Memaparkan catatan dengan label manga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label manga. Papar semua catatan

Khamis, 24 Disember 2015

Peralatan Untuk Melukis Manga

'Nib pen' yang menjadi peralatan klasik dalam melukis manga.

Memandangkan kemahiran melukis manga mempunyai potensi yang tinggi bukan sahaja untuk dijadikan sebagai kerjaya, malah ia juga sesuai untuk mengasah bakat kreativiti seseorang, maka kita akan terus melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia manga ini dari semasa ke semasa. Hari ini kita akan lihat pula peralatan-peralatan yang diperlukan dalam menyediakan sesebuah lukisan manga.

Perlu diingat bagi peralatan dalam melukis manga, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan sebagai peralatan asas. Manakala yang lainnya pula adalah peralatan tambahan yang hanya bertindak sebagai penyokong (memudahkan kerja) atau aksesori (mencantikkan lagi) hasil karya manga anda. Perkembangan industri ini, sudah semestinya menambahkan lagi pelbagai bahan-bahan sampingan berbanding bahan khusus yang terdiri daripada beberapa peralatan asas sahaja pada mulanya.

Peralatan Asas Penting

Pensil


Pensil yang sesuai amat penting untuk lakaran yang baik.


Pensil diperlukan untuk tujuan asas lakaran. Jadi ia merupakan peralatan utama dalam menghasilkan manga. Pensil ini perlulah yang hanya menghasilkan lakaran asas seperti 2H sehingga ke HB namun ia juga bergantung dengan kesesuaian seseorang pelukis itu sendiri.

Pensil yang digunakan mungkin terdiri daripada pensil biasa ataupun pensil mekanikal yang tidak perlu diasah berulang-ulang. Ini dapat memudahkan para pelukis dengan hanya menukar ‘lead’ nya mengikut keperluan. Lead mungkin akan terdiri daripada kelas ‘B’ untuk mata yang lebih lembut dan gelap, manakala ‘H’ untuk mata yang agak keras dan garisan yang lebih pudar.

Apapun jenis pensil yang digunakan, untuk lukisan manga kebiasaannya pensil hanya digunakan dalam menghasilkan garisan panduan kerana hasil akhir lukisan akan menggunakan pen dakwat bagi menghasilkan garisan yang lebih jelas dan hitam.

Kertas 8.5"x11"

Bagi pelukis manga, anda perlulah memiliki bekalan kertas putih yang cukup untuk tujuan penghasilan manga anda dan juga untuk tujuan latihan lakaran karektor dan sebagainya. Kertas yang diperlukan kebiasaannya dari kertas yang bersaiz 8.5"x11" – memandangkan ia saiz yang biasa digunakan untuk komik standard.

Terdapat pelbagai jenis kertas yang berada di pasaran. Bagi seseorang pelukis manga pula anda perlu tahu membezakan jenis-jenis kertas ini kerana ia boleh membantu anda mengenal kualiti kertas dan kegunaannya dengan baik. Sebagai contoh anda mungkin boleh menggunakan kertas 70 gsm untuk tujuan lakaran biasa. Manakala untuk tujuan penghasilan hasil akhir kertas yang perlu digunakan adalah dari jenis 80 gsm dan ke atas.

Pembaris 12”

Pembaris adalah antara peralatan yang penting dalam manga untuk membantu anda membuat lakaran-lakaran garisan panduan. Pembaris panjang 12” (30 cm) dapat memudahkan anda melukis garisan panduan untuk keseluruhan panjang kertas yang digunakan. Ini dapat menjimatkan masa berbanding sekiranya anda menggunakan pembaris biasa 6” (15 cm).

Ruang Kerja


Ruang kerja yang selesa penting untuk menghasilkan kerja yang baik.
Meja kerja idaman para pelukis manga.


Ruang kerja mungkin merangkumi meja khas untuk anda melakukan kerja-kerja melukis manga. Ruang kerja penting bagi memastikan anda dapat melukis dengan selesa dengan peralatan yang lengkap tanpa gangguan. Anda mungkin tidak mahu peralatan anda diganggu sehingga menyebabkan kerja-kerja anda terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda memiliki meja lukisan atau sekurangnya papan lukisan khusus untuk itu.

Pemadam

Pemadam juga merupakan salah satu peralatan penting dalam melukis manga. Kerja-kerja melukis sentiasa memerlukan anda membuat perubahan kepada lakaran asal yang dibuat menggunakan pensil. Jadi pemadam yang sesuai amat penting bagi memastikan hasil kerja yang bersih lagi kemas. Ciri-ciri pemadam yang baik adalah, dapat membersihkan kesan yang ingin dipadamkan, tidak meninggalkan kesan pada kertas dan tidak pula merosakkan kertas.

Peralatan Manga: Permulaan (Asas)

Pen Dakwat


Pen dakwat dalam pelbagai saiz.

Pen Dakwat inilah yang membezakan antara komik dan lukisan biasa. Seterusnya terdapat perbezaan teknik mendakwat (inking) bagi teknik manga Jepun dan juga komik US misalnya. Namun begitu ia tetap memerlukan pen dakwat untuk memastikan lukisan komik dapat disiapkan. Pen Dakwat ini terdiri daripada pelbagai saiz daripada: 0.1, 0.5, 1.0, 2.0, dan sebagainya. Anda tidak perlu memiliki kesemua saiz pen tersebut, tetapi setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa perbezaan saiz mata pen untuk memudahkan kerja mendakwat.

Template


Template untuk mempercepatkan proses melakar/melukis.

Template adalah peralatan yang mempunyai tebukan bentuk-bentuk dengan pelbagai rupa dan saiz. Walaupun bentuk-bentuk ini boleh dilukis sendiri, namun penggunaan template dapat menjimatkan masa dan juga menghasilkan lukisan yang lebih bersih/kemas. Terdapat juga template untuk melukis lengkuk, huruf dan nombor.

Kompas/jangka sudut

Penggunaan kompas dan jangka sudut ini juga penting bagi seorang pelukis manga. Untuk memastikan ia dapat digunakan dengan baik, anda perlulah mempunyai kemahiran menggunakannya dalam lukisan. Terdapat pelbagai jenis jangka sudut, dan ianya berguna mengikut fungsi-fungsinya tertentu.

Pembaris Lengkung

Pembaris lengkung juga adalah peralatan tambahan yang dapat menjimatkan masa. Walaupun lengkung biasanya dilukis menggunakan template lengkung atau ‘free hand’, penggunaan pembaris lengkung dapat menghasilkan garisan yang lebih kemas dengan pantas. Jadi ia merupakan peralatan tambahan yang dapat membantu.

T-Square


T-Square boleh menjadi peralatan yang menjimatkan masa.

Pembaris T-Square, hanya berfungsi dengan baik sekiranya anda menggunakan papan lukisan atau meja lukisan. Namun penggunaan peralatan ini juga dapat  menjimatkan masa apabila dipadankan penggunaannya dengan set-square (iaitu dua lagi pembaris segitiga yang bersudut 90 darjah). Penggunaan peralatan ini juga memerlukan kemahiran khusus. Jadi sekiranya anda baru bermula, peralatan ini mungkin merupakan peralatan tambahan sahaja.

Peralatan Manga: Advanced

Dakwat


Dakwat yang digunakan untuk melukis manga.

Dakwat diperlukan sekiranya anda memilih untuk melukis manga menggunakan pen lukisan ‘nib’. Terdapat pelbagai jenis dakwat dan jenis yang terbaik adalah dari jenis kalis air (waterproof) dan juga tahan pudar (fadeproof) yang dapat memastikan kualiti lukisan anda tahan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebagai permulaan, anda bolehlah menggunakan dakwat dalam botol kecil untuk mengenal pasti dakwat yang sesuai.

Pen Dakwat Nib


Mata pen 'nib' dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Ia adalah jenis pen dakwat klasik yang digunakan untuk melukis komik dan kaligrafi. Pen-pen ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi anda juga perlu mengenali pen ‘nib’ yang sesuai untuk digunakan. Salah satu kelemahan menggunakan pen ini adalah ia perlu sentiasa dicelup ke dalam dakwat. Bagi yang kurang mahir, ia mungkin boleh menyebabkan hasil yang kurang kemas.

Cecair Pemadam (White Out)

Ia didatangkan dalam bentuk cecair di dalam botol atau pen. Bagi anda yang menggunakan dakwat, cecair pemadam ini adalah penting untuk membuat pembetulan pada kesilapan-kesilapan kecil. Penggunaan berlebihan mungkin mengakibatkan hasil lukisan anda kelihatan comot/buruk.

Manuscript Paper

Kertas ini digunakan untuk memudahkan anda menghantar kerja-kerja komik anda kepada penerbit. Jadi sebab itulah ia berada dalam kategori peralatan advance. Namun begitu sebelum anda menggunakan mana-mana ‘manuscript paper’ anda perlulah terlebih dahulu memastikan spesifikasi yang diperlukan oleh penerbit tertentu. Sebagai permulaan, kertas biasa juga adalah memadai.

Tones


Penggunaan 'tones' dalam komik/manga.

Tones, banyak digunakan dalam manga-manga klasik hitam-putih untuk menimbulkan kesan yang lebih menarik. Ia mungkin berbentuk garisan, titik-titik, corak dan sebagainya. Penggunaan tones mungkin akan memakan belanja yang agak mahal. Kebiasaannya pelukis komik mempunyai cara tersendiri menghasilkan tones dengan kaedah yang lebih murah.

Papan Pemotong

Papan pemotong dapat mengelakkan kerosakan pada meja anda sekiranya anda menggunakan ‘tones’ di mana anda biasanya perlu memotong ‘tones’ mengikut rupa bentuk yang diperlukan. Papan pemotong yang sesuai dapat memastikan ruang kerja yang efisyen dan kerja-kerja anda dapat dihasilkan dengan lebih pantas.

Pisau Pemotong

Anda memerlukan pisau pemotong untuk kerja-kerja memotong. Pisau pemotong kebiasaannya amat tajam. Jadi anda perlu berhati-hati dan memastikan ia berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan hasil pemotongan adalah baik. Selain itu anda juga selamat sewaktu mengendalikannya.

Paper Cement


Paper Cement untuk melekatkan tones pada lukisan.

Paper cement bertindak seperti gam untuk melekatkan ‘tones’ kepada tempatnya. Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana ia akan melekat dengan kuat. Jadi sekiranya berlaku kesilapan, adalah agak sukar untuk menanggalkannya semula.

Tersebut adalah peralatan-peratalan asas untuk anda menghasilkan manga. Walaupun terdapat peralatan yang tergolong di dalam kriteria “advanced”, di sini hanyalah keperluan asas untuk menghasilkan manga secara asas sahaja. Peralatan lengkap penghasilan manga merangkumi media yang lebih luas yang akan dibentangkan pula dalam artikel yang lain. Teknik penghasilan manga moden adalah merangkumi bahan media bewarna dan juga melibatkan perisian komputer.



Free Download



Rabu, 16 Disember 2015

Ingin Mengasah Bakat Menjadi Pelukis Manga?

Langkah-langkah melukis manga untuk latihan.

Manga sememangnya menjadikan sesuatu perkara lebih menarik untuk diikuti. Maka dengan itu tidak hairanlah mengapa ia bukan sahaja menjadi satu budaya penting di Jepun malah digunakan dengan meluas untuk segala macam aspek kehidupan terutama dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Jadi ia bukan sahaja digunakan untuk komik-komik seperti di negara kita, malah karakter manga ini turut digunakan untuk menjelaskan undang-undang trafik. Selain itu juga borang untuk jawatan kosong juga turut dihiasi dengan karakter manga yang menerangkan proses mengisi borang tersebut.

Oleh kerana negara kita masih belum menggunakan manga dengan begitu serius seperti Jepun, maka keperluan untuk mengasah bakat-bakat baru yang mampu menghasilkan manga adalah penting – supaya ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Dipadankan pula dengan teknologi maklumat, kemudahan untuk mempelajari teknik manga dan penghasilannya juga adalah jauh lebih menjimatkan berbanding suatu masa dahulu. Ini kerana penghasilan manga secara digital ternyata dapat mengurangkan banyak kos.

Kali ini kita akan melihat bagaimana untuk mendapatkan informasi mengenai teknik-teknik melukis manga melalui ‘internet’. Jadi bagi mereka yang berminat bolehlah mendapatkan beberapa maklumat asas bagi anda mengasah bakat dalam menghasilkan manga ini. Mungkin dari sini nanti anda dapat menghasilkan manga anda dan dikongsi bersama dengan para peminat manga yang lain – atau mungkin menjadi kerjaya anda di masa akan datang.

Asas penghasilan manga perlulah dimulakan secara biasa, iaitu menggunakan pensil, pen komik, kertas dan dakwat. Ini bagi membolehkan anda membentuk asas yang kuat dalam membina karakter manga anda sendiri. Namun secara perlahan-lahan anda bolehlah terus belajar mengenai cara penghasilan manga secara digital – di mana ia akan membantu anda menghasilkan manga sendiri dengan lebih murah dan mudah untuk menemui para peminat.

Di sini saya akan kongsikan beberapa laman web yang menyediakan panduan untuk anda mengasah bakat melukis manga. Terdapat beberapa tutorial yang anda boleh pilih mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. Pertama adalah tutorial biasa berbentuk teks – bagi yang mempunyai talian internet yang berkelajuan rendah dan sederhana. Manakala anda boleh mengikuti juga panduan berbentuk video yang menunjukkan cara yang lebih mudah untuk difahami dan diikuti. Anda juga digalakkan untuk membeli buku-buku panduan melukis manga bagi menambahkan lagi panduan dalam melukis manga ini secara lebih serius.

Panduan yang baik mudah diikuti.

Antara contoh karakter manga.

Antara laman web yang anda boleh ikuti adalah seperti berikut;


Manga tutorial menyediakan panduan yang lengkap dari segi konsep sehinggalah kepada penghasilan karakter, mimik muka, emosi, rupa bentuk dan sebagainya. Ia juga turut menyediakan tutorial dalam bentuk teks dan video. Terdapat juga artikel-artikel yang membincangkan perkara-perkara penting mengenai dunia manga dalam menghasilkan manga yang baik. Selain itu ia juga menyediakan forum bagi membolehkan para peminat dunia manga berkongsi masalah dan pandangan. Buku-buku berkaitan manga juga boleh didapati dari website ini. Jadi ia merupakan satu website yang lengkap untuk memudahkan kerja-kerja mengasah bakat anda dalam dunia manga.


Merupakan satu lagi laman yang menyediakan banyak panduan berguna kepada anda yang berminat untuk mempelajari tentang kaedah penghasilan manga. Terdapat banyak bahan menarik dari Manga University ini samada secara percuma mahupun yang berbayar. Namun begitu, buku panduan berbentuk e-book juga boleh dibeli dengan harga yang amat berpatutan. Panduan asas disediakan secara percuma melalui link “How to draw manga”. Sekiranya anda ingin menjadi ‘mangaka’ yang lebih serius, anda mungkin boleh memilih untuk mengikuti kursus di rumah dengan panduan daripada pelukis-pelukis manga yang lebih profesional. Melalui laman ini juga, anda boleh mengikuti panduan berbentuk video.

Penghasilan manga menggunakan 'software' lebih menjimatkan.

Penghasilan 'comic strip' juga memerlukan latihan.

Anda juga boleh mengikuti panduan melukis manga menggunakan apps melalui telefon pintar anda. Antara apps yang disediakan sebagai contohnya adalah “Draw Anime - Manga Tutorials” (aplikasi Android). Aplikasi ini menyediakan video-video tutorial yang mudah untuk diikuti terus dari telefon anda.

Video-video panduan ini juga boleh didapati terus melalui YouTube dengan mudah. Jadi anda perlulah bijak mencari bahan panduan yang dapat membantu anda bersesuaian dengan keperluan latihan anda. Pastikan juga anda meneruskan latihan anda secara berterusan bagi memastikan hasil yang lebih baik dan pantas. Antara kemahiran-kemahiran yang perlu anda kuasai dapat dilihat dalam laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Antara panduan berguna 'mangaka'.

Bagi menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya, anda perlulah juga mengikuti panduan-panduan yang berguna seperti yang dikongsikan oleh mereka yang arif di dalam bidang ini. Banyak artikel yang dapat menerangkan kepada anda tentang bagaimana anda menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya seperti “Magnificent Manga: 10 Beginner Drawing Manga Tips”. Jadi, anda perlulah kreatif dalam menyusun strategi latihan anda sendiri – ataupun lakukan secara berkumpulan dengan mereka yang mempunyai minat yang sama dengan anda.


Sebelum saya menamatkan artikel kali ini, ingin saya berpesan supaya anda terus membuat perhatian tentang kegunaan manga dalam kehidupan harian – anda boleh membuat tinjauan mengenai perkara ini di kedai buku Jepun seperti Kinokuniya misalnya. Dimana anda akan dapati buku panduan memasak juga dihasilkan dalam bentuk manga. Amat menarik! Anda juga mungkin boleh menghasilkan kerja-kerja anda dalam bentuk manga nanti.






Free Download



Ahad, 13 Disember 2015

Sumbangan Dunia Manga

Populariti manga buka sekadar di Jepun, malah ke seluruh dunia.

Manga (漫画 Manga) atau komik Jepun merupakan antara bahan bacaan popular bukan sahaja bagi golongan kanak-kanak, malah bagi golongan remaja dan dewasa. Malah kepesatan dunia manga turut menjadikan ianya sebagai salah satu media penting bukan sahaja untuk tujuan hiburan, malah adakalanya berunsur pendidikan bagi orang ramai.

Kepesatan dunia manga ini juga turut menjadi penyumbang ekonomi bagi negara matahari terbit itu sehingga berjaya menyumbang sehingga  $3.6 billion pada tahun 2007 dan angka ini terus meningkat pada tahun 2009 iaitu $5.5 billion. Penjanaan ini bukanlah hanya membawa kebaikan bagi negara asal manga ini sahaja, malah turut memberi peluang kepada negara-negara lain untuk proses penerbitan semula dan proses alih bahasa.

Komik-komik majalah Malaysia, suatu masa dahulu.

Kini majalah dengan style 'Manga', lebih diminati.

Industri manga menjadikan para kartunis manga (mangaka) sebagai salah satu kerjaya penting, malah di negara kita juga pelopor komik-komik manga ini semakin mendapat tempat – dengan pertambahan bilangan pelukis manga tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa. Bukan sekadar bakat semata, seorang pelukis manga perlu mempunyai bakat dalam melukis, kreativiti tinggi dalam mereka karater manga, jalan cerita yang menarik, malah mereka juga memerlukan kebijaksanaan bagi memastikan manga yang dihasilkan mempunyai kualiti yang menarik minat pembaca.

Di negara kita majalah seumpama manga juga semakin mendapat perhatian seperti Gempak startz, Utopia, dan Kreko yang menggantikan komik-komik klasik malaysia seperti Gila-gila, Ujang, Gelihati, Batuapi yang pernah menjadi suatu majalah kegemaran ramai suatu masa dahulu. Itu bukan bermaksud dunia komik tanahair tiada masa depan, tetapi lebih kepada bagaimana ianya diselenggarakan selain daripada persembahannya.

Kemunculan bakat-bakat pelukis komik (manga di dalam Bahasa Jepun) Malaysia semakin bertambah baik. Malah dengan kepesatan dunia perhubungan internet juga membolehkan artis-artis komik Malaysia menyumbangkan bakat mereka di dalam dunia komik antarabangsa. Kerjaya ini semakin mendapat perhatian serius golongan muda. Manakala di persada antarabangsa pula kerjaya yang sama telah menghasilkan banyak siri animasi dan filem yang diadaptasi daripada komik/manga pada asalnya.

Manga mempunyai fungsi yang amat unik di Jepun. Iaitu dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya (terutama golongan kanak-kanak). Melalui manga-manga ini dan juga anime, budaya Jepun diberikan keutamaan bagi membantu generasi muda Jepun mengenali dengan lebih mendalam jatidiri mereka. Sebagai contoh yang paling mudah dilihat adalah melalui siri manga terkenal Doraemon yang mula dihasilkan pada tahun 1969 yang merupakan salah satu siri manga paling penting di Jepun yang pada mulanya menyasarkan kepada golongan kanak-kanak pra-sekolah sehinggalah kepada para pelajar di tahap-4.

Dragon Ball, siri manga yang amat panjang.

Doraemon, menjadi manga penting dalam mendidik masyarakat Jepun.

Namun kejayaan siri Doraemon ini bukan sekadar mendidik rakyat Jepun mengenai budaya mereka, malah ia kemudiannya turut mendapat sambutan hebat dari seluruh dunia. Keunikan jalan ceritanya pula, menjadikan siri kartun (manga) Doraemon, sebagai salah satu siri yang bukan sahaja mendidik mengenai kebudayaan Jepun, malah kemajuan dunia teknologi masa akan datang (iaitu menggalakkan kanak-kanak mempunyai imaginasi mereka sesuatu yang baru). Kejayaan Doraemon inilah juga yang menyemarakkan lagi penghasilan manga-manga berikutnya seperti Dragon Ball, Sailor Moon, Detective Conan, Macross, Gundam, Akira, Slam Dunk, Ultraman dan sebagainya sehinggalah kepada  manga-manga yang lebih moden seperti Naruto, Bleach, One Piece dan lain-lain.

Manga dilihat mempunyai pengaruh ke atas para peminat dan juga orang ramai dari pelbagai golongan umur. Malah selain daripada penghasilan animasi (anime), produk-produk berasaskan sesuatu manga juga turut menjadi buruan peminat. Adakalanya, watak-watak kegemaran daripada sesuatu manga/anime digunakan bagi mendidik orang ramai bagi satu-satu kempen tertentu. Jadi di Jepun, pengaruh manga digunakan sepenuhnya lebih daripada hanya sekadar bahan hiburan. Semoga ia juga memberi impak yang  sama kepada negara kita di masa akan datang.


Bagi peminat-peminat manga, anda boleh mendapati manga kegemaran anda secara online dari comics directory.




Free Download



Isnin, 2 Februari 2015

Mango | Aplikasi Pembaca Komik dan Manga Terbaik 2015

Manga bukan sebuah hasil seni malah merupakan industri jutaan ringgit!

Mango merupakan satu aplikasi pembaca komik & manga dan merupakan aplikasi percuma untuk peranti Android & Blackberry. Apa yang menarik tentang Mango ialah ianya tidak terdapat di dalam Play Store. Bukan kerana ianya mempunyai virus, spyware atau adware tetapi kerana Mango mempunyai senarai laman sesawang seperti MangaHere, MangaPanda & MangaFox. Laman sesawang seperti ini sudah pasti melanggar terma dan syarat Google untuk diletakkan di Play Store.

Bagi para peminat manga sudah tentu memerlukan satu aplikasi yang dapat memudahkan kerja-kerja pencarian manga terkini dan kaedah paparan yang mudah bagi tujuan pembacaan manga kegemaran mereka. Jadi sekiranya anda belum lagi mencuba aplikasi Mango pastikan anda tidak terlepas mengikuti keseluruhan artikel ini.

Jadi apa lagi yang menarik tentang aplikasi ini?

CIRI-CIRI



Senarai Laman Sesawang Manga

- Mango mampu membaca sembilan jenis laman sesawang yang berbeza, termasuk satu di dalam bahasa Sepanyol. Lebih banyak laman sesawang dan bahasa akan ditambah pada masa akan datang.

Antara Muka Yang Menarik

- Tiada siapa yang suka menggunakan aplikasi yang mempuyai antara muka yang hodoh. Itulah sebabnya Manggo telah dicipta dari awal dengan rekabentuk antara muka yang memenuhi permintaan dan mempunyai ciri-ciri yang menarik dan mudah untuk digunakan. UI (user interface) juga telah dioptimumkan untuk peranti Ice Cream Sandwich di mana ianya sesuai untuk telefon bimbit dan tablet.

Pantas

- Mango menggunakan servis 'Cloud Parsing' untuk membantu membuang data sampah dari HTML sebelum menghantarnya kepada telefon. Ini menghasilkan kelajuan dalam  memuat turun dan mengurangkan penggunaan data.

Membaca Secara Luar Talian

Simpan bab ke kad peranti SD anda, kemudian membacanya pada bila-bila masa anda mahu tanpa sambungan internet menggunakan ciri My Library di tempat kerja, di sekolah, atau di dalam pesawat! Anda boleh memuat turun manga-manga kegemaran anda melalui menggunakan Wi-Fi yang disediakan di café dan lapangan terbang misalnya sebelum sedia untuk membacanya apabila perlu.

Pemberitahuan

- Jangan sekali-kali terlepas bab terbaru tajuk kegemaran anda! Ciri Pemberitahuan secara berkala akan memeriksa laman web untuk bab baru dan akan memberitahu anda apabila lembaran baru disediakan untuk anda baca. Ia juga boleh menyimpan bab baru secara automatik ke kad SD anda, supaya ia sentiasa bersedia untuk dibaca di mana jua anda berada.

Sistem Kegemaran

Sistem Kegegemaran Mango membolehkan anda menjejaki semua komik kegemaran anda dalam satu senarai, dan menawarkan banyak pilihan aturan seperti tagging, sorting, filtering, dan carian. Tambahan lagi, Mango secara automatik akan mengesan pembacaan anda untuk di masukkan ke pilihan Kegemaran!

Aplikasi Pembaca Yang Hebat

- Oleh kerana anda akan menghabiskan sebahagian besar masa anda membaca, Mango mempunyai banyak ciri-ciri menarik untuk pembacaan yang lebih menyeronokkan. Dengan scrolling yang lancar, pinch zoom, swipe gesture, melompat ke halaman dengan pratonton imej kecil, dan animasi, Mango mampu menyampaikan pengalaman membaca yang lancar dan hampir memberikan anda pengalaman membaca Tankobon (manga 1 siri) sebenar. Menu Keutamaan juga membolehkan anda menetapkan cara bacaan mengikut kesukaan anda.

Aplikasi ini boleh didapati di laman sesawang rasmi Mango di http://mango.leetsoft.net/

Aplikasi Mango boleh di download di sini: Link

Jadi bagi anda yang meminati dunia manga ataupun baru berjinak dalam dunia manga ini pastikan tidak melepaskan peluang untuk mencuba Mango. Melalui kemudahan yang disediakan oleh aplikasi ini akan dapat memudahkan lagi urusan anda dalam pencarian manga kegemaran dan membolehkan anda lebih menumpukan kepada menghayati hasil karja manga tersebut.

Selamat membaca!




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.


Arkib Blog