Memaparkan catatan dengan label potensi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label potensi. Papar semua catatan

Ahad, 24 April 2016

Tanaman Pertanian Berpotensi Untuk Petani Malaysia

Kawasan sawah padi di Langkawi, Malaysia.

Malaysia sebuah negara yang subur dan paling menghijau di antara negara-negara lain di serata Asia Tenggara. Disebalik kehijauan dan potensi kesuburan tanah di Malaysia, hanya sekitar 24 peratus sahaja daripada kawasannya yang digunakan untuk pertanian. Keluasan ini jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya adalah lebih kecil.

Berikut adalah keluasan mengikut % keluasan negara (2011 – 2015) di beberapa negara di serata Asia Tenggara tidak termasuk Singapura dan Brunei.

  • Thailand – 43.3 %
  • Philippines – 41.7 %
  • Cambodia – 32.9%
  • Vietnam – 35.1 %
  • Indonesia – 31.5 %
  • Myanmar – 19.3 %

Sememangnya jumlah penduduk di Malaysia adalah jauh lebih kecil daripada negara-negara lain di sekitar Asia Tenggara. Namun memandangkan pembangunan Malaysia yang lebih stabil sebelum ini sepatutnya dapat membantu Malaysia menjadi antara negara yang menyumbang kepada kemajuan pertanian serantau tetapi sebaliknya Malaysia sendiri perlu mengimport keperluan beras untuk kegunaan sendiri.

Getah antara tanaman utama di Malaysia.

Selain daripada penghasilan beras, pembangunan pertanian lain juga agak perlahan menjadikan industri pertanian Malaysia adalah agak lembab, manakala pengusaha pertanian kecil-kecilan pula tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian kerana tidak berdaya saing.

Kembali semula kepada tajuk asal mengenai tanaman-tanaman pertanian yang berpotensi untuk petani Malaysia adalah merujuk kepada bahan tanaman yang diajukan oleh jabatan pertanian sendiri bagi memastikan ianya mempunyai potensi pasaran. Ini kerana tanaman-tanaman ini boleh dijadikan sampingan selain daripada beberapa tanaman utama negara selain getah dan sawit.

Kunyit mempunyai pasaran untuk isi dan daun.

Limau purut juga boleh dipasarkan sendiri oleh para petani.

HERBA : Serai Wangi, Ulam Raja, Hempedu Bumi, Peria Katak, Pegaga Sireh, Roselle, Nilam, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Jatropha (Jarak), Halia/Bara, Karas (Gaharu), Mengkudu, Moringa Oleifera (Kelor), Mas Cotek, Lidah Buaya, Dukung anak, Safed Musly.

REMPAH RATUS : Serai Makan, Cili padi/akar, Daun Limau Purut, Kayu manis, Vanilla, Pandan, Lengkuas, L. Kasturi, Lada Hitam, Limau Nipis, Kantan, Cili padi/akar, Pokok Kari, Asam Gelugor, Selasih, Pala, Kesum, Daun Kunyit.

Senarai di atas adalah beberapa tanaman berpotensi untuk dimajukan secara komersil dan para petani boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sendiri untuk memastikan hasil tanaman yang lebih berkualiti dan juga potensi pasaran.

Kebiasaanya para petani kecil-kecilan tidak mendapat maklumat tepat mengenai pasaran ataupun mempunyai keluasan tanaman yang tidak cukup untuk menampung permintaan minima bagi membolehkan hasil tanaman mereka dipasarkan. Masalah ini mungkin boleh dibendung sekiranya para petani telahpun mempunyai pasaran sendiri – ataupun bagi tanaman yang sentiasa mempunyai pasaran seperti serai, limau nipis, cili padi, kesum, daun kunyit dan tanaman dari jenis sayuran biasa. Namun masih memerlukan perancangan yang berhati-hati.

Cili padi mempunyai pasaran tempatan yang tinggi.

Rosselle tanaman berpotensi dengan perancangan yang teliti.

Jadi terdapat pelbagai faktor perlu dipastikan sebelum keputusan pilihan tanaman dibuat. Faktor saiz tanaman yang menguntungkan dan jumlah pelaburan yang boleh mendatangkan hasil merupakan kunci utama kejayaan sesuatu projek tanaman.

Para petani juga perlu membuat kajian mengenai tanaman mereka bagi mengenal pasti masalah tanaman yang mungkin dihadapi selain teknologi yang boleh membantu mengurangkan kos penyelenggaraan tanaman. Penggunaan mesin, pembajaan dan pengairan juga merupakan antara faktor yang membolehkan para petani menghasilkan pengeluaran yang menguntungkan.

Secara kasarnya, potensi pertanian di Malaysia adalah amat luas. Apa yang penting adalah perancangan berterusan dalam menghasilkan mutu pengeluaran yang baik dan usaha berterusan dalam mengembangkan hasil pengeluaran. Ini kerana sumber pertanian mempunyai permintaan yang tidak putus (namun memerlukan perancangan) dan Malaysia mempunyai kapasiti tanah pertanian yang luas untuk diusahakan.




Free Download



Isnin, 27 April 2015

Kuching oh Kuching


Sarawak River
Keindahan menyusuri Sungai Sarawak.

Kuching merupakan salah sebuah bandar yang menarik untuk dikunjungi, yang juga merupakan bandar utama bagi negeri Sarawak. Sebagai jalan masuk utama ke negeri ini, Kuching sudah semestinya menjadi tumpuan utama bagi para pelancong untuk singgah sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tempat-tempat lain yang menarik di seluruh Negeri Sarawak.

Pengalaman ringkas berkunjung ke Kuching memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang keindahan dan kemajuan Bandar Kuching. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak pentadbir negeri, bagi memastikan bandar istimewa ini sentiasa memberikan para pengunjung kepuasan seperti yang diharapkan ketika berada di sini.

Kepesatan Bandar Kuching pintu masuk ke Sarawak.

Keseluruhan Bandar Kuching sememangnya sudah tersedia prasarana yang lengkap untuk para pelawat mendapat kepuasan ketika melawat ke bandar ini. Sejak sekian lama, Bandar Kuching telah diperlengkapkan dengan pusat-pusat lawatan yang menarik dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti hotel, pusat penjaja, kemudahan pengangkutan udara, darat dan air, terutama bagi menyeberangi Sungai Sarawak yang merentasi tengah bandar ini.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tempat-tempat pelancongan sudah semestinya, Bandar Sarawak perlu berada di dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menyediakan pelancong-pelancong yang singgah di sini, satu pengalaman yang menarik samada sebelum meneruskan perjalanan atau sebelum pulang ke tempat masing-masing.

Muzium-muzium di sekitar Bandar Kuching

Komplek Tun Jugah di mana Muzium Pua Kumbu terletak.

Bandar Kuching menyediakan beberapa Muzium menarik untuk dikunjungi, daripada Muzium Negeri sehinggalah kepada Muzium Cina yang diselenggarakan sendiri daripada sumbangan orang ramai. Walaupun Muzium Negeri Sarawak mempunyai bahan pameran yang agak unik dan menarik, namun ianya agak hambar ketika saya mengunjunginya. Pada masa yang sama, dengan penutupan bangunan muzium-muzium lama, mengurangkan lagi tarikan yang ada di sini.

Satu lagi keunikan muzium di Bandar Kuching yang cuba dikunjungi adalah, Muzium Phua Kumbu yang terletak di Komplek Tun Jugah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sayang sekali muzium ini kurang diketahui oleh penduduk bandar ini sendiri. Manakala ia hanya dibuka pada hari biasa (Isnin-Jumaat) sahaja - agak mengecewakan bagi saya yang berkunjung pada hari minggu.

Civic Centre

Keindahan senibina Civic Center, hanya menjadi tatapan sahaja.

Bangunan yang memiliki senibina yang menarik ini direka bagi menyediakan ruang pandang 360° Bandar Kuching dari atas, sama seperti Menara Kuala Lumpur. Ia juga menyediakan pusat pameran Planetarium antara yang terawal di negara kita. Ia juga mengalami nasib yang sama iaitu, hanyalah tinggal kenangan. Pusat yang bukan sahaja menyediakan bahan pendidikan dan tarikan pelancongan ini, tidak lagi diberikan perhatian seperti mana yang sepatutnya.

Mujur masih terdapat beberapa tarikan yang masih bertahan dan mungkin tidak seceria seperti mana yang sepatutnya, seperti Kuching Water Front, Taman Orkid, My Village Baruk Restaurant, River Cruise, bangunan-bangunan lama dan mungkin beberapa tarikan lagi.

Amat dirasai pengalaman berjalan di hujung minggu di Kuching Water Front, tidak semeriah seperti di mana-mana pusat tumpuan pelancongan yang lain. Ini memberikan impak yang amat tinggi kepada para peniaga mahupun pengusaha-pengusaha lain yang mengharapkan pengunjung dari dalam dan luar negara.


Walaubagaimanapun kunjungan ke Kuching masih memberikan serba sedikit pengalaman menarik kerana banyak memberikan pengalaman baru. Adalah lebih baik lagi sekiranya, semua tarikan yang sedia ada dapat dikekalkan dan diperbaiki bagi memastikan para pengunjung merasa puas dengan kunjungan mereka disamping serba sedikit menjana pendapatan peniaga-peniaga di sekitar Bandar Kuching.


Free Download



Arkib Blog