Memaparkan catatan dengan label saintifik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label saintifik. Papar semua catatan

Isnin, 30 November 2015

Siapakah Saintis?

Para saintis melakukan kerja-kerja penyelidikan di dalam makmal.

Kita biasa mendengar perkataan saintis bagi merujuk kepada seseorang yang melakukan kerja-kerja menemukan sesuatu perkara baru di dalam bidang ilmu. Gelaran saintis adalah antara gelaran yang tertinggi bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang pengkajian. Namun begitu saintis secara umumnya adalah ‘seseorang yang menggunakan kaedah sistematik dalam mencapai pengetahuan (tentang sesuatu perkara)’.

Ya, kaedah yang dikenali sebagai kaedah sintifik adalah kaedah yang mampu dibuktikan secara ilmiah dengan susunan proses-proses tertentu bagi memastikan pembuktian sesuatu perkara adalah mengikut garis panduan yang betul. Seorang saintis juga mungkin menguasai beberapa bidang ilmu sains atau merujuk sesuatu perkara berasaskan kepada bidang-bidang sains yang berkaitan seperti matematik, fizik, kimia, biologi dan sebagainya. Secara ringkasnya seorang saintis adalah mereka yang melakukan pembuktian sesuatu teori dengan bukti-bukti kukuh secara saintifik.


Aristotle merupakan pencetus teknik pemikiran bersistematik.

Al-Haytham menghasilkan kajian dengan kaedah saintifik.

'Book of Optics' - hasil karangan al-Haytham

Hari ini bidang kerjaya saintis menjadi lebih menjurus kepada perkara-perkara yang lebih ‘detail’ (halus) di dalam sesuatu bidang ilmu. Maka para saintis hari ini perlu menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran untuk membantu mereka dalam menemukan sesuatu penemuan baru. Tidak kurang juga, para saintis hari ini turut bergantung dengan peralatan yang lebih baik pada masa ini yang membantu mereka untuk penemuan-penemuan ini seperti mikroskop elektron, komputer, elektrik dan elektronik, mesin-mesin pengukur (measurement instruments), serta banyak lagi peralatan moden yang membantu mereka membuat kajian antaranya termasuklah LHC (Large Hadron Collider) dan ISS (International Space Station).

Pembangunan corak pemikiran manusia mula dibentuk dalam bentuk yang lebih bersistematik bermula dari zaman Greek lagi seperti yang direkodkan oleh Aristotle (384-322 BC). Corak pemikiran inilah yang membantu manusia untuk melakukan pemerhatian dengan lebih teratur dan tepat (tidak hanya berasaskan kepada naluri/pemikiran seseorang sahaja). Kaedah ini kemudiannya diperbaiki lagi oleh Ibn al-Haytham (Alhazen) (c. 965 – c. 1040 ce) dengan lebih terperinci dalam membuktikan penemuan-penemuannya berkaitan ilmu matematik dan fizik secara sistematik (saintifik). Beliau juga adalah individu yang diberi gelaran “Saintis Pertama”. Maka dari kedua-dua tokoh ini, kaedah kajian secara saintifik terus berkembang dan menjadikan ia sesuatu yang dapat dibuktikan dan mudah dipelajari.


Baris atas: Aristotle, Archimedes, Ibn al-Haytham, Leonardo da Vinci, Galileo Galilei, Johannes Kepler, Antonie van Leeuwenhoek, Isaac Newton;
Baris kedua: Carl Linnaeus, James Hutton, Antoine Lavoisier, John Dalton, Robert Brown, Michael Faraday, Charles Darwin, Gregor Mendel;
Baris ketiga: Louis Pasteur, Lord Kelvin, James Clerk Maxwell, Nikola Tesla, Max Planck, Ernest Rutherford, Marie Curie, Albert Einstein;
Baris keempat: Max Born, Niels Bohr, Erwin Schrödinger, Linus Pauling, Enrico Fermi, Werner Heisenberg, Paul Dirac, Alan Turing;
Baris bawah: Richard Feynman, Rosalind Franklin, E. O. Wilson, Carl Sagan, Jane Goodall, Richard Dawkins, Stephen Hawking, and Neil deGrasse Tyson

Tidak dinafikan banyak saintis- saintis yang muncul selepas mereka dengan hasil kajian yang lebih baik sejajar dengan perkembangan penemuan-penemuan baru oleh para pengkaji-pengkaji yang lain. Berbeza dengan hari ini, suatu masa dahulu, para pengkaji dan penyelidik perlu menyediakan peralatan mereka sendiri seperti mikroskop, teleskop dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk kajian mereka. Berbeza dengan hari ini, ia telah pun siap ataupun disediakan oleh orang lain.

Berbeza dengan saintis, engineer pula adalah seorang yang menggunakan hasil kajian para saintis bagi diaplikasikan dalam kehidupan, mereka peralatan, memperbaiki kualiti bahan, mengubahsuai dan lain-lain. Walaupun engineer tidak melakukan penemuan secara terus, mereka juga terdiri daripada individu-individu yang berpengetahuan luas tentang bidang sains (adakalanya merangkumi pelbagai bidang). Salah seorang tokoh engineer yang paling terkenal adalah Nikola Tesla (adakalanya beliau juga diletakkan sebaris dengan para saintis).

Hari ini terdapat sejumlah ramai saintis dan tidak mudah lagi untuk mengenal mereka secara individu. Walaupun segelintir mereka lebih terkenal daripada yang lain, para saintis memberikan sumbangan mereka masing-masing mengikut bidang khusus mereka tertentu. Ia bagaikan sebuah badan yang lengkap, tanpa sebahagian yang lain, badan tersebut pastinya terjejas (walaupun fungsinya dianggap kecil).

Para saintis yang terdahulu adalah lebih mudah untuk dikenali kerana mereka menemukan asas sesuatu bidang ilmu seperti matematik, fizik, kimia, biologi dan sebagainya. Apabila bidang ini semakin mengecil dan mendalam, maka ia menjadi pecahan-pecahan kecil menghasilkan lebih ramai pengkaji yang terlibat dengannya. Bagaimanapun sumbangan penemuan awal adalah begitu penting sebagai pencetus untuk menemukan yang lebih baik dan lebih tepat.


Anda mungkin ingin mengetahui lebih mendalam mengenai topik ini, namun ianya tidak dapat disampaikan dalam satu artikel yang ringkas. Oleh sebab itu kita akan melihat pecahan daripada topik-topik ini di masa-masa akan datang. Ya, secara ringkas “saintis” adalah para pengkaji yang membuat perhatian sesuatu fenomena dan membentangkannya (menerangkan nya) secara ilmiah/saintifik. Sekiranya anda mampu melakukannya anda adalah – Saintis!





Free Download



Sabtu, 15 November 2014

Projek Menjejaki Komet 67P Oleh ESA

Rosetta dropped Philae into 67P
Rosetta menjatuhkan Philae ke atas komet 67P.

Bermula sejak 10 tahun dahulu projek Rossetta dijalankan untuk menjejaki komet yang mengorbit berhampiran bumi. Terdapat ratusan komet yang diketahui berada di persekitaran ini, jadi selain daripada mengenal pasti akan komet-komet yang berpotensi antara lain projek ini perlu menitik beratkan kelengkapan yang diperlukan untuk menjejaki calon komet yang berpotensi.

Kecenderungan para saintis untuk menjejaki komet ini bukanlah hanya menjadi impian para pengkaji angkasa sahaja, malah sebenarnya ia adalah bertujuan untuk lebih mengenali tentang bagaimana hidupan mula terbentuk di bumi (mungkin berbillion tahun dahulu). Maka dengan menjejaki komet ini, pengetahuan bagaimana perpindahan bahan atau mungkin hidupan yang dibawa oleh komet ini akhirnya sampai ke sesebuah planet yang dihentam oleh komet tersebut apabila berlaku perlanggaran dengan sesebuah planet.

67P/Churyumov-Gerasimenko (67P)
67P/Churyumov-Gerasimenko dari dekat.

Keunikan satelit yang diberikan nama Rosetta ini mengandungi 2 unit utama iaitu satelit pengorbit yang juga bertindak sebagai induk dan juga Philae yang akan mendarat di atas komet tersebut untuk melakukan kajian yang lebih terperinci. Walaubagaimanapun ia mengambil masa selama 10 tahun daripada mula ianya dilancarkan sehinggalah berjaya mendaratkan Philae di atas permukaan komet 67P/Churyumov-Gerasimenko (67P).

Komet Churyumov-Gerasimneko ditemui oleh dua orang angkasawan dari Rusia pada tahun 1969 semasa beberapa angkasawan dari Kiev membuat perjumpaan di Alma-Ata Astrophysical Institute di Kazakhstan untuk melakukan penelitian terhadap komet-komet. Di sinilah dua angkasawan iaitu Klim Churyumov dan Svetlana Gerasimenko yang secara tidak sengaja menemui komet 67P.

Rosetta and Philae
Kedudukan Philae pada Rosetta.

Kejayaan Rosetta mendaratkan Philae di atas 67P bukanlah berlaku dalam satu masa yang singkat. Dari masa pelancaran sahaja sehingga kepada tarikh pendaratan tersebut mengambil masa selama 10 tahun. Namun begitu dalam tempoh ini banyak perkara yang telah dilakukan oleh Satelit Rosetta seperti melewati beberapa komet, melewati dan melakukan pemeriksaan ke atas Marikh dan juga 3 kali melewati di atas bumi. Rosetta juga diletakkan dalam keadaan hibernasi selama 3 tahun iaitu daripada tahun 2011 sehinggalah pengaktifannya semula pada 20 January 2014 untuk meneruskan perjalanannya memintas laluan 67P

Kawalan dan penyelenggaraan pergerakan ke atas Rosetta di lakukan melalui stesyen kawalan European Space Operation Centre (ESOC), di Darmstadt, Germany. Projek ini juga turut mendapat sokongan daripada NASA di mana ia sepatutnya dijalankan bersama di antara kedua ejensi tersebut pada awalnya.

Control room at ESOC
Suasana di pusat kawalan Rosetta di ESOC.

Pada awalnya Rosetta dijadualkan pelancaran pada 12 Januari 2003 untuk mengiringi komet 46P/Wirtanen pada tahun 2011. Perancangan ini diubah oleh kerana berlaku kegagalan pada roket pembawa Ariane 5. Perancangan in kemudiannya diubah kepada calon baru iaitu 67P dengan tarikh pelancaran pada 26 Febuari 2004 dan dijadulakan mengiringi komet tersebut pada tahun 2014 apabila orbit komet tersebut menghampiri matahari sekali lagi pada tahun 2015.

Kedudukan satelit Rossetta boleh diikuti melalui link ini.

Land of Philae
Akhirnya misi Philae berjaya untuk mendarat di atas 67P.

Melalui misi ini nanti banyak pengetahuan baru yang akan terjawab mengenai komet. Selain daripada rupa bentuk dan komposisi, ia juga berpeluang untuk mengetahui akan perubahan fizikal yang akan berlaku apabila 67P melewati matahari pada tahun 2015 nanti. Walaupun manusia sejak dahulu telah mengetahui serba sedikit mengenai perilaku komet, namun ianya masih lagi bersifat ramalan sehingglah kali ini sebuah mesin pengkaji ‘Philae’ dapat menjalankan kajian di atas komet itu sendiri.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai misi Rosetta dan komet 67P ini bolehlah melewati lama web European Space Agency melalui link ini. Adalah diharap ia akan menjadi sumber inspirasi peminat-peminat dunia sains teknologi untuk meneruskan usaha dan minat di dalam bidang tersebut.




Free Download



Selasa, 7 Oktober 2014

Binaan Manusia Terpaling Mahal

International Space Station
ISS yang mengorbit bumi dari angkasa.

Manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mampu membina hampir apa sahaja yang diinginkannya. Setelah beberapa zaman berlalu, banyak tinggalan yang dapat kita lihat ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu menunjukkan manusia sentiasa membina bagi mencapai pembangunan yang ideal. Namun begitu setiap pembangunan akhirnya hanyalah tinggal menjadi sebahagian sejarah seperti mana yang dapat kita lihat hari ini.

Adalah sukar untuk menggambarkan kos sebenar bagi pembangunan-pembangunan yang didirikan pada tamadun-tamadun yang lepas kerana perbezaan gaya hidup dan sistem mata wang yang tidak difahami. Apa yang ingin kita lihat di sini adalah pembinaan yang dilakukan bagi manusia pada zaman ini bagi satu tujuan dan adalah mustahil ianya boleh didirkan oleh satu pihak sahaja memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Working on ISS
Angkasawan melakukan kerja-kerja di ISS.

Binaan tersebut pula bukanlah berada di permukaan bumi seperti binaan-binaan lain, tetapi ianya berada di ruang angkasa bumi pada jarak 400km daripada permukaan bumi. ISS atau lebih dikenali sebagai International Space Station merupakan makmal yang berada di ruang angkasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan banyak negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Canada, Europe, Jepun dan negara-negara lain.

Ianya dibina secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1998. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2000 dua krew pertama ISS memulakan tugas mereka di sini. Pada permulaannya ISS didirikan hanya mempunyai 3 modul. Ia kemudiannya terus ditambah secara berperingkat sehinggalah pada masa sekarang mengandungi pelbagai modul yang menjadi tempat untuk menjalankan eksperimen saintifik mahupun ruang penginapan bagi para angkasawan.

Life on ISS
Aktiviti bagi mengisi masa lapang di ISS.

Semenjak ia dimulakan ISS terus menjalani pelbagai penambahan dan pengubahsuaian bagi memastikan ia mampu menyempurnakan pelbagai keperluan dalam menjalankan kajian-kajian saintifik. Sehingga kini keseluruhan ISS menjangkau saiz 109 meter lebar dan 73 meter panjang dan ia lebih besar berbanding saiz padang bola. Disebabkan saiznya inilah menyebabkan ia perlu dibina di angkasa dan tidak boleh diterbangkan sekali daripada bumi. Berat ISS adalah menjangkau sehingga 400 tan. Berbalik kepada kos untuk pembinaan ISS dianggarkan menelan USD150 billion dan setakat ini tiada pembinaan satu objek yang menelan kos sehingga jumlah tersebut.

Namun pembinaan ISS adalah penting bagi manusia untuk lebih memahami tentang pelbagai keajaiban alam. Ini kerana untuk memahami apa yang berlaku di permukaan bumi adakalanya kita perlu melangkah ke luar untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Pembinaan ISS jelas menunjukkan tiada perkara yang mudah dalam menyelesaikan sesuatu perkara namun tiada yang mustahil sekiranya kita betul-betul mahu.

Cupola Module
Cupola module yang menyediakan tingkap pandang ke bumi.

Ada beberapa perkara lagi yang menarik mengenai ISS untuk anda ketahui antaranya adalah kelajuannya bergerak mencapai sehingga 27,000 kilometer sejam. Pada kelajuan ini ianya adalah 8 kali ganda lebih laju berbanding peluru. Manakala untuk membolehkan ianya beroperasi bagi menjalankan pelbagai aktiviti di angkasa ia dilengkapi dengan panel-panel solar yang berukuran 34 X 12 meter bagi membekalkannya sehingga 60kW kuasa elektrik.


ISS merupakan satu binaan yang amat menakjubkan. Bagi para peminat dunia sains, ISS merupakan satu ikon baru yang memberikan inspirasi untuk kita terus berusaha mengkaji dan mencipta. Malah ISS antara lainnya akan menjalankan eksperimen pelengkap kepada satu lagi kajian yang dilakukan di bumi - yang dijalankan di sebuah makmal yang juga merupakan satu lagi rekaan terulung iaitu LHC - Large Hadron Collider.




Free Download



Arkib Blog