Memaparkan catatan dengan label tradisional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tradisional. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Januari 2022

Lengkuas Bahan Perasa Makanan Penting dan Faedahnya

Lengkuas yang sedia untuk dijual di pasaran.

Lengkuas merupakan nama yang tidak asing lagi bagi mereka yang biasa memasak di dapur. Terkenal dengan nama lengkuas (Alpinia galanga), ia merupakan satu lagi tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae seperti juga halia, kunyit, buah pelaga, cekur dan sebagainya. Lengkuas sendiri terdiri dari pelbagai jenis, walaupun kebanyakannya digunakan di dalam masakan, ada di antaranya yang lebih digunakan untuk tujuan perubatan. Lengkuas merupakan tumbuhan yang menjadi fokus kita kali ini.
 
Walaupun lengkuas merupakan nama yang cukup dikenali, namun di Malaysia ia lebih popular apabila tibanya hari perayaan seperti Hari Raya, untuk penyediaan rendang. Namun ia juga turut digunakan untuk masakan-masakan biasa seperti laksa, singgang atau gorengan. Penggunaan lengkuas lebih meluas di negara-negara jiran seperti Indonesia dan amat terkenal di Thailand untuk masakan seperti kari hijau, tom yum, tom sab leng, massaman dan juga tom kha gai. Penggunaan nya di dalam masakan turut dikongsi dengan negara jirannya iaitu Laos dan negara-negara Asia Tenggara yang lain termasuk Vietnam, Cambodia, Myanmar dan Philippines. Antara lain lengkuas turut mendapat jolokan nama antaranya halia Thailand atau halia Laos.

 
Penggunaan lengkuas di dalam masakan memberikan rasa dan aroma yang lebih menyelerakan. Ia mudah dipadankan dengan pelbagai jenis masakan dan rempah-rempah yang lain. Tidak diketahui dengan jelas mengapa di negara kita ia tidak sepopular di negara-negara jiran. Mungkin antara sebabnya adalah dari segi bekalan nya di sesetengah tempat yang hanya mudah diperolehi ketika musim-musim perayaan. Tidak seperti dua lagi herba yang popular iaitu kunyit dan halia yang digunakan lebih meluas di negara kita.

"Thai green curry" merupakan masakan Thai yang amat popular menggunakan lengkuas.

Perbezaan antara pokok lengkuas, kunyit dan halia.

Sebelum kita melihat lebih lanjut mengenai lengkuas, mari kita lihat nama lengkuas di beberapa negara antaranya; blue ginger, Thai ginger, lengkuas, romdeng (Cambodia), riềng (Vietnam), kanghu (manipuri), pa de kaw (Myanmar), langkawas (Philippines), and laos (Indonesia). Mungkin terdapat pelbagai nama lagi di kawasan-kawasan lain di dunia yang tidak dapat disenaraikan di sini. Selain itu, lengkuas-lengkuas ini juga mungkin terdiri daripada spesies yang berbeza, jadi ia tidak semestinya sama dengan apa yang kita perolehi di negara kita Malaysia.
 
Di Malaysia penanamannya dilakukan secara ladang di beberapa kawasan seperti di Muar dan Batu Pahat oleh masyarakat Jawa. Tempoh penanaman yang mengambil masa sekurang-kurangnya 9 bulan ke atas untuk mendapatkan hasil tuaian yang baik. Ia boleh dilakukan di kawasan tanah rendah setelah proses pengemburan yang baik. Proses mengapor perlu dilakukan sekiranya tanah mempunyai pH rendah (berasid) selain menambah unsur Phosphorus (P) dan juga Kalsium (Ca). Seperti juga tanaman-tanaman Zingiberaceae yang lain, tanaman lengkuas memerlukan tanah yang cukup gembur, berhumus tinggi dan sebaiknya tidak terdedah kepada matahari yang terlalu kuat. Namun dalam saiz ladang yang besar, teduhan ini adalah daripada kumpulan pokok-pokok itu sendiri.

 
Walaupun mempunyai potensi yang tinggi, harga lengkuas di pasaran tidaklah begitu tinggi. Ini mungkin kerana penggunaan nya tidak cukup meluas seperti di negara-negara jiran. Namun sekiranya dilihat dari segi fungsinya di dalam masakan dan faedah kesihatan tumbuhan ini perlu digunakan lebih kerap (pada kadar yang selamat di dalam masakan), atau sukatan sesuai apabila digunakan secara luaran. Antara lain faedah lengkuas adalah;

Lengkuas dalam bentuk segar, kering dan serbuk.

1) Masalah berkaitan penghadaman / pencernaan - lengkuas merupakan bahan yang digunakan untuk melegakan masalah berkaitan pencernaan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan cegukan. Ia boleh digunakan dengan menyediakan masakan yang menggunakan lengkuas. Sangat mudah! Namun faedah lengkuas dan faedahnya kepada perut turut disokong dengan kajian daripada sekumpulan penyeldik di Jepun pada tahun 2003 yang mendapati ekstrak lengkuas mampu melindungi dinding perut daripada kecederaan.
 
2) 
Menyegarkan bau badan - lengkuas juga dikatakan dapat mengurangkan pertumbuhan bakteria pada badan yang menyebabkan bau badan dan masalah nafas berbau (halitosis). Ini kerana lengkuas mengandungi 1’-acetoxy eugenol acetate yang merupakan bahan yang mengelakkan pertumbuhan bakteria.
 
3) Membantu melawan keradangan dan sakit - lengkuas mungkin berpotensi dalam melawan keradangan dan mengurangkan sakit bagi pengidap osteoarthritis. Lengkuas mengandungi HMP, iaitu sejenis phytochemical yang dihasilkan secara semulajadi dan melalui ujian ke atas haiwan menunjukkan peningkatan potensi anti-keradangan.

Lengkuas yang dituai tepat pada masanya kelihatan segar dan cantik.

4) Meningkatkan kesuburan lelaki - kajian terus dilakukan mengenai potensi lengkuas dalam meningkatkan kesuburan lelaki. Ujian ke atas tikus menunjukkan peningkatan dan pergerakan aktif sperma setelah diberikan ekstrak lengkuas. Manakala dalam ujian yang lain mendapati sekumpulan 66 lelaki dengan jumlah sperma yang kurang, diberikan suppliment yang mengandungi ekstrak lengkuas dan buah delima mendapati 62% peningkatan jumlah dan pergerakan aktif, berbanding 20% peningkatan bagi mereka yang hanya menerima plasebo.
 
5) 
Mencantikkan kulit dan anti penuaan - lengkuas turut digunakan dalam produk penjagaan kulit dalam bentuk minyak Essential. Ia sesuai digunakan untuk pelbagai masalah kulit dengan kandungan anti-oksidan yang mengelakkan masalah penuaan kulit.

Ladang lengkuas di Indonesia.

Banyak lagi kajian bagi mengenalpasti potensi lengkuas bagi tujuan perubatan. Namun perlu diingatkan bahawa penggunaan lengkuas perlu dilakukan dalam jumlah yang selamat (iaitu pada kadar yang digunakan di dalam masakan) - dose yang dikatakan selamat ke atas haiwan adalah sekitar 909 mg per pound (2,000mn per kg) berat badan. Penggunaan berlebihan boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan yang serius.

 
Seterusnya anda bolehlah mula mengenali jenis-jenis masakan yang menggunakan lengkuas bagi mempelbagaikan lagi penggunaannya di dalam kehidupan harian. Lengkuas sebenarnya amat mudah digunakan dalam pelbagai jenis masakan yang biasa bagi orang Asia Tenggara. Ia sesuai dipadankan dengan masakan yang menggunakan daging, ayam, ikan, makanan laut, mahupun sayuran. Maka dengan ini, anda akan menambahkan lagi penggunaannya dalam kehidupan harian.
 
Maka dengan itu merupakan perkongsian kita kali ini. Semoga ia dapat memberikan minat kepada satu lagi tumbuhan yang penting kepada masyarakat kita dan sekitar Asia Tenggara. Selain meningkatkan penggunaan lengkuas, ia juga membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang penanaman lengkuas atau menanamnya untuk tujuan hobi sahaja. Sekian sahaja, terima kasih.


Selasa, 19 Julai 2016

Kenali Teknik Perubatan Gua Sha

Gua Sha melancarkan meredaran darah dan memberikan kerehatan.

Teknik perubatan Gua Sha (刮痧; guā shā) merupakan salah satu perubatan traditional yang berasal daripada China sejak ribuan tahun dahulu. Seperti juga teknik-teknik perubatan alternatif yang lain, ia kurang difahami hari ini walaupun masih terdapat ramai pengamalnya (jadi anda perlu berhati-hati sekiranya ingin mendapatkan rawatan melalui teknik perubatan ini).

Gua Sha menggunakan teknik gosokan menggunakan objek-objek tumpul daripada sudu tembikar, syilling, tulang binatang, tanduk, jade dan sebagainya. Teknik perubatan ini berkembang meluas dan di Vietnam ia dikenali sebagai  “cạo gió”, yang antara lain membawa maksud; melurut angin. Teknik rawatan ini juga turut diamalkan di Java dan dikenali sebagai “kerikan” atau “kerokan”. Ia mungkin mempunyai nama-nama lain mengikut kawasan dan daerah, namun pada konsepnya adalah menggunakan objek tumpul untuk melurut permukaan luar kulit.

Mungkin anda tidak perlu menekankan penggunaan Gua Sha seperti ini.

Antara teks lama merujuk kepada perawatan gua sha. 

Teknik perawatan ini menimbulkan banyak tanda tanya mengenai keberkesanannya selain menimbulkan bekas yang agak mengerikan pada permukaan kulit. Apa yang pasti, teknik ini tidak didokumentasi dengan sempurna seperti teknik akupuntur, kerana ia biasanya dianggap sebagai teknik urutan yang sedikit melegakan. Namun ia boleh mendatangkan mudarat sekiranya tidak dilakukan dengan berhati-hati. Tekanan yang terlalu kuat boleh mengakibatkan kecederaan serius kepada pembuluh-pembuluh darah halus di bawah permukaan kulit. Jadi anda dinasihatkan supaya tidak menggunakan tekanan yang terlalu kuat semasa melakukan teknik rawatan guasa.

Usaha untuk memahami teknik perubatan ini giat dijalankan bagi mengenalpasti potensi sebenarnya kepada kesihatan. Antara usaha untuk memahamim kaedah ini dijalankan oleh Dr Arya Nielsen daripada Beth Israel Medical Center, New York. Kerja-kerja beliau boleh diikuti daripada beberapa laman web yang disediakan seperti pacificcollege.edu dan juga guasha.com. Malah banyak lagi laman yang menyediakan rujukan untuk anda memahami teknik perawatan jenis ini mengenai bagaimana ianya berfungsi antaranya adalah guashaspace.com.

Antara peralatan utuk rawatan gua sha.

Segala objek tumpul dan tidak mencederakan kulit digunakan.

Apa yang sukar dibuktikan adalah keberkesanannya dalam merawat penyakit-penyakit kronik; dan anda tidak dinasihatkan merawat penyakit jenis tersebut melalui kaedah perawatan ini. Adapun ia mungkin membantu untuk melancarkan peredaran darah dan memberikan kerehatan pada badan sekiranya dilakukan dengan betul. Jadi ianya perlu dilihat seperti juga teknik urutan.

Sekiranya anda ingin mencuba teknik ini, apa yang dinasihatkan adalah tidak melakukannya dengan terlalu kuat kerana ia boleh mencederakan. Lakukan sedikit semakan mengenai teknik perubatan ini, kerana ia tidak boleh merawat segala jenis penyakit melainkan hanyalah memberikan sedikit kerehatan dan membantu melancarkan peredaran darah. Sekiranya anda berminat, carilah lebih maklumat untuk memahaminya bagi tujuan yang lebih baik.

Gua sha juga digunakan dalam perawatan kecantikan.

Alat gua sha yang diperbuat daripada batu jade.

Gua Sha bukanlah teknik perubatan ajaib, jadi anda perlulah berhati-hati. Namun begitu ia juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia juga mungkin berpotensi dalam membantu anda mencapai kesihatan yang lebih baik. Dapatkan maklumat yang tepat sebelum anda mencubanya, dan bantulah mereka yang lain dengan memberikan maklumat yang tepat mengenai perawatan ini sekiranya anda menemuinya.



Free Download



Sabtu, 18 Jun 2016

Zaitun Buah Yang Penuh Kebaikan

Buah zaitun mempunyai khasiat yang baik.

Tentu anda semua pernah mendengar mengenai buah zaitun atau olive (Olea europaea) yang merupakan buah yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak beribu tahun dahulu iaitu kira-kira 6,000 hingga 7,000 tahun dahulu. Selain daripada membekalkan minyak, buah zaitun juga merupakan sumber makanan kepada manusia. Pokok zaitun adalah berasal dari family Oleaceae yang didapati tumbuh di banyak kawasan di dunia dari Benua Afrika, Asia sehingga ke China, Canary Island, Mauritius dan Réunion. Penggunaannya untuk tempoh yang lama membolehkan lebih banyak kultivar baru dihasilkan yang terdapat di banyak kawasan-kawasan lain sehingga ke Mediterranean, Argentina, Saudi Arabia, Java, Norfolk Island, California juga Bermuda.

Dua hasil utama buah zaitun adalah dalam bentuk buah dan minyaknya. Minyaknya sepertimana yang kita ketahui telah lama digunakan di bahagian Timur Tengah dan minyaknya juga digunakan sebagai bahanapi selain digunakan sebagai minyak masakan yang penting di bahagian Eropah. Namun minyak zaitun juga diketahui mempunyai banyak kebaikan dan kegunaan terutamanya untuk rambut dan kulit.

Pokok zaitun merupakan pokok yang tidak terlalu tinggi dengan ketinggian antara 8 - 15 m (26 – 49 ft.). Namun pokok zaitun mampu hidup untuk tempoh yang lama dan ada yang menjangkau sehingga ribuan tahun. Ini kerana pokok zaitun tahan dengan perubahan keadaan cuaca selain keadaan panas, kemarau dan juga keadaan tanah yang agak masin (high salinity). Maka tidak hairanlah mengapa ianya dikenali di serata dunia, selain menjadi sumber perdaganggan sejak ribuan tahun dahulu. Sehingga ke hari ini, zaitun merupakan antara tanaman penting di beberapa buah negara dengan pengeluaran tertinggi dari negara Spain, Italy, Greece, Turkey, Moroco dan lain-lain.


Ladang buah zaitun.

Pokok buah zaitun tua.

Selain membekalkan minyak dan makanan daripada buahnya. Kayu pokok zaitun juga boleh digunakan untuk membuat perabut. Kayu pokok zaitun sering dijadikan perabut kerana kayunya berminyak dan mengeluarkan bauan yang harum. Zaitun mempunyai bunga yang bersaiz lebih kecil dan berwarna putih, kerana agen pendebungaan utamanya adalah angin.

Manakala buah zaitun pula perlu diproses (dijeruk) sebelum ianya boleh dimakan. Saiznya juga agak kecil dengan seketul biji ditengahnya dan dipanggil “drupe” seperti juga buah almond, aprcot, tamar, kopi, kelapa dan lain-lain lagi. Bagi tujuan makanan, buah yang mempunyai isi yang lebih tebal dipilih sebelum dijeruk bagi mengurangkan rasa pahit kerana ia mengandungi ‘oleuoropein’. Selain membeli buah zaitun yang telah siap diproses, ada juga para pengguna yang menjeruk buah zaitun mereka sendiri di rumah.


Buah zaitun yang dituai dari ladang.

Buah zaitun dengan pelbagai jenis penyediaan.

Beberapa Khasiat Buah Zaitun

  • Buah zaitun merupakan sumber makanan yang menyihatkan. Selain membekalkan tenaga ia juga mengandungi anti-oksidan, minerals, phyto-sterols dan juga vitamin-vitamin tertentu.
  • Ia mengandungi kalori yang tidak terlalu banyak; iaitu bagi 100 g boleh membekalkan sehingga 115 kalori. Kalori ini berasal dari minyaknya yang terdiri daripada mono-unsaturated fatty acids (MUFA), seperti oleic acid (18:1), dan palmitoleic acid (16:1) yang membantu mengurangkan LDL atau kolestrol yang tidak baik, berbanding tinggi dengan HDL atau kolestrol yang baik. Kesan penggunaan minyak zaitun ini dapat dilihat pada tabiat pemakanan Mediterranean yang kurang menghidap penyakit jantung, stroke selain membantu memperbaiki lipid pada sel darah.
  • Oleuropein dan oleocanthal merupakan dua bahan anti-oksidan yang baik. Ditambah pula dengan kandungan vitamin E dan carotenoid, ia membantu dalam menentang kanser, keradangan, penyakit koronary arteri, kerosakan pada sel saraf, dibetes dan lain-lain lagi.
  • Vitamin E juga merupakan anti-oksidan terlarut yang baik, diperlukan untuk mengekalkan fungsi mukosa membrane sel dan kulit dengan melindunginya dari radikal bebas oksigen.
  • Ini ditambah lagi dengan kandungan mineral seperti calcium, copper, iron manganese, dan zinc. Malah ia juga mengandungi sejumlah vitamin-vitamin penting seperti B-komplek iaitu niacin dan choline, serta pantothenic acid.
  • Minyak zaitun merupakan antara minyak yang baik digunakan untuk masakan kerana kurang mengandungi minyak tepu (saturated fat), sebaliknya mengandungi linoleic (omega-6) dan linolenic acid (omega-3), iaitu lemak-lemak penting dengan nisbah 8:1.

Minyak zaitun salah satu daripada hasil dari buah zaitun.

Virgin Olive Oil, yang mempunyai banyak kebaikan.

Itu hanyalah sebahagian kebaikan minyak zaitun tidak termasuk faedah penggunaannya untuk rambut dan kulit seperti yang telah lama diketahui. Minyak zaitun telah digunakan untuk tujuan ini sejak ribuan tahun dahulu. Minyak zaitun merawat kulit kering dan beberapa lagi masalah kulit selain menghilangkan kesan parut. Ia juga adakalanya mampu merawat jangkitan kulat pada kulit dan kuku. Faedahnya sebagai minyak rambut juga telah lama diketahui bagi mengelakkan rambut rosak daripada keadaan cuaca, kekeringan (akibat penghawa dingin), kesan bahan kimia seperti gel rambut, semburan rambut dan sebagainya. Malah setiap pengguna minyak zaitun mempunyai kaedah tersendiri memanfaatkan minyak ini.


Manakala kita di Malaysia hanya menggunakan minyak zaitun pada kadar yang paling rendah. Ia tidak digunakan sebagai bahan masakan, manakala minyak zaitun yang digunakan untuk minyak rambut pula adalah minyak yang telah diproses. Mungkin tidak semua berminat untuk mengetahui mengenai zaitun dan khasiatnya, tetapi mungkin ia kerana kita kurang mengetahui mengenai faedah serta khasiatnya. Masih belum terlambat untuk kita mempelajarinya.






Free Download



Khamis, 11 Februari 2016

Apa Anda Fikirkan Mengenai Senaman Tai Chi

Tai Chi diwaktu pagi dapat memberikan pelbagai faedah kepada kesihatan.

Tai Chi satu bentuk senaman lama yang berasal dari negara China. Sehingga hari ini masih terdapat mereka yang masih mengamalkan gaya senaman ini walaupun terdiri dari golongan yang tua. Namun begitu sekiranya anda memikirkan ia adalah satu senaman yang kurang bermanfaat fikirkan sekali lagi. Mari kita ikuti pendapat professional!

Sebuah artikel dari Harvard Medical School mengelarkan Tai Chi sebagai “medication in motion” berbanding gelaran yang biasa diberikan kepada senaman ini iaitu “meditation in motion”. Ini kerana aktiviti senaman ini merangkumi senaman untuk badan danjuga minda.

Faedah kesihatan Tai Chi ini tidak memerlukan anda memahami apakah sebenar asasnya yang membentuk senaman ini mengikut falsafah China iaitu;


Qi – kuasa yang mengalir di dalam badan kita, melalui tai chi tenaga ini dapat di alirkan dengan sempurna.

Yin dan Yang – dua tenaga yang bertentangan membentuk alam semesta dan perlu sentiasa berada dalam keadaan seimbang. Tai chi juga dapat mengimbangi kedua-dua tenaga ini di dalam diri seeorang.


Tai Chi boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja tua ataupun muda.

Tai Chi amat baik untuk mengawal imbangan badan.

Walaupun tai chi tidak mudah untuk dipelajari (untuk diingati sekala pergerakannya), namun ia mudah dilakukan mengikut mereka yang mahir. Ia bergantung kepada anda sendiri sekiranya ingin mengikuti aktiviti senaman ini ataupun mengikuti kelas khas senaman tai chi. Ini kerana terdapat banyak variasi tai chi dan anda perlu mengetahui serba sedikit sebelum mengikutinya.

Faedah Tai Chi

Antara faedah tai chi secara ringkasnya adalah seperti berikut. Walaupun ia tidak memerlukan tenaga yang banyak, ia amat membantu dalam beberapa perkara berikut seperti – kekuatan otot-otot, fleksibiliti, imbangan juga merupakan salah satu aktiviti aerobik.

Otot-otot: Tai chi dapat membantu menguatkan bahagian bawah badan (lower-body) dan juga bahagian ata (upper-body). Sekiranya dilakukan untuk tempoh masa yang panjang ianya setanding dengan melakukan latihan rintangan (resistance training) dan juga berjalan pantas (brisk walking).

Fleksibiliti: Tai chi dapat menggalakkan bahagian atas dan bawah badan untuk fleksibiliti dan kekuatan.

Imbangan: Tai Chi memperbaiki kebolehan imbangan dan mengelakkan seseorang daripada terjatuh. Keupayaan pengimbangan (proprioception) ini kebiasaannya berkurangan mengikut usia dan latihan berterusan dengan tai chi dapat melatih bahagian imbangan ini untuk terus aktif. Disamping menguatkan otot-otot yang juga perlu untuk memastikan badan tetap dalam keadaan seimbang.

Aerobik: Keadaan aerobik ini bergantung kepada kepantasan dan tempoh anda melakukan senaman tai chi. Namun begitu sememangnya tai chi menggunakan oksigen sepanjang sesi senaman, cuma anda mungkin boleh menambah dengan sedikit senaman latihan seperti berbasikal atau berlari.

Tai Chi kini diterima oleh semua orang.

Tai Chi juga merupakan gerakan seni mempertahankan diri.






Free Download



Sabtu, 23 Januari 2016

Pengaruh Muzik Kepada Keperibadian Anda

Muzik mempunyai pengaruh yang kuat kepada manusia dan alam!

Muzik mempunyai hubungkait yang kuat kepada manusia, malah haiwan juga dikatakan mempunyai cara tersendiri berkaitan bunyi-bunyian yang dihasilkannya (menyerupai muzik pada manusia). Getaran dan tempo pada muzik jelas mempengaruhi psychology dan physiology manusia seterusnya tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang.

Hampir setiap masyarakat di dunia mempunyai muziknya tersendiri yang mengambarkan muzik itu sendiri adalah terhasil dari naluri manusia. Namun hari ini muzik tersebar dengan lebih meluas dan ia menjangkaui sempadan geography. Pilihan muzik yang dilakukan pula lebih kepada pengaruh media, orang ramai dan pergaulan.

Bolehkah Muzik Mencorak Permikiran?


Kesan muzik pada otak manusia.

Muzik sudah sekian lama diketahui dapat mempengaruhi perasaan seseorang. Sesebuah muzik dapat mengembalikan perasaan sedih, ceria, kreatif dan sebagainya. Kajian menunjukkan selepas seseorang mendengar muzik yang berunsur sedih atau gembira akan membuat penilaian ke atas wajah neutral berdasarkan muzik yang didengarinya.

Pengaruh muzik ke atas emosi ini adakalanya berlaku tanpa sedar oleh seseorang pendengar muzik tersebut. Muzik hari ini digunakan dalam banyak cabang melalui pelbagai media terutamanya pengiklanan, filem, berita dan hampir semua cabang di mana ia boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai dalam membuat keputusan/tindakan.

Pilihan Muzik Dan Pengaruhnya

Maka dengan itu, tanpa ragu-ragu corak pilihan muzik sememangnya mempunyai pengaruh dengan tingkahlaku dan tindakan seseorang. Samada anda menyukainya ataupun tidak, muzik pilihan anda mecorakkan bagaimana anda bertindak tehadap persekitaran.

Kajian yang dilakukan terhadap beberapa tingkalku peribadi terhadap beberapa elemen seperti keterbukaan kepada pengalaman, hubungan sosial, penerimaan pendapat, keperibadian dan emosi. Kesemua pengaruh ini dapat dilihat dengan lebih tepat melainkan keperibadian yang merupakan ciri-ciri yang pelu dilihat dengan lebih halus.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Heriot-Watt University mendapati kesan pengaruh muzik dapat digambarkan seperti berikut:

(klik gambar untuk saiz yang lebih besar).

Secara ringkasnya pengaruh-pengaruh genre muzik adalah seperti berikut:

Blues – harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Jazz - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul dan tenang.

Klasikal - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, suka menyendiri dan tenang.

Rap - harga diri yang tinggi (high self-esteem) dan peramah/ mudah bergaul.

Opera - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif dan peramah/ mudah bergaul.

Country – Kuat bekerja dan peramah/ mudah bergaul.

Reggae - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Dance – kreatif, peramah/ mudah bergaul dan tidak lemah lembut/berbudi bahasa.

Indie – rendah harga diri (low self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja dan tidak lemah lembut/berbudi bahasa.

Bollywood – kretif dan peramah/ mudah bergaul.

Rock/ heavy metal - rendah harga diri (low self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja, tidak peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Pop - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kuat bekerja, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa, tidak kreatif dan tidak tenang.

Soul - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Jadi anda boleh membuat penilaian dan pemerhatian dengan lebih terperinci mengenai hasil kajian ini. Anda juga boleh membandingkan pilihan muzik golongan atau individu tertentu dengan genre muzik kegemaran mereka.

Faedah Lain Muzik

Antara lain kebaikan muzik adalah memainkan peralatan muzik. Kanak-kanak yang didedahkan dengan latihan bermain peralatan muzik mendapat pelbagai faedah daripada latihan ini. Ia juga merupakan kemahiran ramai saintis dan orang-orang ternama (anda boleh membuat carian sendiri; siapa? dan peralatan apakah yang dimainkan mereka?).


Proses bermain alat muzik.

Bermain peralatan muzik bagi kanak-kanak terbukti memperbaiki penguasaan perbendaharaan kata (vocabulary) dan juga kemahiran pemikiran nonverbal mereka yang melibatkan pemahaman serta menganalisa data visual untuk masalah-masalah yang lebih kompleks.

Penguasaan bermain peralatan muzik ini membantu kanak-kanak menguasai deria motor mereka dengan cekap disamping tindakan kawalan anggota badan hasil daripada pemikiran yang pantas. Ia merupakan salah satu ciri-ciri penting untuk kecerdasan pemikiran seseorang individu.


Kesemua peralatan muzik memerlukan kemahiran bermain.

Salah satu peralatan muzik tradisional Indonesia.

Muzik secara kasarnya adalah setiap bunyian yang kita dengari bukan sahaja bunyi yang dihasilkan oleh peralatan muzik ataupun yang beserta nyanyian. Samada anda menyedari ataupun tidak, tiada manusia yang boleh lari dari pengaruh muzik ini.

Apa  yang membimbangkan adalah sekiranya kita mengambil sambil lewa tentang pengaruh muzik dan kesannya kepada tingkahlaku kita sehingga ia menghasilkan kesan yang jelas. Di mana hari ini kita dapat mengenalinya dengan mudah!


Sekiranya saya pergi dengan lebih jauh, ia boleh mendatangkan pandangan negatif terhadap peminat muzik bagi sesetengah genre. Namun begitu anda berhak membuat pilihan anda sendiri dan hasilnya juga anda akan melihat pula kesannya. Jadi manfaatkanlah perkara yang paling mudah ini kerana ia merupakan salah satu daripada kelebihan yang mudah diperolehi.



Free Download



Arkib Blog