini akan cepat kering selain selamat (tidak menghakis permukaan skrin anda).

b) Kain penggilap yang sesuai – kain penggilap untuk kerja pembersihan juga biasanya disertakan bersama cecair pencuci. Kain ini dapat mengelakkan skrin dari calar kerana ianya lembut. Selain itu ia juga mampu menarik habuk dan kotoran dari skrin dengan berkesan.

c) Berus – berus untuk pembersihan perlulah lembut dan bebas dari kotoran (berus tidak menyimpan habuk). Berus yang kasar mungkin boleh merosakkan peralatan apabila digunakan secara kasar.

d) Pam angin – pam angin biasa digunakan untuk menghembus habuk dan debu yang melekat di celah-celah papan kekunci serta celahan yang sukar dibersihkan. Pam angin ini amat berguna terutama dalam membersihkan peralatan seperti printer/mesin photostat yang menggunakan toner.

e) Vakum mini – vakum mini sama seperti pam angin juga untuk membersihkan habuk. Anda boleh menggunakan salah satu peralatan ini atau keduanya mengikut kesesuaian. Pastikan kuasa sedutan vakum bersesuaian bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Berbanding pam angin yang biasanya menggunakan tangan adalah lebih mudah untuk dikawal.

Kebiasaannya peralatan ini dijual dalam bentuk satu set dan ada juga dijual secara berasingan. Anda boleh membeli peralatan ini mengikut keperluan anda. Sekiranya anda mempunyai peralatan yang banyak atau biasa melakukan kerja-kerja pembersihan, anda mungkin memerlukan peralatan-peralatan seperti di atas pada kuantiti yang berbeza.

Penggunaan vakum juga sesuai bagi memerangkap habuk yang terperangkap pada peralatan

Langkah-langkah pembersihan;


1) Sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan pastikan kesemua peralatan telah disediakan bagi memastikan segala proses pembersihan dapat berjalan dengan lancar. Sebarang gangguan perlu dielakkan terutama sekiranya anda perlu membuka peralatan untuk tujuan pembersihan.

2) Pastikan bekalan kuasa peralatan telah dimatikan. Ini penting bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Cecair yang digunakan mungkin boleh mengakibatkan pintasan pada litar peralatan semasa kerja pembersihan. Oleh sebab itu kita perlu menggunakan cecair yang cepat kering (meruap).

3) Bersihkan permukaan dengan berus dari habuk-habuk yang kasar dengan perlahan. Habuk-habuk kasar mungkin boleh mengakibatkan calar sekiranya terus dilap dengan kain pengilap. Jadi ianya perlu dibersihkan dengan berus terlebih dahulu.

Berus lembut memastikan peralatan tidak rosak

4) Basahkan kain pengilap dengan cecair sebelum mengelap permukaan. Menyembur pada permukaan adalah kurang baik dipraktikkan kerana cecair boleh meleleh masuk ke dalam peralatan dan merosakkan nya.

5) Bersihkan pula papan kekunci dengan berus. Gunakan pam angin atau vakum untuk membersihkan habuk-habuk yang tersimpan di bawah butang papan kekunci. Sebelum menggunakan kain pengelap dan cecair pembersih.

6) Periksa lubang angin (komputer/mesin) untuk mengeluarkan haba panas tidak tersekat oleh habuk. Ini boleh mengakibatkan kerosakan pada peralatan. Gunakan berus, pam angin dan vakum sehingga bahagian ini betul-betul bersih dan angin panas boleh mengalir keluar dengan baik.

Kerja-kerja pembersihan ini perlu dilakukan selalu mengikut keperluan dan penggunaan peralatan anda. Peralatan yang sentiasa bersih boleh menjamin kualiti penggunaanya untuk jangka panjang. Selain itu juga ianya boleh dijual semula dengan harga yang lebih tinggi sekiranya anda ingin menggantikannya dengan peralatan yang lebih baru.

Sebahagian kerja yang memerlukan peralatan dalam keadaan baik (terutama skrin) adalah seperti kerja-kerja yang bergantung kepada keadaan skrin yang baik seperti ‘photo editing’, ‘designer’, ‘video editing’ atau para peminat video dan ‘video games’. Ini kerana skrin yang kotor akan mengganggu anda untuk melakukan tugas dengan baik atau menikmati paparan yang benar-benar berkualiti.


Diharap artikel kali ini dapat membantu anda untuk memahami kepentingan kerja-kerja pembersihan peralatan. Ini kerana kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara tidak teliti mungkin boleh mendatangkan kerosakan pada peralatan kesayanga anda. Jadi fahami dan lakukannya dengan lebih yakin.




Free Download



Rabu, 25 Disember 2013

Keenakan Cendawan Yang Boleh Dimakan

Cendawan butang popular dalam kebanyakan masakan

Terdapat banyak spesis cendawan yang boleh dimakan, yang beracun dan banyak pula cendawan yang tidak kita ketahui. Cedawan tergolong dalam kumpulan kulapuk yang terdiri daripada hidupan yang halus sehinggalah cendawan yang boleh dimakan. Keenakan cendawan menjadikan permintaan terhadapnya begitu tinggi sehingga manusia cuba membiakkannya sendiri. Sehingga kini terdapat sebahagian sahaja yang berjaya ditanam secara komersial manakala sebahagiannya lagi masih didapati secara tumbuh meliar.

Cendawan boleh hidup pada pelbagai medium seperti di atas tanah, di dalam tanah dan juga hidup di atas benda lain seperti kayu mati dan ada juga yang hidup di atas kulit kita (kulat yang menyebabkan penyakit kulit). Jadi dunia cendawan begitu luas dan merangkumi semua tempat di muka bumi. Tidak hairanlah jika terdapat pelbagai jenis cendawan yang tidak kita ketahui.

Kebiasaannya cendawan hanya dipungut semasa musim cendawan yang mampu hidup hanya untuk beberapa hari dan akan mati. Jadi cendawan yang hidup meliar amat sukar untuk ditemui kerana tempat tumbuhnya mungkin tidak ditemui sewaktu musim cendawan. Hanya terdapat beberapa jenis cendawan sahaja yang biasa kita temui dan ketahui yang boleh dijadikan sebagai makanan. Sehinggalah cendawan yang dipelihara secara komersial berada di pasaran. Ini memudahkan kita untuk mendapatkan ianya pada kuantiti yang sesuai untuk masakan.

Kumpulan cendawan yang biasa dimakan di Jepun enokitake, buna-shimeji, bunapi-shimeji, king oyster dan shiitake.

Oleh kerana cendawan berbeza mengikut lokasi, maka nama sebahagian daripada cendawan tersebut hanya terdapat bagi kawasan di mana ia tumbuh atau di mana ia dipasarkan. Hari ini cendawan lebih dikenali di pelbagai tempat kerana ia turut di eksport ke serata dunia walaupun sebahagiannya masih mengekalkan nama asalnya seperti 'enokitake' atau enoki, kerana 'take' bermaksud cendawan.

Untuk mengenali cendawan dengan lebih dekat, mari kita lihat cendawan-cendawan yang ditanam secara komersial di negara kita. Berikut adalah antara cendawan yang ditanam mengikut senarai yang terdapat daripada pertubuhan peladang di Malaysia.

Cendawan tiram putih merpakan jenis yang biasa ditanam

1) Cendawan Tiram Kelabu

2) Cendawan Tiram Putih

3) Cendawan Abalon

4) Cendawan Tiram Kuning

5) Cendawan Tiram Merah Jambu

Cendawan telinga kera juga ditanam secara komersial

6) Cendawan Telinga Kera

7) Cendawan Jerami

8) Cendawan Ling Zhi - digunakan untuk perubatan

9) Cendawan Bunga Kobis

10) Cendawan Berangan

11) Cendawan Peha Ayam

12) Cendawan Kukur/ Sisir

13) Cendawan Shiitake

14) Cendawan Butang

15) Cendawan Jarum Mas (enokitake) - mempunyai nama tempatan kerana ditanam di Malaysia.

16) Cendawan Perut Lembu

Cendawan jerami juga merupakan spesis yang ditanam di Malaysia

Oleh kerana cendawan turut ditanam secara komersial di beberapa negara (60 negara) terutama di China, United States, Netherlands, France dan Poland maka terdapat pelbagai jenis cendawan yang ditanam secara komersial di serata dunia. Di sini saya akan menggunakan nama saitifik untuk memudahkan anda menyemaknya di internet untuk mengetahui secara lebih dekat tentang sesuatu spesis.

'Boletus edulis' spesis cendawan yang terkenal

* Boletus edulis - terkenal di Eropah dan dikenali sebagai Fungo Porcino di Itali. Di German pula ia dikenali sebagai Steinpilz (cendawan batu), di Russia sebagai "white mushroom", di Albania sebagai "wolf mushroom" dan di Perancis sebagai cèpe. Merupakan cendawan yang amat menyelerakan dan dipelbagaikan di dalam masakan.

* Cantharellus cabarius - juga dikenali sebagai "The chanterelle" yang digemari dan tumbuh di banyak kawasan di Asia, Eropah, Amerika Utara dan Australia. Terdapat spesis beracun yang menyerupai cendawan ini.


* Clitocybe nuda



* Grifola frondosa - dikenali juga sebagai maitake di Jepun atau "hen of the woods" atau "sheep's head", merupakan cendawan yang besar dan berisi.

* Gyromitra esculenta - merupakan cendawan yang boleh membawa maut sekiranya dimakan mentah.

* Hericium erinaceus - juga dikenali sebagai "lion's mane mushroom".

* Hydnum repandum

* Lactarius deliciosus 

* Morchella - terdapat spesis yang beracun iaitu Morchella conica & Morchella esculenta.

* Tricholoma matsutake - merupakan cendawan yang paling digemari di Jepun

* Tuber - merupakan dari spesis seperti truffle antara cendawan yang mempunyai harga yang paling tinggi dan sukar untuk dikormersialkan. Antara spesis berjaya ditanam komersial adalah;

- Tuber borchii
- Tuber brumale
- Tuber indicum - truffle hitam China
- Tuber macrosporum - truffle putih
- Tuber mesentericum - truffle Bagnoli
- Tuber uncinatum - truffle hitam musim panas

~ truffle merupakan antara spesis cendawan yang amat digemari. Sehingga adakalanya ianya dijadikan sebagai minyak untuk dan digunakan sebagai perasa dalam masakan. Jarang sekali dimasak seperti cendawan lain sebagai bahan utama masakan melainkan sebagai penambah rasa.

'Amanita muscaria' merupakan cendawan beracun dan perlu dimasak untuk dimakan!!..

Melalui senarai cendawan ini dapat kita lihat terdapat banyak sekali cendawan yang boleh dimakan dan terdapat banyak cendawan yang masih tidak dapat ditanam secara komersial (kaedah penanaman yang masih tidak diketahui). Ini menjadikan dunia cendawan masih lagi memerlukan kajian untuk mengetahui tentang kegunaanya sebagai sumber makanan dan ubatan. Di harap semoga peminat-peminat cendawan akan terus berusaha untuk mengetahui tentang cendawan dengan lebih mendalam.




Free Download



Selasa, 24 Disember 2013

Pokok Hiasan Dalam Rumah Tetap Cantik Dan Segar

Pokok hiasan dalam rumah kelihatan sihat & menarik

Pokok hiasan dalam rumah atau pejabat bukan sahaja cantik dipandang malah ia juga membantu menyegarkan lagi ruangan di dalam rumah atau pejabat. Pokok hidup kelihatan berbeza sekali daripada pokok tiruan, maka tidak hairanlah mengapa penggemar pokok hidup berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pokok hidup mereka kekal sihat di dalam rumah. Terdapat beberapa perkara penting sekiranya kita ingan memiliki pokok hiasan yang cantik berada dalam rumah. Mari kita ikuti artikel kali ini yang membincangkan topik menarik ini.

Jenis Pokok


Jenis pokok yang bersesuaian untuk ditanam di dalam rumah adalah dari jenis yang boleh tahan berada di dalam persekitaran yang kurang cahaya, kurang air, tanah, baja dan sebagainya. Ini kerana bekas tanaman seperti pasu, botol atau bekas tanaman untuk menempatkan pokok tersebut akan menghadkan pokok daripada bebas untuk mendapatkan makanan seperti pokok yang ditanam di halaman atau di atas tanah. Maka tidak hairanlah terdapat segelintir tanaman sahaja yang betul-betul boleh hidup dengan subur di dalam rumah. Selain itu penjagaan juga memastikan pokok ini akan terus hidup subur.

Pokok lidah buaya juga sesuai sebagai tanaman hiasan dalaman.


Medium Tanaman


Walaupun pokok biasa ditanam di atas tanah tetapi pokok tidak semestinya hidup apabila ditanam di dalam tanah sahaja. Malah untuk tanaman di dalam rumah banyak medium tanaman yang lebih sesuai di pasaran untuk memastikan tanaman tetap segar dan hidup lebih baik. Ini kerana tanaman di dalam rumah lebih rumit untuk mendapatkan nutrient yang diperlukan. Maka medium tanaman yang disediakan lebih sesuai untuk memastikan tanaman mendapat zat makanan yang diperlukan oleh tumbuhan dapat dibekalkan secukupnya.

Penggunaan bebuli gel adalah antara contoh medium tanaman yang baik untuk tanaman di dalam rumah. Tetapi gel ini tidak mampu menyokong pokok yang besar. Maka dengan itu medium dipilih bersesuaian dengan jenis pokok yang ingin ditanam. Ada juga pokok yang boleh hidup dengan air sahaja, tetapi ini boleh mengakibatkan nyamuk bertelur pula. Maka penggunaan air sahaja adalah tidak digalakkan. Pastikan anda memasukkan kelikir dan air di bawah paras kelikir tersebut bagi mengelakkan nyamuk bertelur.

Pencahayaan


Pokok memerlukan cahaya untuk membuat makanan. Jadi anda perlu memastikan pokok anda mendapat cahaya yang cukup. Cahaya lampu mungkin boleh membantu, tetapi pastikan ianya cukup terang dan sesuai untuk tanaman anda. Cara yang paling baik adalah dengan memastikan pokok anda diletakkan berhampiran tingkap atau anda boleh juga sesekali membiarkan pokok berada di luar rumah. Tapi anda perlu elakkan daripada terkena pancaran terus matahari - kerana pokok yang disimpan di dalam rumah biasanya kurang daya tahan terhadap pancaran terus matahari.

Tingkap merupakan sumber cahaya yang baik.


Suhu


Walaupun pokok memerlukan kepanasan, keadaan yang terlalu panas juga boleh mengakibatkan pokok anda mati. Jadi keadaan bilik biasa yang sesuai bagi manusia berada di dalamnya adalah baik untuk pokok. Suhu sekitar 15 ~ 25 darjah celcius adalah yang terbaik. Ini merupakan suhu yang membolehkan tumbuhan berada dalam keadaan aktif, di mana proses pembesaran untuk tumbuhan dapat berjalan dengan baik.

Kelembapan


Selain daripada suhu yang sesuai, tumbuhan juga memerlukan kelembapan. Kelembapan yang sesuai adalah sekitar 80% - ini adalah bagi pokok-pokok yang mempunyai daun yang nipis dan lebar. Bagi rumah yang dilengkapi dengan penghawa dingin, bekas berisi air boleh diletakkan berhampiran tumbuhan anda (masukkan juga kelikir - untuk mengelakkan nyamuk bertelur). Selain itu pokok-pokok juga boleh diletakkan berhampiran antara satu sama lain bagi menambahkan kelembapan ini.

Pembajaan


Pokok di dalam rumah juga memerlukan pembajaan, malah ianya lebih penting kerana akar pokok tidak dapat mencari sumber baja sendiri. Pembajaan sebaiknya menggunakan baja cecair (atau baja yang dicairkan untuk memudahkan penyerapan). Pembajaan juga perlu dilakukan dengan cermat iaitu gunakan sukatan yang sedikit dahulu bagi mengelakkan pokok rosak. Sentiasa periksa pokok anda dan kesan pada daun bagi mengetahui keadaan pokok. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai baja anda boleh mengikutinya melalui artikel baja.

Pembajaan juga dapat membantu anda mengawal tumbuhan untuk proses pembesaran dan pembungaan. Walaubagaimanapun anda perlulah mengikut kesesuaian pokok anda bagi mengelakkan pokok rosak atau mati. Ini bermakna pokok perlu diseimbangkan antara berdaun dan berbunga.


Pokok Yuka antara pokok yang menarik.

Pasu dan Bekas Tanaman


Antara yang menarik mengenai tanaman dalam rumah adalah termasuk bekas tanaman juga. Bekas boleh terdiri mungkin terdiri daripada pelbagai jenis bahan daripada tanah liat, seramik atau kaca yang cantik. Apa yang penting bekas dapat menampung pokok untuk hidup dengan selesa. Bekas yang bersesuaian menambahkan lagi penampilan pokok anda. Bekas kaca misalnya sesuai untuk pokok-pokok yang kecil dan boleh hidup dengan air sahaja. Manakala pokok yang bersaiz besar pula mungkin boleh menggunakan pasu-pasu besar yang diperbuat daripada tanah liat yang cantik.

Diharap bagi yang meminati tanaman dalam rumah mendapat serba-sedikit informasi yang berguna kali ini. Semoga terus mencuba untuk mempelbagaikan lagi tanaman anda. Apa yang penting teruskan mencuba untuk mendapatkan hasil yang terbaik kerana sesuatu yang cantik biasanya memerlukan usaha yang berterusan. Selamat mencuba dan semoga berjaya.




Free Download



Khamis, 19 Disember 2013

Bila Salji Turun Di Vietnam

Salji yang turun di Sa Pa, Vietnam

Memang salji biasa turun di Vietnam kerana Vietnam merupakan satu negara yang besar yang mengunjur dari Selatan ke Utara dan bersempadan dengan negara China. Terdapat bahagian-bahagian daerah di Vietnam yang mempunyai suhu di bawah takat beku pada musim sejuknya dengan suhu purata di sehingga -2.2°C pada bulan-bulan Desember dan Januari.

Kawasan penanaman padi di lereng bukit dipenuhi salji

Daerah yang terkenal di Vietnam dengan suhu sejuk ini lebih dikenali sebagai Sa Pa terletak di Utara Vietnam (22°21’N 103°52’E) dan terletak kira-kira 3,143 meter dari aras laut, manakala Bandar Sa Pa pula terletak pada 1,500 meter dari aras laut, menjadikan daerah ini mempunyai cuaca yang agak dingin. Namun baru-baru ini salji turun diluar jangkaan biasa kerana bulan December juga merupakan musim kering di daerah Sa Pa. Jadi keadaan ini menyebabkan ianya mendapat liputan meluas daripada media dan menarik ramai pengunjung menuju ke daerah tersebut untuk menyaksikannya sendiri.

Memandangkan keadaan ini adalah luar biasa walaupun suhu sekitar sememangnya di bawah paras beku, namun jarang sekali salji turun dengan lebat sehingga menutupi landskap sekitar kerana kebiasaannya musim dingin juga merupakan musim kering di sini. Keadaan ini menyebabkan para petani mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman serta kematian binatang ternakan. Salji yang menutupi kawasan pertanian menyebabkan tanaman musnah manakala binatang ternakan pula mati kesejukan. Manakala salji yang turun juga menyukarkan lagi kenderaan yang datang ke sini untuk menyaksikan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pengunjung yang ingin melihat keadaan salji di Sa Pa.

Salji menyebabkan banyak kerosakan mungkin kerana ia bukan keadaan yang biasa di sini. 50 hektar kawasan tanaman rosak yang terdiri daripada buah-buahan, rose dan tanaman lain. Ini menyebabkan lebih dari 50 keluarga terpaksa menunggu sehingga salji cair untuk memulakan semula tanaman.
Musim sejuk kali ini bermula daripada pertengahan December yang menyaksikan penurunan suhu di bawah takat beku sehingga -5°C dan kekal di bawah takat beku. Keadaan ini menyebabkan sekolah ditutup bagi mengelakkan masalah berkaitan kesihatan kepada para pelajar.

Kebanyakan penduduk di Sa Pa adalah petani yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman memandangkan cuaca di Sa Pa yang membolehkan pelbagai tanaman hidup subur di sini. Tanaman utama di sini termasuklah padi dan jagung selain daripada tanaman lain untuk dijadikan sebagai sayuran dan sumber pendapatan petani di sini.

Tanaman rose yang rosak akibat salji

Sa Pa adalah sebuah Bandar kecil di kawasan pegunungan atau lebih tepat lagi ianya adalah penghujung pada Banjaran Himalaya. Dihuni oleh penduduk sekitar 36,000 orang yang terdiri daripada pelbagai etnik antaranya Kinh (Viet), Hmong, Doa, Tay, Giay dan juga Xa Pho. Sekitar 7,000 orang tinggal di Bandar Sa Pa manakala yang lainnya bertaburan di sekitar daerah tersebut.


Sayuran yang ditutupi salji

Mungkin kita menganggap pengalaman salji turun ini sesuatu yang menarik untuk dialami. Tetapi jelas membuktikan apabila ia berlaku tanpa diduga juga boleh mengundang pelbagai masalah. Apapun itulah yang berlaku di persekitaran kita hari ini dengan cuaca yang tidak diduga dari taufan di Filipina sehinggalah ke turunnya salji di Vietnam. Diharap semoga semuanya dalam keadaan yang selamat hendaknya.

Antara petani yang memeriksa tanaman mereka
Pemandangan daerah Sa Pa dalam cuaca yang baik berlatarbelakangkan pegunungan Fansipan.


Sut 'Iron Man' Yang Paling Menarik Sedia Untuk Tempahan

Bagaimana helmet 'Iron man' dibuat

Sut 'Iron man' merupakan impian ramai peminat pengumpul barangan kostum untuk ‘cosplay’ dan juga sebagai koleksi tambahan bagi peminat-peminat ‘Sci-fi movie’. Mungkin memiliki sut-sut ini menjadi satu kegilaan peminat maka ada pengeluar yang cuba menghasilkan sut yang sebaik mungkin bagi memberikan kepuasan. Maka dengan itu sut 'Iron man' kini boleh ditempah dengan harga USD2,000 dengan kualiti yang memuaskan. Untuk memastikan kualiti yang sememangnya terbaik tempahan ini akan mengambil masa setahun. 

Mungkin itu anggaran masa yang diberikan bagi mengelakkan peminat yang tidak boleh bersabar menunggu. Jadi, diharap syarikat yang mengeluarkan sut ini akan mampu memenuhi tempahan tersebut lebih awal.
Sehubungan itu pengeluar memerlukan sekurang-kurangnya 5,000  tempahan (pada harga USD2,000) sebelum boleh menjalankan ‘mass-production’ yang mengambil masa kira-kira 8 bulan. Ini kerana suit ini sut ini adalah dari polimer yang diperkuat dengan ‘carbon fiber’ manakala penyambungnya pula adalah daripada bahan logam dan dalaman yang diselaputi dengan kusyen penyerap. Maka tidak hairanlah mengapa harganya begitu mahal memandangkan kualiti sut ini seolah-olah sut ‘Iron man’ yang asli seperti yang disaksikan dalam ‘Iron man III’.


Sut Mark III - yang sememangnya menarik

Bukan itu sahaja sut ini juga dilengkapi dengan ‘touch activated helmet’ yang dilengkapi dengan “intelligent” LED yang menghidupkan lagi sut ini. Malah ia juga dilengkapi dengan ‘rocket thruster’ sama seperti sut asli ‘Iron man’ yang akan keluar dari belakang sut ini. Sut ini direka bagi mereka yang bersaiz 5’5” dan 6’1”. Mungkin saiz-saiz lain akan disediakan kemudian sekiranya sut ini dapat dihasilkan secara besar-besaran. Walaubagaimanapun tempahan untuk helmet sahaja turut disediakan pada harga USD1,800. Hmm, baik ambil sut sekali.

Sekiranya anda tidak mahu berada dala baris menunggu maka anda bolehlah memesan sut ini untuk tempahan ekspress pada harda USD35,000. Wah, itu harga beberapa buah kereta Kancil. Tetapi sut sebenar ‘Iron man’ mungkin bernilai jutaan ringgit?!..

Ianya dihasilkan secara cetakan 3D yang semakin popular. Walaubagaimanapun untuk menghasilkan keseluruhan sut yang menarik ini memerlukan rekaan yang benar-benar rumit. Mungkin nanti kita akan lihat beberapa lagi rekaan cetakan 3D yang menarik hasil kreatviti yang memanfaatkan kemajuan teknologi ini.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Isnin, 16 Disember 2013

Keunikan Hidupan Laut, Landak Laut

Landak laut dari spesies Echinus melo

Landak laut sejenis hidupan berduri yang mendiami perairan cetek atau kawasan terumbu karang. Fizikalnya yang berduri seakan-akan landak memberikannya nama landak laut atau 'sea urchins' adakalanya juga dipanggil 'sea hedgehogs'. Di Indonesia ia juga dikenali sebagai bulu babi. Sebenarnya terdapat pelbagai spesies landak laut yang mendiami perairan laut dari kawasan pantai hinggalah sehingga mencapai kedalam 5,000 meter dalam. Saiznya yang berbeza-beza iaitu di antara 3 hingga 10 cm dan adakalanya dipenuhi duri yang panjang. Terdapat pelbagai warna landak laut daripada hitam, kehijauan, coklat, purple, biru dan merah. Dengan pergerakan yang perlahan makanan utama landak laut kebiasaannya adalah terdiri daripada lumut. Manakala pemangsanya pula terdiri daripada memerang laut, tapak sulaiman, belut dan ikan-ikan. Selain itu juga manusia turut menjadikan landak laut ini sebahagian daripada hidangan.


Mulut landak laut dengan 5 batang gigi

Mulut landak laut berada dibahagian bawah yang menghadap ke permukaan pasir. Manakala bahagian atasnya adalah selaput keras seperti cengkerang yang juga diselaputi dengan kulit. Ia bergerak menggunakan sejenis tiub khas yang menggunakan tenkanan air. Terdapat juga tiub yang mampu melekat pada permukaan batu-batu untuk membolehkan landak laut ini bergerak. Begitu juga lubang insang landak laut pada kawasan berhampiran mulutnya.

Tiub khas yang membantu landak laut bergerak

Pada sesetengah spesies landak laut ia dilengkapi dengan duri yang panjang dan tajam. Duri ini boleh mengakibatkan kesakitan yang pedih namun ianya tidak mendatangkan kemudaratan yang serius sekiranya dapat dikeluarkan sepenuhnya. Tidak dapat dinyatakan samada duri landak laut berbisa walaupun terdapat spesies landak laut (pedicellariae) yang mempunyai bisa. Kebiasaannya duri landak laut berukuran 1 hingga 3 cm dan tidak terlalu tajam. Bagaimanapun terdapat spesis seperti 'diadema antillarum' yang mempunyai duri yang lebih runcing yang mencapai sehingga 10 hingga 30 cm panjang. Duri landak laut yang tajam ini mudah tertinggal di dalam daging sekiranya tercucuk dan mengakibatkan kesakitan.

Landak laut 'Slate pencil' spesies yang dimakan
(Eucidaris tribuloides)

Sistem saraf landak laut lebih ringkas dan tidak dilengkapi dengan otak. Walaubagaimanapun sistem saraf ini dapat membantu landak laut sensitif terhadap sentuhan, cahaya dan kondisi kimia di sekelilingnya. Walaupun tidak dilengkapi mata, saintis beranggapan keseluruhan badan landak laut bertindak sebagai satu mata majmuk bagi landak laut. Selain itu ia turut dilengkapi organ yang membantunya untuk sentiasa dalam keadaan menegak.

Walaupun makanan utama landak laut adalah terdiri daripada lumut dan rumpai laut ia juga menjadikan 'invertebrata' lain sebagai makanannya. Landak laut adakalanya memakan keseluruhan kawasan sekitarnya sehingga terang. Ini menyebabkan landak laut adakalanya dianggap sebagai ancaman kepada kawasan terumbu karang sama seperti tapak sulaiman terutamanya 'crown of thorn'.

Landak laut putih
(Tripneustes ventricosus)

Walaupun landak laut dipenuhi duri namun ia tetap dijadikan sebahagian makanan oleh ramai masyarakat di dunia. Isi landak laut dijadikan hidangan yang digemari di banyak kawasan dengan pelbagai bentuk hidangan. Di kawasan seperti Mediterranean, landak laut dari spesies 'Paracentrotus lividus' biasanya dimakan mentah dengan perahan lemon dan hidangan ini dikenali sebagai 'ricci'. Ia juga turut digunakan dalam hidangan Itali untuk dijadikan sos pasta. Begitu juga di Chile ia dihidangkan mentah dengan lemon, bawang dan minyak zaitun.

Berbeza pula bagi landak laut Strongylocentrotus droebachiensis yang terdapat di Atlantik Utara yang kebanyakannya dieksport ke Jepun. Begitu juga di New Zealand, landak laut spesies 'Evechinus chloroticus' walaupun dimakan oleh masyarakat tempatan, namun turut dieksport ke Jepun.

Landak laut merah (Astropyga radiata)

Di Jepun, landak laut juga dikenali sebagai 'uni' (うに) dan harga isi landak laut boleh menjangkau sehingga A$450/kg: biasanya dihidangkan mentah sebagai sashimi atau sushi, bersama sos soya dan wasabi. Pembekal utama landak laut kepada Jepun adalah Amerika Syarikat, Korea Selatan dan lain-lain negara seperti yang disebutkan tadi. Permintaan negara Jepun yang tinggi bagi landak laut adalah dikhuatiri boleh mengakibatkan kepupusan landak laut.

Di Malaysia juga landak laut telah diberikan perhatian sebagai sumber ekonomi terutamanya di Sabah. Perkara ini telah diberikan penekanan daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk membuat kajian selanjutnya tentang kaedah pembiakan landak laut untuk tujuan komersil seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Jepun. Ini adalah penting bagi mengelakkan landak laut liar yang dikutip tanpa kawalan boleh mengakibatkan kepupusan - sumber Utusan 07/03/2012

Landak laut Echinothrix calamaris

Jadi di Malaysia juga landak laut menjadi sebahagian daripada menu bagi masyarakat Sabah dan kemungkinan juga Sarawak. Mungkin terdapat pelbagai resepi bagi landak laut. Ini kerana selain isi landak laut yang boleh dipelbagaikan, kulitnya juga digunakan dengan memasukkan beras dan direbus dimana ia dikenali sebagai 'oko-oko' oleh kaum Bajau di Pulau Gaya - sumber Kosmo 25/08/2011

Wah menarik kan! Landak laut yang selama ini amat ditakuti kerana duri yang sememangnya kelihatan tajam dan mengerikan (spesies yang biasa dijumpai di Malaysia) ini sebenarnya amat digemari di merata dunia. Maka tidak hairanlah mengapa ia dilengkapi duri bagi mengelakkan ia diganggu dengan begitu mudah. Jadi sememangnya ia memerlukan kajian terperinci untuk dikomersilkan bagi mengelakkan kepupusan memandangkan ia mungkin akan diminati oleh semua masyarakat setelah mereka mengetahui akan keunikan sebenar landak laut.


Free Download



Arkib Blog