Memaparkan catatan dengan label termahal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label termahal. Papar semua catatan

Khamis, 30 Disember 2021

Buah Pelaga Antara Rempah Yang Termahal

Buah pelaga (cardamom), banyak digunakan di dalam masakan dan minuman.

Tidak ramai yang suka apabila tergigit buah pelaga di dalam masakan, namun rempah unik ini merupakan pelengkap masakan yang tidak mungkin akan dikecualikan. Bagi anda yang biasa membeli bahan masakan tentu akan perasan akan harga buah pelaga adalah jauh lebih mahal berbanding dengan rempah-rempah lain seperti kayu manis, bunga cengkih, buah keras, bunga lawang, lada hitam dan sebagainya. Sekiranya ia tidak sesedap rasanya, mengapakah buah pelaga begitu mahal? Sejauh manakah kita mengenali rempah yang unik ini, dan mengapakah kita tidak mengusahakannya?
 
Buah pelaga atau cardamom (Elettaria cardamomum) adalah tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae dalam erti kata lain adalah terdiri dari kumpulan keluarga halia seperti juga kunyit, halia, lengkuas dan lain-lain lagi tumbuhan dalam keluarga ini. Terdapat dua genus utama iaitu Elettaria dan juga Amomum dari mana kedua-dua genus ini adalah tumbuhan asal bagi bahagian di India sehingga ke Indonesia. Ia merupakan tumbuhan yang tumbuh pada kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Oleh sebab itu, kini pengeluar utama buah pelaga adalah Guatemala diikuti dengan India yang merupakan sejak sekian lama merupakan pengeluar utama. Selain itu buah pelaga juga turut ditanam di negara-negara lain seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Tanzania, Nepal, Bhutan, Costa Rica, El Salvador, Honduras, Papua New Guinea, Sri Lanka, dan Vietnam.

 
Buah pelaga yang terkenal merupakan buah pelaga hijau dari spesies Elettaria cardamomum yang tumbuh di sekitar India sehingga ke Malaysia. Manakala buah pelaga putih pula adalah dari jenis buah pelaga siam atau Siam cardamom, Amomum krervanh. Sejenis lagi buah pelaga adalah buah pelaga hitam Amomum subulatum yang mempunyai saiz yang lebih besar merupakan tumbuhan asal di kawasan Timur Himalaya seperti Nepal, Sikkim, Darjeeling dan kawasan West Bengal di India, dan juga Bhutan.

Antara buah pelaga yang telah kering dan bijinya.

Buah pelaga yang masih berada pada pokok.

Buah pelaga bukan sahaja popular di kawasan di mana ia tumbuh. Sejak bermulannya perdagangan rempah, ia telah lama dikenali di Timur Tengah dan juga Eropah sebagai sebahagian rempah yang penting. Walaupun masyarakat kita hanya menggunakannya di dalam masakan, antara lain ia turut dijadikan sebagai perasa minuman, kuih-muih dan juga bahan kudapan. Ini berbeza sekali dengan kita yang tidak menyukai apabila tergigit buah ini di dalam masakan. Rasanya berbeza sekali dari rempah-rempah yang lain, dan bercampur baur antara aroma dan pelbagai rasa yang juga sedikit berangin bagaikan pudina (mint).
 
Buah pelaga amat terkenal sebagai bahan perasa di dalam minuman seperti teh yang menggunakan buah pelaga dan kayu manis sebagai bahan perasanya amat popular di negara-negara seperti Bangladesh, India , Nepal, Pakistan dan Trinidad and Tobago. Di kawasan Timur Tengah pula serbuk buah pelaga hijau digunakan sebagai bahan perasa masakan manis, selain sebagai bahan perasa bagi minuman tradisi di dalam kopi dan teh. Bezanya, penggunaan buah pelaga digunakan dengan lebih meluas sebagai bahan perasa makanan. Manakala di sesetengah kawasan di Timur Tengah buah pelaga digunakan sehingga 40% daripada bahan yang digunakan. Maka tidak hairanlah hari ini negara-negara seperti Arab Saudi dan Kuwait merupakan pengimport terbesar rempah ini.

 
Begitu pula di negara-negara Nordik seperti Sweden, Norway dan Finland di mana ia digunakan sebagai bahan perasa makanan tradisional seperti roti Scandinavian Yule, Julekake, atau bun manis dari Sweden kardemummabullar, dan roti manis dari Finland, pulla. Ini kerana rempah buah pelaga mula ditemui oleh Vikings dan membawanya pulang ke Scandinavia dan ianya mula popular di dalam penyediaan wine, pastri dan juga roti.

Teh berempah dengan menggunakan buah pelaga merupakan minuman popular di banyak negara.

Di negara-negara Scandinavia, buah pelaga digunakan sebagai penambah aroma kepada makanan dan manisan seperti roti Scandinavian Yule, Julekake.

 
Apakah Yang Membuatkan Buah Pelaga Mahal?
 
Buah pelaga hijau merupakan rempah yang ketiga termahal di dunia selepas saffron dan juga c. Harga 100 gram rempah ini boleh mencecah USD9 (RM37) atau USD90 (RM370) bagi sekilogram. Seperti juga rempah-rempah yang mempunyai harga yang tinggi, buah pelaga merupakan tumbuhan yang sukar untuk diuruskan. Kira-kira sebanyak 6 kilogram buah segar perlu dituai bagi menghasilkan 1 kilogram buah pelaga hijau yang kering. Buah-buah ini juga perlu dituai oleh mereka yang berpengalaman, kerana buah-buah tidak matang dalam masa yang sama dan perlu dituai dengan betul bagi mengelakkan buah rosak (seperti buah pecah dan kurang bernilai di pasaran). Kerja-kerja perlu dilakukan dengan tenaga manusia terutamanya dalam memetik buah dan pengurusan pokok. Kerja rumit ini perlu dilakukan di kawasan penanaman buah pelaga yang kebiasaannya di lereng-lereng bukit dengan taburan hujan yang tinggi.

 
Penanaman Buah Pelaga
 
Penanaman buah pelaga boleh dilakukan dengan biji benih ataupun daripada keratan akar (rhizomes). Pastikan anda menggunakan biji yang digunakan untuk tanaman berbanding biji daripada rempah yang dibeli bagi memastikan pertumbuhan yang baik. Manakala dengan menggunakan akar pula. Pastikan akar cukup matang, iaitu kira-kira setahun dengan sekurang-kurangnya dua mata tunas. Semai biji pada jarak 1/2 atau 1 inci antara satu sama lain dengan kedalaman sekitar 1/8 inci di dalam tanah. Pastikan pokok buah pelaga anda mendapat cahaya yang cukup namun bukan cahaya terus matahari. Pokok buah pelaga memerlukan tanah yang kaya dengan humus dan sedikit berasid.
 
Dalam proses pembesaran juga pokok-pokok buah pelaga memerlukan tanah yang lembab, namun tidak bertakung. Pencahayaan yang cukup, tetapi tidak terdedah kepada cahaya terus daripada matahari. Ia sesuai ditanam di bawah teduhan pokok-pokok yang lain. Selain itu ia juga perlu berada dalam persekitaran dengan kelembapan tinggi. Ini perlu dilakukan dengan semburan air, ataupun tanaman berhampiran kolam air. Walaupun ia boleh ditanam di dalam bekas atau pasu, pertumbuhan akar yang berlebihan boleh menyebabkan pokok buah pelaga tidak menghasilkan bunga. Maka akar perlu dibahagikan bagi menggalakkan pertubuhan akar dan bunga. Secara kasarnya tumbuhan ini memerlukan air dan kelembapan yang cukup, cahaya (nanum bukan terik matahari) dan persekitaran yang tidak terlalu sejuk (suhu di atas 10°C).

Pokok-pokok buah pelaga memerlukan persekitaran yang lembab dan tidak terdedah kepada terik matahari.

Teduhan daripada pokok lain penting bagi pokok buah pelaga serta tanah yang kaya humus. 
 
Antara keadaan di sebuah ladang buah pelaga di negara Nepal.

Kegunaan Buah Pelaga
 
Terdapat pelbagai kegunaan buah pelaga tidak terhad kepada penggunaan nya sebagai bahan perisa rempah makanan sahaja. Malah sejak sekian lama, buah pelaga amat terkenal sebagai bahan perubatan yang digunakan sebagai minuman teh herba. Selain itu ia juga digunakan sebagai bahan kudapan untuk menyegarkan nafas, malah ia turut digunakan oleh Wrigley, di dalam produk Eclipse Breeze Exotic Mint, bagi membantu menyegarkan bau nafas yang kuat.

 
Antara industri lain yang turut menggunakan bauan daripada buah pelaga termasuklah industri minyak wangi yang telah lama menggunakan bauan buah pelaga sebagai antara ramun bauan di dalam sesetengah bauan seperti: Le Male; Jean Paul Gaultier, Emporio Armani Night; Giorgio Armani, Burberry Brit Summer; Burberry, CK Free Blue; Calvin Klein, 212 Men White; Carolina Herrera, Chrome; Azzaro, Versace Oud Noir; Versace, The One; Dolce & Gabbana, Givenchy Blue Label; Givenchy, Dunhill Pursuit; Alfred Dunhill, Jeans Couture; Versace, Boss Bottled Sport; Hugo Boss, Encounter; Calvin Klein, Aramis; Aramis. Manakala bagi haruman bagi wanita pula antaranya: Fendi; Fendi, Crystal Noir; Versace, Knowing; Estee Lauder, Aroma Tonic; Lancome, Spellbound; Estee Lauder, Carolina; Carolina Herrera, DKNY Women Fall 2013; Donna Karan, Omnia; Bvlgari, Jungle L’Elephant; Kenzo, Farouche; Nina Ricci, Versense; Versace, Secret Intention; Guerlain, Chrysalide; Lancome, Desnuda; Emanuel Ungaro, Mirror Mirror Collection Miroir Des Majestes; Thierry Mugler. Itu adalah sebahagian kecil shaja daripada haruman yang menggunakan bauan buah pelaga sebagai sebahagian daripada harumannya. Jadi terlalu banyak haruman di luar sana yang dihasilkan menggunakan haruman dari buah ini.

Buah pelaga hijau dan buah pelaga hitam yang mempunyai saiz yang lebih besar.
 
Buah pelaga putih yang mempunyai warna jelas berbeza daripada buah pelaga hijau.

Jadi diharap tajuk kita kali ini dapat menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai spesies rempah istimewa ini. Walaupun selama ini kita mungkin mengenalinya hanya di dalam masakan atau sebagai rempah di dapur, hari ini kita melihat fungsinya yang lebih besar. Maka, sama-sama kita menghargai tumbuhan istimewa ini, setidak-tidaknya anda boleh membuat perbezaan harga rempah ini untuk kunjungan anda ke pasaraya akan datang. Seperti biasa jangan lupa untuk menambah sebarang maklumat tambahan di ruangan komen dan kongsi-kongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan.


Jumaat, 13 Mei 2016

Bahan Makanan Terpaling Mahal Truffle

Sajian menggunakan truffle.

Truffle berasal daripada keluarga kulat dan merupakan antara makanan yang termahal di dunia. Oleh kerana ia hanya didapati tumbuh di kawasan beriklim sederhana, maka kita kurang mengenali tumbuhan unik ini. Antara perkara yang menyukarkan lagi untuk mendapatkan kulat istimewa ini adalah kerana ianya tumbuh di dalam tanah sehingga kedalaman 1 meter.

Truffle telah menjadi kegilaan penggemar makanan dan ia turut diberi gelaran sebagai “berlian di dapur”. Ia menjadi antara bahan makanan yang mempunyai nilai yang tinggi dalam masakan French, Georgian, Greek, Italian, Croatian, Middle Eastern dan Spanish. Namun begitu dengan kepesatan dunia perniagaan industri, popularity truffles turut tersebar ke serata dunia, dan ini menambahkan lagi nilainya.

Truffle mempunyai hubungan simbiotik dengan akar beberapa tumbuhan tertentu (seperti juga fungus-fungus dari spesies yang lain) antaranya beech, poplar, oak, birch, hornbeam, hazel, dan pine. Selain daripada pokok-pokok tersebut jenis tanah seperti argillaceous atau calcareous yang mempunyai saliran yang baik serta pH tanah yang neutral ataupun beralkali. Oleh kerana truffle tidak boleh ditanam seperti cendawan-cendawan lain, ia masih lagi dicari di kawasan-kawasan atau ladang yang ditumbuhi oleh pokok-pokok seperti yang disebutkan di atas.

Black Périgord truffle.

Black Périgord truffle yang dipotong.

Walaupun terdapat sehingga 86 spesies truffles yang disenaraikan, terdapat beberapa jenis yang popular dan biasa digunakan di dalam masakan seperti white truffle, whitish truffle, black truffle, summer atau burgundy truffle, dan spesies-spesies truffle yang lain seperti garlic truffle, Oregon white truffles, pecan truffle dan sebagainya. Selain truffle, terdapat juga spesies-spesies kulat/cendawan ini yang menyerupai truffle daripada genus yang lain seperti  Terfezia dan Tirmania dari family Terfeziaceae yang juga dikenali sebagai "desert truffles" dari bahagian Afrika dan Timur Tengah. Selain itu terdapat juga "Hart's truffle" atau Elaphomycetaceae, selain Pisolithus tinctorius yang mempunyai sejarah digunakan di bahagian German juga dikenali sebagai "Bohemian truffle".

Berbalik kepada spesies truffle yang palling mahal dan digemari iaitu  "white truffle" atau "trifola d'Alba Madonna" (Tuber magnatum) yang kebanyakannya berasal dari kawasan Langhe dan Montferrat di Daerah Piedmont, Utara Itali. Selain dari beberapa kawasan lain seperti  Tuscany, Istria, Croatia, Slovenia dan juga di Drome, France. White truffle kebiasaannya mencapai saiz sehingga 12 cm (5 in) diameter dengan berat sehingga 500 g. Mempunyai warna krim pucat seperti putih marmar. Namun begitu white truffle dari Itali adalah lebih terkenal di pasaran dan mempunyai permintaan yang tinggi. Harganya adalah sekitar  $1,000–$2,200 per pound ($2,000–$4,500 per kg) pada tahun 2001. Manakala menjelang 2009 harganya telahpun mencecah sehingga  $14,203.50 sekilogram.

White truffle yang telah dibersihkan.

Black summer truffle di Itali. 

Antara minyak truffle di pasaran.

Rekod penjualan truffle yang terpaling mahal adalah pada Disember 2007, dimana truffle dengan berat 1.5 kg (3.3 lb) yang dijumpai oleh Luciano Savini dengan anjingnya Rocco dilelong pada harga $330,000 (£165,000). Ianya dibeli oleh seorang pemilik kasino di Macau iaitu Stanley Ho. Malah beliau turut membeli dua lagi truffle pada harga yang sama dilelong pada November 27, 2010 dimana salah satunya mempunyai berat menghampiri sekilogram.

Truffle digemari kerana aromanya yang istimewa. Malah, truffles hanya digunakan dalam jumlah yang sedikit sebagai bahan campuran di dalam makanan samada ianya dipotong nipis ataupun diparut. Ia biasanya digunakan di dalam masakan seperti pasta, salad, atau telur goreng. Manakala hirisan nipis truffle dimasukkan ke dalam daging, disisipkan di bawah kulit ayam/burung, digunakan untuk ‘foie gras’, pâtés dan juga sebagai bahan perencah (stuffings) ke dalam ayam panggang. Ia juga adakalanya digunakan dalam penyediaan keju.

Oleh kerana harganya yang mahal, maka minyak truffle digunakan untuk mendapatkan aromanya di dalam masakan. Namun begitu kebanyakan minyak truffle ini tidak mengandungi truffle, sebaliknya hanyalah minyak zaitun yang ditambah perasa tiruan antaranya 2,4-dithiapentane. Selain daripada minyak truffle, truffle vodka juga turut digunakan untuk tujuan masakan selain untuk diminum.

Proses pemburuan truffle juga adalah merupakan proses yang rumit. Kerja-kerja mencari truffle hanya boleh dilakukan oleh haiwan-haiwan yang boleh mengesan fungus tersebut antaranya adalah khinzir. Namun begitu, anjing yang dilatih juga lebih banyak digunakan kerana khinzir akan cuba memakannya apabila menemuinya. Truffle yang ditemui pula perlulah sudah cukup matang, sekiranya ia belum matang, ia perlu ditanam semula dan dituai hanya apabila ia telah cukup matang.

Jadi anda telah mengetahui bahannya iaitu truffle. Namun begitu anda perlu pula mengetahui kaedah penggunaan dan tips-tips pentingnya yang lain. Mungkin itu merupakan perkara yang perlu anda lakukan sekiranya anda ingin mengetahuinya lebih lanjut. Sehingga ke hari ini, truffle masih belum berjaya ditanam secara komersial seperti cendawan/fungus yang lain. Maka, sekiranya anda ingin merasai aroma truffle anda perlu sanggup mengeluarkan belanja yang lebih, atau mungkin anda berpeluang menemuinya pula suatu hari nanti.



Free Download


Jumaat, 8 Januari 2016

Ikan Hiasan Termahal Platinum Arowana

Platinum Arowana merupakan spesis yang istimewa.

Penampilan artikel kali ini bukanlah hanya sekadar untuk memberitahu tentang pekara-perkara “termahal”, tapi sebenarnya menyingkap tentang bagaimana sesuatu perkara menjadi mahal melalui penilaian manusia (pelanggan) dan perkara itu sendiri adalah sebahagian daripada sumber yang terdapat dari negara kita sendiri.

Ikan hiasan termahal yang dimaksudkan adalah “platinum arowana” yang dijual pada harga $400,000. Ia merupakan spesis yang jarang ditemui, maka ada di antara peminat ikan-ikan ini yang sanggup mengeluarkan belanja dengan sebegitu besar untuk memilikinya. Spesis-spesis ikan arowana biasa sendiri merupakan spesis ikan yang sudah sedia mahal, maka tidak hairanlah jika spesis istimewa ini mendapat perhatian tinggi.

Platinum Arowana dari jarak dekat.

Golden Arowana juga merupakan antara spesis yang terkenal.

Apa yang menarik sebenarnya ikan arowana merupakan sebahagian daripada spesis semulajadi yang terdapat di negara kita selain daripada beberapa spesis lagi dari negara lain seperti Australia, Afrika dan Amerika Selatan. Seperti juga industri-industri yang lain, industri ikan hiasan arowana turut memanipulasikan spesis ikan ini bagi menghasilkan jenis-jenis baru yang jarang ditemui. Itu merupakan salah satu keburukan yang terpaksa dihadapi oleh ikan-ikan ini.

Antara spesis-spesis terkenal ikan arowana yang berada di pasaran antaranya adalah asian red arowana, silver arowana, black arowana, super red arowana, red dragon arowana, Malaysia red, golden arowana, flowerhorn arowana, red tail golden (RTG) arowana, Jardini arowana, golden crossback arowana, green and blue arowana dan macam-macam lagi.

Lihatlah betapa cantiknya sisik ikan arowana.

Red Arowana mendapat sambutan peminat.

Arowana diminati kerana mempunyai rupa bentuk, saiz dan warna sisik yang amat cantik. Selain itu ikan ini juga bergerak di dalam akuarium dengan pergerakan yang menarik untuk diperhatikan. Jangka usia yang panjang juga merupakan antara perkara yang menjadikan ikan-ikan ini sesuai sebagai ikan peliharaan. Namun begitu ia merupakan spsesis ikan yang sukar dipelihara oleh peminat-peminat ikan biasa kerana ia memerlukan saiz akuarium yang agak besar selain penjagaan yang agak rapi (arowana merupakan spesis yang sensitif – boleh mati disebabkan oleh pelbagai perkara).

Berikut adalah beberapa penternak ikan-ikan arowana di Malaysia. Sekiranya anda berminat untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai ikan-ikan ini ataupun untuk mendapatkan bekalan benih ikan arowana, bolehlah menghubungi mereka.

Bukit Merah Arowana Farm Sdn Bhd merupakan antara pembekal ikan arowana yang terkenal di Malaysia. Mempunyai kolam ternakan sebanyak 200 kolam dan mampu membekalkan beberapa spesis ikan arowana yang berkualiti tinggi seperti Blue Base Golden Arowana, Golden Forehead Crossback Arowana, Super Red Arowana dan Golden Crossback Arowana. Bilik pameran turut disediakan yang terletak di Gunung Semanggol, Bukit Merah (Rest & Service Area) 194.6km dari Utara ke Selatan, Malaysia.

Global Arowana Breeding Farm Sdn Bhd juga terletak di Negeri Perak dan merupakan satu lagi pengeluar benih-benih ikan arowana berkualiti di Malaysia dengan jumlah kolam ternakan sehingga 230 buah. Pengeluar ini mengeluarkan benih ikan dari spesis Blue Base Malaysian Arowana, Golden Forehead Arowana, Malaysian Golden Arowana, Super Red Arowana dan Red Tail Arowana.

Kim Kang Aquaculture Sdn. Bhd. Bukan sahaja menyediakan benih ikan arowana namun turut menyediakan benih ikan dari beberapa spesis yang lain. Selain daripada spesis-spesis biasa yang disediakan daripada dua pembekal di atas, Kim Kang turut menyediakan spesis lain seperti Yellow - Tail Arowana, Green Arowana, Black Arowana dan juga Silver Arowana. Selain daripada mempunyai pusat ternakan di Bukit Merah, Perak, ia turut mempunyai kolam ternakan di Batu Pahat, Johor.

Ikan arowana jantan membawa anak-anaknya di dalam mulut.

Sememangnya ikan arowana merupakan spesis ikan yang unik. Walaupun ia merupakan spesis yang terancam namun melalui usaha ternakan ini dapat mengelakkan benih liar asal daripada terus diganggu. Namun begitu setiap usaha pasti akan mendatangkan kesan buruk dan baik kepada alam sekitar. Apa yang penting, dapat dilihat adalah, usaha penternakan ikan arowana dapat dilakukan dengan baik melalui kaedah penternakan yang penuh terancang – satu usaha berterusan daripada para penternak. Tahniah!



Free Download



Khamis, 9 Oktober 2014

Mengapa Rolex Dijadikan Sebagai Lambang Kejayaan?

Rolex Yacht Master II
Rolex Yacht Master II, pada tahun 2012 bukan sahaja berkualiti malah amat menarik.

Rolex merupakan salah satu jenama jam tangan mewah yang menjadi pilihan ramai sebagai lambang kejayaan selain daripada kereta-kereta mewah, kediaman, bot mewah, jet peribadi dan sebagainya. Jam tangan menjadi simbol kejayaan bagi melambangkan seorang yang menghargai masa yang antara lain menentukan titik tolak bagi kejayaan seseorang. Tapi mengapa Rolex?

Sekiranya anda berpendapat kerana harga Rolex yang mahal menjadikan ianya sebagai sebuah jam yang dibanggai. Anda perlu mengetahui bahawa jam tangan Rolex bukanlah merupakan jam tangan termahal, malah banyak lagi jam-jam tangan lain yang mempunyai mutu kualiti dan harga yang jauh lebih mahal berbanding Rolex. Malah kesemua jam tangan tersebut hanya diketahui oleh segelintir golongan individu sahaja.

Hans Wildorf of Rolex
Hans Wildorf seorang usahawan yang berwawasan.

Jam tangan Rolex diilhamkan oleh Hans Wilsdorf pada tahun 1905 semasa beliau berumur 24 tahun. Beliau bukanlah penghasil jam, tetapi hanya merupakan pengedar jam sahaja. Memandangkan minat beliau untuk memiliki jam tangan yang selain daripada menarik dan berkualiti, beliau juga berharap jam tangan dapat dihasilkan dengan kemampuan memberikan bacaan waktu yang tepat. Melalui impiannya ini, beliau mendapatkan kerjasama daripada pembuat jam tangan di Bienne, Swiss.

Berbeza dengan pengeluar jam tangan lain Hans Wildorf tidak menamakan jam tangan impiannya menggunakan namanya sendiri. Tetapi beliau juga mencari nama yang sesuai, mudah diingati dan mudah pendapat perhatian daripada orang ramai. Hans cuba menggabungkan pelbagai huruf dan ratusan nama dan tiada yang sesuai baginya. Sehinggalh pada suatu hari terdetik di fikiran beliau untuk menamakannya sebagai ‘Rolex’.

Rolex datejust
Rolex dengan model pertama dengan 'datejust'.

Berbeza dengan jam tangan lain, Rolex menumpukan pada penghasilan komponen pergerakan yang mampu memberikan ketepatan masa. Sesuai dengan usaha gigih ini ianya membuahkan hasil bagi Rolex pada tahun 1910 yang dianugerahkan dengan sijil ‘Swiss Certificate of Chronometric Precision’ dimana Rolex merupakan jam tangan pertama yang dianugerahkan dengan persijilan tersebut.

Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1914, Kew Observatory di Great Britain menganugerahkan pula Rolex dengan sijil ketepatan pengkelasan ‘A’, iaitu satu sijil kecemerlangan yang dikhaskan khusus bagi ‘marine chronometer’ – anda perlu melihat sejarah pembangunan ‘marine chronometer’ dihasilkan di England yang membantu sistem pelayaran negara tersebut. Bermula dari situlah Rolex terus mendapat gelaran sebagai jam yang mempunyai ketepatan tinggi. Rolex kemudiannya berpindah ke Geneva, iaitu sebuah bandar yang dikenali sebagai pengeluar jam tangan berkualiti. Montres Rolex S.A. di daftarkan di Geneva pada tahun 1920.

Rolex and CERN
Rolex turut diiktiraf oleh saintis di CERN.

Pada tahun 1926 bermulanya tahun permulaan Rolex mencipta pembaharuan dalam dunia jam tangan dengan menghasilkan jam yang kalis air dan juga kalis habuk. Jam tangan tersebut diberikan nama “Oyster” dengan dilengkapi dengan kemasan tutupan yang sempurna bagi memberikan perlindungan kepada bahagian pergerakan jam tersebut.

Bermula dari situlah jam tangan Rolex terus diperbaiki dari semasa ke semasa dengan diikuti dengan kaedah pengenalan jam tangan tersebut melalui pelbagai aktiviti utama seperti dalam peristiwa renang merentasi Selat Inggeris, penerbangan melintasi Everest dan pelbagai lagi upucara yang melambangkan keunikan, kegemilangan dan kesungguhan.


Maka dari situlah Rolex tampil dengan satu keunikan yang jauh berbeza daripada jam-jam tangan lain yang turut mempunyai kualiti atau harga yang jauh melebihinya. Namun Rolex mempunyai keunikan tersendiri sejak ianya di ilhamkan perekanya sendiri iaitu Hans Wildorf pada tahun 1905. Jadi sekiranya anda ingin memiliki jam tangan yang memberikan anda inspirasi jam tangan jenama apakah yang akan anda pilih?



Free Download




Selasa, 7 Oktober 2014

Binaan Manusia Terpaling Mahal

International Space Station
ISS yang mengorbit bumi dari angkasa.

Manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mampu membina hampir apa sahaja yang diinginkannya. Setelah beberapa zaman berlalu, banyak tinggalan yang dapat kita lihat ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu menunjukkan manusia sentiasa membina bagi mencapai pembangunan yang ideal. Namun begitu setiap pembangunan akhirnya hanyalah tinggal menjadi sebahagian sejarah seperti mana yang dapat kita lihat hari ini.

Adalah sukar untuk menggambarkan kos sebenar bagi pembangunan-pembangunan yang didirikan pada tamadun-tamadun yang lepas kerana perbezaan gaya hidup dan sistem mata wang yang tidak difahami. Apa yang ingin kita lihat di sini adalah pembinaan yang dilakukan bagi manusia pada zaman ini bagi satu tujuan dan adalah mustahil ianya boleh didirkan oleh satu pihak sahaja memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Working on ISS
Angkasawan melakukan kerja-kerja di ISS.

Binaan tersebut pula bukanlah berada di permukaan bumi seperti binaan-binaan lain, tetapi ianya berada di ruang angkasa bumi pada jarak 400km daripada permukaan bumi. ISS atau lebih dikenali sebagai International Space Station merupakan makmal yang berada di ruang angkasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan banyak negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Canada, Europe, Jepun dan negara-negara lain.

Ianya dibina secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1998. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2000 dua krew pertama ISS memulakan tugas mereka di sini. Pada permulaannya ISS didirikan hanya mempunyai 3 modul. Ia kemudiannya terus ditambah secara berperingkat sehinggalah pada masa sekarang mengandungi pelbagai modul yang menjadi tempat untuk menjalankan eksperimen saintifik mahupun ruang penginapan bagi para angkasawan.

Life on ISS
Aktiviti bagi mengisi masa lapang di ISS.

Semenjak ia dimulakan ISS terus menjalani pelbagai penambahan dan pengubahsuaian bagi memastikan ia mampu menyempurnakan pelbagai keperluan dalam menjalankan kajian-kajian saintifik. Sehingga kini keseluruhan ISS menjangkau saiz 109 meter lebar dan 73 meter panjang dan ia lebih besar berbanding saiz padang bola. Disebabkan saiznya inilah menyebabkan ia perlu dibina di angkasa dan tidak boleh diterbangkan sekali daripada bumi. Berat ISS adalah menjangkau sehingga 400 tan. Berbalik kepada kos untuk pembinaan ISS dianggarkan menelan USD150 billion dan setakat ini tiada pembinaan satu objek yang menelan kos sehingga jumlah tersebut.

Namun pembinaan ISS adalah penting bagi manusia untuk lebih memahami tentang pelbagai keajaiban alam. Ini kerana untuk memahami apa yang berlaku di permukaan bumi adakalanya kita perlu melangkah ke luar untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Pembinaan ISS jelas menunjukkan tiada perkara yang mudah dalam menyelesaikan sesuatu perkara namun tiada yang mustahil sekiranya kita betul-betul mahu.

Cupola Module
Cupola module yang menyediakan tingkap pandang ke bumi.

Ada beberapa perkara lagi yang menarik mengenai ISS untuk anda ketahui antaranya adalah kelajuannya bergerak mencapai sehingga 27,000 kilometer sejam. Pada kelajuan ini ianya adalah 8 kali ganda lebih laju berbanding peluru. Manakala untuk membolehkan ianya beroperasi bagi menjalankan pelbagai aktiviti di angkasa ia dilengkapi dengan panel-panel solar yang berukuran 34 X 12 meter bagi membekalkannya sehingga 60kW kuasa elektrik.


ISS merupakan satu binaan yang amat menakjubkan. Bagi para peminat dunia sains, ISS merupakan satu ikon baru yang memberikan inspirasi untuk kita terus berusaha mengkaji dan mencipta. Malah ISS antara lainnya akan menjalankan eksperimen pelengkap kepada satu lagi kajian yang dilakukan di bumi - yang dijalankan di sebuah makmal yang juga merupakan satu lagi rekaan terulung iaitu LHC - Large Hadron Collider.




Free Download



Arkib Blog