Memaparkan catatan dengan label siput. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label siput. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Jun 2016

Mengenali Siput Dengan Lebih Dekat

Siput, banyak lagi yang perlu kita ketahui.

Siput sejenis haiwan yang bergerak perlahan dan tidak mempunyai kaki dan mempunyai cengkerang. Siput terdiri daripada sekumpulan hidupan yang besar merangkumi siput darat, siput air tawar dan juga siput air masin. Kumpulan ini menjadi lebih besar sekiranya ianya merangkumi kumpulan besarnya yang dikenali sebagai Gastropoda iaitu salah satu daripada kumpulan di dalam kumpulan Moluska (molluscs). Walaupun siput adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak, namun siput juga mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan manusia.

Siput merupakan antara sumber makanan penting kepada manusia sejak zaman dahulu lagi daripada tinggalan yang ditemui di gua-gua. Siput sungai dan sebahagian lagi siput paya bakau dan juga siput laut menjadi sebahagian sumber makanan manusia sehingga ke hari ini. Selain daripada menjadi sumber makanan, siput juga adakalanya menjadi sebagai matawang dan sebagai barang perhiasan.

Terdapat pelbagai jenis siput yang tidak kita kenali.

Giant African Snail, siput darat terbesar.

Syrinx aruanus, siput yang paling besar.

Walaupun kebiasaannya hanya siput-siput air yang menjadi makanan, siput-siput darat juga turut menjadi sumber makanan di beberapa negara lain. Makanan berasaskan siput ini paling terkenal di Perancis dan antara hidangan terkenal adalah Escargot à la Bourguignonne. Malah siput-siput untuk tujuan makanan ini adalah diternak bagi memastikan ianya dapat membesar dengan baik selain mengelakkan siput daripada tercemar (dengan bahan makanan beracun ataupun jangkitan). Selain dari Perancis, siput darat juga terkenal sebagai hidangan di Philippines, Morocco, Nigeria, Algeria, Cameroon, Italy, Portugal, Greece, Bulgaria, Belgium, Vietnam, Laos, Cambodia, Cyprus, Ghana, Malta, Nepal, Barat Daya China, Timur Laut India di Manipur, Tripura dan beberapa bahagian di United States. Siput darat juga menjadi hidangan di beberapa bahagian di Indonesia samada digoreng sebagai satay atau masakan yang dikenali sebagai sate kakul.

Selain daripada sebagai makanan, siput juga berguna di dalam penghasilan krim penjagaan kulit. Siput dari jenis Cornu aspersum menghasilkan cecair yang mempunyai nilai perubatan dalam merawat beberapa masalah kulit seperti kedutan, parut, kulit kering dan juga acne. Ini kerana cecair yang dihasilkan oleh siput ini mengandungi aktiviti anti-oksidan seperti Superoxide dismutase dan Glutathione S-transferase (GSTs). Krim daripada siput ini semakin mendapat perhatian di beberapa bahagian dunia samada di Barat (US) mahupun Timur (Korea).

Terdapat banyak spesis siput dan di Australia sahaja terdapat sekitar 3,000 jenis siput darat dan jumlah ini tentu lebih besar sekiranya digabungakan dengan jenis-jenis siput dari kawasan lain. Selain makanan siput juga turut dijadikan sebagai haiwan kesayangan seperti Giant African Snail. Manakala siput cowrie pula terkenal dijadikan sebagai matawang dan juga sebagai sebahagian bahan hiasan kerana mempunyai kulit yang cantik dan berkilat.

Rawatan kecantikan menggunakan siput.

Masakan Perancis daripada siput.

Makanan siput dari Asia.

Namun disebalik pergerakan siput yang perlahan, sejenis siput yang dikenali sebagai siput ‘cone’ adalah sangat beracun dan mampu membunuh manusia melalui sengatnya. Dari kumpulan siput cone sahaja terdapat lebih daripada 600 spesis yang terdapat di sekitar kawasan Barat Indo-Pacific, dan beberapa spesis lagi di sekitar Afrika Selatan, Medditerranean dan juga Selatan California.

Manakala siput terbesar pula adalah Syrinx aruanus atau lebih dikenali sebagai Australian trumpet atau false trumpet yang merupakan sejenis siput laut yang mampu menjangkau saiz sehingga 91 cm panjang dan berat sehingga 18 kilogram. Walaupun ia terkenal kerana saiznya yang besar, sifat sebenar siput ini masih lagi kurang difahami kerana kurang penyelidikan dilakukan ke atasnya.

Walaupun siput merupakan haiwan perosak, namun banyak lagi perkara yang masih kurang difahami mengenainya. Siput yang dikenali oleh kita adalah terlalu sedikit berbanding jumlahnya yang terlalu banyak. Maka banyak lagi kebaikan siput yang masih belum kita terokai dan tidak sepatutnya kita abaikan. Semoga dengan ini kita akan mempunyai pandangan berbeza terhadap hidupan unik ini dan mengelakkan ianya mengalami kepupusan.



Free Download



Sabtu, 20 Februari 2016

Siput Sebagai Haiwan Kesayangan!

'Giant tiger land snail', mempunyai saiz luar biasa.

Anda mungkin tidak menyangka yang siput juga boleh dijadikan sebagai salah satu haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing. Namun bagi “Siput Gergasi” (Achatina achatina) juga dikenali sebagai ‘giant tiger land snail’, saiznya yang besar menjadikan ia sebagai antara binatang peliharaan yang popular.

Siput gergasi yang merupakan siput darat ini seperti juga siput babi namun saiznya adalah jauh lebih besar. Saiz cengkerangnya boleh mencapai sehingga 18 cm (7.1 in) dengan diameter sehingga 9 cm (3.5 in). Saiznya dikatakan boleh mencapai sehingga 30 X 15 cm di habitat liarnya. Ini menjadikan siput darat yang terpaling besar.

Gambar dekat 'giant snail' (Anchatina anchatina). 

Ukuran seekor siput gergasi.

Ladang ternakan siput gergasi.

Walaupun ia adalah antara siput yang diminati, ia juga merupakan ancaman yang paling utama bagi kawasan yang bukan menjadi habitat asalnya. Ia merupakan spesis ‘invasive’ yang diharamkan oleh banyak negara. Ia juga merupakan spesis siput yang biasa ditahan dari juba dibawa masuk melalui lapangan terbang United States terutamanya bagi Baltimore, Dulles, John F. Kennedy International Airport dan San Francisco.

Siput ini mampu membiak dengan cepat di habitat baru. Sebagai hidupan ‘hermaphrodites’, siput mempunyai kedua-dua jantina jantan dan betina dan ini memudahkan ia membiak dengan cepat. Seekor siput Achatina achatina mampu menghasilkan telur sehingga 1,200 biji setahun. Jadi ia merupakan ancaman kepada para petani dan industri pertanian. Walaubagaimanapun di negara-negara Afrika Barat, ia menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan kerana ia juga merupakan sebahagian daripada sumber makanan penduduk di sana.


Siput-siput ini berasal dari bahagian Barat Afrika dalam kawasan seluas 160 – 300 kilometer di bahagian pantai Sierra Leone, Liberia, Ivory Coast, Togo, Benin, Ghana, dan Nigeria. Siput ini juga telah membiak di kawasan liar Florida dan merupakan sebahagian daripada perosak. Walaupun ia kelihatan bagus sebagai haiwan peliharaan, adalah diharap tiada yang membawanya masuk ke dalam negara ini pula.






Free Download



Selasa, 24 Jun 2014

Hidupan Laut Yang Berbisa

box jellyfish
Box jellyfish boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan.

Hidupan laut amat cantik untuk dilihat terutamanya bagi hidupan yang menghuni kawasan terumbu karang. Pengetahuan mengenai hidupan laut berbisa mungkin boleh membantu anda bagi mengelakkan kecederaan semasa menjalankan aktiviti di laut seperti menyelam, snorkeling ataupun berenang. Ini kerana bisa sesetengah hidupan ini amat kuat dan boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Bisa hidupan-hidupan ini adalah bertujuan sebagai pertahanan atau digunakan untuk memburu mangsa mereka. Jadi anda tidak digalakkan untuk mengganggu sebarang hidupan laut yang anda temui semasa melakukan aktiviti menyelam ataupun snorkeling. Hidupan berbisa biasanya berwarna terang, namun terdapat juga haiwan berbisa yang menyembunyikan diri mereka daripada dilihat oleh pemangsa ataupun haiwan yang diburunya seperti ikan batu atau ikan pari. Perlu diingat dunia hidupan penuh dengan persaingan dan setiap hidupan cuba untuk mempertahankan diri masing-masing.

Haiwan-haiwan yang tidak boleh bergerak pantas seperti ‘sea anemone’ (buran laut), ‘stinging coral’ (Millepora sp) dan juga mentimun laut juga boleh menyengat pemangsa dan mangsanya. Walaupun tidak semua spesies haiwan ini yang beracun, anda perlu berhati-hati kerana sesetengah racun boleh mengakibatkan kesan sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna sekiranya anda terdedah kepada racun tersebut. Kesemua haiwan dan hidupan ini tidak bergerak aktif, jadi ia tidak akan menyerang anda sebaliknya hanya akan bertindak balas sekiranya anda menyentuhnya.

crown of thorns
Crown-of-thorns mendiami kawasan terumbu karang.

Tapak sulaiman yang dikenali sebagai ‘crown-of-thorns’ kelihatan jauh berbeza daripada tapak sulaiman yang lain ia mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kesan racun yang agak serius. Dipenuhi dengan permukaan kulit yang berduri dan warna yang terang ia mudah dikenalpasti. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati semasa menyelam di kawasan terumbu karang.

Sama seperti tapak sulaiman ‘crown-of-thorns’, landak laut juga amat terkenal sebagai penghuni laut yang berbisa. Mendiami kawasan perairan cetek dan terumbu karang ia mudah dikenalpasti dengan fizikal yang berduri. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh haiwan ini kerana durinya mudah menusuk dan tertinggal di dalam daging anda. Terdapat spesies yang mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kematian. Walaupun landak laut dijadikan sumber makanan di sesetengah tempat, anda tidak seharusnya menyentuhnya tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman.

Obor-obor amat merbahaya kerana hampir kesemua obor-obor dilengkapi dengan sengat beracun bagi membolehkan ia memburu makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah ia sukar dilihat di dalam air, kerana memiliki badan yang lutsinar. Di sesetengah kawasan, amaran diberikan pada pengguna pantai bagi memaklumkan apabila tibanya musim obor-obor.

Obor-obor dari jenis ‘box-jellyfish’ (Chironex fleckeri) menyebabkan kematian yang lebih banyak berbanding jerung, buaya dan ikan batu apabila digabungkan. Pendedahan kepada tentacle nya sepanjang 3m boleh mengakibatkan kematian seorang lelaki dewasa. Seekor obor-obor ini memiliki kira-kira 60 tentacle yang panjangnya adalah 5m. Tentacle ini dipenuhi dengan sengat-sengat yang halus. Adalah lebih baik anda tidak mengambil risiko untuk menyelam di kawasan yang dihuni oleh obor-obor ini tanpa mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Pufferfish
Ikan buntal mempunyai racun yang merosakkan sistem saraf.

Ikan buntal seperti yang kita sudah sedia maklum adalah amat beracun dan boleh mengakibatkan maut. Ikan yang akan mengembangkan badanya apabila terancam ini mempunyai racun yang sama seperti racun yang dimiliki oleh sotong ‘blue-ringed octopus’. Racun ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh ikan buntal melainkan berasal daripada spesies alga yang dimakannya yang mengandungi bacteria Alteromonas sp.. Ini mengakibatkan toxin daripada bakteria ini terkumpul pada hati dan gonad ikan tersebut.

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada kebanyakan ikan-ikan yang menghuni terumbu karang di mana toxin daripada sebahagian makanan mereka terkumpul di dalam organ dalaman mereka. Jadi, anda perlu berhati-hati sekiranya ingin memakan sebarang makanan laut tanpa pengawasan orang yang lebih berpengalaman.

cone shell
Siput 'cone' mempunyai tempuling yang pantas dan beracun.

Selain daripada ikan, spesies siput juga turut mempunyai racun yang amat kuat dan boleh mengakibatkan maut seperti yang dimiliki oleh siput kon ‘cone shells’. Siput kon biasanya aktif pada waktu malam dan bagi spesies siput kon ‘Conus geographus’ secara teorinya memiliki racun yang mampu membunuh 700 manusia. 

Walaupun bisanya berbeza di antara spesies anda mungkin tidak mempunyai kepastian tentang perbezaan spesies ini. Sengat siput kon yang mampu bergerak pantas dan membunuh ikan sudah pasti boleh mengakibatkan kecederaan dalam masa yang singkat. Anda adalah dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya perlu melewati kawasan yang dihuni oleh siput ini.

Blue ringed octopus
'Blue ringed octopus' mempunyai racun yang sama seperti ikan buntal.

Bagi spesies sotong juga mempunyai bisa yang berbeza-beza mengikut spesies, tetapi seperti yang diketahui spesies ‘blue-ringed octopus’ adalah amat berbisa dan boleh mengakibatkan maut. Bisa daripada sotong ini boleh melumpuhkan sistem saraf dan mengakibatkan maut. Spesies sotong mempunyai pelbagai kaedah samada untuk memburu dan mengelakkan ia daripada dikesan musuh. Ia mampu bertukar warna, bertukar bentuk dan mengeluarkan dakwat hitam bagi menjauhkan diri daripada pemangsanya.

Lionfish
'Lionfish', cantik namun penuh dengan duri beracun.

Ikan depu juga dipanggil sebagai ‘lion fish’ adalah lebih mudah untuk dikenalpasti kerana mempunyai rupa bentuk yang lebih mudah dikenali. Bergerak dengan lebih aktif untuk memburu, ia dilengkapi dengan duri-duri yang beracun. Jadi sekiranya anda menemui ikan ini pastikan anda tidak cuba untuk menghampiri atau menyentuhnya.

Stonefish
'Stonefish' sukar dilihat apabila bersembunyi di celah-celah batu.

Bagi yang suka berjalan-jalan di kawasan terumbu karang pula haiwan seperti ikan pari dan ikan batu perlu dielakkan. Kedua ikan ini mempunyai kecenderungan untuk bersembunyi di dalam pasir dan sukar dilihat. Jadi anda dinasihatkan tidak berjalan di kawasan terumbu karang tanpa memakai kasut – walaupun sengat ikan pari mungkin masih boleh menembusi kasut (dalam sesetengah kes).

Stingray
Pari atau 'stingray', biasa menyebabkan kematian.

Kedua-dua ikan ini mempunyai reputasi yang tinggi sebagai punca kematian samada mangsa yang kurang berhati-hati mahupun atas serangan yang bertujuan untuk melindungi dirinya. Ikan pari adalah lebih agresif manakala ikan batu pula akan bertindak pantas sekiranya diganggu. Anda perlu berhati-hati sekiranya perlu berhadapan dengan kedua spesies ikan ini – sebagai contoh apabila perlu melepaskan ikan pari yang memakan pancing anda.


Maka itu adalah beberapa spesies hidupan laut yang anda perlu sentiasa berhati-hati tentangnya. Mungkin mereka sendiri tidak bermaksud untuk mencederakan anda. Jadi dengan mengenalinya anda juga dapat mengelakkan kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius. Adalah diharap semoga kita dapat hidup saling memahami dan menghargai antara sesama hidupan. Bersama-sama kita memelihara keseimbangan alam.

Artikel lain yang berkaitan:



Free Download



Isnin, 23 Julai 2012

Ingin Tahu: Makanan-makanan Eksotik Masyarakat Dunia


Sebelum saya memulakan ruangan ingin terlebih dahulu diingatkan bahawa tujuan saya memaparkan ruangan ini adalah untuk tujuan pembelajaran. Perlu diingat bahawa kita mempunyai pandangan yang berbeza dalam pelbagai perkara. Mungkin pada kita pelik, tapi bagi sesetengah masyarakat ianya adalah perkara biasa - sebaliknya kita pula yang menjadi pelik pada mereka.

Bagi memulakan ruangan kali ini ingin saya memberitahu lebih awal bahawa ianya tiada kaitan dengan bulan puasa (yang menyebabkan saya ingin menceritakan perihal makanan). Tetapi lebih kepada tujuan saya bagi memperkenalkan kepelbagaian ragam manusia yang seharusnya menjadi renungan bagi kita dalam mengenal keunikan masing-masing. Baiklah tanpa membuang masa apa kata kita melihat antara keunikan-keunikan tersebut.


Makanan yang pertama membawa kita ke Perancis iaitu makanan yang dipanggil "les cuisses grenouilles", atau bahasa kita "kaki katak". Hmm, jangan terkejut, kaki katak merupakan makanan terkenal bagi rakyat Perancis. Di negara Perancis sahaja kaki katak digunakan antara 3,000 hingga 4,000 tan setahun untuk dijadikan sajian. Oleh kerana katak merupakan spesis yang dilindungi di Perancis, kebanyakan kaki katak ini diimport dari luar termasuk Indonesia. Sekilogram "les cuisses grenouilles" berharga lebih kurang MYR 45.46.

Kaedah penyediaan makanan ini agak mudah, iaitu dengan mencelupkannya ke dalam tepung kemudian digoreng di atas kuali tidak melekat dengan menggunakan sedikit minyak zaitun dan bawang putih yang diketuk. Ini adalah resepi asas bagi makanan eksotik ini, namun terdapat pelbagai lagi resepi yang menjadi kegemaran rakyat di sana.


Makanan kedua masih lagi berkaitan dengan Negara Perancis iaitu "les escargots". Makanan apa tu? Ia adalah siput, tetapi siput darat. Ini juga merupakan makanan terkenal di Perancis. Negara itu menggunakan kira-kira 40,000 tan siput setahun.. Betul ker tak betul.. oleh sebab kulit siput tu berat, mungkin ada betulnya.

Kebanyakan siput ini membesar secara liar dan hanya 2% sahaja yang diternak. Jenis siput-siput yang menjadi kegemaran masyarakat Perancis adalah "escargot de Bourgogne" (siput Burgandy) dan juga "petit gris" (siput kecil). Bukanlah mudah sekiranya anda ingin menyediakan hidangan ini sendiri kerana siput-siput yang dikumpulkan perlu dibiarkan tanpa makanan selama 2 minggu!.. Makanan seumpama ini jika dinikmati di US harganya boleh menjangkau sehingga MYR 39.58. Hmm, boleh tahan...

Walaupun makanan siput Perancis ini diaggap eksotik oleh masyarakat dunia (mungkin kita sendiri). Bagaimana dengan masyarakat kita yang menjadikan siput paya sebagai makanan, atau ikan belacak! Tepuk dada tanyalah diri anda untuk membuat keputusan bagi diri sendiri. Namun begitu apa pendapat anda tentang makanan-makanan eksotik ini?



Free Download



Arkib Blog