Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan

Rabu, 18 Mei 2016

Puasa, Adakah Kita Melakukannya Dengan Betul?

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar.

Ketibaan bulan puasa pastinya akan disambut dengan meriah oleh semua golongan tidak kira samada tua ataupun muda. Ditambah lagi dengan pelbagai kegiatan dan program yang kini bukan sahaja diikuti oleh umat Islam yang berpuasa malah turut sama dirasakan oleh kaum-kaum lain (seperti bazaar ramadhan yang juga dikunjungi oleh kaum-kaum lain termasuk Cina, India dan lain-lain).

Namun di sini ingin ditekankan mengenai faedah berpuasa yang sebenarnya bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam, malah juga dilakukan oleh mereka-mereka dari agama yang lain. Faedah bepuasa di dalam perubatan semakin mendapat perhatian dengan pendedahan mengenai faedah-faedah berpuasa yang diuji secara klinikal. Berbeza dengan apa yang dapat dilihat dari apa yang berlaku di negara kita kerana kesan berpuasa ini tidak kelihatan memberikan impak yang positif seperti yang diharapkan.

Puasa bertujuan memberikan kerehatan kepada sistem penghaman manusia iaitu semua organ-organ yang terlibat daripada mulut sehinggalah bahan yang tidak boleh dihadamkan dicernakan melalaui proses pembuangan najis. Walaupun proses ini kelihatan berlaku dengan mudah (kerana ianya dikawal oleh minda bawah sedar) ia sebenarnya menggunakan tenaga yang banyak melalui proses yang amat kritikal. Segala organ-organ terlibat daripada perut, hati, hempedu, pankreas, limpa, usus kecil dan usus besar perlu bertindak mengikut jenis makanan yang dimakan sehingga segala proses selesai. Bayangkan sekiranya anda makan sebelum makanan yang anda makan sebelumnya dihadamkan dengan sempurna. Ya! Organ-organ ini tidak akan dapat berehat seterusnya menyebabkan kerosakan dan kegagalan fungsi organ.

Bagaimanakah puasa baik untuk kita?

Puasa memberikan kerehatan kepada organ-organ penghadaman ini, selain memberikan badan masa untuk membaik pulih sistem-sistem yang lain. Antaranya adalah memperbaik pulih fungsi sistem penghadaman itu sendiri dan fungsi badan untuk membakar lemak. Melalui aktiviti berpuasa sistem metabolisma badan akan dipertingkatkan.

Berpuasa dapat meningkatkan kadar mortaliti (jangka hayat) seseorang. Peningkatan usia turut membawa kesan kepada kadar metabolisma yang rendah, dengan mengurangkan kadar pengambilan makanan anda memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman selain menjadikan ianya lebih efisyen. Inilah yang membantu anda sihat dan kekal muda sebenarnya.

Berpuasa juga memperbaiki kordinasi sistem badan seperti sensitiviti terhadap isyarat lapar yang sukar untuk dibezakan bagi mereka yang makan terlalu kerap. Ini kerana setiap makanan memerlukan tempoh penghadaman yang berbeza terutamanya makanan yang terdiri daripada daging dan lemak. Puasa dapat memperbaiki kitaran hormon di dalam badan anda seterusnya memberikan anda rasa lapar yang tepat pada waktunya. Jadi puasa mengembalikan semula sensitiviti badan anda dalam mengesan perubahan kimia di dalam badan anda.

Terdapat banyak makanan menyihatkan mengikut kesukaan anda.

Makanan menyihatkan, juga menyelerakan.

Selain itu berpuasa dapat mengembalikan anda kepada keadaan 'neutral' bagi mereka yang mempunyai tabiat makan yang tidak tetap. Seperti pada mereka yang sering makan pada waktu-waktu yang berbeza disebabkan pelbagai bebanan aktiviti dan tugas. Berpuasa membebaskan anda daripada waktu kitaran makan tertentu dalam masa yang sama mengelakkan kesan-kesan negatif pada badan.

Apa yang lebih penting berpuasa meningkatkan lagi keupayaan fungsi otak dengan penghasilan protein 'brain-derived neurotrophic factor' (BDNF). BDNF mengaktifkan stem sel otak untuk membentuk neuron-neuron baru selain bahan-bahan lain untuk meningkatkan fungsi neural. Selain itu ia juga mengelakkan sel otak daripada pertukaran yang berkaitan dengan penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson.

Berpuasa juga dapat mempertingkatkan keupayaan sistem pertahanan badan (immune system) dengan mengurangkan kadar radikal bebas, mengatur keadaan keradangan dalam badan dan mengurangkan pembentukan sel-sel kanser. Malah haiwan juga akan berhenti makan apabila sakit dan menumpukan kepada rehat yang cukup. Ini dapat mengumpulkan segala tenaga kepada proses pemulihan selain mengurangkan stress badan untuk proses-proses seperti penghadaman.

Semasa berpuasa juga badan adalah lebih sensitif kepada sebarang perubahan yang berlaku. Ini dapat membantu mereka-mereka yang mengamalkan aktiviti seperti meditasi, yoga atau sebarang aktiviti kerohanian yang lain. Apabila tiada makanan di dalam sistem penghadaman, maka lebih banyak tenaga dapat disimpan – proses penghadaman merupakan antara proses yang menggunakan banyak tenaga.

Antara manfaat puasa yang lain adalah dalam memberikan anda kulit yang lebih bersih dan mencegah ‘acne’ apabila tenaga yang digunakan untuk penghadaman dapat digunakan untuk memperbaiki sistem badan yang lain. Kesan pengeluaran toksin dapat dilihat hanya daripada sehari berpuasa selain mengaturkan semula fungsi-fungsi organ penting seperti hati, buah pinggang dan juga organ-organ lain.

Jangan lupa air juga penting untuk kesihatan.

Bagaimana puasa yang berkesan?

Puasa bukanlah sekadar menahan diri dari makan dari pagi sehingga ke petang. Namun puasa adalah memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman dan membersihkan badan dari segala bahan yang tidak diperlukan oleh badan. Selainnya adalah mengikut amalan mengikut agama dan kebudayaan masing-masing.

Adalah tidak wajar sekiranya anda mengambil makanan yang sukar dihadamkan setelah sehari suntuk berpuasa. Maka semasa berbuka ambillah makanan seperti buah ataupun jus buah-buahan serta sayur-sayuran. Kemudian makanlah sedikit makanan yang perlu bagi anda (mengikut keperluan masing-masing) yang bukan terdiri daripada makanan yang sukar dihadam seperti daging dan lemak.

Pastikanlah juga anda mengambil sejumlah air yang cukup bagi mengawal keseimbangan cecair di dalam badan selain membersihkan badan daripada segala toksin yang dikeluarkan badan semasa berpuasa. Namun puasa tidak semestinya dilakukan pada bulan puasa sahaja malah anda boleh melakukannya, pada bila-bila masa yang perlu.



Free Download



Isnin, 6 Ogos 2012

Bubur dan Pengat; Hidangan Berbuka yang Membuka Selera

Bubur cha cha enak dan menarik dengan pelbagai warna

Penat sungguh seharian menjalani ibadah berpuasa kan! Biasanya ketika berbuka juadah manisan seperti buah kurma, kuih-muih tradisi dan moden serta bubur/ pengat pasti dapat mengembalikan semula tenaga yang hilang. Sebut pasal pengat ni, bagi saya semestinya saya akan cuba sediakan setiap hari sebagai sebahagian hidangan berbuka. Bagi saya sajian manis bukan sahaja dapat mengembalikan semula tenaga yang hilang malah memberikan saya lebih semangat untuk kembali ceria melalui sebahagian malam pula.

Biasanya bubur dan pengat yang disediakan sewaktu bulan puasa adalah manis, namun terdapat juga bubur yang tidak manis seperti bubur lambuk, bubur ayam, bubur nasi dan sebagainya. Berlainan pula dengan pengat yang sememangnya manis-manis dan disediakan dengan pelbagai bahan termasuk buah-buahan yang menambahkan lagi kelazatan pengat tersebut.

Bubur ayam juga sesuai untuk makanan kanak-kanak

Walaupun pengat disediakan dengan bahan asas yang hampir-hampir sama iaitu daun pandan, gula dan santan, namun terdapat banyak variasi pengat yang disediakan hari ini. Mungkin kita boleh lihat dengan lebih jelas jenis-jenis bubur dan pengat ini sekiranya kita berkunjung ke ‘bazar ramadhan' di sepanjang bulan puasa. Jadi untuk menghasilkan pengat yang betul-betul menyelerakan apa yang paling penting adalah kreativiti dalam memilih bahan yang akan dimasukkan ke dalam pengat tersebut.

Mungkin pengat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk memahami akan proses mereka cipta bubur/ pengat yang kreatif.  1) Bahan kuah - biasanya kita memilih santan kelapa, tapi ianya boleh juga menggunakan air sahaja atau susu/ yogurt. 2) Bahan isi - bahan isi biasanya menjadi bahan utama yang memberikan sesuatu bubur/ pengat tersebut namanya tersendiri. Isi biasanya terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan bahan-bahan lain. Isi biasanya yang akan dimakan bersama kuah sebagai penambah rasa. 3) Bahan perasa - bahan perasa adalah yang memberikan bubur/ pengat rasa seperti gula Melaka, gula merah, garam, limau, dan halia. Biasanya bahan-bahan perasa ini juga memberikan aroma tambahan kepada bubur/ pengat. 4) Bahan tambahan - bahan tambahan merupakan bahan sokongan kepada isi utama bubur biasanya terdiri daripada biji sagu, tepung pulut, cha cha, atau buah-buahan.

Pengat pisang salah satu contoh penggunaan dalam juadah
 berasaskan buah-buahan

Hari ini jarang didapati bubur dengan resepi yang asli memandangkan bubur tersebut telah diubahsuai untuk memenuhi citarasa semasa. Memandangkan bahan-bahan tambahan lebih mudah didapati di pasaraya-pasaraya maka mudahlah untuk kita hari ini mengubah sendiri bubur/ pengat menjadikannya lebih sedap dan berkhasiat.

Biasanya bagi saya setiap bulan puasa saya akan menikmati bubur/ pengat ini semasa waktu berbuka dan sebahagian lagi akan dinikmati pada waktu malam sebagai santapan yang ringan. Bubur mudah dihadam disamping kurang mengandungi lemak menjadikan ianya sesuai walaupun dimakan sebelum waktu tidur. Hidangan bubur yang ringkas menjadikan ianya sesuai dinikmati ketika berbual bersama keluarga atau ketika melayari internet dan mengemaskini buku harian sebelum melelapkan mata.

Mungkin anda semua mempunyai bubur/ pengat kegemaran anda sendiri yang menjadi satu kemestian ketika bulan puasa. Apa yang penting resepi bubur-bubur ini sentiasa akan berubah mengikut peredaran semasa namum tidak akan hilang. Kongsikan pengalaman anda bersama kami mengenai bubur ini diruangan komen nanti ya.

Bubur kacang paling mudah dipelbagaikan dengan tambahan
durian, sagu, pulut dan sebagainya



Free Download



Ahad, 22 Julai 2012

Mengapa Perlu Susah-susah Untuk Juadah Ini; Dodol, Ketupat, Lemang dll.

Hi apa khabar? Awal-awal puasa ni kan semangat pastinya masih menyala-nyala untuk melalui sebulan ini dengan cemerlang sekali. Namun di sini saya ingin mengimbau kembali kenangan-kenangan lama yang biasanya begitu sinonim dengan bulan puasa. Seperti bermula awalnya puasa, kita dengan kesibukan sebolehnya menyediakan beberapa hidangan tradisi yang memeriahkan lagi susana berpuasa. Namun bila hampir kepenghujungnya nanti kemeriahan itu akan bertambah terasa dengan beberapa hidangan tradisi yang dahulunya hanya disediakan untuk menyambut hari raya sahaja.


Tahukah anda, dahulu beberapa juadah hanya dapat disediakan/ disimpan didalam bekas-bekas yang disediakan dengan menggunakan daun-daun atau buluh yang rasanya tidak terbanding dengan makanan yang disediakan di dalam bekas biasa (plastik, ayan, polystyrene, kertas dll..). Ini kerana bekas-bekas sedemikian bukan sahaja berfungsi sebagai bekas malah menambahkan aroma makanan tersebut. Selain dari itu ada beberapa perkara lain yang lebih menyeronokkan tentang penyediaan makanan ini. Mari sama-sama kita lihat.


Mungkin sebahagian kita masih ingat dodol yang disimpan di dalam bekas mengkuang. Hmm, seingat saya bekas tersebut biasa dianyam oleh arwah ibu. Mengkuang perlu melalui proses yang bukanlah mudah (kita hari ini takkan mampu melakukannya) dipotong, dilayur, dipotong mengikut saiz yang perlu, diremdam, dijemur, dilurut, dan dianyam. Haa, macam mana! sanggup ker nak buat bekas dodol dengan mengkuang ni?.. Begitulah kegigihan orang dahulu ya, untuk melakukan sesuatu perkara perlu melalui pelbagai rintangan. Mungkin itulah pendorong yang menjadikan orang tua kita kebanyakannya penyabar.

Selain itu ketupat juga merupakan makanan yang disediakan di dalam bekas menggunakan daun kelapa yang masih muda. Ketupat antara makanan yang sinonim dengan hari raya. Ketupat yang disediakan menggunakan daun kelapa pula mempunyai aroma tersendiri yang menjadikan ianya unik (berbeza sekali dengan ketupat segera yang dibungkus dengan plastik). Bagi menyediakan ketupat pula, seseorang perlu terlebih dahulu mempunyai kebolehan menganyam ketupat. Haa, bagus kan dulu-dulu bagaikan pepatah lama "kalau tak dipecah ruyung, mana nak dapat sagunya". Masakan sesuatu yang enak/ menarik dapat dinikmati tanpa terlebih dahulu mengusahakan sesuatu.

Berlainan pula dengan lemang (yang ini lebih popular). Penyediaan lemang memerlukan buluh sebagai bekas untuk memasak lemang. Jadi biasanya buluh ini perlu disediakan oleh kaum lelaki yang perlu mencari buluh ini di dalam hutan dalam masa yang sama akan mencari daun pisang. Kaum wanita pula akan menyediakan beras pulut, santan kelapa dan menyediakan lemang untuk di masak. Lemang akan dibakar dan dijaga bersama oleh lelaki dan perempuan. Isk! lain macam jer bunyinya kan.. tapi memang itulah yang berlaku ya. Secara tidak langsung penyediaan juadah-juadah sebegini perlu dilakukan secara bergotong-royong dan merapatkan lagi keakraban sesama ahli keluarga.

Selain dari makanan-makanan yang disebutkan di atas, banyak lagi makanan tradisi kita yang disediakan dengan cara yang sedemikian rupa. Bukan mudah bagi masyarakat dahulu untuk menikmati hidangan-hidangan seperti kita hari ini. Paling tidak kita akan membelinya dari kedai. Namun di situ banyak sekali pengajaran dan kebaikan yang kita perolehi kan! Di samping kesabaran dalam berusaha, kita juga merapatkan lagi hubungan seisi keluarga (malah masyarakat - bagi yang menyediakan dodol beramai-ramai misalnya).

Jadi macam mana dengan anda, apa kenangan anda mengenai juadah-juadah yang biasanya kita nikmati di bulan puasa dan juga menjelang hari raya ini.



Free Download



Khamis, 19 Julai 2012

Pengumuman Bulan Puasa 2012 - Kemeriahan Menyambut Bulan Puasa

Wah hari ni adalah hari dimana kita akan melihat anak bulan untuk menentukan mulanya bulan puasa bagi tahun 2012. Bagi yang tinggal di kampung (Bukit Rokan ni tak kurang juga) pasti hari ni antara hari-hari yang sibuk dalam menyediakan persiapan menyambut bulan puasa nanti.. hmm bagi yang tinggal di bandar tu pandai-pandai lah ya (setidak-tidaknya banyak kenangan yang masih segar dalam ingatan).

Jadi, yang sibuk dengan persiapan untuk membakar lemang dah tentu akan berdiang dengan api untuk satu hari ni. Berlainan pulak yang di dapur, yang menyediakan makanan rendang ayam, daging atau ada yang buat ketupat ker?.. (huhu dah lama tak makan ketupat original - asyik ketupat tiruan jer).. Bagi saya keluarga kecil yang tinggal beberapa kerat tak payahlah berangan nak masak lemang. Macam biasa tumpang-tumpanglah pada orang lain yang buat kan!.. itulah keistimewaan duduk di kampung.

Macam mana pun apa yang paling penting bulan puasa nanti dapat lalui dengan penuh bermakna. Maklumlah kalau persiapan nak menyambutnya sebegini meriah jangan nanti dipertengahan bulan puasa kita hilang minat nak teruskan berpuasa pulak ya. Apa pun saya turut gembira melihat generasi hari ini masih menunjukkan semangat dalam menyambut bulan puasa. Cuma berbeza dari segi keadaan dan bentuk persiapan yang dilakukan. Mungkin sebab hari ni agak mendung sepanjang hari!

Oh ya, lupa pulak sebelum tu saya nak share video ni sama-sama. Video ni saya pinjam dari blog lain (amboi.com). Di harap kita dapat sama-sama memanfaatkan video ini ya. Saya tak sempat nak sediakan video sendiri, jadi pinjam ajerlah..






Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya berpesan kepada semua supaya dapat sama-sama menjalani ibadah puasa dengan penuh keikhlasan. Semoga kita sama-sama dapat meraikan kemeriahan di hari raya nanti - InsyaAllah.


Free Download



Arkib Blog