Memaparkan catatan dengan label penting. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penting. Papar semua catatan

Rabu, 1 September 2021

Penurunan Jumlah Serangga, Mengapa Kita Perlu Khuatir?

Manusia sejak dahulu lagi cuba mengenali serangga dengan lebih dekat, bagi mengetahui potensinya.


Tidak semua orang suka kepada serangga - ataupun, anda tidak menyukai semua serangga! Ini kerana, serangga merupakan satu kumpulan hidupan yang sangat besar, dan mengenali kesemua jenis serangga adalah sukar. Sehingga kini hanya sekitar sejuta spesies yang berjaya dikenali dan diklasifikasikan. Manakala jumlah spesies yang dianggarkan adalah sekitar 5.5 juta spesies dan 1.5 juta daripadanya terdiri daripada spesies kumbang.
 

Mengapa Serangga Penting?

 
Seperti juga hidupan-hidupan yang lain, setiap serangga mempunyai fungsi yang tersendiri. Keunikan kumbang yang biasanya menjadikan tumbuhan reput sebagai tempat di mana ia bertelur dan menjadi makanan baginya sehingga dewasa - membantu proses pereputan dan membolehkan nutrient daripada tumbuhan mati tersebut kembali semula kepada tanah, bagi tumbuhan-tumbuhan baru pula tumbuh. Selain itu, anak-anak kumbang ini pula akan menjadi makanan hidupan-hidupan lain seperti burung, cicak, musang, monyet dan hidupan-hidupan lain. Kebolehan serangga membiak dalam jumlah yang besar adalah kerana, ia merupakan sumber makanan penting bagi hidupan yang lain - membiak dalam jumlah yang besar, membolehkan sebahagian daripadanya mencapai usia dewasa.

 
Terdapat juga serangga-serangga yang tinggal di dalam tanah. Serangga-serangga ini, secara tidak langsung mengekalkan struktur tanah supaya tetap berada dalam keadaan yang baik. Ia membolehkan pengaliran udara dan air yang lancar, sekali gus membolehkan tumbuh-tumbuhan menyerap air yang meresap ke dalam tanah. Tanpa air yang menyerap ke dalam tanah, menyebabkan tanah menjadi cepat kering, gersang dan menyebabkan kesan kemarau yang lebih teruk.

Rama-rama sangat terkenal dengan fungsinya sebagai ejen pendebungaan.

'Ladybug' atau kumbang kura-kura memakan serangga perosak tanaman.

 
Kebanyakan serangga juga merupakan ejen pendebungaan bagi tumbuhan-tumbuhan berbunga. Ini membolehkan tumbuhan menghasilkan buah, seterusnya membolehkan tumbuhan pula menghasilkan biji benih yang membolehkan tumbuhan-tumbuhan baru dihasilkan. Biji-biji tumbuhan ini kemudiannya ada yang diterbangkan angin, dimakan burung dan diterbangkan jauh dari pokok induknya, atau dimakan haiwan dan dicernakan berhampiran kawasan yang lebih subur dari pokok induknya. Inilah yang menjadikan hubungkait antara hidupan-hidupan ini sangat penting. Walaupun serangga merupakan hidupan yang kecil, namun fungsinya adalah sangat besar kepada keseimbangan alam.
 
Serangga-serangga sendiri memainkan peranan dalam mengawal keseimbangan hidupan-hidupan lain. Walaupun ada di antaranya yang menyebabkan penyakit dan mengurangkan populasi hidupan - namun bukan ini yang dimaksudkan. Pengawalan populasi di sini lebih kepada kehidupan serangga-serangga itu sendiri yang mungkin menjadikan hidupan lain sebagai sumber makanan bagi mereka. Seperti labah-labah yang menjadikan serangga-serangga lain sebagai sumber makanan, malah turut ada yang menjadikan hidupan-hidupan kecil lain sebagai sumber makanan mereka. Selain hidupan, serangga-serangga juga turut menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan.
 

Kegunaan Serangga Kepada Manusia

 
Manusia telah lama menggunakan khidmat serangga dalam pelbagai aktiviti kehidupan seharian. Sepanjang pembangunan tamadun manusia, serangga mempunyai hubungan rapat dalam membantu perkembangan kualiti hidup manusia itu sendiri. Contoh yang terpaling baik adalah pertanian. Pertanian merupakan punca manusia mampu tinggal di suatu penempatan yang tetap. Di sini, serangga membantu secara tidak langsung dari segi pendebungaan tumbuh-tumbuhan yang ditanam manusia dan membolehkan penghasilan bijian baru dihasilkan untuk tanaman yang berikutnya. Selain itu juga, serangga turut menjadi makanan ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Walaupun serangga juga merupakan sebahagian daripada musuh tanaman - namun terdapat juga serangga-serangga pemangsa yang menjadikan serangga-serangga ini sebagai makanan mereka.

 
Selain membantu pendebungaan tumbuhan, terdapat juga serangga-serangga yang menyediakan sumber makanan kepada manusia. Antara sumber makanan yang paling popular adalah madu. Namun begitu, kebanyakan masyarakat di dunia menjadikan serangga itu sendiri sebagai makanan seperti belalang, kumbang air, cengkerik, labah-labah, semut dan macam-macam lagi mengikut geography sesuatu kawasan. Selain serangga dewasa, anak-anak kumbang juga merupakan antara makanan popular sesetengah masyarakat.
 
Serangga turut menyediakan manusia dengan sumber bahan seperti sutera yang menjadi bahan utama penghasilan industri tenunan sutera. Selain sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera, sutera labah-labah juga merupakan antara bahan yang menjadi bahan idaman manusia - hari ini, sutera labah-labah cuba dihasilkan secara sintetik, dan hasilnya amat memberangsangkan!

Ulat sutera merupakan bahan makanan kepada manusia di sesetengah tempat.

Ulat sutera dalam industri penghasilan barangan sutera.

 
Manakala dalam industri perabot pula, bahan yang dikenali sebagai “shellac”, adalah dihasilkan daripada serangga yang dikenali sebagai Lac Scale (Laccifer lacca), yang kebanyakannya dihasilkan dari India. Namun begitu, ia juga turut dihasilkan di beberapa negara lain seperti Thailand, China, Mexico, Bangladesh, Myanmar, Laos dan Vietnam. Shellac amat penting dalam industri perabot kerana ia bukan sahaja memberikan kemasan yang baik, malah turut mengelakkan perabot-perabot daripada dirosakkan oleh serangga-serangga lain.
 
Dalam penghasilan bahan industri, lebah sekali lagi menyediakan sumber seperti lilin lebah (beeswax), yang digunakan dalam penghasilan produk seperti minyak sapuan (ointments), bahan penggilap, penggilap kasut dan juga penghasilan lilin. Sebahagian besar lilin lebah turut digunakan dalam penghasilan bahan kosmetik seperti losyen, krim dan juga lipstik.

 
Malah bahan pewarna juga turut dihasilkan daripada serangga dalam penghasilan pelbagai bahan seperti pewarna bagi kosmetik, pewarna makanan, ubatan dan minuman. Walaupun mendapat persaingan daripada pewarna sintetik moden - yang ternyata bersifat carninogenic, menyebabkan penggunaan bahan pewarna dari serangga ini masih diperlukan. Tanin juga merupakan bahan yang boleh dihasilkan daripada ‘insect galls’, iaitu ketumbilan pada tumbuhan yang dihasilkan oleh serangga yang digunakan dalam proses penyamakan (tanning) barangan kulit dan juga dalam penghasilan dakwat kekal yang berkualiti.
 
Hari ini juga serangga seperti lalat ‘Black Soldier Fly’ (BSF), merupakan serangga penting yang digunakan dalam pelupusan sisa bahan organik. Selain itu juga, lalat-lalat ini turut menjadi sumber makanan kepada binatang ternakan, secara terus ataupun diproses. Makanan yang dihasilkan daripada lalat-lalat BSF adalah amat baik bagi tumbesaran haiwan ternakan, kerana ianya menyediakan bekalan protein yang tinggi. Industri ternakan lalat BSF boleh dilakukan secara kecil-kecilan atau besar-besaran - bergantung kepada pengusaha itu sendiri.

'Insect galls', merupakan bahan penting dalam industri kulit dan dakwat.

'Lac Scale', yang menghasilkan bahan untuk menghasilkan 'shellac' yang penting dalam industri perabot.

 

Masa Depan Serangga

 
Hari ini kehidupan serangga-serangga amat terancam oleh pelbagai faktor. Selain daripada kehilangan habitat, serangga samada dibunuh dengan sengaja ataupun tidak disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia seperti pertanian, pembangunan dan pembalakan menyebabkan kematian banyak serangga. Cara hidup manusia seperti penggunaan lampu-lampu pada waktu malam juga merupakan penyumbang kepada kepupusan jumlah serangga yang besar. Pembukaan tanah-tanah pertanian pula menyebabkan banyak spesies-spesies tumbuhan penting yang menjadi habitat serangga-serangga ini pupus. Penggunaan racun serangga membunuh bukan sahaja serangga perosak, malah serangga-serangga lain yang memberikan manfaat kepada manusia. Racun rumpai misalnya, walaupun tidak membunuh serangga secara terus, ia menyebabkan kehilangan banyak spesies tumbuhan yang menjadi sumber makanan atau tempat tinggal serangga-serangga ini.
 
Banyak tindakan kita yang merosakkan hidupan yang membawa kebaikan kepada kita. Walaupun ia kelihatan seperti membawa kebaikan, sebaliknya memberikan banyak keburukan - bagi jangka masa panjang. Pembangunan dan kemajuan merupakan suatu perkara yang amat baik, namun kemajuan dalam memahami kepentingan dan kaitan hidupan di dalam alam adalah lebih penting - dan menjamin kehidupan yang lebih sejahtera. Semoga ia menjadi objektif pembangunan kita, pada masa akan datang.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Insects
2) Wikipedia: Lac
3) Smithsonian: Benefits of Insects to Humans
4) Smithsonian: Insects as Food for Humans
5) Smithsonian: Insect and Mite Galls
6) Treesforlife.org.uk
7) Finedininglovers.com


Sabtu, 25 April 2015

Laman-laman WEB Yang Berguna Untuk Rujukan

Wikipedia the free encyclopedia
Wikipedia merupakan bahan rujukan utama bagi pengguna-pengguna internet.

Kita sering diberitahu yang internet mempunyai seribu satu jawapan bagi setiap persoalan yang kita hadapi namun kerja-kerja mencari maklumat di dalam satu jaringan internet yang terlalu besar adakalanya juga mendatangkan masalah – di manakah jawapan tersebut akan ditemui.

Jawapan yang anda cari sebenarnya bergantung kepada orang lain yang terlebih dahulu memuatkannya di dalam internet. Pendek kata, sekiranya lebih ramai yang menyediakan isi kandungan internet ini maka lebih banyaklah maklumat yang terkandung di dalamnya. Selain itu juga kaedah pencarian, bahasa yang digunakan dan juga baru-baru ini melibatkan juga geografi atau lokasi tempat di mana anda berada.

Bagi memudahkan anda mendapatkan maklumat beberapa laman WEB yang menyediakan bahan rujukan telahpun tersedia di internet. Sekiranya ia tidak mampu menjawab kesemua persoalan anda, mungkin ia masih mampu menjawab sebahagian dairpadanya. Sekiranya anda mendapi persoalan anda itu tiada di dalam internet – mungkin anda pula boleh menyumbangkannya apabila anda menemuinya nanti.

Berikut adalah beberapa laman WEB utama yang dijadikan rujukan;




Merupakan sumber rujukan yang paling terkenal dan dilawati oleh 475,000,000 pengguna setiap hari. Ensiklopedia yang disediakan oleh orang ramai ini mempunyai isi kandungan yang terpaling banyak untuk dijadikan rujukan oleh orang ramai di serata dunia. Selain daripada isi kandungan berbahasa Inggeris ia juga disediakan di dalam bahasa-bahasa lain. Jadi anda boleh mencari bahan di sini atau menyumbangkan bahan anda pula.




Yahoo! Answers berbentuk pertanyaan dan jawapan. Ia mudah sekiranya anda mempunyai persoalan yang sama dengan jawapan yang diajukan sebelumnya. Jawapan yang diberikan pula mungkin kurang tepat atau terdapat pelbagai jawapn yang perlu dipertimbangkan. Namun begitu Yahoo! Answers ini turut digunakan oleh 150,000,000 pengguna setiap bulan. Anda boleh mengajukan soalan atau menyumbangan jawapan untuk pengguna lain.




About seperti juga Wikipedia namun mempunyai antara muka yang lebih menarik. Jadi sekiranya jawapan anda tersedia di sini mungkin ianya akan lebih menarik minat anda untuk membuat rujukan lanjut. Laman ini juga mempunyai liputan tajuk yang agak meluas bergantung kepada pengguna yang menyumbangkan isi sama juga seperti laman-laman yang lain. Ia digunakan oleh 100,000,000 pengguna setiap bulan.




Answers digunakan ole 95,000,000 pengguna setiap bulan dan isi kandungannya disumbangkan oleh pengguna-penggunanya sendiri. Merangkumi pelbagai topik dalam bentuk web kontemporari. Terdapat juga versi mobile (untuk pengguna-pengguna smartphone) atau versi desktop. Sekiranya anda hanya mencari maklumat yang ringkas, maka jawapan tersebut mungkin boleh di dapati di sini.




Juga merupakan kolaborasi pengguna dalam menyediakan bahan rujukan untuk beberapa topik utama seperti; Games, Movie, TV, Komik, Muzik, Buku dan Gaya Hidup (Lifestyles). Menggunakan platform MediaWiki untuk memberikan orang ramai kemudahan dalam menyumbangkan isi kandungan bahan rujukan di internet. Wikia digunakan oleh 85,500,000 pengguna setiap bulan.




eHow menyediakan bahan rujukan yang merangkumi pelbagai topik. Sebahagiannya berbentuk DIY (Do-it-yourself) yang sangat membantu sekiranya anda mempunyai persoalan yang spesifik. Oleh kerana pengguna eHow yang semakin bertambah ia juga disediakan dalam beberapa versi; US, UK, Espanol, Brasil, dan Deutshland. Pengguna yang menggunakan eHow adalah 65,000,000 sebulan.




Reference adalah laman web sebahagian daripada Dictionary.com yang memberikan tumpuan kepada bahasa Inggeris dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Namun begitu laman ini mempunyai bahan rujukan yang berkualiti kerana ia dikendalikan secara profesional oleh kakitangan yang terlatih. Terdapat sekitar 59,000,000 pengguna setiap bulan.




Seperti juga wikipedia, WikiHow adalah hasil daripada kerjasama orang ramai. Namu begitu WikiHow mempunyai tema yang agak menarik dengan menjurus kepada bagaimana sesuatu perkara dilakukan. Sehubungan itu ia menjadi satu laman yang agak penting bagi pengguna-pengguna di seluruh dunia bagi mendapatkan jawapan; bagaimana? Pengguna yang menggunakan WikiHow pula adalah sekitar 58,000,000 orang setiap bulan.




GoogleBooks memudahkan pencarian buku dan ada diantara buku-buku ini menyediakan bahan bacaan secara online di GoogleBooks sebelum anda membelinya. Sekiranya anda ingin membuat rujukan awal sebelum membeli buku-buku tersebut atau pemeriksaan ringkas isi-sis yang dikongsikan untuk buku tersebut di sini. GoogleBooks pula mempunyai pengguna sebanyak 30,000,000 setiap bulan.




StackExchange pada mulanya menyediakan ruangan bagi para programmer untuk bertanya dan memberikan jawapan. Namun apabila ianya semakin membesar dan lebih ramai pengguna, ruangan pertanyaannya kini merangkumi topik-topik lain termasuk Matematik, Home Improvement, Statistik juga mengenai Bahasa Inggeris. Ia mirip kepada Yahoo!Answers dan mempunyai penggunanya yang tersendiri. Jumlah pengguna yang menggunakan StackExchange setipa bulan adalah sekitar 23,000,000 orang.




HubPages juga merupakan hasil sumbangan artikel daripada orang ramai yang merangkumi pelbagai topik. Terdapat banyak artikel yang mempunyai persamaan di dalam HubPages, namun anda boleh melihat semua tajuk yang berkaitan daripada tajuk-tajuk yang berkait rapat. Apa yang anda perlu lakukan adalah memilih artikel yang memberikan jawapan yang diperlukan dengan tepat. Pengguna yang menggunakan laman web ini pula adalah mencapai sehingga 22,500,000 orang setiap bulan.




Satu lagi laman rujukan yang diselenggarakan secara professional dan mempunyai bahan rujukan yang berkualiti. Turut menyediakan apps yang boleh digunakan melalui iPhone dan Android. Ia merupakan laman yang menyediakan bahan yang menarik dan terdapat banyak isi yang disediakan dengan bercorak interaktif serta video dengan channel YouTube nya sendiri. Ia memberikan kemudahan kepada 21,000,000 pengguna setiap bulan.




Merupakan laman web rujukan yang lebih bercorak interaktif. Bahan yang disediakan juga adalah berkualiti merangkumi pelbagai topik menarik dengan sumber-sumber bahan yang juga menarik. Ia merupakan sebuah perpustakaan internet yang besar dan menyediakan bahan rujukan yang sangat berguna. Sekiranya anda ingin membuat sebarang rujukan penting pastikan ia menjadi sebahagian tempat rujukan bagi anda nanti. Pengguna untuk laman ini pula mencapa sehingga 19,000,000 orang setiap bulan.




ChaCha lebih mirip dengan format Yahoo!Answers yang berkonsepkan pertanyaan dan soalan diberikan oleh pengguna-pengguna yang lain. Ia kelihatan lebih menarik berbanding Yahoo!Answers namun terlalu banyak mengandungi iklan yang mungkin sedikit mengganggu. Naum begitu ia masih menjadi salah satu laman yang menyediakan ruangan rujukan yang berguna. Pengguna bagi laman ini pula adalah sekitar 18,000,000 setiap bulan.




Squidoo merupakan kumpulan artikel yang dikongsi oleh orang ramai juga. Kini Squidoo telahpun bergabung dengan HubPages bagi meluaskan lagi isi kandungannya. Oleh kerana ia memberikan peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan artikel-artikelnya ia mempunyai banyak isi yang mungkin mempunyai isi kandungan yang sama. Namun begitu ia tetap menjadi salah satu bahan rujukan yang terkenal juga. Terdapat sekitar 17,000,000 pengguna Squidoo setiap bulan.

Itulah dia beberapa laman WEB penting yang menyediakan anda bahan rujukan yang boleh digunakan 24 jam sehari sekiranya anda ingin mencari sebarang maklumat yang penting. Namun begitu sekiranya anda mendapapati bahan yang anda cari tidak tersedia di sini maka anda bolehlah menyumbangkannya pula apabila anda menemuinya nanti bagi membantu pengguna-pengguna yang lain pula. Adalah lebih baik sekiranya anda dapat memanfaatkan isi kandungan internet dengan baik dan membantu pengguna yang lain tentang penggunaannya. Sekian, Terima kasih.




Free Download



Khamis, 15 Mei 2014

Bahan Merbahaya Mungkin Menjadi Sebahagian Daripada Makanan Anda

MSG crystal
Kristal MSG atau Monosodium Glutamate bahan perasa makanan popular.

Bahan merbahaya mungkin bertindak dalam pelbagai cara dengan memberikan kesan buruk samada secara cepat ataupun perlahan. Bagi yang memberikan kesan cepat amat mudah untuk dikenal pasti manakala yang bertindak perlahan atau memberikan kesan sampingan jangka panjang mungkin agak sukar untuk dielakkan, apatah lagi sekiranya ia merupakan bahan utama yang menyedapkan lagi bahan makanan.

Bahan yang dikatakan lebih merbahaya daripada alkohol, nikotin dan mungkin juga sebahagian daripada dahah ini lebih dikenali sebagai monosodium glutamate (MSG) yang digunakan dalam banyak bahan perasa makanan malah menjadi salah satu bahan penting di dalam makanan ringan. Ini kerana ia akan membangkitkan rasa keseronokan menikmati makanan tersebut melebihi keperluan anda yang sepatutnya.

Hari ini MSG digunakan secara meluas hampir di dalam kesemua bahan makanan yang diproses termasuk makanan di dalam tin, biskut, bahan daging, bahan perasa seperti lada hitam, kiub perasa malah makanan bayi juga ada yang dicampurkan MSG. Seperti yang kita sedia maklum bahan yang paling popular dengan MSG adalah mee segera yang menjadi pilihan ramai sebagai makanan yang pantas serta menjimatkan.


Pek jumbo MSG
Pek jumbo MSG ini untuk masak apa ya?

Bahaya mengenai MSG telah dibangkitkan oleh banyak doktor yang berpengalaman antaranya adalah Dr. Russell Blaylock, yang merupakan salah seorang pakar di dalam bidang neurosurgeon (pakar saraf) serta penulis kepada “Excitotoxins: The Taste that Kills”. Antara lain beliau menegaskan MSG sebagai bahan excitotoxin – membuatkan sell menjadi tersangat terangsang sehingga mencapai ke tahap yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kemusnahan yang boleh mengakibatkan kerosakan otak pada pelbagai tahap – ini boleh mengakibatkan pelbagai jenis kerosakan otak antaranya sukar belajar, Alzheimer, Parkinson, Lou Gehrig’s disease dan sebagainya.

Ini kerana glutamic acid adalah merupakan sebahagian daripada neurotransmitter yang digunakan oleh otak, sistem saraf, mata, pakreas serta organ-organ lain dalam mengaktifkan isyarat-isyarat di dalam badan anda. Antara lain MSG boleh mengganggu kesihatan jantung anda kerana terdapat saraf-saraf pada jantung yang bergantung kepada isyarat daripada glutamate ini. Kebarangkalian ia berkait dengan masalah mati mengejut adalah besar.

Masalah-masalah lain yang berkaitan dengan pengambilan MSG yang berterusan antaranya adalah;
  • Obesiti
  • Kerosakan mata
  • Sakit kepala
  • Kelesuan
  • Kemurungan

Malah FDA juga turut mengakui kesan jangka pendek atau juga dinamakan sebagai “MSG Symptom Complex” boleh berlaku pada sesetengah individu yang mengambil MDG pada kadar yang tinggi atau pada mereka yang mengidap masalah asthma.

Antara gejala “MSG Symptom Complex” adalah:
  • Kebas
  • Panas seperti terbakar
  • Menyucuk
  • Muka terasa terik
  • Sakit dada atau sukar bernafas
  • Sakit kepala
  • Mual dan muntah
  • Jantung bergedup pantas
  • Berpeluh
  • Kelesuan
instant ramen
Mee segera yang padat dengan MSG.

Ia bukanlah satu perkara yang pelik untuk difikirkan kerana MSG hanya sekadar penambah rasa yang sebenarnya tidak ada. Perasaan yang ditimbulkan oleh MSG ini hanyalah sekadar tanggapan yang dihasilkan otak apabila makanan menyentuh sel-sel saraf yang terdapat pada lidah.

Sedikit Mengenai MSG


Monosodium glutamate (MSG) juga dikenali sebagai sodium glutamte merupakan garam sodium bagi glutamic acid. Ianya adalah bahan yang ditemui oleh KikunaeIkeda dari Tokyo Imperial University pada tahun 1908 yang mengasingkan glutamic acid sebagai bahan perasa daripada rumpai laut Laminaria japonica, kombu (rumpai laut) melalui proses pengekstrakan cecair dan pengkristalan – rasa yang dihasilkan bahan ini dipanggil “umami”.

Semasa mengkaji mengenai rasa bahan makanan seperti masakan Jepun 'katsuobushi'  dan 'kombu', professor Ikeda mendapati rasanya adalah lebih dari sekadar manis, masin, masam atau pahit. Rasa inilah yang menyebabkan Professor Ikeda mencari bahan perasa tersebut dan mengasingkan beberapa jenis garam glutamate seperti calcium, potassium, ammonium dan magnesium glutamate. Daripada kesemua garam tersebut didapati sodium glutamate merupakan bahan yang paling mudah dicairkan dan dimakan serta menghablur. Ia kemudian dipatentkan untuk menghasilkan MSG. Syarikat Ajinomoto merupakan syarikat pertama yang menghasilkan MSG secara komersil antara lain Ajinomoto bermaksud “pati rasa” atau “essense of taste”.

Hari ini MSG dihasilkan melalui proses penapaian menggunakan ubi kayu sebagai bahan asas. Proses penapaian tentunya menggunakan mikrob untuk menghasilkan glutamic acid. Seperti juga proses-proses lain penghasilan bahan makanan seperti penghasilan wine, cuka, kicap, sos ikan, yoghurt, beer dan juga antibiotik. Tumbesaran mikorb memerlukan media yang mengandungi nutrient yang sesuai dan ini boleh dibekalkan oleh bahan semulajadi sebagai pembekal karbon seperti; tepung, gula perang dari tebu atau bit, larutan glukosa. Sumber nitrogen seperti; garam ammonium, garam nitrit, atau soya. Mineral seperti; magnesium, potassium dan vitamin seperti biotin.

Antara proses penghasilan MSG tersebut adalah;


MSG flowchart
Proses penghasilan MSG.

  1. Penukaran ke bentuk cecair di mana kanji daripada ubi kayu akan melalui proses hidrolisis oleh enzim. Enzim seperti maylase dan amyglucosidase digunakan pada suhu optimum untuk menghasilkan cecair glukosa.
  2. Proses penapaian glutamic acid: Mikrob dibiarkan di dalam larutan glukosa, pH dikawal pada kadar optimum pertumbuhan mikrob. Urea atau ammonia ditambah sebagai sumber nitrogen. Proses ini dijalankan sehingga glutamic acid dihasilkan secara penuh. Ia kemudiannya akan dikeringkan menggunakan stim vakum untuk melikatkan lagi larutan tersebut.
  3. Selepas proses penapaian tamat larutan glutamic acid akan diasingkan dengan menukar kadar pH yang sesuai. Ia akan diasingkan sebanyk 2 kali melalaui dan ditapis mengunakan sitem vakum dan lapisan penapis.
  4. Penutralan menggunakan Sodium Hydroxide (NaOH) dicampurkan bagi meneutralkan larutan glutamic acid dan menukarkan ia kepada larutan monosodium glutamate dalam pH yang normal.
  5. Penulenan dan pengkristalan dilakukan dengan cecair malalui panapi karbon aktif di dalam tangki bagi menyah warna diikuti dengan proses pengkristallan untuk penulenan yang menghasilkan kristal monosodium glutamate yang bersih.
  6. Proses pengeringan dan pembungkusan merupakan proses akhir di dalam penghasilan MSG. Dengan melalui proses pengeringan menggunakan udara panas yang ditapis kristal-kristal MSG ini kemudiannya diasingkan mengikut saiz dan pembungkusan yang bersesuaian.
MSG snackfood
Makanan ringan juga padat dengan MSG.

Itu adalah antara proses penghasilan Monosodium glutamate seperti yang dinyatakan oleh pembuat MSG yang tidak asing lagi iaitu Ajinomoto. Hari ini Ajinomoto bukanlah satu-satunya syarikat yang menghasilkan MSG malah antara syarikat yang mengeluarkan MSG secara besar-besaran termasuklah Ac’cent dan Ve-Tsin.

MSG sebenarnya terlalu mudah dihasilkan atau ia mungkin dihasilkan sekali oleh syarikat-syarikat pengeluar makanan. Antara lain syarikat pengeluar makanan adakalanya manggunakan nama-nama bahan yang mengelirukan pengguna dan menggantikannya menggunakan nama yang lain. Bagi langkah berhati-hati pastikan juga bahan makanan anda tidak mengandungi bahan-bahan di bawah antaranya:

Autolyzed Yeast
Calcium Caseinate
Gelatin
Glutamate
Glutamic Acid
Hydrolyzed Protein
Monopotassium Glutamate
Monosodium Glutamate
Sodium Caseinate
Textured Protein
Yeast Extract
Yeast Food
Yeast Nutrient



Sebagai langkah berhati-hati juga anda perlulah mengurangkan makanan yang diproses bagi mengurangkan pengambilan MSG. Adakalanya makanan yang dimasak di kedai-kedai makan juga menggunakan MSG bagi menambah lagi rasa makanan. Ada baiknya jika anda menyediakan makanan sendiri dan membawa bekal ke tempat kerja.

Mungkin perasa makanan seperti MSG dapat memberikan rasa yang enak kepada makanan anda. Tapi anda perlu memikirkan kesan jangka panjang yang boleh diakibatkan oleh bahan ini adalah jauh lebih merbahaya. Semoga dengan artikel ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan bagi anda sebelum membeli sebarang bahan makanan yang diproses.

Bersama-sama kita menjaga kesihatan.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog