Penggunaan herba dalam masakan merupakan antara faktor utama menjadikan
makanan menyelerakan. Sehubungan itu, penanaman herba di dalam rumah (di ruang
dapur terutamanya) merupakan satu perkara yang bukan dikira asing lagi.
Tambahan pula herba-herba ini dapat menyegarkan lagi ruangan dapur di samping
sebagai sebahagian daripada hiasan ruangan dapur anda.
Herba-herba yang dipilih untuk tanaman dalaman adalah herba yang bersaiz
kecil, memerlukan jumlah cahaya yang sederhana, dan penjagaan yang minimum. Namun
begitu, ini tidak bermaksud ia tidak memerlukan penjagaan langsung.
Kebiasaannya, pokok herba mengalami renjatan apabila dipindahkan dari satu
tempat ke tempat yang lain; jadi pastikan perubahan ini tidak terlalu drastik
sewaktu anda mengalihkannya daripada tempat pembelian (nursery) dan apabila
dibawa pulang ke rumah.
Adapun antara herba-herba yang sesuai untuk ditanam di dalam rumah adalah
antaranya seperti berikut;
Pegaga - Pegaga (Centella asiatica) sesuai dijadikan ulam, selain boleh dimasak
sebagai bahan campuran. Pegaga yang sihat mempunyai daun yang hijau dan ini
menambahkan lagi seri di ruang dapur.
Daun Saderi - Daun saderi (Apium graveolens) mudah hidup apabila direndamkan di dalam air.
Namun untuk membesar, ia perlu dialihkan ke dalam bekas yang mempunyai tanah
dengan pembajaan yang cukup. Saderi dapat membangkitkan bauan makanan seperti
sup dan ia sesuai juga dimakan mentah.
Pudina - Pudina (Mentha × piperita) memberikan rasa yang menyegarkan. Walaupun
jarang digunakan dalam masakan Melayu, ia masih mudah diterima kerana pudina
digunakan dalam banyak barangan seharian seperti; ubat gigi, ice-cream, gula-gula
getah dan biskut. Malah anda boleh mencampurkan pudina ke dalam teh anda untuk
merasai kesegaran teh pudina.
Kucai - Kucai (Allium tuberosum) tumbuhan bebawang namun bukanlah bawang. Bahagian
yang biasa digunakan pada tumbuhan ini adalah daunnya. Kucai menaikkan aroma
makanan dan sesuai untuk makanan goreng ataupun berkuah. Berasal daripada
China, ia telah lama digunakan di dalam masakan banyak masyarakat di dunia.
Rosemary – Rosemary (Rosmarinus officinalis) merupakan herba yang berasal dari kawasan Mediterranean
dan banyak digunakan dalam masakan-masakan Eropah dan Barat. Namun ia merupakan
herba yang semakin diterima ramai. Ia boleh ditanam di kawasan beriklim tropika
dengan penjagaan yang baik.
Kesum – Daun Kesum (Polygonum minus) kebiasaannya tumbuh di kawasan berair seperti tali
air dan paya. Namun ia masih boleh ditanam di dalam bekas dengan penjagaan yang
baik. Penggunaan kesum amat penting di dalam masakan seperti ‘asam pedas’ dan juga ‘laksa’. Ia juga merupakan tumbuhan yang
mudah dijaga.
Kemangi – Juga dikenali sebagai selasih Thai (Ocimum basilicum) merupakan antara herba yang banyak digunakan di
dalam masakan Thai dan Vietnam. Malah terdapat dari jenis selasih (basil) ini yang biasa ditanam di US.
Selasih Thai merupakan ramuan penting dalam penyediaan masakan ‘kari merah’ dan ‘kari hijau’ Thai.
Tulasi - Tulasi juga dipanggil thulasi, atau holy basil (Ocimum
tenuiflorum) dan di dalam masakan Thai ianya dikenali sebagai Thai holy basil; merupakan tumbuhan
berbeza daripada kemangi (Ocimum
basilicum). Selain untuk masakan Tulasi juga digunakan untuk merawat
beberapa masalah kesihatan.
Thyme - Thyme (Thymus vulgaris) merupakan tumbuhan berusia pendek yang kecil. Ia
bagaimanapun mudah ditanam dengan keratan batang ataupun biji benih. Thyme
adalah herba yang mempunyai aroma yang lebih baik berbanding ‘oregano’ dan lebih manis berbanding ‘sage’.
Taragon - Taragon (Artemisia dracunculus) ditanam
untuk fungsi utamanya sebagai herba kulinari terutamanya di dalam masakan Perancis.
Taragon sesuai digunakan untuk masakan ayam, ikan dan juga telur. Malah ia juga
digunakan untuk menghasilkan ‘cuka
taragon’.
Daun Bawang – Bawang kecil dari pelbagai spesies (Allium cepa) paling mudah ditanam di
dapur malah daunnya sesuai digunakan untuk menambah perisa sebarang makanan
daripada telur goreng, nasi goreng, masakan ikan, ayam dan sebagainya. Jadi, daun
bawang ini adalah herba pertama yang anda perlu tanam memandangkan peluang
keberhasilan anda adalah 90%.
Banyak herba-herba yang mudah hidup di ruangan dapur. Bagi anda yang biasa
ke dapur tentu arif dengan herba-herba yang biasa digunakan. Apa kata, setiap
lebihan bahan tersebut direndamkan di dalam air. Sekiranya ia bercambah dan
menunjukkan perkembangan yang positif, alihkan sahaja ke dalam bekas tanaman
dengan kandungan tanah yang sesuai. Perkembangan tersebut menunjukkan ia berada
dalam suasana yang sesuai.
Antara lain menanam herba di dapur dapat memastikan anda mendapat bekalan
herba yang segar selain daripada bebas daripada penggunaan racun serangga atau
bahan kimia lain (selagi anda tidak menggunakan ke atasnya). Ia juga dapat
menjimatkan kerana anda akan mengambilnya terus mengikut sukatan yang
diperlukan. Maka tiada pembaziran untuk lebihan herba yang perlu dibuang kerana
ianya masih lagi berada pada pokoknya.
Tanaman sebegini antara lain melatih anda untuk berjinak-jinak dengan tanaman
herba yang lebih besar untuk diusahakan di sekitar rumah pula. Maka dengan itu,
bermula secara kecil-kecilan memberikan anda lebih kefahaman mengenai penjagaan
pokok-pokok herba tersebut. Mungkin satu hari nanti anda boleh menjualnya pula.