Memaparkan catatan dengan label ulam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ulam. Papar semua catatan

Sabtu, 18 Januari 2014

Makanan Tradisi dari Buah-buahan dan Daun-daunan II


Labu digunakan dalam pelbagai juadah.
Bagi menyambung artikel yang terdahulu saya akan menyenaraikan pula tentang buah-buahan yang tergolong di dalam kategori sayur-sayuran. Oleh kerana ia terdiri dalam ketegori sayur-sayuran tentulah ianya akan digunakan dalam masakan. Namun begitu terdapat sebahagian buah yang digunakan lebih dari sekadar masakan biasa. Mari kita lihat.

Labu


Labu adalah sayuran yang agak popular juga dan adakalanya menjadi sebahagian hidangan di majlis-majlis kenduri. Genre yang paling popular bagi masakan labu adalah masak lemak labu yang menggunakan daun kunyit sebagai penambah perasa dan bau. Hidangan ini tentu tidak akan diketepikan jika dihidangkan bersama dengan ikan masin dan sambal (sambal belacan, sambal ikan bilis dll.). Terdapat juga jenis sayuran yang dipanggil ‘labu air’ yang lebih mirip kepada buah kundur berbanding labu. Ia juga sering digunakan dalam masakan.

Keunikan labu turut dijadikan pengat dan ada juga yang digunakan dalam penyediaan kuih-muih yang lain. Bingka labu misalnya agak popular sebagai hidangan sarapan pagi atau minuman petang.

Kundur mudah dimasak dan sedap sebagai halua.

Kundur


Kundur bagaikan pasangan rapat pada labu walaupun kedua buah ini jauh berbeza. Kundur biasanya digoreng sebagai ‘masakan manis’. Walaupun terdapat masakan kundur berkuah atau sebagai bahan campuran masakan lain.

Antara lain kundur juga dijadikan halua iaitu sejenis makanan kudapan seperti gula-gula. Mungkin anda tidak menyangka anda pernah menikmatinya kerana ia seakan gula-gula atau makanan kering lain (asam masin).


Pelbagai jenis terung dan masakan menggunakan terung.

Terung


Terdapat banyak jenis terung dan kesemuanya digunakan untuk masakan. Jadi sudah tentu ianya dimasak dengan pelbagai jenis penyediaan. Terung telunjuk adalah dari jenis terung kampong biasa yang ditanam di kampong-kampung. Ia juga boleh tumbuh dengan mudah di kawasan halaman atau di pinggir dapur.

Terung dari jenis yang ditanam komersil pula adalah terung yang berwarna ungu. Terdapat terung bulat atau yang berbentuk lonjong dan saiznya agak besar. Terung biasa digunakan sebagai bahan campuran masakan kari ikan tongkol. Hmmm, menyelerakan.

Jenis lain terung tempatan adalah ‘terung pipit’ atau ‘terung belimbang’. Terung ini juga boleh dijadikan bahan campuran masakan. Terung ini juga digunakan oleh kanak-kanak untuk kegunaan permainan senapang dimana buahnya digunakan sebagai peluru.

Peria


Peria adalah buah yang agak pahit namun masih sedap dijadikan bahan masakan terutama sebagai bahan campuran masakan ikan. Peria liar adalah bersaiz lebih kecil dan lebih pahit – ianya sesuai untuk dijadikan ulam. Ulam peria masih diminati secara segar atau dicelur dengan air panas.

Keluarga terdekat peria adalah kambas yang juga dijadikan sebagai bahan masakan. Kedua-dua buah ini digunakan dengan cara yang sama. Namun begitu saiz kambas yang agak besar dan jarang sekali dimakan sebagai ulaman.


Petola


Petola adalah dari jenis yang dijual secara komersil. Jarang petola hidup secara meliar. Jenis asal petola liar mungkin yang dikenali sebagai ‘petola licin’ yang berbentuk bulat tanpa jaluran di kelilingnya. Sayuran ini mempunyai serat yang lebih kasar berbanding petola yang biasa dijual dipasar dari jenis yang ditanam di ladang.

Petola biasanya dimasak manis seperti masak lemak, tumis air atau digoreng. Seperti biasa masakan ini akan dihidangkan bersama ikan masin dan sambal bagi menambah rasa masin dan pedas.

Kacang panjang sayur yang mudah digunakan.

Kacang Panjang


Kacang panjang merupakan sayuran yang biasa dan boleh ditanam di sekitar rumah. Ia mudah dimasak kerana boleh dipadankan dengan kebanyakan masakan dengan pelbagai kaedah masakan. Kacang panjang juga sesuai dijadikan ulaman secara mentah ataupun dicelur dengan air panas. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dengan gandingan sambal kegemaran anda. Kancang panjang merupakan antara sayuran yang boleh digandingkan dengan segala hidangan segera seperti nasi goreng, mee goreng, mee segera dan sebagainya. Jadi kancang panjang antara sayuran yang perlu dipastikan berada dalam peti sejuk anda.

Kacang Buncis


Kacang buncis lebih pendek berbanding daripada kacang panjang dan ia kelihatan lebih bulat dan licin. Kacang buncis mempunyai rasa yang lebih manis dan mudah digunakan dalam masakan atau sebagai bahan campuran. Seperti kacang panjang juga ianya mudah ditanam dipersekitaran rumah.


Kacang Kelisa/Botol


Kacang kelisa mempunyai bentuk yang aga unik kerana ianya bersegi. Selain daripada sebagai bahan masakan dan campuran kepada masakan lain ia turut popular sebagai ulaman seperti juga kacang panjang. Ulaman kacang kelisa ini amat sedap samada mentah ataupun dicelur. Ia juga lebih enak jika digandingkan bersama-sama dengan sambal.

Antara kacang-kacang lain yang popular sebagai masakan adalah kacang peas dan kacang parang. Kesemua kacang-kacang ini digunakan dalam masakan. Berbeza daripada kacang soya, kacang hijau, kacang merah di mana ia digunakan sebagai hidangan berbentuk pemanis pulut seperti bubur, pengat. Manakala sebagai makanan yang telah diproses bagi kacang soya seperti tempeh, taufu atau kicap.

Bendi


Bendi juga merupakan sayuran yang mudah ditanam. Walaupun ia biasanya ditanam secara komersil, penanaman kecil-kecilan juga adalah sangat mudah untuk sayuran ini. Bendi yang muda adalah amat sedap sebagai bahan campuran masakan terutama bagi masakan seperti ‘masak asam pedas’, ‘singgang’, kari ataupun digoreng. Oleh kerana sayuran bendi ini menghasilkan lendir ianya kurang sesuai dijadikan bahan campuran untuk masakan lemak. Bendi juga boleh dijadikan ulam samada mentah ataupun dicelur.


Petai ulam kegemaran Masyarakat Melayu/Rakyat Malaysia.

Petai


Petai adalah dari ketegori ulaman sering juga digunakan di dalam masakan dan ia juga amat digemari. Antara hidangan masakan yang popular menggunakan petai adalah sambal petai dan juga masakan lemak ikan dicampur dengan petai. Selain itu juga adakalanya ia dicampurkan dalam masakan ‘sambal daun kayu’ - sejenis masakan yang menggunakan pelbagai jenis daun-daunan dan tempoyak yang amat popular. Hari ini ianya telah digantikan dengan hidangan sambal - ‘acar buah’ (asam masin) yang menggunakan buah-buahan jeruk.


Jering bagi peminat ulaman yang lebih extreme.

Jering


Jering juga digunakan antara ulaman yang digunakan di dalam masakan. Terdapat pelbagai kaedah masakan jering sama juga seperti petai iaitu sambal atau campuran bahan masakan. Jering tua biasanya akan direbus bagi melembutkannya sebelum digunakan dalam masakan. Apapun kedua-dua buah ulaman (jering dan petai) ini amat menarik apabila digunakan di dalam masakan.

Mungkin terdapat banyak lagi buah-buah sayuran yang biasa digunakan di dalam masakan yang saya terlepas pandang. Ini kerana banyak lagi kawasan di negara kita yang menggunakan buah-buahan sebagai bahan masakan - terutama buah-buahan liar. Seperti kata pepatah “jauh perjalanan, luas pengalaman”, jadi sekiranya anda dapat membantu saya dalam melengkapkan lagi maklumat mengenai buah-buah yang biasanya digunakan dalam masakan ini bolehlah menyenaraikannya semula di bahagian komen.


Apa yang penting di sini adalah usaha memperkenalkan semula masakan tradisi kita yang menggunakan bahan-bahan yang adakalanya kita tidak terduga. Mungkin kita pernah terserepak dengan buah-buahan ini tetapi tidak menyangka yang ia boleh dimasak sebagai makanan yang menyelerakan. Mungkin di lain masa saya akan mencari pula sayur-sayuran tradisi yang saya percaya ia merupakan satu senarai yang lebih panjang. Terima kasih




Free Download





Selasa, 3 Disember 2013

Khasiat Pegaga Sebagai Ubatan Dan Pemakanan

Pegaga tumbuh meliar di piggir halaman
Pegaga sememangnya merupakan sayuran atau ulaman yang sangat popular di kalangan masyarakat Melayu. Selain itu ia juga digunakan sebagai bahan yang membantu perawatan beberapa masalah berkaitan kesihatan, terutama wanita. Pegaga liar tumbuh jarang di piggir halaman atau di belukar-belukar jadi mungkin itu menjadi salah satu penyebab mengapa ia adakalanya dipandang remeh. Kini terdapat krim untuk perawatan kulit yang dihasilkan menggunakan pegaga dari jenama terkenal sehingga mencecah harga ratusan ringgit. Oh, pegaga!


Pegaga tumbuh di sekitar kawasan yang agak panas seperti India, Sri Lanka, Malaysia, Utara Australia, Iran, New Guinea dan beberapa kawasan Asia lagi. Oleh kerana ia tumbuh di banyak kawasan, ia juga di panggil dengan nama seperti pennywort, gotu kola selain dari nama saintifiknya Centella Asiatica/ Hydrocotyle Asiatica.

Di negara kita pegaga lebih terkenal sebagai ulam dan sebagai sajian yang dicampur di dalam masakan. Untuk tujuan ini pegaga yang di tanam secara komersil adalah lebih sesuai kerana ia lebih subur dan mudah untuk disediakan untuk tujuan masakan selain rasanya lebih enak. Ini kerana pegaga liar lebih pahit dan biasanya bersaiz kecil kerana tiada pembajaan yang dilakukan. Sebelum kita lihat bagaimana pegaga digunakan dalam perubatan moden mari kita lihat terlebih dahulu sejarah pegaga ini.

Pegaga sebagai bahan sabun kecantikan

Ekstrak pegaga digunakan
Pegaga telah digunakan sejak lebih kurang 3,000 tahun dahulu sebagai bahan duretik dan penambah kepekaan serta konsentrasi di India. Ia memberi kesan seumpama kopi tanpa kandungan kafein yang mempunyai kesan sampingan. Sebaliknya pegaga didapati mengimbangi kandungan gula dan mencegah hypoglycemic. Terdapat kisah menyatakan pengambilannya bermula daripada melihat perlakuan gajah yang biasanya didapati memakan tumbuhan ini. Jadi masyarakat India menjadikannya sebagai makanan bagi mendapatkan faedah kesihatan seperti gajah yang mampu hidup lama dan kuat.

Pegaga juga terkenal sebagai bahan merawat luka dan beberapa permasalahan kulit seperti leprosy, lupus, ulcer varicose, eczema, psoriasis selain diarrhea, demam, amenorrhea, sakit berkaitan perempuan dan juga membantu memberpaiki daya kognitif. Perubatan moden cuba sedaya mungkin bagi mendapatkan faedah perubatan yang mampu diberikan dari tumbuhan ini memandangkan ianya sangat berpotensi dalam perawatan kulit.

Dalam kaedah yang biasa, pengambilan pegaga boleh dilakukan dengan cara mudah iaitu secara menggunakan pegaga sebagai ulaman. Teh pegaga juga boleh digunakan iaitu dengan merendam daun pegaga di dalam air panas selama 5 minit sebelum air itu boleh diminum. Manakala untuk perawatan kulit pula anda bolehlah menumbuk daun pegaga sehingga lumat dan menggunakannya bersama bedak sejuk bagi mengurangkan bintik-bintik hitam di muka.


Berbanding dengan perubatan moden, pegaga digunakan di dalam penghasilan produk-produk kecantikan atau krim penjagaan kulit. Selain daripada dijadikan sebagai supplement makanan. Terdapat banyak sabun yang dihasilkan menggunakan pegaga sebagai bahan campuran bagi merawat permasalahan kulit. Gabungan teknik perubatan yang lebih baik bagi penyuburan sel. Produk seperti Mederma menggunakan ekstrak pegaga dalam menghasilkan krim khas untuk merawat 'strecth marks'. L'Eudine pula menghasilkan anti-cellulite daripada ekstrak tumbuhan ini. Manakala Clarins menghasilkan krim kontor mata yang sememangnya memerlukan bahan yang betul-betul berkesan membantu pertumbuhan sel yang lebih baik.

Produk berkualiti

Melihat kepada fenomena ini khasiat pegaga masih lagi di dalam proses pengolahan dan terbukti secara keseluruhan ia banyak membantu dalam merawat permasalahan berkaitan kulit. Walaubagaimanapun dalam masa yang sama ia turut membantu dalam memperbaiki tahap kesihatan yang lain seperti kecing manis dan darah tinggi. Jadi, bagi anda yang masih boleh menanam pegaga di pinggir rumah, adakah anda akan membiarkan pegaga tersebut begitu sahaja?



Free Download



Isnin, 4 November 2013

Makanan Tradisi Sayur Cekur Manis

Buahnya juga kelihatan menarik.
Apalagi yang menarik bagi saya di kampung adalah, sumber makanan yang tersedia di sekeliling rumah. Ini kerana di kampung hampir seluruh bahagian rumah akan ditanam dengan tanaman yang rata-ratanya boleh menyumbang kepada sumber makanan harian. Tanaman ini bukan sahaja tergolong dari kumpulan sayuran, malah buah-buahan, ulaman, rempah, penambah perisa, ubatan dan juga pokok hiasan. Apa yang menarik lagi tanaman ini turut menyegarkan suasana, sekeliling disamping mengindahkan lagi kawasan perkarangan rumah.

Pokok cekur manis mudah ditanam
Hari ini mengingatkan saya kepada satu sayuran yang biasanya ditanam di sekeliling rumah, adakalanya di sudut kecil berhampiran dapur. Sayur ini juga amat popular dan dikenali sebagai sayur cekur manis (sauropus androgynus). Terdapat beberapa nama yang biasa diberikan kepada sayur ini antaranya sayur manis dan asin-asin. Ia juga dikenali sebagai katuk di Sabah. Malah sayur ini bukan sahaja popular, malah orang Cina memanggilnya mani cai, orang Jepun pula mengenalinya sebagai amame shiba, orang Thai memanggilnya pak waan, di Vietnam ia dipanggil rau ngót dan di Kerla-India ia dikenali sebagai malay cheera.

Cekur manis mudah ditanam melalui batangnya. Sebab itulah ianya biasa tumbuh berhampiran dapur kerana batang tersebut terus dicucuk ke tanah setelah daunnya diambil untuk tujuan memasak. Pokoknya juga tidak terlalu tinggi kerana ia selalu diambil di bahagian daun barunya. Namun begitu ia akan tetap menghasilkan dahan baru dan terus mengeluarkan daun. Bagi pokok yang tidak diambil pucuknya atau pun dicantas ketinggiannya dikatakan boleh mencecah sehingga 8m.

Sayur ini mudah di masak dan dipelbagaikan. Walaupun kebiasaannya ia digoreng bermasa telur dan ikan bilis ada juga yang memasaknya sebagai masak lemak bersama labu. Biasa juga dijadikan sebagai ulam untuk pucuknya dimana ia direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau sambal-sambal lain. Apapun kaedah masakan yang anda gemari, sayur cekur ini bagi saya sememangnya menggamit kenangan kerana semasa kecil, terdapat banyak pokok ini di sekeliling rumah. Tapi hari ini tiada lagi!

Bunga cekur manis

Cekur manis terutamanya bahagian yang digunakan untuk memasak dan segar mengandungi provitamin A karetinoid. Selain itu ia juga kaya dengan vitamin B, C, protein dan galian. Kandungan zat ini juga tinggi untuk daun yang matang - tetapi mungkin tidak sesuai untuk dijadikan makanan kerana keras dan agak pahit - mungkin akan ada resepi baru untuk ini nanti.

Cekur manis juga dikatakan mengandungi khasiat perubatan antaranya adalah untuk merangsang penghasilan susu ibu, bagi wanita yang baru bersalin. Air rebusan daun ini juga mampu merawat demam panas, masalah pembuangan air kecil, pening-pening, penyakit berkaitan saluran darah (kardiovaskular), pitam dan tekanan darah tinggi. Manakala daun dan akar pula direbus dan diminum airnya untuk merawat hidung berdarah, penyakit puru dan penyakit patik.

Walaubagaimanapun pengambilan berlebihan sayuran ini boleh menyebabkan masalah paru-paru kerana ia mengandungi kandungan alkaloid papverine yang tinggi - masalah ini di kesan di Taiwan berikutan penggunaanya yang tinggi pada pertengahan 90'an bagi mengawal masalah berat badan. Kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti masah yang berpunca daripada pengambilan sayur ini secara berlebihan.

Itu sahaja apa yang ingin saya kongsikan berkenaan dengan sayur cekur manis ini. Mungkin ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan kembali anda kepada sayuran ini atau ada di antara anda yang ingin menanam semula sayur ini di persekitaran rumah? Saya di antaranya.



Free Download





Khamis, 10 Oktober 2013

Makanan Tradisi Malaysia, Ulam - Kerdas

Pokok kerdas hidup di pinggir-pinggir hutan, buahnya menjadi kegemaran penggemar ulam.

Ulam-ulaman sangat terkenal sebagai makanan pelengkap bagi masyarakat Melayu di Negara kita. Bagi masyarakat Felda Bukit Rokan pula yang memang rata-ratanya di kelilingi oleh kawasan hutan ulam-ulaman yang terdiri daripada buah-buahan hutan juga amat mudah didapati suatu masa dahulu. Mungkin hari ini buah-buahan hutan ini masih terdapat di kawasan sekitar tetapi tidak ramai yang mengenali pokoknya apatah lagi yang mampu membawa hasil hutan ini keluar dari kawasan hutan.

Kerdas walaupun tidak sepopular petai dan jering, namun masih menjadi antara ulam yang sering menjadi kegilaan peminat ulaman. Kerdas yang mempunyai rupa bentuk buah yang unik dan bau yang tidak kurang hebatnya adakalanya dijual di pasar-pasar malam dengan hara yang kian mahal. Terdapat beberapa biji kerdas di dalam sebuah, buah kerdas. Selaput biji ini bewarna kuning dan bertukar menjadi gelap apabila buah semakin matang.


Biji buah kerdas apabila dikeluarkan dari buahnya.

Kebiasaannya buah kerdas hanya dimakan sebagai ulam berbanding petai dan jering yang turut dijadikan sebagai bahan masakan seperti sambal petai dan gulai jering. Namun masih terdapat permintaan untuk kerdas menjadikan ianya masih diburu oleh peminat-peminatnya.

Pokok kerdas tidak setinggi pokok petai yang mempunyai buah hanya di bahagian pucuknya sahaja. Secara tidak langsung buah kerdas lebih mudah untuk diambil berbanding buah-buahan hutan yang lain. Apa yang menjadi punca buah ini sukar didapati di pasaran adalah kerana tidak ramai yang mengenali pokoknya.


Semoga buah kerdas akan mendapat perhatian semula di kalangan masyarakat dan dikenali sebagai sebahagian warisan masyarakat Melayu. Mungkin kerdas mempunyai khasiat sendiri yang dapat menjadikan popularitinya meningkat semula. 




Free Download




Arkib Blog