Memaparkan catatan dengan label otak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label otak. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Julai 2016

Mengenal Antara Fakta dan Dogengan Sains

Di dalam sains juga terdapat dogengan berbanding kebenaran.

Banyak fakta yang kita ketahui hari ini sebahagiannya bukanlah berdasarkan kepada pengetahuan sains yang tepat. Adapun sesetengah perkara pula telah dibuktikan tidak benar berdasarkan kajian-kajian terbaru apabila kita mempunyai kebolehan untuk melakukan kajian dengan lebih terperinci. Sains bukanlah satu perkara yang sempurna, jadi pengetahuan ini akan terus berkembang maka tidak perlu anda merasa hairan sekiranya perkara yang dikatakan hari ini menjadi kurang tepat pada masa akan datang.

Adapun di sini kita akan melihat beberapa perkara yang lebih mudah untuk kita ketahui bahawa ianya tidak benar kerana boleh dibuktikan dengan lebih mudah. Maka dengan itu, sebelum kita menerima sesuatu perkara sebagai pasti, ada baiknya kita lakukan sedikit pemeriksaan dan kiraan mengenai kesahihan perkara tersebut terlebih dahulu. Ia bukanlah satu perkara yang sukar, malah melatih anda untuk menjadi orang yang lebih peka mengenai fenomena di sekeliling anda.

Mari kita saksikan beberapa perkara tersebut;

Syiling yang dijatuhkan dari bangunan tinggi boleh membunuh seseorang

Setiap objek yang jatuh akan terus memecut sehingga mencapai halaju terminal.

Berdasarkan kepada kiraan halaju jatuh objek, perkara ini kelihatan sahih dan kelajuan syiling yang jatuh akan terus bertambah. Namun begitu, setiap objek yang jatuh mempunyai halaju terminal (terminal velocity). Perkara ini adalah disebabkan rintangan angin yang bertindak ke atas objek yang jatuh tersebut. Faktor rintangan ini turut dipengaruhi oleh berat objek, saiz dan ketumpatan. Maka berbalik kepada kes syiling yang jatuh tadi, halaju terminalnya adalah sekitar 44km/h yang akan dicapai setelah mencapai jarak jatuh 15 meter. Pada kelajuan ini, ia mungkin menyebabkan sedikit rasa sakit namun tidak mencederakan.

Tikus menyukai keju!

Adakah benar tikus menggemari keju?

Satu lagi perkara yang kita ketahui dari rancangan kartun yang ditonton di kaca TV. Walaupun ia tidak menyatakan bahawa tikus menyukai keju, namun secara tidak langsung perkara ini turut menanamkan kepercayaan tersebut sejak sekian lama. Kajian yang dilakukan di University of Birmingham mendapati tikus yang ditangkap secara liar tidak mempunyai minat kepada keju dan lebih menyukai biji-bijian serta bijirin.

Tabiat pemakanan tikus mahupun hidupan-hidupan lain banyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Tiada haiwan yang terlalu memilih melainkan memerlukan makanan untuk meneruskan hidup. Namun haiwan jarang sekali memilih makanan yang boleh memudaratkan mereka (sekiranya mereka mengesan nya melalui bau bahan tersebut).

Anda memerlukan 8 gelas air sehari

Air sepatutnya diminum mengikut keperluan.

Air merupakan keperluan penting untuk badan berfungsi dengan baik. Namun begitu keperluan jumlah air dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Apa yang pasti, jumlah air yang keluar dari badan perlu diganti (sekiranya anda melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh). Sebaliknya sekiranya cuaca sejuk dan anda kerap membuang air, anda tidak perlu pula mengambil minuman yang banyak untuk menggantikannya. Begitu juga dengan faktor saiz badan dan aktiviti yang dilakukan memberikan impak kepada keperluan pengambilan air yang diperlukan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kepentingan air adalah dari sumber yang bersih mengikut keperluan. Selagi air tidak diambil dalam jumlah berlebihan, badan akan mampu mengimbangi jumlahnya di dalam badan dengan baik. Apa yang penting sentiasa awasi keadaan badan anda dan minumlah air apabila anda merasa dahaga.

Kita hanya menggunakan 10 peratus daripada otak

Benarkah manusia hanya menggunakan 10% daripada otaknya?

Perkara ini adalah tidak benar kerana setiap bahagian otak mempunyai fungsi-fungsi tertentu dan ianya tidak boleh digantikan dengan bahagian-bahgian lain. Hanya ianya mungkin tidak diaktifkan dalam satu masa (sebaliknya secara bergilir-gilir dan mengikut keadaan dan rangsangan). Ini adalah berbeza dengan keupayaan berfikir seseorang kerana ianya perlu dipelajari dan dilatih. Jadi setiap kita mempunyai potensi otak yang sama dan apa yang berbeza adalah usaha yang dilakukan untuk memiliki tahap berfikir yang lebih baik. Jangan putus asa!

Memainkan muzik klasik kepada bayi akan menjadikan mereka lebih bijak

Walaupun mendengar muzik klasik itu baik, namun ia bukan faktor utama.

Memainkan muzik klasik kepada bayi mungkin tidak menjadi faktor utama kepada bayi yang membesar dengan lebih bijak. Namun rangsangan kepada bayi secara berterusan adalah penting dan ini tidak semestinya dengan muzik klasik sahaja. Namun, rangsangan dengan muzik klasik adalah lebih baik berbanding dengan genre muzik-muzik yang lain (rock dan heavy-metal misalnya). Apa yang menjadi faktor utama kepada pembesaran bayi yang bijak adalah pemantauan berterusan daripada ibubapa yang mengisi masa lapang mendidik bayi tersebut.


Jadi itu adalah beberapa contoh kenyataan yang sering kita dengar diperkatakan. Walaupun sesetengah perkara kelihatan amat meyakinkan, namun kebanyakannya tidak terbukti secara ilmiah (melalui kajian yang terperinci/ perbezaan kemajuan teknologi hari ini). Jadi kita tidak perlu terlalu berpegang kepada sesuatu kenyataan sebelum kita mampu menemukan kesahihannya, antara lain kita juga perlu memikirkan sesuatu di luar jangkaan (di luar kotak) dan bersedia menerima perubahan apabila terdapat kaedah pembuktian yang lebih baik. Fikir-fikirkan


Free Download



Selasa, 7 Jun 2016

Mengenali Lebih Dekat Mengenai Asid Lemak Omega-3

Pemakanan yang sihat bukan sebarang makanan!

Makanan adalah perkara paling penting untuk diberikan perhatian dalam semua peringkat umur. Ini kerana ia merupakan jalan utama mengapa sesuatu bahan samada baik ataupun sebaliknya masuk ke dalam badan kita. Pendek kata ungkapan “anda, adalah apa yang anda makan”, membawa maksud yang mendalam mengenai kesan makanan kepada kesihatan seseorang.

Manakala fungsi-fungsi khasiat makanan tertentu hanya kita ketahui sejak beberapa tahun kebelakangan dahulu seperti asid lemak Omega-3.  Berbeza dengan zat-zat pemakanan yang lain, Omega-3, merupakan zat pemakanan yang penting untuk otak dan sistem sarat. Namun begitu perlu diingat bahawa otak juga mengawal fungsi-fungsi badan yang lain. Maka otak yang sihat merupakan kunci utama tubuh badan yang sihat juga.

Terdapat banyak jenis asid lemak Omega-3, namun beberapa daripadanya amat penting kepada kesihatan kita antaranya adalah Eicosapentaenoic acid (EPA) dan juga Docosahexaenoic acid (DHA) yang didapati daripada sumber ikan. Manakala α-Linolenic acid (ALA) pula boleh didapati daripada sumber tumbuh-tumbuhan terutamanya kacang dan biji-bijian. Kita mungkin mengambil zat pemakanan ini secara tidak sengaja, namun sekiranya diet kita tidak mengandungi Omega-3, kita mungkin lama-kelamaan mengalami beberapa masalah kesihatan.

Terdapat sumber Omega-3 yang banyak melalui pelbagai bahan makanan yang mudah didapati samada melalui ikan mahupun tumbuh-tumbuhan. Ini kerana minyak yang terdapat di dalam ikan ini adalah berasal daripada algae dan juga phytoplankton yang menjadi sumber makanan ikan-ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 ini. Begitu juga bagi sumber dari tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati daripada kacang dan biji-bijian yang merupakan makanan yang lebih baik untuk kesihatan.

Omega-3 (EPA dan DHA) mudah didapati daripada sumber ikan.

Kapsul minyak ikan.

Antara ikan-ikan yang kaya dengan DHA dan EPA adalah ikan-ikan yang mudah didapati seperti;
  • Anchovies (ikan bilis)
  • Bluefish (Pomatomus saltatrix)
  • Herring  ** mungkin ada nama yang lebih tepat bagi herring!
  • Mackerel (ikan kembung)
  • Salmon (ikan liar lebih baik daripada yang diternak)
  • Sardines (ikan tamban)
  • Sturgeon
  • Lake trout
  • Tuna (tongkol)

** secara umumnya ikan yang makan dari sumber algae dan juga phytoplankton mempunyai nilai Omega-3 yang tinggi. Apa yang penting elakkan ikan-ikan yang ditangkap di perairan tercemar.

Makanan-makanan yang kaya dengan ALA daripada tumbuh-tumbuhan;
  • Walnuts
  • Flaxseed and flaxseed oil
  • Canola oil
  • Soybean oil
  • Butternuts
  • Persian walnuts
  • Pecan nuts
  • Hazel nuts

** banyak lagi sumber sayur-sayuran lain yang kaya dengan ALA. Untuk senarai yang lebih banyak lawati senarai ini.

Omega-3 (ALA) juga didapati dari sumber tumbuh-tumbuhan.

Kacang dan biji-bijian merupakan sumber ALA terbaik.

Tidak seperti lemak biasa, asid lemak Omega-3 tidak membahayakan kesihatan, terutamanya daripada sumber aslinya sendiri (dari makanan). Ia mempunyai banyak kebaikan untuk kelancaran fungsi otak dan sistem saraf selain banyak lagi kebaikannya kepada kesihatan manusia.

Omega-3 dikatakan dapat mengurangkan kesan tekanan melalui pemerhatian ke atas budaya yang memakan sumber makanan yang kaya dengan bahan ini. Minyak ikan juga dikatakan menguatkan lagi kesan kesan anti-tekanan (antidepressants) seterusnya mengelakkan kesan yang lebih buruk.

DHA juga amat penting kepada bayi yang dalam pertumbuhan bagi membentuk sistem neurology nya. Ini membolehkan kanak-kanak mempunyai perkembangan mental dan fizikal yang lebih lancar.

Pemakanan yang tinggi dengan Omega-3 juga dikatakan dapat mengurangkan keradangan yang menyebabkan asthma. Namun ia masih memerlukan kajian untuk memahami kesan Omega-3 dalam fungsinya secara lebih mendalam bagi asthma samada ia meguatkan paru-paru atau hanya mengurangkan pengambilan ubat yang diperlukan.

Kanak-kanak yang mempunyai simpton Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) juga dapat dikurangkan melalui pengambilan minyak ikan selain meningkatkan keupayaan mental mereka seperti mengingat, berfikir dan mempelajari sesuatu. Namun begitu ADHD mungkin memerlukan pemerhatian yang lebih dan tidak hanya dirawat menggunakan minyak ikan sahaja.

Selain itu minyak ikan yang mengandungi EPA dan DHA juga didapati membantu para pengidap Rheumatoid arthritis. Ia juga membantu meningkatkan kesan anti-keradangan.


Boleh dikatakan semua peringkat umur memerlukan pemakan yang mengandungi Omega-3 dan mendapat manfaat daripadanya. Apa yang penting, ia juga boleh didapat dari pelbagai sumber semulajadi dan anda juga boleh mengambilnya sebagai makanan tambahan (suppliments) sekiranya perlu. Apa yang menarik, daripada pemakanan kita mengandungi pelbagai zat pemakanan yang mungkin kita sendiri tidak menyedarinya. Utamakan pemakanan yang sihat.


Free Download



Jumaat, 27 Mei 2016

Makanan Menyihatkan Untuk Otak Anda

Makanan-makanan yang baik untuk otak yang sihat.

Makanan penting untuk memberikan tenaga kepada otak, selain itu terdapat juga zat-zat pemakanan tertentu yang membantu otak untuk berfungsi dengan lebih baik, berkembang dan berfungsi dengan sempurna. Berbeza dengan bahagian-bahagian badan yang lain, otak memerlukan zat pemakanan tertentu selain daripada makanan biasa .

Walaupunbagaimanapun perlu diingatkan zat pemakanan hanyalah membantu otak berfungsi dengan baik, sedangkan pendidikan dan pembelajaran merupakan perkara yang perlu untuk meransang otak supaya boleh berfikir. Pemakanan ini tidak menjadikan anda lebih bijak, namun ia membantu otak anda menjalankan fungsinya dengan lebih lancar. Berikut adalah beberapa zat pemakanan penting untuk otak;

1) Makanan daripada gandum penuh (wholegrains)

Gandum membekalkan kharbohidrat yang menghasilkan tenaga untuk badan. Otak merupakan antara bahagian yang menggunakan tenaga paling banyak, dan tenaga ini perlu dibekalkan secara konsisten untuk menjamin ia dapat berfungsi dengan lancar. Gandum penuh (wholegrains) membebaskan gula ke dalam darah secara perlahan-lahan tidak seperti gandum yang dikisar halus yang membebaskan gula secara mendadak pada masa yang singkat. Ini termasuklah bahan-bahan dihasilkan daripada gandum samada roti, pasta ataupun lain-lain makanan yang dihasilkan menggunakan gandum. Perkara yang sama untuk semua pembekal utama karbohidrat anda seperti beras, jagung, kentang dan sebagainya.

Makanan daripada gandum penuh membekalkan tenaga untuk tempoh yang lama.

Ikan merupakan sumber utama omega-3.

2) Minyak Ikan

Minyak ikan yang penting kepada fungsi otak dikenali sebagai Essential fatty acids (EFAs) dan ianya tidak boleh dihasilkan oleh badan melainkan perlu diperolehi daripada makanan. Antara EFA ini iaitu omega-3 terdapat secara semulajadi di dalam ikan-ikan sebagai EPA dan DHA.  Selain daripada ikan ia juga boleh didapati daripada tumbuh-tumbuhan seperti minyak flaxseed, soya, biji labu, kacang walnut, kacang hitam (black beans) dan kidney beans dalam bentuk ALA (alpha-linolenic acid) yang kemudiannya ditukar kepada EPA & DHA.

3) Blueberries

Kajian daripada Tufts University di United States, mendapati pengambilan blueberries dapat membantu memperbaiki atau melambatkan kehilangan memori jangka pendek. Manakala memori jangka pandek merupakan memori penting sebelum ianya dipindahkan kepada memori jangka panjang.

4) Tomato

Tomato mengandungi lycopene, yang juga merupakan sejenis anti-oksidan yang boleh mengakibatkan kerosakan kepada sel-sel otak sepertimana yang berlaku kepada pesakit-pesakit dementia dan juga Alzheimer.

5) Vitamin-vitamin penting

Beberapa vitamin B – iaitu vitamin B6, B12 dan juga folic acid merupakan antara bahan penting yang mengawal kadar homocysteine di dalam darah. Kadar homocysteine yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan strok, penurunan kognitif dan seterusnya kepada masalah Alzheimer. Kajian terhadap pengidap-pengidap masalah kognitif ini mendapati dengan pengambilan dos tinggi  B6, B12 dan folic acid membantu pengurangan penurunan otak berbanding dengan mereka yang dirawat menggunakan placebo.

6) Blackcurrant

Blackcurrant kaya dengan vitamin C yang turut membantu otak berada dalam keadaan lebih aktif. Blackcurrant merupakan sumber vitamin C terbaik selain buah-buahan lain yang juga kaya dengan vitamin ini. Anda juga boleh memikirkan buah-buahan lain yang kaya dengan vitamin C seperti cili bengala (bell peppers), jambu batu (guava), sayuran hijau gelap (kale), buah kiwi, brokoli, strawberri, tomato, betik (papaya) dan lain-lain lagi.


Vitamin C biasa terdapat di dalam buah-buahan dan sayuran.

Brokoli (broccoli) mengandungi beberapa khsiat penting untuk otak.

7) Biji Labu

Biji labu mengandungi zinc yang penting untuk fungsi memori dan berfikir. Jumlah ini mampu dibekalkan dengan pengambilan segenggam biji labu. Antara makanan lain yang turut kaya dengan zinc termasuklah tiram (oysters), daging dan biri-biri, wheat germ, bayam, kacang gajus (cashews), koko (chocolate), ayam, kekacang (beans, chickpeas), cendawan putih dan lain-lain lagi.

8) Brokoli

Brokoli merupakan sumber penting untuk vitamin K yang dapat meransang fungsi kognitif dan memperbaiki fungsi otak. Brokoli bukan sahaja membekalkan vitamin K malah juga mengandungi banyak khasiat lain yang penting untuk kesihatan seperti vitamin C.

9) Sage

Sage mempunyai reputasi dalam membantu memperbaiki fungsi memori. Walaupun ia lebih dikenali dalam penghasilan untuk menghasilkan minyak essential, sage juga dapat membantu dalam fungsi memori seperti kayu manis dan beberapa bahan yang menghasilkan minyak essential yang lain.

Walnut antara kacang yang baik untuk otak.

10) Kacang (Nuts)

Pengambilan vitamin E penting bagi mengelakkan penurunan fungsi kognitif terutamanya pada golongan berumur. Kacang merupakan sumber penting yang membekalkan vitamin penting ini selain beberapa sayuran hijau yang lain seperti termasuk asparagus, zaitun, bijian, telur, beras perang dan gandum penuh. Kenyataan ini dimuatkan di dalam “American Journal of Epidemiology”.

Senarai di atas adalah sebagai panduan sahaja, dan anda boleh mencari dengan lebih mendalam makanan apakah yang sesuai untuk memenuhi keperluan penting yang diperlukan oleh badan anda. Pada masa yang sama tahap kesihatan anda juga menentukan jenis pemakanan yang perlu diambil. Makanan dari jenis kerang-kerangan (oysters) misalnya perlu diambil dengan berhati-hati kerana takut ianya diternak di kawasan perairan yang tercemar.


Kedua-dua faktor adalah penting iaitu pemakanan dan pembelajaran perlu bergerak dengan seiring. Ini kerana anda tidak akan mendapat prestasi yang baik melalui otak yang tidak mendapat zat pemakanan yang cukup atau dalam keadaan kekurangan tenaga. Manakala pembelajaran pula adalah perkara yang diperlukan oleh otak bagi merangsang perkembangannya dengan aktiviti-aktiviti pemikiran, mensintesis maklumat, merekod, mengingat, mencapai memori dalam memberikan jawapan kepada sesuatu persoalan. Pastikan keduanya berada dalam keadaan seimbang.


Free Download



Jumaat, 25 Mac 2016

Bagaimana Perasaan Ingin Tahu Memberi Kepuasan Kepada Anda?

Perasaan ingin tahu memberikan kekuatan untuk kita berusaha mencari jawapan.

Perasaan ingin tahu merupakan salah satu kuasa yang menyebabkan seseorang berusaha mencari jawapan seboleh mungkin untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Ini tidak tertakluk kepada tujuan-tujuan tertentu malah ianya adalah sama sahaja untuk sebarang tujuan samada pelajaran, hiburan, hubungan, hobi dan sebagainya. Persoalannya bagaimana ia bertindak menyebabkan kita meneruskan usaha untuk mencari jawapan tersebut?

Ia merupakan salah satu kajian yang dilakukan oleh pengkaji dari University of California, Davis, untuk mengungkap bagaimana otak membantu kita untuk memenuhi perasaan ingin tahu ini. Charan Ranganath iaitu seorang psychologist’ dari universiti tersebut yang meninjau fungsi otak semasa kita tertarik untuk mengetahui sesuatu perkara. Ia juga menerangkan mengapa di dalam usaha kita mengumpulkan maklumat ini, ia akan berakhir dengan kita mengingati hanya sebahagian maklumat dan akan melupakan maklumat-maklumat yang lain.

Kajian dilakukan ke atas 19 subjek malalui 112 soalan di mana sebahagiannya merupakan topik yang menarik bagi subjek tersebut. Semasa menjalani ujian ini para subjek akan menjalani imbasan di dalam functional magnetic resonance imaging (fMRI) untuk melihat aktiviti yang berlaku di dalam otak mereka.

Perasaan ingin tahu mempengaruhi keseronokan belajar.

Kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu yang kuat.

Orang dewasa juga perlu memiliki perasaan ingin tahu.

Soalan ini akan dilakukan secara bersilang-silang dengan sela masa antara 14 saat untuk melihat tindakbalas dari subjek. Ini termasuk menggunakan gambaran wajah yang tidak berkaitan dengan topik yang dipersoalkan – tanpa sebarang penjelasan. Berikutan dengan ini daya ingatan mereka akan diukur untuk memberikan jawapan tersebut, mahupun wajah-wajah yang ditunjukkan tadi.

Dari kajian ini beliau mendapati, apabila subjek berada dalam keadaan ingin tahu keupayaan untuk mereka mengingat adalah lebih baik untuk memberikan jawapan yang tepat, mahupun wajah yang ditunjukkan. Perasaan ingin tahu ini menyediakan otak untuk mempelajari ruangan subjek yang lebih besar.

Semasa proses ini berlaku, aktiviti otak meningkat di dua bahagian tengah otak; ‘ventral tegmental’ dan juga ‘nucleus accumbens’, yang mana keduanya akan membebaskan ‘dopamine’, yang bekerja sebagai memberi perasaan kepuasan kepada otak. Keadaan ini membantu subjek untuk mencari jawapan yang diinginkan bagi menemukan kepuasan ini. Ia menjadi salah satu perkara yang menyebabkan otak menjadi lebih bersedia untuk menerima maklumat yang dipelajari.

Perasaan ingin tahu sukar dihalang.

Maklumat-maklumat seperti ini amat berguna untuk tujuan pendidikan, malah ia juga banyak digunakan dalam bidang pengiklanan dan perfileman dalam menarik minat orang ramai untuk mengetahui sesuatu perkara dengan lebih lanjut. Walaupun setelah sekian lama kita mengetahui kekuatan perasaan ingin tahu ini, tetapi kita tidak dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana aktiviti yang berlaku di dalam otak selama ini.


Jadi adalah penting kita memberikan fokus mengenai perasaan ingin tahu sebelum mencari sesuatu maklumat, memulakan pembelajaran atau melakukan sebarang aktiviti. Dengan menarik minat seseorang mereka bukan sahaja akan lebih menumpukan lebih perhatian, malah keupayaan untuk belajar disamping memberikan kepuasan/ketenangan kepada mereka sendiri.




Free Download



Rabu, 27 Januari 2016

Corak Pelbelajaran Individu

Pendidikan Online memberikan peluang yang sama rata.

Tahukah anda, bahawa anak-anak anda mempunyai corak pembelajaran individu yang unik. Malah setiap dari kita mempunyai kecenderungan ini. Maka dengan itu pemahaman mengenai ciri-ciri individu ini dapat memastikan kesan pendidikan yang lebih baik.

Kesan ini adalah hasil daripada rangkaian sel-sel otak neuron yang unik pula pada setiap individu. Kajian yang dijalankan oleh saintis di Yales dalam mendapatkan corak rangkaian neuron ini dari 126 individu yang berbeza menghasilkan ‘fingerprint’ yang juga dikenali sebagai ‘connectivity profile’. Profile ini dapat menjelaskan corak pemikiran seseorang tentang bagaimana ia akan menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga boleh membantu mengesan kecenderungan seseorang untuk kursus yang sesuai bagi mereka.

Sijil atau Ijazah sahaja tidak menjanjikan apa-apa.

Ibu bapa perlu memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak.

Selain daripada menggunakan kaedah ‘connectivity profile’ ini, kaedah tradisi mengenal pasti kecenderungan seseorang untuk mengenal pasti bakat dan kecenderungan digunakan. Ia merupakan titik tolak dalam menghasilkan sesuatu hasil yang jauh lebih memberangsangkan.


Ia menerangkan betapa perlunya ibu bapa membantu anak-anak mereka mengesan perkara ini di peringkat awal selain daripada hanya menyerahkan pendidikan anak-anak kepada pendidikan di sekolah sahaja. Pendidikan di sekolah hanyalah sekadar memberikan kemahiran asas yang diperlukan oleh anak anda. Sedangkan kemahiran berinteraksi dengan dunia luar adalah yang menentukan sejauh manakah seseorang individu tersebut menghadapi kehidupannya nanti.



Free Download



Arkib Blog