Pintu masuk utama Taman Burung Kuala Lumpur |
Taman Burung Kuala Lumpur amat menarik, ini kerana Kuala Lumpur bukan sahaja merupakan pusat bandaraya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan dan pusat membeli belah, malah ia juga menyediakan banyak destinasi pelancongan yang menarik. Sempena cuti sekolah ini mungkin ramai yang ingin membawa keluarga melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur.
Bagi yang tinggal berhampiran ataupun berkunjung ke Kuala Lumpur, Taman Burung Kuala Lumpur adalah satu satu destinasi yang harus anda kunjungi. Terletak di kawasan Taman Tasik Perdana ia juga berhampiran dengan taman-taman lain seperti Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Rama-Rama, Planeterium Negara, Muzium Kesenian Islam, Taman Rusa dan juga Memorial Tun Razak. Jadi sekiranya anda ingin berkunjung ke sini anda mungkin melawat lebih dari satu taman sahaja - tentu ia menjimatkan masa dan kos perjalanan.
Taman ini mudah dikunjungi dengan menggunakan kenderaan sendiri mahupun dengan pengangkutan awam. Terletak berhampiran dengan stesyen keretapi Kuala Lumpur dan anda cuma perlu menaiki teksi dengan anggaran masa 5 minit sahaja. Begitu juga yang berkenderaan kerana laluan di sekitar Taman Tasik Perdana tidaklah sesibuk di laluan utama yang lain. Lokasi GPS taman ini adalah N3 08.581, E101 41.294 untuk memudahkan perjalanan anda.
Dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga ke 6.00 petang. Bayaran yang dikenakan pula adalah;
Dewasa (Biasa) RM 48.00
*Kanak-kanak (Biasa) RM 38.00
Dewasa (MyKad) RM 25.00
*Kanak-kanak (MyKid) RM 12.00
*Kanak-kanak dari 3 - 12 tahun
Salah satu landskap yang taman burung |
Terdapat juga sangkar-sangkar kecil yang menempatkan burung-burung seperti kakak tua, helang, enggang dan lain-lain bagi membolehkan anda melihatnya dengan lebih dekat. Ini kerana adalah sukar untuk anda melihat burung-burung ini sekiranya ianya dibiarkan terbang bebas di dalam sangkar utama yang terlalu besar.
Sangkar khas untuk burung nuri |
Melalui kunjungan ke sini anda bukan sahaja dapat melihat burung-burung yang jarang anda temui, malah anda juga belajar tentang habitat dan cara hidup mereka. Persekiran yang menyerupai habitat sebenar dapat menggambarkan tentang kehidupan burung-burung ini di kawasan liar.
Sekiranya anda bertuah anda mungkin berpeluang menyaksikan merak yang mengembangkan ekornya yang cantik dan berwarna-warni. Burung merak ini bergerak bebas di dalam taman dan bulunya juga sangat menarik (tidak rosak akibat dikurung). Begitu juga dengan burung-burung lain seperti flamingo yang banyak di dalam kolam buatan. Burung merpati mahkota pula di antara burung yang banyak berkeliaran di atas tanah.
Selain daripada melihat burung-burung ini anda juga berpeluang untuk mengambil gambar bersama burung-burung yang dilatih khas untuk bergambar bersama. Ianya terdiri daripada burung kakak tua, burung helang, burung hantu dan yang paling istimewa adalah burung enggang. Ya, saya pernah berpeluang menyentuh burung enggang ini dan ianya amat jinak.
Waktu makan, anda boleh menyaksikannya |
Terdapat banyak informasi yang menerangkan nama-nama burung yang anda temui di merata kawasan. Jadi anda tak perlu risau sekiranya tidak mengetahui nama-nama mereka. Terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik di sekitar taman dan bahagian pembelajaran yang membantu kanak-kanak mempelajari lebih lanjut mengenai dunia burung. Jadi taman ini sememangnya sesuai untuk peminat burung dan juga untuk seisi keluarga.
Bagi menikmati pengalaman sepenuhnya di sini anda perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya setengah hari kerana keluasan taman ini adalah seluas 20.9 ekar dan dipenuhi dengan kawasan-kawasan muka bumi rekaan yang pelbagai. Terdapat sekitar 3,000 burung daripada 200 spesis dari dalam dan luar negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai Taman Burung Kuala Lumpur anda bolehlah menghubungi talian: +603-22721010 fax: +603-2273 5428 atau email: info@klbirdpark.com