Memaparkan catatan dengan label panduan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label panduan. Papar semua catatan

Khamis, 25 Jun 2020

Panduan Cara Memasukkan Jenis Tulisan Bold Underlined Dan Italic Pada Facebook Twitter


Sebagaimana anda semua ketahui, Facebook tidak mempunyai fungsi memasukkan jenis tulisan seperti Bold, Underlined ataupun Italic pada catatan dan bahagian komen. Walaupun ketiadaan fungsi tersebut, anda masih boleh memasukkannya dengan menggunakan penjana teks.

Terdapat banyak penjana teks yang memberikan fungsi tulisan pada Facebook di luar sana. Jadi di sini saya akan syorkan penjana teks terbaik untuk Facebook. Anda boleh menggunakan YayText sebagai pilihan terbaik kerana ianya mempunyai pelbagai jenis pilihan yang menarik. Tambahan pula ianya boleh juga digunakan pada Twitter.


CARA-CARA

1. Buka pelayar internet anda dan pergi ke YayText.com.

2. Taip pada kotak kosong "Your Text" perkataan atau ayat yang anda ingin ubah jenis tulisannya.



3. Pilih jenis tulisan yang diingini dan tekan butang Copy. Sebagai contoh saya akan pilih "Bold Sans" sebagai pilihan.



4. Selepas itu anda boleh membuka Facebook dan 'Paste' pada catatan atau komen anda.



Ini merupakan cara termudah di mana anda tidak perlu mengubahsuai atau mengganggu kod pengkodan pada pelayar internet anda. Diharap panduan ini dapat membantu anda dalam membuat catatan atau komen yang cantik. Selamat mencuba!

Isnin, 22 Jun 2020

Panduan Cara Memasukkan Sarikata Sumbangan Komuniti Youtube

Jika anda lihat pada video-video Youtube yang mempunyai sarikata CC, terdapat beberapa pilihan bahasa untuk dipilih. Bagi sesetengah video, pilihan sarikata tersebut bukanlah dibuat oleh pemilik video, tetapi ianya disumbang oleh komuniti Youtube ataupun peminat video tersebut.

Fungsi ini dipanggil 'Community Contibution' ataupun 'Sumbangan Komuniti'. Fungsi ini terlebih dahulu perlu dihidupkan oleh pemilik video. Perlu ingat bahawa tak semua video mempunyai fungsi ini. Sama ada pemilik video tidak tahu cara menghidupkan fungsi 'Sumbangan Komuniti' ataupun pemilik video memang sengaja tidak mahu meletakkan sarikata bahasa lain pada video mereka. Walau apa pun alasan, anda boleh menghubungi pemilik video untuk meminta mereka menghidupkan fungsi tersebut supaya anda dapat menyumbang sarikata.


CARA-CARA

1. Klik pada ikon butang roda pada bawah video dan pilih Subtitles/CC.


2. Selepas itu klik pada Add subtitles/CC. Ia akan membawa anda kepada tab atau window baru.



3. Di dalam bahagian ini, anda boleh pilih bahasa yang anda ingin masukkan sebagai sarikata. Jika bahasa yang anda ingin masukkan tidak ada dalam senarai, anda boleh cari bahasa pilihan di dalam kotak carian. Jika anda ingin masukkan bahasa Melayu sebagai sarikata, anda boleh klik pada Malay. Ianya kemudian akan membawa anda kepada bahagian seterusnya.


4. Pada bahagian ini, anda sudah boleh memulakan kerja memasukkan sarikata pada video. Selalunya draf jarak masa telah pun disediakan untuk kemudahan anda. Anda hanya perlu masukkan sarikata pada kotak kosong. Video pratonton juga disediakan bagi memudahkan anda melihat sarikata yang muncul pada video.



5. Apabila semua sarikata telah dimasukkan, anda boleh klik pada butang Submit Contribution untuk mengakhiri kerja anda. Perlu ingat bahawa sarikata yang anda buat akan disemak oleh pemilik video sebelum ia muncul sebagai pilihan bahasa sarikata pada video.

Diharap panduan ini dapat membantu anda dalam menyumbang sarikata pada video-video Youtube kegemaran anda.

Rabu, 14 Disember 2016

Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur

Menara Berkembar Petronas pada waktu malam.

Menara Berkembar Petronas merupakan mercu tanda yang paling popular di Kuala Lumpur kerana ia boleh dilihat sejauh puluhan kilometer dari luar Kuala Lumpur. Merupakan bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1998 sehingga 2004, namun ia masih mengekalkan gelaran menara berkembar tertinggi di dunia sehingga ke hari ini.


Menara ini adalah hasil reka bentuk yang dihasilkan oleh arkitek Argentina, Cesar Pelli. Reka bentuk yang dihasilkan adalah bersesuaian dengan reka bentuk yang melambangkan ciri-ciri Bandaraya Kuala Lumpur dan kebudayaannya. Selain daripada menara berkembar ini Cesar Pelli turut mereka beberapa bangunan lain di dunia termasuk Key Tower, Cleveland; Cira Centre, Philadelphia; 30 Hudson Street, Jersey City; 1 Canada Square, London; Riverview Plaza, Wuhan; Wells Fargo Center (Minneapolis), Minneapolis.

Kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas.

Pemandangan dari atas.

Pusat memberli belah Suria KLCC.

Kerja-kerja pembinaan bangunan dimulakan pada 1 April 1994 dan siap pada 1 Mach 1996. Ia bagaimanapun dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 1 Ogos 1999. Bangunan yang turut menempatkan ruangan pusat membeli belah Suria KLCC ini turut menempatkan ruangan pejabat bagi Petronas dan syarikat-syarikat utama lain seperti Huawei Technologies, Boeing, Bloomberg, Al Jazeera English, HCL Technologies, IBM, Microsoft, Reuters, Carigali Hess, Khazanah Nasional Berhad dan lain-lain lagi.

Bersebelahan dengan bangunan ini terdapat taman seluas 17 ekar iaitu KLCC Park yang membolehkan para pengunjung menikmati suasana menyegarkan. Ia dilengkapi dengan kolam air, laluan pejalan kaki dan taman permainan kanak-kanak. Anda juga mungkin berpeluang menyaksikan pertunjukkan pancutan air bercahaya yang menarik pada waktu-waktu tertentu setiap malam.

Skybridge terletak di aras 41 & 42.

Laluan di Skybridge.

Anda juga mungkin berpeluang untuk menyeberangi Skybridge yang terletak di aras 41 dan 42 pada ketinggian 170 m (558 ft). Jambatan ini mempunyai kepanjangan 58 m (190 ft) panjang dengan beratnya adalah 750 tan. Hanya sebanyak 1000 tiket yang akan diagih-agihkan setiap hari yang dahulunya ianya adalah percuma. Bagaimanapun bermula pada 2010 tiket-tiket mula dikenakan caj pada harga-harga tertentu. Tiket boleh didapati dari kaunter tiket di aras councorse menara tersebut. Bagi pelancong anda boleh membuat tempahan online dari link ini.


Walaupun Menara Berkembar Petronas bukanlah lagi merupakan bangunan tertinggi di dunia, namun ia masih lagi merupakan menara berkembar tertinggi di dunia. Selain itu keunikan ciri-cirinya yang tersediri memberikan menara ini nilai yang berbeza dalam menampilkan kebudayaan Malaysia. Ia merupakan mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur yang perlu anda lawati.









Free Download



Khamis, 13 Oktober 2016

Perkhidmatan Bas Percuma GoKL Untuk Semua

Bas-bas GoKL yang memulakan operasi sejak 2012 lagi.

Perkhidmatan bas percuma GoKL bukanlah sesuatu yang baru malah telah dimulakan sejak tahun 2012 lagi dan ditambah lagi dengan 2 laluan baru pada tahun 2014. Kini ia mempunyai 4 laluan utama yang membolehkan semua pengunjung dan penduduk di Bandaraya Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan bas percuma ini pada bila-bila masa pada waktu pengoperasiannya.

Bas GoKL beroperasi di kawasan-kawasan utama di tengah Bandaraya Kuala Lumpur dengan kekerapan 5 minit pada waktu puncak (7.00AM – 10.00AM & 4.00PM – 8.00PM: hari bekerja) dan 10 minit pada waktu-waktu yang lain menjadikan ia sebagai pengangkutan yang baik untuk warga kota. Secara tidak langsung ia membolehkan warga kota menggunakan perkhidmatan ini dan mengurangkan jumlah kenderaan di kawasan-kawasan utama terutamanya pada waktu puncak. Malah ia juga turut berkesan dalam mengurangkan kesan pencemaran udara kerana bas GoKL sendiri menggunakan tenaga dari gas asli “Compressed Natural Gas” (CNG) yang dapat mengurangkan pencemaran.

Melalui laluan-laluan utama di Pusat Bandaraya.

GoKL menyediakan pengangkutan yang selesa.

Bagi yang telah biasa dengan perkhidmatan ini mungkin telah sedia maklum dengan laluannya masing-masing. Manakala bagi anda yang masih belum biasa dengan laluan bas GoKL bolehlah memuat turun peta laluan daripada link yang disediakan. Laluan adalah dibezakan melalui warna-warna tertentu bas-bas GoKL iaitu merah, biru, hijau dan ungu. Setiap laluan bas-bas ini merangkumi laluan-laluan tertentu terdiri daripada lokasi-lokasi penting termasuk pusat pengangkutan seperti KL Sentral, lokasi menarik seperti Dataran Merdeka, pusat membeli-belah Bukit Bintang, taman rekreasi dan sebagainya (lihat peta laluan sebagai panduan).

Laluan Bas Merah:

  • KL Sentral
  • Muzium Negara
  • Masjid Negara
  • Dataran Merdeka
  • Medan Mara
  • Chow Kit (Jln Ipoh)
  • Terminal Jalan Tun Razak
  • Monorel Chow Kit
  • Pertama Kompleks
  • Dayabumi

Laluan Bas Biru:

  • Medan Mara
  • Chow Kit (Jln Ipoh)
  • Terminal Jalan Tun Razak
  • HKL (Jln Pahang)
  • Masjid Kg. Baru
  • Hotel Concorde
  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Wisma Boustead
  • Menara Hup Seng
  • Bukit Nanas
  • LRT Dang wangi
  • Menara AIA

Laluan Bas Ungu:

  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Wisma Boustead
  • Wisma MPL
  • Bukit Ceylon
  • Kotaraya
  • Pasar Seni
  • Bangkok Bank
  • Muzium Telekom
  • Menara Olympia
  • KL Tower
  • The Weld
  • Wisma Foo Yong

Laluan Bas Hijau:

  • Pavilion
  • Starhill Gallery
  • Bukit Bintang
  • Menara KH
  • Wisma Rohas Perkasa
  • Grand Hyatt Hotel
  • KL Convention Centre
  • Citibank
  • Menara Atlan
  • KLCC
  • Angkasaraya
  • MATIC
  • Concorde Hotel
  • Life Centre
Peta Laluan untuk bas-bas GoKL di Kuala Lumpur.
Perkhidmatan percuma sepenuhnya.


* sila rujuk peta laluan untuk rangkaian laluan yang lebih jelas.


- Link untuk peta interaktif  >>di sini <<

- Download Map >> di sini <<

Perkhidmatan bas ini adalah percuma untuk semua warga kota dan juga para pelancong dalam dan luar yang mengunjungi Bandaraya Kuala Lumpur. Setiap pengunjung ke pusat bandaraya ini digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ini sebagai usaha penjimatan bahanapi, mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan juga mengurangkan pencemaran di ibu negara. Jadi sekiranya anda berkunjung ke Kuala Lumpur pada masa akan datang, jangan lupa untuk memanfaatkan perkhidmatan percuma ini.


Free Download




Ahad, 29 Mei 2016

Permainan Yang Meningkatkan Minat Anak Anda Kepada Pelajaran

Permainan membantu anak anda memperkembangkan bakat mereka.

Persekitaran dunia moden hari ini jauh berbeza dengan keadaan suatu masa dahulu di mana kanak-kanak banyak berinteraksi dengan dunia luar semasa bermain dan ini membantu merangsang perkembangan otak yang cerdas. Namun hari ini kanak-kanak bergantung dengan permainan-permainan yang disediakan (permainan siap) selain daripada permainan utama iaitu video games.

Sebagai ibubapa ataupun penjaga, menentukan jenis permainan yang betul untuk anak-anak adalah penting. Ini adalah bagi membantu mereka memperkembangkan daya berfikir, kreativiti, membuat keputusan dan sebagainya. Namun tanpa bantuan anda adalah sukar bagi mereka memilih permainan manakah yang boleh memberikan faedah-faedah seperti ini.

Dalam memilih permainan yang sesuai untuk anak-anak anda, pilihlah beberapa ciri utama seperti;

1) Bagaimanakah ia membantu anak anda berfikir dalam menyelesaikan masalah permainan tersebut?

- Permainan seperti Lego merangsang kanak-kanak berfikir dalam menyelesaikan sesuatu rekabentuk yang ingin dihasilkan. Selain itu ia turut merangkumi beberapa faedah yang lain.

- Permainan seperti abacus juga mempunyai faedah yang sama, namun ia memerlukan latihan dan perhatian daripada anda atau individu lain.

Lego antara permainan peransang yang baik.

2) Adakah ia mempunyai kaitan dengan dunia kehidupan seharian terutamanya pendidikan yang merangkumi sains, geografi, astronomi, ekonomi, kreativiti, kognitif dan sebagainya?

- Sesetengah permainan dibina untuk merangsang minat anda terhadap sesuatu bidang kerjaya seperti kedoktoran (set permainan kedoktoran) , astronomi (teleskop), saintis (mikroskop), masakan (set masakan), muzik (peralatan muzik), sukan dan 
sebagainya.

- Sesetengah peralatan permainan lagi dibina menggunakan prinsip-prinsip sains yang boleh meransang minat anak-anak untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut seperti bandul (pendulum), lava lamp, permainan magnet, gyroscope, Magnetic Field Viewer, Super Springy dan macam-macam lagi. Permainan berbentuk ini memerlukan kemahiran anda untuk menerangkan bagaimana ianya berfungsi.

- Permainan-permainan seperti ini merupakan titik tolak menentukan kecenderungan anak-anak anda diperingkat awal. Sebaiknya bentuklah mereka mengikut minat mereka berbanding mengikut kemahuan anda.

Permainan sains dan astronomi.

Permainan yang menguji minda.

3) Adakah ia membantu dalam memberikan faedah-faedah lain seperti sensor motor, keseimbangan dan faedah berkaitan kesihatan?

- Sesetengah peralatan permainan mempunyai faedah lain seperti kesihatan dan fleksibiliti sistem badan. Permainan seperti “roller blade”, “skateboard”, badminton, basikal ataupun peralatan kesukanan yang lain mempunyai faedah seperti ini. Pada masa yang sama peralatan permainan ini turut memberi faedah kepada kemahiran berfikir.

- Bagi permainan seperti ini, ibu bapa dan penjaga perlulah memastikan anak-anak mendapat latihan yang cukup serta mematuhi garis-garis keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

"Roller blades" memerlukan daya imbangan yang tinggi.

4) Bagaimanakah anda boleh membantu untuk menjadikan permainan tersebut mencapai faedah seperti yang diinginkan?

- Ibubapa atau penjaga perlu memastikan bagaimana permainan-permainana yang dipilih dapat memberikan faedah yang positif kepada perkembangan pendidikan dan pemikiran anak-anak. Ini membolehkan ibubapa atau penjaga memastikan objektif permainan tersebut dicapai.

-  Walaupun ini kelihatan seperti membebankan, namun ia akan lebih menyeronokkan apabila anda sendiri terlibat dengan permainan yang dimainkan oleh anak-anak anda. Secara tidak langsung menjadikan mereka lebih fokus kepada hasil permainan mereka.

- Sesetengah permainan juga memerlukan latihan tambahan seperti muzik dan sukan professional. Ibubapa yang dapat mengesan bakat kecenderungan anak-anak mereka di peringkat awal akan berpeluang membantu mereka mengasah bakat ini diperingkat awal.


"Magnetic globe" - menggunakan prinsip magnetic.

Permainan magnet yang menarik "klikyballs".

Masih terdapat banyak ruang untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat hiburan yang berfaedah. Melalui pemantauan dan penglibatan kita dengan lebih aktif memastikan mereka dapat memperkembangkan minat, kebolehan serta bakat mereka. Ia juga memberi peluang kepada anda menerokai sesuatu yang baru sekiranya anda belum pernah terlibat dengan minat mereka tersebut. Ia juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.


Free Download



Jumaat, 11 Mac 2016

Mengajar Anak-Anak Anda Menjadi Lebih Minat Tentang Pelajaran

Menarik minat kanak-kanak amat mudah sekiranya betul caranya.

Sering kedengaran ibu bapa mengeluh melihat anak-anak mereka yang lebih suka bermain daripada membaca buku dan membuat ulangkaji. Ia menjadi lebih serius apabila anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan penting seperti SPM, PMR, UPSR dan sebagainya? Mengapa anak anda sukar menumpukan perhatian mereka kepada bahan pendidikan?

Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak melakukan apa yang mereka rasakan menggembirakan bagi mereka. Sebenarnya mengajar kanak-kanak bukanlah sukar. Apa yang penting, bagaimanakah caranya untuk membuatkan bahan pelajaran tersebut lebih menyeronokkan. Tahukah anda, sebagai ibu bapa anda lebih berpeluang untuk mencorakkan minat mereka berbanding guru mereka di sekolah?


Kanak-kanak mudah mengikut apa yang anda lakukan berbanding apa yang anda katakan.

Mari kita lihat beberapa eksperimen mudah yang anda boleh lakukan kepada anak-anak anda yang membuatkan mereka tertanya, “bagaimanakah anda melakukannya?”. Ini adalah salah satu kaedah yang menarik dan menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama seisi keluarga. Eksperimen-eksperimen mudah ini membuktikan anda juga mempunyai kemahiran dalam membuktikan sesuatu.

Telur Terapung

Bahan-bahan:

·        Telur
·         Air
·         Garam
·         Gelas (yang membolehkan telur terapung)


Sebaiknya sediakan dua biji gelas dan dua biji telur. Masukkan air biasa ke dalam gelas yang pertama. Manakala cairkan sehingga 6 sudu besar garam ke dalam gelas yang kedua. Jangan isikan terlalu penuh bagi membolehkan telur dimasukkan kemudiannya.

Minta anak anda memasukkan telur ke dalam gelas yang pertama; dan lihat hasilnya. Anda akan memasukkan telur ke dalam gelas yang kedua; dan lihat hasilnya pula. Bincangkan bersama anak-anak anda tentang perkara tersebut. Mulakan dengan bertanya beberapa soalan kepada mereka?

Mencampurkan Air dan Minyak

Bahan-bahan:

·         Bekas (gelas atau bekas minuman)
·         Air
·         Pewarna makanan
·         Sedikit minyak
·         Cecair pencuci pinggan

    Warnakan air dengan pewarna makanan untuk memudahkan kesan eksperimen ini nanti. Kemudian masukkan sedikit air tersebut ke dalam bekas. Masukkan pula minyak ke dalam bekas tersebut. Tutup dan goncangkan bekas; perhatikan apa yang akan berlaku. Minyak dan air akan berpisah semula mengikut kumpulan masing-masing.

    Masukkan pula sedikit cecair pencuci pinggan mangkuk, dan goncang semula bekas tersebut; perhatikan semula apa yang akan berlaku. Minyak dan air kini bergabung oleh kerana molekul sabun menarik kedua-dua molekul minyak dan air. Ia dipanggil sebagai bahan pengemulsi dan memudahkan kerja-kerja membersihkan permukaan berminyak.

    Mencucuk Kentang Dengan Straw

    Bahan-bahan:

    ·         Straw plastik yang masih baik (tidak koyak atau bocor)
    ·         Kentang



    Mulakan eksperimen anda dengan menggunakan straw yang tidak ditutup hujungnya dan tikamkan kepada kentang. Minta pula anak anda melakukan ini beberapa kali.

    Lakukan sekali lagi menggunakan straw yang baru (yang lama boleh digunakan sekiranya masih baik). Kali ini tutup hujungnya menggunakan ibu jari anda. Tikam kentang dengan pantas; perhatikan apa yang berlaku kali ini. Bincangkan bersama anak anda bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

    Meletupkan Belon Dengan CO2

    Bahan-bahan:

    ·         Belon
    ·         Sedikit air (anggaran 40 ml – 4 sudu besar))
    ·         Botol air minuman – hujung untuk dimasukkan belon, sebaiknya botol kaca yang kuat.
    ·         Straw atau batang plastik yang panjang seperti ‘chop stick
    ·         Jus lemon
    ·         1 sudu kesil ‘baking soda’.



    Regangkan belon untuk memudahkan ianya mengelembung. Masukkan 40 ml ari ke dalam botol. Masukkan pula baking soda ke dalam air tersebut dan kacau dengan straw sehingga ianya larut. Masukkan pula jus lemon dan dengan pantas masukkan hujung belon ke muncung botol.

    Tindak balas ‘baking soda’ dan lemon akan menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan ia akan mengembangkan belon anda sehingga meletup. Sebaiknya ianya dilakukan di luar rumah dan anak-anak anda amat menyukainya.


    Minat anak-anak banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Ini kerana anak-anak anda sentiasa memerhatikan setiap perbuatan anda. Agak sukar mengulangkaji pelajaran sekiranya anda hanya menghabiskan masa dengan menonton TV di rumah. Banyakkan berbincang sesekali dengan mereka tentang perkara-perkara menarik mengenai pelajaran dan juga jangan lupa berikan pujian sekiranya mereka menunjukkan kemajuan; berikan sokongan sekiranya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang betul pula.



    Free Download



    Arkib Blog