Sabtu, 23 Julai 2016

Mengenal Antara Fakta dan Dogengan Sains

Di dalam sains juga terdapat dogengan berbanding kebenaran.

Banyak fakta yang kita ketahui hari ini sebahagiannya bukanlah berdasarkan kepada pengetahuan sains yang tepat. Adapun sesetengah perkara pula telah dibuktikan tidak benar berdasarkan kajian-kajian terbaru apabila kita mempunyai kebolehan untuk melakukan kajian dengan lebih terperinci. Sains bukanlah satu perkara yang sempurna, jadi pengetahuan ini akan terus berkembang maka tidak perlu anda merasa hairan sekiranya perkara yang dikatakan hari ini menjadi kurang tepat pada masa akan datang.

Adapun di sini kita akan melihat beberapa perkara yang lebih mudah untuk kita ketahui bahawa ianya tidak benar kerana boleh dibuktikan dengan lebih mudah. Maka dengan itu, sebelum kita menerima sesuatu perkara sebagai pasti, ada baiknya kita lakukan sedikit pemeriksaan dan kiraan mengenai kesahihan perkara tersebut terlebih dahulu. Ia bukanlah satu perkara yang sukar, malah melatih anda untuk menjadi orang yang lebih peka mengenai fenomena di sekeliling anda.

Mari kita saksikan beberapa perkara tersebut;

Syiling yang dijatuhkan dari bangunan tinggi boleh membunuh seseorang

Setiap objek yang jatuh akan terus memecut sehingga mencapai halaju terminal.

Berdasarkan kepada kiraan halaju jatuh objek, perkara ini kelihatan sahih dan kelajuan syiling yang jatuh akan terus bertambah. Namun begitu, setiap objek yang jatuh mempunyai halaju terminal (terminal velocity). Perkara ini adalah disebabkan rintangan angin yang bertindak ke atas objek yang jatuh tersebut. Faktor rintangan ini turut dipengaruhi oleh berat objek, saiz dan ketumpatan. Maka berbalik kepada kes syiling yang jatuh tadi, halaju terminalnya adalah sekitar 44km/h yang akan dicapai setelah mencapai jarak jatuh 15 meter. Pada kelajuan ini, ia mungkin menyebabkan sedikit rasa sakit namun tidak mencederakan.

Tikus menyukai keju!

Adakah benar tikus menggemari keju?

Satu lagi perkara yang kita ketahui dari rancangan kartun yang ditonton di kaca TV. Walaupun ia tidak menyatakan bahawa tikus menyukai keju, namun secara tidak langsung perkara ini turut menanamkan kepercayaan tersebut sejak sekian lama. Kajian yang dilakukan di University of Birmingham mendapati tikus yang ditangkap secara liar tidak mempunyai minat kepada keju dan lebih menyukai biji-bijian serta bijirin.

Tabiat pemakanan tikus mahupun hidupan-hidupan lain banyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Tiada haiwan yang terlalu memilih melainkan memerlukan makanan untuk meneruskan hidup. Namun haiwan jarang sekali memilih makanan yang boleh memudaratkan mereka (sekiranya mereka mengesan nya melalui bau bahan tersebut).

Anda memerlukan 8 gelas air sehari

Air sepatutnya diminum mengikut keperluan.

Air merupakan keperluan penting untuk badan berfungsi dengan baik. Namun begitu keperluan jumlah air dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Apa yang pasti, jumlah air yang keluar dari badan perlu diganti (sekiranya anda melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh). Sebaliknya sekiranya cuaca sejuk dan anda kerap membuang air, anda tidak perlu pula mengambil minuman yang banyak untuk menggantikannya. Begitu juga dengan faktor saiz badan dan aktiviti yang dilakukan memberikan impak kepada keperluan pengambilan air yang diperlukan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kepentingan air adalah dari sumber yang bersih mengikut keperluan. Selagi air tidak diambil dalam jumlah berlebihan, badan akan mampu mengimbangi jumlahnya di dalam badan dengan baik. Apa yang penting sentiasa awasi keadaan badan anda dan minumlah air apabila anda merasa dahaga.

Kita hanya menggunakan 10 peratus daripada otak

Benarkah manusia hanya menggunakan 10% daripada otaknya?

Perkara ini adalah tidak benar kerana setiap bahagian otak mempunyai fungsi-fungsi tertentu dan ianya tidak boleh digantikan dengan bahagian-bahgian lain. Hanya ianya mungkin tidak diaktifkan dalam satu masa (sebaliknya secara bergilir-gilir dan mengikut keadaan dan rangsangan). Ini adalah berbeza dengan keupayaan berfikir seseorang kerana ianya perlu dipelajari dan dilatih. Jadi setiap kita mempunyai potensi otak yang sama dan apa yang berbeza adalah usaha yang dilakukan untuk memiliki tahap berfikir yang lebih baik. Jangan putus asa!

Memainkan muzik klasik kepada bayi akan menjadikan mereka lebih bijak

Walaupun mendengar muzik klasik itu baik, namun ia bukan faktor utama.

Memainkan muzik klasik kepada bayi mungkin tidak menjadi faktor utama kepada bayi yang membesar dengan lebih bijak. Namun rangsangan kepada bayi secara berterusan adalah penting dan ini tidak semestinya dengan muzik klasik sahaja. Namun, rangsangan dengan muzik klasik adalah lebih baik berbanding dengan genre muzik-muzik yang lain (rock dan heavy-metal misalnya). Apa yang menjadi faktor utama kepada pembesaran bayi yang bijak adalah pemantauan berterusan daripada ibubapa yang mengisi masa lapang mendidik bayi tersebut.


Jadi itu adalah beberapa contoh kenyataan yang sering kita dengar diperkatakan. Walaupun sesetengah perkara kelihatan amat meyakinkan, namun kebanyakannya tidak terbukti secara ilmiah (melalui kajian yang terperinci/ perbezaan kemajuan teknologi hari ini). Jadi kita tidak perlu terlalu berpegang kepada sesuatu kenyataan sebelum kita mampu menemukan kesahihannya, antara lain kita juga perlu memikirkan sesuatu di luar jangkaan (di luar kotak) dan bersedia menerima perubahan apabila terdapat kaedah pembuktian yang lebih baik. Fikir-fikirkan


Free Download



Jumaat, 22 Julai 2016

Kambing Memanjat Pokok Argan Untuk Khasiat

Kambing memanjat pokok argan untuk memakan daun dan buahnya.

Pokok argan mungkin jarang kita dengari kerana ia bukanlah pokok yang terdapat di kawasan beriklim tropika seperti di negara kita dan negara-negara jiran yang berdekatan. Ia dikatakan mempunyai khasiat yang baik untuk rambut dan kulit dan mendapat sambutan pula di neraga-negara Eropah dan semakin berkembang pula ke negara-negara yang lain. Antara keunikan lain pokok ini, ia amat digemari oleh haiwan termasuk kambing - sehingga sanggup memanjat pokok ini untuk buahnya.

Pokok argan tumbuh di kawasan kering di benua Afrika seperti Morocco dan hanya terdiri dari spesis yang dikenali sebagai Argania spinosa. Mempunyai ketinggian yang sederhana dengan ketinggian antara 8 – 10 meter dan mempunyia usia sehingga 200 tahun. Sesuai sebagai pokok yang tumbuh di kawasan kering ia mempunyai daun yang halus dengan batang yang berduri serta berpintal. Namun begitu pokoknya agak rimbun dan mempunyai dahan yang banyak memudahkan haiwan seperti kambing memanjat pohon ini untuk memakan buah dan daunnya. Buahnya seperti kekacang dengan lapisan luar yang keras dan isinya yang kaya dengan minyak. Namun begitu ia mengambil masa sehingga setahun untuk buahnya mencapai kematangan di antara bulan Jun dan Julai.

Daun dan buah pokok argan.

Biji-biji argan yang telah dikumpulkan.
Bahagian-bahagian pada buah argan.

Pada asalnya buah yang dicernakan oleh kambing dibersihkan dan digunakan untuk tujuan menghasilkan minyak untuk tujuan kosmetik. Namun khasiat ini turut diperolehi daripada minyak yang dihasilkan daripada buah yang terus dipetik dari pokok. Minyak dihasilkan daripada isi kekacang buah argan dengan mengisarnya sehingga halus dan minyak diperah daripada isi buah ini. Untuk menghasilkan minyak argan yang digunakan untuk masakan, biji buah argan akan dipanggang terlebih dahulu. Ini akan mengahasilkan minyak yang lebih banyak. Namun begitu, minyak argan yang digunakan untuk masakan ini adalah kurang sesuai untuk tujuan rawtan kulit dan rambut, manakala harganya juga adalah lebih murah. Minyak argan yang baik dihasilkan tanpa proses pemanggangan.

Sejak sekian lama industri minyak argan dikuasai oleh kaum wanita di Morocco dengan keluasan tanaman argan pernah mencapai keluasan sehingga 8,280 km². Keluasan ini bagaimanapun semakin berkurangan oleh palbagai faktor termasuk persaingan penghasilan minyak argan dari kawasan-kawasan lain di Israel seperti Arabah dan juga Negev. Ini kerana industri minyak argan semakin mendapat sambutan dengan harga pasaran mencecah sehingga USD40 – USD50 bagi 500ml untuk kegunaan bidang kosmetik di Eropah.


Minyak yang diperolehi dari buah argan.

Produk yang menggunakan minyak argan.

Jadi pokok dan minyak yang dihasilkan oleh buah argan sememangnya unik. Ia bukan sahaja menarik pada kambing-kambing yang sanggup memanjat pokoknya, namun manusia juga mula belajar untuk mendapatkan khasiat daripada pokok ini. Itulah antara pemerhatian yang membawa kepada penemuan perkara-perkara penting kepada manusia. Adakalanya apa yang berlaku di dalam alam sedikit sebanyak memberikan kita panduan mengenai perkara-perkara yang boleh kita ketahui manfaatnya.






Free Download



Rabu, 20 Julai 2016

Apakah Kebaikannya Menjadi Penggondam Bio (Biohacker)?

Biohacking tidak bermakna anda perlu melakukan 'implant' seperti ini.

Biohacker atau penggomdam biologi merangkumi subjek yang luas dan ia telah dilakukan sejak beribu tahun tanpa sedar. Namun kebelakangan ini ia lebih menjurus kepada meningkatkan potensi biologi manusia bagi mencapai tahap kesihatan yang lebih baik mahupun membaik pulih fungsi angota (bagi yang mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan/ penyakit dan sebagainya), selain membuka ruang baru kepada potensi manusia yang lain.

Teknologi bioteknologi yang pada asalnya memanipulasi alam dalam menghasilkan mutu penghasilan tanaman dan ternakan yang lebih baik merupakan titik tolak bermulanya teknologi ini. Bermula dari itu manusia terus berjaya membangunkan teknologi-teknologi lain dalam meningkatkan kualiti hidup. Hari ini hasil ternakan dan tanaman dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang lebih banyak dalam jangka waktu yang singkat selain mengelakkan serangan penyakit dan juga makhluk perosak. Pada masa yang sama teknologi ini bukan sahaja berkembang untuk tanaman dan ternakan namun untuk manusia juga.

Teknologi Biohacking Untuk Manusia

Ramai yang menyangka bahawa teknologi ini adalah untuk menghasilkan manusia yang mempunyai kebolehan seperti robot atau memiliki kekuatan luar biasa. Namun biohacking adalah bertujuan memberikan tahap kehidupan yang lebih baik. Ini termasuklah mengenali khasiat-khasiat pemakanan tertentu dalam meningkatkan lagi tahap kesihatan manusia. Walaupun hari ini kita dapat mengenalpasti kebanyakan khasiat pemakanan yang baik untuk badan, namun kita masih lagi memperbaiki pengetahuan ini. Daripada pemakanan sahaja banyak kebaikan untuk badan yang diperolehi.

Antara biohacking yang popular 'night vision'.

Dave Asprey mencuba pengikat kepala untuk meningkatkan keaktifan otak.

Biohacking tidak hanya tertumpu kepada pemakanan sahaja, malah aktiviti fizikal seperti senaman dan lain-lain aktiviti fizikal turut di ambil kira. Aktiviti seperti mendengar muzik turut dikira sebagai biohacking yang memberikan kesan perubahan psikologi kepada pendengar. Ia digunakan sebagai memberikan kerehatan atau peransang untuk meningkatkan kadar motivasi seseorang. Malah dalam kajian yang lebih terperinci turut melihat tahap frekuensi yang sesuai digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu. Banyak usaha dilakukan dalam memahami potensi biohacking semulajadi ini dan antara laman yang menarik untuk mengikuti perkembangan ini adalah bulletproof oleh Dave Asprey.

**Kesan perubahan kelakuan ini merupakan antara pengetahuan yang digunakan oleh syarikat pengiklanan dalam menarik minat pengguna (melalui pemilihan warna, muzik, slogan dan sebagainya).

Teknologi perubatan lama misalnya secara perlahan-lahan meningkatkan pengetahuan mengenai badan manusia yang mana hari ini keseimbangan daripada teknologi lama dan teknologi baru dapat memberikan hasil yang lebih baik. Antara teknologi perubatan yang diserapkan kedalam perubatan moden seperti akupuntur ternyata memberikan kesan positif dan hasil yang menggalakkan. Melalui penggunaan akupuntur di dalam perubatan moden, proses pembedahan boleh dilakukan semasa pesakit di dalam keadaan sedar tanpa penggunaan anesthetic (dan ini mengurangkan kos pembedahan selain mempercepatkan penyembuhan).

Usaha terus dilakukan untuk memahami tubuh manusia.

Pembedahan menggunakan teknologi akupuntur.

Selain itu teknologi moden turut menghasilkan pelbagai peralatan yang menyerupai rawatan traditional seperti penggunaan arus elektrik rendah untuk memberikan stimulasi saraf dan otot-otot. Adakalanya cahaya infra merah ‘far infrared’ (FIR) turut digunakan untuk menggalakkan aktiviti sel-sel pada badan. Selain untuk meningkatkan kesihatan, biohacking adakalanya turut mengkaji keserasian bagi membina peralatan baru yang boleh memudahkan kualiti hidup manusia; seperti peralatan ‘fingerprint scanner’, ‘thermal sensor’, ‘blood tester’, ‘speech recognition’, ‘exoskeleton’, ‘artificial organ transplant’ dan macam-macam lagi. Melalui perkembangan teknologi, lebih banyak biohacking daat dilakukan dan adakalanya ia juga agak menakutkan untuk kita menerima kenyataan mengenainya seperti usaha pemindahan kepala.


Biohacking merupakan satu cabang pengetahuan yang amat berguna dalam meningkatkan kualiti hidup manusia. Samada kita menyedarinya atau tidak, ia tetap berlaku seiring dengan pengetahuan manusia mengenai tubuh badan manusia sendiri dan juga alam sekelilingnya. Anda juga biasa menggunakan ‘biohacking’ secara tidak sengaja setiap hari seperti mandi untuk mengembalikan kesegaran badan ataupun untuk menyejukkannya. 


Free Download



Selasa, 19 Julai 2016

Kenali Teknik Perubatan Gua Sha

Gua Sha melancarkan meredaran darah dan memberikan kerehatan.

Teknik perubatan Gua Sha (刮痧; guā shā) merupakan salah satu perubatan traditional yang berasal daripada China sejak ribuan tahun dahulu. Seperti juga teknik-teknik perubatan alternatif yang lain, ia kurang difahami hari ini walaupun masih terdapat ramai pengamalnya (jadi anda perlu berhati-hati sekiranya ingin mendapatkan rawatan melalui teknik perubatan ini).

Gua Sha menggunakan teknik gosokan menggunakan objek-objek tumpul daripada sudu tembikar, syilling, tulang binatang, tanduk, jade dan sebagainya. Teknik perubatan ini berkembang meluas dan di Vietnam ia dikenali sebagai  “cạo gió”, yang antara lain membawa maksud; melurut angin. Teknik rawatan ini juga turut diamalkan di Java dan dikenali sebagai “kerikan” atau “kerokan”. Ia mungkin mempunyai nama-nama lain mengikut kawasan dan daerah, namun pada konsepnya adalah menggunakan objek tumpul untuk melurut permukaan luar kulit.

Mungkin anda tidak perlu menekankan penggunaan Gua Sha seperti ini.

Antara teks lama merujuk kepada perawatan gua sha. 

Teknik perawatan ini menimbulkan banyak tanda tanya mengenai keberkesanannya selain menimbulkan bekas yang agak mengerikan pada permukaan kulit. Apa yang pasti, teknik ini tidak didokumentasi dengan sempurna seperti teknik akupuntur, kerana ia biasanya dianggap sebagai teknik urutan yang sedikit melegakan. Namun ia boleh mendatangkan mudarat sekiranya tidak dilakukan dengan berhati-hati. Tekanan yang terlalu kuat boleh mengakibatkan kecederaan serius kepada pembuluh-pembuluh darah halus di bawah permukaan kulit. Jadi anda dinasihatkan supaya tidak menggunakan tekanan yang terlalu kuat semasa melakukan teknik rawatan guasa.

Usaha untuk memahami teknik perubatan ini giat dijalankan bagi mengenalpasti potensi sebenarnya kepada kesihatan. Antara usaha untuk memahamim kaedah ini dijalankan oleh Dr Arya Nielsen daripada Beth Israel Medical Center, New York. Kerja-kerja beliau boleh diikuti daripada beberapa laman web yang disediakan seperti pacificcollege.edu dan juga guasha.com. Malah banyak lagi laman yang menyediakan rujukan untuk anda memahami teknik perawatan jenis ini mengenai bagaimana ianya berfungsi antaranya adalah guashaspace.com.

Antara peralatan utuk rawatan gua sha.

Segala objek tumpul dan tidak mencederakan kulit digunakan.

Apa yang sukar dibuktikan adalah keberkesanannya dalam merawat penyakit-penyakit kronik; dan anda tidak dinasihatkan merawat penyakit jenis tersebut melalui kaedah perawatan ini. Adapun ia mungkin membantu untuk melancarkan peredaran darah dan memberikan kerehatan pada badan sekiranya dilakukan dengan betul. Jadi ianya perlu dilihat seperti juga teknik urutan.

Sekiranya anda ingin mencuba teknik ini, apa yang dinasihatkan adalah tidak melakukannya dengan terlalu kuat kerana ia boleh mencederakan. Lakukan sedikit semakan mengenai teknik perubatan ini, kerana ia tidak boleh merawat segala jenis penyakit melainkan hanyalah memberikan sedikit kerehatan dan membantu melancarkan peredaran darah. Sekiranya anda berminat, carilah lebih maklumat untuk memahaminya bagi tujuan yang lebih baik.

Gua sha juga digunakan dalam perawatan kecantikan.

Alat gua sha yang diperbuat daripada batu jade.

Gua Sha bukanlah teknik perubatan ajaib, jadi anda perlulah berhati-hati. Namun begitu ia juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia juga mungkin berpotensi dalam membantu anda mencapai kesihatan yang lebih baik. Dapatkan maklumat yang tepat sebelum anda mencubanya, dan bantulah mereka yang lain dengan memberikan maklumat yang tepat mengenai perawatan ini sekiranya anda menemuinya.



Free Download



Isnin, 18 Julai 2016

Perkara Menarik Mengenai Ayam dan Baka Ayam

Serama merupakan baka ayam dari Malaysia.

Ayam merupakan antara haiwan peliharaan yang paling popular dan telah dipelihara oleh manusia sejak beribu tahun dahulu. Terdapat beratus-ratus baka ayam asli di dunia dan mungkin beribu lagi adalah hasil kacukan daripada baka-baka ayam ini. Ayam dipelihara dengan tujuan peghasilan sumber makanan iaitu telur dan daging, manakala pemeliharaan baka tertentu hanya dilakukan bagi tujuan ayam hiasan atau oleh peminat-peminat pengumpul baka ayam.

Bagi pemelihara biasa, perbezaan baka ayam mungkin tidak menjadi suatu kepentingan yang besar. Namun pemeliharaan baka ini adakalanya boleh memberikan beberapa kebaikan yang lain, terutamanya dalam penghasilan jenis-jenis ayam yang baru untuk tujuan-tujuan tertentu pula seperti menghasilkan telur yang lebih, daging yang lebih banyak, tahan serangan penyakit, mudah dipelihara, mempunyai bulu yang lebih cantik dan sebagainya. Antara contoh kacukan ayam yang paling berjaya adalah dalam penghasilan ayan onagadori iaitu ayam yang mempunyai bulu ekor terpaling panjang.

Barnevelder baka alam dari Netherlands.

Buff Orpington baka ayam UK.

Baka ayam Sumatra.

Oleh kerana terdapat ratusan baka ayam, maka tidak dapat disenaraikan keseluruhan baka ayam yang terdapat di dunia di dalam artikel yang kecil kali ini. Namun anda boleh merujuk senarai baka-baka ayam dengan mudah melalui laman web antaranya wikipedia. Namun senarai ini adalah senarai ringkas baka-baka ayam yang terdapat di seluruh dunia mengikut negara. Antara laman lain yang menyediakan maklumat mengenai jenis-jenis ayam adalah di backyardchickens.com.

Baka-baka ayam asal banyak terdapat di Eropah dan di Amerika kerana pemeliharaan ayam di sana lebih bersifat pemeliharaan baka berbanding sekadar penghasilan sumber makanan. Menjelang abad ke 21 beberapa badan khas ditubuhkan untuk mengenal pasti baka ayam standard antaranya seperti  British Poultry Standard, Standard of Perfection, Australian Poultry Standard dan American Bantam Association (yang lebih merujuk kepada standard bagi ayam-ayam kategori bantam; ayam katik).

Oleh kerana pemeliharaan baka ini lebih popular di Eropah dan Amerika, maka senarai baka yang terdapat di negara-negara tersebut adalah lebih meluas. Namun kesemua baka-baka ayam ini dapat dilihat dengan lebih jelas daripada ciri-ciri utama ayam tersebut daripada segi rupa bentuk, saiz, warna bulu dan ciri-ciri lain seperti perlakuan kekerapan bertelur serta tabiat pergaulan dengan ayam-ayam lain. Pemeliharaan baka dilihat amat penting terutamanya bagi ayam-ayam yang dipelihara sebagai ayam hiasan (kategori bantam/katik).

Golden Sebright merupakan antara jenis ayam bantam/katik.

Sultan, baka ayam dari Turkey.

Saiz ayam dari baka Malay.
Ayam onagadori.

Bagi Malaysia sendiri hanya dua baka ayam asal yang dikenali iaitu ayam ‘Malay’ atau lebih dikenali sebagai ayam kampung dan juga ayam ‘serama’. Adapun baka ayam ‘Malay’ yang dimaksudkan adalah ayam yang mempunyai saiz yang agak besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 90 cm dan berat biasa 5 kg. dan bersifat agak agresif. Baka ayam ‘Malay’ kini terdapat di sekitar Eropah yang mula dibawa ke England pada tahun 1830. Begitu juga dengan ayam serama yang disenaraikan di dalam senarai standard bantam di US. Malah terdapat pertubuhan khas di US bagi peminat-peminat ayam serama iaitu American Serama Association semenjak tahun 2012.

Walaupun pemeliharaan ayam dianggap sebagai perkara yang remeh oleh kebanyakan orang, namun apabila anda melihat kepelbagaian baka ayam ini, akan timbul perasaan kepentingan memelihara keunikan baka-baka ayam tersebut. Perkara yang sama turut berlaku kepada haiwan-haiwan ternakan yang lain seperti lembu, kambing, kerbau, kuda, kucing, anjing dan sebagainya. Melalui pemeliharaan ini kita akan lebih menghargai keunikan setiap baka dengan ciri-ciri unik mereka masing-masing.


Free Download



Arkib Blog