Memaparkan catatan dengan label pembiakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pembiakan. Papar semua catatan

Isnin, 18 Julai 2016

Perkara Menarik Mengenai Ayam dan Baka Ayam

Serama merupakan baka ayam dari Malaysia.

Ayam merupakan antara haiwan peliharaan yang paling popular dan telah dipelihara oleh manusia sejak beribu tahun dahulu. Terdapat beratus-ratus baka ayam asli di dunia dan mungkin beribu lagi adalah hasil kacukan daripada baka-baka ayam ini. Ayam dipelihara dengan tujuan peghasilan sumber makanan iaitu telur dan daging, manakala pemeliharaan baka tertentu hanya dilakukan bagi tujuan ayam hiasan atau oleh peminat-peminat pengumpul baka ayam.

Bagi pemelihara biasa, perbezaan baka ayam mungkin tidak menjadi suatu kepentingan yang besar. Namun pemeliharaan baka ini adakalanya boleh memberikan beberapa kebaikan yang lain, terutamanya dalam penghasilan jenis-jenis ayam yang baru untuk tujuan-tujuan tertentu pula seperti menghasilkan telur yang lebih, daging yang lebih banyak, tahan serangan penyakit, mudah dipelihara, mempunyai bulu yang lebih cantik dan sebagainya. Antara contoh kacukan ayam yang paling berjaya adalah dalam penghasilan ayan onagadori iaitu ayam yang mempunyai bulu ekor terpaling panjang.

Barnevelder baka alam dari Netherlands.

Buff Orpington baka ayam UK.

Baka ayam Sumatra.

Oleh kerana terdapat ratusan baka ayam, maka tidak dapat disenaraikan keseluruhan baka ayam yang terdapat di dunia di dalam artikel yang kecil kali ini. Namun anda boleh merujuk senarai baka-baka ayam dengan mudah melalui laman web antaranya wikipedia. Namun senarai ini adalah senarai ringkas baka-baka ayam yang terdapat di seluruh dunia mengikut negara. Antara laman lain yang menyediakan maklumat mengenai jenis-jenis ayam adalah di backyardchickens.com.

Baka-baka ayam asal banyak terdapat di Eropah dan di Amerika kerana pemeliharaan ayam di sana lebih bersifat pemeliharaan baka berbanding sekadar penghasilan sumber makanan. Menjelang abad ke 21 beberapa badan khas ditubuhkan untuk mengenal pasti baka ayam standard antaranya seperti  British Poultry Standard, Standard of Perfection, Australian Poultry Standard dan American Bantam Association (yang lebih merujuk kepada standard bagi ayam-ayam kategori bantam; ayam katik).

Oleh kerana pemeliharaan baka ini lebih popular di Eropah dan Amerika, maka senarai baka yang terdapat di negara-negara tersebut adalah lebih meluas. Namun kesemua baka-baka ayam ini dapat dilihat dengan lebih jelas daripada ciri-ciri utama ayam tersebut daripada segi rupa bentuk, saiz, warna bulu dan ciri-ciri lain seperti perlakuan kekerapan bertelur serta tabiat pergaulan dengan ayam-ayam lain. Pemeliharaan baka dilihat amat penting terutamanya bagi ayam-ayam yang dipelihara sebagai ayam hiasan (kategori bantam/katik).

Golden Sebright merupakan antara jenis ayam bantam/katik.

Sultan, baka ayam dari Turkey.

Saiz ayam dari baka Malay.
Ayam onagadori.

Bagi Malaysia sendiri hanya dua baka ayam asal yang dikenali iaitu ayam ‘Malay’ atau lebih dikenali sebagai ayam kampung dan juga ayam ‘serama’. Adapun baka ayam ‘Malay’ yang dimaksudkan adalah ayam yang mempunyai saiz yang agak besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 90 cm dan berat biasa 5 kg. dan bersifat agak agresif. Baka ayam ‘Malay’ kini terdapat di sekitar Eropah yang mula dibawa ke England pada tahun 1830. Begitu juga dengan ayam serama yang disenaraikan di dalam senarai standard bantam di US. Malah terdapat pertubuhan khas di US bagi peminat-peminat ayam serama iaitu American Serama Association semenjak tahun 2012.

Walaupun pemeliharaan ayam dianggap sebagai perkara yang remeh oleh kebanyakan orang, namun apabila anda melihat kepelbagaian baka ayam ini, akan timbul perasaan kepentingan memelihara keunikan baka-baka ayam tersebut. Perkara yang sama turut berlaku kepada haiwan-haiwan ternakan yang lain seperti lembu, kambing, kerbau, kuda, kucing, anjing dan sebagainya. Melalui pemeliharaan ini kita akan lebih menghargai keunikan setiap baka dengan ciri-ciri unik mereka masing-masing.


Free Download



Khamis, 19 Mei 2016

Ikan Pelaga Cantik Tetapi Garang

Antara hybrid ikan pelaga siam (Betta splendens).

Ikan pelaga terdiri daripada beberapa spesies ikan-ikan air tawar bersaiz kecil yang cantik dan terkenal. Antara yang paling cantik dalam spesies ini adalah ikan pelaga siam “Siamese fighting fish” (Betta splendens), ikan mengkaring (Betta imbellis) dan ikan sempilai (Trichopsis vittata). Adapun ikan pelaga siam berasal daripada lembangan Sungai Mekong termasuk negara-negara seperti Thailand (Siam), Laos, Cambodia dan Vietnam. Namanya “ikan pelaga” adalah bersempena tabiatnya yang suka berlaga.

Keunikan ikan laga ini suatu masa dahulu amat popular kerana ia digunakan sebagai satu acara perlawanan ikan, sama juga seperti acara sabung ayam. Malah setiap pemilik ikan laga mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan ikan laga mereka berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan. Ini kerana sifatnya yang suka menyendiri dan bersifat ‘territorial’ yang akan mempertahankan kawasannya dari dimasuki oleh ikan-ikan yang lain.

Ikan sempilai jantan.

Ikan sempilai betina.

Antara kawasan menjadi habitat ikan sempilai.

Walaupun bersifat agresif, ikan pelaga siam mempunyai warna yang amat terang dan cantik. Ia menjadi buruan peminat ikan untuk memeliharanya. Cuma ia tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas bersama-sama ikan lain kerana sifat agresif tersebut. Malah ikan-ikan pelaga ini turut menyerang ikan-ikan pelaga berlainan jantina sebelum tiba musim mengawan.

Ikan-ikan Betta, adalah sebahagian daripada keluarga ikan Gourami (seperti ikan kaloi) yang juga popular sebagai ikan hiasan akuarium. Ikan-ikan ini bersaiz sekitar 6.5 cm (2.6 in) panjang. Pada spesies-spesies liar, ikan pelaga mempunyai warna yang lebih pudar antara hijau, coklat dan kelabu dengan sirip-sirip yang lebih pendek. Hanya ikan-ikan yang dibiak untuk tujuan ikan hiasan sahaja yang mempunyai warna yang lebih terang serta ekor yang besar dan sirip yang lebih panjang.

Walaupun membela ikan pelaga adalah agak mudah kerana ia tidak memerlukan bekas yang besar, namun anda perlu memastikan air yang digunakan adalah bebas klorin. Hanya bagi pemakanan ikan ini, ia hanya memilih makanan yang bersaiz kecil (sebesar mulutnya sahaja). Pellet kecil adalah sesuai selain hidupan-hidupan kecil seperti jentik-jentik, zooplankton, crustaceans dan serangga-serangga kecil.

Ikan-ikan pelaga siam yang dikacukkan.

Selain warna, bentuk ekor dan sirip juga penting.

Ikan pelaga siam dengan warna coklat.

Ikan-ikan pelaga hari ini, yang dijual untuk tujuan peliharaan adalah hasil daripada kacukan berlainan spesies ikan-ikan pelaga yang menghasilkan pelbagai warna yang menarik. Ikan-ikan dari spesies berbeza seperti B. Splendens, B. imbellis, B. mahachaiensis, dan B. Smaragdina menghasilkan banyak lagi hybrid-hybrid baru. Seperti yang dilihat hari ini ikan-ikan pelaga siam terdiri daripada pelbagai warna yang tidak dilihat pada ikan-ikan lain. Selain warna, para pembiak ikan pelaga siam juga turut cuba menghasilkan ikan-ikan yang mempunyai sirip dan ekor yang lebih besar.

Walaupun ikan-ikan pelaga masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat ikan hiasan. Namun ikan pelaga asal di habitatnya mengalami ancaman kepupusan. Aktiviti pertanian, penerokaan hutan dan juga empangan menyebabkan jumlah ikan-ikan ini semakin berkurangan. Penurunan ini bukanlah khusus untuk ikan-ikan pelaga sahaja, malah untuk ikan-ikan yang lain juga. Sekiranya alam sekitar tidak lagi sesuai untuk didiami oleh hidupan lain, adakah ianya sesuai untuk didiami manusia?



Free Download



Ahad, 10 April 2016

Bagaimana Tapak Sulaiman Mampu Berganda

'Crown of thorn' merupakan ancaman utama kepada terumbu karang.

Tapak sulaiman atau ‘sea stars’ merupakan hidupan yang unik dengan rupa bentuknya seperti bintang kebiasaannya dengan lima lengan, walaupun ada antara spesis yang mempunyai lengan yang lebih banyak.  Tapak sulaiman bergerak dengan perlahan dan ini menjadikan ia sebagai salah satu mangsa yang mudah bagi pemangsanya. Namun begitu ia juga mempunyai keunikan lain yang memastikan ia dapat bertahan dari pupus.

‘Crown-of-thorns’ (Acanthaster planci) iaitu spesis tapak sulaiman yang diketahui menjadi ancaman kepada spesies karang di kawasan-kawasan terumbu karang seperti di Great Barrier Reef dan juga di kawasan-kawasan Indo-Pacific yang lain. Populasinya yang meningkat dengan cepat akibat daripada kekurangan pemangsa (yang mungkin berkurangan akibat daripada aktiviti manusia seperti penangkapan berlebihan) menjadikan spesis batu karang semakin terancam. Ia juga menyebabkan industri pelancongan terjejas.

Antara usaha pengawalan hidupan ini cuba dihapuskan melalui kaedah memotongnya kepada bahagian-bahagian kecil. Ini sebenarnya menyebabkan hidupan ini berganda. Setiap bahagian yang dipotong akan menghasilkan satu tapak sulaiman yang baru. Ya, ia bukan sahaja mampu menghasilkan anggota baru – malah mampu menghasilkan sepenuhnya tapak sulaiman yang baru daripada setiap bahagian yang terpotong.

'Crown of thorns' dengan warna yang lebih garang.

Serangan 'crown of thorns' boleh menjadi serius.

Walaupun keistimewaan ini tidak dimiliki oleh semua jenis tapak sulaiman, kebanyakan spesies sekurang-kurangnya mampu untuk menghasilkan semula anggota yang rosak sekiranya diserang oleh musuh. Namun begitu bagi ‘crown-of-thorns’, ia mampu menghasilkan individu baru dari setiap bahagian yang terpotong.

Keistimewaan ini adalah kerana sel-sel pada ‘crown-of-thorns’, berada pada tahap ‘indeterminate’, seperti “stem sel”, yang mampu menjadi sebarang jenis sel yang mampu membentuk semula setiap bahagian bagi seekor tapak sulaiman yang sempurna. Walaubagaimanapun tapak sulaiman ini tetap mampu membiak seperti biasa.

Usaha pengawalan 'crown of thorns'.

Antara pemangsa 'crown of thorns' siput 'giant triton'.

Ia merupakan satu kelebihan yang unik kerana stem sel pada manusia hanya mampu membentuk kepada sel-sel tertentu sahaja (untuk menggantikan sel-sel yang rosak) kecuali pada tahap embrio semasa pembentukan janin. Namun begitu dengan mengetahui mengenai ciri-ciri ini, kaedah pengawalan ‘crown-of-thorns’ dapat dilakukan dengan kaedah yang lebih berkesan. Menakjubkan!




Free Download



Arkib Blog