Peralatan pembersihan perkakasan elektronik/komputer |
Pembersihan perkakasan elektronik seperti komputer, tablet, telefon bimbit dan apa juga perkakasan kesayangan anda mungkin boleh membantu untuk jangka hayat peralatan yang lebih lama. Jadi peralatan serta kaedah yang betul perlu digunakan atau proses ini mungkin boleh mendatangkan masalah kepada peralatan kesayangan anda.
Komputer dan peralatan elektronik yang lain sememangnya perlu dibersihkan selalu bagi mengekalkan kualiti peralatan tersebut, terutama pada skrinnya yang memaparkan maklumat yang perlu dilihat. Pembersihan yang kurang cermat mungkin akan mengakibatkan skrin bercalar seterusnya anda tidak lagi dapat melihat hasil paparan yang baik. Terdapat juga beberapa peralatan yang lain bagi membersihkan papan kekunci dari habuk dan debu yang boleh menyebabkan kerosakan sekiranya dibiarkan berpanjangan. Tanpa berlengah lagi mari kita lihat peralatan-peralatan tersebut dan kaedah pembersihan yang baik.
Peralatan asas untuk kerja-kerja pembersihan;
Peralatan asas pembersihan a) pam angin b) berus lembut c) cecair pembersih d) kain pengelap lembut |
a) Cecair pencuci – gunakan cecair khas untuk pembersihan skrin komputer. Ini kerana cecair ini akan cepat kering selain selamat (tidak menghakis permukaan skrin anda).
b) Kain penggilap yang sesuai – kain penggilap untuk kerja pembersihan juga biasanya disertakan bersama cecair pencuci. Kain ini dapat mengelakkan skrin dari calar kerana ianya lembut. Selain itu ia juga mampu menarik habuk dan kotoran dari skrin dengan berkesan.
c) Berus – berus untuk pembersihan perlulah lembut dan bebas dari kotoran (berus tidak menyimpan habuk). Berus yang kasar mungkin boleh merosakkan peralatan apabila digunakan secara kasar.
d) Pam angin – pam angin biasa digunakan untuk menghembus habuk dan debu yang melekat di celah-celah papan kekunci serta celahan yang sukar dibersihkan. Pam angin ini amat berguna terutama dalam membersihkan peralatan seperti printer/mesin photostat yang menggunakan toner.
e) Vakum mini – vakum mini sama seperti pam angin juga untuk membersihkan habuk. Anda boleh menggunakan salah satu peralatan ini atau keduanya mengikut kesesuaian. Pastikan kuasa sedutan vakum bersesuaian bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Berbanding pam angin yang biasanya menggunakan tangan adalah lebih mudah untuk dikawal.
Kebiasaannya peralatan ini dijual dalam bentuk satu set dan ada juga dijual secara berasingan. Anda boleh membeli peralatan ini mengikut keperluan anda. Sekiranya anda mempunyai peralatan yang banyak atau biasa melakukan kerja-kerja pembersihan, anda mungkin memerlukan peralatan-peralatan seperti di atas pada kuantiti yang berbeza.
Penggunaan vakum juga sesuai bagi memerangkap habuk yang terperangkap pada peralatan |
Langkah-langkah pembersihan;
1) Sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan pastikan kesemua peralatan telah disediakan bagi memastikan segala proses pembersihan dapat berjalan dengan lancar. Sebarang gangguan perlu dielakkan terutama sekiranya anda perlu membuka peralatan untuk tujuan pembersihan.
2) Pastikan bekalan kuasa peralatan telah dimatikan. Ini penting bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan. Cecair yang digunakan mungkin boleh mengakibatkan pintasan pada litar peralatan semasa kerja pembersihan. Oleh sebab itu kita perlu menggunakan cecair yang cepat kering (meruap).
3) Bersihkan permukaan dengan berus dari habuk-habuk yang kasar dengan perlahan. Habuk-habuk kasar mungkin boleh mengakibatkan calar sekiranya terus dilap dengan kain pengilap. Jadi ianya perlu dibersihkan dengan berus terlebih dahulu.
Berus lembut memastikan peralatan tidak rosak |
4) Basahkan kain pengilap dengan cecair sebelum mengelap permukaan. Menyembur pada permukaan adalah kurang baik dipraktikkan kerana cecair boleh meleleh masuk ke dalam peralatan dan merosakkan nya.
5) Bersihkan pula papan kekunci dengan berus. Gunakan pam angin atau vakum untuk membersihkan habuk-habuk yang tersimpan di bawah butang papan kekunci. Sebelum menggunakan kain pengelap dan cecair pembersih.
6) Periksa lubang angin (komputer/mesin) untuk mengeluarkan haba panas tidak tersekat oleh habuk. Ini boleh mengakibatkan kerosakan pada peralatan. Gunakan berus, pam angin dan vakum sehingga bahagian ini betul-betul bersih dan angin panas boleh mengalir keluar dengan baik.
Kerja-kerja pembersihan ini perlu dilakukan selalu mengikut keperluan dan penggunaan peralatan anda. Peralatan yang sentiasa bersih boleh menjamin kualiti penggunaanya untuk jangka panjang. Selain itu juga ianya boleh dijual semula dengan harga yang lebih tinggi sekiranya anda ingin menggantikannya dengan peralatan yang lebih baru.
Sebahagian kerja yang memerlukan peralatan dalam keadaan baik (terutama skrin) adalah seperti kerja-kerja yang bergantung kepada keadaan skrin yang baik seperti ‘photo editing’, ‘designer’, ‘video editing’ atau para peminat video dan ‘video games’. Ini kerana skrin yang kotor akan mengganggu anda untuk melakukan tugas dengan baik atau menikmati paparan yang benar-benar berkualiti.
Diharap artikel kali ini dapat membantu anda untuk memahami kepentingan kerja-kerja pembersihan peralatan. Ini kerana kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara tidak teliti mungkin boleh mendatangkan kerosakan pada peralatan kesayanga anda. Jadi fahami dan lakukannya dengan lebih yakin.