Memaparkan catatan dengan label usaha. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label usaha. Papar semua catatan

Khamis, 1 Jun 2017

Projek Pembersihan Pantai Versova, Mumbai Yang Perlu Diteladani

Perubahan akan berlaku sekiranya anda mengambil tindakan; Afroz Shah di Pantai Versova, Mumbai.

Merupakan sebuah pantai yang bukan sahaja tidak terkenal malah mengalami pencemaran sampah yang teruk terletak di pinggir Bandar Mumbai, India. Pantai ini kini bukan sahaja menjadi bersih, malah mendapat perhatian seluruh dunia lantaran langkah pembersihan yang dilakukan oleh seorang penduduk tempatan yang lebih dikenali sebagai Afroz Shah, 33.

Afroz Shah mula berpindah ke kediaman berhampiran pantai tersebut pada 2015 amat terganggu dengan keadaan pantai yang ditimbuni dengan buangan plastik dan sampah sarap dengan ketinggian sehingga 5.5 kaki (1.7 m). Terganggu dengan pemandangan tersebut beliau mengambil langkah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara sendiri.

Longgokan sampah yang serius di Pantai Versova.

Pantai Versova pada May 20, 2017.

Tindakan beliau ini telah membuka mata masyarakat setempat yang kemudiannya turut sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dengan membersihkan kira-kira 5 juta kilo sampah yang telah terdampar di pantai tersebut.

Kerja pembersihan tersebut terus berjalan sehingga 85 minggu dengan jumlah sampah yang dibersihkan dianggarkan sehingga 5.3 juta kilogram. Antara lain kerja-kerja tersebut turut melibatkan pembersihan 52 buah tandas awam selain penanaman 50 batang pokok kelapa turut dilakukan di pantai tersebut.

Pantai Versova bukanlah merupakan pantai utama dan tidak mendapat perhatian daripada pentadbir tempatan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan longgokan sampah yang mungkin dibuang terus atau dihanyutkan ke pantai tersebut. Semenjak berapa lama sampah yang terkumpul terbiar tanpa tindakan dari mana-mana pihak menyebabkan pantai tersebut terus terbiar.

Longgokan sampah yang menyakitkan pemandangan

Semua pantai adalah cantik sekiranya dipelihara dengan baik.

Usaha yang dilakukan oleh Afroz Shah, bukan sahaja membukan mata masyarakat di India, malah masyarakat di seluruh dunia mengenai kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Ia juga menggambarkan, tiada kawasan yang perlu dikotori, dicemari atau dibiarkan malah kita semua mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan membersihkan setiap kawasan yang terjejas ini.

Afroz Shah, 33 mungkin tidak menyangka yang beliau akan dikenali di seluruh dunia dengan tindakan beliau tersebut. Namun tindakan awal yang diambil beliau bukan sahaja menghasilkan Pantai Versova yang bersih seperti yang diinginkan oleh beliau, malah ia turut dijadikan contoh dan diteladani oleh semua. Jutaan terima kasih bukan sahaja diterima daripada masyarakat di India, malah daripada masyarakat dunia yang disampaikan melalui United Nations dengan mengurniakan pingat ‘Champion of the Earth 2016’.


Pantai yang cantik seperti ini juga akan tercemar sekiranya kita tidak memeliharanya.

Kisah ini memberikan kesan mendalam kepada kita semua masyarakat di dunia. Memandangkan masalah pencemaran yang berlaku di mana sahaja (terdiri daripada pelbagai bahan buangan lebih-lebih lagi bahan buangan plastik). Maka dengan ini diharap kita tidak lagi menunggu bantuan daripada pihak lain sebaliknya sama-sama membersihkan persekitaran kita sendiri. Ini kerana anda boleh memilih untuk tinggal di persekitaran yang lebih baik.






Free Download



Selasa, 21 Mac 2017

Mengembalikan Kesuburan Loess Plateau, China

Loess Plateau sebelum dan selepas pemulihan semula.

Mungkin tidak semua pernah mendengar mengenai Loess Plateau atau Huangtu Plateau, iaitu sebuah kawasan seluas 640,000 km berada di hulu Sungai Huang He (Yellow River). Kawasan yang suatu masa dahulu amat subur ini bagaimanapun telah lama bertukar menjadi padang pasir dan menjadikan para penduduknya tinggal di dalam keadaan yang amat miskin. Sehinggalah pada tahun 1994 satu langkah drastik telah diambil yang menjadikan Loess Plateau kembali menghijau.

Loess Plateau merupakan satu kawasan yang amat subur suatu masa dahulu yang membolehkan banyak kerajaan lama didirikan di sekitar kawasan ini. Oleh kerana aktiviti pertanian dan penternakan yang tidak terkawal ia bagaimanapun bertukar menjadi tanah yang kering gersang. Hujan yang turun di kawasan ini hanya akan mengalirkan lumpur yang banyak ke dalam sungai dan menjadikan bencana di kawasan hilir sungai iaitu mendakan lumpur dan banjir.

Lokasi kedudukan Loess Plateau.

Kerja-kerja pemulihan yang dilakukan bersama.

Kehijauan yang kembali semula ke kawasan Loess Plateau.

Pada tahun 1994 satu usaha telah dijalankan dan dikenali sebagai “Loess Plateau Watershed Rehabilitation Project”, untuk mengurangkan kesan kegersangan ini. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini dijalankan bersama dengan para penduduk yang mendiami kawasan Loess Plateau yang kurang memahami mengenai pertanian lestari (sustainable farming) menjadikan ia satu usaha yang kurang meyakinkan. Namun projek ini sendiri adalah untuk kebaikan para penduduk sendiri di mana tanah yang mereka usahakan menjadi tanah pertanian mereka sendiri pada masa akan datang.

Melalui pelbagai tahap pemulihan semula tanah termasuk membina empangan, kawasan tadahan air, teres-teres di lereng bukit dan penanaman pokok dalam skala yang besar, selain mengelakkan haiwan ternakan daripada berkeliaran bebas memakan anak-anak pokok yang baru tumbuh. Kawasan Loess Plateau yang gersang menampakkan perubahan dalam tempoh 10 tahun dan bertukar menjadi kawasan tanaman yang subur semula.

Penduduk yang meraikan hari perayaan.

Petani yang mengusahakan tanaman epal dengan hasilnya mampu menyara keluarga.

Kaum wanita yang dahulunya terpaksa mengangkut air dari jauh, kini mendapat bekalan air di hadapan rumah mereka.

Sehingga ke hari ini, kawasan Loess Plateau terus menjadi kawasan pertanian yang subur semula. Para petani yang suatu masa dahulu hidup dalam kesusahan berjaya mengeluarkan hasil tanaman yang menguntungkan. Ia merupakan satu perkara di luar jangkaan mereka. Ia antara lain menunjukkan bahawa alam sendiri dapat memberikan lebih baik apabila ianya terjaga dengan baik pula.

Berikutan dengan itu kawasan-kawasan gersang lain di dunia juga ingin mencontohi kejayaan ini. Ternyata, setiap kawasan di dunia mempunyai potensi untuk menjadi kawasan menghijau selagi ianya tidak digunakan dengan cara yang salah. Ini bukanlah bermakna tanah tersebut tidak boleh diusahakan untuk pertanian tetapi haruslah memahami mengenai keseimbangan kesuburan tanah dan mengelakkan ianya daripada terjejas.


Hari ini, dengan perkembangan teknologi manusia mempunyai lebih kemampuan untuk melaksanakan tujuan ini. Maka dengan itu, setiap tindakan perlulah diukur dengan lebih teliti kerana ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang dan boleh mengakibatkan kerugian pada diri sendiri dan generasi akan datang.








Free Download



Isnin, 22 Ogos 2016

“Seabin Project” Satu Lagi Usaha Untuk Membersihkan Plastik Dari Laut

"Seabin Project" diusahakan oleh Pete Cglinski dan Andrew Turton.

Satu lagi usaha untukmembersihkan bahan buangan plastik dan sampah sarap dari laut dikenali sebagi “Seabin Project”. Kali ini ianya diusahakan oleh dua orang peluncur ombak dari Australia iaitu  Pete Ceglinski dan rakannya Andrew Turton. Menyedari lautan tempat di mana mereka bermain ombak tercemar dengan sisa pembuangan plastik dan lain-lain, mereka mengambil langkah untuk membina “seabin” bagi mengatasi masalah tersebut.

Walaupun usaha ini tidak sebesar usaha yang dijalankan oleh “The Ocean Cleanup” yang merupakan satu projek besar-besaran, namun ia perlu dianggap sebagai salah satu usaha positif dalam mengatasi masalah pembuangan plastik dan pencemaran di lautan. Malah projek ini turut disertai oleh orang ramai melalui sumbangan tajaan mereka melalui indiegogo yang mencapai jumlah USD267,667.

Walaupun projek ini mempunyai skala yang lebih kecil, namun ia boleh memberikan hasil yang baik kerana ianya beroperasi 24/7 dengan kos operasi yang lebih murah berbanding menggunakan bot menangkap sampah seperti yang biasa digunakan. Ia juga tidak mengganggu ekosistem asal di lautan samada ikan ataupun hidupan-hidupan lain. Apa yang lebih baik, ianya telah sedia digunakan berbanding “The Ocean Cleanup” yang masih lagi menunggu pelbagai perkara untuk membenarkan ianya dibina seperti yang dirancangkan.

Teknik pengoperasian "Seabin"

Sampah yang berjaya dikumpulkan.

Makmal penghasilan "Seabin Project".

Projek ini mula diketengahkan pada penghujung tahun 2015 lagi dan ianya telahpun mencapai sasaran yang diperlukan melalui program yang dijalankan melalui indiegogo pada tahun ini (2016). Seterusnya adalah untuk menyaksikan “seabin” berfungsi dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan seperti yang diharapkan.

Walaupun “seabin” beroperasi dengan kaedah yang mudah, tetapi ia merupakan usaha yang sangat baik. Sekiranya kita terus menanti tanpa sebarang peralatan dihasilkan, mungkin penantian tersebut tidka akan berakhir untuk tempoh beberapa lama lagi. Ia akan terus diperbaiki bagi memberikan hasil pembersihan yang lebih baik dengan penggunaan tenaga yang lebih efektif.


Pada masa yang sama, masalah ini turut dirasai di mana-mana sahaja. Mungkin untuk mengatasi masalah plastik dan pencemaran ini perlu diatasi di peringkat awal lagi sebelum ianya mula digunakan. Kemudian mengelakkannya daripada memasuki sumber air seterusnya dihanyutkan ke laut. Manakala bagi kita pula supaya bersama-sama membersihkan kawasan yang dikotori dengan plastik.





Free Download



Khamis, 13 Ogos 2015

Bill Gates Minum Air dari Sisa Kumbahan?

Bill Gates meminum air dari penapisan JOP.

Bill Gates tidak asing lagi kerana merupakan antara orang terkaya di dunia, bersama-sama dengan Paul Allen membina syarikat gergasi Microsoft pada tahun 1975 setelah meninggalkan pengajiannya di Harvard University. Beliau meninggalkan jawatannya sebagai CEO Microsoft pada Januari 2000 namun kekal sebagai pengerusi sehingga 2006.

Berikutan daripada itu Bill Gates lebih aktif dengan tugasan barunya bersama Bill & Melinda Gates Foundation yang diasaskan pada tahun 2000 juga. Melalui badan amal ini beliau dan isterinya giat melakukan kerja-kerja dalam membantu masyarakat di seluruh dunia.

Melalui badan amal ini ia menyasarkan untuk membantu di dalam beberapa lapangan iaitu pendidikan, kesihatan dan juga menghapuskan kemiskinan. Ia juga merupakan badan amal yang paling besar di dunia dengan jumlah derma terkumpul sebanyak US$42.3 billion pada 24 November 2014.

Jadi apakah yang berkaitan dengan tajuk utama artikel ini sebenarnya? Ia merupakan salah satu daripada usaha yang dijalankan oleh badan amal ini dalam mempertingkatkan tahap kesihatan penduduk di negara-negara membangun yang tidak mendapat bekalan air bersih. Tanpa air bersih, penduduk akan mudah mendapat jangkitan dan merupakan punca utama kepada kematian lebih daripada 700,000 kanak-kanak di dunia setiap tahun.


Pengurusan air kumbahan di Dakar, Senegal yang tidak selamat.

Usaha ini bermula pada tahun 2011 dengan pelancaran program “Reinvent the Toilet Challenge”, untuk membantu lebih daripada 2.5 billion penduduk dunia yang tidak mendapat sistem sanitasi yang baik atau efektif terutama bagi penghuni bandar yang miskin. Program ini mendapat penglibatan daripada seluruh dunia terutama daripada universiti-universiti di U.S., Europe, India, China dan South Africa.

Jadi pada awal tahun 2015 Bill Gates berkongsi video di mana ia meminum air hasil daripada sisa kumbahan ini. Setelah beberapa tahun usaha dijalankan sistem ini akhirnya dapat disediakan bukan sahaja dengan lebih efektif, malah dapat disediakan untuk ianya beroperasi dengan model operasi lengkap (perbelanjaan dan ekonomi pengurusan sistem tersebut).


Sistem lengkap Janicki Omni Processor.

Mesin yang dikenali sebagai Janicki Omni Processor atau JOP itu kini dibina di Dakar, Senegal sebagai tapak ujian pertamanya. Dakar merupakan bandar dengan 3.4 juta penduduk di mana lebih daripada sejuta penduduknya tidak mendapat kemudahan sistem kumbahan yang selamat. Ia merupakan salah satu punca yang mendedahkan para penduduk ini kepada bahaya wabak penyakit.

Mesin JOP direka untuk bukan sahaja sebagai mesin tapisan air kumbahan malah memproses setiap bahan buangan untuk diguna semula dengan pengendalian yang selamat bagi setiap proses. Hasil daripada sisa buangan ini digunakan sepenuhnya untuk menjana elektrik bagi sistem tersebut dan selebihnya digunakan untuk membuat bata (bahan binaan).

Banyak lagi sumbangan-sumbangan lain yang dilakukan oleh Bill & Melinda Gates Foundation menjurus kepada fokus utama mereka iaitu pendidikan, kesihatan dan menghapuskan kemiskinan. Ia juga turut membantu dalam menyumbangkan dana untuk membantu mangsa-mangsa bencana di seluruh dunia termasuklah semasa gempa bumi dasar laut di Lautan Hindi pada tahun 2004 dan juga gempa bumi di Kashmir pada tahun 2005.


Bill Gates dan isterinya Melinda Gates pada tahun 2009.

Sumbangan juga turut disalurkan untuk pembangunan pertanian seperti ‘International Rice Research Institute’, bagi penyelidikan untuk meningkatkan penghasilan beras dalam memenuhi permintaan rakyat di seluruh dunia pada masa akan datang, selain daripada ‘Alliance for a Green Revolution in Africa’ (AGRA); di mana ia bersama-sama dengan Rockefeller Foundation untuk mempertingkatkan sains pertanian dan penghasilan dari ladang kecil di Afrika.


Itu adalah sebahagian daripada sumbangan berterusan daripada Bill Gates setelah meninggalkan Microsoft, sedangkan apa yang dihasilkan Microsoft sendiri merupakan antara teknologi terpenting yang membolehkan pembangunan sistem perkomputeran berlaku dengan pesat pada masa itu. Jadi kegigihan beliau amat penting untuk menjadi contoh bagi kita untuk bukan sahaja membangunkan diri sendiri malah mereka yang berada si sekeliling kita.


Free Download



Selasa, 11 Ogos 2015

Senarai 10 Orang Terkaya di Malaysia 2015

Usaha adalah perkara paling penting untuk mencapai kejayaan.

Setiap tahun antara senarai penting yang akan dikeluarkan oleh Forbes adalah senarai orang-orang terkaya dunia dan juga bagi setiap negara (bagi yang layak untuk muncul di dalam senarai tersebut). Senarai ini secara umumnya adalah untuk melihat tahap kepesatan ekonomi dan bidang perniagaan yang diceburi oleh para usahawan terbabit yang boleh membantu kepada pelbagai perkara. Antara lainnya sedikit sebanyak memberi motivasi kepada usahawan lain yang giat berusaha.

Menjelang tahun 2015 senarai ini memperlihatkan penurunan kadar kekayaan para usahawan Malaysia disebabkan oleh kelembapan saham dan juga kenaikan harga minyak yang memberikan impak paling besar kepada para usahawan. Walaupun kedudukan senarai tidak banyak berubah, namun ia adalah salah satu petanda bahawa kesan isi bukan sahaja melibatkan mereka yang berada di dalam senarai ini, malah keseluruhan Rakyat Malaysia amnya.

Berikut adalah senarai yang dikeluarkan bagi 10 orang terkaya Malaysia 2015;

1. Robert Kuok (Pelbagai)

Nilai Kekayaan 2015 (US$11.3 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$11.5 B)

2. Ananda Krishnan (Telecom)

Nilai Kekayaan 2015 (US$9.7 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$11.3 B)

3. Quek Leng Chan (Banking, Real Estate)

Nilai Kekayaan 2015 (US$5.6 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$6.4 B)

4. Lim Kok Thay (Construction, Real Estate)

Nilai Kekayaan 2015 (US$5.5 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$6.5 B)

5. Teh Hong Piow (Banking)

Nilai Kekayaan 2015 (US$5.4 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$5.6 B)

6) Lee Shin Cheng (Palm Oil, Real Estate)

Nilai Kekayaan 2015 (US$4.6 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$4.38 B)

7) Yeoh Tion Lay (Construction, Real Estate)

Nilai Kekayaan 2015 (US$3 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$2.7 B)

8) Syed Mokhtar AlBukhary (Pelbagai)

Nilai Kekayaan 2015 (US$2.9 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$3.1 B)

9) Goh Peng Ooi (Software)

Nilai Kekayaan 2015 (US$1.6 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$1.1 B)

10) Lee Oi Hian & Lee Hau Hian (Palm Oil, Real Estate, Chemicals)

Nilai Kekayaan 2015 (US$1.5 B)
Nilai Kekayaan 2014 (US$1 B)


Sektor hartanah (Real Estate) adalah yang paling menjana bagi 2014.

Senarai yang penuh boleh dilihat sendiri daripada senarai yang disediakan oleh Forbes. Manakala dapat kita lihat disini walaupun berlaku banyak penurunan pada nilai kekayaan pada para pemegang senarai tersebut ada juga yang memperlihatkan penambahan terutamanya di dalam sektor ‘Real Estate’.

Senarai ini juga menunjukkan setiap sektor mampu menjana kejayaan dan ini diharap menjadi motivasi kepada para usahawan yang lain mahupun pada mereka yang masih lagi berada di peringkat pelajar. Semoga ekonomi negara akan semakin pulih dan memperlihatkan pertumbuhan yang lebih baik pada tahun hadapan.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 15 April 2014

Jangan Sesekali Memandang Rendah Bakat Orang Lain

The Beatles
The Beatles juga pernah gagal semasa ujibakat kerana dikhuatiri tidak akan disukai peminat.

Bakat tidak terletak pada paras rupa, usia dan sebagainya. Ia lebih bergantung kepada usaha seseorang dalam memajukan diri di dalam sesuatu bidang yang diminatinya. Ini mengingatkan kita bahawa setiap orang boleh mencapai kecemerlangan dalam apa jua lapangan, apa yang penting adalah usaha dalam memperbaiki kelemahan.

Di dalam video yang akan dipaparkan adalah sesi ujibakat yang dijalankan untuk rancangan X-Factor di Australia. Gadis yang akan menjalani ujibakat tersebut ialah Shiane Hawke, berusia 14 tahun. Mungkin kerana usia dan penampilan gadis ini, para juri dan penonton kelihatan kurang yakin dengan beliau. Namun segala-galanya berbeza sebaik sahaja gadis ini mula menyanyi.



Dalam bidang seni terdapat banyak artis yang hebat di mana pada mulanya dianggap tidak akan berjaya dalam bidang nyanyian mahupun lakonan. Malah ramai juga yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk berjaya dan menjulang nama mereka sebagai seorang penghibur ternama.

Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain. Stephen Hawking misalnya adalah pelajar yang biasa sewaktu beliau di usia remaja dan menjadi seorang saintis yang terkenal pada abad ini. Mungkin ‘terkenal’ bukan perkara yang perlu menjadi fokus utama. Apa yang sepatutnya kita tumpukan adalah menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk segala lapangan yang kita ceburi.

Teruskan berusaha dan jangan sesekali memandang rendah kepada orang lain, bahkan diri anda sendiri. Selamat maju jaya.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog