Khamis, 24 Oktober 2013

Makanan Tradisi Malaysia, Ulam - Kacang Kelisa, Kacang Botol.


Seperti yang kita sedia maklum ulam-ulaman amat penting kepada masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Bagaimanapun ulam-ulama ini mungkin kalau dibandingkan dengan masyarakat lain mungkin ianya seperti salad yang bersifat segar/mentah dan sebagai pembuka selera (appetizer). Hari ini kita akan melihat tentang ulaman kacang kelisa/ kacang botol.

Kacang kelisa mudah ditanam di sekitar rumah kerana penjagaannya yang tidak rumit. Kacang botol biasanya ditanam di tepi pagar dan melilit pada pagar. Penjagaannya yang mudah membolehkan kacang kelisa tumbuh subur dan kenghasilkan buah dengan banyak sepanjang musim. Adakalanya kacang kelisa ini tumbuh dan melilit pada pokok yang lain sekiranya tidak disediakan junjung yang khas. Pokok kacang kelisa juga boleh bertahan lama dan terus menghasilkan buah yang banyak.

Penanamnya juga amat mudah iaitu melalui benih yang diperolehi dari kacang tua yang akan bertukar menjadi hitam. Biji di dalamnya boleh disimpan sehingga sedia untuk ditanam. Anda boleh menanam beberapa biji, benih kacang kelisa dalam satu lubang cetek untuk memudahkan benih bercambah. Siram benih pagi dan petang dan bajai mengikut keperluan apabila ia mula tumbuh.

Ulaman kacang kelisa biasanya dinikmati secara mentah atau dicelur. Kacang kelisa yang muda amat enak dinikmati samada begitu sahaja atau dengan gandingan sambal belacan mahupun sambal-sambal yang lain. Ada juga yang mencelur terlebih dahulu kacang kelisa sebelum dinikmati dengan nasi disamping lauk-pauk yang lain. Selain itu kacang kelisa turut disediakan sebagai hidangan atau dicampur ke dalam masakan lain seperti ikan dan ayam.

Selain kacang kelisa, kacang panjang juga boleh dijadikan ulam sama seperti kacang kelisa. Berbanding kacang panjang, kacang kelisa lebih mudah untuk ditanam dan penjagaannya juga lebih mudah. Bagi yang meminati ulam-ulaman ini, bolehlah mencuba untuk menanam kacang kelisa di pinggir rumah anda nanti.


Free Download



Khamis, 10 Oktober 2013

Makanan Tradisi Malaysia, Ulam - Kerdas

Pokok kerdas hidup di pinggir-pinggir hutan, buahnya menjadi kegemaran penggemar ulam.

Ulam-ulaman sangat terkenal sebagai makanan pelengkap bagi masyarakat Melayu di Negara kita. Bagi masyarakat Felda Bukit Rokan pula yang memang rata-ratanya di kelilingi oleh kawasan hutan ulam-ulaman yang terdiri daripada buah-buahan hutan juga amat mudah didapati suatu masa dahulu. Mungkin hari ini buah-buahan hutan ini masih terdapat di kawasan sekitar tetapi tidak ramai yang mengenali pokoknya apatah lagi yang mampu membawa hasil hutan ini keluar dari kawasan hutan.

Kerdas walaupun tidak sepopular petai dan jering, namun masih menjadi antara ulam yang sering menjadi kegilaan peminat ulaman. Kerdas yang mempunyai rupa bentuk buah yang unik dan bau yang tidak kurang hebatnya adakalanya dijual di pasar-pasar malam dengan hara yang kian mahal. Terdapat beberapa biji kerdas di dalam sebuah, buah kerdas. Selaput biji ini bewarna kuning dan bertukar menjadi gelap apabila buah semakin matang.


Biji buah kerdas apabila dikeluarkan dari buahnya.

Kebiasaannya buah kerdas hanya dimakan sebagai ulam berbanding petai dan jering yang turut dijadikan sebagai bahan masakan seperti sambal petai dan gulai jering. Namun masih terdapat permintaan untuk kerdas menjadikan ianya masih diburu oleh peminat-peminatnya.

Pokok kerdas tidak setinggi pokok petai yang mempunyai buah hanya di bahagian pucuknya sahaja. Secara tidak langsung buah kerdas lebih mudah untuk diambil berbanding buah-buahan hutan yang lain. Apa yang menjadi punca buah ini sukar didapati di pasaran adalah kerana tidak ramai yang mengenali pokoknya.


Semoga buah kerdas akan mendapat perhatian semula di kalangan masyarakat dan dikenali sebagai sebahagian warisan masyarakat Melayu. Mungkin kerdas mempunyai khasiat sendiri yang dapat menjadikan popularitinya meningkat semula. 




Free Download




Makanan Tradisi Malaysia, Melaka – Cencaluk, Belacan

Udang geragau sebagai bahan utama penghasilan cencaluk dan belacan
Malaysia dipenuhi dengan makanan tradisi yang mempunyai pengaruh penting dalam masyarakat. Antara makanan tradisi yang terpenting bagi masyarakat Negeri Melaka contohnya seperti cencaluk dan belacan yang telah menjadi sebahagian daripada makanan budaya Rakyat Malaysia.

Walaupun cencaluk dan belacan popular di negeri Melaka, namun hari ini kesan penghijrahan dan kemajuan ekonomi kedua-dua makanan unik ini mudah didapati di serata tanahair. Ianya sering dijadikan sebagai hidangan tambahan di kedai-kedai makan terutamanya yang menyediakan makanan tengahari dan makanan tradisional. Walaubagaimanapun pengeluaran cencaluk dan belacan bukan sahaja tertumpu di negeri Melaka malah juga turut dihasilkan di negeri-negeri lain seperti di Kuala Kedah, Kota Tinggi dan mungkin di daerah-daerah lain di negara ini.

Apa yang menarik tentang cencaluk dan belacan adalah bahan asas yang digunakan iaitu daripada udang yang dikenali sebagai udang geragau. Udang geragau ini atau juga dipanggil sebagai acetes juga dari sepsis acetes japonicas merupakan sepsis yang digunakan untuk belacan dan cencaluk – sudah tentu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat. Malah makan seumpama belacan yang menggunakan udang geragau ini turut popular di negara-negara lain sekitar Asia.

Cencaluk

Cencaluk kini boleh didapati dari pasaraya.

Proses pembuatan cencaluk adalah dengan mencapurkan garam, nasi dan udang geragau sebagai bahan utama. Proses mencampur dan menggaul inilah yang yang menjadikan cencaluk mempunyai kualiti yang sempurna. Manakala ada juga yang mencampurkan air didih nasi sebagai menambahkan lagi keenakan cencaluk. Seterusnya proses pemeraman cencaluk untuk memastikan cencaluk yang dihasilkan mempunyai kualiti dan mutu kebersihan yang sempurna – kerana cencaluk perlu diperam selama 3 hari sebelum boleh dimakan.

Cencaluk dinikmati dengan pelbagai cara dan kreativiti masing-masing. Walaupun ia biasanya disediakan bersama cili, hirisan bawang dan perahan asam limau. Terdapat juga variasi-variasi hidangan lain yang menggunakan asam jawa atau dicampur bersama nasi. Bagi penggemar cencaluk, mereka pasti tahu kaedah yang lebih sedap untuk menikmati makanan kegemaran mereka ini.

Belacan

Belacan biasanya dijual dalam bentuk kepingan .

Sambal belacan, walaupun ringakas, amat menyelerakan.

Satu lagi makanan popular yang menggunakan udang geragau sebagai bahan utamanya adalah belacan. Menggunakan bahan yang sama tetapi proses yang berbeza maka terhasillah belacan. Ianya merupakan satu lagi kaedah kreatif bagaimana masyarakat menggunakan udang geragau bagi memastikan sumber ini digunakan sepenuhnya.

Proses bermula dengan proses penggaulan udang dengan garam dengan jumlah 5% ~ 10% daripada berat udang tersebut. Mungkin ini merupakan rahsia utama perbezaan mutu dan rasa belacan antara pengeluar. Setelah itu proses pengeringan pertama akan dilakukan. Apabila separuh kering, ianya akan ditumbuk untuk menghaluskan campuran udang dan garam tadi. Kemudian ianya dijemur semula untuk pengeriangan seterusnya.

Proses ini diulang sehingga udang tadi mencapai kehalusan yang sesuai (kelembapan yang sesuai juga). Campuran yang telah halus tadi akan menjalani proses pemadatan di mana ia akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditekan untuk memadatkannya. Proses terakhir adalah belacan akan melalui proses pemeraman selama 3 hingga 8 minggu sebelum dipasarkan. Kemudian barulah ianya dibentuk sesuai untuk pemasaran.

Dari segi variasi terdapat belacan hitam dan belacan merah. Ini kerana belacan hitam adalah canpuran bahan udang geragau dan juga ikan manakala belacan merah adalah menggunakan udang geragau sepenuhnya. Mungkin akan datang terdapat lebih variasi dalam penghasilan belacan. Mungkin boleh terjadi!

Belacan digunakan dengan pelbagai cara, ini kerana selain dijadikan sambal seperti juga cencaluk ia turut boleh terus dicampur kedalam masakan seperti sayur goreng dan masakan lain. Jika sekali pandang ia tidak jauh berbeza seperti penggunaan perasa tambahan seperti perencah zaman moden hari ini. Jadi bergantung kepada tukang masak dalam mempopularkan makanan tradisi ini untuk mempelbagaikan lagi resepi masakan yang menggunakan belacan sebagai bahan perasa.


Begitulah antara dua bahan makanan tradisional yang popular yang dikatakan berasal dari negeri Melaka - walaupun kita boleh dapati makanan seumpama belacan ini turut disediakan di kawasan sekitar negara-negara berhampiran. Sebagai satu bahan makanan tradisi, di harap penggemar dan pengusaha bahan makanan ini akan terus memastikan ianya tetap terdapat di pasaran negara dan juga antarabangsa.



Free Download




Sabtu, 28 September 2013

Kaedah Pembelajaran Yang Sesuai Mempercepatkan Kefahaman Penakulan

Setiap kali menjelang peperiksaan tentulah para pelajar semakin sibuk dengan menelaah buku-buku rujukan dari pelbagai jenis dan jenama. Tidak kurang juga dengan kelas-kelas tambahan dan tuisyen yang dihadiri oleh pelajar-pelajar tersebut. Ketegangan ini bukan sahaja dialami oleh pelajar tersebut malah guru-guru dan ibubapa pelajar.

Di negara kita terdapat tiga peperiksaan utama yang menjadi fokus utama setiap tahun iaitu UPSR, PMR dan SPM. Walaupun terdapat banyak lagi peperiksaan di peringkat tinggi, namun ketiga-tiga peperiksaan ini merupakan peperiksaan asas bagi semua pelajar di seluruh negara. Tidak hairanlah mengapa ianya menjadi tumpuan bagi seluruh rakyat dengan melakukan pelbagai usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut. Apakah usaha yang dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut memberi kesan yang berkesan?

Teknik Pembelajaran


Dalam menguasai sesuatu subjek, teknik pembelajaran merupakan faktor utama yang membantu samada ianya dapat difahami atau sebaliknya. Teknik pembelajaran juga perlu bersesuaian dengan mata pelajaran dan pelajar yang mempelajarinya. Namun begitu terdapat beberapa teknik yang masih boleh membantu dalam memberikan kefahaman dan mempercepatkan proses pembelajaran. Mari kita lihat beberapa kaedah yang boleh digunakan.

Peta Minda

Peta minda yang menarik, menambah minat pelajar
untuk membuat ulangkaji - meningkatkan daya ingatan.

Peta minda merupakan kaedah yang paling selalu digunakan dalam membantu mengingati isi kandungan pelajaran. Peta minda membantu meringkaskan isi kandungan yang panjang dan membantu pelajar mengingati secara gambaran. Kaedah ini merupakan antara kaedah yang paling berkesan bagi kebanyakan pelajaran topik yang panjang.

Kemahiran membuat peta minda perlu dilatih bagi memastikan keberkesanan kaedah ini. Peta minda perlu disediakan sendiri oleh pelajar bagi memastikan ianya berkesan (peta minda yang disediakan oleh orang lain kurang berkesan, walaupun masih boleh membantu). Peta minda yang disediakan perlu menimbulkan impak kepada pelajar - gunakan kreativiti semasa menghasilkan peta minda bagi menambah minat semasa mengulangkaji semula peta minda tersebut.

Gambarajah

Gambarajah memudahkan proses pemahaman dengan gambar dan label

Terdapat beberapa subjek yang menggunakan gambarajah sebagai rujukan utama untuk menguasai subjek tersebut terutama seperti Sains dan Geography. Ini kerana gambarajah lebih mudah untuk menerangkan sesetengah bahagian dalam mata pelajaran tersebut. Jadi sesetengah gambarajah ini perlu dikuasai dengan mengulangkaji gambarajah-gambarajah utama di dalam topik-topik tertentu.

Kemahiran menguasai gambarajah boleh dilakukan sepenuhnya dengan melukis semula gambarajah tersebut atau menggunakan gambarajah sedia ada di dalam buku-buku latihan. Labelkan setiap bahagian yang diketahui, catatkan pula penerangan mengenai bahagian tersebut. Ini secara tidak langsung akan membantu kefahaman mengenai bahagian yang ditanda.

Jadual


Jadual adalah salah satu kaedah yang paling sesuai apabila membuat perbezaan bagi dua atau lebih perkara yang berbeza. Jadual boleh digunakan dalam pelbagai subjek yang dipelajari di sekolah. Ianya sesuai apabila membuat perbandingan dalam apa jua keadaan.

Bagi menghasilkan jadual yang berkesan apa yang penting adalah kemahiran membuat perbezaan di antara kesemua perkara yang ingin diperbandingkan antara satu sama lain. Jadual mempunyai fungsi yang hampir sama dengan gambarajah tetapi lebih menggunakan teks atau nombor.

Nota Ringkas


Nota Ringkas merupakan pelengkap kepada kesemua kaedah di atas. Walaupun kesemua kaedah di atas membantu meringkaskan kaedah mengulangkaji pelajar, nota ringkas masih diperlukan bagi menambah mana-mana ruang yang ingin diberikan perhatian.

Seperti juga peta minda, nota ringkas perlu disediakan sendiri oleh pelajar bagi memudahkan proses mengulangkaji - tumpukan pada bahagian yang diperlukan sahaja. Ini kerana biasanya setiap pelajar mempunyai bahagian kelemahan masing-masing yang berbeza. Nota ringkas tidak perlu mengandungi isi yang panjang, memadai dengan kata kunci yang boleh membantu pelajar mengingati semula tajuk yang telah dipelajari di dalam kelas.


Terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh membantu pelajar menguasai kemahiran sesuatu mata pelajaran mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri. Apa yang dibincangkan di sini adalah beberapa kaedah utama yang umum dan sesuai digunakan oleh kebanyakan pelajar. Terdapat juga beberapa faktor lain yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan pelajar dapat menguasai pelajaran dengan berkesan yang mungkin akan diperbincangkan dalam artikel yang lain.


*Untuk lebih kaedah dan maklumat tentang pelajaran sertai page: Math&Brain 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.




Jumaat, 20 September 2013

Ayam Telur, Ayam Pencen dan Telur Tiruan

Ayam-ayam telur di dalam reban.

Macam mana tajuk ni boleh muncul pulak kan? Kalau ayam telur tu baisalah. Memandangkan harga ayam yang semakin melambung-lambung hari ini, ayam telur atau juga dikenali dengan gelaran ‘ayam pencen’ merupakan pilihan yang baik. Satu lagi ayam telur juga tidak mudah rosak apabila dimasak seperti ayam daging yang dagingnya agak lembik. Tetapi macam mana pulak dengan telur tiruan?


Ayam Telur/Ayam Pencen


Beginilah keadaan ayam telur semasa dalam kurungan yang padat dan stress.
Ayam telur merupakan spesis ayam yang mempunyai tugas khas iaitu bertelur. Ayam pencen pula adalah gelaran yang diberikan kepada ayam telur yang tidak lagi mampu menghasilkan telur pada jumlah yang tinggi. Ini menjadikan kos penjagaan ayam tersebut lebih tinggi berbanding pengeluaran (telur) jadi ayam ini pun terpaksa dilucutkan tugas. Memandangkan usia ayam ini yang agak tua dan pelepasan jawatan sebagai penelur, jadi mereka diberikan gelaran ayam pencen.

Memandangkan usia ayam ini agak lanjut (walaupun tak selanjut umur manusia) sebab itulah dagingnya agak keras. Namun begitu ayam ini amat sesuai dijadikan hidangan terutama rendang – yang memerlukan proses memasak yang agak lama. Ayam daging tidak sesuai untuk resipi ini kerana dagingnya mungkin akan terpisah dan tercerai daripada tulang. Namun begitu petua melembutkan daging ayam pencen dapat membantu untuk melembutkan lagi daging ayam pencen.
Cara melembutkan daging ayam pencen:
1) Gunakan daun jambu batu rebus
2) Campurkan tempe ke dalam masakan
3) Masukkan daun pandan ke dalam masakan
*petua didapati dari sumber yang tidak rasmi – cuba dulu mana yang dirasakan sesuai, kalau masak kari gunalah tempe, kalau masak rendang gunalah daun jambu batu rebus.
Harga ayam pencen juga adalah jauh lebih murah berbanding ayam daging kerana ianya dikira sebagai – ‘tanggungan’ kepada pengusaha telur ayam. Untuk mengelakkan kerugian maka ia perlu dijual atau dilupuskan (ha, sebab tu jual murah). Apa pun bagi suri rumah yang suka memasak tentu tahu resepi mana yang sesuai untuk menggunakan ayam daging atau ayam pencen kan?

Telur Tiruan

Perbezaan antara telur ayam tiruan dan tulen.

Yang ini lain pulak kes nya. Kalau tadi ayam telur perlu berkhidmat untuk mengeluarkan telur ayam. Kes telur tiruan ini mungkin mengakibatkan ayam-ayam tersebut terus kehilangan pekerjaan. Apa yang membimbangkan telur tiruan adalah dihasilkan secara tidak sah – maka ia belum tentu selamat untuk dimakan. Selain itu telur tiruan juga turut dijual dengan harga yang tinggi – dah la tak selamat, harganya mahal pulak.
Telur tiruan dapat dikenal pasti dengan beberapa perbezaan ketara. Pertama kulitnya adalah jauh licin berbanding kulit telur biasa. Ha!.. Jangan tertipu kalau kulit ayam yang tulus mulus tu disangka original ya. Kedua, kuning telurnya lebih lembut dan mudah pecah. Ianya mungkin akan pecah sebaik sahaja dikeluarkan dari cengkerang. Warna kuning telur juga agak terang bebanding dari kuning telur biasa. Ketiga, apabila digoncang terdapat bunyi yang lebih kuat berbanding telur biasa kerana kandungan air (cecair yang kurang likat) yang lebih.
Kulit telur tiruan diperbuat daripada campuran kalsium klorida, kalsium karbonat dan lilin paraffin. Manakala kuning telur pula diperbuat daripada bahan kimia dan protein gantian dengan campuran Natrium alginate, Alum, Gelatin, Asid Benzoik, Kalsium klorida dan pewarna tiruan.
Kandungan asid benzoik dan alum dalam telur tiruan boleh menyebabkan kerosakan sel saraf, sel otak dan kerosakan hati yang teruk jika pengambilan berterusan dilakukan. Jadi perlulah berhati-hati dengan telur tiruan ini.
Telur-telur yang siap disusun ke dalam bekas.

Ayam telur memang sesuai digunakan untuk masakan rendang.


Di Malaysia, kes telur tiruan yang dilaporkan berlaku pada April 2011 di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. Laporan tersebut adalah berikutan aduan daripada seorang suri rumah yang mendapati telur itu agak mencurigakan ketika cuba memasaknya setelah membelinya dari Pasar Pulau Tikus. Kes tersebut juga turut mendapat liputan daripada media-media tanahair. Telur tiruan tersebut dikatakan berasal dari China.
Jadi begitulah serba sedikit mengenai ayam pencen dan telur tiruan. Mungkin kita tidak menyangka yang telur pun akan dipalsukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Bagi kita sebagai pengguna hendaklah lebih prihatin tentang perkara-perkara sebegini. Ya, tentang faedah menggunakan ayam pencen yang jauh lebih murah berbanding ayam daging dan juga kes telur tiruan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan anda sekeluarga.


Free Download




Pokok Membawa Tuah Untuk Rumah dan Pejabat

Pokok bertuah biasa didapati di rumah-rumah dan ruangan pejabat terutamanya bagi kaum Cina. Terdapat pelbagai jenis pokok yang tergolong dalam kumpulan ini namun di sini hanya beberapa di antaranya sahaja yang akan diketengahkan. Mari kita sama-sama lihat pokok-pokok yang unik ini. Sama ada pokok-pokok ini bertuah ataupun tidak, itu terpulang kepada anda sendiri untuk menilai, apa pun pokok-pokok ini semuanya istimewa.


Buluh Tuah – Lucky Bamboo

Pokok Lucky Bamboo mudah dibentuk.

Buluh Tuah (Lucky bamboo) biasa dilihat dengan pelbagai bentuk. Sifatnya yang mudah untuk dibentuk menjadikan ianya menarik untuk dibiak di dalam bekas hiasan yang menarik. Adakalanya ianya dianyam untuk menghasilkan bentuk yang lebih menarik.

Buluh Tuah ini boleh dibiak dengan mudah di dalam bekas kaca atau tembikar. Masukkan batu-batu sungai (batu hiasan) untuk menyokong batang buluh tadi. Isikan air yang berklorin rendah (boleh gunakan air tapisan RO) dan hiaskan bekas tadi dengan ikatan tali atau reben merah (ikut suka anda lah). Jangan lupa masukkan sedikit baja – baja cecair adalah pilihan terbaik. Tempatkan buluh di tempat yang redup seperti di meja hiasan tepi, kaunter penyambut tetamu ataupun meja menunggu.

Jade Plant (Crassula ovate)



Pokok Jade mempunyai daun yang menyerupai batu jade.

Pokok Jade juga dikenali sebagai pokok duit Asia dan cukup dikenali di banyak negara sekitar Asia. Ditanam dalam bentuk bonsai menjadikan pokok ini merendang dalam keadaan yang sederhana dan menyerlahkan lagi daunya yang seakan-akan dari batuan jade yang menawan.


Bagi menambahkan tuah pokok ini perlu diletakkan di sudut Barat Daya sesebuah rumah, restoran ataupun ruangan pejabat bagi menguatkan lagi daya tarikan pokok ini (untuk tuah). Pokok Jade boleh ditanam di dalam atau di luar rumah – pastikan pokok terdedah kepada cahaya matahari. Patikan tanahnya sentiasa lembab dan elakkan daunya daripada dilitupi debu. Tambahkan kelikir di atas permukaan tanah pasu pokok bagi menggalakkan pengaliran air.


Pokok Duit (Pachira aquatica)



Pokok ini unik kerana mempunyai daun 5-setangkai yang dikatakan berhubung rapat dengan 5 unsur utama iaitu tanah, api, air, angin dan logam. Kebanyakannya ditanam dalam bentuk bonsai, adakalanya batangnya turut dianyam untuk menambahkan keunikan dalam penanamannya. Ianya boleh mencapai saiz yang agak besar sekiranya perlu.

Ianya merupakan tumbuhan kawasan paya yang memerlukan tanahnya sentiasa lembab. Manakala dari segi pencahayaan pula ia memerlukan sedikit cahaya dan sedikit redup. Jadi sekiranya ianya diletakkan di dalam rumah, pastikan ianya berhampiran sumber cahaya (tingkap).

Peace Lily



Bunga Lily yang putih ini dikatakan amat menyerupai bunga anthurium, manakala ia juga amat berguna untuk ruangan dalaman rumah sebagai pembersih udara daripada kandungan toksid dan juga dikenali sebagai symbol nasib baik dan harmoni. Pokok ini amat mudah dari segi penjagaan dengan meletakkan kepada tempat yang mendapat cahaya secara tidak langsung. Bunga lily ini juga mampu bertahan untuk jangka masa yang agak lama.


Pokok Limau



Pokok limau dianggap sebagai symbol kesihatan, umur panjang, kekayaan dan keharmonian bersama-sama dengan pokok Buluh Tuah dan Pokok Duit. Semasa Hari Raya Cina pokok ini akan dihias untuk mengundang nasib baik, kekayaan dan kesihatan kepada keluarga serta perniagaan sepanjang tahun. Pokok limau ini akan dibentuk menjadi bonsai dan diletakkan disepanjang jalan masuk sebagai mengundang kepada nasib baik serta pengaliran wang yang baik.



Free Download



Jumaat, 13 September 2013

Aktifkan Otak Anda Dengan Latihan Mudah Math&Brain

Mungkin tidak ramai yang mengenali Math&Brain sebuah buku yang dilengkapi dengan latihan mudah 10 minit selama 30 hari yang dapat membantu anda untuk berfikir dengan kedua-dua belah otak (otak kanan dan otak kiri).


Buku Math&Brain hanya boleh dibeli melalui
pembelian secara online.
Sememangnya faedah pemikiran dengan kedua-dua belah otak telah lama diperkatakan dalam teknik pembelajaran mahupun pemikiran kreatif. Ini kerana ciri-ciri unik pemikiran pada otak kanan dan otak kiri adalah berbeza. Oleh sebab itu gabungan kedua-dua ciri-ciri unik tersebut amat penting dalam kita mengharungi kehidupan seharian.

Terdapat pelbagai kaedah untuk mengaktifkan pemikiran otak kiri dan otak kanan. Malah hampir setiap aktiviti yang memerlukan pemikiran kognitif biasanya memerlukan penglibatan kedua-dua otak kiri dan otak kanan saling bekerja. Ini termasuk aktiviti seperti bersukan, beriadah, melukis, bermain muzik dan sebagainya. Setiap aktiviti yang melibatkan pencapaian maklumat, penyelesaian masalah dan membuat keputusan merupakan proses aktif yang berlaku di dalam otak semasa melakukan kesemua proses tersebut di atas.

Maka dengan itu Math&Brain menyediakan satu kaedah mudah bagi memudahkan proses pemikiran otak kiri dan otak kanan ini secara lebih tersusun. Penyusunan ini adalah bagi memastikan teknik pemikiran otak kiri dan otak kanan dapat dilatih secara berperingkat-peringkat. Malah latihan hanya memerlukan masa selama 10 minit (anggaran kasar), iaitu masa anggaran otak dapat menumpukan perhatian sebelum hilang fokus dalam sesuatu perkara. Ini dapat memastikan latihan ini dapat mencapai hasil yang lebih optimum.

Latihan Math&Brain mengambil masa selama 30 hari untuk dilengkapkan – bertujuan memastikan otak terus berkembang setiap hari. Melalui latihan yang berterusan ini, maka corak pemikiran kedua belah otak akan terus dipraktikkan di dalam penyelesaian semua masalah dalam kehidupan seharian. Beginilah caranya Math&Brain memastikan anda dapat menggunakan kedua-dua belah otak dalam menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian – pelajaran mahupun bidang kerjaya.

Math&Brain menggunakan operasi mudah matematik bagi memastikan semua golongan usia dapat melakukan latihan ini dengan mudah. Ianya lebih sesuai digunakan kerana matematik lebih konkrit berbanding aktiviti yang menggunakan kaedah kesenian ataupun bahasa.

Kurus Math&Brain Untuk Pelajar


Setakat ini buku Math&Brain hanya dapat dibeli melalui pembelian secara online di amazon.com di serata dunia. Oleh kerana Math&Brain diterbitkan di US harga yang perlu dibayar untuk sebuah buku mungkin agak tinggi bagi sesetengah golongan. Oleh itu ianya telah dijadikan sebagai kursus yang boleh dinikmati oleh semua pelajar (di Malaysia).

Namun begitu kursus tersebut perlulah dijalankan melalui pihak sekolah bagi menjimatkan kos. Kursus tersebut sangat mudah dan ia akan diikuti dengan latihan selama 30 hari yang akan dilakukan oleh pelajar. Melalui kaedah ini kebaikan Math&Brain dapat dimanfaatkan bersama untuk semua pelajar yang mungkin tidak dapat memiliki sendiri buku Math&Brain.

Setakat ini kursus tersebut telah dijalankan di beberapa buah sekolah dan ternyata memberikan hasil yang positif. Malah Math&Brain terhasil dari kaedah tersebut yang dijalankan di dalam kelas – sebelum ianya disusun dengan lebih lengkap dan dibukukan.

Adalah lebih baik sekiranya ia terdapat di pasaran tempatan dan dipasarkan di kedai-kedai buku utama di serata tanahair. Walaubagaimanapun kita masih boleh mendapat faedah dari kursus Math&Brain tersebut atau berbelanjalah sedikit untuk mendapatkan faedah yang dapat membantu kita memajukan diri dalam bidang pelajaran mahupun kerjaya.

Math&Brain boleh didapati melalui amazon.com

Untuk pertanyaan boleh menghubungi Page Math&Brain di Facebook


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Arkib Blog