Memaparkan catatan dengan label pembelajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pembelajaran. Papar semua catatan

Sabtu, 16 April 2016

Bayi Dengan Pelbagai Bahasa Mempunyai Otak Yang Lebih Fleksibel

Masa yang sesuai melatih anak-anak anda adalah di peringkat bayi.

Pada peringkat bayi proses pembelajaran sentiasa berlaku melalui persekitarannya. Bayi yang terdedah kepada persekitaran lebih dari satu bahasa mempunyai pelbagai faedah dari keadaan ini dalam membentuk pemikiran kognitif mereka.

Bayi tidak perlu mempelajari bahasa berdasarkan pemahaman (translasi) seperti mana pada orang dewasa. Mereka mula mengenali perbualan orang dewasa pada peringkat ini, pembelajaran dwi-bahasa atau lebih adalah lebih mudah dilakukan. Namun begitu aktiviti ini juga membantu otak bayi tersebut menjadi lebih aktif dan turut membantu keupayaan bayi tersebut di dalam kemahiran menyelesaikan masalah.

Kelebihan ini juga terjadi pada golongan dewasa yang mempelajari lebih dari satu bahasa di mana kemampuan kognitif mereka di dapati meningkat seperi dalam menyelesaikan sesuatu masalah melibatkan perancangan, berhujah (reasoning) dan menyelesaikan masalah (melibatkan pelbagai fakta). Melalui kajian oleh para pengkaji di University of Washington, kelebihan kesan neurological ini turut dikesan pada bayi yang terdedah kepada pelbagai bahasa ini.

Walaupun tidak boleh bertutur, otak bayi terus mengumpul maklumat.

Bayi mempelajari apa sahaja dari persekitarannya.

Pendedahan pada peringkat awal ini membolehkan bayi-bayi dalam proses pembelajaran ini (11 bulan) mendapati memberikan reaksi kepada perkataan-perkataan (dari bahasa yang di dengarinya) sebagai tanda mereka mengenalinya – berbanding daripada bunyi-bunyi biasa. Keadaan ini berbeza sekiranya ia hanya terdedah kepada satu bahasa pula, di mana bayi tidak menunjukkan reaksi kepada bahasa lain yang tidak pernah didengarinya.


Ini satu lagi perkara yang kita perlu fahami mengenai bilakah kita perlu mula melatih anak-anak untuk mempelajari bahasa baru. Ia juga menerangkan potensi kita sendiri untuk melatih diri kita dalam mempunyai otak yang lebih cergas. Mungkin apa yang penting pada kita adalah untuk menyedari bahawa kemahiran berbahasa lain bukan sahaja boleh memudahkan komunikasi malah membuka peluang untuk saling bekerjasama dalam tujuan perniagaan dan sebagainya. Ya, apa yang perlu kita ubah adalah cara kita berfikir!






Free Download



Ahad, 12 April 2015

MOOC Peluang Keemasan Menambah Pengetahuan

Online Learning
Pembelajaran secara online boleh diikuti dengan lebih mudah.

MOOC singkatan kepada ‘massive open online course’, merupakan kursus-kursus yang disediakan melalui web. Mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan mendapat sambutan menjelang 2012 sehingga kini terdapat ribuan kursus yang disediakan oleh universiti-universiti terkemuka mahupun orang persendirian bagi membantu sesiapa sahaja untuk menambahkan ilmu di dalam bidang yang diminati.

Melalui MOOC ini maka lebih mudah bagi kebanyakan individu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di dalam bidang tertentu mendapat kemudahan untuk mengikuti kursus-kursus yang disediakan yang kebanyakannya secara percuma. Walaupun ia tidak memberikan anda segulung ijazah, namun ilmu yang ditimba melalui kursus-kursus ini tidak kurang hebatnya dengan mengikuti kursus-kursus di dalam kelas. Malah ada di antaranya yang memerlukan anda menghasilkan tugasan yang sama dan mengambil peperiksaan untuk penilaian.

Selain itu juga melalui MOOC anda dapat mengikuti kursus dengan lebih menjurus kepada bidang yang berkaitan dengan minat anda tanpa perlu mencampur adukkan dengan subjek-subjek lain seperti mengikuti program yang dijalankan oleh sesebuah universiti. Ini dapat menjimatkan masa malah membolehkan anda memberikan sepenuh tumpuan kepada pelajaran tersebut. Manakala dengan bahan-bahan yang disediakan melalui internet – anda boleh mengikutinya pada bila-bila masa 24 jam sehari.

Berikut adalah beberapa kelebihan yang disediakan melalui MOOC;


  • Bertepatan dengan sebarang tetapan yang mempunyai sambungan ke internet (web atau Wi-Fi)
  • Disediakan dalam pelbagai bahasa (Kebanyakannya Bahasa Inggeris)
  • Sebarang kaedah secara online
  • Mejangkau zon waktu mahupun batasan sempadan
  • Penyediaan dan penyampaian dalam masa yang lebih singkat
  • Bahan berkaitan boleh dikongsi secara bersama
  • Lebih informal
  • Hubugan dengan rakan lain dengan mudah
  • Mudah mengelakkan kekangan batasan sesebuah institusi (peraturan)
  • Tidak menghadkan pelbagai pra-syarat untuk mengikuti kursus yang diminati
  • Mempertingkatkan suasana pembelajaran dengan penyediaan ruang perbincangan
  • Menyediakan ruang untuk pembelajaran berterusan
MOOC Provider
Sebahagian institusi penyumbang isi pembelajaran.

Bagi mengiktuti kursus-kursus MOOC ini anda bolehlah mendaftarkan diri di beberapa laman web yang disediakan khas untuk proses pendaftaran. Walaupun ada diantaranya yang mengenakan bayaran (untuk tujuan persijilan dan sebagainya), anda boleh membuat pilihan sendiri mengikut keperluan anda. Kebanyakan kursus ini turut disediakan oleh universiti terkemuka dan mempunyai bahan kursus yang amat berkualiti. Jadi amatlah sayang sekiranya anda tidak menggunakan peluang ini dengan baik – kerana tidak mustahil ia akan mengenakan bayaran untuk masa-masa akan datang.

Antara penyedia kursus-kursus MOOC adalah seperti berikut;

Penyedia
Komersil (Keuntungan)
Akses Percuma
Bayaran Pensijilan
Kredit Institusi
Petrolessons
Ya
Tidak
Ya
Sebahagian
EdX
Tidak
Ya
Ya
Tidak
Cousera
Ya
Ya
Ya
Sebahagian
Udacity
Ya
Tidak
Ya
Sebahagian
Udemy
Ya
Sebahagian
Ya
Sebahagian
P2PU
Tidak
Ya
Tidak
Tidak


Malah untuk sekadar menambahkan kemahiran di dalam sesuatu perkara sahaja anda boleh mengikuti pelbagai bahan yang disediakan secara percuma dari iTunesU, Khan Academy, Open Culture, Academic Earth, Open Access Journals, Open Education Consortium, Codecedemy dan banyak lagi. Anda boleh mengikuti senarai ini di sini.

Kursus-kursus yang disediakan secara online ini bukanlah ala kadar seperti kursus yang biasa anda hadiri. Malah banyak diantaranya dihasilkan dengan teliti oleh badan-badan pendidikan professional seperti HarvardX, MIT, Berkeley, Boston University, TU Delft, Cornell University dan banyak lagi. Malah universiti-universiti tempatan juga sudah mula menyediakan kursus dalam bentuk ini di OpenLearning.


MOOC Explanation
Secara ringkas dan padat mengenai MOOC.

Berbanding daripada anda menghabiskan masa untuk menunggu peluang mendapat tawaran belajar di universiti yang memerlukan belanja puluhan, hingga ratusan ribu ringgit tanpa sebarang jaminan anda akan mampu membayar semula pinjaman pelajaran PTPTN anda – yang akhirnya akan membebankan diri anda sendiri. Apa yang anda perlukan sebenarnya adalah pengetahuan dan usaha untuk menampilkan kemahiran dalam bidang yang anda ceburi.


Janganlah menghabiskan masa anda menuding jari kepada orang lain. Mulakanlah dengan mengambil tindakan untuk memperbaiki kemahiran anda dan menggunakannya sebaik mungkin. Akhir sekali, jangan lupa kongsi-kongsikan berita baik ini kepada semua.









Free Download



Selasa, 25 Februari 2014

Peluang Mengikuti Kursus Math&Brain di Malaysia


Math-Brain Program 2014
Program Math&Brain 2014 dengan beberapa pembaharuan.

Math&Brain bukanlah satu produk yang baru. Oleh kerana pada mulanya ianya diterbitkan dalam bentuk sebuah buku berbahasa Inggeris dan hanya dijual secara online melalui laman penerbit dan amazon.com maka ia kurang dikenali di Malaysia. Kurus Math&Brain hanya mula di perkenalkan pada lewat tahun 2013 di beberapa buah sekolah sahaja.

Program Math&Brain dapat membantu para pelajar dalam menghadapi peperiksaan mereka seperti UPSR, PMR dan SPM. Namun begitu para pelajar IPT juga seharusnya memandang serius kemahiran ini, begitu juga bagi mereka yang telahpun bekerja kerana kemahiran berfikir amat penting pada setiap peringkat umur.

Memandangkan kursus ini mendapat sambutan dari para pelajar, maka ianya akan diteruskan dan dalam membantu lebih ramai mendapat manfaat dari kursus ini, ia akan turut diperkenalkan dalam beberapa bentuk pendekatan yang lain.

Bagaimana Math&Brain Berfungsi?


Pada peringkat awal ramai yang menyangka Math&Brain adalah untuk menyelesaikan masalah matematik seperti kaedah Aritmetik yang telah lama diketahui ramai. Namun tujuan sebenar Math&Brain adalah bertujuan untuk membantu orang ramai berfikir dengan menggunakan kedua-dua belah otak, iaitu otak kiri dan otak kanan. Oleh kerana kaedah pemikiran ini biasa diperkatakan, maka Math&Brain membekalkan latihan amali yang lebih praktikal. Malah pengguna tidak perlu mengetahui bagaimana ia bekerja untuk mendapat faedah berfikir menggunakan kedua-dua belah otak ini.

Dalam membentuk modul Math&Brain beberapa sudut penting yang memberikan kefahaman diberikan perhatian mendalam.

i) Kefahaman mengenai otak  (neurologi) – ini merupakan konsep utama yang membentuk Math&Brain. Perbezaan kaedah otak kiri dan otak kanan bekerja yang berbeza amat mempengaruhi cara seseorang menyelesaikan masalah. Manakala gabungan kedua belah otak ini akan membantu membentuk kreativiti dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Selain itu juga kaedah mengingat (memori), fungsi saraf dan sell saraf juga diberikan perhatian.

ii) Teori pembelajaran – ia juga membantu Math&Brain menghasilkan modul yang berkesan dan impak kepada pengguna. Ini kerana dalam memastikan hasil yang diingini kaedah yang berkesan perlu digunakan seperti contoh yang mudah difahami, pengulangan, rujukan dan peningkatan yang berterusan. Malah latihan yang disediakan dianggarkan hanya mengambil masa 10 minit sehari selama 30 hari bagi memastikan corak pemikiran dapat dikekalkan.

iii) Latihan yang mudah – latihan merupakan kaedah terbaik dalam mencapai hasil yang diingini. Latihan mudah bermaksud ia bersesuaian dengan tahap kemahiran di setiap peringkat. Ya, anda tidak mungkin merasakan latihan pada hari ke-25 mudah sekiranya ia dilakukan pada hari pertama.

Slide Math-Brain
Slide program Math&Brain memberikan impak pada peserta.

Latihan 10 Minit 30 Hari


Modul latihan merupakan satu ciri penting di dalam program Math&Brain. Ia merupakan persoalan asas mengapa Math&Brain dibentuk. Cuba fikirkan persoalan ini, “Sekiranya berfikir dengan otak kiri dan otak kanan amat bermanfaat, apakah yang anda perlu lakukan untuk menguasainya?” Jawapannya tentulah, latihan yang tepat/khusus!

Latihan mudah ini bermaksud ia boleh dilakukan oleh semua peringkat umur. Malah pengguna boleh melakukan latihan ini tanpa mengetahui bagaimana otak kiri dan otak kanan berfungsi – tetapi masih mendapat hasil dari menggunakan kedua-dua belah bahagian otak ini. Latihannya yang mudah tidak akan mengganggu jadual harian anda (sekiranya anda mampu meluangkan sedikit masa untuk program kemajuan diri ini). Menggunakan operasi matematik asas sebagai kaedah latihan, ia sesuai untuk individu ataupun seisi keluarga.

Ciri Latihan Math-Brain
Ciri-ciri khusus pada latihan Math&Brain lebih praktikal.

Bagaimana Math&Brain di Aplikasikan?


Bagi membantu Math&Brain dapat dimanfaatkan oleh semua (terutama rakyat Malaysia khususnya), beberapa pendekatan dilakukan antaranya;

i) Pembelian secara terus secara online – pembelian terus Math&Brain secara online melalui amazon.com atau laman penerbit boleh dilakukan bila-bila masa 24 jam sehari. Melalui laman penerbit anda boleh membeli modul Math&Brain dalam bentuk buku ataupun e-book. Di mana pembelian e-book dapat menjimatkan perbelanjaan pengeposan dan ianya lebih pantas.

ii) Menghadiri kursus Math&Brain di sekolah-sekolah yang berminat – ia lebih bergantung kepada pihak sekolah yang perlu menganjurkan program ini di sekolah mereka. Namun begitu ia merupakan satu program yang lebih baik, kerana konsep Math&Brain dapat diterangkan secara terus kepada pelajar. Manakala pelajar akan meneruskan dengan program latihan mereka selama 30 hari.

Tempahan awal perlu dibuat bagi memastikan program dapat dijalankan dengan lancar. Malah Math&Brain juga amat berminat untuk mengadakan program ini di Sabah, Sarawak dan juga Brunei.

iii) Modul Math&Brain Edisi Khas (Bahasa Melayu) – disediakan khas untuk pasaran di Malaysia sahaja. Tempahan boleh dibuat melalui laman fanpage Math&Brain Malaysia. Hantarkan mesej anda pada ‘admin’ untuk membuat tempahan modul khas ini.

iv) Khidmat Nasihat secara terus untuk kaedah pembelajaran Math&Brain – perkhidmatan ini juga perlu dibuat melalui fanpage Math&Brain Malaysia di Facebook. Walaubagaimanapun khidmat ini amat terhad dan diharap permohonan anda dapat dipertimbangkan.

Adalah lebih baik program Math&Brain dilakukan secara berkumpulan seperti di sekolah-sekolah kerana ianya jauh menjimatkan dan dapat membantu para pelajar dalam skala yang besar. Kaedah ini juga menjimatkan dari segi kos per pelajar (berbanding harga sebuah buku Math&Brain yang perlu dibelanjakan sekiranya dibeli secara online).

Kaedah pemikiran keseluruhan otak ini amat penting dalam membantu menyelesaikan masalah secara kreatif. Maka tidak hairanlah ia penting bagi semua peringkat umur. Malah setelah menguasai kemahiran ini anda mungkin tidak menyangka terdapat banyak kaedah untuk menyelesaikan masalah anda – dan anda hanya perlu memikirkan kaedah yang manakah lebih efisyen. Bayangkan sekiranya ia dikuasai di peringkat sekolah lagi.

Mungkin anda menyangka bijak pandai dilahirkan dengan kelebihan istimewa. Namun kajian menunjukkan bahawa kita semua dilahirkan dengan kemampuan yang sama untuk menguasai sesuatu perkara/ pelajaran. Apakah yang menyebabkan kita mempunyai tahap kemahiran berbeza? Bolehkah keadaan ini diperbaiki? Bagaimana sekiranya anda mengubah cara anda berfikir? Bantulah diri anda dan bantulah orang lain untuk terus memajukan lagi diri mereka dan masyarakat, semoga kita akan terus mencapai pembangunan yang berterusan.


Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai program Math&Brain ini anda bolehlah menghubungi fanpage Math&Brain Malaysia ataupun melalui email: wikipelajar@gmail.com


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sabtu, 28 September 2013

Kaedah Pembelajaran Yang Sesuai Mempercepatkan Kefahaman Penakulan

Setiap kali menjelang peperiksaan tentulah para pelajar semakin sibuk dengan menelaah buku-buku rujukan dari pelbagai jenis dan jenama. Tidak kurang juga dengan kelas-kelas tambahan dan tuisyen yang dihadiri oleh pelajar-pelajar tersebut. Ketegangan ini bukan sahaja dialami oleh pelajar tersebut malah guru-guru dan ibubapa pelajar.

Di negara kita terdapat tiga peperiksaan utama yang menjadi fokus utama setiap tahun iaitu UPSR, PMR dan SPM. Walaupun terdapat banyak lagi peperiksaan di peringkat tinggi, namun ketiga-tiga peperiksaan ini merupakan peperiksaan asas bagi semua pelajar di seluruh negara. Tidak hairanlah mengapa ianya menjadi tumpuan bagi seluruh rakyat dengan melakukan pelbagai usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut. Apakah usaha yang dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut memberi kesan yang berkesan?

Teknik Pembelajaran


Dalam menguasai sesuatu subjek, teknik pembelajaran merupakan faktor utama yang membantu samada ianya dapat difahami atau sebaliknya. Teknik pembelajaran juga perlu bersesuaian dengan mata pelajaran dan pelajar yang mempelajarinya. Namun begitu terdapat beberapa teknik yang masih boleh membantu dalam memberikan kefahaman dan mempercepatkan proses pembelajaran. Mari kita lihat beberapa kaedah yang boleh digunakan.

Peta Minda

Peta minda yang menarik, menambah minat pelajar
untuk membuat ulangkaji - meningkatkan daya ingatan.

Peta minda merupakan kaedah yang paling selalu digunakan dalam membantu mengingati isi kandungan pelajaran. Peta minda membantu meringkaskan isi kandungan yang panjang dan membantu pelajar mengingati secara gambaran. Kaedah ini merupakan antara kaedah yang paling berkesan bagi kebanyakan pelajaran topik yang panjang.

Kemahiran membuat peta minda perlu dilatih bagi memastikan keberkesanan kaedah ini. Peta minda perlu disediakan sendiri oleh pelajar bagi memastikan ianya berkesan (peta minda yang disediakan oleh orang lain kurang berkesan, walaupun masih boleh membantu). Peta minda yang disediakan perlu menimbulkan impak kepada pelajar - gunakan kreativiti semasa menghasilkan peta minda bagi menambah minat semasa mengulangkaji semula peta minda tersebut.

Gambarajah

Gambarajah memudahkan proses pemahaman dengan gambar dan label

Terdapat beberapa subjek yang menggunakan gambarajah sebagai rujukan utama untuk menguasai subjek tersebut terutama seperti Sains dan Geography. Ini kerana gambarajah lebih mudah untuk menerangkan sesetengah bahagian dalam mata pelajaran tersebut. Jadi sesetengah gambarajah ini perlu dikuasai dengan mengulangkaji gambarajah-gambarajah utama di dalam topik-topik tertentu.

Kemahiran menguasai gambarajah boleh dilakukan sepenuhnya dengan melukis semula gambarajah tersebut atau menggunakan gambarajah sedia ada di dalam buku-buku latihan. Labelkan setiap bahagian yang diketahui, catatkan pula penerangan mengenai bahagian tersebut. Ini secara tidak langsung akan membantu kefahaman mengenai bahagian yang ditanda.

Jadual


Jadual adalah salah satu kaedah yang paling sesuai apabila membuat perbezaan bagi dua atau lebih perkara yang berbeza. Jadual boleh digunakan dalam pelbagai subjek yang dipelajari di sekolah. Ianya sesuai apabila membuat perbandingan dalam apa jua keadaan.

Bagi menghasilkan jadual yang berkesan apa yang penting adalah kemahiran membuat perbezaan di antara kesemua perkara yang ingin diperbandingkan antara satu sama lain. Jadual mempunyai fungsi yang hampir sama dengan gambarajah tetapi lebih menggunakan teks atau nombor.

Nota Ringkas


Nota Ringkas merupakan pelengkap kepada kesemua kaedah di atas. Walaupun kesemua kaedah di atas membantu meringkaskan kaedah mengulangkaji pelajar, nota ringkas masih diperlukan bagi menambah mana-mana ruang yang ingin diberikan perhatian.

Seperti juga peta minda, nota ringkas perlu disediakan sendiri oleh pelajar bagi memudahkan proses mengulangkaji - tumpukan pada bahagian yang diperlukan sahaja. Ini kerana biasanya setiap pelajar mempunyai bahagian kelemahan masing-masing yang berbeza. Nota ringkas tidak perlu mengandungi isi yang panjang, memadai dengan kata kunci yang boleh membantu pelajar mengingati semula tajuk yang telah dipelajari di dalam kelas.


Terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh membantu pelajar menguasai kemahiran sesuatu mata pelajaran mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri. Apa yang dibincangkan di sini adalah beberapa kaedah utama yang umum dan sesuai digunakan oleh kebanyakan pelajar. Terdapat juga beberapa faktor lain yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan pelajar dapat menguasai pelajaran dengan berkesan yang mungkin akan diperbincangkan dalam artikel yang lain.


*Untuk lebih kaedah dan maklumat tentang pelajaran sertai page: Math&Brain 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.




Arkib Blog