Ikan 'sunfish' boleh mencapai saiz yang amat besar. |
Sejenis ikan yang agak pelik dari segi bentuk namun boleh mencapai saiz yang amat luar biasa. Ikan ini mempunyai tabiat menjemurkan diri di permukaan laut yang menyebabkan ia juga dinamakan ‘sunfish’. Nama saintifiknya adalah Mola mola dan antara spesiesnya adalah Masturus lanceolatus, Ranzania leavis dan juga Mola ramsayi.
Ikan ini amat istimewa kerana rupa bentuknya yang unik dan dengan sirip atas dan sirip bawah manakala ekornya kelihatan bagaikan terpotong. Saiznya yang direkodkan pernah mencapai sehingga 4.2 meter (14 kaki) tinggi dan 3.1 meter (10 kaki) panjang dengan berat yang mencapai 2,268 kilogram (5,000 lb.). Adakalanya ia disalah anggap sebagai ikan jerung apabila sirip atasnya timbul ke permukaan.
Ikan mola mendiami lautan tropika sehingga ke lautan bersuhu sederhana. Oleh kerana taburannya yang meluas ia mempunyai nama dari pelbagai bahasa dari Belanda-, Catalan-, Spanish-, Italian-, Russian-, Greek-, dan German- mengikut turutan berikut; maanvis, peixe lua, poisson lune, peix lluna, pez luna, pesce luna, рыба-луна, φεγγαρόψαρο and Mondfisch (atau ‘moon fish’). Di dalam Bahasa German juga ia dikenali sebagai Schwimmender Kopf atau “swimming head” manakala dalam Bahasa Polish samogłów (head alone). Ia turut memunyai nama di bahagian Timur dengan namanya di dalam Bahasa China adalah fan-che yu 翻車魚,yang membawa maksud “ikan roda rebah”.
Antara aktiviti kegemaran 'sunfish'. |
Ikan ini mempunyai mulut seakan-akan paruh yang kecil dan menjadikan hidupan laut yang kecil sebagai makanan termasuklah obor-obor selain daripada ikan-kan kecil, zooplankton dan juga algae. Oleh kerana makanan pilihannya ini, ia sering membuat kesilapan – menjadikan plastik sebagai makanan kerana menyangkakan ianya adalah obor-obor. Ikan ini memerlukan sumber makanan yang banyak bagi mengekalkan saiznya yang besar.
Ikan mola ini tidak mempunyai pundi renang manakala ada yang menyatakan organ dalamannya mengandungi neurotixin, tetrodotoxin sama seperti organ yang terdapat pada tetraodoniformes (seperti ikan buntal), dan ada juga sumber yang menafikannya.
Spesimen tulang ikan M. mola. |
Walaupun bersaiz besar, ikan mola tidak merbahaya kepada manusia, malah sering mendekati para penyelam. Namun begitu saiznya yang besar boleh mendatangkan bahaya kepada bot-bot kecil sekiranya ikan ini melompat ke atas bot. Kes-kes pelanggaran dengan ikan ini adalah perkara biasa di kawasan yang dihuni oleh ikan mola.
Ikan ini merupakan antara hidangan kegemaran bagi masyarakat Timur seperti Taiwan dan Jepun. Hampir kesemua bahagian ikan ini digunakan di dalam masakan dan ada juga bahagian yang digunakan untuk tujuan sebagai ubatan tradisional. Ikan ini adakalanya tersangkut pada pukat nelayan dalam industri ikan ‘swordfish’.
Manakala di sesetengah kawasan pula ada nelayan yang memotong sirip ikan ini kerana dikatakan mencuri umpan yang digunakan untuk menangkap ikan-ikan yang lain. Pemotongan siripnya menyebabkan ia tidak lagi dapat bergerak dan ikan akan mati kelemasan. Ini kerana penguat kuasaan undang-undang yang melindungi ikan ini tidak dilakukan.
Ikan 'sunfish' di Monteray Bay Aquarium, CA, United States. |
Bagi yang ingin melihat ikan ini secara lebih dekat mungkin anda boleh menyelam bersama mereka di kawasan habitat mereka atau melawati akuarium yang turut menempatkan mereka sebagai sebahagian daripada koleksi. Antara akuarium yang memiliki ikan mola sebagai koleksi adalah, Kaiyukan Aquarium di Osaka yang memiliki spesis M. Mola. Ia juga terdapat di Lisbon Oceanarium di Portugal, Valencia Oceanogràfic di Spain, Nordsøen Oceanarium di Denmark dan juga di National Aquarium Denmark. Manakala ikan mola yang pertama ditempatkan di dalam akuarium di United States adalah di Monterey Bay Aquarium pada tahun 1986.
Ikan ini sukar disimpan di dalam akuarium kerana saiznya yang agak besar. Ia juga memerlukan penjagaan yang rapi memandangkan ia mudah dijangkiti parasit selain itu juga pergerakannya yang lebih perlahan menyebabkan persaingan untuk mendapatkan makanan berbanding ikan-ikan lain di dalam akuarium amatlah tinggi.
Begitulah antara keunikan ikan gergasi ini. Mungkin anda ingin sekali melihatnya namun ia adalah jauh lebih baik berada di tempat asalnya. Kemungkinan sekiranya kita terus menjaga laut daripada pencemaran plastik dan bahan buangan lain, ia mungkin akan terus kekal untuk tatapan semua dan generasi akan datang.