Pokok nibung biasanya tumbuh di kawasan lembah. Gambar oleh: rozamit |
Mungkin tak semua generasi baru pernah melihat pokok nibung atau tidak mengenali pokok ini secara lebih tepat. Pokok nibung seperti juga beberapa pokok lain seperti kelapa, buluh, rotan, nipah, bakau dan lain-lain begitu berperanan sekali dalam masyarakat di Asia. Beberapa keunikan pokok nibung memberikan kelebihan padanya berbanding dengan pokok-pokok lain. Kali ini saya memilih pokok nibung sebagai bahan kerana seingat saya 'embut nibung' merupakan antara sajian yang sering disajikan ketika majlis perkahwinan masyarakat di sini (Bukit Rokan) suatu masa dahulu.
Mungkin bagi anak-anak muda hari ini tidak mengetahui akan cerita ini lagi kerana embut nibung tidak lagi dijadikan sajian hari keraian sepertimananya satu ketika dahulu. Memandangkan proses untuk mendapatkan embut nibung bukanlah satu tugas yang ringan maka hari ini kita lebih senang dengan menyediakan juadah menggunakan bahan yang boleh dibeli dengan mudah. Namun begitu apa rasionalnya suatu masa dahulu masyarakat di sini menggunakan embut nibung sebagai sajian. Apa yang menarik disebalik penggunaanya? Mari kita saksikan...
Proses kenduri kendara masyarakat dahulu merupakan proses yang akan dilakukan secara bermasyarakat. Ini bermakna ianya dilakukan secara bergotong-royong beramai-ramai oleh sebilangan besar penduduk dalam sesuatu kawasan. Majlis ini bukan sahaja di tanggung secara individu oleh tuan rumah (walaupun tuan rumah masih lagi menjadi individu yang bertanggungjawab di dalam majlis tersebut). Ini bermakna penyediaan bahan dan peralatan yang akan digunakan akan diusahakan secara bermasyarakat juga (inilah rahsia keutuhan masyarakat dahulu seperti kata pepatah - yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul).
Berbalik kepada pemilihan embut nibung sebagai salah satu bahan juadah adalah kerana kemapuan masyarakat secara bergotong-royong untuk mendapatkan bahan secara percuma sebagai hasil hutan. Sememangnya untuk mendapatkan embut nibung bukan semudah yang disangkakan kerana perlu melalui beberapa proses seperti membersih kawasan (memastikan pokok tidak menimpa pokok lain dan tersangkut). Kemudian proses menebang pokok dengan memastikan pokok tumbang ke arah yang diinginkan bagi memudahkan proses berikutnya. Proses mengeluarkan embut yang memerlukan kemahiran untuk menghadapi bahagian-bahagian nibung yang berduri.
Biasanya semasa 'hari berkampung' iaitu hari di mana mesyuarat mengenai sesuatu majlis itu diakan, keputusan mengenai tarikh-tarikh untuk mengadakan gotong-royong ini akan diputuskan beramai-ramai. Ini bagi memastikan semua orang dapat menghadirkan diri bagi membantu tuan rumah mengadakan majlis dengan lancar. Biasanya hari mengambil embut nibung akan diadakan pada hari yang sama dengan mengambil kayu api (yang menjadi bahan bakar) kerana kedua-dua bahan ini datang dari satu kawasan yang sama iaitu hutan.
Seingat saya dahulu sajian embut nibung sewaktu kenduri kendara ini masih popular sekitar tahun 80'an namun terus hilang menjelang 90'an sehingga sekarang. Embut nibung sememangnya enak sebagai hidangan keramaian. Antara sajian yang biasa disediakan dengan bahan ini adalah embut kari, gulai lemak, atau 'rebus air'. Rasanya yang manis namum mempunyai tekstur yang berbeza berbanding dengan makanan-makanan yang lain menjadikan sajian ini tiada pengganti. Jadi disamping rasa makanan ini yang cukup istimewa ianya juga menunjukkan betapa masyarakat di sesebuah kawasan tersebut mampu bekerjasama.
Memandangkan hari ini hutan-hutan di sekitar kawasan Bukit Rokan ini telah ditebang, harapan untuk menikmati hidangan istimewa ini semakin tipis. Walaupun pokok ini mudah tumbuh di kawasan lembah, namun hanya boleh ditemui di dalam hutan sahaja. Fizikalnya yang dipenuhi duri tidak mengizinkannya untuk mendiami kawasan yang biasanya didiami/ dilalui oleh manusia.
Hubungan pokok nibung dengan masyarakat juga bukanlah sekadar dijadikan juadah makanan. Antara lain batangnya turut digunakan untuk dijadikan titi, sudip besar, dinding serta lantai pondok (binaan-binaan kecil seperti reban ayam, stor barangan), dan bahan kraftangan. Manakala daun digunakan sebagai atap dan buah boleh di makan bagi menggantikan pinang.
Begitulah istimewanya pohon nibung kepada masyarakat kita dahulu. Walaupun pohonnya dipenuhi duri tetapi masih boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan dari pangkal sampai ke hujung. Adalah satu kerugian bagi generasi kini yang tidak mengenali pohon yang telah berjasa kepada masyarakat kita dahulu kala, yang membantu membangunkan masyarakat sehingga sampai ke tahap kita hari ini. Mungkin ianya sukar untuk ditemui lagi, namun perlukah kita melupakannya?
Pokok nibung secara dekat dipenuhi duri sehingga ke hujungnya.. :D |