Memaparkan catatan dengan label rawatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rawatan. Papar semua catatan

Selasa, 19 Julai 2016

Kenali Teknik Perubatan Gua Sha

Gua Sha melancarkan meredaran darah dan memberikan kerehatan.

Teknik perubatan Gua Sha (刮痧; guā shā) merupakan salah satu perubatan traditional yang berasal daripada China sejak ribuan tahun dahulu. Seperti juga teknik-teknik perubatan alternatif yang lain, ia kurang difahami hari ini walaupun masih terdapat ramai pengamalnya (jadi anda perlu berhati-hati sekiranya ingin mendapatkan rawatan melalui teknik perubatan ini).

Gua Sha menggunakan teknik gosokan menggunakan objek-objek tumpul daripada sudu tembikar, syilling, tulang binatang, tanduk, jade dan sebagainya. Teknik perubatan ini berkembang meluas dan di Vietnam ia dikenali sebagai  “cạo gió”, yang antara lain membawa maksud; melurut angin. Teknik rawatan ini juga turut diamalkan di Java dan dikenali sebagai “kerikan” atau “kerokan”. Ia mungkin mempunyai nama-nama lain mengikut kawasan dan daerah, namun pada konsepnya adalah menggunakan objek tumpul untuk melurut permukaan luar kulit.

Mungkin anda tidak perlu menekankan penggunaan Gua Sha seperti ini.

Antara teks lama merujuk kepada perawatan gua sha. 

Teknik perawatan ini menimbulkan banyak tanda tanya mengenai keberkesanannya selain menimbulkan bekas yang agak mengerikan pada permukaan kulit. Apa yang pasti, teknik ini tidak didokumentasi dengan sempurna seperti teknik akupuntur, kerana ia biasanya dianggap sebagai teknik urutan yang sedikit melegakan. Namun ia boleh mendatangkan mudarat sekiranya tidak dilakukan dengan berhati-hati. Tekanan yang terlalu kuat boleh mengakibatkan kecederaan serius kepada pembuluh-pembuluh darah halus di bawah permukaan kulit. Jadi anda dinasihatkan supaya tidak menggunakan tekanan yang terlalu kuat semasa melakukan teknik rawatan guasa.

Usaha untuk memahami teknik perubatan ini giat dijalankan bagi mengenalpasti potensi sebenarnya kepada kesihatan. Antara usaha untuk memahamim kaedah ini dijalankan oleh Dr Arya Nielsen daripada Beth Israel Medical Center, New York. Kerja-kerja beliau boleh diikuti daripada beberapa laman web yang disediakan seperti pacificcollege.edu dan juga guasha.com. Malah banyak lagi laman yang menyediakan rujukan untuk anda memahami teknik perawatan jenis ini mengenai bagaimana ianya berfungsi antaranya adalah guashaspace.com.

Antara peralatan utuk rawatan gua sha.

Segala objek tumpul dan tidak mencederakan kulit digunakan.

Apa yang sukar dibuktikan adalah keberkesanannya dalam merawat penyakit-penyakit kronik; dan anda tidak dinasihatkan merawat penyakit jenis tersebut melalui kaedah perawatan ini. Adapun ia mungkin membantu untuk melancarkan peredaran darah dan memberikan kerehatan pada badan sekiranya dilakukan dengan betul. Jadi ianya perlu dilihat seperti juga teknik urutan.

Sekiranya anda ingin mencuba teknik ini, apa yang dinasihatkan adalah tidak melakukannya dengan terlalu kuat kerana ia boleh mencederakan. Lakukan sedikit semakan mengenai teknik perubatan ini, kerana ia tidak boleh merawat segala jenis penyakit melainkan hanyalah memberikan sedikit kerehatan dan membantu melancarkan peredaran darah. Sekiranya anda berminat, carilah lebih maklumat untuk memahaminya bagi tujuan yang lebih baik.

Gua sha juga digunakan dalam perawatan kecantikan.

Alat gua sha yang diperbuat daripada batu jade.

Gua Sha bukanlah teknik perubatan ajaib, jadi anda perlulah berhati-hati. Namun begitu ia juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia juga mungkin berpotensi dalam membantu anda mencapai kesihatan yang lebih baik. Dapatkan maklumat yang tepat sebelum anda mencubanya, dan bantulah mereka yang lain dengan memberikan maklumat yang tepat mengenai perawatan ini sekiranya anda menemuinya.



Free Download



Isnin, 27 Jun 2016

Kaedah Perawatan Kesan Parut

Rawatan parut memerlukan masa yang agak panjang.

Kesan parut adakalanya memberikan kesan jangka panjang kerana ia sukar hilang dalam tempoh yang amat panjang. Parut mengikut jenis dan punca berlakunya parut tersebut memerlukan rawatan yang berbeza untuk mengurangkan kesannya atau menghilangkannya terus. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, kecederaan perlu dirawat diperingkat awal untuk mengurangkan kesan parut.

Bagi luka yang besar dan dalam perlu menjalani rawatan seperti jahitan atau mencantumkan semula luka bagi mengurangkan kesan parut. Luka-luka kecil seperti parut jerawat pula memerlukan rawatan di peringkat awal untuk mengurangkan kesan parut. Manakala luka yang lebih teruk seperti akibat kebakaran dan kemalangan memerlukan pembedahan bagi mengurangkan kesan parut dan rawatan susulan apabila luka mulai sembuh.

Berikut adalah beberapa bahan yang boleh digunakan bagi mengurangkan kesan parut dan dalam jangka panjang mengembalikan semula kulit kepada keadaan yang lebih baik (ia mungkin memakan masa yang agak lama – dan sekiranya kesan terlalu serius, mungkin rawatan lain perlu digunakan).

1) Shea Butter dan Minyak Kelapa

Minyak kelapa mempunyai kebaikan kepada kulit.

Shea butter mengekalkan kelembapan kulit.

Parut yang baru terbentuk perlu dikekalkan dalam keadaan lembab dengan menggunakan antara bahan-bahan ini. Kesan-kesan parut kecil seperti luka, parut jerawat, lecur dan melepuh boleh dirawat dengan berkesan. Lebih awal ianya digunakan, maka lebih mudah kesan parut dapat dirawat. Lembab di sini bukan bermakna basah, tetapi sebaliknya dilapisi dengan minyak dari shae butter atau minyak kelapa untuk mengelakkan luka menjadi kering.

Kedua-dua bahan ini selain menyediakan lembapan, ia juga mempunyai khasiat tersendiri dalam mengelakkan luka menjadi bertambah serius. Ia perlu disapukan kepada bahagian terbabit sebanyak 2 hingga 3 kali sehari bagi memastikan luka sentiasa berkeadaan lembab.

2) Ekstrak/Gel Bawang

Ekstrak bawang melembutkan parut dan membantu penyembuhan.

Ekstrak bawang juga merupakan antara bahan yang berpotensi untuk merawat kesan parut kerana ia mengandungi beberapa bahan penting seperti quercetin, kaempferol dan cepalin. Ekstrak bawang membantu kesan parut menjadi lebih lembut dan membantu parut sembuh dengan lebih cepat. Kesan parut juga didapati menjadi pudar setelah beberapa minggu penggunaan ekstrak bawang setiap hari.

3) Aloe Vera

Khasiat Aloe Vera untuk kulit secara dalaman dan luaran.

Aloe Vera atau lidah buaya sudah lama diketahui mujarab untuk merawat luka, malah turut merawat pertumbuhan sel-sel kulit baru dan mengurangkan kesan parut. Ledir daripada lidah buaya boleh digunakan terus untuk merawat luka. Anda juga boleh mendapatkan gel aloe vera daripada farmasi-farmasi sekiranya perlu.

Selain sebagai kegunaan luaran, gel aloe vera juga boleh digunakan sebagai minuman (pastikan ianya yang disediakan sendiri atau jus aloe vera untuk minuman). Ia merupakan minuman yang baik untuk membantu proses penyembuhan dari dalam. Bagi merawat luka ia perlu digunakan 3 kali sehari untuk membantu luka kekal lembab sepanjang hari.

4) Minyak Essential dari Tea Tree dan Helichrysum

Tea tree oil, membantu mengelakkan jangkitan.

Anda tentu pernah mendengar tentang kebaikan minyak tea tree dan faedahnya tentang rawatan berkaitan kulit. Minyak ini selain membantu menghilangkan kesan parut ia juga merupakan antiseptic, antibacterial, antifungal dan juga antiviral. Jadi ia sendiri merupakan bahan yang mujarab untuk merawat jewarat dan luka-luka pada kulit. Minyak tea tree dicampurkan dengan minyak kelapa atau minyak zaitun dan disapukan kepada kawasan tertentu sebanyak dua kali sehari.

Begitu juga dengan minyak helichrysum yang bersifat antibacterial yang juga membantu mengurangkan kesan parut. Ini kerana ia juga merupakan antioksidan yang mengelakkan kerosakan pada sel-sel kulit.

5) Emu Oil

Minyak Emu menyerap jauh ke dalam kulit.

Emu Oil merupakan minyak yang dihasilkan daripada lemak burung Emu yang berasal dari Australia. Burung dari keluarga burung unta ini mempunyai minyak yang istimewa kerana mempunyai khasiat merawat luka dan parut.

Minyak Emu mengandungi asid lemak Omega-9, Omega-6 dan Omega-3 yang membantu proses regenerasi sel-sel baru untuk penyembuhan luka. Ia menyerap ke dalam kulit dan membantu melambabkan kulit jauh ke dalam. Ia membantu merawat keradangan dan mengurangkan kesan kemunculan parut seterusnya membolehkan luka sembuh secara semulajadi.


Apple cider vinegar, menanggalkan sel kulit mati dan menggalakkan pertumbuhan sel baru.

Apple cider vineger bersifat astringent dan merupakan pencegah jangkitan yang membantu merawat masalah jerawat dan juga luka. Selain itu ia juga menanggalkan sel-sel kulit mati dan mengurangkan kesan kemunculan parut. Apple cider vinegar dicampurkan dengan madu dan disapukan pada kawasan yang diperlukan. Ia dibiarkan selama 10 minit sebelum dibilas. Proses ini boleh dilakukan sebanyak 3 kali sehari untuk mendapatkan kesan yang baik.


Perawatan parut seperti yang diterangkan pada awal artikel ini perlu dimulakan sebaik sahaja kecederaan pada kulit berlaku samada ianya disebabkan jerawat, luka, terbakar, penyakit kulit dan sebagainya. Ia perlu dirawat mengikut kaedah yang sesuai – jadi anda perlu mendapatkan rawatan awal mengikut jenis kecederaan tersebut. Seterusnya barulah rawatan susulan pengurangan parut ini dilakukan bagi mendapatkan kesan yang lebih berkesan.


Free Download



Jumaat, 3 Jun 2016

Mengenali Siput Dengan Lebih Dekat

Siput, banyak lagi yang perlu kita ketahui.

Siput sejenis haiwan yang bergerak perlahan dan tidak mempunyai kaki dan mempunyai cengkerang. Siput terdiri daripada sekumpulan hidupan yang besar merangkumi siput darat, siput air tawar dan juga siput air masin. Kumpulan ini menjadi lebih besar sekiranya ianya merangkumi kumpulan besarnya yang dikenali sebagai Gastropoda iaitu salah satu daripada kumpulan di dalam kumpulan Moluska (molluscs). Walaupun siput adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak, namun siput juga mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan manusia.

Siput merupakan antara sumber makanan penting kepada manusia sejak zaman dahulu lagi daripada tinggalan yang ditemui di gua-gua. Siput sungai dan sebahagian lagi siput paya bakau dan juga siput laut menjadi sebahagian sumber makanan manusia sehingga ke hari ini. Selain daripada menjadi sumber makanan, siput juga adakalanya menjadi sebagai matawang dan sebagai barang perhiasan.

Terdapat pelbagai jenis siput yang tidak kita kenali.

Giant African Snail, siput darat terbesar.

Syrinx aruanus, siput yang paling besar.

Walaupun kebiasaannya hanya siput-siput air yang menjadi makanan, siput-siput darat juga turut menjadi sumber makanan di beberapa negara lain. Makanan berasaskan siput ini paling terkenal di Perancis dan antara hidangan terkenal adalah Escargot à la Bourguignonne. Malah siput-siput untuk tujuan makanan ini adalah diternak bagi memastikan ianya dapat membesar dengan baik selain mengelakkan siput daripada tercemar (dengan bahan makanan beracun ataupun jangkitan). Selain dari Perancis, siput darat juga terkenal sebagai hidangan di Philippines, Morocco, Nigeria, Algeria, Cameroon, Italy, Portugal, Greece, Bulgaria, Belgium, Vietnam, Laos, Cambodia, Cyprus, Ghana, Malta, Nepal, Barat Daya China, Timur Laut India di Manipur, Tripura dan beberapa bahagian di United States. Siput darat juga menjadi hidangan di beberapa bahagian di Indonesia samada digoreng sebagai satay atau masakan yang dikenali sebagai sate kakul.

Selain daripada sebagai makanan, siput juga berguna di dalam penghasilan krim penjagaan kulit. Siput dari jenis Cornu aspersum menghasilkan cecair yang mempunyai nilai perubatan dalam merawat beberapa masalah kulit seperti kedutan, parut, kulit kering dan juga acne. Ini kerana cecair yang dihasilkan oleh siput ini mengandungi aktiviti anti-oksidan seperti Superoxide dismutase dan Glutathione S-transferase (GSTs). Krim daripada siput ini semakin mendapat perhatian di beberapa bahagian dunia samada di Barat (US) mahupun Timur (Korea).

Terdapat banyak spesis siput dan di Australia sahaja terdapat sekitar 3,000 jenis siput darat dan jumlah ini tentu lebih besar sekiranya digabungakan dengan jenis-jenis siput dari kawasan lain. Selain makanan siput juga turut dijadikan sebagai haiwan kesayangan seperti Giant African Snail. Manakala siput cowrie pula terkenal dijadikan sebagai matawang dan juga sebagai sebahagian bahan hiasan kerana mempunyai kulit yang cantik dan berkilat.

Rawatan kecantikan menggunakan siput.

Masakan Perancis daripada siput.

Makanan siput dari Asia.

Namun disebalik pergerakan siput yang perlahan, sejenis siput yang dikenali sebagai siput ‘cone’ adalah sangat beracun dan mampu membunuh manusia melalui sengatnya. Dari kumpulan siput cone sahaja terdapat lebih daripada 600 spesis yang terdapat di sekitar kawasan Barat Indo-Pacific, dan beberapa spesis lagi di sekitar Afrika Selatan, Medditerranean dan juga Selatan California.

Manakala siput terbesar pula adalah Syrinx aruanus atau lebih dikenali sebagai Australian trumpet atau false trumpet yang merupakan sejenis siput laut yang mampu menjangkau saiz sehingga 91 cm panjang dan berat sehingga 18 kilogram. Walaupun ia terkenal kerana saiznya yang besar, sifat sebenar siput ini masih lagi kurang difahami kerana kurang penyelidikan dilakukan ke atasnya.

Walaupun siput merupakan haiwan perosak, namun banyak lagi perkara yang masih kurang difahami mengenainya. Siput yang dikenali oleh kita adalah terlalu sedikit berbanding jumlahnya yang terlalu banyak. Maka banyak lagi kebaikan siput yang masih belum kita terokai dan tidak sepatutnya kita abaikan. Semoga dengan ini kita akan mempunyai pandangan berbeza terhadap hidupan unik ini dan mengelakkan ianya mengalami kepupusan.



Free Download



Rabu, 20 April 2016

Pokok Yang Paling Beracun Dan Perlu Dijauhi - Gympie Gympie

Rerambut duri pada daun gympie gympie.

Anda mungkin mengetahui beberapa spesies tumbuhan beracun yang boleh membawa maut, tetapi gympie gympie adalah jauh lebih menakutkan. Gympie gympie (Dendrocnide moroides) juga dikenali sebagai stinging brush, gympie stinger, mulberry-leaved stinger, gympie gympie, gympie, stinger, the suicide plant, atau moonlighter adalah tumbuhan yang berasal dari Australia juga terdapat di Moluccas di Indonesia.

Kisah gympie gympie yang menakutkan ini semakin tersebar luas, namun sekiranya anda berhadapan dengan pokok ini secara tidak sengaja, ianya mungkin sudah terlambat. Pokok ini kelihatan biasa namun dipenuhi dengan duri-duri sangat halus dan hanya boleh dilihat dari dekat. Apabila kulit anda menyentuhnya, ia boleh mengakibatkan kesakitan yang amat dahsyat, sehingga ada yang membunuh diri kerana tidak tahan menanggungnya.

Pokok ini menghasilkan buah seperti buah beri dan ianya boleh dimakan – sekiranya rerambut beracun tersebut dapat dibuang kesemuanya. Walaupun ia dikatakan membunuh beberapa spesies binatang seperti kucing, anjing dan kuda, ia masih menjadi makanan beberapa spesies haiwan yang terdapat di habitatnya seperti haiwan marsupial red-legged pademelon, serangga dan burung.

Rerambut halus pada daun, hanya dapat dilihat pada jarak dekat.

Bahagian-bahagian lain turut diselaputi oleh rerambut duri.

Racunnya dikenali mengandungi ‘moroidin’ iaitu bahan utama yang menjadikan racunnya memberikan kesan yang amat lama. Ia masih boleh memberikan kesan yang sama walaupun bagi spesimen yang telah lama dikeringkan. Ia akan segera memberikan kesan terbakar apabila anda tersentuh bahagian pokok ini dan terus memberikan kesakitan pada setiap jam berikutnya. Ini diikuti dengan kesakitan pada sendi-sendi  anda dan bahagian ketiak mula membengkak.

Marina Hurley iaitu seorang entomologist dan juga ecologist yang turut mengkaji tumbuhan ini menyifatkan kesan gympie gympie sebagai “dibakar dengan asid panas dan dikenakan kejutan elektrik dalam satu masa”. Manakala antara kisah mangsa yang terselamat daripada gympie gympie adalah Margaret Paterson yang berhadapan dengan tumbuhan ini sewaktu melakukan hiking bersama anak perempuannya. Kejadian tersebut menyebabkan aktiviti mereka terpaksa dihentikan. Beliau turut menyifatkan kesakitan yang diakibatkan oleh gympie gympie adalah 15/10 berbanding dengan kesakitan melahirkan anak.

Antara langkah awal dalam rawatan sekiranya disengati oleh duri gympie gympie adalah menggunakan asid hidroklorik yang telah dicairkan pada nisbah (1:10) dan mengeluarkan duri-duri halus tersebut menggunakan pelekat seperti Elastoplast atau apa sahaja seumpamanya. Walaupun ia boleh mengurangkan kesakitan, namun ia mungkin masih boleh dirasai walaupun setelah lama dirawat.

Buahnya juga dipenuhi rerambut duri.

Secara kasar pokoknya kelihatan seperti pokok biasa.


Pengetahuan awal berkenaan pokok ini mungkin boleh membantu ada daripada mengalami pengalaman mengerikan. Namun begitu mungkin ia juga mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam. Maka kita sebagai manusia haruslah bijak mengendalikannya dan bukan menjadi mangsa kepadanya. Menakutkan!






Free Download



Isnin, 4 Mei 2015

Mikro Post: Terapi Phage (Virus)

bacteriophage on bacteria
Bacteriophage di atas bakteria sebelum menyuntik genomnya.

Penggunaan hidupan dalam mengawal jumlah hidupan lain biasa dilakukan dalam pengawalan biologi (biocontrol). Tetapi terapi Phage atau lebih dikenali sebagai ‘bacteriophages’ juga pernah digunakan untuk pengawalan hidupan dalam dunia hidupan seni bagi mengawal penyakit. Ini kerana ‘bacteriophage’ menyerang bakteria-bakteria tertentu untuk membiak dan ini membantu membunuh bakteria-bakteria punca penyakit tersebut.

Diperkenal dan digunakan di negara-negara Soviet Union sekitar tahun 1920, dan ianya hanya dibenarkan di Russia dan Georgia sahaja. Bagaimanapun, terapi Phage ini dikatakan mempunyai potensi untuk digunakan bagi tujuan perubatan termasuk pergigian, kesihatan haiwan dan juga pertanian.

Penggunaan terapi ini masih lagi digunakan terutamanya bagi merawat penyakit yang berpunca daripada bakteria yang tidak memberi kesan ke atas penggunaan antibiotik biasa. Malah penggunaan Phage lebih bersifat spesifik kepada bakteria-bakteria tertentu sahaja dan tidak kepada kumpulan bakteria lain (seperti bakteria yang membantu penghadaman kepada manusia).

Sekumpulan bacteriophage yang menyerang bacteria.

Penggunaan bacteriophages ini mula dilaporkan oleh Frederick Twort pada tahun 1915 dan Felix d’Hérelle pada tahun 1917. Menurut pemerhatian Felix d’Hérelle, phage biasanya didapati pada tempat duduk pesakit yang mengidap sakit perut (radang usus) Shigella sejurus sebelum mereka pulih. Selain itu juga bacteriophages boleh didapati hampir disetiap tempat di mana bakteria hidup seperti di dalam longkang, sungai, juga pada kerusi pesakit yang beransur pulih.

Pada masa yang sama George Eliava, dari Georgia juga mendapati perkara yang sama. Beliau kemudiannya membuat lawatan ke Pasteur Institute di Paris dan bertemu dengan d’Hérelle, dan seterusnya pada tahun 1923 menubuhkan Eliava Institute di Tbilisi, Georgia untuk menghasilkan terapi phage.

Penggunaan terapi phage ini semakin dilupakan berikutan dengan penemuan antibiotik pada tahun 1941 di mana ia digunakan dengan lebih meluas di U.S. dan juga di Eropah. Penggunaan phage ini memerlukan kajian yang lebih, memendangkan ianya memerlukan jenis phage yang sesuai untuk satu-satu bakteria tertentu.

Di Russia, penggunaan terapi phage digunakan dengan meluas terutamanya pada perang dunia ke-2 
di mana ia digunakan untuk merawat tentera-tentera yang dijangkiti bakteria seperti cirit-birit dan juga gangren. Russia terus menghasilkan dan memperbaiki kaedah perawatan menggunakan phage ini, namun begitu para pengkaji mempunyai hubungan yang terbatas menjelang perang dingin yang berlaku. Namun begitu ringkasan penerbitan kajian tersebut diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2009 di dalam "A Literature Review of the Practical Application of Bacteriophage Research".

Ilustrasi bacteriophage sebelum menyuntik genomnya.

Bagi maklumat yang lebih lengkap mengenai kajian ini boleh didapati dari Georgia Eliava Institute di Tbilisi, Georgia, di mana penggunaan Terapi Phage masih lagi digunakan agak meluas.

Bacteriophage adalah merupakan virus yang membiak di dalam bakteria. Namanya sendiri berasal dari perkataan “bacteria” dan juga perkataan Greek: φαγεῖν (phagein); “dengan lahap”. Ia merupakan hidupan yang ringkas dan membiak dengan menyuntik genome-nya ke dalam ‘cytoplasm’ bakteria. Bacteriophage juga merupakan hidupan yang mudah ditemui di mana-mana dengan kepelbagaian yang luas dalam alam ini.


Jadi itulah dia serba sedikit mengenai penggunaan virus untuk mengawal penyakit yang mungkin selama ini kurang kita ketahui. Walaupun begitu adalah lebih baik sekiranya kajian yang lebih mendalam dapat dilakukan sekiranya ia betul-betul dapat membantu manusia dalam melawan penyakit. Namun ia merupakan satu perkara yang menarik untuk diketahui.



Free Download



Arkib Blog