Tindakbalas kimia dalam cecair ini digunakan untuk memanaskan makanan. |
Memasak tanpa menggunakan api bukanlah satu perkara baru, malah apa yang penting di dalam proses memasak adalah haba yang cukup untuk memanaskan makanan sehingga betul-betul masak (sesuai untuk dimakan). Terdapat beberapa kaedah memasak tanpa menggunakan api termasuklah menggunakan peralatan elektrik seperti ketuhar gelombang mikro, dapur induksi atau menggunakan dapur solar (solar furnace) dan apa yang ingin saya ketengahkan hari ini iaitu penggunaan cecair (melalui tindakbalas kimia).
Kaedah pemanasan makanan tanpa menggunakan api ini telah digunakan sekian lama oleh tentera Amerika bagi memanaskan makanan MRE (meal, ready-to-eat) mereka. Melalui kaedah ini ia bukan sahaja tidak menghasilkan asap malah tiada api yang boleh menyebabkan kebakaran hutan dan sebagainya. Malah teknik ini semakin mendapat sambutan daripada peminat-peminat aktiviti luar.
Kaedah memasak tanpa api digunakan oleh tentera. |
Melalui teknik ini alat pemanas tanpa api cukup untuk memasak makanan yang separuh masak seperti makanan dalam tin atau merebus telur. Suhu yang dicapai oleh alat pemanas cecair ini boleh menjangkau sehingga 90 ~ 104 darjah Celcius dalam masa beberapa saat. Suhu sebegini baik untuk memastikan makanan anda dimasak dengan sempurna – menghapuskan bakteria punca penyakit.
Terdapat beberapa syarikat yang mengeluarkan peralatan pemanas seumpama ini dan dijual dalam beberapa paket untuk satu set. Apabila perlu digunakan ia hanya perlu dicampurkan dengan air di dalam beg yang dikhaskan bagi ia bertindakbalas untuk menghasilkan haba yang diperlukan. Jadi ia merupakan tindakbalas kimia yang menghasilkan haba juga dikenali sebagai tindakbalas ‘exothermic’.
Paket sebelum dicampurkan dengan air untuk menghasilkan haba. |
Kreatif sekali penggunaan yang digunakan oleh syarikat pengeluar barangan tersebut. Prinsip yang digunakan pada produk ini telahpun kita pelajari di sekolah menengah lagi di dalam Sains tingkatan 4. Jadi ramai di antara kita yang mengetahuinya dan kebanyakan kita tidak mengendahkannya.
Semoga dengan itu kita akan terus memerhatikan di manakah pengetahuan yang kita pelajari boleh dipergunakan. Semoga kita dapat mengaplikasikan segala ilmu sebaik yang mungkin.