Memaparkan catatan dengan label penyamaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyamaran. Papar semua catatan

Isnin, 22 Jun 2015

Keunikan Ikan Sebelah (flounder)

Ikan sebelah mahir dalam penyamaran.

Ikan sebelah sememangnya berbeza dengan ikan-ikan yang lain, kerana kedua-dua belah matanya berada pada bahagian yang sama dan sebelah lagi badannya akan menjadi bahagian bawah ikan ini. Ikan sebelah terbahagi kepada beberapa spesies utama diantaranya diberi nama ‘flounder’ dan sekumpulan lagi adalah ‘plaice’, selain nama umumnya yang dipanggil sebagai ‘flatfish’.

Ikan-ikan sebelah memburu di perairan cetek dan ia amat digemari oleh para pemancing kerana sering memakan umpan, dan ini memberikan peluang untuk pemancing baru peluang mendapat ikan yang lebih besar. Ikan-ikan ini boleh menyusuri sungai yang masuk ke laut dan masuk ke perairan air tawar, jadi mungkin ada kalanya ikan ini boleh di pancing di sungai berhampiran kuala juga.

Kedudukan mata yang berubah hanya pada sebelah bahagian sahaja.

Apa yang menarik, ikan ini mempunyai mata pada kedua-dua belah seperti juga ikan-ikan lain apabila menetas dari telurnya. Mata ini kemudiannya akan bergerak ke sebelah yang dijadikan sebagai bahagian atas ikan tersebut (semasa proses metamorphosis) – dan ini mengikut spesies ikan-ikan ini. Ikan-ikan sebelah akan membaringkan dirinya di atas lantai laut di mana ia juga akan menyamarkan diri sama seperti persekitarannya seperti mana yang dilakukan oleh sesumpah dan sotong untuk tujuan perlindungan, mahupun mengelirukan mangsanya. - haiwan-haiwan bertukar warna.

Terdapat lebih banyak spesies ikan sebelah di Eropah, terutamanya ‘flounder’, selain ‘plaice’ yang juga terdapat di bahagian-bahagian lain seperti di Amerika, Alaska dan juga perairan Utara Pacific di lautan Bearing sehingga ke Jepun dan Korea. Terdapat juga spesies yang mendiami bahagian laut tropika dan kadang kala turut menjadi tangkapan nelayan-nelayan di pesisir pantai.


Ikan sebelah mudah memakan pancing.

Ikan-ikan sebelah amat popular, terutama di perairan di sekitar United Kingdom dan ia mungkin memerlukan kemahiran untuk menentukan spesies ikan-ikan ini antara satu sama lain. Ikan-ikan ini termasuklah plaice, flounder, dab dan dover sole (anda boleh membuat rujukan perbezaan mereka di sini). Oleh kerana ia tidak tersenarai sebagai ikan yang terancam, maka ia sering menjadi tumpuan pemancing.

Ikan-ikan flounder boleh berenang jauh ke hulu sungai dan adakalanya boleh dijumpai sehingga ke Switzerland. Ia juga di dapati di Amerika Utara di mana ia bukan merupakan spesies asal di kawasan tersebut. Di Amerika Utara ia boleh dijumpai sehingga ke perairan Great Lakes. Ikan-ikan ini dikatakan menumpang bahagian ballast kapal-kapal yang menyeberangi Atlantik sehingga ke perairan Amerika Utara, namun begitu ia tidak menjadi spesies yang mengancam hidupan asal kawasan tersebut.


Apabila bersembunyi ikan sebelah sukar dikesan.

Ikan-ikan sebelah merupakan spesies ikan pemburu yang memakan haiwan-haiwan kecil terdiri daripada ikan, crustaceans, polychaetes (cacing laut) dan juga haiwan-haiwan kecil yang lain. Memburu di perairan cetek, ikan sebelah boleh berenang hingga ke bahagian yang hanya beberapa inci dalam berhampiran pantai. Walaupun ia sukar dikesan oleh kerana teknik penyamarannya yang baik, adakalanya ia menjadi mangsa helang yang dapat mengesan pergerakannya di dalam air.

Saiz ikan ini berbeza-beza mengikut spesies dan saiz flounder yang biasa adalah sekitar 12.5 – 37.5 centimeter (4.9 – 14.8 in) dan boleh mencapai sehingga 60 centimeter (24 in) dengan berat 1 lb. (0.45 kg). Namun begitu berat flounder yang pernah ditangkap di UK adalah seberat 5 lb  7 oz (2.57 kg). Manakala berat yang mampu dicapai oleh ikan ini di ladang adalah sehingga 14 kg.

Terdapat banyak spesies ikan sebelah yang mendiami perairan di seluruh dunia. Bagi spesies flounder sahaja terdapat 6 spesies utama yang menjadi spesies penting dalam industri perikanan antaranya adalah;

Barat Atlantik
Gulf flounder - Paralichthys albigutta
Southern flounder - Paralichthys lethostigma
Summer flounder (juga dikenali sebagai fluke) - Paralichthys dentatus
Winter flounder - Pseudopleuronectes americanus

Perairan Eropah
European flounder - Platichthys flesus

Barat Laut Pasifik
Olive flounder - Paralichthys olivaceus

Begitulah antara keunikan ikan sebelah dan spesies-spesiesnya yang sebelum ini mungkin kurang diketahui. Disebalik fizikalnya yang berbeza, ia juga terkenal dengan kebolehan penyamaran yang unik. Bagi mengenali nya dengan lebih lanjut, anda bolehlah membuat tinjauan sendiri dari laman-laman web yang lain.

Rujukan:
  1. Wikipedia – flounder
  2. Wikipedia – plaice
  3. a-z-animal.com
  4. britishseafishing.co.uk
  5. fishwatch.gov

Free Download



Rabu, 8 April 2015

Keistimewaan Telur Burung

Bird eggs
Telur burung mempunyai keunikan dari segi rupa bentuk dan warna. Photo by: Link

Rupa bentuk, warna dan saiz telur-telur burung amat berbeza di antara satu spesis dengan spesis yang lain. Banyak perkara yang mempengaruhi fizikal telur-telur burung ini bagi memenuhi fungsinya supaya bersesuaian dengan gaya hidup dan persekitaran sesuatu spesies.

Bentuk, warna dan ketebalan cengkerang amat penting bagi memastikan telur-telur burung berada dalam persekitaran yang selamat (sehingga anak burung berjaya menetas). Bentuk telur yang sedikit bujur dan tirus sebenarnya dapat mengelakkan telur mengolek jauh dari tempat asalnya. Manakala warna telur-telur burung ini biasanya mempunyai corak yang mengelakkan ianya daripada mudah dikesan musuh.

Itu adalah fungsi asas telur-telur burung dan jika dilihat dengan lebih teliti setiap spesies mempunyai ciri-ciri telur yang unik seperti berikut;

African Jacana (Actophilornis africanus)

Burung yang tinggal di pesisir pantai ini mempunyai sarang yang di buat di atas air. Sarangnya yang diperbuat daripada rumput yang agak ringkas ini mudah tenggelam apabila burung ini mula naik ke sarang seterusnya menenggelamkan telur-telurnya ke dalam air. Antara keistimewaan telur burung ini adalah, ianya kalis air.

Fork-tailed Storm-petrel (Oceanodroma furcata)

Berbeza pula dengan burung yang mendiami bahagian dingin Alaska ini, telur-telurnya perlu bertahan bagi persekitaran cuaca sejuk yang panjang. Ini kerana burung-burung ini juga akan meninggalkan sarangnya untuk tempoh masa yang agak lama untuk mendapatkan makanan. Selain daripada mampu bertahan dalam suhu dingin yang tinggi, tempoh pengeraman telur boleh dilewatkan sekiranya ibu burung terlalu banyak meninggalkan sarang.

different types of eggs
Telur-telur pelbagai jenis. Photo by: thegraphicsfairy.com

Common Murre (Uria aalge)

Burung ini pula mendiami cerun-cerun tinggi di pesisir pantai. Selain daripada bertelur tanpa sarang telur-telur mereka juga adalah terletak terus di atas pasir dan batu. Bentuk bujur tirus telur inilah yang mengelakkan ia daripada bergolek jauh dari tempat asalnya.

Satu lagi keistimewaan telur burung ini adalah kulitnya amat kalis kepada air supaya ianya mudah dibersihkan. Apabila percikan air mengenai kulitnya ia akan turut membawa kotoran yang terlekat pada permukaan telur ini.

Malleefowl (Leipoa ocellata)

Berbeza dengan kebanyakan burung lain yang mengeramkan telurnya burung ini pula menimbuskan telur-telur mereka seperti penyu untuk membantu telur supaya berada dalam keadaan yang panas untuk menetas. Bagi memastikan telur ini boleh bernafas, telur ayam ini mempunyai cengkerang yang nipis dan liang-liang udara yang lebih besar.

Selain daripada itu juga telur burung ini mempunyai saiz yang agak besar (berbanding saiz burung ini). Oleh kerana anak yang telah menetas akan mencari makanan sendiri tanpa pengawasan induknya, anak-anak ini perlu berada dalam keadaan yang betul-betul kuat. Jadi telur burung ini sebenarnya mengandungi bahagian kuning (yolk) yang banyak untuk memastikan tumbesaran anak burung yang kuat.

Hoopoe (Upupa epops)

Burung hoopoe pula membina sarang nya di dalam lubang-lubang kayu. Setelah bertelur burung ini akan menyaluti telur-telurnya dengan cecair melekit berwarna coklat. Bakteria yang terkandung di dalam lendiran tersebut akan menghasilkan protein anti-mikrob yang mengelakkan telur ini dijangkiti sebarang jangkitan. Telur-telur ini juga mempunyai kawah-kawah kecil bagi membolehkan lendiran melekat dengan sempurna.

Black Tern (Chlidonias niger)

Burung ini membina sarangnya menggunakan pepohon/dedaun yang lembab (tinggal di kawasan berair) yang terapung. Oleh kerana kelembapan yang tinggi telur-telur burung perlu mengurangkan sedikit kelembapannya iaitu sekitar 15%. Untuk itu telur burung ini mepunyai liang yang lebih berbanding dengan telur jenis burung yang sama yang bertelur di tanah yang kering.

Gorund Bird's eggs
Telur burung di atas tanah mudah menjadi sasaran musuh. Photo credit: Wordpress.com

Japanese Quail (Coturnix japonica)

Burung ini akan mencari persekitaran yang mempunyai persamaan dengan corak telurnya nanti. Bagi memastikan telurnya sukar dikesan, burung betina akan memastikan persekitaran tempatnya bertelur dapat mengelakkan telurnya dilihat dengan mudah. Jadi burung ini perlu mengetahui corak telurnya sendiri sebelum bertelur!

Great Tinamou (Tinamus major)

Burung ini mempunyai kaedah yang lebih pelik. Selain daripada mempunyai telur yang berwarna lebih terang dan berkilat dari burung itu sendiri. Ia adalah spesies burung yang bertelur di atas tanah. Burung ini akan bertelur pada sarang yang sama – dengan jumlah telur yang lebih banyak dari biasa (kebiasaan seekor burung) – ini kerana kebiasaannya musuh tidak akan dapat menghabiskan keseluruhan telur-telur itu.

Ostrich (Struthio camelus)

Burung unta mempunyai telur yang amat besar dan juga cengkerang yang tebal dengan bentuk yang agak bulat. Kulit cengkerangnya yang tebal membolehkan seorang lelaki dewasa berdiri di atasnya. Selain itu juga telur burung ini berwarna putih terang – membuatkan ia mudah kelihatan di atas tanah. Namun begitu ia dapat memantulkan panas terik matahari di kawasan gurun di mana kawasan Ostrich tinggal.


Ya, begitulah beberapa keistimewaan telur-telur burung yang dapat dipaparkan. Malah terdapat banyak lagi keistimewaan yang perlu dipelajari dari setiap haiwan-haiwan ini yang mungkin dapat disampaikan pada masa-masa akan datang.


Free Download



Sabtu, 4 April 2015

Haiwan-haiwan Bertukar Warna

chameleon
Selebriti yang paling terkenal dalam dunia 'camouflage'.
(Credit: Michel C Milinkovitch)

Keunikan haiwan yang mampu menukar warna samada mengikut persekitaran mahupun dalam berhadapan dengan sesuatu situasi amat menarik untuk diperhatikan. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari haiwan-haiwan ini dan manfaatnya kepada manusia di masa-masa akan datang.

Jika diperhatikan dengan terperinci, terdapat banyak haiwan yang mampu menukar penampilan mereka dalam berhadapan dengan sesuatu situasi. Selain daripada bertukar warna, haiwan seperti kumpulan sotong (cephalopod) menukar fizikal mereka yang akan menyerupai persekitaran. Haiwan-haiwan lain pula akan menukar warna bulu-bulu mereka mengikut musim.

Kepantasan haiwan-haiwan ini bertukar warna juga berbeza-beza mengikut spesies. Sotong antaranya merupakan haiwan yang mampu menukar warna dan fizikalnya dengan pantas sekali. Manakala sesumpah (chameleon) akan mengambil masa beberapa minit untuk bertukar (atau lebih pantas). Berbeza pula dengan haiwan-haiwan seperti ‘ptarmigan dan ‘snowshoe hare pula akan bertukar mengikut musim - kitaran empat musim.

Maka dengan itu, kemahiran bertukar warna dan fizikal ini merupakan salah satu ciri-ciri yang dimiliki oleh banyak hidupan di bumi. Walaupun dengan kaedah yang berbeza, namun tindakan menukar fizikal dan rupa ini adalah satu kemahiran penting di dalam alam terutamanya bagi haiwan yang bersaiz kecil dan sederhana. Tanpa kemahiran ini adalah sukar untuk mereka dalam mendapatkan makanan atau mengelakkan diri dari ancaman musuh.

Berikut adalah beberapa jenis haiwan yang boleh bertukar warna;

Sesumpah – terdapat banyak jenis sesumpah (chameleon) yang boleh hidup di kawasan bersuhu panas dari Afrika, Madagascar, Selatan Eropah, Selatan Asia sehingga ke Sri Lanka. Ia berbeza dengan spesies cicak kecil yang juga boleh bertukar warna yang dikelaskan sebagai anoles – namun ia juga dikenali oleh masyarakt tempatan (Malaysia) sebagai sesumpah.

Cuttlefish
Sotong merupakan haiwan yang paling mahir menukar warna dan fizikal.

Sotong – sotong terdiri dari satu kumpulan pelbagai spesies yang besar dikenali sebagai Cephalopod – ini termasuklah octopus, squid dan juga cuttlefish (nama umum bagi kesemua spesies ini adalah sotong bagi masyarakat Malaysia). Bagi haiwan-haiwan ini pula, kemahiran mereka dalam menukar warna dan fizikal menyerupai persekitaran adalah amat hebat sekali. Pertukaran ini mengambil masa amat singkat dengan kesan yang paling efektif. Selain untuk berburu, pertukaran warna ini juga sering digunakan dalam berinteraksi antara mereka.

Flounder
Ikan 'flounder' dan persekitaran yang sama.

Ikan – terdapat juga jenis-jenis ikan yang boleh menukar warna mereka antaranya adalah ikan sebelah (flounder) dan juga ikan dari kumpulan acanthuridae yang mendiami kawasan terumbu karang. Ikan flounder memburu di perairan cetek dan kemahirannya menukar warna membantunya untuk memburu dan daripada dilihat dengan mudah oleh musuh – namun begitu ia sering menjadi mangsa kepada burung helang.

Burung – Burung dari  spesies ptarmigan juga bertukar warna mengikut musim. Oleh kerana ia tidak berpindah seperti brurung-burung lain, kemahirannya menukar penampilannya mengikut persekitaran ini membantu untuk ptarmigan terus mendapat makanan dan perlindungan.

Snowshoe hare
Snowshoe hare pada musim sejuk.

Mamalia – bagi sesetengah mamalia kecil seperti snowshoe hare, Alaskan hareArctic hare dan juga stoat mengubah warna bulu mereka seperti juga ptarmigan untuk menyerupai persekitaran yang putih pada musim sejuk. Perubahan ini penting bagi mengelakkan ia mudah dikesan dalam persekitaran yang memudahkan mereka untuk dilihat.

Amfibia – beberapa jenis katak juga mempunyai kemahiran menukar warna dan yang paling dikenali adalah gray tree frog. Berbeza dengan katak-katak lain, ia menghabiskan masa berada di atas pokok. Oleh kerana terdedah kepada pemangsa – kemahiranya bertukar warna amat membantu untuk mengelakkan serangan musuh.

Golden tortoise beetle
Kepelbagaian warna 'golden tortoise beetle'.

Serangga – selain daripada kumpulan hidupan yang disebutkan di atas. Serangga juga tidak ketinggalan dalam memiliki kemahiran menukar warna ini. Terdapat beberapa spesies labah-labah dan juga kumbang yang boleh bertukar warna. Serangga seperti golden tortoise beetle misalnya mempunyai keunikan bertukar warna mengikut musim atau apabila diganggu.


Jadi itulah dia sebahagian daripada hidupan yang mempunyai kemahiran dalam menukar warna dan fizikal mereka untuk pelbagai tujuan. Sekiranya anda rasakan ia merupakan kemahiran yang hanya dimiliki oleh segelintir hidupan sahaja, maka dengan ini dapat menambahkan lagi pandangan anda kepada skop yang lebih luas. Walaupun sesumpah merupakan haiwan yang paling popular dalam dunia penukaran warna – kumpulan sotong masih lagi merupakan juara dalam pertandingan ini.








Free Download



Isnin, 12 Mei 2014

Keunikan Hidupan Laut Sotong Kurita

Octopus atau sotong kurita
Sotong kurita atau lebih dikenali sebagai 'Octopus'.

Sotong kurita sedikit berbeza daripada sotong biasa. Nama yang diberikan kepada sotong jenis ini adalah ‘octopus’ manakala sotong biasa ‘squid’. Namun begitu kedua-dua jenis sotong ini memiliki banyak persamaan dari segi kebolehan mereka, tetapi sotong kurita mempunyai sedikit kelebihan dan keunikan tersendiri.

Sotong kurita memiliki lapan lelengan yang dipenuhi dengan ‘cup’ penyedut dan dari sinilah ia mendapat namanya ‘octo’ yang bermaksud lapan. Lelengan ini membantu sotong untuk menangkap mangsanya, bergerak, memegang sesuatu dan melakukan pelbagai aktiviti yang anda tidak menyangka dapat dilakukan oleh seekor sotong kurita yang kecil.

Penyamaran sotong kurita
Sotong sangat mahir dalam penyamaran dan ianya amat pantas.

1) Sotong kurita adalah haiwan yang aktif dan perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkannya menjadi bosan. Suasana yang tidak memberangsangkan akan menyebabkan sotong menjadi murung dan tidak terkawal. Sotong yang tinggal di kawasan-kawasan yang membosankan adakalanya akan memakan tangannya sendiri – akibat kebosanan.

2) Sotong juga mempunyai racun. Dikatakan kesemua sotong kurita mempunyai racun tersendiri dengan kekuatan yang berbeza-beza. Kebanyakan racun tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Tetapi sotong kurita dari jenis ‘blue-ringed’ boleh mengakibatkan seseorang lumpuh dalam masa beberapa minit sahaja – dan sotong ini amatlah kecil.

blue ringed octopus
Blue ringed octopus mempunyai gigitan yang boleh membawa maut.

3) Kemahiran menggunakan peralatan: Penggunaan peralatan ini sebagai contoh adalah menggunakan bahan lain untuk kegunaannya seperti sejenis sotong kurita yang didapati menggunakan tempurung kelapa yang dibawa kemana-mana sebagai tempat persembunyiannya. Sotong tersebut adalah dari jenis Amphioctopus marginatus. Perkara ini dinyatakan oleh seorang pengkaji Julian Finn, seorang pengkaji biologi marin daripada Museum Victoria, Australia.

Walaupun terdapat hidupan lain yang melakukan perkara sama seperti chimpanzee atau ikan lumba-lumba namun ia perkara yang tidak dijangka dilakukan oleh sotong kurita. Berbeza dengan umang-umang kerana ia adalah perlakuan secara semulajadi spesis tersebut.

4) Kemahiran membuka botol merupakan antara kemahiran sotong kurita yang paling dikagumi. Ini kerana ia memerlukan kemahiran menentukan arah bukaan. Kemahiran ini ditunjukkan oleh seekor sotong di  Seattle Aquarium yang dinamakan Billye. Ia mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya membuka botol tersebut. Malah baru-baru ini sotong kurita juga dikatakan dapat membuka botol di mana ia diletakkan di dalam botol tersebut, dan ia membukanya dari dalam.

5) Antara keunikan sotong dan sotong kurita adalah kemahiran penyamarannya yang amat pantas. Ia hanya memerlukan kira-kira 0.3 saat untuk menukarkan dirinya merupai benda-benda lain yang berada di dalam laut seperti rumpai laut atau batu. Anda boleh mencari video-video penyamaran sotong-sotong ini – ia amat menarik.

Mimic octopus mempunyai kemahiran penyamaran yang paling tinggi.

6) Sotong kurita mempunyai usia yang singkat. Usia sotong-sotong ini adalah di antara beberapa tahun dan ada di antaranya yang hanya mencapai usia hanya enam bulan sahaja. Namun begitu mungkin ada spesis yang masih belum ditemui seperti hidupan laut dalam yang lain? Ia cuma satu andaian saya sahaja – kerana hanya baru-baru ini sahaja semakin banyak maklumat baru yang dikongsi kepada masyarakat umum dunia seperti penemuan sotong gergasi, burung terbesar, dan juga ikan duyung!.. ya ikan duyung. Cuma kita masih menantikan bukti-bukti yang lebih kukuh untuk menyatakan kewujudan spesis ini.

7) Cup penyedut pada lelengan sotong adalah yang paling baik dan sangat sensitif. Dikatakan terdapat hampir 240 penyedut pada satu lengan sotong kurita biasa dan setiap satunya berfungsi secara berasingan. Bagi cup penyedut yang besar mempunyai kekuatan untuk memegang beban seberat 35 lbs. Cup-cup penyedut ini juga dapat mengesan kandungan kimia secara berasingan dan masih mampu menyedut apabila ianya dikuncupkan sedikit.

Sekiranya anda pernah melihat artikel mengenai sotong gergasi anda akan mendapati kesan cengkaman sotong tersebut melalui cup penyedutnya pada kulit ikan paus yang tebal.

8) Seperti yang dinyatakan sebelum ini sotong kurita memerlukan persekitaran yang memberangsangkan ini kerana sifatnya yang suka bermain. Sotong kurita yang berada di dalam aquarium didapati menggunakan penutup botol yang diletakkan berhampiran air yang mengalir ke dalam aquarium tersebut secara berulang-ulang sama seperti permainan bola yang dilantunkan – seperti yang diperhatikan oleh seorang saitis dan melaporkannya di dalam “Octopus!”

Flapjack octopus
Flapjack octopus merupakan spesis sotong laut dalam yang unik. artikel Flapjack.

Begitulah antara keunikan spesis sotong kurita secara ringkasnya. Mungkin ada di antara spesies tersebut yang mempunyai keistimewaan tersendiri seperti ‘blue-ringed’ yang hanya mempunyai racun bagi spesies tersebut sahaja.


Keunikan haiwan-haiwan seperti ini adakalanya dapat membantu manusia untuk mengaplikasikannya dalam mereka cipta barangan keperluan seharian, ketenteraan dan sebagainya. Ya daripada sotong seperti yang kita ketahui ‘cup’ penyedut telah lama digunakan untuk memegang benda-benda yang dilekatkan pada permukaan rata seperti pada cermin atau dinding marmar bilik air. Teruskan memerhati!



Free Download



Arkib Blog