Memaparkan catatan dengan label telefon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label telefon. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Julai 2020

Cara Mendapatkan Password Atau Berkongsi Kata Laluan Untuk WiFi Melalui Pengesan QR

Terdapat banyak cara untuk anda mendapatkan sambungan internet melalui talian WiFi. Cara yang paling biasa ialah dengan memasukkan kata laluan. Cara lain pula ialah dengan menggunakan fungsi butang WPS pada router di mana anda hanya perlu hidupkan fungsi WPS pada komputer atau telefon pintar anda, dan kemudian tekan butang WPS pada router untuk mendapatkan sambungan WiFi secara terus.

Bagaimana pula jika anda telah pun mempunyai sambungan WiFi tetapi anda tidak tahu kata laluan WiFi tersebut untuk dikongsi dengan rakan atau keluarga anda? 

Kini terdapat fungsi terbaru di mana anda boleh mendapatkan sambungan WiFi dari router dengan hanya mengesan kod QR pada peranti anda. Fungsi ini hanya boleh didapati pada telefon pintar Android 10 ke atas. Jika anda ingin berkongsi kata laluan WiFi dengan rakan-rakan atau keluarga anda, cara mengesan kod QR adalah cara yang terbaik.

Perlu diingatkan bahawa untuk mengesan kod QR ini, telefon anda dan rakan atau keluarga anda perlu menggunakan telefon Android 10 ke atas. Jika anda ingin berkongsi kata laluan WiFi kepada rakan atau keluarga anda, sambungan WiFi mestilah telah disambungkan kepada telefon anda terlebih dahulu. Selepas itu barulah anda boleh menggunakan cara ini.

CARA-CARA

1. Pergi kepada Settings / Tetapan dan pilih WiFi.
*Pilihan Settings / Tetapan adalah bergantung kepada jenama telefon Android. Tetapi kebanyakannya adalah sama.



2. Tekan pada talian WiFi yang anda ingin kongsi bersama rakan atau keluarga anda. Imej kod QR akan dipaparkan selepas itu.



3. Selepas itu rakan atau keluarga anda boleh menggunakan mana-mana aplikasi pengesan kod QR dan mula mengesan kod QR tadi.


Anda juga boleh menyimpan imej kod QR tadi dan menghantar terus kepada rakan atau keluarga anda. Mereka boleh menggunakan aplikasi pengesan kod QR yang mampu mengesan kod melalui imej. Dengan cara ini, anda masih boleh berkongsi walaupun rakan atau keluarga anda tidak berada di tempat yang sama.

Sesetengah aplikasi pengesan kod QR mampu memberikan maklumat terperinci mengenai talian WiFi tersebut termasuk nama dan kata laluan. Jadi, anda boleh mendapatkan kata laluan atau menghantar terus imej kod QR kepada rakan atau keluarga anda.

 

Adakah memiliki lebih Ingatan RAM memberikan kelebihan kepada telefon pintar?

Adakah memiliki lebih Ingatan Capaian Rawak (RAM) memberikan lebih kelebihan pada telefon pintar? Ini adalah persoalan biasa muncul di fikiran semua terutamanya mereka yang ingin membeli telefon pintar baru.

Sebelum itu, apa itu RAM? RAM adalah singkatan kepada "Random Access Memory" atau di dalam bahasa Melayu bermaksud 'Ingatan Capaian Rawak'. RAM berfungsi sebagai tempat simpanan data sementara. Boleh dikatakan hampir kesemua peralatan elektronik menggunakan RAM kerana data daripada RAM dapat dibaca dengan cepat dan pantas. Fungsi RAM pada telefon pintar ketika boleh dikatakan hampir sama dengan fungsi RAM pada komputer.



Kemunculan model-model telefon pintar terbaru kini mempunyai RAM yang tinggi jika dibandingkan dengan model-model yang terdahulu. Malah, telefon pintar klon juga kini mempunyai RAM yang tinggi. Ini menunjukkan yang kapasiti RAM adalah amat penting untuk dunia telefon pintar sekarang.

Pada beberapa tahun lepas, 1GB RAM dikira sebagai cukup untuk menampung aplikasi-aplikasi ketika itu. Kemudian ia dinaikkan kepada 2GB dan seterusnya. Buat masa kini, mempunyai 2GB RAM adalah sekadar cukup-cukup makan. Walau bagaimanapun, ianya dikira masih tidak mencukupi kerana terdapat banyak aplikasi-aplikasi terbaru yang memerlukan RAM yang lebih.

Buat masa ini, mempunyai RAM sebesar 3GB adalah cukup untuk penggunaan aplikasi biasa seperti media sosial, mesej dan permainan yang bersaiz kecil. Tetapi RAM bersaiz 4GB adalah piawai terbaru untuk ketika ini di mana ianya dikira saiz yang sesuai untuk kegunaan umum.



Dari segi permainan mobil, RAM memainkan peranan penting kerana permainan mobil kini semakin banyak yang mempunyai saiz yang besar dan memerlukan kapasiti RAM yang tinggi. Malah, permainan kecil yang berkonsepkan teka-teki juga kini memerlukan RAM yang tinggi.

Tetapi prestasi permainan mobil masih lagi sangat bergantung kepada kekuatan cip pemproses grafik. Mempunyai RAM yang tinggi tetapi mempunyai cip grafik yang bertaraf rendah tidak semestinya mampu memberikan prestasi terbaik kepada sesetengah permainan mobil. 

Tugas utama RAM adalah untuk mempercepatkan proses aplikasi berfungsi. Lebih laju kelajuan, lebih cepat aplikasi dapat berfungsi. Tetapi kini ia dilihat lebih kepada berapa banyak aplikasi yang dapat dibuka dan berfungsi dalam satu masa.

Ini adalah benar kerana, data maklumat aplikasi yang dibuka disimpan di dalam RAM untuk kegunaan seterusnya tanpa perlu mengambil data maklumat dari storan. Ini membolehkan data dapat dibaca dengan pantas jika dibandingkan dengan data yang baru diambil dari storan. Proses ini hanya berlaku selagi aplikasi tidak ditutup sepenuhnya.


Kebanyakkan aplikasi popular ketika ini terutamanya aplikasi media sosial dan mesej masih lagi berjalan walaupun aplikasi ini telah ditutup. Salah satu sebab mengapa telefon mengambil banyak memori daripada RAM.

Kesimpulannya, mempunyai RAM yang mencukupi adalah amat penting dan kapasiti RAM yang tinggi mampu memberikan prestasi terbaik kepada telefon pintar.
 

Khamis, 19 Mac 2015

Tips Penggunaan Android Dengan Lebih Efisyen

Android
Perkakasan Android mudah didapati dan lebih murah.

Android adalah perisian telefon pintar dan juga tablet yang paling popular kerana ia digunakan oleh banyak pengeluar perkakasan elektronik hari ini. Oleh kerana ia jauh lebih murah berbanding iOS maka banyak perkakasan dihasilkan dengan keupayaan yang berbeza-beza. Terdapat beberapa perkara yang penting untuk diketahui oleh pengguna-pengguna Android bagi memastikan peralatan mereka bukan sahaja beroperasi dengan baik, tetapi juga selamat – dalam memelihara data-data peribadi. Ikuti beberapa tips asas penting ini;

1. Kemaskini Perisian Anda

Android perlu dikemaskini dengan perisian versi terbaru seperti juga mana-mana perisian komputer yang lain. Ini bertujuan untuk memastikan ia mampu berfungsi dengan baik malah untuk menjamin keselamatan peralatan anda dengan ciri-ciri keselamatan baru biasanya.

2. Pilih Pemberitahuan Penting

Pemberitahuan (notification) dapat membantu anda dalam mengelakkan ketinggalan dalam sesuatu perkara penting. Namun begitu sekiranya anda tidak membuat aturan yang betul, ia akan menyebabkan gangguan daripada pemberitahuan perkara-perkara yang tidak penting. Ini pastinya akan menyebabkan banyak urusan harian anda terganggu. Untuk mematikan sesetengah pemberitahuan ini anda bolehlah melakukan App Info -> De-selecting Show Notification -> OK

3. Gunakan Google Maps Offline

Google Maps merupakan salah satu perisian terpenting dalam mendapatkan maklumat sesuatu kawasan. Namun begitu ia akan menggunakan jumlah data yang tinggi.  Malah adakalanya ia akan menyebabkan kesulitan apabila anda perlu menyemak sesuatu kawasan dalam keadaan tiada sambungan ke internet. Pastikan anda mempunyai simpanan sesuatu kawasan yang ingin anda gunakan secara Offline. Lakukan seperti ini Google Maps -> pilih lokasi yang anda inginkan di dalam Google Maps -> click “make the map available offline”.

Android Phones
Terdapat lebih banyak perkakasan Android yang berada di pasaran.


4. Lindungi Android anda dari virus

Serangan virus amat mudah pada perkakasan Android anda. Untuk mengelakkan sebarang gangguan yang mungkin akan menjejaskan perkakasan malah juga keselamatan data-data peribadi anda anda perlu memastikan Android anda mempunyia aplikasi anti-virus yang boleh dimuat turun daripada Google Play. Anda boleh memilih aplikasi-aplikasi yang disediakan daripada pengeluar anti-virus terkenal untuk PC seperti AVG, Avast, Avira, McAfeeKaspersky dan sebagainya.

5. Kuasa Bateri Tahan Lama

Kuasa bateri banyak digunakan untuk paparan skrin anda. Walaupun ia turut digunakan untuk tujuan-tujuan lain seperti sambungan ke internet, Wi-Fi dan bluetooth. Pastikan anda membuat aturan untuk penjimatan tenaga bagi paparan anda dengan mengurangkan kecerahan skrin dan pemadaman skrin yang lebih cepat. Settings -> Display -> Brightness, juga pada Settings -> Display -> Screen timeout (pilih masa yang anda perlukan).

6. Jadikan Android anda sebuah lampu suluh.

Bagi Android versi yang lebih baru anda tidak perlu lagi memuat turun aplikasi tertentu. Anda hanya perlu menarik ke bawah dari atas skrin anda untuk melihat pada Quick Setting yang akan menunjukkan fungsi untuk butang ‘flashlight’.

7. Kawal Penggunaan Data

Penggunaan data internet amat penting untuk peralatan anda. Namun begitu adakalanya ia sukar dikawal. Kebanyakan aplikasi akan terus memuat turun data dari internet tanpa anda sedari. Untuk memastikan penggunaan data anda terkawal anda bolehlah menggunakan fungsi pemberitahuan penggunaan data daripada Setting -> Data Usage.

8. Penggunaan Guest Mode

Untuk mengelakkan pengguna lain menggunakan telefon anda dan menyemak tanpa sengaja data-data peribadi anda, ada baiknya sekiranya anda menggunakan ‘Guest Mode’. Melalui kaedah ini, sekiranya pengguna lain ingin menggunkan telefon anda mereka tidak menggunakan aplikasi dan juga data peribadi anda. Caranya mudah iaitu tarik ‘Quick Setting’ dari bahagian atas Android anda dan click dua kali pada Notification. Kemudian click dua kali lagi pada gambar profile anda dan pilih untuk “add guest’.

Android Phone
Android dengan penggunaan yang betul dapat berfungis dengan lebih baik.

9. Mengambil Gambar Skrin

Adakalanya penting untuk anda mendapatkan gambar di skrin terutama apabila anda memerlukan paparan tersebut secara offline atau dihantarkan kepada orang lain melalui email dan message. Kebiasaannya gambaran skrin boleh diambil dengan mudah dengan menekan butang ‘back’ dan juga butang ‘home’ (tengah) pada Android anda. Gambar yang telah dirakamkan akan disimpan terus ke dalam galeri gambar.

10. Clear Memory

Salah satu kelemahan Android yang paling ketara adalah penggunaan memorinya yang adakalanya boleh mengkibatkan ia menjadi amat lembab. Jadi sesekali apabila Android anda menjadi lembab anda perlu memastikan memory RAM dibersihkan melalui Setting -> Data Storage -> Cached Data kemudia pilih untuk membersihkan data di dalam cache memory anda. Anda juga sesekali perlu membersihkan data yang dimuat turun melalui aplikasi seperti Whatsapp, FB dan sebagainya melalui folder aplikasi tersebut.


Itu adaah sebahagian daripada tip-tip penting penggunaan Android bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan lebih berkesan. Anda mungkin memiliki sebuah perkakasan Android yang amat baik, namun ia tidak akan dapat berfungsi seperti yang diharapkan jika anda tidak menggunakannya dengan betul. Pelajarilah cara penggunaan yang betul dengan menyemak ‘manual’ peralatan anda dan juga dari laman-laman web yang lain.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 17 April 2014

Sudahkah Anda Bersedia Untuk Samsung Galaxy S5

Samsung Galaxy S5
Samsung Galaxy S5 dengan skrin 5.1" Ultra HD Super AMOLED.

Samsung Galaxy S5 kini telahpun berada di pasaran dengan sistem pengoperasian Android Kit Kat 4.4. Seperti yang kita telah ketahui Galaxy S4 padat dengan pelbagai ciri-ciri yang kurang digunakan oleh pengguna dan ini mengubah Galaxy S5 untuk lebih menitik beratkan fungsi yang diperlukan berbanding dengan fungsi-fungsi seperti yang dimuatkan di dalam S4.

Seperti yang kita ketahui beberapa telefon baru yang turut muncul di pasaran baru-baru ini adalah HTC One M8, Sony Xperia Z manakala Apple masih lagi kekal dengan iPhone 5S. Sekiranya jenama tidak menjadi masalah bagi saya mungkin perbezaan mudah bagi telefon Android lebih sinonim kepada Samsung manakala Apple pula adalah iPhone.

Berbalik kepada Samsung S5 yang kini telah berada di pasaran menampilkan beberapa ciri-ciri penting yang kita tunggu-tunggu untuk mengetahuinya lebih lanjut. Seperti yang kita semua maklum bagi pengguna biasa telefon Android, ciri-ciri kamera adalah yang paling penting bagi memudahkan mereka untuk membuat perkongsian status di laman-laman social seperti Facebook dengan ‘selfie’ terbaru mungkin. Antara ciri-ciri tersebut adalah;

Kamera:

Fungsi Kamera Samsung S5
Fungsi kamera pada Samsung S5 diberikan keutamaan.

Kamera pada Galaxy S5 telah di upgrade kepada 16 MP berbanding 13 MP pada S4. Ini ditambah lagi beberapa ciri-ciri menarik untuk memudahkan para pengguna mendapatkan gambar yang lebih baik melalui telefon mereka. Walaupun begitu adakalanya ramai pengguna yang tidak tahu menggunakan ‘setting’ untuk kamera mereka dan gambar yang diambil tidak memenuhi keupayaan sebenar telefon yang digunakan.

Berbalik kepada fungsi kamera, antara kelebihan yang turut dimuatkan dalam fungsi kamera adalah ‘HDR’. HDR atau HighDynamic Range boleh memberikan anda gambar yang lebih jelas. Selain itu juga dengan keupayaan S5 untuk mengambil gambar dengan lebih pantas juga membolehkan kualiti HDR yang dihasilkan lebih baik. Jika sebelum ini gambar HDR perlu diambil menggunakan apps seperti Camera 360 ataupun HDR, kini ia adalah fungsi yang disertakan terus bersama S5.

‘Fast Auto Focus’ pula membolehkan anda mendapatkan gambar yang lebih jelas walaupun untuk objek yang bergerak. Bagi telefon bimbit fungsi ini amat penting kerana adalah sukar untuk mendapatkan fokus yang tepat kerana pergerakan tangan semasa memegang telefon tersebut. Apatah lagi sekiranya objek yang cuba diambil juga sedang bergerak. Ia sememangnya kelebihan yang dinanti-nantikan oleh pengguna.

‘Selective Focus’ pula membolehkan anda menghasilkan gambar seakan-akan menggunakan kanta ‘macro’. Iaitu mengasingkan objek yang difokus daripada latarbelakang. Kaedah seperti ini juga memerlukan kemahiran bagi pengguna-pengguna kamera dslr biasa. Maka dengan itu, para pengguna S5 berpeluang untuk menghasilkan gambar yang menarik dengan lebih mudah.

Walaupun kamera telefon tidak mungkin dapat menghasilkan gambar sebaik kamera dslr biasa, namun sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan para pengguna untuk mendapatkan gambar yang lebih menarik.

Penggunaan Bateri:

Bagi membolehkan anda menjimatkan penggunaan kuasa bateri apabila tidak dapat mengecas telefon anda, apa yang perlu dilakukan adalah mengaktifkan mode ‘Ultra Power Saving Mode’ yang akan menukarkan telefon anda kepada skrin hitam putih dan mampu bertahan selama 24 jam (stanby mode) untuk kegunaan kecemasan dan sebagainya.

Kalis Air:

Samsung S5 kalis air
Kalis air merupakan keistimewaan pada S5.

Galaxy S5 juga diiktiraf dengan pensijilan untuk IP67 iaitu tidak dimasuki habuk dan air. Ia mampu bertahan sekiranya terjatuh ke dalam air pada kedalaman 3 kaki selama 30 minit. Ya, tiada yang mahu telefon kesayangan mereka jatuh ke dalam air. Namun begitu sekurang-kurangnya ini akan mengurangkan kerisauan anda apabila terpaksa meredah hujan atau melakukan aktiviti di tepi kolam mandi.

Kegunaan Kesihatan:

Bagi yang suka bersukan mungkin berminat dengan ciri baru ini iaitu pengesan degupan jantung. Melalui ‘Heart Rate Sensor’ yang berada di belakang telefon S5 anda boleh mengukur kadar degupan jangtung dengan mudah samada sebelum ataupun selepas aktiviti bersenam anda. Manakala ‘S Health’ pula mengesan pergerakan anda seperti jarak berjoging, berbasikal, berjalan dan kelajuan anda. Ia memudahkan anda untuk membuat pengukuran setiap aktiviti yang dijalankan seterusnya untuk anda memastikan sendiri tahap aktiviti yang telah anda jalankan.

Ia juga boleh dipadankan dengan Samsung Gear – alat seperti jam tangan yang boleh dipakai di pergelangan tangan anda. Selain daripada mengesan aktiviti bersukan anda ia juga boleh memaparkan panggilan telefon dan maklumat-maklumat penting. Mungkin ia hanyalah sekadar alat tambahan sekiranya anda berminat.

Sambungan Internet:

Dilengkapi dengan kedua-dua sambunga WiFi dan LTE pada kelajuan tinggi. Malah melalui ‘Download Booster’ iaitu gabungan kedua-dua sambungan boleh membantu anda mempercepatkan lagi kadar memuat turun fail-fail yang anda perlukan daripada internet. Kemudahan ini mungkin berguna di bandar-bandar besar dengan kelajuan internet tinggi. Di Malaysia, talian internet masih lagi pada kelajuan biasa. Apatah lagi dengan sambungan data yang ciput daripada syarikat-syarikat telekom di Malaysia (anda tidak mungkin memerlukannya).

Satu lagi kelebihan pada S5 adalah ia memiliki MIMO (Multi-Input Multi-Output) iaitu generasi ke-5 Wi-Fi 802.11 ac dan 2 X 2 MIMO disertakan bersama S5 dua antena WiFi untuk mempercepatkan lagi sambungan internet anda. Ini bermakna anda mendapat lebih data berbanding peralatan lain dalam rangkaian yang sama. Menarik!

Pengesan Cap Jari:

Pengesan cap jari mula digunakan pada iPhone 5S dan kini Samsung S5 juga dilengkapi dengan kemudahan yang sama. Namun begitu adakah ia merupakan ciri-ciri yang penting – dapat memudahkan urusan serta menjamin keselamatan data, harta benda anda? Ia masih tidak dapat dibuktikan dengan tepat. Walaubagaimanapun ia merupakan salah satu ciri-ciri tambahan yang disertakan bersama-sama S5.

Skrin Yang Lebih Besar:

Skrin S5 adalah ‘5.1 Full HD Super Amoled’, ia bukan sahaja lebih besar berbanding S4 malah turut menampilkan kualiti paparan yang lebih jelas. Kualiti paparan telefon-telefon samsung adalah antara yang terbaik semenjak dahulu lagi. Sebagai pengeluar skrin TV, monitor dan panel skrin Samsung berupaya menghasilkan skrin yang terbaik untuk rangkaian telefonnya juga. Ia turut mendapat pengiktirafan sebagai skrin yang terbaik daripada DisplayMate™.

Begitulah antara ciri-ciri baru yang dimuatkan bersama dengan Samsung Galaxy S5 yang kini berada di pasaran. Bagi yang menanti-nantikan telefon ini bolehlah bertindak segera untuk memastikan anda tidak ketinggalan mendapatkannya ketika ia masih hangat. Apa pun pastikan anda berhati-hati bagi mengelakkan barangan tiruan. Mungkin juga anda tidak perlu terburu-buru sekiranya anda telahpun memiliki S4.


Sebelum anda berbelanja untuk membuat pembelian pastikan dulu adakah ianya merupakan satu keperluan penting atau sebaliknya. Anda juga sebaiknya memastikan fungsi-fungsi yang anda perlukan. Tidak perlu berbelanja mengikut nafsu semata, kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang anda. Seperti yang dapat dilihat teknologi berubah dengan pantas, perlumbaan untuk mengikuti fesyen terkini akan hanya menyebabkan pembaziran berbanding keuntungan. Apa pun tahniah bagi yang berpeluang memiliki S5!


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 13 Mac 2014

Smartphone Bukan Sekadar Telefon Untuk Berbual

Samsung S5
Samsung adalah pengeluar telefon Android yang paling popular.

Kepesatan dunia teknologi hari ini membolehkan kemampuan sebuah komputer dimuatkan ke dalam peralatan yang lebih kecil seperti telefon tangan atau lebih dikenali sebagai ‘Smartphone’. Dibantu dengan kuasa pengiklanan penggunaan peralatan ini menjadi satu ‘trend’ berbanding keperluan sebenar penggunaanya iaitu – tiada sempadan!

Smartphone satu masa dahulu lebih dikenali sebagai PDA dan tidak mampu dimiliki oleh semua golongan. Terdapat beberapa jenis PDA yang terkenal menggunakan sistem pengoperasian WindowsCE atau contoh yang lain adalah seperti NOKIA Symbian. Telefon-telefon ini menggunakan perisian yang dibekalkan terutamanya oleh syarikat pengeluar perisian itu sendiri.

Trend masa kini berubah dengan adanya iPhone yang memberikan lebih ruang kepada pengguna untuk menyediakan aplikasi-aplikasi mengikut keperluan masing-masing. Aplikasi ini kemudianya boleh dikongsi dengan orang ramai melalui ‘market’. Oleh kerana iPhone/iOS mempunyai ‘standard’ yang tinggi maka Google mengambil peluang dengan mecipta telefon Android yang lebh mudah untuk digunakan oleh orang ramai dan dikongsi oleh lebih banyak syarikat pengeluar telefon bimbit. Oh ya, anda juga mungkin mengenali Blackberry.

Apple Logo
Apple mempunyai sistem dan aplikasi yang lebih berkualiti.

Senario ini menimbulkan banyak implikasi kepada semua tahap, tahap pembangunan sistem seperti Apple, Google dan Microsoft sendiri, tahap pembangunan aplikasi (mereka yang terlibat dalam pembangunan aplikasi) dan juga pengguna. Mari kita lihat senario yang berlaku hari ini;

Syarikat Pembangunan Sistem


Syarikat yang membangunkan sistem seperti Apple yang membangunkan iOS, Google yang membangunkan Android dan Microsoft yang membangunkan Windows Phone. Ketiga-tiga syarikat ini berusaha menyediakan sistem yang boleh digunakan oleh pembangunan aplikasi supaya mereka juga dapat meraih keuntungan daripada aplikasi mereka. Apa yang membimbangkan perlumbaan ini menyebabkan sesetengah peralatan mereka menjadi ‘obsolete’ terhadap sistem terbaru mereka dan pengguna perlu membeli peralatan yang baru. Peluang ini turut digunakan oleh syarikat pengeluar telefon di mana terdapat peralatan yang tidak boleh diupdate kepada sistem terbaru.

Apple mampunyai kaedah tersendiri dalam memastikan sistem pengoperasiannya bejalan dengan lebih baik iaitu mengenakan bayaran dan pemeriksaan untuk setiap aplikasi yang ingin dikongsi kepada orang ramai. Maka dengan itu Apple mempunyai senarai aplikasi yang lebih berkesan/lancar untuk digunakan di dalam peralatan mereka samada iPhone, iPad mahupun Mac. Berbanding Google yang lebih mengutamakan kemudahan kepada pengguna, ia sering dieksploitasi bagi mereka yang tidak bertanggungjawab dan mencari keuntungan semata.

Pembangunan Aplikasi


WhatsApp Logo
WhatsApp antara aplikasi yang paling popular.

Bagi mendapat sokongan pengguna untuk membeli peralatan dan menggunakan sistem pengoperasian masing-masing, syarikat-syarikat pengeluar sistem turut menyediakan aplikasi-aplikasi mereka sendiri. Namun begitu peluang turut diberikan kepada syarikat lain untuk sama-sama mebangunkan aplikasi bagi memenuhi keperluan pengguna. Bagi syarikat-syarikat yang menghasilkan telefon (bagi sistem Android) mereka turut menyediakan aplikasi mereka bagi meraih lebih sokongan pengguna untuk telefon masing-masing (yang kebanyakannya tidaklah berapa digunakan).

Bagi pembangunan aplikasi persendirian pula mereka membangunkan sesuatu aplikasi bagi tujuan keuntungan dalam pelbagai bentuk, paling tidak untuk mendapat keuntungan daripada iklan yang dipaparkan di dalam aplikasi mereka. Namun ini tidaklah membimbangkan seperti aplikasi yang mampu mencuri maklumat peribadi anda untuk tujuan yang tidak baik. Malah terdapat juga aplikasi yang menyebarkan maklumat yang tidak betul atau boleh merosakkan sesuatu perkara – seperti aplikasi Al-Quran/Bible/dll. yang ditokok tambah atau diubah maknanya.

Bagi pembangun aplikasi-aplikasi ini mereka semua mempunyai tujuan masing-masing yang berbeza-beza. Ada di antaranya yang memberi kebaikan kepada pengguna seperti kemudahan berbual menggunakan talian internet atau dikenali sebagai ‘Voip’ dan juga menghantar teks secara percuma (selagi anda mempunyai talian internet). Malah ada diantara aplikasi-aplikasi ini kemudiannya dibeli oleh syarikat-syarikat yang lebih besar seperti Whatsapp yang dibeli oleh Facebook pada harga 16 Billion USD baru-baru ini.

Pada Tahap Pengguna


Pada tahap pengguna pula ia memberikan pelbagai reaksi. Bagi mereka yang mempunyai keperluan dan keupayaan menggunakan telefon pintar ini, ia bagaikan memiliki sebuah peralatan ajaib yang berada di tangan mereka dan membantu menyelesaikan pelbagai perkara pada bila-bila masa. Telefon pintar mampu menyediakan mereka sekurang-kurangnya beberapa perkara seperti di bawah:
  • Kemudahan perhubungan; perbualan dan teks bila-bila masa
  • Kemudahan email pada bila-bila masa untuk tujuan perniagaan dan peribadi
  • Kemudahan jadual harian (organizer) dengan maklumat yang lengkap
  • Kemudahan perakam audio/video untuk sebarang temubual
  • Kemudahan mengakses internet untuk pelbagai tujuan (termasuk rujukan/ perbankkan/ maklumat/ tempahan tiket dan sebagainya)
  • Kemudahan perkongsian laman sosial untuk membina network dan perkongsian maklumat
  • Kemudahan bahan bacaan melalui ebook, pdf dan dokumen-dokumen peribadi apabila perlu
  • Bahan hiburan seperti muzik dan video apabila kesunyian (waktu berehat)
  • Kemudahan untuk mengambil gambar & kongsi untuk pelbagai tujuan
  • Kemudahan merujuk peta untuk perjalanan ke satu-satu lokasi dengan mudah
  • Kemudahan berkongsi maklumat/fail untuk pelbagai urusan
  • Kemudahan hiburan video games yang berbentuk pelajaran mahupun hiburan semata
  • Lain-lain kemudahan yang disediakan melalui aplikasi yang pelbagai

Namun kebanyakan pengguna hari ini lebih tertarik kepada smartphone sebagai satu ‘trend’ berbanding kepada kemudahan yang disediakannya. Adalah satu pembaziran sekiranya ia dibeli semata-mata untuk mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain. Penggunaan telefon pintar pada tahap yang sepatutnya dapat memberikan anda pelbagai kemudahan yang amat menguntungkan.

Bagi mereka yang tahu bahawa apa yang berada di tangan mereka adalah sama seperti sebuah laptop/netbook pastinya mengenali telefon mereka dan menggunakannya dengan cara yang lebih optimum. Ada juga sebahagian pengguna yang berjaya membina aplikasi mereka sendiri yang dapat membantu urusan mereka seharian. Mungkin setidaknya bagi kita sebagai pengguna dapat menggunakan telefon pintar mengikut keperluan yang kita perlukan. Jika hanya untuk berbual dan menghantar mesej sahaja – mungkin ada baiknya anda menggunakan telefon yang biasa.

Bukanlah tujuan saya di sini untuk menghalang anda daripada menggunakan telefon pintar tetapi adalah bagi mengelakkan kita dieksploitasi oleh pengeluar dan pembangun-pembangun aplikasi dan berakhir dengan data kita dicuri oleh penjenayah-penjenayah ‘cyber’ yang lebih memburukkan keadaan. Saya lebih cenderung untuk menggalakkan anda memahami telefon pintar dan menggunakannya supaya dapat menerima manfaat daripada apa yang anda belanjakan.


Mungkin sebelum anda memiliki sebuah telefon pintar ada baiknya terlebih dahulu anda memiliki sebuah laptop/netbook dan mengkaji kebolehan telefon pintar dan membuat aplikasi anda sendiri. Mungkin dengan kefahaman yang lebih baik anda dapat menggunakan telefon pintar dengan lebih selamat. Dengan akhir kata, gunakan apa yang anda dimilik untuk kegunaan yang optimum.



Free Download



Sabtu, 4 Januari 2014

Smartphone Dengan Dua Paparan Terbaik


YotaPhone mempunyai rupa bentuk yang setanding dengan smartphone yang lain

Smartphone dengan dua paparan bukanlah baru dan pernah dikeluarkan beberapa tahun dahulu oleh beberapa syarikat pengeluar telefon seperti Kyocera dan juga LG. Tetapi jauh berbeza dengan telefon dari Rusia yang memperkenalkan telefon dengan system operasi Android atau dikenali sebagai YotaPhone.

YotaPhone dilengkapi dua skrin di bahagian hadapan dan belakang. Apa yang menarik skrin pada belakang telefon ini adalah menggunakan E Ink yang menggunakan kuasa yang sedikit dan ini menjimatkan lagi kuasa simpanan bateri telefon. Dari segi bentuk rekaan YotaPhone tidak jauh berbeza dari telefon-telefon biasa yang mudah dipegang dan digunakan. Cuma mungkin a memerlukan ‘casing’ pelindung yang sesuai bagi mengelakkan kesan calar di bahagian belakangnya nanti.

Paparan E Ink yang kemas dan mejimatkan kuasa bateri

Dengan spesifikasi skrin 4.3 inci, 1280 X 720 – pixel skrin berwarna sebagai paparan utama dan 200 dpi E Ink pada bahagian belakang, ia dilengkapi dengan 1.5 GHz Snapdragon (sama seperti CPU pada Samsung S4), 2GB RAM dan ruang simpanan memori 32 GB dan juga 4G LTE.  Kameranya pula adalah 12 MP dan juga 720p pada bahagian hadapan. Tebal telefon ini adalah 0.4 inci dengan beratnya 4.9 Oz.

Paparan E Ink digunakan untuk memeberitahu tentang maklumat terkini dari laman social, mesej, berita, cuaca, masa dan juga gambar yang dihantar oleh system operasi ataupun aplikasi yang menggunakan API daripada Yota. Memandangkan E Ink menggunakan kuasa yang rendah, ini tidak menjejaskan usia bateri telefon.


YotaPhone dilancarkan di Rusia pada December 2013 yang lalu. Adakah anda berminat untuk melihat lebih dekat telefon yang berbeza dari telefon-telefon pintar yang ada di pasaran hari ini? Di sini terdapat paparan video berkenaan YotaPhone. Manakala telefon-telefon dengan 2 skrin seperti yang dinyatakan di atas adalah Kyocera Echo dan juga LG DoublePlay. Setelah membuat perbandingan, anda tentu setuju bahawa telefon dengan 2 skrin terbaik adalah daripada YotaPhone.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Arkib Blog