Memaparkan catatan dengan label pandan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pandan. Papar semua catatan

Ahad, 3 Julai 2016

Lagi Buah Yang Agak Unik, Puhala Tree Seed Pod

Puhala dengan isinya dengan warna yang cantik.

Satu lagi buah yang agak unik untuk dikenali, kerana walaupun ia mungkin tidak ditemui di sini, namun ia merupakan dari jenis tumbuhan yang mempunyai kaitan dengannya iaitu spesis pandan.  Hala atau Pū hala (Pandanus tectorius) merupakan spesis pandan yang berasal dari Hawaii juga dikenali sebagai Hawaiian screwpine, mempunyai buah yang unik. Sebagai spesis pandan, ia mempunyai banyak lagi kegunaan lain.

Tidak seperti spesis pandan/mengkuang biasa ia tumbuh agak tinggi mempunyai batang dan cabang-cabang sehingga 20 – 40 kaki tinggi. Namun ia mempunyai pelbagai kegunaan kepada masyarakat tempatan lebih dari sekadar buah peliknya boleh dimakan.

Sejak sekian lama, seperti juga mengkuang dan pandan tumbuhan ini digunakan untuk membuat barangan seperti keperluan bagi canoe/sampan, baju yang dikenali sebagai ʻahu hīnano, serat dari akarnya juga digunakan untuk untuk membuat barangan keperluan harian. Batang utama pokok ini digunakan untuk membentuk syiling rumah dan bahagian-bahagian lain bangunan.

Pokoknya mungkin juga ditanam sebagai hiasan.

Buah puhala yang muda.

Seperti juga mengkuang, ia digunakan untuk membuat peralatan-peralatan kraftangan yang lain seperti bakul, tikar, topi, sandal, kipas dan sebagainya. Secara kasarnya, masyarakat Hawaii menggunakan keseluruhan tumbuhan ini untuk dimanfaatkan.

Berbalik kepada buahnya yang unik kerana rupa bentuknya yang jarang kita lihat. Dari luar ia kelihatan seperti buah yang berbonjol-bonjol (permukaan tidak sekata). Malah, ia juga membentuk pecahan-pecahan kecil (ulas). Ia boleh mencapai antara 38 – 200 ulas dan setiap satunya mengandungi 2 biji sehingga 8 biji. Keseluruhan buah boleh  mencapai saiz antara 8–30 cm (3.1–12 in)  dan panjang sehingga 4 – 20 cm (1.6–7.9 in). Buahnya ini adalah ringan dan tahan apabila terapung dipermukaan laut beberapa bulan. Apa yang menarik wana buahnya apabila dibuka.

Buah yang telah masak.

Seulas daripada sebiji buah yang besar,

Buahnya selain dimakan mentah, ia juga boleh dimasak dan merupakan sumber makanan penting di Micronesia. Buahnya agak berserat yang boleh dijadikan sebagai floss semulajadi. Daunnya digunakan untuk menambahkan perasa makanan-makanan manis seperti kaya/jem (sama juga seperti pandan). Antara sumber bauan utama dari tumbuhan ini diperolehi daripada bunga dan buahnya.


Menarik bukan, buah yang unik mempuyai pelbagai kegunaan. Walaupun ia bukan berasal dari negara kita, namun ia boleh tumbuh di kawasan beriklim tropika. Namun kita juga mempunyai banyak tumbuhan dari family yang sama dan boleh dimanfaatkan dengan baik.


Free Download



Khamis, 12 Disember 2013

Keunikan Hasil Kraftangan Mengkuang

Pokok mengkuang yang berduri

Mengkuang adalah sejenis pokok dari keluarga pandan juga, cuma ianya tidaklah berbau wangi seperti pandan yang digunakan dalam masakan. Walaupun pokoknya berduri dan selalunya tumbuh di kawasan berpaya namun pandan telah lama berbakti kepada masyarakat Melayu untuk menghasilkan pelbagai barangan berguna untuk kegunaan seharian.

Seni anyaman mengkuang yang biasanya diwarisi turun-temurun ini membolehkan mengkuang menghasilkan barangan seperti tikar hamparan, bekas-bekas makanan, bekas simpanan, beg tangan dan barangan hiasan. Dengan kreativiti hari ini pelbagai lagi barangan dihasilkan melalui teknik cantuman pelbagai seni yang lain seperti sulaman dan anyaman yang digabungkan.

Dalam menghasilkan seni anyaman mengkuang apa yang memainkan peranan penting adalah teknik pemprosesan daun mengkuang untuk membolehkan ianya digunakan. Ini kerana daun mengkuang yang masih berada pada pokoknya perlu diambil dengan teliti bagi mengelakkan ianya rosak. Proses seterusnya pula memastikan daun mengkuang dapat bertahan dan boleh dianyam dengan mudah. Terdapat juga proses mewarna bagi menghasilkan hasil anyaman yang lebih cantik serta meningkatkan lagi hasil seni anyaman mengkuang.

Pelbagai hasil produk mengkuang

Proses mengambil daun mengkuang dilakukan dengan teliti selain daripada mengelakkan duri dari daun mengkuang ia juga bagi memastikan daun dapat digunakan semaksimum yang boleh dengan mengelakkan kerosakan pada daun. Proses berikutnya adalah pembuangan duri pada batang daun, manakala duri pada tepi daun biasanya akan dibuang semasa proses beriutnya nanti. Daun mengkuang selepas itu akan dilayur di atas api yang sederhana bagi melebutkannya sebelum dipotong dengan peralatan seperti sesikat yang dibuat menggunakan pisau yang menentukan saiz mengkuang yang akan dianyam. Kemudian daun akan dilurut bagi melembutkannya sebelum direndam semalaman.

Proses rendaman adalah untuk melembutkan lagi daun mengkuang. Selain itu juga ia adalah untuk mebolehkan daun mengkuang tahan lebih lama. Proses ini juga akan melunturkan sebahagian warna hijau pada daun mengkuang. Selepas itu barulah daun-daun dikeringkan dengan menjemurnya dibawah cahaya matahari. Setelah betul-betul kering daun akan kelihatan bewarna putih dan agak berpintal. Proses melurut berikutnya dapat melembutkannya semula untuk membolehkan ianya dianyam.

Dodol dalam bekas mengkuang lebih enak

Proses anyaman berbeza mengikut sesuatu barangan yang ingin dihasilkan. Di sinilah kemahiran sebenar seorang tukang anyaman diperlukan. Selain daripada kepakaran menganyam, teknik penghasilan sesuatu barangan juga perlu diketahui. Antara barangan yang popular dianyam menggunakan mengkuang adalah tikar hamparan. Tikar hamparan mengkuang selain daripada sejuk ia juga tidak menakung peluh apabila kita tidur di atasnya seperti tikar getah. Tikar mengkuang juga adakalanya dianyam dengan motif bunga-bungaan. Ia biasanya digunakan dalam menyambut tetamu untuk majlis-majlis tertentu.

Bekas simpanan makanan daripada mengkuang pula seperti untuk menyimpan makanan tradisi melayu seperti dodol dapat megelakkan dodol daripada tengik dan tahan lebih lama. Ini kerana bekas daripada daun mengkuang tidak memerap makanan seperti bekas plastik tetapi mampu menghalang daripada makanan tersebut terdedah kepada udara dan gangguan perosak. Ia juga memberi sedikit aroma bauan daripada daun mengkuang tersebut.

Hari ini seni anyaman mengkuang lebih kepada sebagai bahan hiasan. Jadi ianya digabungkan menjadi barangan-barangan hiasan sebagai pameran sahaja. Namun begitu ia tetap menarik dalam menampilkan hasil seni budaya yang bermutu tinggi selain daripada menonjolkan hubungkait budaya Melayu dalam mengolah kekayaan alam untuk kegunaan seharian.

Bekas mengkuang yang dihias cantik


Free Download






Isnin, 4 November 2013

Masakan Lebih Enak dan Beraroma Dengan Daun Pandan

Rimbunan pokok pandan
Bila lewat petang tentu para suri rumah sibuk menyediakan juadah minum petang untuk keluarga. Bagi mereka yang suka menyediakan kuih-muih atau pengat sebagai minuman petang, pastinya tidak akan lupa untuk memastikan bekalan daun pandan telah tersedia. Malah lebih mudah lagi sekiranya daun pandan ditanam di persekitaran rumah. Bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat kuih, malah macam-macam lagi gunanya daun pandan ni kan?

Pandan, Pandanus odorus 'fragrant screw pine', yang lebih kita kenali sebagai pandan termasuk dalam golongan keluarga Pandanaceae mempunyai hubung kait rapat kepada masyarakat, bukan sahaja sebagai bahan campur di dalam makanan malah untuk tujuan kebudayaan dan kegunaan harian yang lain. Malah pandan juga terkenal di sekitar negara yang lain.

Dikenali sebagai ketaki di Bangladesh, dan juga sejenis pandan yang lain iaitu dari jenis (Pandanus fascicularis), digunakan sebagai bahan bauan dalam penyediaan pulao, biryani dan puding kelapa, payesh. Di Indonesia ia lebih dikenali sebagai pandan wangi, soon-mhway di Burma, pandan di Filipina, bai tooey di Thailand, rampe dalam Bahasa Sinhala, sleuk toi dalam Bahasa Khmer dan lá dúa di Vietnam. Mungkin terdapat nama-nama lain kerana daun pandan sememangnya terkenal dan mempunyai banyak jenis, maka sudah tentu banyak namanya.

Kek pandan antara makanan popular.

Mengkuang pandan, antara tanaman hiasan.

Pandan memang popular untuk masakan digunakan sebagai pewangi dengan menyimpulkan daunnya dan terus dimasukkan ke dalam masakan seperti, nasi, nasi lemak, pengat dan apa juga masakan. Terdapat juga masakan menggunakan air daun pandan untuk mendapatkan warna dan baunya seperti kuih-muih untuk hidangan pagi dan petang. Ada juga menggunakan daun pandan ini dengan menjadikannya sebagai bekas untuk kuih tersebut seperti 'tepung pelita'. Tentu ramai yang teringat hidangan tepung pelita yang biasanya terdapat di bazaar ramadhan kan?

Terdapat juga makanan yang menggunakan daun pandan ini dengan membungkusnya sebelum ianya dikukus atau digoreng seperti hidangan 'gai ob bai toey(ayam pandan) dari Thailand. Dalam masakan tradisi daun pandan bukan sahaja digunakan untuk mendapatkan baunya yang harum malah ia turut menjadikan makanan lebih menarik. Hari ini bahan perasa dan pewarna tiruan turut digunakan untuk menggantikan daun pandan. Apa komen anda!

Bunga rampai sememangnya wangi.
Ayam daun pandan.
Terdapat juga kegunaan lain daun pandan iaitu sebagai penyegar udara. Selain daripada selamat, ianya juga menjimatkan dan dikatakan tahan lama. Bunga rampai yang menggunakan daun pandan sebagai bahan utama telah lama digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan pewangi yang begitu lazim semasa upacara perkahwinan (tepung tawar). Ia juga boleh digunakan untuk menyegarkan ruang di dalam almari pakaian, dan apa sahaja ruang tertutup seperti kabinet dapur. Ini kerana selain menyegarkan udara ia juga turut dikatakan berkesan untuk menghalau lipas. Satu lagi kegunaan yang hebat daun pandan!

Terdapat juga jenis pandan yang hanya digunakan sebagai tanaman hiasan kerana ianya tidak sesuai digunakan sebagai bahan bauan untuk masakan. Malah mengkuang juga adalah dari jenis keluarga pandan dengan daun yang lebih lebar, panjang dan berduri. Bagaimanapun ianya tetap menjadi salah satu bahan yang digunakan untuk membuat tikar, bahan kraf seperti beg, bekas makanan (dodol) dan pelbagai lagi.

Saya memang terfikir untuk menggunakan daun pandan untuk menyegarkan ruang bilik saya, selain itu mungkin juga akan terus menanam pandan tersebut di sekitar rumah. Mana tahu suatu hari nanti daun pandan ini juga akan semakin jarang untuk ditemui. Jadi lebih baik beringat sekarang.



Free Download



Arkib Blog