Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan

Khamis, 14 April 2016

Auto-brewery Syndrome Menyebabkan Anda Mabuk Tanpa Menyentuh Alkohol

Auto-brewery Syndrome menyebabkan seseorang mabuk tanpa menyentuh minuman beralkohol.

Mungkin sukar untuk menerima kenyataan apabila seseorang mabuk tanpa menyentuh sebarang bahan makanan atau minuman yang boleh memabukkan seperti minuman beralkohol. Namun ia adalah salah satu perkara yang boleh berlaku dan dipanggil Auto-brewery Syndrome.

Auto-brewery Syndrome adalah disebabkan kehadiran yis didalam saluran pencernaan makanan seperti Saccharomyces cerevisiae yang boleh menukarkan gula daripada bahan makanan kepada ethanol yang menjadi punca mabuk kepada seseorang.

Penghidap kesan ini akan mengalami kesan sama seperti orang yang mabuk daripada mengambil alkohol dengan kesan-kesan seperti sakit kepala, mulut kering, mabuk, hilang keseimbangan, ganguan perut dan juga keletihan. Kesan-kesan lain yang disebabkan oleh masalah ini adalah tekanan, keresahan serta menyebabkan kesan penurunan produktiviti di tempat kerja. Ini kerana kesan syndrome ini boleh berlaku pada bila-bila masa.


Makanan berkarbohidrat menjadi makanan yis dan menghasilkan alkohol.

Bakteria dan Yis di dalam sistem percernaan manusia.

Biasanya penghidap penyakit ini akan menjadi lebih tertekan sekiranya ia tidak mendapat sokongan daripada orang sekeliling, kerana adalah sukar mempercayai seseorang boleh menjadi mabuk tanpa menyentuh sebarang minuman yang memabukkan. Namun terdapat beberapa kes yang berlaku sebelum ini dan kisah ini telah mula mendapat pemahaman orang ramai.

Seseorang yang menghidapi syndrome ini perlu mengelakkan atau mengurangkan pengambilan makanan yang berkanji atau gula. Ini kerana bahan ini akan menyebabkan yis/Candida di dalam usus menukarkannya kepada ethanol. Namun begitu penghidap masih boleh mengambil makanan seperti daging, ikan, sayuran, kekacang dan biji-bijian lain.

Walaupun jarang berlaku, “auto-brewery syndrome” boleh mendatangkan kesan yang serius apabila tidak dirawat seperti keracunan alkohol ataupun methanol dan ia boleh membawa maut. Selain daripada itu seseorang pengidap juga perlu berhati-hati daripada mengendalikan jentera merbahaya ataupun lain-lain kerja yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.


Nick Hess merupakan antara beberapa penghidap 'auto-brewery syndrome' yang dikenal pasti.

Manakala bagi kita yang sihat pula perlulah berhati-hati dalam mengambil makanan. Ini kerana yis/Candida merupakan fungus yang biasa terdapat di dalam usus kita. Pengambilan makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis dapat mengelakkan perkembangan yis berbanding sekiranya kita mengambil makanan yang hanya terdiri daripada bahan berkarbohidrat sahaja seperti nasi, roti, kek, pasta, pizza, kentang dan ubi kayu.


Begitu juga sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah ini, sila berikan sokongan kerana ia adalah lebih membantu.






Free Download



Sabtu, 16 Januari 2016

Misteri Kehilangan Katak

Kumpulan katak-katak kecil yang cantik tetapi beracun.

Misteri kehilangan katak mungkin tidak menarik perhatian ramai, namun sekiranya anda mengetahui kepentingan dan hubungkait antara haiwan di dalam ekosistem, ia mungkin sedikit sebanyak merisaukan. Jadi katak juga mempunyai fungisnya tersendiri, selain mengawal populasi serangga, ia sendiri menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti ular, burung, kucing, biawak dan juga manusia!

Misteri kehilangan katak dilaporkan sejak beberapa tahun yang lalu. Di mana populasi sebahagian katak semakin berkurangan sehingga ke tahap mencapai kepupusan. Kehilangan katak ini lebih ketara bagi spesis-spesis yang jarang ditemui seperti di hutan-hutan tanah tinggi di pergunungan Andes, dan Amazaon di Amerika Selatan. Punca sebenar kehilangan katak ini cuba dikesan bagi mengelakkan ia dari terus pupus. Aktiviti manusia dikatakan menjadi punca utama daripada kepupusan haiwan amfibia ini, namun punca sebenar yang lebih menakutkan adalah – serangan penyakit.


Spesis blue dart frog ini memang beracun - digunakan pada jarum sumpit. 

Satu lagi spesis katak 'Red-backed poison frog'.

Serangan penyakit yang disebabakan oleh jangkitan dari Batrachochytrium dendrobatidis, atau ‘chytrid fungus’ juga dikenali dengan nama singkatan sebagai Bd menyebabkan penyakit ‘chytridiomycosis’ pada haiwan amfibia. Ia mula dikesan semenjak tahun 1998 dan dikesan hampir di seluruh dunia. Spesis terbaru yang dikesan adalah, B. Salamandrivorans yang menyebabkan ‘chytridiomycosis’ dan kematian pada salamander.

Fungus ini menjadikan kulit haiwan amfibia sebagai tempat untuk ia hidup dan membiak melalui dua peringkat iaitu pegun (sessile), peringkat penghasilan zoosporangium dan juga bergerak (motile), apabila ia dibebaskan daripada zoosporangium. Dalam proses pembiakan inilah fungus ini menjadikan kulit amfibia  sebagai sumber nutrient baginya dengan membebaskan enzimes yang menghadamkan kulit haiwan itu. Proses ini boleh menyebabkan cyst di bawah kulit katak dan lama-kelamaan mengakibatkan kematian pada katak.


Spesis katak kaca yang boleh dilihat tembus.

Antara katak-katak unik yang mendiami hutan.

Penyakit dan jangkitan merupakan antara penyumbang utama kepada kepupusan haiwan selain daripada aktiviti manusia. Ini kerana kita secara tidak langsung menyebarkan jangkitan ini  tanpa disedari seperti memindahkan sesuatu spesis ke tempat baru dan sebagainya. Sebelum ini kita juga digemparkan dengan misteri kehilangan lebah yang disebabkan serangan oleh sejenis hama Varroa destructor yang juga menyebabkan kematian populasi lebah yang besar. Malah kejadian yang sama boleh menimpa spesis yang lebih besar seperti antelope, saiga dan kudu (disebabkan oleh pelbagai faktor semulajadi).


Kefahaman mengenai kejadian ini memudahkan untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang. Kehilangan sesuatu spesis secara mendadak boleh mengakibatkan kesan yang serius – termasuk kita sendiri kehilangan bahan makanan. Alam sentiasa mencari jalan untuk mengimbangkannya semula, namun manusia hanyalah sebahagian dari spesis yang hidup di dalamnya. Fikir-fikirkan.



Free Download



Rabu, 10 Jun 2015

Misteri Kehilangan Lebah

Lebah merupakan ejen pendebungaan penting.

Berita mengenai kehilangan lebah sering diketengahkan memandangkan kepetingan serangga ini sebagai ajen pendebungaan yang memastikan sektor pertanian yang juga membekalkan sumber pemakanan kepada manusia tidak terjejas. Banyak teori-teori yang dikeluarkan berkenaan dengan perkara ini, namun tiada bukti yang kukuh bagi menyokong kebenaran dakwaan mereka. Apakah sebenarnya yang menyebabkan kehilangan serangga penghasil madu ini hilang?

Seperti juga hidupan-hidupan yang lain, lebah juga mempunyai musuh semulajadi atau dikenali sebagai parasit bagi serangga ini. Mungkin banyak perkara yang masih belum kita ketahui mengenai serangga ini sehingga kajian terperinci dijalankan mengenai kejadian sebenar yang menyebabkan semakin banyak lebah hilang atau mati.

Kematian besar-besaran lebah akibat serangan penyakit.
Kejadian yang menimpa serangga ini adalah disebabkan fakor-faktor semulajadi – iaitu serangan parasit dan penyakit. Parasit yang terdiri daripada hama dan juga fungus yang boleh menyebabkan lebah-lebah ini menjadi lemah, sakit dan seterusnya mati. Mengapakah perkara ini berlaku dengan tiba-tiba? Jawapannya seperti mana yang anda ketahui dalam artikel sebelum ini adalah – spesies musuh asing (dari luar kawasan) yang tidak dapat diatasi oleh lebah-lebah ini.

Ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku. Kejadian yang serupa pernah berlaku di Buckfast Abbey di Barat Daya England pada tahun 1915. Ini menyebabkan pengusaha ternakan labah tersebut cuba untuk menghasilkan lebah yang tahan terhadap penyakit yang menyerangnya. Satu-satunya teknik yang ada pada waktu itu adalah dengan teknik kacukan jenis-jenis lebah yang dikumpulkan daripada beberapa kawasan di serata dunia termasuklah dari kawasan Crete, Sahara, Morocco dan Gunung Kilimanjaro dan akhirnya menghasilkan spesies lebah ‘Buckfast bee’.

Lebah yang diserang hama - 'Varroa destructor'.

Namun kali ini apa yang menyerang lebah-lebah di Eropah dan Amerika adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya – serangan hama yang dikenali sebagai ‘Varroa destructor’ yang berasal dari Asia. Hama ini amat halus dan menyerang bukan sahaja lebah dewasa malah memasuki ruang penetasan telur lebah yang menyebabkan anak-anak lebah menjadi cacat dan tidak sihat apabila membesar. Serangan ini kemudiannya berpindah ke koloni yang lain apabila lebah-lebah ini cuba untuk menyerang koloni lain akibat kekurangan makanan.

'Varroa destructor' - secara dekat.
Namun kisah yang berlaku di England pada tahun 1915 menjadi inspirasi para saintis untuk menghasilkan lebah-lebah baru yang mempunyai daya tahan untuk serangan kali ini. Antara usaha yang dijalankan seperti di Washington State University yang membuka “bank sperma lebah” untuk memastikan proses pembiakan silang antara lebah-lebah dapat menghasilkan lebah yang lebih tahan terhadap serangan penyakit ataupun serangan seperti hama ini. Ini kerana hama bukan sahaja makan daripada anak lebah malah menyebarkan bakteria dan virus yang menyebabkan lebah-lebah ini menjadi lemah.


Apa yang berbeza kali ini adalah teknik penghasilan lebah baru dapat dijalankan dengan lebih baik dengan penglibatan banyak pihak dan dibantu oleh pakar-pakar dari seluruh dunia termasuk Martin Beye pakar genetik dari Heinrich Heine University di Düsseldorf, Germany dalam memastikan teknik yang lebih efektif. Dimana tugas seterusnya diserahkan kepada Christina Vlaeminck untuk mengekstrak telur-telur lebah dan menyuntik material genetik sebelum ianya dimasukkan semula ke dalam sarang lebah. Ia bukanlah satu perkara yang mudah, dan sedikit kesilapan akan menyebakan telur tersebut rosak. Malah keadaan suasana persekitaran juga turut mempengaruhi kerja beliau yang mana sering disengat ketika bekerja dengan lebah-lebah ini. (Lebah perlu berada di dalam kurungan bagi mengelakkan ianya terlepas bebas keluar – sebagai undang-undang di German).

Larva lebah di dalam sarang.

Jadi itu adalah sebahagian usaha yang dijalankan bagi mengelakkan lebah-lebah terus hilang dan menyebabkan industri pertanian merosot. Kajian berterusan akan dijalankan sehingga lebah-lebah yang mampu mengatasi masalah yang melanda ini dapat dihasilkan – atau masalah yang mungkin akan berlaku kemudian.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penghasilan ‘superbee’ ini bolehlah mengikuti kisah sepenuhnya melalui internet atau artikel penuh di National Geographic yang memaparkan kisah tersebut secara panjang lebar. Sekiranya kejadian seumpama ini boleh menimpa lebah, ia juga boleh menimpa ke atas perkara-perkara lain – jadikan kisah ini sebagai iktibar.

* Anda boleh menonton video proses pembesaran anak-anak lebah disini.

* Lain-lain rujukan berkaitan dengan lebah di sini.



Free Download



Isnin, 4 Mei 2015

Mikro Post: Terapi Phage (Virus)

bacteriophage on bacteria
Bacteriophage di atas bakteria sebelum menyuntik genomnya.

Penggunaan hidupan dalam mengawal jumlah hidupan lain biasa dilakukan dalam pengawalan biologi (biocontrol). Tetapi terapi Phage atau lebih dikenali sebagai ‘bacteriophages’ juga pernah digunakan untuk pengawalan hidupan dalam dunia hidupan seni bagi mengawal penyakit. Ini kerana ‘bacteriophage’ menyerang bakteria-bakteria tertentu untuk membiak dan ini membantu membunuh bakteria-bakteria punca penyakit tersebut.

Diperkenal dan digunakan di negara-negara Soviet Union sekitar tahun 1920, dan ianya hanya dibenarkan di Russia dan Georgia sahaja. Bagaimanapun, terapi Phage ini dikatakan mempunyai potensi untuk digunakan bagi tujuan perubatan termasuk pergigian, kesihatan haiwan dan juga pertanian.

Penggunaan terapi ini masih lagi digunakan terutamanya bagi merawat penyakit yang berpunca daripada bakteria yang tidak memberi kesan ke atas penggunaan antibiotik biasa. Malah penggunaan Phage lebih bersifat spesifik kepada bakteria-bakteria tertentu sahaja dan tidak kepada kumpulan bakteria lain (seperti bakteria yang membantu penghadaman kepada manusia).

Sekumpulan bacteriophage yang menyerang bacteria.

Penggunaan bacteriophages ini mula dilaporkan oleh Frederick Twort pada tahun 1915 dan Felix d’Hérelle pada tahun 1917. Menurut pemerhatian Felix d’Hérelle, phage biasanya didapati pada tempat duduk pesakit yang mengidap sakit perut (radang usus) Shigella sejurus sebelum mereka pulih. Selain itu juga bacteriophages boleh didapati hampir disetiap tempat di mana bakteria hidup seperti di dalam longkang, sungai, juga pada kerusi pesakit yang beransur pulih.

Pada masa yang sama George Eliava, dari Georgia juga mendapati perkara yang sama. Beliau kemudiannya membuat lawatan ke Pasteur Institute di Paris dan bertemu dengan d’Hérelle, dan seterusnya pada tahun 1923 menubuhkan Eliava Institute di Tbilisi, Georgia untuk menghasilkan terapi phage.

Penggunaan terapi phage ini semakin dilupakan berikutan dengan penemuan antibiotik pada tahun 1941 di mana ia digunakan dengan lebih meluas di U.S. dan juga di Eropah. Penggunaan phage ini memerlukan kajian yang lebih, memendangkan ianya memerlukan jenis phage yang sesuai untuk satu-satu bakteria tertentu.

Di Russia, penggunaan terapi phage digunakan dengan meluas terutamanya pada perang dunia ke-2 
di mana ia digunakan untuk merawat tentera-tentera yang dijangkiti bakteria seperti cirit-birit dan juga gangren. Russia terus menghasilkan dan memperbaiki kaedah perawatan menggunakan phage ini, namun begitu para pengkaji mempunyai hubungan yang terbatas menjelang perang dingin yang berlaku. Namun begitu ringkasan penerbitan kajian tersebut diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2009 di dalam "A Literature Review of the Practical Application of Bacteriophage Research".

Ilustrasi bacteriophage sebelum menyuntik genomnya.

Bagi maklumat yang lebih lengkap mengenai kajian ini boleh didapati dari Georgia Eliava Institute di Tbilisi, Georgia, di mana penggunaan Terapi Phage masih lagi digunakan agak meluas.

Bacteriophage adalah merupakan virus yang membiak di dalam bakteria. Namanya sendiri berasal dari perkataan “bacteria” dan juga perkataan Greek: φαγεῖν (phagein); “dengan lahap”. Ia merupakan hidupan yang ringkas dan membiak dengan menyuntik genome-nya ke dalam ‘cytoplasm’ bakteria. Bacteriophage juga merupakan hidupan yang mudah ditemui di mana-mana dengan kepelbagaian yang luas dalam alam ini.


Jadi itulah dia serba sedikit mengenai penggunaan virus untuk mengawal penyakit yang mungkin selama ini kurang kita ketahui. Walaupun begitu adalah lebih baik sekiranya kajian yang lebih mendalam dapat dilakukan sekiranya ia betul-betul dapat membantu manusia dalam melawan penyakit. Namun ia merupakan satu perkara yang menarik untuk diketahui.



Free Download



Sabtu, 28 Mac 2015

Mikro Post; Dung Beetle

Kumbang Tahi memindahkan tahi ke kawasan yang sesuai untuk dijadikan sarang.

Dung Beetle atau juga dikenali dengan nama “Kumbang Tahi” mungkin kurang menarik bagi anda, namun setelah anda membaca artikel kali ini anda mungkin tahu bahawa kumbang ini amat istimewa dan penting sekali dalam ekosistem. Kumbang tahi bukan sahaja berbentuk kurang menarik dan berwarna gelap, malah pekerjaannya dalam menjadikan najis haiwan lain sebagai makanan mungkin agak menggelikan.

Sebenarnya kumbang tahi merupakan serangga yang amat istimewa malah penting sekali dalam ekosistem. Selain daripada membersihkan najis haiwan lain ia mengelakkan merebaknya wabak penyakit dengan pembiakan serangga dan haiwan penyebar penyakit seperti lalat.

Dung beetle - Onitis aygulus
Dung beetle - Onitis aygulus

Dung beetle - Onthophagus nigriventris
Dung beetle - Onthophagus nigriventris

Sebahagian kumbang-kumbang hanya memakan najis haiwan-haiwan tertentu sahaja manakala ada juga yang memakan pelbagai jenis. Oleh kerana najis haiwan herbivor mengandungi kandungan makanan yang tidak dihadamkan oleh haiwan-haiwan ini, maka ia menjadi sumber makanan yang sesuai bagi kumbang tahi. Namun begitu kajian daripada University of Nebraska mencadangkan kumbang ini lebih tertarik kepada najis haiwan omnivor kerana mengandungi nutrient dan juga bauan yang lebih mudah untuk dikesan.

Walaupun kebanyakan kumbang tahi menggulingkan najis ke lokasi yang sesuai untuk ditanam dan dijadikan sarang. Namun banyak spesies lain yang mempunyai kaedah unik masing-masing untuk menjadikannya sebagai makanan dan untuk tujuan pembiakan. Ada yang akan tinggal berdekatan dengan kawasan najis tersebut dijumpai atau terus tinggal di dalam najis tersebut.

Kumbang ini amat penting, di negara-negara yang mempunyai industri penternakan haiwan seperti lembu dan kambing, memerlukan kumbang ini untuk membantu membersihkan najis haiwan ternakan yang dihasilkan. American Institute of Biological Sciences melaporkan kumbang ini telah membantu industri penternakan lembu di United States sebanyak USD380 juta setahun dalam pembersihan najis haiwan ternakan yang berada di atas tanah.

types of dung beelte
Perbezaan cara kehidupan spesies-spesies kumbang tahi

Malah penggunaan kumbang tahi juga digunakan di negara Australia bagi membantu negara tersebut menangani masalah yang sama dalam industri penternakan lembu di negara itu. Melalui pengenalan 23 spesies kumbang dari Afrika Selatan dan Eropah, ia memberikan hasil yang amat memberangsangkan dalam menjaga kebersihan kawasan ragut dan mengurangkan pembiakan serangga perosak seperti lalat.


Banyak lagi perkara menarik mengenai kumbang ini yang perlu anda ketahui. Mungkin kehidupan serangga ini sedikit menggelikan anda, namun kepentingan serangga unik ini kepada alam amatlah besar. Tanpa kumbang ini tentu kita akan berhadapan dengan masalah kebersihan yang lebih serius.




Free Download



Ahad, 14 September 2014

Makanan Menyihatkan Lebih Mudah Dari Yang Disangka

Colorful vegetables
Sayuran berwarna-warni bukan sahaja cantik namun berkhasiat.

Makanan merupakan faktor yang berkait rapat dengan tahap kesihatan seseorang. Sejak sekian lama kita sering mendengar ungkapan “anda adalah apa yang anda makan”. Walaupun ungkapan ini adalah satu ungkapan yang biasa, namun tidak ramai yang memberikan perhatian terhadap pemakanan mereka. Ianya hanya akan menjadi penting semula apabila seseorang mengalami masalah kesihatan – dimana segala pemakanan perlu dikawal dengan ketat?

Seperti biasa saya lebih suka mengaitkan alam secara semulajadi tentang bagaimana kita sebenarnya telah disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk hidup dengan lebih sihat dan ceria. Seperti yang kita ketahui alam mempunyai pelbagai kaedah unik dalam memastikan hidupan, malah manusia sendiri mendapat kebaikan dari segala isinya.

Pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang terpaling mudah didapati di sekeliling kita? Begitu juga pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan ini mempunyai warna yang pelbagai  berbeza bagaimana pada mulanya (sewaktu muda atau tahap pucuk) semuanya adalah sama iaitu berwarna hijau.

Alam mempunyai keunikan dalam berkomunikasi melalui beberapa kaedah daripada bentuk, warna, bau dan rasa – dan ada di antaranya yang hanya boleh dikesan oleh sesetengah hidupan (seperti apabila dilihat di bawah cahaya UV). Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana tumbuh-tumbuhan wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu. Apa yang ketara adalah, kita tidak memikirkan betapa kita sentiasa dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Colorful fruits and vegeas
Gabungan sayuran dan buah-buahan.

Keunikan Warna Pada Tumbuhan

Warna pada tumbuhan memainkan peranan yang amat penting. Selain daripada untuk kepentingan tumbuhan itu sendiri mahupun pada haiwan ataupun manusia yang memakannya. Warna memberikan maklumat tertentu mengenai tumbuhan tersebut – iaitu khasiat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana warna tersebut adalah hasil daripada sesetengah zat galian yang terkandung pada daun ataupun buah yang dijadikan sebagai sumber makanan. Selain itu juga warna yang terang pada buah menarik perhatian haiwan-haiwan yang akan membantu menyebarkan biji-benih tumbuhan tersebut bagi memastikannya dapat terus membiak.

Melalui pemahaman inilah maka khasiat daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan dapat dikenal pasti dan didapati hampir kesemua zat pemakanan yang diperlukan oleh manusia dapat disediakan daripada tumbuh-tumbuhan. Selain daripada ianya mudah didapati atau ditanam tumbuhan juga mudah disimpan dan tidak mudah rosak seperti makanan lain (ikan, ayam, daging dan lain-lain).

Berikut adalah beberapa panduan mengenai warna tumbuh-tumbuhan dan beberapa ciri khasiat yang terkandung di dalamnya:

Warna Merah:

Mengandungi nutrient seperti lycopene ellagic acid, quercetin dan hesperidin. Nutrient-nutrient ini dapat mengurangkan risiko kanser prostat, menurunkan tekanan darah, mengurangkan pertumbuhan tumor dan juga kadar kolesterol. Ia membantu menghapuskan radikal bebas serta menyokong tisu sendi dalam kes arthritis.

Warna Oren:

Mengandungi beta-carotene, zeaxanthin, flavonoids, lycopene, potassium dan vitamin C. Nutrient-nutrient ini mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia dan juga risiko kanser prostat, mengurangkan kolestrol dan juga tekanan darah, menggalakkan pembentukan callogen dan sendi yang sihat, membasmi radikal bebas, menggalakkan keseimbangan alkali, memperbaiki kerosakan DNA dan membantu magnesium dan kalsium.

Warna Kuning:

Mengandungi beta-crypthothanxin dan carotenoids lutein serta zeaxanthin yang membantu perhubungan dalaman sel, mengelakkan masalah jantung, mengurangkan risiko katarak  serta mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia.

Warna Hijau:

Mengandungi chlorophyll, fiber, lutein, zeaxanthin, magnesium, kalsium, folate, vitamin C dan beta-carotene yang menghalang tindakan carcinogen serta membantu fungsi badan yang lebih sihat.

Warna Ungu dan Biru:

Mengandungi phytochemical seperti anthocyanin dan phenollic yang merupakan antioksidan yang kuat bagi membantu mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan alzheimers, menguatkan memori dan komunikasi sel serta memperlahankan proses penuaan.

Warna Putih:

Mengandungi beta-glucans, EGCG, SDG, flavonoids, alicon dan  lignan yang mengaktifkan sel darah putih B dan T, membantu sistem imunisasi dan keseimbangan hormon.

Colorful salad
Gabungan sayuran berwanra-warni menambahkan lagi selera.

Itu adalah antara warna-warna biasa yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan yang biasa menjadi sumber makanan bagi haiwan mahupun manusia. Ternyata banyak sekali tumbuh-tumbuhan yang dijadikan sayuran dan ini merupakan keperluan bagi manusia dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Namun apabila tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai makanan kedua selepas sumber haiwan (termasuk ikan, ayam, daging dan sebagainya) tahap kesihatan mudah mengalami masalah.


Sekiranya anda masih berada dalam keadaan sihat atau ingin mengembalikan tahap kesihatan anda menjadi lebih baik diharap artikel kali ini dapat memberikan sedikit bantuan tentang memahami kelebihan khasiat yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan. Mungkin selama ini kita terlupa bahawa kita sentiasa disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.



Free Download



Arkib Blog