Nasi Lemak disediakan dari restoran Mamak, Sydney, Australia. |
Nasi Lemak merupakan makanan popular Malaysia sejak dahulu lagi. Pada mulanya
ianya hanya dihidangkan sebagai makanan untuk sarapan sahaja, namun dengan
pelbagai perubahan yang telah disesuaikan dengan nasi istimewa ini, maka hari
ini anda boleh menemui nasi lemak dihidangkan hampir dari pagi hingga ke malam
dengan variasi yang berbeza-beza.
Mendapat nama daripada lemak santan (creamy coconut milk) yang digunakan
untuk memasak beras, berbanding air dan ditambah pula dengan wangian daun
pandan, nasi lemak mempunyai aroma bauan yang tersendiri. Apatah lagi nasi
lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Ia merupakan pelengkap kepada bauan
yang telah sedia ada.
Nasi Lemak adalah makanan serantau, selain popular di Malaysia ia juga dihidangkan
di beberapa negara berdekatan seperti Brunei, Singapore, Kepulauan Riau,
Selatan Thailand dan juga Philippines. Cuma bagi negeri pantai timur iaitu
Kelantan dan Terengganu mereka mempunyai hidangan nasi yang lebih popular iaitu 'Nasi Kerabu' dan ‘Nasi Dagang’ yang menyaingi keenakan nasi lemak. Namun begitu nasi lemak masih
boleh didapati di kedua-dua negeri ini.
Nasi Lemak biasa dengan tambahan rendang ayam. |
Nasi lemak bungkus 'daun pisang'. |
Nasi lemak asli dihidangkan dengan sambal, ikan bilis (anchovies), kacang goreng, timun dan telur rebus. Ia merupakan nasi
lemak biasa yang masih dihidangkan hingga ke hari ini. Namun begitu kesesuaian
nasi lemak untuk dipadankan dengan lauk-lauk yang lain menyebabkan ia turut
dihidangkan bersama seleksi lauk-pauk yang lebih luas daripada sambal kerang,
sambal sotong, rendang ayam, rendang daging, kari ayam dan kari daging, ikan
goreng, sambal udang, sayur celur dan sebagainya. Pilihan lauk-pauk yang banyak
ini disertakan bersama hidangan ‘Nasi Lemak Kukus’ yang biasanya dihidangkan pada
sebelah malam.
Nasi Lemak Kukus adalah variasi baru kepada nasi lemak. Ianya lebih
diminati kerana lebih gebu dan tidak berkerak. Nasi lemak kukus disediakan di
sebelah malam bagi menyediakan hidangan yang lebih berat bagi mereka yang suka
berjaga malam bersama kawan-kawan atau keluarga. Nasi lemak kukus dihidangkan
di dalam pinggan seperti nasi biasa dan lauk-pauknya dipilih sendiri oleh
pelanggan daripada sejumlah pilihan lauk yang banyak. Jadi ianya lebih
menyelerakan.
Nasi Lemak Kukus dengan pilihan tambahan lauk yang banyak. |
Nasi lemak di sebelah pagi dihidangkan dengan lebih ringkas dan adakalanya
dalam bentuk ‘Nasi Lemak Bungkus’, di mana nasi lemak bungkus hanya menyediakan
nasi lemak asas sahaja dan hanya disertakan beberapa pilihan lauk. Namun tidak
dinafikan sekiranya nasi lemak ini disertakan dengan sambal yang sesuai ia
masih merupakan hidangan yang cukup untuk memberikan anda tenaga sehingga ke
tengahari.
Dari negara-negara jiran juga terdapat nasi yang dimasak dengan santan
kelapa seperti ‘nasi uduk’ dari Jakarta, ‘nasi gurih’ dari Aceh, dan ‘nasi
liwet’ dari daerah Jawa. Namun begitu terdapat perbezaan rasa kerana nasi-nasi
ini menggunakan rempah-rempah yang berbeza dan bahan pewangi seperti serai berbanding
daun pandan. Namun begitu ia juga merupakan makanan unik untuk dicuba sekiranya
anda berpeluang melawati daerah-daerah tersebut nanti.
Nasi Lemak telah sebati dengan budaya Malaysia dan dihidangkan oleh semua
kaum mengikut citarasa sendiri. Bagi orang India ia mungkin disediakan dengan
hidangan lauk-pauk kari sesuai dengan pilihan mereka, manakala bagi orang-orang
Cina juga turut menyediakan nasi lemak mereka sendiri bagi dipadankan dengan hidangan
kegemaran mereka yang tidak disediakan oleh orang-orang Melayu Muslim.
Jadi, sekiranya anda merantau ke seluruh Malaysia, hidangan nasi lemak
masih boleh didapati tidak terkecuali di Sabah dan Sarawak. Hidangan unik ini
merupakan antara hidangan yang bukan sahaja bertahan lama, malah sentiasa
mendapat tambahan sentuhan kreatif yang menambahkan lagi keenakan sewaktu
menikmatinya.