Memaparkan catatan dengan label rekabentuk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rekabentuk. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Mac 2017

Penggunaan Buluh di Bali

Binaan rumah buluh yang menakjubkan di Bali oleh Ibuku.

Buluh merupakan antara bahan yang telah lama digunakan oleh manusia sejak sekian lama. Keistimewaan tumbuhan ini adalah ia mudah digunakan kerana fizikalnya yang mudah dibentuk mengikut kegunaan atau terdapat jenis buluh yang sesuai untuk fungsi-fungsi tertentu. Oleh sebab itulah, buluh digunakan untuk menyediakan masakan sehinggalah membina tempat tinggal.

Walaupun keunikan penggunaan buluh di Bali dilihat lebih kepada penggunaannya untuk tujuan pembinaan chalet-chalet atau hotel daripada hotel biasa sehinggalah kepada hotel bertaraf lima bintang, namun buluh memainkan peranan yang lebih penting dalam kehidupan masyarakat di Bali. Buluh yang digunakan untuk tujuan pembinaan ini bukan sahaja digunakan dengan kaedah tradisi, malah ia dibentuk untuk menghasilkan bangunan-bangunan unik yang sebelum ini belum pernah dicuba dalam senibina tradisi masyarakat setempat.

Buluh juga dihargai di negara-negara lain seperti di Jepun.
Buluh masih digunakan sebagai penyokong binaan di Bali.
Rumah-rumah buluh di Biyukukung, Ubud.

Bangunan-bangunan yang dihasilkan menggunakan buluh bukan sahaja memberikan keselesaan, ia sebenarnya memberikan suasana yang lebih semulajadi. Ini memberikan ketenangan kepada siapa sahaja. Ia tidak memerangkap haba seperti mana bangunan yang dihasilkan menggunakan bahan lain terutamanya konkrit. Teksturnya sendiri menghasilkan permukaan yang amat menarik serta berkilat (sekiranya tidak terdedah kepada air; hujan misalnya). Gabungan bahan-bahan lain pula menjadikan bangunan daripada buluh mempunyai nilai yang amat tinggi.

Buluh-buluh di Bali ditanam di lereng-lereng kawasan pergunungan di Bali selain buluh yang hidup secara liar di hutan. Ladang buluh ini antaranya dapat dilihat dengan jelas di luar pekarangan Pura Luhur Batukaru, Tabanan. Buluh-buluh yang matang dan sesuai untuk digunakan akan diasingkan dan diletak di pinggir jalan menuju ke pura ini. Buluh ini adalah buluh untuk digunakan untuk tujuan pembinaan kerana mempunyai ketebalan yang tinggi selain saiz yang besar.

Terdapat banyak bangunan terutamanya hotel dan chalet di Bali yang dibina menggunakan buluh sebagai bahan binaannya. Selain menghasilkan binaan yang unik, kebanyakan bangunan-bangunan ini dihasilkan mengikut rekaan kontemporari (ia bukan binaan tradisi; hasil pengolahan arkitektur menggunakan buluh). Hasilnya potensi binaan buluh menjadi lebih meluas dan lebih banyak binaan yang unik cuba dihasilkan.

Buluh mudah digunakan untuk menghasilkan bentuk-bentuk baru.

Binaan unik begini sukar dihasilkan dengan bahan lain.

Sebuah cafe yang dibina menggunakan buluh di Pantai Seminyak.
Antara restoran lain yang menggunakan buluh sebagai bahan binaan.

Walaubagaimanapun buluh masih lagi digunakan untuk tujuan-tujuan lain selain digunakan sebagai bahan makanan, perkakasan, peralatan rumah, perhiasan, pertanian, sokongan binaan dan sebagainya. Anda dapat melihat buluh-buluh digunakan sebagai sokongan untuk membuat bangunan-bangunan konkrit di Bali. Walaupun ia tidak lagi digunakan di kawasan-kawasan bandar lain seperti di Malaysia, ia adalah satu kaedah penggunaan sumber alam yang baik (selagi ia tidak mendatangkan bahaya).


Apa yang menarik di sini, sumber alam seperti buluh, jika terus digunakan tetap menghasilkan satu hasil yang baik. Seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain, setiap bahagian tumbuhan ini mempunyai kegunaan tersendiri. Jadi mengapa kita tidak menggunakan potensinya untuk kebaikan kita semua.







Free Download







Khamis, 9 Februari 2017

Hotel Hutan Menegak Pertama Asia, Nanjing, China

Konsep "Hutan Menegak" bakal menjadi trend baru.

Pembangunan pesat dan pencemaran udara adalah dua perkara yang saling berkait. Namun sebagai manusia yang diberikan akal pemikiran, sudah tentunya kita memikirkan jalan penyelesaian terbaik tanpa mengabaikan kemjuan yang juga penting kepada manusia. Pembinaan bangunan “Hutan Menegak” atau juga dikenali sebagai “vertical forest”, kini semakin giat dibina termasuk di negara-negara Asia seperti China.

Bangunan yang akan didirikan sebagai ‘hutan menegak’ tersebut adalah sebuah hotel yang dimiliki oleh rangkaian Hyatt Hotel yang terdiri daripada 2 buah bangunan yang terletak di Bandar Nanjing, China. Apa yang menarik selain daripada dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan, kedua-dua bangunan tersebut dikatakan berupaya untuk menyerap sehingga 25 ton CO2 setiap tahun. Pada masa yang sama pula ia bakal membebaskan sehingga 60 kg Oksigen sehari.

Bangunan ini adalah hasil rekabentuk oleh pereka Italy iaitu Stefano Boeri yang telah menyiapkan projek yang seumpamanya di Milan pada tahun 2014 lagi. Projek di Nanjing dijangka akan disiapkan menjelang 2018. Ia juga akan menempatkan sehingga 1,100 batang pokok dan 2,500 tumbuhan-tumbuhan lain.

Menara berkembar yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan.

Satu daripada menara ini akan menempatkan Hotel Hyatt.

Bangunan pertama rekaan Stefano Boeri di Milan siap pada tahun 2014.

Satu daripada bangunan tersebut dengan ketinggian 335 kaki merupakan bangunan Hotel Hyatt beserta kolam renang di bumbungnya. Manakala bangunan kedua pula akan menempatkan bangunan pejabat, muzium, sekolah rekabentuk bangunan hijau dan kelab persendirian sehingga ke tingkat-38.


Bangunan berkonsepkan ‘hutan menegak’ ini akan terus berkembang di serata bandaraya utama dunia. Walaupun tidak semua bangunan di bandar-bandar utama menyerupai bangunan rekaan Stefano Boeri, namun kebanyakan bangunan hari ini turut menyediakan ruang yang banyak untuk diisi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang menyegarkan udara.


Free Download



Ahad, 24 Julai 2016

Keunikan Rekaan Tepak Sireh (Betel Set) dan Peralatan Lain

Bekas kapur sireh yang diperbuat daripada tulang yang diukir berasal dari Sumatra.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 90-an mungkin dapat melihat lebih banyak berkenaan budaya memakan sireh. Walaupun ia sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat di negara kita, namun budaya  memakan sireh amat terkenal di serata Asia Tenggara dan juga negara-negara lain seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan mungkin juga beberapa negara berhampiran.

Kepentingan pemakanan ini dapat dilihat daripada peralatan yang dihasilkan untuk menyimpan sireh dan juga bahan-bahan lain seperti pinang, gambir, kapur dan lain-lain (mungkin tembakau dan rempah). Oleh itu peralatan seperti tepak sireh diperbuat daripada pelbagai bahan dan diukir dengan begitu cantik ; bagi menggambarkan kepentingannya.

Peralatan tepak sireh digunakan dalam pelbagai majlis, dan untuk tujuan istiadat sudah tentu tepak sireh yang diperbuat daripada bahan yang lebih baik beserta ukiran halus digunakan. Anda mungkin tidak menyangka bahawa terdapat banyak sekali rekaan tepak sireh menggunakan pelbagai bahan daripada pelbagai negara yang popular dengan sireh ini.

Mungkin kita tidak perlu mengamalkan lagi budaya memakan sireh, namun keunikan budaya ini melambangkan kehalusan dan ketelitian adat budaya kita dalam bermasyarakat. Bersama-sama ini kita akan melihat sebahagian daripada peralatan tersebut.

Bekas Sireh dari Tembaga Parsi

Bekas sireh yang diperbuat daripada tembaga.

Bekas yang diperbuat daripada tembaga ini nampak kukuh dan kelihatan amat lama. Ia diperkatakan berasal dari tahun 1800-an dari India. Walaupun bekas ini sama seperti bekas-bekas yang lain, ia mungkin digunakan untuk menyimpan daun sireh dan bahan-bahan makanan sireh yang lain. Rekaannya adalah lebih ringkas, namun ia tetap melambangkan betapa pentingnya bahan yang disimpan di dalam bekas tersebut.


Bekas Pinang Daripada Perak

Bekas ini pula diukir dan diperbuat daripada perak.

Bekas pinang daripada perak ini adalah antara peralatan yang diperbuat daripada tahun 1940 adalah daripada hasil rekaan Cina Peranakan. Sama seperti rekaan pertama di atas, bekas ini tidak mempunyai bahagian-bahagian di dalamnya. Motif yang diukir di permukaan kotak ini pula jelas menunjukkan figura Cina dengan motif-motif bunga yang lain.


Bekas Sireh “Burmese Lacquer” (Kun-it)

Kun-it, amat cantik kerana ia diukir dan berkilat.

Lacquerware merupakan sebahagian hasil kepakaran masyarakt Burma sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas sireh ini juga dihasilkan sebahagian daripada hasil kraft menggunakan lacquer. Ia diperbuat daripada buluh yang diukir dengan motif-motif yang menarik, diwarnai dan dilapisi dengan lacquer yang menambahkan lagi kecantikan bekas sireh ini. Ia juga merupakan sebahagian hasil berasal dari Daerah Bagan, di Myanmar.


Tepak Sireh Perak, Batavia, Dutch East Indies

Set tepak sireh pembesar Belanda di Indonesia.

Ianya merupakan tepak sireh yang digunakan pembesar-pembesar belanda yang menduduki kawasan jajahan seperti Indonesia yang menjadikan budaya memakan sireh sebagai satu elemen penting di dalam kemasyarakatan. Tepak sireh ini dikatakan diperbuat pada awal 1900 dan masih dalam keadaan yang baik. Tepak sireh yang diperbuat dari bahan perak/emas dan batu berharga ini, adalah lazimnya digunakan oleh para pembesar sahaja.


Tepak Sireh Perak, Peranakan

Antara tepak sireh yang eksklusif dan sukar ditemui.

Satu lagi contoh tepak sireh yang diperbuat daripada perak dengan ukiran yang halus. Set penuh seperti ini dilengkapi dengan bekas sireh, kapur, pinang, kacip dan beberapa bekas yang lain. Tepak sireh ini adalah dari jenis rekaan yang lebih baru sekitar 1900. Namun begitu sekarang rekaan ini sukar didapati.

Tepak Sireh Buah Manggis

Tepak sireh ini boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Tepak sireh ini saya berikan nama sebagai buah manggis kerana ia mempunyai bekas yang menyerupai buah manggis. Ia boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur dan tidak dinyatakan tahun dan maklumat lebih jelas mengenai rekaan tepak sireh ini. Ia mempunyai jumlah set yang cukup termasuk, kacip, pemegang sireh, bekas pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Set-set seperti ini bukanlah digunakan oleh orang-orang biasa atau untuk kegunaan harian. Selain daripada rekaan yang unik, ia juga diperbuat dengan penuh kehalusan.

Tepak Sireh, Rajasthan India

Tepak sireh kegunaan harian dari Rajasthan, India.

Ini mungkin direka untuk kegunaan harian. Jelas menunjukkan ianya digunakan dengan kerap sehingga permukaan kayu ini haus. Namun begitu ia jelas menunjukkan bahagian-bahgian tertentu untuk hidangan sireh yang lengkap. Tepak sireh kegunaan harian seperti ini sememangnya akan direka seringkas mungkin kerana ianya akan mudah rosak (akibat pemakaian yang kerap). Walaupun begitu, tepak sireh ini tetap kelihatan unik.


Itu hanyalah sedikit daripada banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan budaya pemakanan sireh yang mungkin anda begitu kagum mengenainya. Walaupun kita tidak lagi mengamalkan pemakanan sireh, tidak sepatutnya ianya dilupakan kerana ia merupakan antara keunikan budaya kita yang amat berharga. Jadi sekiranya anda berpeluang, cari-carilah lebih banyak perkara berkaitan dengan sireh dan tepak sireh ini.


Free Download



Khamis, 3 Mac 2016

Kemunculan Semula Kapal Titanic II Akan Belayar Pada 2018

Kapal Titanic II dijangka akan mula belayar pada tahun 2018.

Titanic merupakan antara yang paling bersejarah di dunia kerana bukan sahaja dibina dengan kehebatan jurutera pada masa tersebut, malah ia tengelam pada pelayaran pertamanya semasa dalam perjalanan daripada Southampton ke New York pada April 1912. Walaupun ia membawa banyak kenangan pahit kepada semua mangsa terlibat juga kepada dunia, namun masih ramai di antara kita yang ingin merasa peluang untuk melihat dan berada di atas kapal bersejarah ini.

Maka dengan itu seorang billionaire Australia iaitu Clive Palmer telah merancang untuk membina semula replika yang sama seperti Titanic dan akan dinamakan sebagai Titanic yang dijadualkan akan mula belayar pada tahun 2018 setelah ianya sedikit lewat daripada jadual asalnya.

Walaupun ia mempunyai rupabentuk yang sama dengan Titanic, Titanic II sudah tentu dilengkapi dengan keperluan masa kini dengan prosedur keselamatan yang diperbaiki. Selain itu juga ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi satelit, sistem kawalan digital dan sistem radar yang bersesuaian dengan keperluan navigasi abad ke-21.

Kapal Titanic yang asal pada tahun 1912.

Perbandingan saiz Titanic dengan kapal peranginan hari ini.

Perbandingan saiz dari hadapan.

Rupa bentuk binaan Titanic (biru) dan Titanic II (merah).

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Blue Star Line ini akan menyediakan tiket-tiket bagi kelas pertama, kedua dan ketiga. Ia akan mempunyai 9 tingkat dan 840 kabin yang berupaya untuk membawa 2,400 penumpang dan 900 orang anak kapal. Kapal ini juga bakal dilengkapi dengan bilik mandi Turki (Turkish baths), kolam renang dan juga gimnasium.

Kapal Titanic II dibina oleh CSC Jinling, Nanjing, China dan kapal ini juga tidak akan beroperasi pada laluan sepertimana Titanic asalnya iaitu Southampton ke New York, tapi sebaliknya dari Jiangsu, China, ke Dubai di United Arab Emirates.


Walaupun projek pembinaan semula Titanic II mendapat pelbagai reaksi orang ramai antara sedih dan gembira. Namun mungkin ia merupakan satu-satunya peluang untuk kita melihat semula kapal yang penuh sejarah ini. Namun bagi Blue Star Line, ia merupakan peluang perniagaan yang baik sebagai pemula kepada ideanya ini.



Free Download



Khamis, 11 Februari 2016

Apple Pencil Keperluan Penting Bersama iPad Pro

Penggunaan 'Apple Pencil' memudahkan kerja-kerja lakaran digital.

Apple Pencil’ merupakan satu lagi produk istimewa keluaran Apple yang boleh digunakan bersama-sama dengan iPad Pro untuk memudahkan kerja-kerja lakaran. Keistimewaan pensil digital ini adalah ia bagaikan sebatang pensil biasa yang anda gunakan untuk melakar di atas kertas dan ini amat memudahkan anda menukarkannya ke dalam bentuk digital.

Berbeza dengan peralatan pen yang biasa digunakan bersama-sama dengan produk apple sebelum ini, Apple Pencil mempunyai mata yang lebih tajam bagi memberikan rasa penggunaan yang lebih ‘natural’. Walaubagaimanapun, ketajaman pada garisan yang dilukis di atas iPad Pro anda nanti adalah bergantung kepada tekanan yang diberikan ke atas permukaan iPad tersebut.

Apple pencil ini merupakan produk baru yang digemari oleh para pengguna Apple kerana ciri-cirinya yang mudah, pantas (tiada lengahan), mudah dikawal, praktikal dan tampil dengan design yang ringkas namun tetap kemas dan mewah.


Boleh digunakan untuk kebanyakan fungsi biasa.

Kerja-kerja 'tracing' terus daripada kertas ke iPad Pro.

Waktu mengecas yang lebih pantas.

Peralatan ini dapat mengurangkan proses pengalihan rekaan daripada bentuk lakaran kertas kepada bentuk digital kepada dengan proses-proses seperti ‘scanning’, tracing, file conversion dan sebagainya yang remeh dan memakan masa. Jadi ia menjadi pilihan para pereka samada produk digital seperti apps, pereka fesyen, pelukis grafik, komik, pendidikan (guru dan pensyarah), malah sesiapa sahaja yang menggunakan iPad Pro.

Walaupun ia boleh digunakan untuk banyak aplikasi bersama dengan iPad Pro, kebanyakan para pereka menggunakan produk ini bersama dengan Adobe Comp CC, untuk melakukan kerja-kerja asas sebelum ia kemudiannya dipindahkan kepada file mengikut perisian yang lebih sesuai.


Namun begitu peralatan ini hanya boleh digunakan bersama-sama dengan iPad Pro kerana ia dilengkapi dengan teknologi ‘lower-latency display’ yang tiada pada iPhone 6s ataupun iPad Air 2. Namun begitu ia mungkin boleh digunakan untuk produk-produk Apple seterusnya nanti.

Keseronokan melakar dengan 'Apple Pencil'.

Sama seperti pensil namun bersih, pantas dan kemas.




Free Download



Arkib Blog