Memaparkan catatan dengan label wabak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wabak. Papar semua catatan

Isnin, 18 Januari 2016

Kulat Pembunuh Zombie Fungus

Kulat yang menjadikan perumahnya hilang kawalan.

Zombie fungus (Ophiocordyceps unilateralis) merupakan antara kulat parasit yang membunuh secara senyap dan kejam. Sekiranya ia berlaku pada manusia, ia tidak asing lagi akan menghasilkan manusia ‘zombie’ yang akan berakhir dengan kematian yang merebak menjadi wabak.

Namun ia mempunyai perumah iaitu semut dari spesis tertentu, biasanya dari spesis semut Camponotus leonardi atau dari jenis keluarga terdekatnya. Ini kerana kulat ini berfungsi bukan sahaja untuk menjadikan badan semut sebagai perumah, namun semut juga perlu mampu melakukan apa yang diperlukan oleh kulat tersebut.

Jangkitan O. Unilateralis boleh merebak dalam sesebuah koloni semut, dan ini mengakibatkan semut yang dijangkiti akan di usir jauh dari koloni mereka. Jangkitan kulat ini menyebabkan semut hilang kawalan dan melakukan apa yang diperlukan oleh kulat tersebut. Selain kulat ini, beberapa parasit lain turut mempunyai keupayaan mengawal perumah mereka bagi memenuhi keperluannya. Ia memang menakutkan – tetapi ini penting untuk menjamin kulat ini untuk terus membiak.


Semut perlu menggigit urat daun untuk mengelakkan ia dari jatuh.

Kulat akan terus memakan badan perubah sebagai sumber makanan.

Semut yang dijangkiti tadi kemudiannya akan memanjat pokok sehingga sampai ke loaksi yang sesuai (kawasan yang lebih terdedah). Biasanya semut ini akan mengigit urat pada batang daun atau ranting kayu bagi mengelakkan ia dari terjatuh. Selepas itu semut akan mati secara perlahan-lahan dan kulat akan terus memakan badan semut secara perlahan.

Kulat yang mencapai usia yang matang akan mengeluarkan batang dan juga kandul yang mengandungi sporanya untuk disebarkan oleh angin. Ini akan meninggalkan badan semut yang akan terus mereput bersama-sama dengan kulat tersebut.

Terdapat spesis kulat yang berbeza untuk perumah dari spesis lain.

Selain semut serangga lain turut dijangkiti oleh kulat.

Jenis kulat yang menjangkiti tarantula.

Terdapat kira-kira 400 spesis kulat yang mampu mengawal perumahnya. Manakala O. Unilateralis hanyalah salah satu daripada kulat tersebut yang terdapat di kawasan hutan tropika seperti di Thailand dan Brazil. Menakutkan! Mungkin anda perlu tahu ia adalah salah satu contoh dari banyak contoh yang lain.



Free Download



Selasa, 25 Ogos 2015

Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 2

Nyamuk merupakan parasit yang paling mudah dikenali.

Jika di dalam artikel yang pertama kita telah melihat sebahagian daripada parasit-parasit yang berkemungkinan pernah menjadikan kita sebagai mangsanya. Kita akan melihat sebahagian lagi parasit yang juga tidak kurang bahayanya. Secara tidak langsung memberikan kita lebih banyak maklumat penting mengenai parasit-parasit yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita mahupun kepada ahli keluarga yang lain.


Bahaya utama nyamuk adalah penyebaran wabak.

Nyamuk:

Nyamuk merupakan antara parasit yang paling mudah menjadikan manusia sebagai mangsanya. Selain daripada mempunyai sayap, ia juga dengan mudah menjadikan kawasan sekitar kediaman manusia sebagai habitat yang sesuai baginya. Jadi agak sukar bagi kita menghindari nyamuk 100% namun kita boleh mengurangkan pendedahan kepada mereka.

Bahaya nyamuk bukanlah sekadar menghisap darah tetapi ia adakalanya menyebarkan wabak penyakit seperti West Nile Virus, dengi, malaria, demam kuning, Japanese Encephalitis (JE), untut (Lymphatic filariasis) dan macam-macam lagi. Nyamuk yang membiak di kawasan-kawasan yang kotor (tercemar) mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menyebarkan wabak penyakit-penyakit ini.

Bagi mengurangkan masalah ini, apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar rumah anda. Pastikan persekitaran yang bersih. Gunakan penghalau nyamuk apabila terpaksa melakukan aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan yang mempunyai nyamuk.


Hama amat halus dan sukar dilihat mata kasar.

Hama:

Hama juga merupakan parasit yang lebih hampir dengan manusia dan jarang sekali dikesan. Hama tinggal hampir pada semua haiwan termasuklah manusia. Namun begitu hama kurang membawa kesan negatif (kesan yang ketara kepada manusia) walaupun ia juga menjadikan darah dan sel-sel mati sebagai antara makanannya. Terdapat hama yang tinggal di atas kulit kepala kita dan ia dikenali sebagai hama umbi rambut (hair follicle mites) yang memakan minyak yang dihasilkan dari kulit kepala.

Hama yang menyebabkan masalah pada kulit adalah dikenali sebagai ‘scabies’. Ia menyebabkan kegatalan dan masalah kulit. Ia akan tinggal pada permukaan dan di dalam kulit. Masalah ini perlu dirawat kebiasaannya menggunakan ubatan dari jenis minyak.


Hama 'scabies' di dalam kulit manusia.


Lalat 'botfly', (sila cari sendiri di internet!..).

Lalat (Human Botflies):

Lalat ini agak menakutkan kerana ia menjadikan haiwan lain sebagai perumah untuk ia membesar. Haiwan seperti lembu, kambing, rusa, kerbau dan sebagainya... termasuklah manusia.

Lalat ini kebiasaannya didapati di bahagian Amerika Tengah dan di Amerika Selatan. Keunikan lalat ini adalah ia akan menangkap nyamuk dan bertelur padanya. Nyamuk yang kemudiannya menghisap darah pada manusia akan menjatuhkan telur ini, di mana anak lalat akan masuk ke dalam kulit perumah dan tinggal di dalamnya. Tempoh masa anak lalat ini membesar di dalam perumah adalah di antara 5-6 minggu sebelum keluar meninggalkan perumah nya. Apabila jatuh, ia akan membentuk kepompong di dalam tanah dan keluar sebagai lalat dewasa.

Anak lalat yang membesar di dalam daging ini memerlukan lubang untuk bernafas. Ia juga mungkin akan mengakibatkan daging menjadi bengkak (bergantung kepada keadaan). Proses pembuangan anak lalat ini perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan masalah yang lebih serius.


'Tapeworm' boleh mencapai saiz yang amat besar.

Cacing Pita (Tapeworms):

Cacing pita merupakan parasit yang biasa menjangkiti manusia. Masuk ke dalam badan melalui telurnya yang terdapat pada bahan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna (seperti daging ataupun sayur-sayuran).

Cacing pita akan tinggal di dalam usus manusia dan membiak di dalamnya. Telur-telur mereka pula akan keluar semasa manusia ke tandas dan tinggal di dinding mangkuk tandas atau dibawa bersama air apabila di ‘flush’. Telur-telur ini kemudiannya akan dibawa air dan menjadikan saluran perparitan pula sebagai tempat di mana ia akan menunggu perumahnya yang baru.

Kesan jangkitan cacing pita ini sukar dikesan pada peringkat awal. Namun sekiranya dibiarkan ia boleh membesar sehingga mencapai kepanjangan 30 kaki di dalam usus manusia. Ia akan menyebabkan masalah kembung dan kekurangan zat kepada mangsa. Ia juga boleh terus tinggal di dalam usus manusia sehingga berpuluh tahun lamanya!


'Hookworms' lebih halus.

Cacing ‘Hookworms’:

Satu lagi jenis cacing yang boleh menjangkiti manusia. Telurnya disebarkan melalui najis dan akan menetas dan membesar di dalam tanah. Menjangkiti manusia apabila bersentuhan melalui kaki dan masuk ke saluran darah menuju ke jantung dan kemudiannya ke paru-paru. Ia adakalanya terkeluar melalui lendir apabila manusia terbersin dan sebahagiannya pula ada yang masuk semula ke saluran makanan. Ia merupakan peluang yang baik untuk cacing ini sampai ke bahagian usus manusia.

Di dalam usus, cacing ini akan melekatkan diri mereka di dinding usus untuk memakan darah manusia. Sekiranya berlanjutan ia boleh mengakibatkan gejala yang serius. Ia boleh menyebabkan anemia, kesakitan perut yang serius, cirit-birit, sembelit, keletihan, kelaparan yang luar biasa pada benda-benda yang pelik seperti tanah dan lumpur. Kitar semula hidup cacing ini akan berulang semula melalui pembuangan najis.

Ya, itulah dia sebahagian lagi parasit yang perlu kita ketahui. Ia sememangnya tidak menarik untuk dilihat, namun penting untuk difahami bagi kita mengambil langkah berjaga-jaga. Melalui pengetahuan inilah maka kita boleh mengelakkan daripada terdedah kepada bahaya parasit-parasit ini dengan menitik beratkan kebersihan dan menjauhi kawasan-kawasan yang mungkin berpotensi menjadi sarang kepada mereka. Semoga artikel kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memberikan maklumat yang berguna.

Sekiranya tajuk ini menarik bagi anda, anda mungkin berminat untuk artikel sebelumnya iaitu: Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 1



Free Download



Isnin, 12 Mei 2014

Hidupan Pembunuh No #1 Di Dunia.

deadliest animals
Punca-punca kematian manusia.


Kita sering dipaparkan dengan keganasan haiwan-haiwan besar yang boleh membunuh manusia dengan mudah seperti singa, buaya, badak sumbu, badak air, ular tedung dan macam-macam lagi. Namun begitu setelah diselidiki dan diamati daripada data yang dikumpulkan ternyata hidupan yang banyak menyebabkan punca kematian sebenar berpunca daripada serangga kecil iaitu nyamuk.

Nyamuk banyak menyebarkan kuman (bakteria & virus) serta cacing yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang membawa maut. Apa yang membimbangkan nyamuk tinggal berhampiran sekali dengan kita dan ada kalanya bersama kita di dalam rumah. Satu kaedah yang boleh mengurangkan jangkitan ini adalah dengan memastikan keadaan di dalam rumah yang teratur (tiada tempat persembunyian nyamuk) dan luar rumah yang bersih (tiada saliran tersumbat tempat pembiakan nyamuk).

Terdapat beberapa penyakit bawaan nyamuk yang terkenal dan merbahaya antaranya ialah:

Aedes aegypti
Aedes aegypti nyamuk penyebar denggi yang mudah dikenali melalui belang-belang pada badannya.

Seperti yang kita ketahui Malaria dan Denggi merupakan dua wabak yang begitu popular bukan sahaja di negara-negara membangun malah juga di negara-negara yang membangun. Kematian akibat denggi boleh di dengar di mana sahaja samada di bandar atau di kampung-kampung (malah sering berlaku di bandar).

Bagi kes-kes besar denggi pernah dilaporkan menyerang Venezuala dan menyebabkan lebih daripada 11,600 kes pada tahun 2004 – jumlah kematian tidak dipastikan. Manakala wabak yang sama pernah menyerang Indonesia yang menyebabkan 600 kematian dan sebanyak lebih 54,000 jangkitan pada tahun 1999.

Dengan perangkaan yang sebegitu besar maka sudah pastinya membuktikan nyamuk merupakan punca kematian besar-besaran dengan kemampuan menyebarkan penyakit pada skala yang amat besar berbanding dengan haiwan-haiwan merbahaya yang lain – mungkin akan mengakibatkan kematian akibat kecederaan serangan namun ia tidak menular.

Namun begitu Denggi bukanlah satu-satunya penyakit merbahaya bawaan nyamuk. Seperti yang disenaraikan di atas dan banyak lagi jenis-jenis penyakit yang mungkin tidak disenaraikan sebagai penyakit utama bawaan nyamuk kerana tidak membawa maut – seperti untut.

Negara kita pernah mengalami kes besar-besaran penularan wabak JE (Japanese Encephalitis) dan mengorbankan ramai pesakit di sekitar tahun 1999. Walaubagaimanapun wabak ini menular hanya di kawasan-kawasan yang kebiasaannya terdapat kandang-kandang pembelaan khinzir serta sawah padi. Ia mungkin disebabkan kawasan-kawasan tersebut terdapat air bertakung yang sesuai bagi nyamuk-nyamuk tersebut membiak (juga virus yang dibawanya merebak).

Anopheles stephensi
Anopheles stephensi merupakan nyamuk penyebar Malaria.

Secara keseluruhannya penyakit bawaan nyamuk yang paling banyak membawa kepada kematian di dunia adalah Malaria (mungkin tidak di negara kita). Dikatakan Malaria menyebabkan kematian lebih sejuta orang setahun dan antara 300 – 500 juta kes dilaporkan setiap tahun. Ia juga menyebabkan punca kematian seorang kanak-kanak bagi setiap 40 saat.

Mungkin banyak lagi perkara yang masih perlu disingkap untuk anda mengetahui setiap penyakit bawaan nyamuk ini. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut bolehlah membuat rujukan di laman-laman yang membincangkan mengenai kesihatan juga masalah penyakit bawaan nyamuk ini.

Apa yang penting langkah pencegahan perlu diambil dengan memastikan kawasan persekitaran kita sentiasa bersih. Tiada saliran atau sungai-sungai berhampiran kediaman anda yang tersumbat kerana nyamuk sememangnya sentiasa ada – namun bekteria/virus yang dibawa oleh nyamuk tersebut merupakan punca sebenar wabak yang membawa maut tersebut perlu dielakkan daripada membiak di kawasan anda.

Jadi sama-samalah kita menjadi peka tentang persekitaran, tentang rumah kita dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dengan mengambil sedikit tindakan yang mungkin dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan orang-orang yang kita sayangi.


Free Download




Arkib Blog