Penanaman padi di dalam pasu adalah perkara yang biasa dilakukan.
Padi (Oryza sativa) merupakan tumbuhan yang unik menjadi sumber makanan manusia hampir di seluruh dunia. Keunikan tumbuhan yang ditanam sejak ribuan tahun ini menghasilkan pelbagai varieti unik oleh setiap masyarakat di serata dunia. Malah padi sering menjadi tajuk perbincangan artikel-artikel kami sejak dari dahulu lagi. Pembangunan penanaman padi secara komersial membuatkan kaedah penanaman padi tidak diketahui oleh kebanyakan kita. Secara tidak langsung, tidak semua di antara kita mengenali pokok padi secara dekat. Bagaimanakah kita boleh menanam sendiri pokok padi ini? Mungkin ini adalah antara pilihan yang boleh kita lakukan. Oleh kerana sukar untuk mendapatkan benih padi, iaitu biji padi yang belum diproses. Menggunakan beras yang dijual di pasaraya adalah salah satu daripada cara mendapatkan benih padi. Namun ia bukanlah semudah biji padi yang belum diproses (kerana biji benih yang belum diproses tidak rosak akibat pemprosesan padi menjadi beras). Untuk kaedah ini hanya beras perang yang boleh digunakan. Ini kerana beras perang masih mempunyai bahagian tunas (germ) pada biji benih padi. Beras putih biasa tidak mempunyai bahagian ini dan tidak akan bercambah untuk menumbuhkan tunas baru. Malah, penggunaan beras perang ini juga tidak menjanjikan hasil yang seratus peratus berjaya. Sekiranya anda sememangnya menggunakan beras perang untuk masakan, maka bolehlah mengambil sedikit beras untuk tujuan ini. Manakala bagi yang ingin mencuba sahaja, maka bolehlah membeli beras perang dalam kuantiti yang kecil. Sebaiknya periksalah terlebih dahulu jika jenis beras perang tersebut benar-benar masih mempunyai bahagian tunas tersebut ataupun tidak. Ini kerana tidak semua proses menghasilkan beras perang adalah sama. Sekiranya anda mempunyai jenis beras yang betul bolehlah kita ke proses yang seterusnya iaitu proses pengaktifan benih. Proses ini adalah sama seperti proses penyemaian, iaitu beras direndam di dalam air untuk membolehkan biji benih mula menghasilkan percambahan mata tunas dan penghasilan akar. Dalam proses ini, beras-beras tadi direndam di dalam air (air diganti setiap hari) sehingga tunas dan akar kelihatan jelas. Apabila tunas dan akar mula kelihatan, biji-biji benih padi tadi bolehlah dialihkan ke tanah dengan kelembapan yang tinggi. Ini kerana proses pertumbuhan padi biasanya di dalam tanah yang berlumpur. Proses pertumbuhan ini juga memerlukan lebih nutrient dari tanah dan sumber air yang mencukupi. Awasi kualiti air kerana penanaman secara kecil-kecilan begini menyebabkan air bertukar warna ataupun berbau. Jadi sekiranya perlu tukarlah air dan mungkin juga menambah sedikit baja sekiranya pokok kelihatan tidak subur atau kekuningan.
Beras perang masih mempunyai bahagian tunas berbanding beras putih biasa.
Pilih biji-biji yang sihat dengan pertumbuhan yang baik.
Biji dialihkan tapak semaian bagi membolehkan ia terus membesar.
Pada peringkat ini, anak-anak pokok padi memerlukan bekas yang lebih besar untuk terus membesar.
Sekiranya anda ingin meneruskan proses penanaman sehingga pokok padi menghasilkan buah. Pemindahan seterusnya perlu dilakukan apabila pokok mencapai saiz yang agak besar, iaitu kira-kira sebulan usianya. Pada usia ini, pokok padi telahpun menghasilkan beberapa helai daun yang lebih besar dan ketinggian 10 - 15 cm. Pemindahan ini penting bagi membolehkan pokok padi membesar dengan sempurna kerana akarnya berkembang dengan pesat bagi membolehkan pokok padi terus menjadi dewasa, sebelum sedia untuk menghasilkan bunga-bunga padi. Untuk tujuan ini, bekas yang lebih besar perlu disediakan dengan jumlah tanah dan air yang lebih banyak. Bagi penyediaan ini, bekas yang tidak berlubang perlu disediakan. Tanah perlu ditapis kerana padi tidak boleh tumbuh dengan baik pada tanah yang keras. Air dicampur secara berperingkat bagi memastikan tanah mempunyai kelembapan yang sekata. Apabila campuran tanah dan air menjadi seakan-akan lumpur (namun tidak terlalu cair), maka pokok padi tadi bolehlah dialihkan. Anda boleh menanam sehingga 3 anak benih padi untuk membentuk serumpun pokok padi. Selain itu, pada peringkat awal pertumbuhan padi, and juga perlu menambah jumlah air supaya air berada beberapa centimeter tinggi daripada tanah. Walaupun pokok-pokok padi akan menjadi semakin tegap, namun pemantauan berterusan perlu dilakukan. Setiap perubahan pada pokok padi perlu diberikan perhatian yang secukupnya. Kesan-kesan seperti warna daun, kerosakan pada daun menandakan masalah yang boleh mengakibatkan pokok padi anda mati. Awasi jumlah air (yang mengawal tanah supaya tidak terlalu lembut ataupun terlalu keras). Pada peringkat pembesaran, baja perlu ditambah secara berperingkat mengikut kesesuaian pertumbuhan pokok. Pastikan juga kualiti air dan jumlah air. Kurangkan air sekiranya tanah menjadi terlalu lembut dan tambahkan air sekiranya tanah terlalu kering. Gunakan jaring atau letakkan pokok padi anda dalam tempat yang selamat daripada serangga perosak. Bagi penanam kecil sebegini, anda mungkin tidak perlu menggunakan racun serangga, cukup sekadar menutup pokok padi anda dengan jaring yang sesuai.
Anak padi dialihkan ke dalam bekas baru yang lebih besar untuk proses pembesaran yang sempurna.
Air ditambah untuk proses pertumbuhan yang berikutnya.
Setelah sebulan dialih, air dikeringkan bagi mengelakkan tanah yang terlalu lembik.
Setelah tanah kering, air ditambah semula pada ketinggian kira-kira 2 cm.
Pembajaan perlu dilakukan bagi memastikan pertumbuhan yang berterusan.
Pada peringkat akhir pertumbuhan adalah apabila pokok mula menghasilkan bunga. Jaring boleh dibuka bagi membolehkan bunga-bunga padi didebunga dengan baik bagi menghasilkan buah yang mempunyai isi. Teruskan penjagaan sehingga buah-buah menjadi matang (kelihatan berisi dan saiz yang lebih besar). Apabila ia cukup matang, iaitu kira-kira sebulan daripada bunga mula dihasilkan, air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman padi. Seterusnya teruskan penjagaan seperti biasa sehingga buah-buah padi benar-benar masak, iaitu buah padi menjadi kekuningan (hanya sekitar 9 hari selepas air dikeringkan). Apabila cukup matang, daun-daun pada pokok padi juga akan mula kelihatan kekuningan menandakan ia sedia untuk dituai. Anda boleh memotong pokok-pokok padi untuk dikeringkan. Apabila sudah betul-betul kering, proses pengasingan buah bolehlah dilakukan. Anda bolehlah melakukan proses ini dengan kaedah yang anda rasakan sesuai (kerana dalam jumlah yang kecil, ia tidak boleh menggunakan proses yang digunakan untuk saiz penanaman yang besar seperti ‘membanting padi’). Setelah diasingkan, barulah proses berikutnya dilakukan iaitu memecahkan kulit buah padi. Gunakan bahan yang tidak terlalu keras bagi mengelakkan buah padi hancur. Cukup untuk memecahkan kulit luar buah padi. Seterusnya cukup sekadar dengan meniupnya bagi mengasingkan kulit-kulit padi yang telah dipecahkan. Kini, anda telahpun menghasilkan beras sendiri, daripada beras yang asalnya dibeli di pasaraya.
Pokok-pokok pad mula mengeluarkan bunga.
Buah padi mula matang, dan air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman.
Buah mula kekuningan dan daun mengering menandakan pokok padi sedia untuk dituai.
Bagi memastikan kejayaan yang lebih tinggi, pastikan padi yang cuba ditanam adalah dari spesies tempatan (atau yang sesuai dengan cuaca setempat). Pastikan juga memilih tunas yang betul-betul sihat daripada peringkat awal bagi menjamin pembesaran yang lebih sempurna. Sekiranya anda ingin menanamnya semula, pastikan anda tidak memecahkan kesemua buah-buah baru yang dihasilkan. Sebaliknya disimpan untuk tanaman yang berikutnya. Kaedah ini adalah kaedah yang dihasilkan oleh penghasil video daripada YouTube di Jepun iaitu Noringo. Hobi penanaman tumbuh-tumbuhan daripada bahan yang dibeli di pasaraya dapat mendidik kita bahawa kita boleh menanam kebanyakan daripada bahan yang dibeli ini. Ini bukan bermakna kita perlu menjadi petani, tetapi banyak perkara boleh dipelajari daripada proses penanaman tumbuhan. Selain mempelajari kesusahan yang perlu dilalui oleh para petani dalam menghasilkan sumber makanan yang kita perolehi daripada pasaraya tersebut. Namun begitu, sebahagian bahan makanan adalah lebih baik dihasilkan sendiri bagi memastikan ianya bebas daripada racun rumpai dan racun serangga misalnya. Apatah lagi bagi bahan yang diperlukan dalam jumlah sedikit seperti daun-daun herba yang boleh dibesarkan dengan mudah di tepi dapur atau hanya dengan merendamkannya di dalam air. Semoga ini sedikit sebanyak dapat memberikan satu lagi inspirasi kepada para pembaca untuk mencuba hobi menanam di rumah. *tontoni video daripada Noringo, mengenai kaedah penanaman padi menggunakan beras yang dibeli dari pasaraya.
Penggunaan 'drone' merupakan salah satu teknik pertanian moden yang giat dibangunkan.
Penanaman padi di kawasan negara-negara Asean merupakan tanaman penting kerana ia juga merupakan makanan utama penduduk di kawasan ini. Semenjak sekian lama ianya ditanam teknik penanaman padi tidak banyak berubah dan diusahakan secara kecil-kecilan. Tinjauan teknik penanaman padi di luar kawasan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita banyak pengajaran mengenai teknik penanaman yang lebih menguntungkan kepada para petani.
Penanaman berteraskan teknik yang diwarisi sejak turun-temurun bukanlah sesuatu yang tidak baik, namun bagi menambah pendapatan para petani, teknik penanaman ini perlu berubah mengikut peredaran zaman. Tanpa perubahan, hasil yang dihasilkan bukan sahaja berkurangan malah mungkin suatu masa tanaman penting ini akan mengalami kemusnahan serangan penyakit (yang sentiasa berubah sebagai tindak balas ‘survival’). Sehubungan itu, ini merupakan satu tajuk penting yang perlu dipertimbangkan secara mendalam.
Teknik penanaman padi secara moden yang diamalkan oleh negara-negara membangun amat berbeza. Oleh kerana itu artikel ini akan melihat secara ringkas beberapa perkara penting bagi kita membuat pertimbangan - kerana tidak semuanya dapat dilakukan di negara kita atas pelbagai sebab tertentu, namun begitu ia boleh dijadikan sebagai panduan dalam meningkatkan produktiviti tanaman penting kepada penduduk Asean ini. Jadi kita akan melihat beberapa proses penting dalam proses penanaman padi sebagai contoh sahaja. Antara pengusaha tanaman padi secara moden yang perlu kita contohi antaranya adalah Jepun, Australia, Amerika, negara-negara Eropah dan China yang giat membangunkan teknik penanaman padi secara moden. Walaupun bukan merupakan negara pengeluar beras utama namun teknik penanaman mereka lebih produktif.
Pengairan
Pengairan merupakan perkara paling penting sebelum memulakan proses penanaman padi yang merupakan sumber utama yang membolehkan padi ditanam dengan baik. Melalui teknologi moden, sumber air boleh diaturkan dengan lebih sempurna sesuai dengan pusingan tanaman dengan lebih kerap (bagi negara-negara Asean yang menerima hujan sepanjang tahun).
Melalui teknologi moden jumlah taburan hujan dan sumber air lebih mudah untuk diuruskan (sekiranya diberikan penekanan yang serius). Kolam-kolam takungan dan tali air lebih mudah dibina berbanding bagi para petani pada zaman dahulu. Jadi pengurusan sumber ini perlu dilakukan dengan lebih serius oleh pihak berwajib dan dimufakati bersama oleh para petani. Sistem penanaman berkumpulan yang perlu dicontohi adalah seperti yang diamalkan dalam teknik ‘Subak’ di Bali.
Penyediaan Tanah
Penggunaan jentera menjimatkan banyak masa kerja-kerja penyediaan tanah.
Mesin yang lebih kecil bagi sawah yang bersaiz kecil.
Penyediaan tanah merupakan antara proses penting dalam proses penanaman padi sama ada penanaman secara tradisional ataupun penanaman moden. Apa yang membezakan teknik penanaman moden lebih mengutamakan penggunaan jentera yang dapat menjimatkan masa. Melalui penggunaan mesin yang betul masa untuk kerja-kerja penyediaan tanah dapat dijimatkan jauh lebih pantas.
Walaupun penggunaan jentera besar lebih sesuai digunakan pada sawah padi bersaiz besar, terdapat juga jentera penyediaan tanah bagi para petani yang mempunyai sawah bersaiz kecil. Apa yang penting kerja-kerja dapat disiapkan dalam masa yang lebih singkat bagi membolehkan para petani menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang penting.
Sememangnya keadaan sawah di sekitar Asean adalah bersaiz kecil dengan bentuk muka bumi yang berbeza seperti sawah yang berada di lereng-lereng bukit. Ia bukanlah satu penghalang bagi penggunaan jentera-jentera moden kerana ianya boleh direka bersesuaian dengan penggunaan yang diperlukan. Apa yang penting, para petani perlu mengenal pasti keperluan mereka dengan jelas bagi memudahkan jentera yang sesuai direka.
Penanaman Benih Padi
Mesin mengalih anak benih padi.
Teknik yang lebih popular bagi petani di US dan Australia - menabur benih padi menggunakan kapal terbang.
Teknik penanaman secara tradisional mengambil masa yang agak lama dengan langkah-langkah penyediaan anak benih yang agak rumit. Walaupun ianya bagus bagi menjamin mutu penghasilan anak-anak padi yang lebih baik, namun masa yang diluangkan untuk proses penyemaian dan mengalih anak padi adalah terlalu banyak. Proses ini boleh diperbaiki dengan pemilihan biji benih yang baik dan keluasan tanaman yang lebih besar.
Walaupun terdapat teknik penanaman moden yang masih lagi mengamalkan teknik tapak semaian dan mengalih menggunakan jentera, namun kaedah semaian padi secara terus menggunakan kapal terbang merupakan teknik yang jauh menjimatkan masa. Melalui kaedah ini kerja-kerja penanam padi dapat dilakukan dalam masa yang jauh lebih singkat untuk keluasan sawah yang jauh lebih besar. Selain daripada penggunaan kapal terbang terdapat juga kaedah yang menggunakan mesin semburan benih padi selain menggunakan ‘drone’ yang lebih kecil berbanding pesawat.
Pembajaan
Pembajaan merupakan antara faktor penting bagi memastikan anak-anak benih padi dapat membesar dengan subur. Penggunaan baja secara organik ataupun menggunakan baja kimia perlu dilakukan dengan betul bagi mengelakkan pembaziran.
Terdapat juga para petani yang melepaskan haiwan ternakan seperti itik ke dalam sawah seperti di Thailand. Itik-itik ini bukan sahaja memakan serangga perosak di sawah, malah najisnya juga akan menjadi baja kepada anak-anak padi yang sedang membesar. Selain itik, pembelaan ikan juga boleh dilakukan di dalam sawah yang masih mengandungi air semasa proses pembesaran anak-anak padi.
Namun begitu penggunaan baja yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar. Maka dengan itu, para petani perlu lebih aktif dalam mempelajari teknik-teknik mengkaji keperluan tanah dan pembajaan dengan tepat. Bagi memastikan hasil pengeluaran yang berterusan tanggungjawab ini perlu dilakukan bersama-sama kerana keseimbangan alam amat penting kepada para petani.
Penjagaan Makhluk Perosak/Penyakit
Penjagaan makhluk perosak lebih berkait rapat dengan teknik penanaman padi secara moden. Penanaman secara bermusim seperti yang dilakukan di Bali juga merupakan antara kaedah yang dapat mengurangkan masalah gangguan makhluk perosak. Namun begitu kawalan perlu dilakukan secara teliti untuk mengawal penyakit-penyakit lain tanaman padi.
Penyemburan racun serangga menggunakan kapal terbang dan ‘drone’ merupakan kaedah yang lebih sesuai bagi menjimatkan masa. Walaupun penggunaan ‘drone’, masih lagi baru, ia menunjukkan potensi yang lebih baik kerana ia diselenggarakan secara automatik. Teknologi ini mungkin akan lebih baik untuk masa-masa akan datang. Penggunaan ‘drone’ untuk tujuan ini semakin giat digunakan oleh China dalam membangunkan teknologi penanaman padi secara moden. Malah China turut membawa teknologi ini ke negara-negara lain yang berminat.
Penuaian
Mesin penuaian padi yang bersaiz besar.
Mesin penuaian bersaiz kecil.
Beras basmati yang dihasilkan dari California, US.
Teknik penuaian menggunakan mesin juga adalah jauh lebih baik dan pantas. Walaupun teknik penuaian biasa dapat mengurangkan pembaziran padi. Namun bagi tujuan komersial, penuaian dapat dilakukan dengan jauh lebih pantas. Ini kerana proses penuaian secara tradisional merupakan antara proses paling rumit sedangkan proses ini perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelakkan kerosakan pada buah padi yang telah masak.
Terdapat pelbagai saiz jentera penuaian mengikut keluasan ladang yang sesuai. Penggunaan mesin yang sesuai adalah penting bagi memastikan ia dapat digunakan dengan berkesan. Melalui penggunaan mesin padi yang dituai terus dileraikan dan siap untuk dihantar ke kilang pemprosesan yang dapat mengurangkan lagi proses-proses kerja seperti mana yang dilakukan dalam proses penuaian tradisional.
Penyimpanan dan Proses Pengilangan Padi
Proses akhir dalam penghasilan beras adalah penyimpanan hasil tuaian padi sebelum beras boleh dijual kepada pengguna. Proses ini dapat memastikan beras yang dihasilkan tahan lebih lama dan tidak rosak. Walaupun ia nampak mudah, namun ia amat penting dalam menjamin kualiti beras yang baik.
Bagi memastikan penanaman padi di negara-negara Asean terus kompetitif dan meningkatkan taraf hidup para petani langkah-langkah yang sesuai perlu diambil. Para petani sendiri perlulah berani mencuba kaedah-kaedah baru yang sebelum ini belum pernah dicuba. Sememangnya terdapat perbezaan ketara antara penanaman padi yang ditanam secara moden di negara-negara maju, namun begitu sesuai sebagai tanaman penting di negara-negara Asean, tanaman padi perlu dibangunkan semula memandangkan kepentingannya kepada penduduk di kawasan ini.
Penanaman padi moden mengutamakan penjimatan tenaga para petani dan menumpukan kepada proses pengurusan tanaman yang jauh lebih penting. Memandangkan keadaan yang sentiasa berubah dan persaingan yang sentiasa meningkat, maka urusan perancangan dan pentadbiran tanaman adalah jauh lebih penting. Bagi kebanyakan negara-negara di Asean urusan kaedah penanaman ini biasanya adalah di bawah nasihat jabatan-jabatan kerajaan yang perlu lebih aktif dan peka kepada hasil pengeluaran para petani. Maka dengan itu jabatan ini perlu secara aktif membantu meningkatkan kualiti pendapatan para petani sesuai dengan pembangunan semasa.
** Ikuti siri Rice Farming TV di YouTube untuk mempelajari lebih banyak teknik penghasilan beras dari California US;
Tanpa mesin, penggunaan tenaga manusia yang tinggi diperlukan untuk kerja-kerja di sawah (rice field).
Kerja-kerja penanaman padi merupakan kerja yang memerlukan ketelitian bagi para
petani yang mempunyai sawah bersaiz kecil (terutamanya sawah lereng bukit
seperti di Bukittinggi, Padang, Sumatra dan juga di Bali). Sawah-sawah kecil
seperti ini menyukarkan penggunaan mesin yang besar dan kebanyakan kerja perlu
dilakukan menggunakan tenaga manusia.
Walaubagaimanapun penggunaan mesin ringkas dapat membantu para petani
mempercepatkan proses penanaman atau sedikit sebanyak membantu para petani
menjimatkan tenaga untuk menumpukan masa kepada perkara-perkara lain.
Sesetengah kerja seperti merumput misalnya memerlukan petani membongkok dan
boleh mengakibatkan sakit bahagian belakang dalam jangka panjang.
Kali ini kita akan melihat beberapa mesin ringkas untuk kegunaan petani-petani
kecil. Sesetengah mesin ini boleh dihasilkan sendiri, kerana tidak semua mesin
memerlukan jentera bermotor. Para petani juga digalakkan mencuba idea-idea baru
bagi membantu mereka memudahkan kerja-kerja di sawah.
Contoh peralatan ringkas tanpa motor.
Mengalih anak padi menggunakan tenaga manusia.
Mesin ringkas menabur benih dikendalikan oleh seorang individu.
Lihatkan betapa cepat dan mudah proses mengalih anak padi ini.
Mesin berjentera membolehkan kawasan yang lebih besar dikerjakan.
Bagi petani kecil, mesin yang lebih kecil pula boleh digunakan.
Mesin merumput tanpa jentera.
Ini pula adalah mesin merumput berjentera.
Semoga paparan ringkas kali ini membolehkan para petani mencari mesin yang dapat membantu mereka meningkatkan hasil pengeluaran. Perlu diingat walaupun kita telah menemui kaedah yang baik, mungkin kita masih boleh mengolahnya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik lagi.
Antara sebahagian varieti padi yang ditanam di India sahaja.
Padi merupakan makanan penting penduduk dunia antara tanaman yang menjadi
topik penting bagi MyRokan. Oleh kerana ianya ditanam oleh manusia sejak sekian
lama, terdapat sekitar 40,000 varieti padi yang diketahui. Di sini timbul
persoalan, samakah beras yang dimanakan oleh penduduk dunia yang tinggal di
kawasan-kawasan yang berbeza? Jawapannya tentulah ya!
Padi atau ‘Asian rice’ (Oryza rufipogon) pada asalnya merupakan
padi liar yang mula ditanam di China semenjak 8,200 ke 13,500 tahun dahulu. Ia
kemudiannya terus merebak ke serata Asia Tenggara dan kemudiannya ke seluruh
bahagian dunia yang lain. Kepesatan penanaman padi ini disamping tempoh masa
yang lama menghasilkan banyak padi-padi baru mengikut geografi penanamannya. Walaupun
terdapat varieti padi yang besar, secara kasarnya ia dibahagikan kepada 3
kumpulan utama iaitu; indica, japonica, aromatic and glutinous.
Antara varieti beras yang ditanam. Perhatikan perbezaannya.
Padi yang masih di dalam selaputnya (husk).
Antara jenis beras dengan perbezaan warna dan bentuk.
Oryza sativa iaitu padi yang biasa ditanam hari ini mengandungi dua
kumpulan spesis terbesar iaitu: beras melekit (sticky rice) yang merupakan beras japonica pendek, manakala satu
lagi adalah dari jenis yang tidak melekit dengan saiz beras yang lebih panjang.
Japonica juga merupakan jenis beras
yang ditanam di kawasan yang lebih kering seperti kawasan-kawasan tinggi di
Asia Timur, Asia Tenggara juga di bahagian Selatan Asia. Indica pula merupakan padi
yang ditanam di kawasan-kawasan rendah yang memerlukan air yang banyak di
kawasan tropika Asia. Namun dari bukti genetik mendapati kedua-dua spesis padi
ini iaitu indica dan japonica berasal daripada penanaman yang
bermula di lembah Pearl River di China kira-kira 8,200 - 13,500 tahun dahulu.
Sebab itulah mengapa kebanyakan makanan yang berasaskan beras di bahagian-bahagian
lain di dunia kebanyakannya tidak sama walaupun menggunakan bahan asas yang
sama iaitu beras. Ini kerana beras yang digunakan adalah berbeza. Makanan
berasaskan beras yang digunakan sebagai makanan di China dan Jepun
kebanyakannya lebih berkanji (sticky)
dan sesuai dimakan menggunakan penyepit (chopsticks).
Manakala beras yang digunakan di Asia Tenggara dan India pula kebanyakannya
adalah kurang berkanji yang menghasilkan nasi yang kurang melekit dan
sesuai dimakan menggunakan tangan. Namun begitu tekstur dan aroma beras-beras
ini juga berbeza menghasilkan rasa makanan yang berbeza pula.
Nasi kepal Jepun menggunakan beras Jepun yang lebih berkanji.
Beras berkanji yang beraroma ini mudah dipadankan dengan makanan yang lain.
Makanan berasaskan beras dari Finland; Karelian Pasty.
Ini pula makanan dari Iran dikenali sebagai Tahdig.
Jadi, sekiranya anda ingin merasa makanan yang berasaskan beras mengikut
kawasan seperti makana Jepun misalnya, anda perlulah menggunakan beras asal
yang digunakan untuk masakan tersebut. Cara yang terbaik adalah berkunjung ke
negara asal makanan tersebut dihasilkan kerana ianya adalah jauh lebih mudah
(daripada mendapatkan beras yang sama di tempat-tempat lain).
Apa yang terhasil kepada variasi beras sebenarnya turut berlaku kepada
tanaman-tanaman pertanian yang lain. Penghasilan variasi baru sentiasa dilakukan
pada tanaman-tanaman lain secara kacukan (pembiakan silang) atau dengan kaedah
pertanian yang lebih moden iaitu pengubahsuaian genetik. Namun apa yang terjadi
kepada tanaman padi ini membuktikan pertanian secara klasik dapat menghasilkan
hasil tanaman yang baik, manakala teknik pengubahsuaian genetik pula perlu
melalui masa bagi membuktikan ianya selamat untuk pengguna.
Makanan berasaskan beras dari Belgium; Belgian Rice Pie (Rijsttaart).
Makanan dari Canada; Wild Rice.
Beras Basmati dari India, sesuai dengan masakan kari.
Bubur beras dari Phillipines dikenali sebagai Champorado.
Padi walaupun merupakan makanan asas yang paling mudah ditemui di
kebanyakan negara-negara Asia Tenggara khususnya, jika dilihat secara global
merupakan tanaman yang amat unik dan satu fenomena yang menakjubkan. Semoga ia
dapat memberikan gambaran jelas bahawa padi merupakan antara tanaman penting
dunia yang perlu kita kenali dengan lebih dekat.