Peredaran darah yang baik penting untuk kesihatan. |
Kesihatan merupakan faktor penting dalam kehidupan dan antara faktor penting mejamin kesihatan pula adalah pengaliran darah yang baik. Mungkin sebelum kita memikirkan tentang peningkatan pengaliran darah, perkara utama yang perlu kita pastikan adalah pengaliran darah yang normal. Jadi kali ini kita melihat bagaimana kita boleh memastikan perkara ini dicapai.
Darah merupakan medium yang membawa segala bekalan penting untuk setiap sel di dalam badan kita. Jadi sebarang gangguan pada sistem ini akan memberikan kesan kepada badan bergantung kepada tahap gangguan yang dialami. Proses pengubatan juga sukar dilakukan sekiranya sistem peredaran darah terganggu, kerana ubatan juga memerlukan sistem peredaran darah sebagai agen pengangkutan baginya. Berikut adalah beberapa langkah penting untuk memastikan sistem peredaran daran yang baik;
Aktiviti Fizikal
Senaman aktiviti penting untuk peredaran darah yang sempurna. |
Penggunaan pemberat untuk stimulant bahagian-bahagian tertentu. |
Senaman boleh dilakukan untuk sebarang peringkat usia. |
Aktiviti fizikal amat penting dalam memastikan peredaran darah yang baik. Ia mungkin tidak menjadi masalah yang besar sekiranya anda menjalankan aktiviti harian yang memerlukan pergerakan fizikal yang banyak. Namun bagi sesetengah kita yang kurang melakukan aktiviti harian seperti bekerja di dalam pejabat dan hanya membaca buku bagi pelajar misalnya, akan mengalami penurunan kadar pengaliran darah.
Aktiviti senaman merupakan antara kaedah yang baik dalam membantu sistem peredaran darah berjalan dengan lancar semula. Anda perlu melakukan aktiviti senaman yang berbentuk aerobik bagi meningkatkan kadar oksigen di dalam darah. Manakala senaman jangka pendek (dengan pemberat, push-up, lari pecut) juga adalah sebagai stimulasi bahagian-bahagian tertentu sekiranya perlu. Selain meningkatkan kadar aliran darah, aktiviti senaman juga membantu menyah toksin di dalam darah melalui proses perpeluhan.
Selain senaman, kaedah urutan juga membantu melancarkan peraliran darah. Berbeza dengan senaman, urutan memberikan kerehatan kepada bahagian-bahagian tertentu yang diberikan urutan. Namun urutan lebih penting sekiranya anda mengalami kecederaan pada bahagian-bahagian tertentu. Sebaliknya senaman adalah lebih penting dalam menjamin peredaran darah yang sempurna.
Meletakkan kaki anda pada kedudukan yang lebih tinggi juga merupakan salah satu kaedah dalam membantu meningkatkan peredaran darah. Namun kaedah ini tidak boleh dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama. Gunakan bantal ataupun bangku untuk meletakkan kaki anda sementara anda berbaring di atas lantai. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang menghabiskan banyak masa dengan berdiri.
Tabiat Pemakanan
Pemakanan yang membantu peredaran darah. |
Darah membawa pelbagai khasiat penting untuk setiap sel di dalam badan. |
Pemakanan merupakan faktor penting dalam memastikan khasiat yang terkandung di dalam darah untuk dibawa ke bahagian-bahagian lain di dalam badan. Jadi daripada pemakananlah kebanyakan masalah kesihatan bermula. Pastikan anda mengurangkan pemakanan yang mengandungi bahan-bahan tiruan (atau makanan yang diproses). Begitu juga manakanan yang menggunakan racun rumpai, racun serangga dan bahan-bahan kimia yang lain dalam proses penanamannya. Adalah penting juga bagi anda memastikan makanan yang disediakan dengan kaedah yang bersih dan selamat untuk memastikan makanan selamat dimakan.
Sememangnya terdapat makanan yang membantu pengaliran darah yang baik iaitu pemakanan yang bersifat penggalak (stimulant) kepada pengaliran darah. Namun fungsi utama pemakanan adalah membekalkan khasiat (nutrients) kepada badan. Jadi adalah penting bagi kita mengambil pemakanan yang seimbang dan mengelakkan pemakanan yang boleh mendatangkan mudarat seperti makanan ringan.
Perkara penting yang perlu diingat dalam pemakanan adalah, badan memerlukan pelbagai khasiat untuk bekerja dengan sempurna, namun begitu setiap perkara tidak boleh diambil secara berlebihan. Jadi anda tidak boleh hanya menumpukan kepada satu kumpulan khasiat pemakanan sahaja.
Pada masa yang sama juga air merupakan satu elemen penting kepada darah. Air memastikan kepekatan darah dalam keadaan yang normal, mengawal suhu badan seterusnya membantu pengaliran darah yang sempurna. Kurangkan pengambilan air sejuk kerana ia akan mengecutkan saluran darah dan juga melambatkan proses penghadaman. Begitu juga pengambilan kopi, minuman beralkohol akan mengakibatkan anda membuang air dengan kerap. Sebaliknya minuman ringan seperti minuman berkarbonat dan minuman dengan perasa tiruan/ dengan kandunga gula tinggi juga boleh menggganggu kesihatan anda untuk jangka masa panjang.
Kaedah Lain
Urutan bukan sahaja merehatkan tetapi melancarkan peredaran darah. |
Riadah mengurangkan stress. |
Kadar pengaliran darah juga boleh ditingkatkan dengan mandi menggunakan air panas. Kaedah ini dapat meningkatkan kadar aliran darah dan memberikan anda kerehatan. Ia juga boleh dilakukan untuk bahagian-bahagian tertentu seperti merendam kaki di dalam air panas. Bagi bahagian-bahagian lain, ia boleh dituam menggunakan air panas yang diisi di dalam botol, bijian panas yang disikan di dalam bungkusan dan sebagainya. Ia merupakan kaedah biasa yang dilakukan untuk merawat masalah darah beku atau lebam akibat pendarahan dalaman.
Aktiviti riadah sebaliknya membantu peredaran darah dengan mengurangkan stress. Ini kerana tekanan akan mengakibatkan peredaran darah yang tidak teratur dan mengkibatkan pelbagai gejala seperti sakit kepala, kemurungan, keletihan dan masalah-masalah lain sekiranya dibiarkan berpanjangan. Aktiviti riadah dan juga kerehatan seperti Yoga atau Tai-Chi dapat membantu mengurangkan kadar stress ini. Adakalanya anda boleh melakukannya dengan hanya sekadar bersiar-siar di taman.
Dapatkan Bantuan dan Nasihat Pakar
Jangan lupa mendapatkan bantuan pakar apabila anda mendapati gejala-gejala serius yang berpanjangan. Masalah boleh menjadi serius sekiranya ianya tidak diberikan perhatian di peringkat awal. Ini juga penting sekiranya anda berniat untuk mengambil ubatan ataupun makanan tambahan dalam meningkatkan kadar peredaran darah anda. Tidak semua perkara sama bagi setiap individu, maka nasihat pakar penting bagi mengelakkan kesan sampingan daripada tindakan yang akan anda lakukan.
Ya itulah dia antara beberapa perkara penting dalam membantu anda mencapai kadar peredaran darah yang lebih baik. Namun seperti yang kita ketahui, kaedah terbaik adalah dengan memastikan kita sentiasa aktif, kerana ia merupakan kaedah semulajadi badan berfungsi. Jadi pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti senaman disamping mengawasi tabiat pemakanan anda. Seperti yang kita sedia ketahui, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.