Selasa, 5 November 2013

Makanan Tradisi Ubi Kayu

Ubi kayu selepas dituai
Ubi kayu memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di kampung. Walaupun hari ini ianya tidak sepopular dahulu, tetapi suatu masa dahulu orang tua-tua kita pernah bergantung dengan pokok ajaib ini untuk menyambung hidup semasa Jepun menjelalah Tanah Melayu. Malah pokok ini bukan digunakan bahagian ubinya sahaja malah daunya turut menjadi sumber makanan yang menyelerakan.

Tahukah anda ubi kayu ini masih popular hari ini di serata dunia. Bubble tea yang dipopularkan di Taiwan semakin mendapat perhatian di serata dunia (terutama bandar-bandar yang didiami oleh orang Asia). Selain itu puding ubi kayu (tapioca pudding) juga merupakan salah satu hidangan yang digemari. Cuma ia disediakan menggunakan ubi kayu yang telah diposes dan dijadikan berbentuk biji-bijian yang menarik dan enak untuk dimanakan.

Begitu juga ubi kayu turut popular di negara-negara tropika lain terutama India, Bangladesh, negara-negara di Benua Afrika dan Amerika Selatan. Mereka juga mempunyai makanan kegemaran sendiri yang disediakan berasaskan ubi kayu. China juga merupakan negara yang banyak menghasilkan ubi kayu bukan sahaja untuk tujuan sebagai sumber makanan malah untuk tujuan penghasilan bahan api - penghasilan ethanol daripada ubi kayu. Loji penghasilan ethonal ini didirikan di Beihai dengan kapasiti penghasilan sebanyak 200 ribu tan setahun. Jadi ubi kayu mempunyai potensi yang tinggi untuk tujuan komersial.

Pokok ibu kayu tidak terlalu besar

Ubi Kayu di Malaysia


Di negara kita ubi kayu digunakan terutamanya sebagai sumber makanan samada daripada ubinya mahupun daun yang digunakan sebagai bahan masakan. Pucuk ubi kayu yang direbus dan dimakan bersama apa juga sambal sememangnya antara hidangan popular masyarakat kita - tidak kira daripada pelbagai bangsa. Biasanya menjadi bahan campuran untuk kepada masakan seperti ikan, daging ataupun daun ubi sendiri dengan dicampur sedikit ikan bilis atau udang. Bagi hidangan yang lebih exotic seperti sambal daun kayu, daun ubi juga merupakan antara bahan yang terpilih sebagai salah satu ramuannya.

Berbanding dengan ubinya yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai hidangan ianya boleh direbus dan dimakan begitu sahaja. Malah ianya lebih sedap sekiranya dimakan dengan kelapa parut dan taburan garam ataupun gula. Terdapat banyak kuih-muih yang menggunakan ubi sebagai bahan utamanya seperti lepat ubi, bingka ubi, ketuk ubi, kerepek dan talam ubi. Pengat ubi juga merupakan antara hidangan yang sedap disediakan dengan ubi. Makalanya ia juga boleh digunakan untuk membuat tapai ubi - melalui proses pemeraman & penapaian.

Selepas diproses dan dijadikan tepung atau berbentuk bijian ianya masih digunakan untuk tujuan penyediaan makanan seperti dicampur di dalam bubur/pengat. Tepung ubi boleh digunakan sebagai pelikat masakan bagi menggantikan tepung jagung. Malah terdapat kuih yang dihasilkan daripada biji sagu ubi ini. Tepung ubi juga menjadi bahan campuran didalam proses pembuatan makanan yang lain seperti keropok dan kuih-muih tradisional yang lain.

*terdapat juga sagu yang dihasilkan daripada pokok sagu.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai tepung ubi kayu adalah - ianya boleh digunakan sebagai bahan pelekat. Oleh kerana ianya dihasilkan daripada ubi, ianya memang selamat digunakan terutama untuk industri berkaitan makanan - malah ianya jauh lebih murah.

Kerepek ubi sajian popular di Malaysia
Ubi rebus, salah satu penyediaan ubi yang paling mudah.
Tepung ubi kayu, satu lagi produk daripada ubi.

Khasiat Ubi Kayu


Ubi kayu menjadi antara penyumbang utama karbohidrat selepas beras bagi negara-negara tropika. Bagi setiap 100g ubi kayu mampu membekalkan 50mg calcium, 40mg phosphorus dan 25mg vitamin C. Walaubagaimanapun ianya kurang mengandungi protein dan zat makanan yang lain. Zat makanan yang lain boleh didapati daripada daun dan kulit ubi - yang biasanya dijadikan makanan ternakan.

Porpulariti Ubi Kayu


Anda mungkin tidak menyangka yang ubi kayu sememangnya terkenal di kebanyakan negara. Malah ianya disediakan dengan pelbagai kaedah tidak disangka. Di Venezuela misalnya, ia digunakan untuk menyediakan casabe - sejenis roti (menyerupai lempeng besar) daripada ubi kayu. Sebahagian negara di Afrika juga menyediakan makanan seperti ini dan dipanggil fufu.

Terdapat juga minuman yang dihasilkan daripada ubi kayu seperti masyarakat Uganda seperti sejenis samsu yang dipanggil okaritua yang dinikmati terutama kaum lelaki semasa menikmati masa santai mereka. Di Brazil bijian ubi kayu ini dimasak bersama kulit kayu manis dan cengkih bersama wain merah dan dihidangkan bersama krim serbuk susu/ubi kayu.

Bahaya Ubi Kayu


Penyediaan casabe di Venuzuela
Ubi boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Memang terdapat toksin terkandung di dalam ubi kayu. Sebab itu terdapat ubi kayu yang tidak dimakan di negara kita. Malah ubi kayu tidak sepatutnya dimakan mentah, ia perlu di rebus atau direndam bagi mengeluarkan toksin ini sebelum betul-betul selamat dimakan. Toksin ini adalah dari jenis cyanide (CN), dan ianya dikatakan lebih tinggi di dalam ubi kayu sewaktu musim panas/kemarau. Penyediaan yang kurang berhati-hati boleh menyebabkan anda mengalami keracunan cyanide yang boleh mengundang bahaya.

Untuk langkah keselamatan penyediaan ubi perlu direndam selama 18 - 24 jam (ini bagi jenis-jenis ubi sekiranya anda tidak pasti ianya selamat ataupun sekiranya ianya pahit). Ubi yang kecil mengandungi kurang kandungan cyanide berbanding ubi yang besar. Kandungan cyanide ini juga sebahagiannya dikeluarkan semasa proses memasak - jadi pastikan anda tidak menggunakan sebarang ubi yang jarang dimasak dan sentiasa berhati-hati dalam penyediaannya. Bahaya boleh mengundang!

Bubble Tea, cepat mendapat tempat di pasaran.

Bubble Tea, mudah dipelbagaikan.

Begitulah antara paparan menarik mengenai ubi kayu yang menjadi sumber makanan penting masyarakat di serata dunia. Mungkin yang membezakan hari ini ianya disediakan dalam sajian yang lebih menarik. Sekiranya anda berkunjung ke bandar besar seperti San Francisco, atau Houston anda pasti tertarik dengan kedai-kedai yang menyediakan bubble-tea. Ya, itu dihasilkan daripada ubi kayu yang di tanam di belakang rumah kita suatu masa dahulu. 



Free Download



Isnin, 4 November 2013

Masakan Lebih Enak dan Beraroma Dengan Daun Pandan

Rimbunan pokok pandan
Bila lewat petang tentu para suri rumah sibuk menyediakan juadah minum petang untuk keluarga. Bagi mereka yang suka menyediakan kuih-muih atau pengat sebagai minuman petang, pastinya tidak akan lupa untuk memastikan bekalan daun pandan telah tersedia. Malah lebih mudah lagi sekiranya daun pandan ditanam di persekitaran rumah. Bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat kuih, malah macam-macam lagi gunanya daun pandan ni kan?

Pandan, Pandanus odorus 'fragrant screw pine', yang lebih kita kenali sebagai pandan termasuk dalam golongan keluarga Pandanaceae mempunyai hubung kait rapat kepada masyarakat, bukan sahaja sebagai bahan campur di dalam makanan malah untuk tujuan kebudayaan dan kegunaan harian yang lain. Malah pandan juga terkenal di sekitar negara yang lain.

Dikenali sebagai ketaki di Bangladesh, dan juga sejenis pandan yang lain iaitu dari jenis (Pandanus fascicularis), digunakan sebagai bahan bauan dalam penyediaan pulao, biryani dan puding kelapa, payesh. Di Indonesia ia lebih dikenali sebagai pandan wangi, soon-mhway di Burma, pandan di Filipina, bai tooey di Thailand, rampe dalam Bahasa Sinhala, sleuk toi dalam Bahasa Khmer dan lá dúa di Vietnam. Mungkin terdapat nama-nama lain kerana daun pandan sememangnya terkenal dan mempunyai banyak jenis, maka sudah tentu banyak namanya.

Kek pandan antara makanan popular.

Mengkuang pandan, antara tanaman hiasan.

Pandan memang popular untuk masakan digunakan sebagai pewangi dengan menyimpulkan daunnya dan terus dimasukkan ke dalam masakan seperti, nasi, nasi lemak, pengat dan apa juga masakan. Terdapat juga masakan menggunakan air daun pandan untuk mendapatkan warna dan baunya seperti kuih-muih untuk hidangan pagi dan petang. Ada juga menggunakan daun pandan ini dengan menjadikannya sebagai bekas untuk kuih tersebut seperti 'tepung pelita'. Tentu ramai yang teringat hidangan tepung pelita yang biasanya terdapat di bazaar ramadhan kan?

Terdapat juga makanan yang menggunakan daun pandan ini dengan membungkusnya sebelum ianya dikukus atau digoreng seperti hidangan 'gai ob bai toey(ayam pandan) dari Thailand. Dalam masakan tradisi daun pandan bukan sahaja digunakan untuk mendapatkan baunya yang harum malah ia turut menjadikan makanan lebih menarik. Hari ini bahan perasa dan pewarna tiruan turut digunakan untuk menggantikan daun pandan. Apa komen anda!

Bunga rampai sememangnya wangi.
Ayam daun pandan.
Terdapat juga kegunaan lain daun pandan iaitu sebagai penyegar udara. Selain daripada selamat, ianya juga menjimatkan dan dikatakan tahan lama. Bunga rampai yang menggunakan daun pandan sebagai bahan utama telah lama digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan pewangi yang begitu lazim semasa upacara perkahwinan (tepung tawar). Ia juga boleh digunakan untuk menyegarkan ruang di dalam almari pakaian, dan apa sahaja ruang tertutup seperti kabinet dapur. Ini kerana selain menyegarkan udara ia juga turut dikatakan berkesan untuk menghalau lipas. Satu lagi kegunaan yang hebat daun pandan!

Terdapat juga jenis pandan yang hanya digunakan sebagai tanaman hiasan kerana ianya tidak sesuai digunakan sebagai bahan bauan untuk masakan. Malah mengkuang juga adalah dari jenis keluarga pandan dengan daun yang lebih lebar, panjang dan berduri. Bagaimanapun ianya tetap menjadi salah satu bahan yang digunakan untuk membuat tikar, bahan kraf seperti beg, bekas makanan (dodol) dan pelbagai lagi.

Saya memang terfikir untuk menggunakan daun pandan untuk menyegarkan ruang bilik saya, selain itu mungkin juga akan terus menanam pandan tersebut di sekitar rumah. Mana tahu suatu hari nanti daun pandan ini juga akan semakin jarang untuk ditemui. Jadi lebih baik beringat sekarang.



Free Download



Makanan Tradisi Sayur Cekur Manis

Buahnya juga kelihatan menarik.
Apalagi yang menarik bagi saya di kampung adalah, sumber makanan yang tersedia di sekeliling rumah. Ini kerana di kampung hampir seluruh bahagian rumah akan ditanam dengan tanaman yang rata-ratanya boleh menyumbang kepada sumber makanan harian. Tanaman ini bukan sahaja tergolong dari kumpulan sayuran, malah buah-buahan, ulaman, rempah, penambah perisa, ubatan dan juga pokok hiasan. Apa yang menarik lagi tanaman ini turut menyegarkan suasana, sekeliling disamping mengindahkan lagi kawasan perkarangan rumah.

Pokok cekur manis mudah ditanam
Hari ini mengingatkan saya kepada satu sayuran yang biasanya ditanam di sekeliling rumah, adakalanya di sudut kecil berhampiran dapur. Sayur ini juga amat popular dan dikenali sebagai sayur cekur manis (sauropus androgynus). Terdapat beberapa nama yang biasa diberikan kepada sayur ini antaranya sayur manis dan asin-asin. Ia juga dikenali sebagai katuk di Sabah. Malah sayur ini bukan sahaja popular, malah orang Cina memanggilnya mani cai, orang Jepun pula mengenalinya sebagai amame shiba, orang Thai memanggilnya pak waan, di Vietnam ia dipanggil rau ngót dan di Kerla-India ia dikenali sebagai malay cheera.

Cekur manis mudah ditanam melalui batangnya. Sebab itulah ianya biasa tumbuh berhampiran dapur kerana batang tersebut terus dicucuk ke tanah setelah daunnya diambil untuk tujuan memasak. Pokoknya juga tidak terlalu tinggi kerana ia selalu diambil di bahagian daun barunya. Namun begitu ia akan tetap menghasilkan dahan baru dan terus mengeluarkan daun. Bagi pokok yang tidak diambil pucuknya atau pun dicantas ketinggiannya dikatakan boleh mencecah sehingga 8m.

Sayur ini mudah di masak dan dipelbagaikan. Walaupun kebiasaannya ia digoreng bermasa telur dan ikan bilis ada juga yang memasaknya sebagai masak lemak bersama labu. Biasa juga dijadikan sebagai ulam untuk pucuknya dimana ia direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau sambal-sambal lain. Apapun kaedah masakan yang anda gemari, sayur cekur ini bagi saya sememangnya menggamit kenangan kerana semasa kecil, terdapat banyak pokok ini di sekeliling rumah. Tapi hari ini tiada lagi!

Bunga cekur manis

Cekur manis terutamanya bahagian yang digunakan untuk memasak dan segar mengandungi provitamin A karetinoid. Selain itu ia juga kaya dengan vitamin B, C, protein dan galian. Kandungan zat ini juga tinggi untuk daun yang matang - tetapi mungkin tidak sesuai untuk dijadikan makanan kerana keras dan agak pahit - mungkin akan ada resepi baru untuk ini nanti.

Cekur manis juga dikatakan mengandungi khasiat perubatan antaranya adalah untuk merangsang penghasilan susu ibu, bagi wanita yang baru bersalin. Air rebusan daun ini juga mampu merawat demam panas, masalah pembuangan air kecil, pening-pening, penyakit berkaitan saluran darah (kardiovaskular), pitam dan tekanan darah tinggi. Manakala daun dan akar pula direbus dan diminum airnya untuk merawat hidung berdarah, penyakit puru dan penyakit patik.

Walaubagaimanapun pengambilan berlebihan sayuran ini boleh menyebabkan masalah paru-paru kerana ia mengandungi kandungan alkaloid papverine yang tinggi - masalah ini di kesan di Taiwan berikutan penggunaanya yang tinggi pada pertengahan 90'an bagi mengawal masalah berat badan. Kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti masah yang berpunca daripada pengambilan sayur ini secara berlebihan.

Itu sahaja apa yang ingin saya kongsikan berkenaan dengan sayur cekur manis ini. Mungkin ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan kembali anda kepada sayuran ini atau ada di antara anda yang ingin menanam semula sayur ini di persekitaran rumah? Saya di antaranya.



Free Download





Sabtu, 2 November 2013

Khasiat Bawang Putih Yang Perlu Kita Ketahui

Semua orang mengenali bawang putih yang merupakan antara bahan asas menyediakan kebanyakan masakan. Namun begitu bawang putih menyimpan pelbagai khasiat yang kita mungkin menyedarinya ataupun tidak. Selain daripada menyingkap petua-petua lama orang dulu-dulu mari kita lihat beberapa kebaikan bawang putih yang seharusnya kita ketahui.
Bawang putih antara bahan utama masakan seharian

- Bawang putih boleh membantu merawat masalah keguguran rambut kerana kandungan allicin yang tinggi dan sulfur yang sama seperti juga bawang merah didapati merawat masalah keguguran rambut dengan berkesan. Sapu bawang putih yang dipotong pada kulit kepala dan perah untuk mengeluarkan khasiatnya. Boleh juga mencampurkan sedikit minyak untuk tujuan ini.

- Masalah acne (jerawat) juga boleh dirawat menggunakan bawang putih kerana anti oksidan di dalamnya membunuh bakteria. Hanya perlu sapukan bawang putih yang dipotong pada bahagian yang mengalami acne tersebut.

- Selesema boleh dielakkan dengan mengamalkan diet yang mengandungi bawang putih. Padat dengan kandungan anti oksida ia membantu menguatkan sistem daya tahan badan. Jika anda diserang selesema anda boleh mencuba teh daripada bawang putih. Racik atau pecahkan bawang putih dan rendam di dalam air panas, kemudian tapis dan sedia untuk diminum. Tambahkan gula atau madu sekiranya perlu.

- Psoriasis sejenis masalah kulit yang membimbangkan boleh dirawat menggunakan bawang putih. Bawang putih merupakan bahan merawat keradangan yang berkesan. Gunakan minyak bawang putih pada bahagian yang mengalami psoriasis.

- Menurut ahli pengkaji makanan Cynthia Sass bawang putih boleh membantu anda mengawal masalah berat badan. Kajian mendapati tikus yang memakan makanan kaya dengan bawang putih mengurangkan kandungan lemak dan juga berat tikus tersebut. Pastikan anda mengamalkan diet mengandungi bawang putih untuk tujuan ini.

- Masalah makan air atau athlete's foot juga boleh dirawat menggunakan bawang putih kerana bawang putih juga merupakan anti-kulat. Anda hanya perlu merendamkan kaki anda didalam air panas yang dimasukkan bawang putih yang telah dipecahkan - ya, tunggu sehingga suam untuk mengelakkan lecur di kaki anda.

- Bagi mengelakkan gangguan serangga seperti nyamuk juga boleh dilakukan menggunakan bawang putih. Kajian di India mendapati mereka yang menyapukan ramuan yang bercampur bawang putih pada tangan dan kaki tidak didanggu oleh serangga. Sediakan ramuan daripada minyak, gel petrolium, lilin lebah atau tempatkan bawang putih berhampiran. Ini betul-betul berguna dan selamat.

- Pernahkah anda terfikir untuk menggunakan bawang putih sebagai bahan pelekat? Sememangnya jari anda akan merasa melekit sekiranya memotong bawang putih. Bawang putih dikatakan dapat membantu masalah keretakan kecil pada cermin. Pecahkan bawang putih dan keluarkan jus daripada bawang tersebut ke dalam rekahan kaca dan bersihkan lebihannya.

- Jika bawang putih boleh mengelakkan serangga seperti nyamuk ia juga boleh digunakan sebagai penghalau serangga untuk tanaman. Campurkan bawang putih, mineral oil, air dan juga sabun cecair (pencuci pinggan), masukkan ke dalam botol penyembur dan semburkan pada tanaman yang diganggu serangga perosak.

- Ikan amat tertarik dengan bau yang dihasilkan daripada bawang putih dan anda boleh membeli umpan yang sedia dengan bauan ini. Anda juga boleh membuatnya sendiri jika perlu dengan bahan yang semestinya menggunakan bawang putih. Tentu menarik untuk dicuba.

Tentu banyak lagi perkara yang menarik mengenai bawang putih ini selain sebagai salah satu bahan dalam perasa makanan. Masyarakat kita sedari dulu menggunakan bawang putih hampir setiap hari untuk kegunaan terutamanya memasak. Bawang putih dikatakan berkesan digunakan untuk merawat gangguan makhlus halus. Mungkin hari ini ianya semakin dilupakan - tetapi masih boleh dilihat di kaca tv adakalanya ia digunakan untuk mengelakkan gangguan vampire.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Enhanced by Zemanta

Jumaat, 1 November 2013

Penemuan Hebat Penicillin Oleh Alexander Fleming.

Alexander Fleming sedang memerhatikan bakteria yang dibiakkan.
Hari ini saya ingin bercerita sedikit berkenaan dengan sejarah penemuan penicillin. Mungkin ramai di antara kita masih mengingati nama saintis yang menemui penawar pertama yang telah membantu merawat berjuta manusia di serata dunia iaitu Alexander Fleming. Mari kita lihat bagaimana penemuan ini berlaku, kerana ianya mungkin dapat membantu kita menyedari bahawa adakalanya penemuan sesuatu yang menarik adalah secara tidak sengaja.


Pada sekitar tahun 1928, Alexander Flamming, 48 berkelahiran Scotland diberikan tugasan sebagai ketua biokimia di Haspital St. Mary di London dan diberikan sebuah ruangan khas yang juga menjadi sebagai makmal ujikajinya bersebelahan dengan bilik dandang.

Sebagai kakitangan pengkaji bakteria beliau membiakkan bakteria di dalam piring petri untuk tujuan ujikaji pihak hospital. Menggunakan miskroskop jumlah bakteria (sampel daripada pesakit) yang dibiakkan dapat membantu untuk mengenalpasti jangkitan dan kuman yang menyebabkan punca penyakit serta mencari kaedah sesuai untuk melawan penyakit tersebut. Kesemua piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya yang terdiri daripada staphylococci, streptococci dan pneumococci disusun dan di label dengan teliti disepanjang para di dalam makmal Fleming.

Kulapuk merupakan musuh utama kepada makmal Flemming. Manakala suasana di dalam makmal Flemming pula sentiasa berada dalam keadaan pengaliran udara yang tidak teratur mengikut keadaan bilik dandang yang beroperasi bersebelahannya. Pengaliran udara untuk makmal ini hanya bergantung kepada tingkap yang berhadapan dengan parking/taman hospital tersebut. Ini memberi peluang kepada angin tengahari membawa masuk daun-daun, habuk dan bermacam jenis kulapuk yang sedia di dalam udara. Adalah sukar untuk mengawal kehadiran kulapuk ini dari menjejaskan tumbesaran bakteria yang cuba dibiakkan.

Pada 28 September, 1928, Flemming kelihatan agak kecewa bila mendapati piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya stapylococci telah dimusnahkan oleh kulapuk hijau yang kelihatan ganjil. Kelapuk tersebut telah menguasai hampir separuh daripada piring petri tersebut dan pastinya telah menghinggapi piring tersebut malam sebelumnya.

Dalam kekecewaan tersebut dia tiba-tiba tersentak bila menyedari di mana pada bahagian kulapuk ini hidup bakteria staphylococci didapati hilang (mati). Begitu juga bakteria yang berada hampir seinci daripada kulapuk ini didapati tiada lagi atau tidak sihat.

Penicillium Notatum yang dibiakkan

"Kulapuk apakah yang dapat memusnahkan bakteria yang begitu aktif, ganas dan boleh membawa maut kepada dunia? Tiada bahan yang diketahui (pada masa itu) yang boleh mengancam staphylococci dengan berjaya". Bisik hati beliau.

Fleming mengambil masa dua minggu untuk mengasing dan membiakkan cukup kulapuk hijau untuk tujuan mengenalpasti kulapuk tersebut: Penicillium notatum. Sebulan berikutnya beliau mendapati kulapuk ini menghasilkan bahan yang mampu membunuh bakteria dan memanggil bahan tercebut sebagai "penicillin".

Melalui eksperimen yang dijalankan beliau mendapati penicillin mampu menghapuskan bakteria pembunuh manusia dengan mudah antaranya - staphylococci, streptococci, pneumococci juga yang lebih hebat seperti diphtheria.

6 bulan berikutnya beliau menguji penggunaan penicillin ke atas arnab untuk memastikan ia selamat digunakan ke atas manusia. Lewat pada 1929 beliau mengisytiharkan penemuan kulapuk ajaib tersebut yang diterbangkan masuk melalui tingkap makmalnya.

Itu berkaitan dengan penemuan sahaja. Tetapi penghasilan penicillin seterusnya melalui beberapa peringkat yang lain termasuk penghasilnya secara besar-besaran. Beruntunglah kerana hari ini dunia perubatan modern mampu menghasilkan lebih banyak ubatan dan antibiotik yang mampu menangani masalah yang berpunca daripada bakteria. Manakala kaedah yang lain digunakan untuk menangani masalah yang berpunca daripada virus seperti pemvaksinan.

Apa yang penting di sini adalah titik permulaan penemuan jalan penyelesian bagi sesuatu masalah yang kemudiaannya mencetuskan lebih banyak penemuan-penemuan baru. Ia merupakan satu langkah yang merubah segalanya.


Free Download



Selasa, 29 Oktober 2013

Malu-malu Si Pokok Semalu

Semalu dengan bunga dan daun.

Bagi kita yang tinggal di kampung tentu tak asing lagi dengan pokok semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun pemalu, pokok semalu berduri dan bukan mudah untuk kita sebarangan merosakkan pokok yang istimewa ini.

Pokok semalu mudah tumbuh di halaman rumah. Bagi yang biasa berkebun atau membersihkan halaman tentu seringkali berhadapan dengan tumbuhan istimewa ini - oh, bagi saya ianya istimewa kerana tidak banyak pokok yang mempunyai tindakbalas seperti pohon semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun secara umumnya pokok semalu tetap dianggap sebagai rumpai yang merosakkan sebahagian daripada halaman rumah yang ditanam rumput.

Pokok semalu boleh mudah hidup subur di mana-mana sahaja kerana pada akar pokok ini terdapat bakteria yang mampu menukarkan nitrogen di dalam udara kepada sebatian yang boleh digunakan oleh tumbuhan. Ini membantu pokok semalu tetap subur walaupun pokok disekitarnya kekurangan baja. Hubungan antara bakteria dan pokok ini bukan hanya terdapat pada pokok semalu sahaja malah terdapat pada tumbuhan kekacang yang lain. Ya, anda boleh mencabut pokok ini untuk melihat sendiri terdapat butiran pada akarnya.

Pokok semalu hidup di merata tempat di serata dunia dari Amerika Selatan ke Amerika Tengah, Tanzania ke Selatan Asia dan Asia Tenggara serta Kepulauan Pasifik. Ia juga turut tumbuh di Australia, di Nigeria, Seychelles, Mauritius dan Timur Asia. Di Amerika pula pokok semalu tumbuh di sekitar Florida, Hawaii, Virginia, Maryland, Puerto Rico, Texas dan Virgin Island. Jadi tidak hairanlah kenapa pokok semalu ini begitu terkenal.

Khasiat Semalu

Pokok semalu dengan daun yang unik dan batang yang dipenuhi duri.

Bunga semalu dari dekat.

Daun semalu menguncup apabila disentuh.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk mengenal dan menggunakan sebaik mungkin apa sahaja yang terdapat disekeliling kita. Maka dengan itu tentu terdapat beberapa khasiat dari pohon semalu untuk digunakan dalam kehidupan seharian antaranya:

1) Untuk kegunaan wanita bagi membantu mengecut, menguat dan membersihkan alat sulit kaum wanita terutama selepas bersalin ataupun haid.

Bagi tujuan ini beberapa batang pokok semalu digunakan bersama akarnya sekali (pastinya pokok yang tidak terlalu besar) dan dibersihkan. Kemudian ianya direbus di dalam periuk bersama dengan buah manjakani, garam kasar dan asam keping. Rebus sehingga ramuan sebati dan tunggu sehingga air agak suam sebelum digunakan untuk tujuan mandi.

2) Pokok semalu juga amat sesuai untuk merawat masalah kegatalan akibat 'makan air' atau Athlete's foot - keadaan di mana kaki merasa gatal dan berair.

Caranya adalah sama iaitu dengan menggunakan keseluruhan pokok semalu yang direbus sehingga mendidih dan di biarkan suam. Kaki direndamkan ke dalam air tadi bagi membersihkan bahagian yang mengalami masalah. Kaedah ini dikatakan dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit disamping membantu masalah seperti di atas juga masalah cekam pada kuku tangan dan kaki.

Pokok semalu di dalam journal botani.

3) Pokok semalu juga dikatakan dapat membantu merawat masalah batu karang.

Menurut dua orang pengkaji tempatan iaitu Mostafa Ali dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dan Zakaria M.A. dari Jabatan Kimia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Mengabang Telipot, Terengganu - mereka mendapati ekstrak pokok semalu mengandungi dua bahan kimia utama yang mampu bertindak sebagai bahan perencat dan pemecah batu karang terutama kandungan kalsium oksalatnya. Ini kerana batu karang dalam pundi kencing manusia terdiri daripada 70 peratus garam organik tidak mudah larut, kebanyakannya kalsium oksalat.

4) Bagi merawat luka pula keseluruhan pokok digunakan dengan cara melumatkan pokok tersebut dan digunakan untuk menampal bahagian yang luka.

5) Air rebusan pokok semalu juga turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang gelisah dan tidak tenteram fikiran (mungkin juga hyper-active) dengan menggunakannya untuk mandi. Selain itu ia boleh diminum untuk merawat masalah insomnia dan kepenatan mental.


Wah hebat juga pokok semalu! Mungkin bagi kita yang tidak mengenali pokok ini tidak menjangka begitu banyak sekali manfaat pokok ini kepada masyarakat kita. Tapi saya akan berfikir dulu samada akan membuka ladang pokok semalu - kerana pokok ini dipenuhi duri. Apapun tahniah bagi mereka yang pernah menggunakan pokok ini untuk tujuan perubatan kerana anda telah menggunakan pokok ini untuk tujuan yang sepatutnya.




Free Download



Arkib Blog