Memaparkan catatan dengan label sutera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sutera. Papar semua catatan

Isnin, 4 April 2022

Sutera Unik Muga Silk, Sutera Termahal dari Daerah Assam, India.

Muga silk, mempunyai warna asli tersendiri yang menarik.

Sutera merupakan salah satu tajuk penting yang mendapat perhatian di dalam artikel-artikel kami yang telah lepas mahupun yang akan datang. Kepentingan sutera sebagai bahan pembuatan merupakan sumber penting dalam menghasilkan pelbagai barangan. Pembangunan teknologi membolehkan sutera sintetik dihasilkan dengan kualiti yang lebih baik mengikut perkembangan masa. Walaubagaimanapun, buat masa ini industri sutera tradisional masih boleh berdaya saing memandangkan masih terdapat permintaan terhadapnya. Namun ia tidak mungkin akan bertahan sekiranya tiada usaha dalam memperbaiki kaedah pengeluarannya yang menyebabkan harganya yang terlalu tinggi dan penghasilan yang tidak efisyen.
 
Hari ini kita ingin melihat satu lagi jenis sutera yang amat unik dan hanya dihasilkan di daerah tertentu di India. Sutera unik ini dihasilkan oleh sejenis rama-rama yang berbeza daripada sutera biasa yang dihasilkan, malah ia turut diberikan makanan daripada daun tumbuhan tertentu dalam memastikan benang sutera dihasilkan mempunyai warnanya tersendiri. Memandangkan proses pemeliharaan dan penjagaan yang rumit menjadikan penghasilan sutera jenis ini amat terhad dan harganya juga amat mahal. Apa yang membimbangkan adalah, para pengusaha sutera ini masih lagi berada dalam keadaan kualiti kehidupan yang sama. Sekiranya keadaan ini berkekalan, maka tiada lagi generasi akan datang yang akan berminat dengan industri ini dan ia akan hilang dengan begitu sahaja.

 
Sutera yang dimaksudkan lebih dikenali sebagai ‘sutera muga’ (muga silk) yang dihasilkan oleh rama-rama yang dikenali sebagai ‘muga silkworm’ (Antheraea assamensis) atau juga dipanggil ulat sutera Assam. Penghasilan sutera ini telah dihasilkan di Daerah Assam semenjak 300 BC dan ianya hanya digunakan oleh golongan diraja. Berbeza dengan sari sutera biasa yang mungkin berharga sehingga $250, sari yang dihasilkan dengan menggunakan sutera muga boleh mencapai harga sehingga $6,500. Apa yang menarik sutera ini mempunyai warna keemasan secara semulajadi selain daripada menjadi lebih berkilat setiap kali ianya dicuci (menggunakan cucian tangan tanpa bahan pencuci kimia seperti sabun pencuci biasa).

Rama-rama yang digunakan dalam menghasilkan sutera Muga (Antheraea assamensis).

Ulat beluncas dari spesies yang menghasilkan sutera Muga.

Keunikan sutera muga bukan sahaja dihasilkan daripada jenis rama-rama yang unik. Untuk memastikan kualiti sutera yang tulen, anak rama-rama perlu diberikan makanan daripada tumbuhan tertentu sahaja, antaranya adalah daun dari pokok Som (Machilus bombycina) atau Sualu (Litsea polyantha). Namun dalam keadaan liar, anak rama-rama ini turut menjadikan tumbuh-tumbuhan lain sebagai makanan termasuk; Cinnamomum, Laurus, Litsea, Carpinus, Persea, Magnolia, Michelia, Quercus, Sarcostemma dan Symplocos. Sumber pemakanan ini amat penting, kerana ia memastikan kualiti sutera yang dihasilkan oleh kepompong beluncas menepati kualiti yang diperlukan untuk menjadi sutera muga yang diperlukan. Sumber pemakanan ulat beluncas memastikan kualiti warna benang sutera yang dihasilkan mempunyai warna keemasan yang berkilau.

 
Tidak seperti sutera biasa yang dihasilkan oleh jenis rama-rama Bombyx mori yang menjadikan tumbuhan mulberry sebagai makanan utamanya juga merupakan 90% daripada jumlah sutera yang dihasilkan untuk pasaran dunia. Sutera jenis ini juga dikenali sebagai ‘Mulberry Silk’, dimana penghasilan tanaman mulberry secara komersial khusus sebagai sumber makanan rama-rama ini dikenali sebagai Moriculture. Proses penghasilan mulberry silk lebih teratur dan mampu menghasilkan jumlah sutera yang lebih tinggi. Penternakan ulat-ulat sutera ini biasanya dilakukan di dalam bangunan khas yang mudah dikawal tanpa haiwan yang pemangsa yang menjadikan ulat-ulat ini sebagai makanan.

Pokok Som (Machilus bombycina) yang menjadi makanan khusus ulat sutera bagi penghasilan sutera Muga.

Pokok Sualu (Litsea polyantha), merupakan satu lagi pokok khusus bagi penghasilan sutera Muga asli.

Berbeza dengan Muga silk yang tergolong di dalam kumpulan Vanya Silk, atau boleh juga dinamakan sebagai sutera liar. Sutera-sutera liar adalah daripada sutera yang diperolehi daripada ulat-ulat yang hidup di hutan. Ia juga terdiri daripada rama-rama yang berbeza iaitu termasuk ; A. assamensis, A. paphia, A. pernyi, A. roylei, dan A. yamamai. Vanya silk terdiri daripada beberapa jenis termasuk Tussar, Muga dan Eri. Kepompong-kepompong sutera ini dikumpulkan oleh penduduk tempatan yang mendiami kawasan berhampiran hutan dan menggunakannya untuk ditenun atau dijual kepada penenun.
 
Berikutan dengan permintaan yang tinggi, sutera Muga menjadi mangsa
eksploitasi dengan penghasilan sutera muga tiruan. Maka dengan itu kerajaan terpaksa menetapkan bahawa penghasilan sutera Muga menjadi unik kepada Daerah Assam sahaja. Namun ia tidak menjamin keselamatan dalam memastikan sumber sutera itu sendiri iaitu ulat-ulat sutera dan sumber makanannya. Ancaman kepada ulat-ulat ini termasuklah serangan penyakit, haiwan pemangsa serta sumber makanan yang digunakan khusus untuk penghasilan sutera muga yang tulen.

 
Manakala dengan ancaman-ancaman ini, pengusaha-pengusaha (terdiri daripada
penternak ulat sutera dan penenun) muga silk, tidak memiliki pendapatan yang sepatutnya berbanding harga muga silk yang begitu tinggi. Sekiranya kaedah penghasilan ini tidak diperbaiki dan pendapatan pengusaha tidak ditingkatkan, maka industri muga silk akan hilang dalam tempoh terdekat.

Cadar yang dihasilkan daripada sutera Muga.

Bebenang daripada sutera Muga yang sedia untuk ditenun.

Muga silk merupakan satu lagi bahan dari sumber alam semulajadi yang amat unik dihasilkan oleh manusia dalam menghasilkan bahan pakaian. Ia merupakan satu ciri unik budaya yang amat berharga yang perlu dipelihara bagi memastikan keasliannya tetap kekal. Namun usaha ini akan mengalami pelbagai cabaran kerana ia juga bergantung kepada sumber alam yang lain termasuk ulat sutera dan sumber makanannya.
 
Walaupun pemeliharaan sumber semulajadi ini penting, penghasilan sutera secara sintetik merupakan salah satu langkah yang dapat menjamin penghasilan sutera yang lebih stabil dari segi harga, kualiti dan kuantiti yang lebih stabil. Teknologi ini masih diperbaiki dari pelbagai aspek dalam memastikan penghasilan yang optimum. Tanpa penghasilan sutera sintetik, penghasilan sutera secara semulajadi tidak mungkin dapat menampung permintaan sutera yang semakin meningkat bukan sahaja untuk penghasilan pakaian, malah dalam inovasi-inovasi baru yang memerlukan sutera.
 
 
Rujukan:
 
1) Businessinsider: Muga silk is known as the 'golden thread.' Here's why a sari made with this silk can cost $6,500.
2) Wikipedia: Muga silk
3) Wikipedia: Assam silk
4) Indiatales: Different Types Of Silk In India – An Introduction
5) Central Silk Board: Vanya Silks - The Wild Silks of India
 
 

Khamis, 3 Ogos 2017

Bahan Tenunan Unik Sutera Laut (Sea Silk)

Serat byssus yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut (sea silk).

Bahan-bahan penghasilan pakaian merupakan antara bahan penting yang sentiasa mendapat perhatian daripada Myrokan terutamanya sutera, sepertimana yang kita tahu, merupakan salah satu bahan terbaik yang diperolehi dari sumber alam. Sutera bukan sahaja dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ namun turut dihasilkan oleh serangga-serangga lain. Tahukah anda salah satu sutera terbaik iaitu ‘sutera laut’ adalah dihasilkan oleh sejenis kerang!

Sutera laut (sea silk) merupakan antara bahan yang jarang digunakan dan ianya hanya dihasilkan di beberapa kawasan sahaja di dunia iaitu Taranto, Apulia dan Sardinia di Itali. Ia juga semakin jarang ditemui kerana proses penghasilan sutera ia adalah jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan penghasilan sutera daripada ulat sutera.


Pinna nobilis di habitat asalnya di dasar laut. 
Pinna nobilis boleh mencapai sehingga 120 cm.


Sutera laut merupakan bahan filamen sutera yang juga dikenali sebagai “byssus” yang dihasilkan oleh hidupan “bivalve” mollusk untuk membantunya melekatkan diri di permukaan batuan. Adapun bahan yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut adalah daripada byssus yang dihasilkan oleh sejenis kerangan yang dikenali sebagai pen shells (Pinna nobilis).

Sutera laut dahulunya dihasilkan di kawasan sekitar Mediterranean di mana hidupan Pinna nobilis boleh didapati sehingga kepada awal abad ke-20. Hidupan cengkerang ini mempunyai saiz yang agak besar dan mampu mencapai ukuran sehingga 120 cm (4 ft) panjang. Pada saiz ini ia mampu menghasilkan serat byssus yang mencapai sehingga 6 cm panjang. Melalui serat inilah benang sutera laut dihasilkan.


Sutera byssus yang amat halus.

Sarung tangan yang dihasilkan menggunakan sutera laut.

Chiara Vigo merupakan satu-satunya penghasil sutera laut yang tinggal!

Oleh kerana byssus yang dihasilkan amat pendek, proses pemintalan benang sutera laut memerlukan kemahiran yang tinggi dan memerlukan masa yang lama. Sehingga kini tiada barangan bersaiz besar dihasilkan menggunakan sutera laut ini melainkan barangan kecil seperti sarung tangan, bahan yang dikait dan beberapa barangan kecil sahaja.

Penghasilan sutera laut merupakan antara kaedah penghasilan fabrik yang hampir pupus dan usaha memeliharanya semakin giat dijalankan oleh pelbagai pihak bagi memastikan ianya tidak terus hilang. Sutera laut sememangnya unik kerana tiada siapa yang menyangka – sutera turut dihasilkan oleh hidupan air terutamanya kerang-kerangan.

Rujukan:
iii) Byssus







Free Download




Ahad, 8 Mei 2016

Sutera Untuk Pengawetan Makanan

Proses pengawetan yang baik menjamin kesegaran buah yang lebih lama.


Pengawetan makanan merupakan antara proses penting bagi memastikan makanan yang disimpan dapat bertahan lebih lama. Untuk tujuan ini, pelbagai teknik digunakan sejak sekian lama antaranya termasuklah menggunakan pectin, chitosan dan juga teknik lain seperti sinaran gama.

Sutera yang sekian lama diketahui sebagai antara bahan yang terkuat dalam alam digunakan untuk menghasilkan benang dan kain sutera. Ia juga digunakan untuk membuat beberapa bahan penting seperti payung terjun yang kemudiannya digantikan dengan nylon. Sutera mempunyai kebolehan ini disebabkan oleh protein yang dikenali sebagai fibroin. Selain merupakan bahan yang stabil, ia juga dapat melindungi bahan yang disalutinya. Malah ia juga bahan yang mereput secara semulajadi selain selamat sekiranya dimakan.

Kini bahan berasaskan sutera ini digunakan untuk menyaluti bahan makanan bagi membolehkan ianya bertahan lebih lama. Kaedah ini dibangunkan di Tufts University di Massachusetts. Strawberi yang dirawat/disaluti menggunakan bahan sutera didapati bertahan lebih lama walaupun tanpa disimpan di dalam peti sejuk sehingga seminggu.

Strawberri dapat bertahan lebih lama tanpa disimpan di dalam peti sejuk.

Selain tahan lama, tekstur buah juga lebih baik.

Kesan penggunaan sutera pada buah strawberri.

Walaupun ketebalan sutera yang digunakan hanyalah setebal 35 mikron sahaja, ia masih dapat dilihat dengan mata kasar. Lapisan tipis sutera ini mengurangkan proses perpeluhan pada buah seterusnya memperlahankan proses masak buah. Proses yang sama juga didapati mengelakkan buah pisang dari masak dengan cepat selain rasanya yang lebih baik dan kulit yang tidak melembik.

Teknik perawatan buah dapat mengelakkan buah daripada rosak semasa proses penghantaran di mana kebanyakannya terlebih masak semasa tempoh tersebut mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO), UN.


Satu lagi keajaiban sutera sepertimana yang telah kita ketahui menunjukkan kehebatan alam dijadikan jauh lebih baik daripada bahan yang dihasilkan oleh manusia. Sutera yang dihasilkan oleh kebanyakan hidupan selain daripada ulat sutera mempunyai pelbagai kegunaan yang menakjubkan.




Free Download



Isnin, 1 Februari 2016

Tenunan Sutera Labah-Labah Terbesar

'Cape' (jubah) yang dihasilkan dari sutera labah-labah.

Sutera merupakan salah satu bahan tenunan tertua yang dihasilkan secara semulajadi oleh pelbagai jenis hidupan. Daripada pelbagai jenis hidupan ini, sutera yang biasa digunakan adalah dari jenis yang dihasilkan oleh  mulberry silkworm (Bombyx mori) kerana ia lebih mudah diproses untuk tenunan. Namun begitu antara sutera terbaik (dari segi ketahanan dan kekuatannya) adalah sutera yang dihasilkan oleh labah-labah. Bagi menghasilkan sehelai kain menggunakan sutera dari labah-labah, ia mungkin menjadi bahan sejarah.


Kesukaran ini bagaimanapun bukanlah penghalang dan kain seluas 11 kaki X 4 kaki daripada sutera labah-labah ini boleh dilihat di American Museum of Natural History di New York, USA.  Ia dihasilkan oleh seorang pereka tekstil Simon Peers dan usahawan Nicholas Godley, yang mengambil masa beberapa tahun untuk mengumpulkan sutera labah-labah yang cukup untuk menghasilkan tenunan tersebut. Sutera yang dikumpulkan adalah diperolehi dari labah-labah jenis ‘golden silk orb-weavers’ (Nephila) dari Madagascar.


Labah-labah menghasilkan sutera dari organ yang dikenali sebagai "spinning wart".

Kain yang dihasilkan berukuran 11 X 4 kaki mengambil masa beberapa tahun.

Kain yang kini di pamerkan di Muzium di New York.

Pengumpulan sutera labah-labah merupakan satu kerja yang amat sukar – jauh berbeza daripada proses pengumpulan sutera daripada ulat sutera. Sekitar 14,000 labah-labah hanya mampu menghasilkan sekitar 1 ounce sutera. Manakala jumlah sutera yang diperlukan untuk menghasilkan sehelai kain pula adalah sekitar 2.6 pound (1.18 kg).

Oleh kerana proses yang rumit ini, maka usaha ini telah mengambil masa selama beberapa tahun dengan melibatkan 70 orang yang dikhaskan untuk mengumpulkan labah-labah dari kawasan liar, manakala sekumpulan kecil lagi melakukan kerja-kerja mengumpul sutera dari labah-labah tersebut. Sekitar 80 kaki filamen sutera dihasilkan oleh seekor labah-labah, sebelum ia akan dilepaskan semula ke habitatnya.


Bagi tujuan pengumpulan sutera ini, Peers menggunakan kaedah yang digunakan oleh seorang mubaligh Perancis iaitu Jacob Paul Camboué, yang pada masa itu dibantu oleh M. Nogué. Menggunakan mesin yang digunakan Camboué, sutera labah-labah boleh dikumpulkan tanpa mencederakan labah-labah tersebut. Camboué melakukan kerja-kerja ini sekitar tahun 1880 dan 1890-an dan menghasilkan beberapa barangan darinya.


Simon Peers dan Nicholas Godley.

Tenunan yang dihasilkan juga amat menarik.

Jubah yang dipamerkan di 'Victoria and Albert Museum', UK.

Sutera labah-labah merupakan bahan yang lebih kuat berbanding ‘steel’ atau ‘kevlar’, namun jauh lebih flexible sehingga boleh diregang 40 peratus daripada panjang asalnya tanpa putus. Proses pengumpulan sutera labah-labah bukan sahaja sukar, ia juga sukar untuk diternak – kerana labah-labah adakalanya memakan sesama sendiri.


Setelah mengumpulkan sutera dari lebih 1 juta labah-labah, akhirnya kain yang cuba dihasilkan oleh Simon Peers dan Nicholas Godley dapat dihasilkan. Mereka bukan sahaja menghasilkan satu malah beberapa tahun kemudian menghasilkan satu lagi jubah dari sutera labah-labah yang ditenun dengan cantik sekali.

Inilah labah-labah yang menghasilkan sutera tersebut 'golden silk orb-weavers'.

Hari ini perlumbaan menghasilkan sutera labah-labah sintetik sedang giat dijalankan di seluruh dunia dengan pelbagai kaedah daripada menggunakan bakteria sehinggalah kepada mengubah genetik kambing bagi menghasilkan susu yang boleh diekstrak untuk menghasilkan sutera labah-labah. Jika dilihat, kesemua proses tersebut bukanlah satu kerja yang mudah dijalankan, namun ia berjaya dilakukan kerana – mereka tahu ianya BOLEH.



Free Download



Selasa, 15 September 2015

Perlumbaan Penghasilan Sutera Labah-Labah Sintetik

Sutera labah-labah merupakan bahan yang hebat.

Sutera adalah antara bahan yang sering mendapat perhatian di dalam artikel dari MyRokan atas sebab kepentingannya dalam alam mahupun bagi manusia dalam membuat pakaian. Penggunaan sutera juga semakin penting apabila mendapati ia berpotensi untuk digunakan dalam bidang perubatan, keselamatan dan lain-lain lapangan sektor pembuatan.


Sutera merupakan bahan asli yang dihasilkan oleh beberapa jenis hidupan dan serangga untuk kegunaan seperti membina sarang bagi labah-labah dan kerengga, manakala membentuk kepompong pada ulat sutera. Namun terdapat banyak lagi hidupan yang boleh menghasilkan sutera dalam kuantiti yang kecil untuk pelbagai kegunaan.


Sutera yang dihasilkan oleh MIT.

Para penyelidik daripada Utah State University.

Sutera yang dihasilkan oleh labah-labah merupakan antara sutera yang mendapat perhatian kerana ia mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan untuk digunakan dalam pelbagai lapangan seperti yang dinyatakan di atas. Namun begitu, sutera ini tidak dapat dihasilkan secara komersial sepertimana yang dilakukan dengan sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera. Maka dengan itu usaha untuk menghasilkan sutera secara sintetik merupakan antara impian para saintis supaya bahan ini dapat digunakan suatu hari nanti.

Penghasilan sutera secara sintetik telah dikaji sejak tahun 1990-an lagi. Pada sekitar tahun 2013 sebuah firma dari Jepun iaitu Spiber mengumumkan tentang penghasilan sutera labah-labah sintetiknya bakal dihasilkan pada tahun 2015. Penghasilan menggunakan bakteria ini merupakan kaedah terbaik untuk penghasilan sutera sintetik pada skala yang lebih besar.


Kepompong ulat sutera.

Kain sutera, lembut dan cantik.

Namun menjelang tahun ini, banyak lagi institusi yang turut mengumumkan kejayaan yang hampir serupa antaranya adalah Utah State University dan juga institusi yang tidak asing lagi iaitu MIT juga mengumumkan tentang penghasilan sutera labah-labah secara sintetik ini. Kaedahnya juga adalah hampir sama iaitu dengan menggunakan bakteri untuk menghasilkan protein yang membentuk sutera tersebut.

Proses ini melalui 4 peringkat yang berbeza iaitu pertama adalah “Molecular Design” iaitu bagi mendapatkan struktur protein yang betul untuk menghasilkan sutera seperti yang diperlukan. “Gene Synthesis”  adalah untuk menyempurnakan benang sutera labah-labah . “Microbial Fermentation” proses ini adalah untuk memastikan penghasilan seperti yang telah disintesiskan. Maka proses inilah yang akan dijalankan oleh bakteria dan sentiasa cuba dipertingkatkan untuk penghasilan yang lebih tinggi. “Spinning” merupakan proses terakhir untuk membentuk bebenang sutera.


Jika segalanya berjalan dengan lancar, penggunaan sutera untuk rekaan bahan-bahan akan datang akan menjadi satu fenomena baru. Ia dikatakan lebih kuat berbanding kevlar, lebih kuat dari besi dan lebih ringan dari ‘carbon fibre’. Malah penggunaannya dalam perubatan juga dikatakan lebih baik selain potensi lain di dalam kejuruteraan permotoran dan baju kalis peluru. Itu dia kelebihan sutera!




Free Download



Arkib Blog