Memaparkan catatan dengan label permata. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label permata. Papar semua catatan

Isnin, 18 Ogos 2014

Bagaimana Berlian Dipotong?

Diamonds
Berlian, bahan terpaling keras yang sentiasa menjadi buruan.

Berlian merupakan salah satu barang yang beharga menjadi buruan setiap orang bukan bagi wanita sahaja. Oleh kerana ia lebih dikenali sebagai barang untuk perhiasan ramai yang menyangka berlian hanya digunakan untuk membuat barangan perhiasan berbanding kegunaan lainnya. Semenjak sekian lama berlian digunakan untuk pelbagai kegunaan terutamanya melibatkan kerja-kerja kejuruteraan apabila sesuatu bahan yang keras diperlukan.

Proses pembentukan berlian memakan masa ribuan atau mungkin jutaan tahun di dalam perut bumi melalui proses semulajadi dengan haba dan tekanan yang tinggi. Walaupun secara dasarnya berlian adalah merupakan bahan yang terbentuk hanya daripada karbon – iaitu salah satu bahan yang terkandung di dalam hampir kesemua benda di permukaan bumi. Malah badan kita sendiri terdiri daripada 18.5% karbon.

Karbon memerlukan pemanasan sehingga 1,100 Celcius (2,000 Fahrenheit) untuk membentuk berlian. Suhu yang melebihi takat ini juga adalah terlalu panas untuk berlian terbentuk. Pembentukan berlian yang memakan masa berkurun-kurun lamanya dan kebanyakan berlian yang ditemui di permukaan bumi telahpun berusia jutaan atau berbillion tahun lamanya.

Penukaran Batu Menjadi Permata


Diamond raw
Rupa asal berlian sebelum dipotong dan digilap.

Kegemerlapan berlian bukanlah sekadar bergantung kepada kualiti berlian tersebut. Malah antara faktor lain yang benyak mempengaruhi kecantikan berlian adalah pemotongan batu permata tersebut. Teknik permotongan berlian turut menjadi antara perkara penting dalam menentukan berlian dapat ditukar menjadi batu permata yang bernilai tinggi. Sejak sekian lama teknik pemotongan berlian terus diperbaiki oleh pakar-pakar pemotongan batu permata dalam meningkatkan lagi kualiti perhiasan batu permata tersebut.

Pemotongan berlian dan pantulan cahaya.

Selain itu juga kualiti sesuatu berlian mempunyai unit ukuran tersendiri atau lebih dikenali sebagai 4C iaitu carat, clarity, color dan cut (karat – berat, kejernihan, warna dan pemotongan). Maka dengan itulah kaedah pemotongan berlian menjadi amat penting di mana ia berupaya untuk menambahkan lagi gemerlapan batu tersebut dengan memancarkan cahaya yang maksima kepada pemerhati.

Dengan perkembangan teknologi teknik pemotongan berlian dapat dikenalpasti dengan lebih tepat. Selain itu juga pemotongan perlu dilakukan dengan hati-hati bagi memaksimumkan berat batu berlian tersebut. Apa yang menimbulkan persoalan saya adalah, apakah yang digunakan untuk memotong bahan yang paling keras ini?

Diamond cuts
Beberapa jenis potongan yang popular.

Secara umumnya terdapat dua proses pemotongan berlian iaitu pemotongan secara kasar (proses pemotongan berlian kepada ketulan-ketulan yang lebih kecil). Manakala proses yang kedua adalah proses pemotongan membentuk berlian tersebut kepada batu perhiasan.

Proses yang pertama dilakukan dengan memecahkan batu berlian pada titik kelemahan batu berlian tersebut. Ini adalah proses yang sama digunakan untuk memecahkan batu-batu kepada ketulan-ketulan yang lebih kecil. Pemotongan seterusnya adalah proses penggilapan, yang akhirnya turut mengurangkan saiz batu permata ini. Ia merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan kemahiran dalam mendapatkan bentuk potongan yang sesuai.

Diamond heart
Pemotongan yang cantik memerlukan kemahiran dan ketelitian.

Sejak ratusan tahun dahulu, proses pemotongan batu berlian ini dilakukan dengan menggunakan pemotong berlian. Apa yang menarik, ia juga menggunakan sebuk berlian (diamond dust). Proses menggilap perlu dilakukan dengan memastikan pisau pemotong tersebut sentiasa dibasahi dengan minyak zaitun (bagi mengelakkan ia menjadi panas dan rosak).

Selain itu juga alat pemotong yang menggunakan ‘diamond dust’ ini juga turut digunakan untuk dalam industri untuk pemotongan bahan keras seperti logam, asphalt, simen dan lain-lain bagi mempercepatkan proses pemotongan. Malah di dalam industri semiconductor juga ia turut digunakan sebagai bahan pemotong.

Bahan Terpaling Keras


Skala Mohs digunakan untuk mengukur kekerasan sesuatu bahan terutamanya mineral. Nama tersebut adalah bersempena nama seorang saintis mineral German, Friedrich Mohs. Skala tersebut adalah dibaca seperti berikut mengikut turutan dari lebut ke keras.

  1. Talkum – mudah dihancurkan dengan menggunakan kuku.
  2. Gypsum – dihancurkan dengan cakaran kuku.
  3. Calcite – boleh dicalarkan dengan kepingan koin tembaga.
  4. Flourite – tidak calar dengan koin tembaga, dan tidak mencalarkan kaca.
  5. Apatite – mencalarkan kaca, manakala boleh dicalarkan oleh pisau.
  6. Orthoclase – mencalarkan kaca dengan mudah, dan hanya boleh dicalarkan dengan kikir.
  7. Quartz (amethyst, citrine, tigereye, aventurine) – tidak boleh dicalarkan dengan kikir.
  8. Topaz – hanya boleh dicalarkan oleh corundum dan berlian.
  9. Corundum (sapphire dan ruby) – hanya boleh dicalarkan oleh berlian.
  10. Berlian – hanya boleh dicalarkan oleh berlian yang lain.


Menggunakan skala ini tiada bahan asli di bumi yang mampu mencalarkan berlian. Bagaimanapun baru-baru ini terdapat terdapat bahan yang dihasilkan secara sintetik untuk menghasilkan bahan yang melebihi kekerasan berlian. Jadi bahan ini digunakan untuk tujuan industri bagi tujuan pemotongan seperti juga berlian di mana ia boleh dihasilkan dengan harga yang jauh lebih murah.


Maka dengan ini dapatlah kita mengetahui dengan lebih lanjut keistimewaan dan cerita disebalik berlian yang amar berharga. Disamping proses pembentukannya yang amat kompleks juga penggunaannya yang pelbagai – sememangnya ia amat berharga. Namun begitu manusia sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka dan mencipta bahan yang dapat memberikan manfaat sama seperti berlian. Menarik kan!..


Free Download



Arkib Blog