Memaparkan catatan dengan label pakaian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pakaian. Papar semua catatan

Isnin, 4 April 2022

Sutera Unik Muga Silk, Sutera Termahal dari Daerah Assam, India.

Muga silk, mempunyai warna asli tersendiri yang menarik.

Sutera merupakan salah satu tajuk penting yang mendapat perhatian di dalam artikel-artikel kami yang telah lepas mahupun yang akan datang. Kepentingan sutera sebagai bahan pembuatan merupakan sumber penting dalam menghasilkan pelbagai barangan. Pembangunan teknologi membolehkan sutera sintetik dihasilkan dengan kualiti yang lebih baik mengikut perkembangan masa. Walaubagaimanapun, buat masa ini industri sutera tradisional masih boleh berdaya saing memandangkan masih terdapat permintaan terhadapnya. Namun ia tidak mungkin akan bertahan sekiranya tiada usaha dalam memperbaiki kaedah pengeluarannya yang menyebabkan harganya yang terlalu tinggi dan penghasilan yang tidak efisyen.
 
Hari ini kita ingin melihat satu lagi jenis sutera yang amat unik dan hanya dihasilkan di daerah tertentu di India. Sutera unik ini dihasilkan oleh sejenis rama-rama yang berbeza daripada sutera biasa yang dihasilkan, malah ia turut diberikan makanan daripada daun tumbuhan tertentu dalam memastikan benang sutera dihasilkan mempunyai warnanya tersendiri. Memandangkan proses pemeliharaan dan penjagaan yang rumit menjadikan penghasilan sutera jenis ini amat terhad dan harganya juga amat mahal. Apa yang membimbangkan adalah, para pengusaha sutera ini masih lagi berada dalam keadaan kualiti kehidupan yang sama. Sekiranya keadaan ini berkekalan, maka tiada lagi generasi akan datang yang akan berminat dengan industri ini dan ia akan hilang dengan begitu sahaja.

 
Sutera yang dimaksudkan lebih dikenali sebagai ‘sutera muga’ (muga silk) yang dihasilkan oleh rama-rama yang dikenali sebagai ‘muga silkworm’ (Antheraea assamensis) atau juga dipanggil ulat sutera Assam. Penghasilan sutera ini telah dihasilkan di Daerah Assam semenjak 300 BC dan ianya hanya digunakan oleh golongan diraja. Berbeza dengan sari sutera biasa yang mungkin berharga sehingga $250, sari yang dihasilkan dengan menggunakan sutera muga boleh mencapai harga sehingga $6,500. Apa yang menarik sutera ini mempunyai warna keemasan secara semulajadi selain daripada menjadi lebih berkilat setiap kali ianya dicuci (menggunakan cucian tangan tanpa bahan pencuci kimia seperti sabun pencuci biasa).

Rama-rama yang digunakan dalam menghasilkan sutera Muga (Antheraea assamensis).

Ulat beluncas dari spesies yang menghasilkan sutera Muga.

Keunikan sutera muga bukan sahaja dihasilkan daripada jenis rama-rama yang unik. Untuk memastikan kualiti sutera yang tulen, anak rama-rama perlu diberikan makanan daripada tumbuhan tertentu sahaja, antaranya adalah daun dari pokok Som (Machilus bombycina) atau Sualu (Litsea polyantha). Namun dalam keadaan liar, anak rama-rama ini turut menjadikan tumbuh-tumbuhan lain sebagai makanan termasuk; Cinnamomum, Laurus, Litsea, Carpinus, Persea, Magnolia, Michelia, Quercus, Sarcostemma dan Symplocos. Sumber pemakanan ini amat penting, kerana ia memastikan kualiti sutera yang dihasilkan oleh kepompong beluncas menepati kualiti yang diperlukan untuk menjadi sutera muga yang diperlukan. Sumber pemakanan ulat beluncas memastikan kualiti warna benang sutera yang dihasilkan mempunyai warna keemasan yang berkilau.

 
Tidak seperti sutera biasa yang dihasilkan oleh jenis rama-rama Bombyx mori yang menjadikan tumbuhan mulberry sebagai makanan utamanya juga merupakan 90% daripada jumlah sutera yang dihasilkan untuk pasaran dunia. Sutera jenis ini juga dikenali sebagai ‘Mulberry Silk’, dimana penghasilan tanaman mulberry secara komersial khusus sebagai sumber makanan rama-rama ini dikenali sebagai Moriculture. Proses penghasilan mulberry silk lebih teratur dan mampu menghasilkan jumlah sutera yang lebih tinggi. Penternakan ulat-ulat sutera ini biasanya dilakukan di dalam bangunan khas yang mudah dikawal tanpa haiwan yang pemangsa yang menjadikan ulat-ulat ini sebagai makanan.

Pokok Som (Machilus bombycina) yang menjadi makanan khusus ulat sutera bagi penghasilan sutera Muga.

Pokok Sualu (Litsea polyantha), merupakan satu lagi pokok khusus bagi penghasilan sutera Muga asli.

Berbeza dengan Muga silk yang tergolong di dalam kumpulan Vanya Silk, atau boleh juga dinamakan sebagai sutera liar. Sutera-sutera liar adalah daripada sutera yang diperolehi daripada ulat-ulat yang hidup di hutan. Ia juga terdiri daripada rama-rama yang berbeza iaitu termasuk ; A. assamensis, A. paphia, A. pernyi, A. roylei, dan A. yamamai. Vanya silk terdiri daripada beberapa jenis termasuk Tussar, Muga dan Eri. Kepompong-kepompong sutera ini dikumpulkan oleh penduduk tempatan yang mendiami kawasan berhampiran hutan dan menggunakannya untuk ditenun atau dijual kepada penenun.
 
Berikutan dengan permintaan yang tinggi, sutera Muga menjadi mangsa
eksploitasi dengan penghasilan sutera muga tiruan. Maka dengan itu kerajaan terpaksa menetapkan bahawa penghasilan sutera Muga menjadi unik kepada Daerah Assam sahaja. Namun ia tidak menjamin keselamatan dalam memastikan sumber sutera itu sendiri iaitu ulat-ulat sutera dan sumber makanannya. Ancaman kepada ulat-ulat ini termasuklah serangan penyakit, haiwan pemangsa serta sumber makanan yang digunakan khusus untuk penghasilan sutera muga yang tulen.

 
Manakala dengan ancaman-ancaman ini, pengusaha-pengusaha (terdiri daripada
penternak ulat sutera dan penenun) muga silk, tidak memiliki pendapatan yang sepatutnya berbanding harga muga silk yang begitu tinggi. Sekiranya kaedah penghasilan ini tidak diperbaiki dan pendapatan pengusaha tidak ditingkatkan, maka industri muga silk akan hilang dalam tempoh terdekat.

Cadar yang dihasilkan daripada sutera Muga.

Bebenang daripada sutera Muga yang sedia untuk ditenun.

Muga silk merupakan satu lagi bahan dari sumber alam semulajadi yang amat unik dihasilkan oleh manusia dalam menghasilkan bahan pakaian. Ia merupakan satu ciri unik budaya yang amat berharga yang perlu dipelihara bagi memastikan keasliannya tetap kekal. Namun usaha ini akan mengalami pelbagai cabaran kerana ia juga bergantung kepada sumber alam yang lain termasuk ulat sutera dan sumber makanannya.
 
Walaupun pemeliharaan sumber semulajadi ini penting, penghasilan sutera secara sintetik merupakan salah satu langkah yang dapat menjamin penghasilan sutera yang lebih stabil dari segi harga, kualiti dan kuantiti yang lebih stabil. Teknologi ini masih diperbaiki dari pelbagai aspek dalam memastikan penghasilan yang optimum. Tanpa penghasilan sutera sintetik, penghasilan sutera secara semulajadi tidak mungkin dapat menampung permintaan sutera yang semakin meningkat bukan sahaja untuk penghasilan pakaian, malah dalam inovasi-inovasi baru yang memerlukan sutera.
 
 
Rujukan:
 
1) Businessinsider: Muga silk is known as the 'golden thread.' Here's why a sari made with this silk can cost $6,500.
2) Wikipedia: Muga silk
3) Wikipedia: Assam silk
4) Indiatales: Different Types Of Silk In India – An Introduction
5) Central Silk Board: Vanya Silks - The Wild Silks of India
 
 

Khamis, 3 Ogos 2017

Bahan Tenunan Unik Sutera Laut (Sea Silk)

Serat byssus yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut (sea silk).

Bahan-bahan penghasilan pakaian merupakan antara bahan penting yang sentiasa mendapat perhatian daripada Myrokan terutamanya sutera, sepertimana yang kita tahu, merupakan salah satu bahan terbaik yang diperolehi dari sumber alam. Sutera bukan sahaja dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ namun turut dihasilkan oleh serangga-serangga lain. Tahukah anda salah satu sutera terbaik iaitu ‘sutera laut’ adalah dihasilkan oleh sejenis kerang!

Sutera laut (sea silk) merupakan antara bahan yang jarang digunakan dan ianya hanya dihasilkan di beberapa kawasan sahaja di dunia iaitu Taranto, Apulia dan Sardinia di Itali. Ia juga semakin jarang ditemui kerana proses penghasilan sutera ia adalah jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan penghasilan sutera daripada ulat sutera.


Pinna nobilis di habitat asalnya di dasar laut. 
Pinna nobilis boleh mencapai sehingga 120 cm.


Sutera laut merupakan bahan filamen sutera yang juga dikenali sebagai “byssus” yang dihasilkan oleh hidupan “bivalve” mollusk untuk membantunya melekatkan diri di permukaan batuan. Adapun bahan yang digunakan untuk menghasilkan sutera laut adalah daripada byssus yang dihasilkan oleh sejenis kerangan yang dikenali sebagai pen shells (Pinna nobilis).

Sutera laut dahulunya dihasilkan di kawasan sekitar Mediterranean di mana hidupan Pinna nobilis boleh didapati sehingga kepada awal abad ke-20. Hidupan cengkerang ini mempunyai saiz yang agak besar dan mampu mencapai ukuran sehingga 120 cm (4 ft) panjang. Pada saiz ini ia mampu menghasilkan serat byssus yang mencapai sehingga 6 cm panjang. Melalui serat inilah benang sutera laut dihasilkan.


Sutera byssus yang amat halus.

Sarung tangan yang dihasilkan menggunakan sutera laut.

Chiara Vigo merupakan satu-satunya penghasil sutera laut yang tinggal!

Oleh kerana byssus yang dihasilkan amat pendek, proses pemintalan benang sutera laut memerlukan kemahiran yang tinggi dan memerlukan masa yang lama. Sehingga kini tiada barangan bersaiz besar dihasilkan menggunakan sutera laut ini melainkan barangan kecil seperti sarung tangan, bahan yang dikait dan beberapa barangan kecil sahaja.

Penghasilan sutera laut merupakan antara kaedah penghasilan fabrik yang hampir pupus dan usaha memeliharanya semakin giat dijalankan oleh pelbagai pihak bagi memastikan ianya tidak terus hilang. Sutera laut sememangnya unik kerana tiada siapa yang menyangka – sutera turut dihasilkan oleh hidupan air terutamanya kerang-kerangan.

Rujukan:
iii) Byssus







Free Download




Khamis, 12 Mei 2016

Benang dan Pakaian Daripada Serat Teratai

Kain daripada serat teratai hanya dihasilkan di beberapa kawasan.

Artikel mengenai teratai sebelumnya tidak menerangkan dengan lebih lanjut mengenai penghasilan pakaian melalui serat teratai. Malah ia juga kurang diketahui, kerana sebelum ini jarang diketengahkan penggunaan serat teratai sebagai penghasilan pakaian, kerana proses yang rumit selain kurang efisyen. Sebaliknya ianya digunakan untuk menghasilkan pakaian untuk para sami dan kegunaan di kuil-kuil sahaja. Jadi secara tidak langsung kain yang dihasilkan daripada serat teratai turut dianggap suci.

Penggunaan serat teratai untuk penghasilan pakaian hanya terkenal di beberapa tempat antaranya di Myanmar dan di Cambodia. Di Cambodia penghasilan pakaian daripada serat teratai mula dikomersilkan – jadi bagi yang berminat bolehlah mendapatkan pakaian daripada serat teratai daripada negara tersebut. Terdapat juga laman web pihak ketiga yang memasarkan produk serat teratai yang dihasilkan di Myanmar.

Antara barangan dihasilkan daripada serat teratai.

Benang teratai kelihatan agak kasar, namun ianya lembut.

Proses penghasilan pakaian bermula dengan menghasilkan benang daripada batang daun teratai yang biasanya dilakukan antara bulan Jun ke November, kerana pada waktu ini teratai mempunyai batang daun yang lebih panjang. Batang-batang daun teratai ini akan diambil dan diasingkan untuk tujuan mengasingkan fiber-nya bagi tujuan penghasilan benang.

Batang daun teratai ini mempunyai sisi yang agak tajam, maka ia perlu dikikis untuk mengelakkan kecederaan. Batang yang diambil pula perlu digunakan dalam tempoh 3 hari untuk memudahkan kerja-kerja menghasilkan benang. Lima batang teratai ini akan digabungkan sekali semasa proses mengeluarkan serat teratai untuk membentuk benang yang cukup tebal; ini sama sahaja seperti proses penghasilan benang daripada sutera. Pisau digunakan untuk menghasilkan luka pada batang teratai dan ia kemudiannya ditarik untuk mengeluarkan serat teratai.

Serat ini kemudiannya akan diletakkan di atas kepingan papan yang lembab dan digulung dengan tangan untuk membentuk benang. Proses yang sama dilakukan berterusan dengan menyambung hujung benang yang awal dengan yang berikutnya. Proses ini akan menghasilkan benang teratai yang panjang dan digulung sebelum digunakan untuk proses tenunan.


Serat teratai ditarik daripada batang daun teratai.
Kerja-kerja tenunan untuk menghasilkan kain.

Proses asas penghasilan pakaian daripada benang teratai adalah lebih sukar dan perlahan. Sekitar 120,000 batang daun teratai digunakan untuk menghasilkan satu pakaian lengkap. Oleh kerana kesukaran menghasilkannya, maka ia dihadiahkan kepada golongan ketua kuil atau sami-sami sahaja. Ia merupakan hasil ketekunan wanita Myanmar ratusan tahun dahulu yang tinggal di sekitar tasik yang ditumbuhi oleh tumbuhan istimewa ini dan memberikan gelaran “Kyar Chi” bagi kain daripada pokok teratai.

Hari ini benang daripada teratai digabungkan dengan sutera biasa untuk menghasilkan aneka motif supaya ia mempunyai lebih banyak pilihan. Selain itu, dengan cara ini juga ia dapat menjimatkan penggunaan benang teratai untuk menghasilkan barangan dengan harga yang lebih berpatutan.


Walaupun kini ada yang menghasilkannya secara komersial, namun penghasilan fabrik dari serat teratai ini masih lagi ditahap permulaan. Tidak banyak teknologi yang digunakan dalam penghasilannya dan tidak semua orang mengetahui akan keunikan pakaian daripada teratai.






Free Download



Ahad, 24 Mei 2015

Proses Penghasilan Barangan Sutera

Silk products
Barangan yang dihasilkan dengan sutera sentiasa mendapat pasaran tinggi.

Sutera merupakan bahan asli yang dihasilkan oleh beberapa jenis serangga namun penghasilan barangan menggunakan sutera pula adalah menggunakan sutera yang dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ kerana ia adalah lebih mudah untuk diproses dijadikan benang seterusnya barangan lain.

Sutera merupakan gentian protein yang dihasilkan terutamanya daripada ‘fibroin’ yang digunakan oleh beberapa jenis larva serangga untuk mebina kepompong (cocoons). Ulat sutera yang paling biasa diternak untuk penghasilan sutera ini adalah dari jenis ‘mulbery silkworm’ dari spesis Bombyx mory diternak secara meluas dalam industri penghasilan sutera atau juga dikenali sebagai ‘sericulture’.

mulbery tree
Pokok mulbery sumber makanan 'silkworm'

Mulbery silkworm
Ulat beluncas 'mulbery silkworm'.

Bagi tujuan penghasilan sutera ulat sutera perlu diternak kerana jumlah kepompong yang diperlukan untuk penghasilan benang sutera adalah banyak sekali. Sejarah awal penghasilan sutera bermula di China dengan bukti penemuan sutera yang ditemui berasal daripada tahun 3,630 BC (sebelum masihi). Bukti tersebut ditemui dari kawasan Yangshao di Qingtaicun, Xingyang, Henan. Ia merupakan beberapa bahan ekslusif pembesar China atau sebagai hadiah.

Perdagangan sutera dari China ke bahagian-bahagian lain dunia sebagai bahan penting termasuklah Egypt, Eropah, India dan Afrika Utara sehingga terhasilnya jalan perdagangan yang dikenali sebagai ‘silk road’ (jalan sutera). Industri penghasilan sutera ini kemudiaannya turut berkembang di bahagian-bahagian lain di dunia terutamanya di mana ulat sutera boleh diternak Seperti India, Korea, Thialand, Cambodia dan Vietnam.

silk filaments
Beberapa utas jalur sutera digabungkan untuk sutas benang.
coloring agent
Daun pisang merupakan salah satu bahan pewarna yang digunakan.

Ladang-ladang penternakan ‘silk moth’ (kupu-kupu sutera) biasanya akan menyediakan ladang pokok mulbery mereka sendiri. Bagi mengelakkan ulat-ulat ‘silkworm’ ini daripada dimakan oleh burung dan pemangsa lain ia dibesarkan di dalam bangunan berbanding dibiarkan hidup di pokok tersebut.

Seekor kupu-kupu sutera akan menghasilkan ribuan telur yang akan menetas sebagai ‘silkworm’ (beluncas sutera). Ulat-ulat ini akan membesar dengan makanan utama mereka iaitu daun daripada pokok mulbery. Apabila mencapai usia kematangan sebelum bertukar dewasa (menjadi kupu-kupu) ia perlu berada di dalam kepompong dibina menggunakan sutera.

Bagi menghasilkan kepompong yang lengkap ulat sutera perlu menghasilkan 1 batu (1 mile) benang sutera yang mengambil masa 3 hari. Daripada jumlah ini, sutera halus yang dihasilkan adalah sedikit sahaja dan mengambil 2,500 ulat silkworm untuk menghasilkan 1 pound sutera mentah. Sutera daripada kepompong ini amat halus, untuk menghasilkan seutas benang sutera beberapa utas benang daripada kepompong digabungkan (anggaran 48 utas).

Penenun perlu dilatih untuk menenun pada mesin-mesin tenunan tertentu.

Bagi mengelakkan benang-benang rosak juga, ulat-ulat ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi kupu-kupu dewasa (kerana ia akan memutuskan benang sutera tersebut untuk keluar daripada kepompong). Jadi ulat-ulat sutera perlu dibunuh dan sebahagian lagi dibiarkan untuk menghasilkan telur-telur untuk ulat seterusnya nanti.

Proses berikutnya pula adalah proses meluntur (bleaching) untuk menghasilkan benang yang betul-betul putih. Kemudiannya ia akan diwarnakan mengikut warna yang sesuai. Bahan-bahan yang digunakan untuk mewarnakan benang sutera ini juga dahulunya berasal daripada bahan-bahan asli yang terdiri daripada daun-daun, kulit kayu, bijian dan sabut  kelapa.

Bebenang ini seterusnya akan dipindahkan ke dalam gelongan berasingan sebelum disusun menjadi jaluran yang lebih panjang untuk dipindahkan ke mesin tenunan. Melalui proses tenunan inilah baru kain sutera dapat dihasilkan. Terdapat pelbagai perbezaan di antara mesin-mesin tenunan ini mengikut saiz kain dan corak yang perlu dihasilkan. Jadi penenun-penenun perlu mejalani latihan yang rapi sebelum boleh mengendalikan mesin tenunan mereka.

motifs
Tenunan bermotif memerlukan kemahiran yang berbeza.

Hanya apabila kain ini siap barulah pelbagai barangan sutera dapat dihasilkan daripada pakaian sehinggalah kepada barangan hiasan seperti sarung bantal, pelapik meja, beg tangan dan sebagainya. Pendek kata, hampir apa sahaja boleh dihasilkan menggunakan bahan sutera ini bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Walaupun proses penghasilan sutera merupakan satu proses yang rumit dan memerlukan masa yang panjang namun ia tetap merupakan satu industri penting sejak sekian lama. Menjadi sebagai salah satu bahan pakaian kepada manusia, ia patut dihargai atau setidak-tidaknya difahami sebagai penghormatan atas hasil usaha yang panjang orang terdahulu dalam menghasilkan produk sutera ini.


Nota:**

Artikel ini adalah hasil daripada lawatan ke Angkor Silk Farm di Siem Reap, Cambodia dalam usaha untuk memahami idustri penghasilan barangan sutera.

Anda juga boleh merujuk artikel: Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian; untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bahan untuk membuat pakaian.


Untuk tujuan pengangkutan di Siem Reap anda boleh menghubungi;

En. Salim & En. Nasir di;
(+855) 9857 1840 “whatsapp”
(+855) 7090 2910 “whatsapp”




Free Download



Arkib Blog