Memaparkan catatan dengan label salji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label salji. Papar semua catatan

Khamis, 19 Disember 2013

Bila Salji Turun Di Vietnam

Salji yang turun di Sa Pa, Vietnam

Memang salji biasa turun di Vietnam kerana Vietnam merupakan satu negara yang besar yang mengunjur dari Selatan ke Utara dan bersempadan dengan negara China. Terdapat bahagian-bahagian daerah di Vietnam yang mempunyai suhu di bawah takat beku pada musim sejuknya dengan suhu purata di sehingga -2.2°C pada bulan-bulan Desember dan Januari.

Kawasan penanaman padi di lereng bukit dipenuhi salji

Daerah yang terkenal di Vietnam dengan suhu sejuk ini lebih dikenali sebagai Sa Pa terletak di Utara Vietnam (22°21’N 103°52’E) dan terletak kira-kira 3,143 meter dari aras laut, manakala Bandar Sa Pa pula terletak pada 1,500 meter dari aras laut, menjadikan daerah ini mempunyai cuaca yang agak dingin. Namun baru-baru ini salji turun diluar jangkaan biasa kerana bulan December juga merupakan musim kering di daerah Sa Pa. Jadi keadaan ini menyebabkan ianya mendapat liputan meluas daripada media dan menarik ramai pengunjung menuju ke daerah tersebut untuk menyaksikannya sendiri.

Memandangkan keadaan ini adalah luar biasa walaupun suhu sekitar sememangnya di bawah paras beku, namun jarang sekali salji turun dengan lebat sehingga menutupi landskap sekitar kerana kebiasaannya musim dingin juga merupakan musim kering di sini. Keadaan ini menyebabkan para petani mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman serta kematian binatang ternakan. Salji yang menutupi kawasan pertanian menyebabkan tanaman musnah manakala binatang ternakan pula mati kesejukan. Manakala salji yang turun juga menyukarkan lagi kenderaan yang datang ke sini untuk menyaksikan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pengunjung yang ingin melihat keadaan salji di Sa Pa.

Salji menyebabkan banyak kerosakan mungkin kerana ia bukan keadaan yang biasa di sini. 50 hektar kawasan tanaman rosak yang terdiri daripada buah-buahan, rose dan tanaman lain. Ini menyebabkan lebih dari 50 keluarga terpaksa menunggu sehingga salji cair untuk memulakan semula tanaman.
Musim sejuk kali ini bermula daripada pertengahan December yang menyaksikan penurunan suhu di bawah takat beku sehingga -5°C dan kekal di bawah takat beku. Keadaan ini menyebabkan sekolah ditutup bagi mengelakkan masalah berkaitan kesihatan kepada para pelajar.

Kebanyakan penduduk di Sa Pa adalah petani yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman memandangkan cuaca di Sa Pa yang membolehkan pelbagai tanaman hidup subur di sini. Tanaman utama di sini termasuklah padi dan jagung selain daripada tanaman lain untuk dijadikan sebagai sayuran dan sumber pendapatan petani di sini.

Tanaman rose yang rosak akibat salji

Sa Pa adalah sebuah Bandar kecil di kawasan pegunungan atau lebih tepat lagi ianya adalah penghujung pada Banjaran Himalaya. Dihuni oleh penduduk sekitar 36,000 orang yang terdiri daripada pelbagai etnik antaranya Kinh (Viet), Hmong, Doa, Tay, Giay dan juga Xa Pho. Sekitar 7,000 orang tinggal di Bandar Sa Pa manakala yang lainnya bertaburan di sekitar daerah tersebut.


Sayuran yang ditutupi salji

Mungkin kita menganggap pengalaman salji turun ini sesuatu yang menarik untuk dialami. Tetapi jelas membuktikan apabila ia berlaku tanpa diduga juga boleh mengundang pelbagai masalah. Apapun itulah yang berlaku di persekitaran kita hari ini dengan cuaca yang tidak diduga dari taufan di Filipina sehinggalah ke turunnya salji di Vietnam. Diharap semoga semuanya dalam keadaan yang selamat hendaknya.

Antara petani yang memeriksa tanaman mereka
Pemandangan daerah Sa Pa dalam cuaca yang baik berlatarbelakangkan pegunungan Fansipan.


Arkib Blog