Memaparkan catatan dengan label sotong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sotong. Papar semua catatan

Selasa, 2 Februari 2016

Keunikan Keluarga Sotong

Nautilus adalah yang paling primitif dalam kumpulan sotong hari ini.

Sotong merupakan sekumpulan hidupan laut yang amat unik. Meskipun ia terdiri dari pelbagai kumpulan hidupan yang berbeza iaitu octopus, squid, cuttlefish dan nautilus, kita mengenalinya dengan nama yang umum iaitu sotong. Ini kerana tidak banyak yang kita tahu mengenai sotong dan mungkin juga ia kurang menarik minat kita selama ini.

Sotong adalah termasuk di dalam kumpulan Cephalopods iaitu pecahan dari kelas ‘mollusks’ dengan kata lain sekumpulan besar hidupan tanpa tulang belakang (invertebrate) termasuk siput, lintah, kerangan dan kumpulan sotong sendiri. Jadi kali ini kita memberikan tumpuan kepada sotong dan ahli keluarganya untuk melihat dengan lebih dekat keistimewaan hidupan ini.

Sotong merupakan hidupan laut yang mendiami kawasan pantai sehinggalah ke perairan laut dalam. Terdapat hampir 800 spesies yang dikenalpasti. Sebahagian besar spesis sotong kemungkinan telahpun mengalami kepupusan, makala oleh kerana badannya yang lembut, badannya sukar membentuk fosil apabila mati – ini menyebabkan hidupan sotong purba sukar untuk dikesan.


Common Squid, bagi contoh squid.

Common Octopus, salah satu contoh octopus.

Atlantic Bobtail, spesies yang lebih unik.

Apa yang menajdikan sotong adalah kumpulan haiwan yang unik adalah kebolehannya untuk menukarkan bukan sahaja warna, malah tekstur kulitnya untuk komunikasi, penyamaran atau memburu dalam masa yang amat pantas. Tiada haiwan lain yang mempunyai keupayaan ini boleh melakukannya dengan lebih baik dari sotong.

Bagi tujuan keselamatan pula sotong amat mudah menyembunyikan diri di celahan batu kerana badannya yang amat lembut. Manakala apabila keadaan terdesak ia masih mempunyai satu kebolehan iaitu menyemburkan dakwatnya untuk menutup penglihatan pemangsa bagi membolehkan ia melarikan diri. Ia dibantu oleh semburan jet air untuk membolehkan ia bergerak dengan pantas. Sotong juga mempunyai kebijaksanaan yang agak unik dan ada di antaranya yang menggunakan cengkerang hidupan lain ataupun tempurung kelapa untuk tujuan perlindungan.

Spesies paling unik kumpulan sotong adalah nautilus, kerana ia merupakan yang paling primitif dalam kumpulan ini. Selain daripada dilengkapi cengkerang ia mempunyai daya penglihatan yang paling lemah berbanding dengan sotong-sotong yang lain. Mata pada nautilus hanyalah seperti ‘kamera lubang jarum’. Nautilus menggunakan deria baunya (olfaction) untuk tujuan mencari makanan dan tujuan-tujuan lain.


Sotong juga mempunyai 'Bioluminescence'.

Kepantasan menukar warna dan rupa fizikal yang amat menakjubkan.

Sotong juga mampu membuka penutup balang botol.

Terdapat pelbagai bentuk sotong dengan keunikan masing-masing dari jenis sotong kecil yang mendiami pinggiran pantai sehinggalah ke sotong gergasi yang menghuni laut dalam. Keunikan sotong ini merupakan antara kebolehan yang menjadi bahan kajian manusia (terutamanya kebolehan menukar warna dan fizikalnya).


Walaupun kita telah mengenali sejumlah besar sotong-sotong ini, usaha untuk mengesan lebih banyak spesies yang belum dikenali terus dilakukan. Ini kerana sotong juga merupakan hidupan yang jarang menunjukkan diri kepada manusia. Sayang sekali kita tidak mengenali sotong dengan lebih dekat – hanya berdasarkan kajian yang dilakukan oleh orang lain dan mengenali mereka hanya secara umum sahaja. Melalui kebolehan sotong ini mungkin satu hari nanti kita mempunyai peralatan yang boleh bertukar-tukar warna untuk peralatan seperti telefon, komputer, malah kereta dan rumah. Siapa tahu!



Free Download



Rabu, 13 Januari 2016

Mikro Post - Giant Pacific Octopus

Giant Pacific Octopus merupakan sotong kurita terbesar.

Kali ini kita melihat satu lagi hidupan laut yang sangat istimewa iaitu Giant Pacific Octopus (Enteroctopus dofleini) yang juga merupakan sotong kurita terbesar di dunia. Selain daripada bersaiz besar, ada banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai keunikan sotong gergasi ini yang menjadikan ia sebagai hidupan yang istimewa di dalam dunia haiwan.

Ia merupakan ‘octopus’ yang hidup lebih lama daripada sotong ‘octopus’ biasa iaitu antara 3 – 5 tahun sahaja. Ini bermakna, jangka hayat ‘octopus’ tidaklah panjang dan memerlukan kitar hidup yang baik untuk memastikan ia dapat terus membiak dengan baik untuk mengelakkan kepupusan. Terdapat specimen yang mencapai sehingga 9.1 meter (30 ft) dengan berat melebihi 272 kilogram (600 lb). Namun kebiasaannya saiznya adalah dalam 5 meter (16 ft) dengan berat 50 kilogram (110 lb) sahaja.


Sotong dari jarak dekat.

Ia mempunyai kebolehan penyamaran yang unik seperti juga sotong yang lain.

Mangkuk penyedut pada lelengan sotong ini.

Giant Pacific octopus mempunyai kepala yang agak besar yang berwarna coklat-kemerahan. Namun begitu seperti juga keluarga sotong-sotong yang lain, ia dengan mudah boleh menyamarkan diri menyerupai persekitarannya dari segi warna mahupun bentuk untuk tujuan memburu ataupun perlindungan.

Makanan utamanya adalah haiwan-haiwan kecil seperti udang, ketam, kerang-kerangan mahupun ikan. Bagaimanapun ia dikatakan pernah memakan ikan jerung dan juga burung (jadi ia boleh menjadikan apa sahaja makanannya). Ia mempunyai taburan di perairan suhu sederhana di Pacific iaitu dari Selatan California ke Alaska, Barat ke Kepulauan Aleutian dan Jepun.


Jepun merupakan antara pengguna makanan laut yang terkenal.

Satu keunikan giant Pacific octopus adalah sotong-sotong betina akan menghasilkan sekitar 120,000 ke 400,000 biji telur dalam sekali musim bertelur. Bagaimanapun ia akan menjaga telur-telur ini daripada dijangkiti alga dan juga parasit lain dengan mengusap dan juga menghembuskan air kepadanya. Proses pengeraman telur ini mengambil masa sehingga 6 bulan dan kebiasaannya sotong betina ini mati sebaik sahaja telur-telur ini menetas.


Seperti juga sotong-sotong kurita yang lain, giant Pacific octopus juga boleh menguasai kemahiran-kemahiran unik seperti membuka penutup balang, atau menyelesaikan teka-teki mudah. Walaupun jumlah sebenar mereka tidak diketahui ataupun tidak tersenarai sebagai haiwan terancam, hidupan ini amatlah sensitif dengan perubahan persekitaran yang boleh mengancam populasi mereka.



Free Download



Selasa, 24 Jun 2014

Hidupan Laut Yang Berbisa

box jellyfish
Box jellyfish boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan.

Hidupan laut amat cantik untuk dilihat terutamanya bagi hidupan yang menghuni kawasan terumbu karang. Pengetahuan mengenai hidupan laut berbisa mungkin boleh membantu anda bagi mengelakkan kecederaan semasa menjalankan aktiviti di laut seperti menyelam, snorkeling ataupun berenang. Ini kerana bisa sesetengah hidupan ini amat kuat dan boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Bisa hidupan-hidupan ini adalah bertujuan sebagai pertahanan atau digunakan untuk memburu mangsa mereka. Jadi anda tidak digalakkan untuk mengganggu sebarang hidupan laut yang anda temui semasa melakukan aktiviti menyelam ataupun snorkeling. Hidupan berbisa biasanya berwarna terang, namun terdapat juga haiwan berbisa yang menyembunyikan diri mereka daripada dilihat oleh pemangsa ataupun haiwan yang diburunya seperti ikan batu atau ikan pari. Perlu diingat dunia hidupan penuh dengan persaingan dan setiap hidupan cuba untuk mempertahankan diri masing-masing.

Haiwan-haiwan yang tidak boleh bergerak pantas seperti ‘sea anemone’ (buran laut), ‘stinging coral’ (Millepora sp) dan juga mentimun laut juga boleh menyengat pemangsa dan mangsanya. Walaupun tidak semua spesies haiwan ini yang beracun, anda perlu berhati-hati kerana sesetengah racun boleh mengakibatkan kesan sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna sekiranya anda terdedah kepada racun tersebut. Kesemua haiwan dan hidupan ini tidak bergerak aktif, jadi ia tidak akan menyerang anda sebaliknya hanya akan bertindak balas sekiranya anda menyentuhnya.

crown of thorns
Crown-of-thorns mendiami kawasan terumbu karang.

Tapak sulaiman yang dikenali sebagai ‘crown-of-thorns’ kelihatan jauh berbeza daripada tapak sulaiman yang lain ia mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kesan racun yang agak serius. Dipenuhi dengan permukaan kulit yang berduri dan warna yang terang ia mudah dikenalpasti. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati semasa menyelam di kawasan terumbu karang.

Sama seperti tapak sulaiman ‘crown-of-thorns’, landak laut juga amat terkenal sebagai penghuni laut yang berbisa. Mendiami kawasan perairan cetek dan terumbu karang ia mudah dikenalpasti dengan fizikal yang berduri. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh haiwan ini kerana durinya mudah menusuk dan tertinggal di dalam daging anda. Terdapat spesies yang mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kematian. Walaupun landak laut dijadikan sumber makanan di sesetengah tempat, anda tidak seharusnya menyentuhnya tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman.

Obor-obor amat merbahaya kerana hampir kesemua obor-obor dilengkapi dengan sengat beracun bagi membolehkan ia memburu makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah ia sukar dilihat di dalam air, kerana memiliki badan yang lutsinar. Di sesetengah kawasan, amaran diberikan pada pengguna pantai bagi memaklumkan apabila tibanya musim obor-obor.

Obor-obor dari jenis ‘box-jellyfish’ (Chironex fleckeri) menyebabkan kematian yang lebih banyak berbanding jerung, buaya dan ikan batu apabila digabungkan. Pendedahan kepada tentacle nya sepanjang 3m boleh mengakibatkan kematian seorang lelaki dewasa. Seekor obor-obor ini memiliki kira-kira 60 tentacle yang panjangnya adalah 5m. Tentacle ini dipenuhi dengan sengat-sengat yang halus. Adalah lebih baik anda tidak mengambil risiko untuk menyelam di kawasan yang dihuni oleh obor-obor ini tanpa mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Pufferfish
Ikan buntal mempunyai racun yang merosakkan sistem saraf.

Ikan buntal seperti yang kita sudah sedia maklum adalah amat beracun dan boleh mengakibatkan maut. Ikan yang akan mengembangkan badanya apabila terancam ini mempunyai racun yang sama seperti racun yang dimiliki oleh sotong ‘blue-ringed octopus’. Racun ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh ikan buntal melainkan berasal daripada spesies alga yang dimakannya yang mengandungi bacteria Alteromonas sp.. Ini mengakibatkan toxin daripada bakteria ini terkumpul pada hati dan gonad ikan tersebut.

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada kebanyakan ikan-ikan yang menghuni terumbu karang di mana toxin daripada sebahagian makanan mereka terkumpul di dalam organ dalaman mereka. Jadi, anda perlu berhati-hati sekiranya ingin memakan sebarang makanan laut tanpa pengawasan orang yang lebih berpengalaman.

cone shell
Siput 'cone' mempunyai tempuling yang pantas dan beracun.

Selain daripada ikan, spesies siput juga turut mempunyai racun yang amat kuat dan boleh mengakibatkan maut seperti yang dimiliki oleh siput kon ‘cone shells’. Siput kon biasanya aktif pada waktu malam dan bagi spesies siput kon ‘Conus geographus’ secara teorinya memiliki racun yang mampu membunuh 700 manusia. 

Walaupun bisanya berbeza di antara spesies anda mungkin tidak mempunyai kepastian tentang perbezaan spesies ini. Sengat siput kon yang mampu bergerak pantas dan membunuh ikan sudah pasti boleh mengakibatkan kecederaan dalam masa yang singkat. Anda adalah dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya perlu melewati kawasan yang dihuni oleh siput ini.

Blue ringed octopus
'Blue ringed octopus' mempunyai racun yang sama seperti ikan buntal.

Bagi spesies sotong juga mempunyai bisa yang berbeza-beza mengikut spesies, tetapi seperti yang diketahui spesies ‘blue-ringed octopus’ adalah amat berbisa dan boleh mengakibatkan maut. Bisa daripada sotong ini boleh melumpuhkan sistem saraf dan mengakibatkan maut. Spesies sotong mempunyai pelbagai kaedah samada untuk memburu dan mengelakkan ia daripada dikesan musuh. Ia mampu bertukar warna, bertukar bentuk dan mengeluarkan dakwat hitam bagi menjauhkan diri daripada pemangsanya.

Lionfish
'Lionfish', cantik namun penuh dengan duri beracun.

Ikan depu juga dipanggil sebagai ‘lion fish’ adalah lebih mudah untuk dikenalpasti kerana mempunyai rupa bentuk yang lebih mudah dikenali. Bergerak dengan lebih aktif untuk memburu, ia dilengkapi dengan duri-duri yang beracun. Jadi sekiranya anda menemui ikan ini pastikan anda tidak cuba untuk menghampiri atau menyentuhnya.

Stonefish
'Stonefish' sukar dilihat apabila bersembunyi di celah-celah batu.

Bagi yang suka berjalan-jalan di kawasan terumbu karang pula haiwan seperti ikan pari dan ikan batu perlu dielakkan. Kedua ikan ini mempunyai kecenderungan untuk bersembunyi di dalam pasir dan sukar dilihat. Jadi anda dinasihatkan tidak berjalan di kawasan terumbu karang tanpa memakai kasut – walaupun sengat ikan pari mungkin masih boleh menembusi kasut (dalam sesetengah kes).

Stingray
Pari atau 'stingray', biasa menyebabkan kematian.

Kedua-dua ikan ini mempunyai reputasi yang tinggi sebagai punca kematian samada mangsa yang kurang berhati-hati mahupun atas serangan yang bertujuan untuk melindungi dirinya. Ikan pari adalah lebih agresif manakala ikan batu pula akan bertindak pantas sekiranya diganggu. Anda perlu berhati-hati sekiranya perlu berhadapan dengan kedua spesies ikan ini – sebagai contoh apabila perlu melepaskan ikan pari yang memakan pancing anda.


Maka itu adalah beberapa spesies hidupan laut yang anda perlu sentiasa berhati-hati tentangnya. Mungkin mereka sendiri tidak bermaksud untuk mencederakan anda. Jadi dengan mengenalinya anda juga dapat mengelakkan kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius. Adalah diharap semoga kita dapat hidup saling memahami dan menghargai antara sesama hidupan. Bersama-sama kita memelihara keseimbangan alam.

Artikel lain yang berkaitan:



Free Download



Isnin, 12 Mei 2014

Keunikan Hidupan Laut Sotong Kurita

Octopus atau sotong kurita
Sotong kurita atau lebih dikenali sebagai 'Octopus'.

Sotong kurita sedikit berbeza daripada sotong biasa. Nama yang diberikan kepada sotong jenis ini adalah ‘octopus’ manakala sotong biasa ‘squid’. Namun begitu kedua-dua jenis sotong ini memiliki banyak persamaan dari segi kebolehan mereka, tetapi sotong kurita mempunyai sedikit kelebihan dan keunikan tersendiri.

Sotong kurita memiliki lapan lelengan yang dipenuhi dengan ‘cup’ penyedut dan dari sinilah ia mendapat namanya ‘octo’ yang bermaksud lapan. Lelengan ini membantu sotong untuk menangkap mangsanya, bergerak, memegang sesuatu dan melakukan pelbagai aktiviti yang anda tidak menyangka dapat dilakukan oleh seekor sotong kurita yang kecil.

Penyamaran sotong kurita
Sotong sangat mahir dalam penyamaran dan ianya amat pantas.

1) Sotong kurita adalah haiwan yang aktif dan perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkannya menjadi bosan. Suasana yang tidak memberangsangkan akan menyebabkan sotong menjadi murung dan tidak terkawal. Sotong yang tinggal di kawasan-kawasan yang membosankan adakalanya akan memakan tangannya sendiri – akibat kebosanan.

2) Sotong juga mempunyai racun. Dikatakan kesemua sotong kurita mempunyai racun tersendiri dengan kekuatan yang berbeza-beza. Kebanyakan racun tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Tetapi sotong kurita dari jenis ‘blue-ringed’ boleh mengakibatkan seseorang lumpuh dalam masa beberapa minit sahaja – dan sotong ini amatlah kecil.

blue ringed octopus
Blue ringed octopus mempunyai gigitan yang boleh membawa maut.

3) Kemahiran menggunakan peralatan: Penggunaan peralatan ini sebagai contoh adalah menggunakan bahan lain untuk kegunaannya seperti sejenis sotong kurita yang didapati menggunakan tempurung kelapa yang dibawa kemana-mana sebagai tempat persembunyiannya. Sotong tersebut adalah dari jenis Amphioctopus marginatus. Perkara ini dinyatakan oleh seorang pengkaji Julian Finn, seorang pengkaji biologi marin daripada Museum Victoria, Australia.

Walaupun terdapat hidupan lain yang melakukan perkara sama seperti chimpanzee atau ikan lumba-lumba namun ia perkara yang tidak dijangka dilakukan oleh sotong kurita. Berbeza dengan umang-umang kerana ia adalah perlakuan secara semulajadi spesis tersebut.

4) Kemahiran membuka botol merupakan antara kemahiran sotong kurita yang paling dikagumi. Ini kerana ia memerlukan kemahiran menentukan arah bukaan. Kemahiran ini ditunjukkan oleh seekor sotong di  Seattle Aquarium yang dinamakan Billye. Ia mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya membuka botol tersebut. Malah baru-baru ini sotong kurita juga dikatakan dapat membuka botol di mana ia diletakkan di dalam botol tersebut, dan ia membukanya dari dalam.

5) Antara keunikan sotong dan sotong kurita adalah kemahiran penyamarannya yang amat pantas. Ia hanya memerlukan kira-kira 0.3 saat untuk menukarkan dirinya merupai benda-benda lain yang berada di dalam laut seperti rumpai laut atau batu. Anda boleh mencari video-video penyamaran sotong-sotong ini – ia amat menarik.

Mimic octopus mempunyai kemahiran penyamaran yang paling tinggi.

6) Sotong kurita mempunyai usia yang singkat. Usia sotong-sotong ini adalah di antara beberapa tahun dan ada di antaranya yang hanya mencapai usia hanya enam bulan sahaja. Namun begitu mungkin ada spesis yang masih belum ditemui seperti hidupan laut dalam yang lain? Ia cuma satu andaian saya sahaja – kerana hanya baru-baru ini sahaja semakin banyak maklumat baru yang dikongsi kepada masyarakat umum dunia seperti penemuan sotong gergasi, burung terbesar, dan juga ikan duyung!.. ya ikan duyung. Cuma kita masih menantikan bukti-bukti yang lebih kukuh untuk menyatakan kewujudan spesis ini.

7) Cup penyedut pada lelengan sotong adalah yang paling baik dan sangat sensitif. Dikatakan terdapat hampir 240 penyedut pada satu lengan sotong kurita biasa dan setiap satunya berfungsi secara berasingan. Bagi cup penyedut yang besar mempunyai kekuatan untuk memegang beban seberat 35 lbs. Cup-cup penyedut ini juga dapat mengesan kandungan kimia secara berasingan dan masih mampu menyedut apabila ianya dikuncupkan sedikit.

Sekiranya anda pernah melihat artikel mengenai sotong gergasi anda akan mendapati kesan cengkaman sotong tersebut melalui cup penyedutnya pada kulit ikan paus yang tebal.

8) Seperti yang dinyatakan sebelum ini sotong kurita memerlukan persekitaran yang memberangsangkan ini kerana sifatnya yang suka bermain. Sotong kurita yang berada di dalam aquarium didapati menggunakan penutup botol yang diletakkan berhampiran air yang mengalir ke dalam aquarium tersebut secara berulang-ulang sama seperti permainan bola yang dilantunkan – seperti yang diperhatikan oleh seorang saitis dan melaporkannya di dalam “Octopus!”

Flapjack octopus
Flapjack octopus merupakan spesis sotong laut dalam yang unik. artikel Flapjack.

Begitulah antara keunikan spesis sotong kurita secara ringkasnya. Mungkin ada di antara spesies tersebut yang mempunyai keistimewaan tersendiri seperti ‘blue-ringed’ yang hanya mempunyai racun bagi spesies tersebut sahaja.


Keunikan haiwan-haiwan seperti ini adakalanya dapat membantu manusia untuk mengaplikasikannya dalam mereka cipta barangan keperluan seharian, ketenteraan dan sebagainya. Ya daripada sotong seperti yang kita ketahui ‘cup’ penyedut telah lama digunakan untuk memegang benda-benda yang dilekatkan pada permukaan rata seperti pada cermin atau dinding marmar bilik air. Teruskan memerhati!



Free Download



Arkib Blog