Memaparkan catatan dengan label racun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label racun. Papar semua catatan

Ahad, 3 Oktober 2021

Punca Kehilangan Serangga

Terdapat jutaan spesies serangga di dunia, dan kita hanya mengenali sebilangan kecil sahaja.


Tajuk kali ini merupakan tajuk lanjutan daripada artikel sebelum ini iaitu mengenai kepentingan serangga kepada keseimbangan alam, malah untuk kegunaan kepentingan manusia sendiri. Walaupun serangga kebanyakannya bersaiz kecil dan adakalanya ditakuti, namun fungsi serangga tidak dapat dinafikan. Kali ini, kita ingin melihat perkara-perkara yang menyumbang kepada pengurangan serangga yang berlaku semenjak kebelakangan ini.
 
Bagi yang menyedari akan kehilangan sebilangan besar serangga-serangga yang dahulunya (sekitar tahun 80-an) mudah dilihat dan hari ini ia samada, berkurangan atau tiada lagi. Ini apa yang dapat diperhatikan di sekitar kawasan kampung sendiri, apatah lagi kawasan-kawasan yang telah lama dibangunkan. Walaupun kita tidak bergantung kepada serangga secara terus, namun serangga-serangga ini mungkin menyumbang dalam keseimbangan jumlah haiwan-haiwan lain seperti burung, kelawar, katak, cicak, sesumpah dan lain-lain. Selain itu ia juga menyebabkan hidupan-hidupan perosak lain semakin bertambah (sebagai contoh, anak pepatung (drangonfly) mampu mengawal jumlah anak-anak nyamuk, dan lalat membantu proses pereputan dengan lebih pantas).

 
Secara tidak sedar, kita mungkin menyumbang secara lansung atau tidak langsung kepada kepupusan hidupan-hidupan yang memberikan banyak kepentingan kepada kita, secara perlahan-lahan. Jadi kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita berinteraksi dengan alam, bagi memastikan kita tidak merosakkannya secara berlebihan. Sehubungan itu, kita perlulah sentiasa peka mengenai persekitaran dan melakukan rujukan mengenai taburan serangga yang dilakukan oleh para pengkaji dari seluruh dunia.
 
Kehilangan Habitat

Kupu-kupu "Atlas moth" ini, suatu masa dahulu boleh didapati di persekitaran rumah.  

 
Kehilangan habitat merupakan punca utama kepupusan bukan sahaja serangga, malah kebanyakan hidupan-hidupan liar yang lain. Namun habitat serangga adalah lebih meluas dan ada di antaranya yang hidup amat hampir dengan manusia. Seperti pada tahun 80-an, serangga-serangga seperti rama-rama, pepatung dan kumbang amat mudah didapati di persekitaran rumah. Serangga-serangga ini akan beterbangan sepanjang hari, dan ia akan digantikan pula dengan serangga-serangga lain pada waktu malamnya.
 
Apakah yang membezakan, keadaan 40 tahun dahulu yang menyebabkan kita kehilangan sebilangan besar jumlah, serangga-serangga ini? Secara perlahan-lahan tanpa kita sedari, kita telah memusnahkan sebahagian besar habitat mereka. Namun hari ini, bagi mengembalikannya semula kepada keadaan asal, mungkin memakan masa yang agak lama (atau, hampir mustahil). Jadi semoga kita mempelajari kesilapan yang telah berlaku, dan berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita menguruskan aktiviti harian bagi mengelakkan kemusnahan terus berlaku.

Terdapat banyak jenis lebah-lebah liar yang kurang dikenali, yang juga merupakan agen pendebungaan yang penting.

 
Perbezaan yang paling ketara dapat dilihat bersama-sama kehilangan serangga-serangga ini adalah, kehilangan kebanyakan spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadi habitat dan sumber makanan mereka. Kebanyakan tumbuhan yang dikelaskan sebagai rumpai bagi kita adalah merupakan ekosistem yang penting bagi menyokong kehidupan mereka. Malah ada sebahagian serangga yang hanya bergantung kepada spesies tumbuhan-tumbuhan tertentu - yang pastinya akan pupus apabila kehilangan spesies tumbuhan tersebut.

 
Penggunaan racun rumpai yang memudahkan kerja-kerja pembasmian rumpai, merupakan penyumbang utama kepada kepupusan tumbuhan dan juga serangga. Ia turut menyumbang kepada pengurangan penyerapan air ke dalam tanah (mengurangkan sumber mata air) dan menyebabkan tanah menjadi padat serta kesan kemarau yang lebih teruk. Jika diperkatikan hari ini, spesies-spesies tumbuhan yang mudah didapati di persekitaran rumah suatu masa dahulu tidak lagi mudah didapati.
 
Penggunaan Racun Serangga
 
Serangga "ladybug" merupakan pemangsa bagi serangga perosak "aphid".


Melalui namanya sendiri adalah bertujuan untuk membunuh serangga. Walaupun ia ditujukan kepada serangga perosak, namun ia juga memberikan kesan kepada serangga-seranga yang lain. Penggunaan tanpa pengawalan yang betul menyebabkan kerosakan yang lebih serius, malah membawa kemudaratan kepada manusia sendiri.
 
Penggunaan racun serangga dapat dikurangkan sekiranya kita mengamalkan penanaman tumbuhan yang pelbagai dan menukar tanaman pada setiap musim. Malah, kebanyakan serangga perosak juga mempunyai hidupan pemangsa mereka sendiri seperti serangga lain, burung dan haiwan-haiwan pemakan serangga.
 
Cahaya Berlebihan

Cahaya menarik perhatian serangga dan menyebabkan kehilangan serangga yang tinggi.

 
Kemajuan teknologi juga memberikan satu lagi kelebihan kepada manusia yang menjadi satu impak besar kepada serangga. Lampu-lampu jalan yang hari ini digunakan sehingga ke kawasan pendalaman menyebabkan kematian sebilangan besar serangga-serangga. Serangga-serangga yang tertarik kepada lampu ini, kebiasannya tidak dapat meneruskan aktiviti mereka dan mati keletihan (akibat terkeliru daripada cahaya lampu).
 
Hari ini, lampu-lampu bukan sahaja berada di dalam rumah, malah turut berada di pinggir-pinggir jalan kampung. Kawasan-kawasan ini mungkin kurang penting dan dalam masa yang sama mempunyai kepadatan serangga yang tinggi. Hari ini, dapat dilihat dengan ketara, jumlah serangga-serangga yang mengelilingi lampu-lampu ini adalah jauh berkurangan berbanding pada mula ianya dipasang.
 
Walaupun lampu-lampu jalan dapat memberikan kemudahan kepada manusia. Penggunaan seperti ini perlu dielakkan. Mungkin juga kita perlu memikirkan kaedah lain yang dapat mengatasi masalah lampu dan serangga. Jadi, sama-samalah kita memikirkan kaedah terbaik, untuk mengelakkan keadaan yang berterusan.
 
Serangga seperti "Karner butterfly" ini amat sensitif, kerana hanya bergantung kepada tumbuhan yang spesifik.

 
Terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah kehilangan serangga. Ini adalah beberapa faktor utama yang perlu kita berikan perhatian, di mana kita boleh mengelakkan atau mengurangkan perkara-perkara di atas. Elakkan menggunakan racun rumpai. Gunakan dengan cermat, di tempat-tempat yang diperlukan sahaja. Penggunaan mesin rumput adalah jauh lebih baik, kerana ia memastikan pokok-pokok masih hidup dan mengelakkan hakisan.

 
Tanaman yang pelbagai dapat mengelakkan serrangga perosak membiak dengan banyak. Malah, dengan menukar tanaman secara pusingan juga dapat mengelakkan serangga perosak terus berada di kawasan yang sama kerana kehilangan sumber makanan - tanpa mengurangkan spesies-spesies serangga yang lain. Dalam perihal penggunaan lampu pula, elakkan menggunakan lampu di kawasan-kawasan yang kurang penting. Sebolehnya elakkan cahaya dilihat dari luar rumah bagi mengelakkan perhatian serangga. Mungkin suatu hari, kita berjaya mencipta cahaya yang tidak menarik perhatian mereka!
 
Itu sahaja buat kali ini. Diharap kita sama-sama dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada pemeliharaan serangga yang masih lagi kita kurang difahami mengenainya. Ini kerana, memastikan keseimbangan alam, dapat mengekalkan keharmonian kehidupan kita manusia juga.
 
 
Rujukan:
 
1. Nature.com: Pest and Pollinators
2. YaleEnvironemnt360: What’s Causing the Sharp Decline in Insects, and Why It Matters
3. Wikipedia: Decline in insect populations
4. Impakter: Insects Armageddon Caused by Climate Change
5. Inverse.com: LIGHT POLLUTION MAY BE KILLING AN ESSENTIAL INSECT SPECIES
 

Selasa, 14 Januari 2014

Mengawal Rumpai di Kawasan Halaman Dan Taman Anda

Penggunaan racun rumpai perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan pengguna dan alam sekitar.

Rumpai merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh siapa sahaja yang mempunyai halaman atau taman. Penggunaan racun rumpai adakalanya membawa kesan bukan sahaja kepada tanaman malah kepada pengguna, hidupan lain dan kesan sampingan kepada alam sekitar. Penggunaan racun rumpai yang tidak dikawal boleh membawa bahaya.

Memahami tentang racun rumpai merupakan asas yang perlu diketahui sebelum anda mengendalikan racun rumpai. Racun rumpai boleh membawa mudarat dan mungkin membawa maut. Kebanyakan racun rumpai disertakan dengan maklumat-maklumat penting seperti bahan aktif dan juga langkah keselamatan. Ini amat penting bukan sahaja sebagai langkah berhati-hati malah untuk memberikan maklumat yang lebih tepat tentang keberkesanan racun rumpai tersebut terhadap rumpai-rumpai tertentu.

Sekiranya anda mempunyai kawasan tanaman yang kecil atau taman yang sederhana besar, adalah lebih baik sekiranya anda melakukan proses merumput sahaja dan tidak menggunakan racun rumpai. Bagi kawasan yang sederhana besar, ianya bolehlah dibahagi-bahagikan kepada beberapa bahagian dan proses merumput boleh dilakukan secara berselang-selang di antara bahagian-bahagian tersebut. Rumput atau rumpai yang telah dicabut bolehlah digunakan untuk membuat baja kompos yang boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanaman anda.

Racun rumpai turut membawa kesan pada tanaman.

Kesan penggunaan racun rumpai:


- Racun rumpai boleh membunuh tanaman anda sekiranya terkena semburan racun tersebut semasa penggunaannya.

- Sesetengah racun rumpai turut diserap oleh akar dan membawa kesan kepada tanaman dari segi kesuburan dan boleh juga menyebabkan kematian tanaman.

- Penggunaan racun rumpai akan menyebabkan permukaan tanah terdedah dan ini akan menyebabkan nutrient di dalam tanah dibawa oleh air hujan (siraman air) dan juga permukaan tanah menjadi lebih kering/keras.

- Racun rumpai boleh diserap oleh tumbuhan (walaupun ianya tidak menyebabkan kematian kepada tumbuhan tersebut) dan ianya mungkin kurang selamat apabila dimakan.

- Racun rumpai menyebabkan hidupan lain seperti cacing tanah, siput, kumbang, gongok, lintah bulan dan sebagainya mati apabila tanah terdedah dan hilang lembapan.

- Racun boleh diserap oleh kulit semasa membuat semburan dan mengancam kesihatan. Sebahagian kesan racun ini hanya boleh dilihat dalam jangka masa yang panjang, kerana serapan racun rumpai melalui kulit dalam kuantiti yang sedikit – dalam kuantiti yang banyak kesannya akan lebih ketara.

Kaedah Membunuh Rumpai Dengan Lebih Selamat:


Sekiranya anda masih perlu membunuh rumpai yang terdapat di halaman atau taman anda gunakanlah kaedah ini yang kurang merbahaya.

- ¼ cawan cuka (sebarang jenis cuka makan) -**bukan cuka getah

- ¼ cawan garam

- ¼ cawan serbuk pencuci

Cairkan campuran ini menggunakan air yang cukup dan sembur pada rumpai yang anda ingin hapuskan. Sekiranya anda memerlukan kuantiti yang banyak bolehlah gandakan kesemua bahan-bahan tersebut. Bahan ini adalah lebih selamat sekiranya kawasan semburan menjadi tempat kanak-kanak bermain atau kawasan di mana haiwan peliharaan anda selalu berada.

Kawasan terdedah selepas diracun boleh menyebabkan hakisan.

Berikut pula adalah bahan aktif yang biasa digunakan di dalam racun rumpai dan kegunaanya. Ini adalah untuk memberikan anda lebih kefahaman mengenai racun rumpai dan keberkesanan penggunaanya. Walaubagaimanapun adalah lebih baik sekiranya anda dapat mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan ini.

Sebahagian Daripada Bahan Aktif Dalam Racun Rumpai dan Kegunaannya
Bahan Aktif1
Kawalan Rumpai
Kegunaan
Nota
Glyphosate: semua rumpai, baru tumbuh
Hampir kesemua
Kawalan bertompok atau rumpun rumpai
Membunuh rumpai sekiranya semburan mengenainya.
Plant oils termasuk cengkih, serai dan eugenol: semua rumai, baru tumbuh
Daun lebar yang muda
Pada rekahan dan kawalan bertompok
Diterima secara organik. Tidak membunuh daun yang tua atau malar hijau. Lebih berkesan semasa cuaca panas 21°C dan keatas
Trifluralin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Taman dan halaman
Siram atau gunakan tanah selepas penggunaan. Guna apabila tanaman telah tumbuh.
Benefin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Laman
Biasa digunakan untuk mengawal ‘crabgrass’.
Dithiopyr: Tertentu, baru tumbuh
Crabgrass, annual bluegrass, oxalis, spurge, dan lain-lain
Laman
Membunuh rumput fescue dan bentgrass.
Dicamba: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal rumpai berdaun lebar pada laman.
Fluazifop: Tertentu, baru tumbuh
Rumput termasuk bermudagrass
Pada rumpai berdaun lebar dan penutup bumi.
Gunakan semasa rumput tumbuh dengan aktif.
2,4-D or 2,4-Dichloro-acetic acid: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal dendalion dan rumpai berdaun lebar yang lain.

Maklumat di atas adalah sebahagian contoh bagi memberikan anda gambaran tentang bahan aktif yang digunakan di dalam racun rumpai. Ini kerana racun rumpai mempunyai sasaran penggunaan tersendiri dan penggunaan tidak mengikut peraturan tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diinginkan. Sedangkan racun tersebut tetap boleh mendatangkan bahaya bagi anda yang mengendalikannya.

Jadi adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan alternatif yang selamat dan mengamalkan kaedah penanaman yang selamat bagi mengelakkan rumpai tumbuh secara tidak terkawal. Adakalanya kesan jangka panjang adalah lebih penting difikirkan berbanding dengan kesan jangka pendek yang bersifat sementara.

Pastikan kawasan halaman atau taman anda ditanam dengan tumbuhan tutup bumi yang sesuai bagi mengelakkan hakisan serta kehilangan 'nutrient' di dalam tanah. Kemudian carilah tanaman yang sesuai untuk ditanam yang boleh memberikan pulangan daripada kawasan tersebut. Walaupun rumpai boleh mendatangkan masalah tapi ia juga masih boleh digunakan untuk menghasilkan kompos yang akan menyuburkan semula tanah. Jadi, uruskan kawasan tanaman anda dengan cara yang lebih efektif dan selamat. 



Free Download



Arkib Blog