Memaparkan catatan dengan label pemuliharaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pemuliharaan. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Mac 2016

Kemerosotan Tangkapan Industri Perikanan Berpunca Dari Kesilapan Manusia

Sejumlah 400 ton jack mackerel dalam sekali tangkapan!

Industri perikanan mengalami  kemerosotan teruk akibat daripada penangkapan ikan berlebihan bagi memenuhi permintaan pasaran. Kemajuan awal yang diperolehi oleh industri makanan tidak menitik beratkan tentang keseimbangan punca tangkapan. Sehubungan itu hanya sejak kebelangkangan ini manusia mula sedar bahawa sekiranya ia tidak dikawal, sumber makanan penting dari laut ini mungkin akan lenyap.

Kepesatan industri membolehkan manusia melakukan hampir apa sahaja. Menyebabkan industri perikanan melonjak dengan hasil tangkapan yang sangat tinggi. Penggunaan bot-bot yang lebih besar, pukat-pukat bersaiz gergasi dan juga peralatan moden seperti sonar turut digunakan dalam membantu manusia mendapat tangkapan yang lebih banyak. Industri ini mula melonjak naik bermula dari awal 1800-an dengan industri penangkapan ikan paus untuk bekalan minyak, dan menjelang 1900 an pula kebanyakan spesis-spesis ikan tertentu yang menjadi buruan manusia semakin berkurangan.

Manusia juga sering melakukan tangkapan spesies tertentu, manakala spesies yang lain yang ditangkap secara tidak sengaja akan dibuang semula ke laut, atau dijadikan baja. Ia merupakan satu pembaziran dan juga membawa impak yang sangat buruk kepada ekosistem laut. Pemburuan untuk mendapatkan sirip yu misalnya, di mana nelayan hanya akan mengambil sirip yu itu sahaja manakala bahagian lainnya akan terus dibuang ke laut.

Tangkapan tidak sengaja yang akan dibuang atau dijadikan baja.

Kejadian kematian hidupan laut besar-besaran semakin kerap berlaku.

Penangkapan spesies tertentu sahaja turut mengganggu keseimbangan ekosistem.

Begitu juga dalam pemburuan ikan-ikan lain seperti sardin, cod, herring dan tuna. Pengambilan jumlah ikan yang besar dari laut menyebabkan keseimbangan laut mula terjejas dan menyebabkan pelbagai masalah yang tidak kita fahami seperti punca kematian ikan besar-besaran di Namibia (yang dikatakan berpunca oleh pereputan plankton yang berlebihan akibat kekurangan populasi sardin).

Penggunaan peralatan seperti pukat-pukat yang digunakan dalam industri perikanan pula adakalanya turut menangkap spesies-spesies lain seperti penyu, ikan lumba-lumba atau hidupan lain yang tidak mempunyai nilai komersial. Tangkapan tidak sengaja ini samada dibunuh atau dibuang semula ke laut (yang kebanyakannya mati). Pukat-pukat ini juga adakalanya terlekat pada terumbu karang dan memusnahkannya. Ia merupakan tempat dimana banyak spesies ikan-ikan di laut membiak.

Manakala aktiviti-aktiviti manusia yang lain turut menjejaskan industri perikanan adalah pencemaran disebabkan oleh pembuangan sisa industri, petroleum, perkapalan, pembangunan pinggir pantai dan yang paling membimbangkan adalah sisa buangan plastik di laut. Plastik yang sukar mereput terus berada di tengah lautan dan menjadi ancaman kepada hidupan laut bukan sahaja ikan, malah burung, penyu, singa laut, hidupan-hidupan kecil dan sebagainya. Plastik bukanlah terus dibuang ke laut, namun ia dibawa oleh aliran air mengikuti sungai dan tali air seterusnya berada di laut.

Industri perikanan hari ini beralih kepada penternakan ikan di dalam sangkar. Walaupun ia tidak mampu mengatasi masalah sedia ada, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan pengambilan ikan secara berlebihan ataupun penangkapan ikan-ikan lain secara tidak sengaja. Penternakan ini turut merangkumi beberapa spesis hidupan lain seperti udang, ketam dan juga kerang-kerangan. Penyelidikan terus dilakukan bukan sahaja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik bagi penternakan industri ‘aquaculture’ malah mengesan impak kepada alam sekitar.

Bot-bot nelayan moden mampu menangkap lebih banyak ikan.

Penternakan ikan sangkar di tengah lautan antara usaha baru.

Pusat pemuliharaan ikan salmon di Capilano River Hatchery, Canada.

Telur-telur yang dikumpul untuk ditetaskan.

Selain penternakan ikan di dalam sangkar ini, kerja-kerja konservasi juga turut dijalankan seperti melepaskan anak-anak ikan dan pemuliharaan alam sekitar juga giat dijalankan. Ini turut dibantu dengan program-program pendidikan masyarakat oleh badan-badan kerajaan dan juga swasta. Banyak perkara terus dipelajari dan diselidiki oleh manusia dalam memahami keseimbangan ekosistem lautan ini. Ini turut membawa kepada pengawalan jumlah populasi hidupan yang menular di sesuatu habitat.


Itu adalah sebahagian perkara yang dilakukan di serata dunia. Namun di negara kita, kesedaran ini perlu dipertingkatkan. Kita hanya mampu mengeluh apabila sumber perikanan negara terancam namun tiada usaha yang benar-benar berkesan diambil. Setiap dari kita bukan sahaja bertanggungjawab malah mampu memberikan sumbangan untuk usaha ini, antaranya – kurangkan penggunaan bahan plastik dan tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkan sumber hidupan air/laut.






Free Download



Sabtu, 25 Julai 2015

Kenali Haiwan Comel ‘Red Panda’

Red Panda di Cincinnati Zoo.

Panda sememangnya terkenal dengan warnanya hitam dan putih, namun ada haiwan yang lebih comel dan dikenali sebagai ‘Red Panda’. Red Panda dengan nama saintifiknya ‘Ailurus fulgens’, juga adakalanya dipanggil sebagai lesser panda, red bear-cat atau red cat-bear merupakan haiwan asal yang mendiami bahagian Timur Himalayas dan juga Barat Daya China meliputi Nepal, Bhutan dan juga Myanmar.

Ia kurang dikenali kerana populasinya juga semakin berkurang ditambah lagi dengan kawasan kediamannya semakin mengecil. Walaupun dikenali dengan nama ‘Red Panda’, haiwan comel ini sebenarnya bukanlah tergolong dalam keluarga panda mahupun beruang, malah ia juga tidak tergolong di dalam keluarga racoon seperti yang dikelaskan sebelumnya tetapi di dalam kelasnya yang tersendiri iaitu family Ailuridae.


Red Panda tidur di atas dahan pokok.
Red Panda berdiri dengan dua kaki.

Red Panda tinggal di kawasan hutan berketinggian daripada 2,200 – 4,800 meter (7,200 hingga 15,700 kaki) dengan suhu sederhana antara 10 ke 25 °C (50 hingga 77  °F) dengan perubahan tahunan yang kecil. Ia memilih kawasan hutan yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan berdaun luruh yang juga dipenuhi dengan rumpunan buluh. Ia menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makanan utamanya termasuk pucuk dan dedaun buluh, beri, buah-buahan, bunga termasuk juga telur dan serangga.

Red Panda berukuran (daripada kepala dan badan) antara 50 ke 64 cm (20 ke 25 in) dengan ekor berukuran antara 28 ke 59 cm (11 ke 23 in). Beratnya pula adalah 3.7 ke 6.2 kg (8.2 ke 13.7 lb) bagi yang jantan, manakala yang betina mempunyai berat antara 3 ke 6.0 kg (6.6 ke 13.2 lb). Warna bulu red panda seakan-akan racoon tetapi mempunyai bulu berwarna coklat-kemerahan dan agak kehitaman di bahagian bawahnya. Warna ini menyerupai persekitaran tempat tinggalnya yang dipenuhi dengan pokok berlumut seakan warna bulu tersebut.

Red Panda merupakan haiwan yang pemalu dan biasanya bersendirian melainkan semasa musim mengawan. Anak-anak red panda akan lahir pada musim bunga atau musim panas dengan bilangan antara seekor hingga ke empat ekor. Anak-anaknya akan tinggal di dalam sarang sehingga tempoh 90 hari dengan jagaan oleh ibunya (red panda jantan jarang memberikan tumpuan kepada anak-anaknya).


Red Panda dan anaknya.

Walaupun populasi red panda dalam keadaan terancam, ia dapat menyesuaikan diri di dalam kurungan. Maka dengan itu sehingga pada tahun 1992 terdapat lebih daripada 300 kelahiran red panda di dalam kurungan dan lebih daripada 300 ekor red panda disimpan oleh 85 institusi di seluruh dunia. Antara zoo yang menyimpan red panda adalah Rotterdam zoo, Netherlands, San Diego Zoo, San Diego, Lincoln Park Zoo, Chicago, dan banyak lagi. Manakala Knoxville Zoo di Tennessee mempunyai jumlah red panda yang terpaling banyak. Lincoln Park Zoo pula baru-baru ini menerima dua lagi kelahiran red panda pada 26 Jun, 2015.

Red Panda sememangnya haiwan kecil yang amat comel. Dengan taburan yang kecil jumlahnya akan hilang secara mendadak tanpa pemuliharaan. Walaupun kurungan bukanlah tempat yang sesuai untuk haiwan ini ditempatkan, namun sedikit sebanyak ia dapat mengelakkan haiwan kecil in terus pupus sekiranya berlaku kemusnahan pada habitat asalnya seperti yang menimpa haiwan-haiwan lain.



Free Download



Rabu, 22 Julai 2015

Katak Pelik “Gastric-brooding Frog”

Anak katak yang muncul dari dalam perut ibunya.

Katak ‘gastric-brooding’ juga dikenali sebagai ‘platypus frog’ merupakan spesis katak yang baru sahaja ditemui dan telahpun dikatakan pupus pada pertengahan 1980-an. Mendiami kawasan kecil dan hanya terdapat di daerah Queensland di bahagian Timur Australia.

Berbeza dengan katak-katak lain, keunikan katak ini adalah ia membesarkan anaknya di dalam perut berbanding menetaskan telur di dalam air seperti katak-katak biasa. Selepas bertelur, ibu katak akan menelan telurnya dan menyimpan telur tersebut sehingga anaknya mencapai tahap umur yang cukup untuk keluar mencari makanan.

Katak ini tidak akan makan selama tempoh anaknya membesar di dalam perutnya dalam jangka masa antara 6 ke 7 minggu. Semasa tempoh itu juga, katak ini mampu menahan perutnya daripada mengeluarkan asid yang digunakan untuk proses penghadaman. Telur-telur katak akan menetas dan melengkapkan kitaran metamorphosis di dalam perut ibunya. Anak-anak katak yang cukup matang akan keluar daripada mulut ibunya.


'Rheobantrachus silus' yang pupus secara tiba-tiba.

Terdapat dua spesis yang diketahui iaitu Rheobatrachus silus yang ditemui pada tahun 1972 dan Rheobatrachus vitellinus yang ditemui pada tahun 1984. Kedua-dua spesis tersebut dikatakan lenyap pada tahun 1980-an iaitu setahun selepas R. vitellinus ditemui.

Kedua-dua katak ini mendiami kawasan pada ketinggian 350 meter sehingga 1,000 meter pada keluasan yang sangat kecil iaitu sekitar 1,400 km2 bagi R. silus dan 500km2 bagi R. vitellinus. Ia akan berada di kawasan yang berhampiran dengan sumber air dan jarang sekali berada jauh darinya.

Ia mempunyai saiz yang agak kecil iaitu bagi katak jantan adalah 33 millimeters (1.3 in) ke 41 millimeters (1.6 in) manakala bagi katak betina pula adalah 44 millimeters (1.7 in) sehingga 54 millimeters (2.1 in) panjang. Bagi spesis R. vitellinus pula saiznya adalah lebih besar berbanding R. silus.

ARKive species - Southern gastric-brooding frog (Rheobatrachus silus)
Imej dari Arkive.org


Tiada penjelasan yang pasti mengenai kehilangan spesis katak ini yang dikatakan hilang secara tiba-tiba. Walaupun berlaku pencerebohan pada habitat mereka pada tahun 1972 dan 1979, katak-katak ini masih terus mendiami habitat tersebut. Ianya dikatakan terus hilang pada tahun 1980-an secara mendadak. Punca kepupusan ini berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan penyakit yang menyerang katak-katak tersebut.

Sehubungan itu satu usaha untuk menghasilkan semula katak ini menggunakan kaedah ‘somatic-cell nuclear transfer’ (SCNT), iaitu salah satu kaedah ‘cloning’ cuba dijalankan oleh saintis dari University of Newcastle Australia yang diketuai oleh Prof Michael Mahony bersama Prof Mike Archer dari University of New South Wales.


Ia bukanlah satu usaha yang mudah, namun ia mungkin dapat memberikan lebih banyak peluang untuk para saintis mempelajari lebih banyak tentang spesis katak istimewa ini lebih-lebih lagi berkenaan kemampuan mereka menahan rembesan asid perut semasa menetaskan telur-telurnya di dalam perut. Ia mungkin berguna pada manusia yang menghidap masalah gastrik.


Free Download



Ahad, 26 April 2015

Taman-taman Terbaik di Dunia

Versailles Garden, France
Versailles Garden, France sebuah taman yang amat cantik.

Taman-taman terbaik di dunia merupakan taman yang bukan sahaja menyediakan suasana pemandangan yang cantik untuk dinikmati, namun turu menyediakan penyelidikan tentang penanaman mahupun potensi tumbuh-tumbuhan untuk tujuan komersil atau perubatan. Kejayaan taman-taman ini bukan sahaja dalam membiakkan tumbuh-tumbuhan dari luar kawasan di mana aman ini dibina – malah suatu masa dahulu bertanggungjawab memindahkan beberapa spesis tumbuhan yang kini menjadi sumber ekonomi di beberapa negara.
Bagi memiliki taman yang lengkap dengan spesis tumbuh-tumbuhan disamping susun atur yang menarik, senireka taman dirancang dengan teliti. Malah terdapat juga taman yang telah beroperasi sejak ratusan tahun – dan masih bertahan sebagai taman yang terulung dunia. Berikut adalah beberapa taman yang ternama di dunia yang pastinya menjadi tumpuan para peminat tumbuh-tumbuhan.




Kew Gardens merupakan antara taman tertua di dunia  dan masih aktif menjalankan penyelidikan dan juga pembiakan tumbuh-tumbuhan dari serata dunia. Tenaga pakar yang dimiliki oleh Kew Gardens sejak ratusan tahun dahulu terus dipertingkatkan mengikut kemajuan dunia sains. Maka tidak hairanlah mengapa ia sentiasa dianggap sebagai taman terbaik dunia.

Bermula pada tahun 1759 oleh Puteri Augusta, ibu kepada King George III yang membuka tanah seluas 3.6 ha di White Lodge, Richmond. Namun hari ini taman ini telah mencapai keluasan 132 ha (326 ekar) dan mengandungi lebih daripada 50,000 spesis tumbuhan yang berbeza. Selain daripada dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan unik, Kew Gardens juga dilengkapi dengan pelbagai binaan menarik – menjadikan ia satu taman yang cantik untuk dilawati. Samada anda ke sini untuk mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan atau menikmati keindahan taman ini, lawatan ke sini sememangya akan menguntungkan.

Kew Gardens merupakan nama yang popular dalam membantu menyebarkan benih-benih tumbuhan seperti getah, kelapa sawit, koko, teh dan sebagainya ke seluruh dunia. Ia juga aktif dalam usaha memulihara spesis-spesis terancam dan kajian tentang khasiat tumbuh-tumbuhan.

Keukenhof Gardens, The Netherlands



Berbeza dengan Keukhenhof Gardens yang sememangnya menumpukan kepada keindahan bunga tulip yang berwarna-warni. Pada setiap musim bunga sekitar 7 juta bunga tulip akan mengeluarkan bunganya di sini. Tedapat sekitar 800 jenis bunga tulip pula yang akan memberikan anda pemandangan yang menarik di sekitar taman ini.

Selain daripada bunga-bunga menrik tersebut, taman ini jug menjalankan acara-acara menarik di taman yang berkeluasan 32 ha. Terdapat beberapa bahagian di dalam taman ini untuk memberikan suasana berbeza bagi setiap bahagian. Terdapat cafe-cafe dan restoran di sekitar taman di mana anda boleh menikmati pemandangannya samada dengan menggunakan basikal ataupun boat.

Suan Nong Nooch, Thailand



Terletak di kilometer 163 Sukhumvit Road di Daerah Chonburi, Thailand. Kawasan yang pada mulanya dibangunkan untuk tujuan pertanian ini kemudiaannya ditukarkan kepada tumbuh-tumbuhan tropika dan kawsan pemuliharaan haiwan liar. Mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 1980. Ia merupakan pusat kajian saintifik bagi tumbuhan spesis Cycad dengan ‘Cycad Gene Bank’nya sendiri.

Taman ini juga mempunyai bahagian-bahagian yang menarik untuk dipertontonkan seperti French Garden, European Garden, Stonehenge Garden, Cactus dan sebaginya. Selain daripada tumbuh-tumbuhan menarik di taman ini, ia juga dipenuhi dengan senibina Thailand yang pastinya memukau.

Versailles Garden, France



Merupakan taman yang diasaskan oleh Raja Perancis iaitu King Louis ke-14 pada tahun 1661. Melalui perubahan yang dilakukan kepada taman ini dengan mendapatkan khidmat yang terbaik dari para arkitek, pelukis dan pereka taman dalam usahanya menjayakan Château de Versailles dengan taman yang menakjubkan.

Mempunyai keluasan 800 ha., taman ini mempunyai kira-kira 200,000 pokok dan 210,000 bunga yang ditanam setiap tahun. Keseluruhan taman yang berkonsepkan klasik French Garden ini adalah hasil kerja oleh André Le Nôtre. Malah antara pereka-peraka lain yang terlibat termasuklah Louis Le Vau, Jules Hardouin-Mansart dan Charles Le Brun.

Ia menerima kunjungan lebih daripada 6 juta pengunjung setiap tahun. Sepanjang pembinaan taman bersejarah ini ia turut diabadikan di dalam lukisan-lukisan yang menarik oleh para pelukis. Selain itu juga ia telah melalui pelbagai perubahan dalam tempoh ratusan tahun.

Butchart Gardens, Canada



Terletak di Brentwood Bay, British Columbia, Canada. Ia bermula apabila Robert Pim Butchart (1856 – 1943) yang berpindah ke sini untuk tujuan mencari kawasan yang kaya dengan batu kapur untuk tujuan penghasilan simen Portland.

Mereka mendirikan kediaman di sini pada tahun 1904 dan kemudiannya mula membina sedikit-demi sedikit taman di persekitaran rumah tersebut. Ia turut mendapatkan khidmat daripada Isaburo Kishida dari Yokohama untuk membina taman teh pada tahun 1907. Apabila kuari tersebut semakin kekurangan batu kapur ia terus ditukar kepada taman.

Semakin banyak perubahan dilakukan kepada taman ini yang kemudiannya hannya menjurus kepada sebuah taman untuk kunjungan orang ramai. Taman ini mendapat perhatian oleh bukan sahaja para pengunjung malah daripada badan-badan pelancongan yang lain.

Desert Botanical Gardens, Phoenix, Arizona



Taman yang pada mulanya diasaskan oleh sebuah persatuan iaitu Arizona Cactus and Native Flora Society pada tahun 1937. Hari ini taman ini mempunyai keluasan 140 akar (57 ha.) dan memuatkan lebih daripada 21,000 pokok dengan lebih daripada 4,000 taxa di mana satu pertiga daripadanya adalah tumbuhan tempatan, manakala 139 spesis jarang ditemui, terancam ataupun hampir pupus.

Sebagai taman yang menjurus kepada tumbuhan gurun, ia bukan sahaja menyediakan lawatan kepada orang ramai malah menjadi satu pusat penting dalam pemuliharaan tumbuh-tumbuhan bagi kategori tersebut dengan kemudahan seperti barium, perpustakaan, makmal, pusat pemuliharaan tumbuhan dan juga kemudahan pusat kajian.

Yuyuan Garden, China



Yuyuan Garden, mungkin merupakan antara taman tertua yang masih kekal hingga ke hari ini di mana ia mula dibina semasa Dinasti Ming (1368 – 1644 AD). Taman yang melalui pelbagai perubahan zaman dan kaya dengan sejarah ini hampir-hampir musnah keseluruhannya melalui beberapa perang yang melanda kawasan ini. Namun ia tetap menjadi salah satu taman yang dipelihara oleh pihak pentadbiran Shanghai dan membukanya semula kepada orang ramai pada tahun 1961.

Walaupun hanya mempunyai keluasan seluas 2 ha (5 ekar), taman ini bericirikan taman Cina yang penuh dengan sejarah dengan binaan-binaan bangunan dan kolam-kolam ikan. Selain daripada mendamaikan, taman ini merupakan taman yang unik untuk dikunjungi.

Fairchild Tropical Botanic Garden; Coral Gables, Florida



Taman yang menjurus kepada pemuliharaan tumbuhan tropika ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan selain menyediakan kemudahan lawatan kepada orang ramai. Tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini adalah di kumpulkan daripda kawasan Selatan Florida, Caribbean, Oceanic Island, kawasan tropika lain seperti Afrika dan Madagascar. Taman ini juga merupakan pusat kajian tumbuhan palma dan telah menjalankan kajian tersebut hampir 70 tahun.

Banyak aktiviti dijalankan oleh taman ini selain daripada lawatan sahaja. Ini termasuk keahlian, program pendidikan, penglibatan sukarelawan, aktiviti bermusim, penerbitan majalah, kajian tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ia disertai oleh 45,000 ahli dan dibantu oleh 1,200 orang sukarelawan dalam mengendalikan misinya dalam pemeliharaan tumbuh-tumbuhan.

Taman ini berkeluasan 83 ekar (34 ha) dilengkapi dengan muzium, makmal, pusat pendidikan, dan kemudahan-kemudahan lain. Mula dibuka pada tahun 1938 oleh pemiliknya iaitu Robert H. Montgomey (1872 – 1953) yang menamakan taman tersebut sempena nama kawan baiknya David Fairchild (1869 – 1954) yang banyak membawa tumbuh-tumbuhan yang terdapat di taman tersebut.

The Garden of Cosmic Speculation – Scotland



Taman unik ini adlah berilhamkan kepada matematik dan sains yang digabungkan bersama tumbuhan dan tasik buatan. Ia adalah milik arkitek landskap Charles Jenks di rumahnya di Portrack House, Dumfries, Scotland pada tahun 1989.

Mempunyai keluasan 30 ekar (12 ha.) taman ini dipenuhi dengan arca-arca yang melambangkan fenomena seperti Black Holes dan pecahan. Walaupun tidak dipenuhi dengan tumbuhan ataupun bunga-bungaan ia lebih menekankan kepada formula matematik dan fenomena-fenomena lain di dalam alam semesta.

Sebagai taman milik persendirian, ia hanya dibuka sehari dalam masa setahun bagi mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada Maggie Centre, iaitu sebuah badan amal yang dinamakan sempena mendiang isteri beliau sendiri iaitu Maggie Keswick Jencks.

Jardin Majorelle, Marrakech, Morocco




Taman yang jauh berbeza dari taman-taman yang lain kerana ia adalah hasil daripada seorang pelukis perancis Jacques Majorelle pada tahun 1920. Keseluruhan taman ini rata-ratanya menggunakan warna biru termasuk bangunan utama yang dinamakan, bleu Majorelle.

Ia menjadi salah satu tempat lawatan yang terkenal di Morocco. Di mana Jacques Majorelle (1886 – 1962) menghabiskan hampir 40 tahun untuk menyempurnakan tamannya ini merupakan nak kepada pereka perabot terkenal Louis Majorelle. Berminat dalam bidang lukisan membawa Jacques Majorelle mengembara ke Spain, Itali dan kemudiannya ke Egypt sebelum beliau ke Morocco.

Pembinaan tamannya mengambil masa yang agak lama dan mempunyai sejarah yang tersendiri. Hari ini taman ini dimiliki oleh Yves Saint-Laurent dan Pierre Bergé semenjak tahun 1980 dalam usaha beliau menyelamatkan taman tersebut daripada ditukarkan menjadi kawasan hotel dan perumahan.


Begitulah di antara beberapa taman yang terkenal di serata dunia dengan pelbagai keunikan masing-masing. Selain daripada menyediakan pemuliharaan, pusat pembiakan dan pameran, juga terdapat taman yang penuh dengan sejarah serta kisah-kisah tersendiri yang menyentuh perasaan. Semoga dengan ini sedikit sebanyak bukan sahaja memberikan anda idea untuk lawatan malah mungkin juga untuk lebih menghargai taman-taman yang terdapat berhampiran kita.



Free Download



Arkib Blog