Khamis, 7 November 2013

Makanan Popular di Malaysia

Nasi lemak sarapan popular

Topik makanan sentiasa menjadi topik hangat bagi semua orang kerana sudah tentu bila penat bekerja kita akan mencari sesuatu yang dapat mengenyangkan perut pula. Adakalanya kita mencari-cari idea apakah makanan yang ingin kita cuba - walaupun memang terdapat banyak sekali makanan yang popular di negara kita. Di sini saya cuba ketegorikan kepada beberapa masa yang biasanya makanan ini dihidangkan walaupun adakalanya ia turut dihidangkan tidak mengira masa tersebut.

Sarapan Pagi


Malaysia sememangnya kaya dengan budaya, maka tidak hairanlah jika pilihan makanan yang ada sedari pagi hingga ke malam tidak putus-putus. Sarapan yang biasa kita nikmati di pagi hari terdiri daripada sajian berat hingga ke sajian ringan, maka tidak timbul sekiranya kita mengatakan yang tiada makanan sesuai bagi kita - untuk memenuhi keadaan kesihatan dan sebagainya.

Nasi lemak - sajian paling popular di pagi hari, daripada nasi lemak kosong, nasi lemak telur mata, hingga ke nasi lemak berlauk. Nasi lemak dengan campuran asasnya adalah kacang goreng dan ikan bilis, merupakan pembuka selera utama kebanyakan masyarakat Melayu, malah diterima oleh kebanyakan kaum di Malaysia. Satu lagi trend yang popular adalah nasi lemak kukus yang menawarkan pilihan lauk yang lebih mewah seperti rendang ayam, daging, ayam goreng, rendang kerang, paru & limpa, malah apa sahaja lauk boleh dipadankan. Nasi lemak kukus popular di waktu pagi mahupun malam.

Aneka kuih-muih untuk pagi dan petang
Karipap

Kuih-muih - kuih-muih sarapan pagi adakalanya turut dihidangkan di waktu petang. Walaubagaimanapun biasanya untuk sarapan pagi kuih-muih agak sederhana bagi yang menyediakan sendiri di rumah, bagi yang membelinya di gerai (apa sahaja semua ada). Kuih-muih yang menjadi hidangan diwaktu pagi biasanya adalah karipap, kuih keria, seri muka, kuih lopes, talam, koci, lepat, kuih gulung, apam dan sebagainya.

Laksam - laksam berasal dari Kelantan sebab itu ianya hanya boleh didapati di kawasan bandar (sudah tentu peniaga dari Kelantan). Bahan utamanya diperbuat daripada beras maka ia seakan-akan makanan popular laksa tetapi dihidangkan dengan kuah yang berbeza dan sayur-sayuran. Ia juga merupakan makanan yang rendah lemak dan menyelerakan.

Lontong - lontong adalah satu lagi variasi sarapan yang dikatakan 'mild' begitu juga dengan soto. Kurang berlemak, tidak pedas (dihidangkan dengan pilihan sambal kicap bagi soto). Ia mudah sekali mengembalikan "mood" anda sebelum memulakan tugas seharian. Lontong adalah pilihan yang baik kerana mengandungi bahan campuran dari pelbagai jenis sayuran juga.

Lempeng/cekodok - bagi yang perlu bertindak pantas inilah dua pilihan yang terbaik. Lempeng dan cekodok sarapan yang ringkas dibuat daripada tepung. Apa yang anda perlukan adalah bahan pencecah seperti sambal atau kuah kari (kuah lebihan makan malam merupakan pilihan biasa). Malah kedua sarapan ini boleh terus dinikmati bersama minuman kegemaran pagi anda - enak dimakan begitu saja!

Roti canai sarapan cepat & menyelerakan
Roti canai - roti canai adalah makanan yang diadaptasi daripada kaum India/India muslim yang telah lama menetap di Malaysia. Jadi terdapat genre roti canai Melayu - biasanya lebih garing dan kuah dal yang lebih lemak (yang menggunakan santan kelapa). Maka roti canai merupakan antara pilihan teratas dalam sajian sarapan pagi.

Tengahari


Sambal, penambah perisa makanan yang penting.
Sambal tomato, menggantikan limau sebagai perasa masam.

Sambal goreng merupakan sambal yang enak dimakan bersama nasi.

Makanan tengahari di Malaysia rata-ratanya akan memilih makanan nasi campur dengan aneka pilihan lauk-pauk. Jadi bila dikatakan pilihan makanan tengahari adalah pilihan lauk yang sesuai. Memang terdapat pilihan lain daripada nasi tetapi ia tidak sepopular hidangan 'nasi + lauk + ulam + sambal'. Jadi di sini kita akan membincangkan tentang aksesori makanan tengahari yang dinikmati bersama nasi.



Sambal - sambal adalah satu nama umum yang merangkumi segala jenis sambal seperti juga 'salsa' bagi orang-orang Mexico. Sambal bagaikan satu perasa tambahan yang boleh merangsang selera bagi rakyat Malaysia. Antara sambal-sambal yang popular adalah sambal belacan/cencaluk, sambal ikan bilis, sambal budu, sambal ikan, sambal mangga, sambal bunga kantan, sambal goreng dan banyak lagi sambal yang saya tak tahu. Formula mudah sambal (cili + bahan A + bahan B + ... + bahan N + garam secukup rasa). Mudah sahaja kan.

Rendang - rendang memang biasa dihidangkan untuk makan tengahari merangkumi rendang ayam/daging. Rendang sememangnya menjadi kebanggaan resipi Melayu yang menggunakan kelapa dan kerisik dan dimasak sehingga kering. Mungkin salah satu kebaikan rendang adalah ianya satu masakan yang tahan lama apabila disimpan.

Masak Lemak Cili Api - masakan berasaskan cili api tidak asing lagi dikaitkan dengan Negeri Sembilan. Sememangnya masak lemak cili api ini merupakan resipi harian di kampung-kampung kerana ia sesuai untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging. Malah resipi ini juga boleh dicampurkan dengan pelbagai perencah tambahan terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tomato, pisang, nangka, daun pegaga, petai, peria, daun asam dan pucuk tangkis.

Kari - makanan kari walaupun lebih popular untuk kaum India, tetapi kari juga terkenal kepada masyarakat Melayu. Kari Melayu ini lebih mudah dimakan kerana menggunakan rempah yang kurang berbanding kari kaum India/mamak. Kari dapat membangkitkan selera kerana aromanya yang harum dan boleh disesuaikan untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging juga. Seperti biasa kari masyarakt Melayu menggunakan santan - sebab itu ianya lebih manis/lemak.

Asam pedas popular negeri Melaka
Asam Pedas - asam pedas lebih popular bagi Negeri Melaka namun begitu terdapat jenis-jenis masakan seperti ini di setiap negeri. Masakan tanpa lemak dan menggunakan asam sebagai bahan perasa utama di dalam kuahnya. Asam pedas dan singgang sesuai sekali bagi mereka yang ingin mengawal pengambilan makanan berlemak - atau mengalami masalah kencing manis.

Minum Petang


Mungkin tidak semua orang dapat menikmati masa minum petang bersama keluarga. Minum petang adakalanya merupakan masa di mana kita berbual bersama keluarga atau rakan yang berkunjung ke rumah. Jadi juadah minum petang kebiasaannya adalah hidangan yang ringan dan santai sebelum tiba waktu makan malam (aktiviti malam - bersama keluarga/masyarakat).

Putu bambu baunya harum
Putu Piring/Bambu - putu piring dan putu bambu adalah sama seakan-akan putu mayam yang menjadi hidangan kaum India. Bagaimanapun putu bambu lebih wangi kerana ianya dimasak di dalam buluh. Rasanya yang manis menggunakan gula merah dan tepung beras yang lembut menjadikan hidangan ini amat memuaskan. Ia dihidangkan bersama parutan kelapa.

Apam Balik - satu lagi juadah manis yang sangat harum. Mengandungi kacang dan jagung ianya amat seronok apabila dikunyah. Apam balik mungkin tidak mudah untuk disediakan sendiri tapi mudah sahaja apabila dibeli daripada penjual di pasar-pasar malam.

Keropok lekor sedap dengan sos
Keropok - keropok merupakan sajian yang mudah diwaktu petang kerana anda hanya perlu menggorengnya sahaja. Keropok lekor merupakan pilihan utama kerana lebih mengenyangkan berbanding keropok biasa. Terdapat juga keropok/kerepek yang dihidangkan di waktu petang kerana ianya lebih ringkas dan ringan.

Kuih-muih - kuih muih yang dihidangkan diwaktu petang sama sahaja dengan kuih-muih dihidangkan diwaktu pagi. Cuma bagi suri rumah sepenuh masa mungkin berpeluang untuk menyediakan kuih yang lebih enak untuk hidangan keluarga mereka. Terdapat juga kuih-muih segera yang disediakan dalam bentuk 'frozen' bagi memudahkan proses ini.

Asam laksa memang sedap
Laksa - laksa adalah makanan yang disediakan daripada beras yang dihidangkan bersama kuah dan bahan sayuran yang lain. Ini menjadikan terdapat pelbagai jenis laksa di Malaysia. Laksa merupakan antara makanan yang bagus untuk waktu petang kerana ia tidak mengandungi lemak yang tinggi dan mudah untuk dihadam.

Pisang goreng sedap minum petang
Goreng-gorengan - ya ini satu lagi hidangan yang popular di waktu petang. Pisang/keledek/ubi/cempedak goreng merupakan juadah yang sama hebat untuk hidangan minum petang. Selain daripada mudah untuk disediakan hidangan ini juga banyak dijual oleh peniaga-peniaga kecil.

Makan Malam


Bagi yang makan di rumah mungkin hidangan biasa seperti nasi dan lauk menjadi menu utama. Tetapi mari kita lihat antara makanan yang sering dinikmati di waktu malam di Malaysia. Mungkin ianya juga biasa dihidangkan di rumah.

Satay makanan popular
Satay - satay merupakan hidangan kegemaran kita semua kerana baunya yang harum daripada ramuan yang digunakan. Hidangan satay yang paling terkemuka adalah satay Kajang yang dipelopori oleh Tuan Hj. Samuri. Sehingga pekan Kajang menjadi sebuah bandar satay yang terkenal hingga ke hari ini. Hari ini Satay Hj. Samuri membuka franchise perniagaannya di merata tempat serata tanahair - diharap ianya akan menjadi satu lagi perniagaan yang berjaya seperti perniagaan franchise-franchise yang lain.

Nasi Goreng - nasi goreng menjadi antara hidangan makan malam pilihan kerana mengandungi nasi sebagai bahan makanan utama rakyat Malaysia. Nasi goreng kampung merupakan hidangan utama sehingga bermacam-macam jenis lagi antaranya; nasi goreng ikan masin, nasi goreng sea-food, nasi goreng cendawan, nasi goreng Thai, nasi goreng kerabu, nasi goreng Pattaya hingga ke nasi goreng USA!

Sup ekor makanan exotic
Sup gearbox juga unik/exotic
Sup Ekor - ini antara hidangan istimewa bagi sesetengah orang. Mungkin tidak semua meminati sup ekor, tetapi sup ekor biasanya lebih mahal berbanding sajian-sajian yang lain. Sup ekor sememangnya hidangan exotic yang dihidangkan di waktu malam hingga ke dinihari.

Sup Gearbox - mungkin saya bukan orang yang betul untuk menerangkan keunikan sup gearbox ini. Ia sebenarnya disediakan menggunakan bahagian tulang kaki lembu. Tujuan utama menikmati sup ini adalah untuk menikmati sum-sum tulang yang terdapat di bahagian tengah tulang tersebut yang dihirup menggunakan straw. Satu lagi hidangan yang exotic!

Tom Yam - tom yam adalah resepi asal dari negara Thailand. Keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum menjadikan ianya sebahagian daripada hidangan harian di Malaysia. Ianya dipopularkan oleh orang-orang Kedah/Kelantan yang rata-ratanya menjadi peniaga makanan hampir di seluruh tanahair. Jadi bagi mereka yang ingin merasa Tom Yam yang sebenar, perlulah ke tanah asal tom yam iaitu di Thailand.

Itulah antara makanan kita rakyat Malaysia (terutama masyarakat Melayu). Mungkin saya akan mengupas pula makanan popular masyarakat yang lain nanti dan juga makanan istimewa hari perayaan. Tidakkah anda merasa anda berada di sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai jenis masakan dan makanan? Atau adakah anda terlupa bahawa makanan ini wujud di depan mata anda? Berikan pendapat dan pertanyaan anda bagi memeriahkan lagi topik istimewa ini.




Free Download



Rabu, 6 November 2013

Servis Fotografi Oleh Ibbyphotography

Mengambil gambar memang suatu perkara yang menarik dan digemari ramai. Namun sekiranya anda mengupah orang lain untuk mengambil gambar anda, tentu anda mempunyai ekspektasi yang berbeza daripada jurugambar tersebut. Tidak kurang ada juga yang takut untuk mengambil gambar kerana kurang berkeyakinan atau bimbang mendapat komen yang negatif daripada orang lain.

Gambar menjadi satu elemen penting dalam kehidupan kita hari ini. Malah dalam perniagaan, gambar merupakan salah satu medium penting untuk tujuan pemasaran dan memberikan maklumat penting tentang sesuatu produk atau informasi. Tidak hairanlah kalau ada yang berkata "a picture is worth a thousand words". Ini kerana gambar boleh menyimpan seribu-satu cerita disebalik sesuatu peristiwa yang diabadikan di dalam gambar tersebut.

Teknologi Fotografi


Dalam dunia digital hari ini, teknologi fotografi juga tidak ketinggalan dalam menerima kesan daripadanya. Teknologi foto digital membawa banyak kesan positif pada dunia fotografi - terutama dalam penjimatan kos untuk hasil yang lebih baik berbanding teknologi foto menggunakan filem yang mungkin sukar untuk diceburi oleh sesetengah golongan.

Sehubungan itu teknologi digital sememangnya digunakan sepenuhnya dalam penghasilan setiap gambar oleh Ibbyphotography dalam memberikan hasil yang optimum. Ini kerana dalam penghasilan sesuatu gambar kesan cahaya tidak dapat diambil sepenuhnya oleh sesebuah kamera dan ia perlu melalui proses - pembetulan warna (color correction) yang rumit bagi menghasilkan gambar yang benar-benar hidup. Perasankah anda gambar yang anda ambil adakalanya kelihatan kekuningan, kebiruan, agak kelabu dan sebagainya? Ya, terdapat kekurangan di mana-mana.

Kreativiti Adalah Segalanya


Setiap gambar adalah hasil seni yang dihasilkan oleh seseorang jurugambar, editor gambar tersebut dan juga medium yang digunakan untuk memaparkan hasil akhir gambar tersebut. Maka tidak hairanlah mengapa photo-studio mengenakan charge yang tinggi untuk sesuatu gambar dengan kualiti seperti ini dan ianya tidak boleh diakses oleh semua pelanggan biasa.

Segalanya bermula daripada proses mengambil gambar oleh seseorang jurugambar yang perlu menitik beratkan tentang pencahayaan, komposisi gambar dan kesesuaian model yang diambil. Adakalanya agak sukar mengambil gambar apabila model/pengantin kelihatan janggal. Di sinilah seseorang jurugambar perlu lebih kreatif untuk mengambil peluang masa yang sesuai untuk mendapatkan gambar yang natural tetapi menarik.

Perkara ini mungkin berlaku tanpa anda sedari.
Proses editing pula menekankan lebih kepada hasil akhir yang ingin ditampilkan - ini kerana gambar yang akan dicetak memerlukan editing yang berbeza berbanding gambar yang akan hanya dipaparkan di skrin komputer. Sekiranya anda pernah mengalami keadaan ini! Gambar yang dicetak kelihatan lebih gelap berbanding hasil yang dilihat di skrin kamera/komputer? Jangan di deletekan gambar tersebut, kerana ianya masih boleh diperbaiki. Melalui proses gamma-correction gambar anda akan dihasilkan sama seperti yang terpapar di komputer.

Editing juga perlu menekankan sesuatu tema untuk keseragaman keseluruhan gambar atau pecahan-pecahan yang sesuai. Adakalanya proses editing ini bergantung rapat kepada hasil yang diambil oleh jurugambar sendiri - jurugambar memikirkan tema yang sesuai dari awal lagi. Penentuan tema ini penting bagi pelanggan yang ingin membuat Photo-book sebagai salah satu hasil sesi photography-nya. 

Kesesuaian Peralatan


Kemajuan teknologi digital mampu memberikan hasil yang memuaskan dan akalanya "less is more". Apa yang penting ada mempunyai kamera yang baik dan kemampuan memproses gambar untuk menampilkan kualiti yang diinginkan. Sememangnya terdapat batasan kemampuan pada peralatan anda, namun sekiranya anda tahu menyesuaikan kaedah penggunaan yang betul anda masih mampu memberikan hasil yang menakjubkan.

Gambar digital memerlukan sentuhan proses editing yang kritikal. Walaupun anda mampu mendapatkan gambar yang cukup baik daripada kamera anda, tetapi hasil yang memuaskan tetap perlu menjalani proses color correction. Namun ini semua bergantung kepada kreativiti jurugambar,editor  dan permintaan pelanggan juga.

Malah penggunaan peralatan inilah yang mempengaruhi harga servis yang akan dikenakan kepada anda. Apakah anda sanggup dikenakan charge yang lebih untuk hasil yang sama? Atau anda menghabiskan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli peralatan ini - yang mungkin anda sendiri tidak pasti bagaimana menggunakannya?

Servis Photography


Perkahwinan


Semua orang mahu gambar mereka cantik seperti ini.
Servis gambar perkahwinan merupakan antara yang popular kerana adalah penting untuk anda mendapatkan servis professional untuk mengabadikan kenangan yang bersejarah dalam hidup anda. Ianya bergantung kepada majlis yang akan dilangsungkan - kebiasaannya 1~2 hari. Ini memerlukan jurukamera berada di sekitar tempat majlis diadakan bagi mendapatkan sebanyak mungkin gambar-gambar yang menarik semasa majlis berlansung. Bagi penghasilan photo-book pula setiap peristiwa cuba dirakamkan bagi mengabadikan saat-saat manis ini.

Pakej-pakej yang disediakan adalah menawarkan servis standard seperti pakej perkahwinan yang lain iaitu mengandungi photo album + gambar, gambar-gambar bersaiz A4 yang diedit dan pilihan-pilihan tambahan untuk photobook dan poster. Pelanggan juga boleh membuat permintaan tambahan sekiranya perlu.

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi fanpage Ibbyphotography.

*setiap pakej bolek dibincangkan mengikut kemahuan pelanggan.

Majlis


Adakalanya majlis seperti sambutan ulangtahun kelahiran, ulangtahun perkahwinan, pertunangan, majlis kesyukuran dan lain-lain juga sesuai untuk mendapatkan servis ini. Setiap peristiwa tentu lebih bermakna apabila dapat diabadikan dengan sempurna. Ya, mungkin anda akan terkenangkannya setelah 10 - 20 tahun nanti.

Potret/ Portrait


Potret yang baik kelihatan 'natural'
Bagi yang menceburi bidang perniagaan dan professional gambar ini amat penting dalam menampilkan diri dalam keadaan yang terbaik. Menampilkan diri anda dalam menonjolkan keperibadian diri bukanlah mudah untuk dilakukan oleh semua orang. Gambar yang cantik belum tentu menampilkan anda sebagai subjek yang ingin ditampilkan.

Dalam menghasilkan gambar potret yang berkualiti proses editing yang perlu dilakukan adalah serumit proses editing yang perlu dilakukan ke atas gambar-gambar yang lain seperti poster perkahwinan. Namun apa yang penting di sini, ia mampu menonjolkan keperibadian anda berbanding hanya sebuah gambar biasa.

Tentu anda tidak menyangka potret yang dihasilkan berbeza sekali dengan gambar biasa yang diambil menggunkan kamera atau telefon bimbit anda. Ini kerana penggunaan lens yang betul dan jarak jurufoto memainkan peranan. Di samping itu, menampilkan diri anda dalam keadaan yang lebih 'natural', adalah satu kemahiran yang perlu dilatih. 

Membaik pulih/ re-touch


Gambar yang dibaik pulih semula melalui proses re-touch.
Teringat gambar anda yang anda ambil dahulu - tetapi tidak berpuas hati dengan hasilnya? Ya, anda tidak boleh mengundurkan masa tetapi anda boleh memperbaiki hasil gambar tersebut. Hantarkan salinan asal (fail digital) gambar tersebut untuk menjalani proses membaik pulih.

Ini biasa terjadi kerana anda bukan sentiasa berpeluang mendapatkan servis daripada jurugambar yang sesuai. Apa yang penting, pastikan anda menyimpan salinan gambar-gambar tersebut untuk diperbaiki semula di kemudian hari.

Gambar yang menarik kelihatan hidup

Adakalanya mengembalikan nostalgia lama
Hubungi Ibbyphotography untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai servis atau khidmat nasihat yang anda perlukan berkaitan dengan gambar anda di page Ibbyphotography. Anda boleh melihat sendiri hasil gambar-gambar daripada Ibbyphotogrpahy yang diambil semasa majlis ataupun sampel-sampel gambar yang lain. Adakalanya anda memang perlu mendapatkan khidmat pakar untuk mendapat yang terbaik. Jangan sia-siakan peluang ini.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Selasa, 5 November 2013

Makanan Tradisi Ubi Kayu

Ubi kayu selepas dituai
Ubi kayu memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di kampung. Walaupun hari ini ianya tidak sepopular dahulu, tetapi suatu masa dahulu orang tua-tua kita pernah bergantung dengan pokok ajaib ini untuk menyambung hidup semasa Jepun menjelalah Tanah Melayu. Malah pokok ini bukan digunakan bahagian ubinya sahaja malah daunya turut menjadi sumber makanan yang menyelerakan.

Tahukah anda ubi kayu ini masih popular hari ini di serata dunia. Bubble tea yang dipopularkan di Taiwan semakin mendapat perhatian di serata dunia (terutama bandar-bandar yang didiami oleh orang Asia). Selain itu puding ubi kayu (tapioca pudding) juga merupakan salah satu hidangan yang digemari. Cuma ia disediakan menggunakan ubi kayu yang telah diposes dan dijadikan berbentuk biji-bijian yang menarik dan enak untuk dimanakan.

Begitu juga ubi kayu turut popular di negara-negara tropika lain terutama India, Bangladesh, negara-negara di Benua Afrika dan Amerika Selatan. Mereka juga mempunyai makanan kegemaran sendiri yang disediakan berasaskan ubi kayu. China juga merupakan negara yang banyak menghasilkan ubi kayu bukan sahaja untuk tujuan sebagai sumber makanan malah untuk tujuan penghasilan bahan api - penghasilan ethanol daripada ubi kayu. Loji penghasilan ethonal ini didirikan di Beihai dengan kapasiti penghasilan sebanyak 200 ribu tan setahun. Jadi ubi kayu mempunyai potensi yang tinggi untuk tujuan komersial.

Pokok ibu kayu tidak terlalu besar

Ubi Kayu di Malaysia


Di negara kita ubi kayu digunakan terutamanya sebagai sumber makanan samada daripada ubinya mahupun daun yang digunakan sebagai bahan masakan. Pucuk ubi kayu yang direbus dan dimakan bersama apa juga sambal sememangnya antara hidangan popular masyarakat kita - tidak kira daripada pelbagai bangsa. Biasanya menjadi bahan campuran untuk kepada masakan seperti ikan, daging ataupun daun ubi sendiri dengan dicampur sedikit ikan bilis atau udang. Bagi hidangan yang lebih exotic seperti sambal daun kayu, daun ubi juga merupakan antara bahan yang terpilih sebagai salah satu ramuannya.

Berbanding dengan ubinya yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai hidangan ianya boleh direbus dan dimakan begitu sahaja. Malah ianya lebih sedap sekiranya dimakan dengan kelapa parut dan taburan garam ataupun gula. Terdapat banyak kuih-muih yang menggunakan ubi sebagai bahan utamanya seperti lepat ubi, bingka ubi, ketuk ubi, kerepek dan talam ubi. Pengat ubi juga merupakan antara hidangan yang sedap disediakan dengan ubi. Makalanya ia juga boleh digunakan untuk membuat tapai ubi - melalui proses pemeraman & penapaian.

Selepas diproses dan dijadikan tepung atau berbentuk bijian ianya masih digunakan untuk tujuan penyediaan makanan seperti dicampur di dalam bubur/pengat. Tepung ubi boleh digunakan sebagai pelikat masakan bagi menggantikan tepung jagung. Malah terdapat kuih yang dihasilkan daripada biji sagu ubi ini. Tepung ubi juga menjadi bahan campuran didalam proses pembuatan makanan yang lain seperti keropok dan kuih-muih tradisional yang lain.

*terdapat juga sagu yang dihasilkan daripada pokok sagu.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai tepung ubi kayu adalah - ianya boleh digunakan sebagai bahan pelekat. Oleh kerana ianya dihasilkan daripada ubi, ianya memang selamat digunakan terutama untuk industri berkaitan makanan - malah ianya jauh lebih murah.

Kerepek ubi sajian popular di Malaysia
Ubi rebus, salah satu penyediaan ubi yang paling mudah.
Tepung ubi kayu, satu lagi produk daripada ubi.

Khasiat Ubi Kayu


Ubi kayu menjadi antara penyumbang utama karbohidrat selepas beras bagi negara-negara tropika. Bagi setiap 100g ubi kayu mampu membekalkan 50mg calcium, 40mg phosphorus dan 25mg vitamin C. Walaubagaimanapun ianya kurang mengandungi protein dan zat makanan yang lain. Zat makanan yang lain boleh didapati daripada daun dan kulit ubi - yang biasanya dijadikan makanan ternakan.

Porpulariti Ubi Kayu


Anda mungkin tidak menyangka yang ubi kayu sememangnya terkenal di kebanyakan negara. Malah ianya disediakan dengan pelbagai kaedah tidak disangka. Di Venezuela misalnya, ia digunakan untuk menyediakan casabe - sejenis roti (menyerupai lempeng besar) daripada ubi kayu. Sebahagian negara di Afrika juga menyediakan makanan seperti ini dan dipanggil fufu.

Terdapat juga minuman yang dihasilkan daripada ubi kayu seperti masyarakat Uganda seperti sejenis samsu yang dipanggil okaritua yang dinikmati terutama kaum lelaki semasa menikmati masa santai mereka. Di Brazil bijian ubi kayu ini dimasak bersama kulit kayu manis dan cengkih bersama wain merah dan dihidangkan bersama krim serbuk susu/ubi kayu.

Bahaya Ubi Kayu


Penyediaan casabe di Venuzuela
Ubi boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Memang terdapat toksin terkandung di dalam ubi kayu. Sebab itu terdapat ubi kayu yang tidak dimakan di negara kita. Malah ubi kayu tidak sepatutnya dimakan mentah, ia perlu di rebus atau direndam bagi mengeluarkan toksin ini sebelum betul-betul selamat dimakan. Toksin ini adalah dari jenis cyanide (CN), dan ianya dikatakan lebih tinggi di dalam ubi kayu sewaktu musim panas/kemarau. Penyediaan yang kurang berhati-hati boleh menyebabkan anda mengalami keracunan cyanide yang boleh mengundang bahaya.

Untuk langkah keselamatan penyediaan ubi perlu direndam selama 18 - 24 jam (ini bagi jenis-jenis ubi sekiranya anda tidak pasti ianya selamat ataupun sekiranya ianya pahit). Ubi yang kecil mengandungi kurang kandungan cyanide berbanding ubi yang besar. Kandungan cyanide ini juga sebahagiannya dikeluarkan semasa proses memasak - jadi pastikan anda tidak menggunakan sebarang ubi yang jarang dimasak dan sentiasa berhati-hati dalam penyediaannya. Bahaya boleh mengundang!

Bubble Tea, cepat mendapat tempat di pasaran.

Bubble Tea, mudah dipelbagaikan.

Begitulah antara paparan menarik mengenai ubi kayu yang menjadi sumber makanan penting masyarakat di serata dunia. Mungkin yang membezakan hari ini ianya disediakan dalam sajian yang lebih menarik. Sekiranya anda berkunjung ke bandar besar seperti San Francisco, atau Houston anda pasti tertarik dengan kedai-kedai yang menyediakan bubble-tea. Ya, itu dihasilkan daripada ubi kayu yang di tanam di belakang rumah kita suatu masa dahulu. 



Free Download



Isnin, 4 November 2013

Masakan Lebih Enak dan Beraroma Dengan Daun Pandan

Rimbunan pokok pandan
Bila lewat petang tentu para suri rumah sibuk menyediakan juadah minum petang untuk keluarga. Bagi mereka yang suka menyediakan kuih-muih atau pengat sebagai minuman petang, pastinya tidak akan lupa untuk memastikan bekalan daun pandan telah tersedia. Malah lebih mudah lagi sekiranya daun pandan ditanam di persekitaran rumah. Bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat kuih, malah macam-macam lagi gunanya daun pandan ni kan?

Pandan, Pandanus odorus 'fragrant screw pine', yang lebih kita kenali sebagai pandan termasuk dalam golongan keluarga Pandanaceae mempunyai hubung kait rapat kepada masyarakat, bukan sahaja sebagai bahan campur di dalam makanan malah untuk tujuan kebudayaan dan kegunaan harian yang lain. Malah pandan juga terkenal di sekitar negara yang lain.

Dikenali sebagai ketaki di Bangladesh, dan juga sejenis pandan yang lain iaitu dari jenis (Pandanus fascicularis), digunakan sebagai bahan bauan dalam penyediaan pulao, biryani dan puding kelapa, payesh. Di Indonesia ia lebih dikenali sebagai pandan wangi, soon-mhway di Burma, pandan di Filipina, bai tooey di Thailand, rampe dalam Bahasa Sinhala, sleuk toi dalam Bahasa Khmer dan lá dúa di Vietnam. Mungkin terdapat nama-nama lain kerana daun pandan sememangnya terkenal dan mempunyai banyak jenis, maka sudah tentu banyak namanya.

Kek pandan antara makanan popular.

Mengkuang pandan, antara tanaman hiasan.

Pandan memang popular untuk masakan digunakan sebagai pewangi dengan menyimpulkan daunnya dan terus dimasukkan ke dalam masakan seperti, nasi, nasi lemak, pengat dan apa juga masakan. Terdapat juga masakan menggunakan air daun pandan untuk mendapatkan warna dan baunya seperti kuih-muih untuk hidangan pagi dan petang. Ada juga menggunakan daun pandan ini dengan menjadikannya sebagai bekas untuk kuih tersebut seperti 'tepung pelita'. Tentu ramai yang teringat hidangan tepung pelita yang biasanya terdapat di bazaar ramadhan kan?

Terdapat juga makanan yang menggunakan daun pandan ini dengan membungkusnya sebelum ianya dikukus atau digoreng seperti hidangan 'gai ob bai toey(ayam pandan) dari Thailand. Dalam masakan tradisi daun pandan bukan sahaja digunakan untuk mendapatkan baunya yang harum malah ia turut menjadikan makanan lebih menarik. Hari ini bahan perasa dan pewarna tiruan turut digunakan untuk menggantikan daun pandan. Apa komen anda!

Bunga rampai sememangnya wangi.
Ayam daun pandan.
Terdapat juga kegunaan lain daun pandan iaitu sebagai penyegar udara. Selain daripada selamat, ianya juga menjimatkan dan dikatakan tahan lama. Bunga rampai yang menggunakan daun pandan sebagai bahan utama telah lama digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan pewangi yang begitu lazim semasa upacara perkahwinan (tepung tawar). Ia juga boleh digunakan untuk menyegarkan ruang di dalam almari pakaian, dan apa sahaja ruang tertutup seperti kabinet dapur. Ini kerana selain menyegarkan udara ia juga turut dikatakan berkesan untuk menghalau lipas. Satu lagi kegunaan yang hebat daun pandan!

Terdapat juga jenis pandan yang hanya digunakan sebagai tanaman hiasan kerana ianya tidak sesuai digunakan sebagai bahan bauan untuk masakan. Malah mengkuang juga adalah dari jenis keluarga pandan dengan daun yang lebih lebar, panjang dan berduri. Bagaimanapun ianya tetap menjadi salah satu bahan yang digunakan untuk membuat tikar, bahan kraf seperti beg, bekas makanan (dodol) dan pelbagai lagi.

Saya memang terfikir untuk menggunakan daun pandan untuk menyegarkan ruang bilik saya, selain itu mungkin juga akan terus menanam pandan tersebut di sekitar rumah. Mana tahu suatu hari nanti daun pandan ini juga akan semakin jarang untuk ditemui. Jadi lebih baik beringat sekarang.



Free Download



Arkib Blog