Memaparkan catatan dengan label tarikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tarikan. Papar semua catatan

Selasa, 24 Januari 2017

Perdana Botanical Garden, Kuala Lumpur

Perdana Botanical Garden atau Taman Tasik Perdana.

Perdana Botanical Garden dahulunya dikenali sebagai Taman Tasik Perdana atau Lake Gardens bukanlah satu kawasan yang asing di Kuala Lumpur. Namun ada masa-masanya para pelawat terlepas pandang akan kawasan yang menghijau ini apabila tiba di Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan pelbagai tarikan lain.

Apa yang menarik di kawasan Taman Tasik Perdana sendiri dipenuhi dengan tarikan-tarikan lain yang amat sesuai untuk kunjungan keluarga seperti Taman Burung, Taman Rama-rama, Taman Orkid, Planetarium Negara, Muzium Polis Diraja Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Memorial Tun Razak dan macam-macam lagi. Jadi untuk melengkapkan kunjungan ke sini mungkin anda perlu meluangkan masa beberapa hari atau beberapa kali lawatan.

Keadaan tenang di tengah bandaraya.

Taman kancil dan rusa.

Peta panduan Perdana Botanical Garden.

Apa yang menarik bagi wargakota, Perdana Botanical Garden ini juga merupakan kawasan riadah bagi mereka yang tinggal berhampiran untuk melakukan aktiviti senaman harian seperti jogging dan tai-chi. Jadi taman ini sentiasa menjadi kunjungan dari seawal pembukaannya pada waktu 7:00 pagi sehinggalah 8:00 malam.

Seperti juga taman-taman lain di Kuala Lumpur atau Putrajaya, Perdana Botanical Garden dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan-tumbuhan tropika yang penting digunakan sebagai bahan binaan atau untuk pelbagai kegunaan penduduk tempatan suatu masa dahulu. Terdapat juga taman herba yang ditanam dengan pokok-pokok herba penting digunakan sebagai bahan masakan, ubatan, pewarna, pewangi dan lain-lain lagi.

Taman ini dihiasi dengan bunga-bungaan, binaan-binaan yang cantik mengelilingi tasik menjadikan ia sebuah taman yang cantik. Keadaan ini berbeza dengan KL Eco Park yang juga berada di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang mengetengahkan suasana hutan tropika. Jadi kedua-dua taman ini mempunyai keunikan masing-masing dan anda harus melawati keduanya.

Kemudahan pelbagai acara.

Sesuai untuk lawatan keluarga.

Kehijauan yang memberikan ketenangan.

Kunjungan ke sini amatlah mudah menggunakan pengangkutan awam ataupun perkhidmatan kereta sewa dan teksi. Malah anda akan melewati kawasan ini sekiranya menggunakan perkhidmatan bas Hop On, Hop Off di dalam laluannya. Terdapat beberapa laluan masuk ke taman ini dari beberapa jalan utama sekiranya anda menggunakan kenderaan sendiri.

Bagi yang melakukan lawatan berkumpulan pula, anda boleh mendapatkan perkhidmatan lawatan berpandu dengan menghubungi pihak pengurusan taman. Bagi mendapatkan maklumat lanjut anda bolehlah menghubungi mereka melalui emel di alamat: jlr@dbkl.gov.my - tempahan awal perlu dibuat selewatnya 7 hari sebelum tarikh lawatan dilakukan. Anda juga boleh melawati laman web mereka di: http://www.klbotanicalgarden.gov.my/

Untuk maklumat lebih lanjut anda bolehah menghubungi pihak pengurusan Perdana Botanical Garden sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan khusus.

LANDSCAPE AND RECREATION @ KUALA LUMPUR CITY HALL
Level 19, DBKL Tower 3
Bandar Wawasan, Jalan Raja Abdullah
50300 Kuala Lumpur, Malaysia

T: +603-2617 6404
F: +603-2698 3850

E: klbotanicalgarden@dbkl.gov.my





Free Download



Jumaat, 13 Januari 2017

Saksikan Kuala Lumpur Dalam Tempoh 24 Jam

Bus Hop On, Hop Off dengan warna-warna yang menarik.

Kuala Lumpur merupakan bandaraya utama bagi Malaysia dan lawatan ke tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur adalah sukar untuk dilakukan dalam tempoh yang singkat, namun kali ini kita akan meninjau cara bagaimana untuk membolehkan anda melihat tempat-tempat menarik ini dalam tempoh 24 ~ 48 jam menggunakan perkhidmatan bas Hop On, Hop Off di Kuala Lumpur.

Walaupun tempoh yang dinyatakan di atas tidak membenarkan anda untuk membuat pemerhatian terperinci untuk setiap tarikan yang disinggahi oleh bas Hop On, Hop Off ini, namun ia sedikit sebanyak memberikan anda kesempatan untuk melihat kesemua tempat-tempat menarik tersebut dalam tempoh yang dinyatakan. Anda boleh meluangkan masa mengikut keperluan anda di tempat-tempat lawatan utama sekiranya perlu.

Jadi apa yang anda perlu lakukan adalah mengenal pasti lokasi-lokasi menarik yang disinggahi di sepanjang laluan Hop On, Hop Off ini selain merancang masa yang diperlukan untuk anda membuat tinjauan di tempat-tempat tersebut. Anda boleh menempah tiket antara 24 jam atau 48 jam mengikut perancangan anda. Lokasi-lokasi yang disinggahi disertakan bersama dengan peta lawatan dan anda perlulah merujuk peta ini dengan teliti.

Bas merentasi laluan-laluan di Kuala Lumpur.

Kebaikan Menggunakan Hop On, Hop Off

Walaupun anda boleh melawati ke semua lokasi menarik di Kuala Lumpur tanpa menggunakan perkhidmatan Hop On, Hop Off, anda perlu meluangkan masa yang agak lama untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan ke lokasi-lokasi tersebut berbanding satu laluan menggunakan perkhidmatan ini. Harga tiketnya pula jauh lebih murah sekiranya dibandingkan dengan apabila anda perlu menggunakan perkhidmatan teksi untuk lokasi-lokasi tertentu. Anda juga dijamin menemui lokasi yang dicari berbanding sekiranya anda mencarinya sendiri menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang lain.

Perjalanan menggunakan Hop On, Hop Off juga adalah lebih selesa kerana ia dilengkapi dengan bahagian bumbung terbuka dan bahagian yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Anda boleh membuat pilihan mengikut keperluan lawatan anda. Selain itu juga anda dapat bersama-sama menyertai kumpulan pelancong-pelancong lain dari pelbagai bangsa dari serata dunia yang ingin sama-sama melawati tempat-tempat menarik tersebut.

Ruangan terbuka untuk pemandangan menyeluruh.

Ruangan dalam yang nyaman dan selesa.

Bagaimana Mendapatkan Tiket Bus?

Tiket bus boleh dadapati dari bas sendiri, agensi pelancongan, hotel-hotel utama, selain menghubungi talian infoline di: 1800-88-5546. Anda juga boleh membuat tempahan tiket secara online di www.myhoponhopoff.com selain mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai perkhidmatan mereka.


Peta laluan dan lokasi persinggahan. (tekan untuk download peta).

Antara lokasi yang disinggahi.

Apa yang paling penting, anda perlulah bersedia dengan perancangan anda untuk lokasi-lokasi yang ingin anda singgahi dan tempoh masa yang akan diluangkan di lokasi-lokasi tersebut nanti. Melalui penggunaan bas Hop On, Hop Off ini anda tidaklah perlu bimbang bagaimana untuk sampai ke lokasi lawatan, sebaliknya menumpukan apakah yang akan anda perhatikan di setiap lokasi yang bakal dilawati.



Free Download



Rabu, 7 Disember 2016

Little India, Brickfields, Kuala Lumpur

Little India, Brickfields, Kuala Lumpur.

Little India merupakan antara kawasan yang amat menarik untuk dilawati kerana ia mewakali kawasan yang dipenuhi dengan hiasan bermotifkan kebudayaan warga berketurunan India di Kuala Lumpur. Selain menempatkan rumah ibadah kaum India, ia juga dipenuhi dengan pelbagai kedai-kedai menjual pelbagai barangan keperluan kaum India.

Lawatan ke sini sedikit sebanyak memudahkan untuk anda mengenali lebih lanjut kebudayaan berkaitan kaum India di Malaysia dengan lebih mudah. Keseluruhan kawasan dan pinggiran jalan dihiasi dengan indah dan memberikan anda satu suasana seolah-olah anda berada di India berbanding di lokasi sebenarnya iaitu Kuala Lumpur.

Gerbang ke Little India.

Terdapat burung merpati di sekitar jalan di Brickfields.

Kalungan bunga untuk dijual.

Walaupun keseluruhan kawasan di sini berkonsepkan kebudayaan India, kemudahan restoran dan gerai-gerai makanan bersesuai untuk pengunjung-pengunjung dari kepercayaan lain juga boleh didapati dengan mudah. Ini termasuklah restoran-restoran makanan segera terkemuka dan sebagainya. Lawatan anda ke Little India pastinya memberikan satu pengalaman baru berada di satu sudut yang unik di Kuala Lumpur.

Terletak berhampiran dengan hub pengangkutan utama iaitu KL Central, Little India boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki dari sana. Anda boleh menggunakan perkhidmatan LRT ataupun monorail dan seterusnya menyusuri jalan menuju ke Brickfields. Antara struktur menarik yang anda boleh perhatikan di Little India termasuklah hiasan jalan yang menarik, air pancur dan ukiran unik. Anda juga mungkin berkesempatan untuk memberi makan kepada burung-burung merpati yang terdapat di kawasan ini.

Rumah ibadah kaum India di Brickfields.

Pancuran air mertu tanda Little India.







Free Download





Selasa, 6 Disember 2016

Bangunan Bersejarah Masjid Jamek

Dibina di pertembungan antara dua sungai.

Masjid lama di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Masjid Jamek merupakan antara masjid tertua di Kuala Lumpur yang masih berdiri kukuh sehingga ke hari ini. Lokasinya yang menarik iaitu di antara pertembungan dua sungai menjadikan ia seolah-olah berada di atas sebuah pulau kecil.

Masjid bersejarah ini didirikan sebagai sebahagian daripada kompleks asal bangunan lama yang dibina pada tahun 1909 sama juga seperti Bangunan Sultan abdul Samad berhampirannya. Manakala arkiteknya pula adalah Arthur Benison Hubback yang juga menerapkan senibina Mughal sama juga seperti bangunan-bangunan lain di serata kawasan berhampirannya.

Satu gambar lama Masjid Jamek, Kuala Lumpur

Bahagian lama (kiri) dan baru (kanan) Masjid Jamek.

Lokasinya yang menarik ditambahkan lagi dengan kemudahan pengangkutan iaitu stesyen keretapi elektrik untuk laluan Kelana Jaya mahupun Sri Petaling dan Ampang. Ini menjadikan ia lokasi yang paling mudah untuk dikunjungi. Antara tarikan-tarikan berhampiran termasuklah Jalan Masjid India, Dataran Merdeka dan juga Pasar Seni.


Masjid ini sentiasa diberikan perhatian yang cukup dengan penambahan ruang solat dan juga kemudahan-kemudahan yang lain. Ia merupakan salah satu mercu tanda penuh bersejarah bagi Bandaraya Kuala Lumpur.

Bahagian masuk utama masjid.

Pandangan dari sisi.

Pandangan dari bahagian atas.








Free Download




Isnin, 27 April 2015

Kuching oh Kuching


Sarawak River
Keindahan menyusuri Sungai Sarawak.

Kuching merupakan salah sebuah bandar yang menarik untuk dikunjungi, yang juga merupakan bandar utama bagi negeri Sarawak. Sebagai jalan masuk utama ke negeri ini, Kuching sudah semestinya menjadi tumpuan utama bagi para pelancong untuk singgah sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tempat-tempat lain yang menarik di seluruh Negeri Sarawak.

Pengalaman ringkas berkunjung ke Kuching memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang keindahan dan kemajuan Bandar Kuching. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak pentadbir negeri, bagi memastikan bandar istimewa ini sentiasa memberikan para pengunjung kepuasan seperti yang diharapkan ketika berada di sini.

Kepesatan Bandar Kuching pintu masuk ke Sarawak.

Keseluruhan Bandar Kuching sememangnya sudah tersedia prasarana yang lengkap untuk para pelawat mendapat kepuasan ketika melawat ke bandar ini. Sejak sekian lama, Bandar Kuching telah diperlengkapkan dengan pusat-pusat lawatan yang menarik dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti hotel, pusat penjaja, kemudahan pengangkutan udara, darat dan air, terutama bagi menyeberangi Sungai Sarawak yang merentasi tengah bandar ini.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tempat-tempat pelancongan sudah semestinya, Bandar Sarawak perlu berada di dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menyediakan pelancong-pelancong yang singgah di sini, satu pengalaman yang menarik samada sebelum meneruskan perjalanan atau sebelum pulang ke tempat masing-masing.

Muzium-muzium di sekitar Bandar Kuching

Komplek Tun Jugah di mana Muzium Pua Kumbu terletak.

Bandar Kuching menyediakan beberapa Muzium menarik untuk dikunjungi, daripada Muzium Negeri sehinggalah kepada Muzium Cina yang diselenggarakan sendiri daripada sumbangan orang ramai. Walaupun Muzium Negeri Sarawak mempunyai bahan pameran yang agak unik dan menarik, namun ianya agak hambar ketika saya mengunjunginya. Pada masa yang sama, dengan penutupan bangunan muzium-muzium lama, mengurangkan lagi tarikan yang ada di sini.

Satu lagi keunikan muzium di Bandar Kuching yang cuba dikunjungi adalah, Muzium Phua Kumbu yang terletak di Komplek Tun Jugah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sayang sekali muzium ini kurang diketahui oleh penduduk bandar ini sendiri. Manakala ia hanya dibuka pada hari biasa (Isnin-Jumaat) sahaja - agak mengecewakan bagi saya yang berkunjung pada hari minggu.

Civic Centre

Keindahan senibina Civic Center, hanya menjadi tatapan sahaja.

Bangunan yang memiliki senibina yang menarik ini direka bagi menyediakan ruang pandang 360° Bandar Kuching dari atas, sama seperti Menara Kuala Lumpur. Ia juga menyediakan pusat pameran Planetarium antara yang terawal di negara kita. Ia juga mengalami nasib yang sama iaitu, hanyalah tinggal kenangan. Pusat yang bukan sahaja menyediakan bahan pendidikan dan tarikan pelancongan ini, tidak lagi diberikan perhatian seperti mana yang sepatutnya.

Mujur masih terdapat beberapa tarikan yang masih bertahan dan mungkin tidak seceria seperti mana yang sepatutnya, seperti Kuching Water Front, Taman Orkid, My Village Baruk Restaurant, River Cruise, bangunan-bangunan lama dan mungkin beberapa tarikan lagi.

Amat dirasai pengalaman berjalan di hujung minggu di Kuching Water Front, tidak semeriah seperti di mana-mana pusat tumpuan pelancongan yang lain. Ini memberikan impak yang amat tinggi kepada para peniaga mahupun pengusaha-pengusaha lain yang mengharapkan pengunjung dari dalam dan luar negara.


Walaubagaimanapun kunjungan ke Kuching masih memberikan serba sedikit pengalaman menarik kerana banyak memberikan pengalaman baru. Adalah lebih baik lagi sekiranya, semua tarikan yang sedia ada dapat dikekalkan dan diperbaiki bagi memastikan para pengunjung merasa puas dengan kunjungan mereka disamping serba sedikit menjana pendapatan peniaga-peniaga di sekitar Bandar Kuching.


Free Download



Arkib Blog