Memaparkan catatan dengan label lestari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lestari. Papar semua catatan

Selasa, 21 Mac 2017

Mengembalikan Kesuburan Loess Plateau, China

Loess Plateau sebelum dan selepas pemulihan semula.

Mungkin tidak semua pernah mendengar mengenai Loess Plateau atau Huangtu Plateau, iaitu sebuah kawasan seluas 640,000 km berada di hulu Sungai Huang He (Yellow River). Kawasan yang suatu masa dahulu amat subur ini bagaimanapun telah lama bertukar menjadi padang pasir dan menjadikan para penduduknya tinggal di dalam keadaan yang amat miskin. Sehinggalah pada tahun 1994 satu langkah drastik telah diambil yang menjadikan Loess Plateau kembali menghijau.

Loess Plateau merupakan satu kawasan yang amat subur suatu masa dahulu yang membolehkan banyak kerajaan lama didirikan di sekitar kawasan ini. Oleh kerana aktiviti pertanian dan penternakan yang tidak terkawal ia bagaimanapun bertukar menjadi tanah yang kering gersang. Hujan yang turun di kawasan ini hanya akan mengalirkan lumpur yang banyak ke dalam sungai dan menjadikan bencana di kawasan hilir sungai iaitu mendakan lumpur dan banjir.

Lokasi kedudukan Loess Plateau.

Kerja-kerja pemulihan yang dilakukan bersama.

Kehijauan yang kembali semula ke kawasan Loess Plateau.

Pada tahun 1994 satu usaha telah dijalankan dan dikenali sebagai “Loess Plateau Watershed Rehabilitation Project”, untuk mengurangkan kesan kegersangan ini. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini dijalankan bersama dengan para penduduk yang mendiami kawasan Loess Plateau yang kurang memahami mengenai pertanian lestari (sustainable farming) menjadikan ia satu usaha yang kurang meyakinkan. Namun projek ini sendiri adalah untuk kebaikan para penduduk sendiri di mana tanah yang mereka usahakan menjadi tanah pertanian mereka sendiri pada masa akan datang.

Melalui pelbagai tahap pemulihan semula tanah termasuk membina empangan, kawasan tadahan air, teres-teres di lereng bukit dan penanaman pokok dalam skala yang besar, selain mengelakkan haiwan ternakan daripada berkeliaran bebas memakan anak-anak pokok yang baru tumbuh. Kawasan Loess Plateau yang gersang menampakkan perubahan dalam tempoh 10 tahun dan bertukar menjadi kawasan tanaman yang subur semula.

Penduduk yang meraikan hari perayaan.

Petani yang mengusahakan tanaman epal dengan hasilnya mampu menyara keluarga.

Kaum wanita yang dahulunya terpaksa mengangkut air dari jauh, kini mendapat bekalan air di hadapan rumah mereka.

Sehingga ke hari ini, kawasan Loess Plateau terus menjadi kawasan pertanian yang subur semula. Para petani yang suatu masa dahulu hidup dalam kesusahan berjaya mengeluarkan hasil tanaman yang menguntungkan. Ia merupakan satu perkara di luar jangkaan mereka. Ia antara lain menunjukkan bahawa alam sendiri dapat memberikan lebih baik apabila ianya terjaga dengan baik pula.

Berikutan dengan itu kawasan-kawasan gersang lain di dunia juga ingin mencontohi kejayaan ini. Ternyata, setiap kawasan di dunia mempunyai potensi untuk menjadi kawasan menghijau selagi ianya tidak digunakan dengan cara yang salah. Ini bukanlah bermakna tanah tersebut tidak boleh diusahakan untuk pertanian tetapi haruslah memahami mengenai keseimbangan kesuburan tanah dan mengelakkan ianya daripada terjejas.


Hari ini, dengan perkembangan teknologi manusia mempunyai lebih kemampuan untuk melaksanakan tujuan ini. Maka dengan itu, setiap tindakan perlulah diukur dengan lebih teliti kerana ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang dan boleh mengakibatkan kerugian pada diri sendiri dan generasi akan datang.








Free Download



Jumaat, 4 Mac 2016

Penjanaan Tenaga Solar Terapung Terbesar di Eropah

Pembinaan loji tenaga suria terapung di Surrey.

Penjanaan tenaga solar terapung yang terdiri daripada 23,000 panel fotovoltan (photovoltaic) sedang dijalankan di permukaan kolam simpanan air Queen Elizabeth II, berhampiran Walton-on-Thames, Surrey.

Keseluruhan binaan ini nanti akan mencapai keluasan 8 kali ganda padang bola dan dijangka mampu menjana sehingga 5.8 juta kilowat jam tenaga elektrik. Tenaga tersebut akan digunakan sebagai sebahagian kuasa untuk kerja-kerja proses rawatan air di loji rawatan air berdekatan.

Thames Water iaitu pengendali loji air berkenaan meyasarkan kerja-kerja akan siap menjelang akhir March nanti. Lokasinya pula terletak kira-kira 8 batu (13 km) daripada lapangan terbang Heathrow. Keseluruhan keluasan pelampung yang digunakan akan mencapai sehingga 57,500 meter persegi.

Dari segi penghasilan tenaga pula ia akan menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk membekalkan kuasa bagi kegunaan untuk 1,800 buah rumah. Loji penghasilan tenaga solar ini pula akan diselenggarakan oleh Syarikat Lightsource.

Pemasangan panel-panel suria oleh para pekerja.

Panel-panel yang diturunkan ke dalam air.

Mengikut jurucakap bahagian pengurus tenaga bagi Thames Water, Angus Berry, pembinaan penjanaan tenaga solar tersebut dapat membantu syarikat tersebut untuk beroperasi secara lebih lestari.

Penghasilan tenaga solar terapung terbesar di Eropah sebelum ini dibina di Hyde, Greater Manchester. Ia berkeluasan sehingga 45,500 meter persegi. Kedua-dua ladang penghasilan tenaga suria ini pula adalah jauh lebih kecil berbanding dengan penghasilan tenaga suria terapung di dunia.


Ladang tenaga suria terapung terbesar dunia dibina oleh Syarikat Kyocera yang akan dibina di permukaan Empangan Yamakura di Chiba Prefecture dengan keluasan yang mencecah sehingga 180,000 meter persegi apabila siap kelak.

Ladang tenaga suria terapung Godley Reservoir di Hyde.
Ladang tenaga suria yang akan dibina oleh Kyocera.


Free Download



Isnin, 3 Disember 2012

Banjir Di Bukit Rokan Semakin Kerap.

Seperti kebiasaan bagi penghujung tahun, musim tengkujuh merupakan fenomena biasa di negara kita. Bagi penduduk yang rata-rata merupakan penoreh getah musim tengkujuh menandakan perubahan aktiviti untuk menambah sumber ekonomi. Musim beginilah banyak meninggalkan kenangan zaman kanak-kanak yang penuh dengan aktiviti seperti memancing, mencari sayur kampung, menjaring ikan dan yang paling seronok tentulah mandi sungai.

Namun apa yang membimbangkan baru-baru ini semakin kerap berlakunya banjir kilat. Banjir kilat mungkin tidak mendatangkan masalah besar, namun dalam jangka masa panjang ianya mungkin mendatangkan masalah. Di sini saya sertakan gambar banjir kilat yang berlaku hanya setelah beberapa jam hujan lebat. Jika dahulu banjir kilat sebegini hanya akan berlaku setelah 2 hari hujan tanpa henti. Apa yang menyebabkan keadaan ini berubah dengan begitu besar sekali?

Perubahan yang paling besar dapat diperhatikan adalah kerja pembersihan sungai. Keadaan sungai yang telah dibersihkan ini menyebabkan air mengalir dengan cepat. Walaubagaimanapun air ini tetap terhalang di beberapa kawasan dan menyebabkan banjir kilat ini berlaku. Secara umumnya proses pembersihan ini adalah baik tetapi keadan air yang mengalir terlalu deras juga sebenarnya menyebabkan hakisan dan boleh mengundang bahaya yang lain.

Apa yang ingin dikongsi disini sebenarnya adalah pembangunan yang lebih lestari. Iaitu pembangunan yang mengekalkan keseimbangan alam supaya manusia tidak terlalu ghairah mengejar pembangunan sehingga membawa mudarat kepada diri sendiri. Sama-sama kita fikirkan.











MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.


Arkib Blog