Memaparkan catatan dengan label lebah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lebah. Papar semua catatan

Isnin, 11 April 2022

Madu dan Gula, Manakah Yang Lebih Baik?

Madu dan gula, manakah yang lebih baik untuk anda?

Kemanisan merupakan salah satu rasa penting di dalam makanan dan minuman. Oleh kerana kemajuan teknologi perindustrian dan perdagangan memudahkan kita mendapat bekalan gula, maka makanan manis semakin mudah untuk dinikmati. Namun pengambilan gula berlebihan boleh membawa kemudaratan yang serius kepada kesihatan manusia. Sehubungan itu, salah satu lagi jenis manisan yang biasa digunakan suatu masa dahulu iaitu madu, adakah ia lebih baik daripada gula?
 
Gula merupakan pembekal sumber tenaga penting kepada badan, namun gula di dalam bentuk glucose atau fructose membolehkan ianya diserap ke dalam darah dengan lebih pantas - menjadikan kandungan gula di dalam darah meningkat dengan mendadak. Mari kita lihat komposisi glucose dan fructose di dalam kedua-dua jenis manisan ini.

 
Gula: 50 peratus fructose dan 50 peratus glucose.
Madu: 40 peratus fructose dan 30 peratus glucose.
 
*Bahan lain yang terkandung di dalam madu adalah air, debungga (pollen) dan mineral, termasuk magnesium dan potassium.

Terdapat pelbagai jenis madu, dan tidak semuanya sama.

Juga terdapat pelbagai jenis gula.

Berbalik kepada persoalan asal, adakah madu lebih baik berbanding gula? Kita lihat kedua-dua bahan ini dari segi glycemic index (GI) iaitu suatu nilai untuk mengukur sesuatu bahan makanan dalam meningkatkan kadar gula di dalam darah.
 
  •  Makanan yang meningkatkan paras gula dengan perlahan dipanggil makanan rendah GI (<55).
  •  Makanan yang meningkatkan paras gula secara sederhana dipanggil makanan sederhana GI (55-69).
  •  Makanan yang meningkatkan paras gula dengan cepat dipanggil makanan tinggi GI (>70).
 

Bahan

Glycemic Index

Gula Putih

68

Corn syrup

90

Agave nectar

10

Madu

55

Maple syrup

54

Molasses

55

 
*Beberapa bahan manisan lain turut disertakan sebagai perbandingan.
 
Dari segi glycemic index, madu mempunyai bacaan yang lebih rendah berbanding gula putih. Ini menunjukkan ia tidak meningkatkan gula di dalam darah sepantas gula putih. Namun, ia masih meningkatkan kadar gula di dalam darah (ia masih perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit - mengikut tahap kesihatan).
 
Selain daripada (GI), madu dan gula juga diukur mengikut kadar tenaga yang dibekalkan daripada kedua-dua bahan ini.
 
Kiraan kalori untuk 100g gula putih mengandungi 400kJ/95.60Kcal manakala 100g madu pula mengandungi sekitar 1,400kJ/334Kcal.
 
*Perlu diingat, bacaan ini mungkin berbeza mengikut jenis madu yang anda ambil.

 
Antara Kebaikan Lain Madu
 
Madu digunakan bukan sahaja sebagai bahan pemanis makanan, tetapi ia juga digunakan bagi tujuan perubatan. Selain memberikan rasa manis, madu juga turut mengandungi bahan minerals, bergantung kepada bunga-bungaan yang terdapat di persekitarannya yang digunakan untuk menghasilkan madu tersebut. Secara umumnya, madu turut mengandungi sebahagian kecil debunga (pollen) bersama-sama bahan lain seperti:
 
  •  Asid Amino
  •  Anti Oksidan
  •  Enzim
  •  Minerals
  •  Vitamin
Madu telah digunakan sejak sekian lama oleh manusia sebagai manisan dan juga untuk tujuan perubatan.

Madu biasa digunakan dalam merawat masalah kesihatan berkaitan dengan pernafasan. Ia mengandungi anti-radang yang boleh mengurangkan pembengkakan pada saluran pernafasan disebabkan asma. Ia juga merupakan bahan yang biasa digunakan untuk melegakan batuk.
 
Selain daripada batuk, madu juga membantu merawat kesan alahan. Namun untuk tujuan ini, hanya madu tertentu sahaja yang memberikan kesan yang positif. Sebagai contoh, dalam merawat alahan terhadap debunga pohon birch, madu yang dihasilkan daripada debunga birch dikatakan memberikan kesan yang baik.
 
Madu juga boleh digunakan sebagai ubat sapuan dalam merawat beberapa keadaan seperti merawat luka. Luka-luka ini termasuklah luka biasa, ulser dan kecederaan terbakar. Satu lagi keadaan iaitu Seborrheic dermatitis, dimana keadaan yang menyebabkan kulit kepala menjadi gatal dan mengelupas. Madu boleh digunakan secara mingguan bagi mengurangkan keguguran rambut disebabkan masalah ini.
 
Berbanding dengan gula biasa, madu juga lebih mudah untuk diserap oleh badan kerana ianya ditambah dengan enzim oleh lebah-lebah yang menghasilkan madu.

 
Antara Kebaikan Gula
 
Gula juga adalah dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan, namun proses penghasilannya menyebabkan ia hanya mengandungi glucose dan fructose, yang digabungkan untuk membentuk gula yang dikenali sebagai sucrose.
 
Gula putih tidak mengandungi nutrients tambahan. Namun begitu, gula perang yang masih lagi mengandungi bahan-bahan dalam menghasilkan gula, mungkin masih mengandungi sedikit sebanyak bahan mineral.
 
Selain mengandungi kalori yang lebih rendah berbanding madu, gula antara lainnya lebih mudah didapati, murah dan mudah disimpan berbanding madu. Gula juga mudah digunakan untuk menghasilkan banyak jenis makanan yang biasa dimakan pada hari ini.
 
Manakah Yang Lebih Baik?
 
Kedua-dua bahan merupakan bahan pemanis yang mengandungi bahan yang hampir sama iaitu fructose dan glucose, di mana ia boleh memberikan kesan yang sama kepada badan manusia. Dari segi kebaikan tambahan yang diperolehi oleh madu, ia bergantung kepada keperluan individu kerana madu merupakan bahan yang mahal dan tidak semua jenis madu adalah sama. Malah adakalanya madu asli sukar diperolehi.
 
Sekiranya anda mempunyai kebimbangan terhadap masalah kesihatan seperti kencing manis atau obesiti maka cuba elakkan penggunaan gula, dan hanya gunakan madu pada kadar yang minimum. Namun, sekiranya anda adalah pengidap kencing manis, maka kedua-dua bahan ini perlu diambil dengan pengawasan yang rapi.
 
Penggunaan kedua-dua bahan boleh mengakibatkan kesan yang sama iaitu:
 
  •  Penambahan berat badan.
  •  Meningkatkan risiko kesihatan.
  •  Tahap tinggi kandungan gula di dalam darah.
  •  Risiko kerosakan gigi.
Obesiti adalah antara masalah kesihatan yang dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan.

 
Antara Langkah-langkah Yang Boleh Diambil:
 
Oleh kerana kebanyakan makanan yang diambil mengandungi gula (makanan yang diproses banyak menggunakan gula), selain gula boleh didapati dengan mudah pada hari ini, beberapa langkah perlu diambil bagi mengurangkan bahaya penggunaan gula berlebihan.
 
  • Kurangkan pengambilan - kurangkan pengambilan gula berbanding biasa, di dalam minuman, makanan dan juga masakan yang anda sediakan.
  • Gunakan ekstrak atau rempah manis - ekstrak daripada badam atau vanilla boleh memberikan rasa manis kepada bahan seperti smoothies atau bahan bakar tanpa menambahkan jumlah gula. Manakala rempah-rempah seperti halia, kayu manis dan buah pala juga memberikan kesan yang sama pada masakan tanpa tambahan kalori.
  • Ambil buah-buahan manis - buahan-buahan manis dapat membantu mengurangkan perasaan mengidam (cravings). Pilihlah buah-buahan seperti beri, pisang, mangga dan lain-lain buah yang mempunyai rasa yang manis.
 

Gula mampu memberikan kita kesan ketagihan (kecenderungan untuk menambahkan jumlah pengambilan berterusan). Bagi mengelakkan kesan ini, pengambilan gula perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Anda tidak perlu menambah gula (atau kurangkan gula) di dalam minuman sekiranya anda memakan makanan yang manis. Sebaiknya anda tidak mencampurkan gula ke dalam minuman seperti kopi dan teh, serta menjauhkan minuman yang mengandungi gula yang tinggi seperti minuman ringan dan minuman juga yang diproses. Sekian sahaja untuk kali ini.


Rabu, 1 September 2021

Penurunan Jumlah Serangga, Mengapa Kita Perlu Khuatir?

Manusia sejak dahulu lagi cuba mengenali serangga dengan lebih dekat, bagi mengetahui potensinya.


Tidak semua orang suka kepada serangga - ataupun, anda tidak menyukai semua serangga! Ini kerana, serangga merupakan satu kumpulan hidupan yang sangat besar, dan mengenali kesemua jenis serangga adalah sukar. Sehingga kini hanya sekitar sejuta spesies yang berjaya dikenali dan diklasifikasikan. Manakala jumlah spesies yang dianggarkan adalah sekitar 5.5 juta spesies dan 1.5 juta daripadanya terdiri daripada spesies kumbang.
 

Mengapa Serangga Penting?

 
Seperti juga hidupan-hidupan yang lain, setiap serangga mempunyai fungsi yang tersendiri. Keunikan kumbang yang biasanya menjadikan tumbuhan reput sebagai tempat di mana ia bertelur dan menjadi makanan baginya sehingga dewasa - membantu proses pereputan dan membolehkan nutrient daripada tumbuhan mati tersebut kembali semula kepada tanah, bagi tumbuhan-tumbuhan baru pula tumbuh. Selain itu, anak-anak kumbang ini pula akan menjadi makanan hidupan-hidupan lain seperti burung, cicak, musang, monyet dan hidupan-hidupan lain. Kebolehan serangga membiak dalam jumlah yang besar adalah kerana, ia merupakan sumber makanan penting bagi hidupan yang lain - membiak dalam jumlah yang besar, membolehkan sebahagian daripadanya mencapai usia dewasa.

 
Terdapat juga serangga-serangga yang tinggal di dalam tanah. Serangga-serangga ini, secara tidak langsung mengekalkan struktur tanah supaya tetap berada dalam keadaan yang baik. Ia membolehkan pengaliran udara dan air yang lancar, sekali gus membolehkan tumbuh-tumbuhan menyerap air yang meresap ke dalam tanah. Tanpa air yang menyerap ke dalam tanah, menyebabkan tanah menjadi cepat kering, gersang dan menyebabkan kesan kemarau yang lebih teruk.

Rama-rama sangat terkenal dengan fungsinya sebagai ejen pendebungaan.

'Ladybug' atau kumbang kura-kura memakan serangga perosak tanaman.

 
Kebanyakan serangga juga merupakan ejen pendebungaan bagi tumbuhan-tumbuhan berbunga. Ini membolehkan tumbuhan menghasilkan buah, seterusnya membolehkan tumbuhan pula menghasilkan biji benih yang membolehkan tumbuhan-tumbuhan baru dihasilkan. Biji-biji tumbuhan ini kemudiannya ada yang diterbangkan angin, dimakan burung dan diterbangkan jauh dari pokok induknya, atau dimakan haiwan dan dicernakan berhampiran kawasan yang lebih subur dari pokok induknya. Inilah yang menjadikan hubungkait antara hidupan-hidupan ini sangat penting. Walaupun serangga merupakan hidupan yang kecil, namun fungsinya adalah sangat besar kepada keseimbangan alam.
 
Serangga-serangga sendiri memainkan peranan dalam mengawal keseimbangan hidupan-hidupan lain. Walaupun ada di antaranya yang menyebabkan penyakit dan mengurangkan populasi hidupan - namun bukan ini yang dimaksudkan. Pengawalan populasi di sini lebih kepada kehidupan serangga-serangga itu sendiri yang mungkin menjadikan hidupan lain sebagai sumber makanan bagi mereka. Seperti labah-labah yang menjadikan serangga-serangga lain sebagai sumber makanan, malah turut ada yang menjadikan hidupan-hidupan kecil lain sebagai sumber makanan mereka. Selain hidupan, serangga-serangga juga turut menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan.
 

Kegunaan Serangga Kepada Manusia

 
Manusia telah lama menggunakan khidmat serangga dalam pelbagai aktiviti kehidupan seharian. Sepanjang pembangunan tamadun manusia, serangga mempunyai hubungan rapat dalam membantu perkembangan kualiti hidup manusia itu sendiri. Contoh yang terpaling baik adalah pertanian. Pertanian merupakan punca manusia mampu tinggal di suatu penempatan yang tetap. Di sini, serangga membantu secara tidak langsung dari segi pendebungaan tumbuh-tumbuhan yang ditanam manusia dan membolehkan penghasilan bijian baru dihasilkan untuk tanaman yang berikutnya. Selain itu juga, serangga turut menjadi makanan ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Walaupun serangga juga merupakan sebahagian daripada musuh tanaman - namun terdapat juga serangga-serangga pemangsa yang menjadikan serangga-serangga ini sebagai makanan mereka.

 
Selain membantu pendebungaan tumbuhan, terdapat juga serangga-serangga yang menyediakan sumber makanan kepada manusia. Antara sumber makanan yang paling popular adalah madu. Namun begitu, kebanyakan masyarakat di dunia menjadikan serangga itu sendiri sebagai makanan seperti belalang, kumbang air, cengkerik, labah-labah, semut dan macam-macam lagi mengikut geography sesuatu kawasan. Selain serangga dewasa, anak-anak kumbang juga merupakan antara makanan popular sesetengah masyarakat.
 
Serangga turut menyediakan manusia dengan sumber bahan seperti sutera yang menjadi bahan utama penghasilan industri tenunan sutera. Selain sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera, sutera labah-labah juga merupakan antara bahan yang menjadi bahan idaman manusia - hari ini, sutera labah-labah cuba dihasilkan secara sintetik, dan hasilnya amat memberangsangkan!

Ulat sutera merupakan bahan makanan kepada manusia di sesetengah tempat.

Ulat sutera dalam industri penghasilan barangan sutera.

 
Manakala dalam industri perabot pula, bahan yang dikenali sebagai “shellac”, adalah dihasilkan daripada serangga yang dikenali sebagai Lac Scale (Laccifer lacca), yang kebanyakannya dihasilkan dari India. Namun begitu, ia juga turut dihasilkan di beberapa negara lain seperti Thailand, China, Mexico, Bangladesh, Myanmar, Laos dan Vietnam. Shellac amat penting dalam industri perabot kerana ia bukan sahaja memberikan kemasan yang baik, malah turut mengelakkan perabot-perabot daripada dirosakkan oleh serangga-serangga lain.
 
Dalam penghasilan bahan industri, lebah sekali lagi menyediakan sumber seperti lilin lebah (beeswax), yang digunakan dalam penghasilan produk seperti minyak sapuan (ointments), bahan penggilap, penggilap kasut dan juga penghasilan lilin. Sebahagian besar lilin lebah turut digunakan dalam penghasilan bahan kosmetik seperti losyen, krim dan juga lipstik.

 
Malah bahan pewarna juga turut dihasilkan daripada serangga dalam penghasilan pelbagai bahan seperti pewarna bagi kosmetik, pewarna makanan, ubatan dan minuman. Walaupun mendapat persaingan daripada pewarna sintetik moden - yang ternyata bersifat carninogenic, menyebabkan penggunaan bahan pewarna dari serangga ini masih diperlukan. Tanin juga merupakan bahan yang boleh dihasilkan daripada ‘insect galls’, iaitu ketumbilan pada tumbuhan yang dihasilkan oleh serangga yang digunakan dalam proses penyamakan (tanning) barangan kulit dan juga dalam penghasilan dakwat kekal yang berkualiti.
 
Hari ini juga serangga seperti lalat ‘Black Soldier Fly’ (BSF), merupakan serangga penting yang digunakan dalam pelupusan sisa bahan organik. Selain itu juga, lalat-lalat ini turut menjadi sumber makanan kepada binatang ternakan, secara terus ataupun diproses. Makanan yang dihasilkan daripada lalat-lalat BSF adalah amat baik bagi tumbesaran haiwan ternakan, kerana ianya menyediakan bekalan protein yang tinggi. Industri ternakan lalat BSF boleh dilakukan secara kecil-kecilan atau besar-besaran - bergantung kepada pengusaha itu sendiri.

'Insect galls', merupakan bahan penting dalam industri kulit dan dakwat.

'Lac Scale', yang menghasilkan bahan untuk menghasilkan 'shellac' yang penting dalam industri perabot.

 

Masa Depan Serangga

 
Hari ini kehidupan serangga-serangga amat terancam oleh pelbagai faktor. Selain daripada kehilangan habitat, serangga samada dibunuh dengan sengaja ataupun tidak disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia seperti pertanian, pembangunan dan pembalakan menyebabkan kematian banyak serangga. Cara hidup manusia seperti penggunaan lampu-lampu pada waktu malam juga merupakan penyumbang kepada kepupusan jumlah serangga yang besar. Pembukaan tanah-tanah pertanian pula menyebabkan banyak spesies-spesies tumbuhan penting yang menjadi habitat serangga-serangga ini pupus. Penggunaan racun serangga membunuh bukan sahaja serangga perosak, malah serangga-serangga lain yang memberikan manfaat kepada manusia. Racun rumpai misalnya, walaupun tidak membunuh serangga secara terus, ia menyebabkan kehilangan banyak spesies tumbuhan yang menjadi sumber makanan atau tempat tinggal serangga-serangga ini.
 
Banyak tindakan kita yang merosakkan hidupan yang membawa kebaikan kepada kita. Walaupun ia kelihatan seperti membawa kebaikan, sebaliknya memberikan banyak keburukan - bagi jangka masa panjang. Pembangunan dan kemajuan merupakan suatu perkara yang amat baik, namun kemajuan dalam memahami kepentingan dan kaitan hidupan di dalam alam adalah lebih penting - dan menjamin kehidupan yang lebih sejahtera. Semoga ia menjadi objektif pembangunan kita, pada masa akan datang.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Insects
2) Wikipedia: Lac
3) Smithsonian: Benefits of Insects to Humans
4) Smithsonian: Insects as Food for Humans
5) Smithsonian: Insect and Mite Galls
6) Treesforlife.org.uk
7) Finedininglovers.com


Sabtu, 16 Januari 2016

Misteri Kehilangan Katak

Kumpulan katak-katak kecil yang cantik tetapi beracun.

Misteri kehilangan katak mungkin tidak menarik perhatian ramai, namun sekiranya anda mengetahui kepentingan dan hubungkait antara haiwan di dalam ekosistem, ia mungkin sedikit sebanyak merisaukan. Jadi katak juga mempunyai fungisnya tersendiri, selain mengawal populasi serangga, ia sendiri menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti ular, burung, kucing, biawak dan juga manusia!

Misteri kehilangan katak dilaporkan sejak beberapa tahun yang lalu. Di mana populasi sebahagian katak semakin berkurangan sehingga ke tahap mencapai kepupusan. Kehilangan katak ini lebih ketara bagi spesis-spesis yang jarang ditemui seperti di hutan-hutan tanah tinggi di pergunungan Andes, dan Amazaon di Amerika Selatan. Punca sebenar kehilangan katak ini cuba dikesan bagi mengelakkan ia dari terus pupus. Aktiviti manusia dikatakan menjadi punca utama daripada kepupusan haiwan amfibia ini, namun punca sebenar yang lebih menakutkan adalah – serangan penyakit.


Spesis blue dart frog ini memang beracun - digunakan pada jarum sumpit. 

Satu lagi spesis katak 'Red-backed poison frog'.

Serangan penyakit yang disebabakan oleh jangkitan dari Batrachochytrium dendrobatidis, atau ‘chytrid fungus’ juga dikenali dengan nama singkatan sebagai Bd menyebabkan penyakit ‘chytridiomycosis’ pada haiwan amfibia. Ia mula dikesan semenjak tahun 1998 dan dikesan hampir di seluruh dunia. Spesis terbaru yang dikesan adalah, B. Salamandrivorans yang menyebabkan ‘chytridiomycosis’ dan kematian pada salamander.

Fungus ini menjadikan kulit haiwan amfibia sebagai tempat untuk ia hidup dan membiak melalui dua peringkat iaitu pegun (sessile), peringkat penghasilan zoosporangium dan juga bergerak (motile), apabila ia dibebaskan daripada zoosporangium. Dalam proses pembiakan inilah fungus ini menjadikan kulit amfibia  sebagai sumber nutrient baginya dengan membebaskan enzimes yang menghadamkan kulit haiwan itu. Proses ini boleh menyebabkan cyst di bawah kulit katak dan lama-kelamaan mengakibatkan kematian pada katak.


Spesis katak kaca yang boleh dilihat tembus.

Antara katak-katak unik yang mendiami hutan.

Penyakit dan jangkitan merupakan antara penyumbang utama kepada kepupusan haiwan selain daripada aktiviti manusia. Ini kerana kita secara tidak langsung menyebarkan jangkitan ini  tanpa disedari seperti memindahkan sesuatu spesis ke tempat baru dan sebagainya. Sebelum ini kita juga digemparkan dengan misteri kehilangan lebah yang disebabkan serangan oleh sejenis hama Varroa destructor yang juga menyebabkan kematian populasi lebah yang besar. Malah kejadian yang sama boleh menimpa spesis yang lebih besar seperti antelope, saiga dan kudu (disebabkan oleh pelbagai faktor semulajadi).


Kefahaman mengenai kejadian ini memudahkan untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang. Kehilangan sesuatu spesis secara mendadak boleh mengakibatkan kesan yang serius – termasuk kita sendiri kehilangan bahan makanan. Alam sentiasa mencari jalan untuk mengimbangkannya semula, namun manusia hanyalah sebahagian dari spesis yang hidup di dalamnya. Fikir-fikirkan.



Free Download



Rabu, 10 Jun 2015

Misteri Kehilangan Lebah

Lebah merupakan ejen pendebungaan penting.

Berita mengenai kehilangan lebah sering diketengahkan memandangkan kepetingan serangga ini sebagai ajen pendebungaan yang memastikan sektor pertanian yang juga membekalkan sumber pemakanan kepada manusia tidak terjejas. Banyak teori-teori yang dikeluarkan berkenaan dengan perkara ini, namun tiada bukti yang kukuh bagi menyokong kebenaran dakwaan mereka. Apakah sebenarnya yang menyebabkan kehilangan serangga penghasil madu ini hilang?

Seperti juga hidupan-hidupan yang lain, lebah juga mempunyai musuh semulajadi atau dikenali sebagai parasit bagi serangga ini. Mungkin banyak perkara yang masih belum kita ketahui mengenai serangga ini sehingga kajian terperinci dijalankan mengenai kejadian sebenar yang menyebabkan semakin banyak lebah hilang atau mati.

Kematian besar-besaran lebah akibat serangan penyakit.
Kejadian yang menimpa serangga ini adalah disebabkan fakor-faktor semulajadi – iaitu serangan parasit dan penyakit. Parasit yang terdiri daripada hama dan juga fungus yang boleh menyebabkan lebah-lebah ini menjadi lemah, sakit dan seterusnya mati. Mengapakah perkara ini berlaku dengan tiba-tiba? Jawapannya seperti mana yang anda ketahui dalam artikel sebelum ini adalah – spesies musuh asing (dari luar kawasan) yang tidak dapat diatasi oleh lebah-lebah ini.

Ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku. Kejadian yang serupa pernah berlaku di Buckfast Abbey di Barat Daya England pada tahun 1915. Ini menyebabkan pengusaha ternakan labah tersebut cuba untuk menghasilkan lebah yang tahan terhadap penyakit yang menyerangnya. Satu-satunya teknik yang ada pada waktu itu adalah dengan teknik kacukan jenis-jenis lebah yang dikumpulkan daripada beberapa kawasan di serata dunia termasuklah dari kawasan Crete, Sahara, Morocco dan Gunung Kilimanjaro dan akhirnya menghasilkan spesies lebah ‘Buckfast bee’.

Lebah yang diserang hama - 'Varroa destructor'.

Namun kali ini apa yang menyerang lebah-lebah di Eropah dan Amerika adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya – serangan hama yang dikenali sebagai ‘Varroa destructor’ yang berasal dari Asia. Hama ini amat halus dan menyerang bukan sahaja lebah dewasa malah memasuki ruang penetasan telur lebah yang menyebabkan anak-anak lebah menjadi cacat dan tidak sihat apabila membesar. Serangan ini kemudiannya berpindah ke koloni yang lain apabila lebah-lebah ini cuba untuk menyerang koloni lain akibat kekurangan makanan.

'Varroa destructor' - secara dekat.
Namun kisah yang berlaku di England pada tahun 1915 menjadi inspirasi para saintis untuk menghasilkan lebah-lebah baru yang mempunyai daya tahan untuk serangan kali ini. Antara usaha yang dijalankan seperti di Washington State University yang membuka “bank sperma lebah” untuk memastikan proses pembiakan silang antara lebah-lebah dapat menghasilkan lebah yang lebih tahan terhadap serangan penyakit ataupun serangan seperti hama ini. Ini kerana hama bukan sahaja makan daripada anak lebah malah menyebarkan bakteria dan virus yang menyebabkan lebah-lebah ini menjadi lemah.


Apa yang berbeza kali ini adalah teknik penghasilan lebah baru dapat dijalankan dengan lebih baik dengan penglibatan banyak pihak dan dibantu oleh pakar-pakar dari seluruh dunia termasuk Martin Beye pakar genetik dari Heinrich Heine University di Düsseldorf, Germany dalam memastikan teknik yang lebih efektif. Dimana tugas seterusnya diserahkan kepada Christina Vlaeminck untuk mengekstrak telur-telur lebah dan menyuntik material genetik sebelum ianya dimasukkan semula ke dalam sarang lebah. Ia bukanlah satu perkara yang mudah, dan sedikit kesilapan akan menyebakan telur tersebut rosak. Malah keadaan suasana persekitaran juga turut mempengaruhi kerja beliau yang mana sering disengat ketika bekerja dengan lebah-lebah ini. (Lebah perlu berada di dalam kurungan bagi mengelakkan ianya terlepas bebas keluar – sebagai undang-undang di German).

Larva lebah di dalam sarang.

Jadi itu adalah sebahagian usaha yang dijalankan bagi mengelakkan lebah-lebah terus hilang dan menyebabkan industri pertanian merosot. Kajian berterusan akan dijalankan sehingga lebah-lebah yang mampu mengatasi masalah yang melanda ini dapat dihasilkan – atau masalah yang mungkin akan berlaku kemudian.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penghasilan ‘superbee’ ini bolehlah mengikuti kisah sepenuhnya melalui internet atau artikel penuh di National Geographic yang memaparkan kisah tersebut secara panjang lebar. Sekiranya kejadian seumpama ini boleh menimpa lebah, ia juga boleh menimpa ke atas perkara-perkara lain – jadikan kisah ini sebagai iktibar.

* Anda boleh menonton video proses pembesaran anak-anak lebah disini.

* Lain-lain rujukan berkaitan dengan lebah di sini.



Free Download



Isnin, 4 Mei 2015

Bagaimana Lebah Menghasilkan Madu?

Honey bee colony
Lebah-lebah sedang bekerja di sarangnya untuk menghasilkan madu.

Madu lebah terkenal kerana mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan. Namun begitu untuk menghasilkan madu ini, lebah-lebah terpaksa bekerja keras secara berkumpulan untuk menghasilkan madu yang cukup untuk koloninya yang terdiri dari kumpulan lebah yang banyak.

Nektar bunga yang diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan mengandungi air sebanyak 80% dengan gula komplek yang jauh berbeza daripada madu lebah. Nektar tidak boleh disimpan kerana ia akan mudah rosak. Oleh sebab itu lebah perlu menukarkannya kepada madu untuk tujuan penyimpanan disamping mengurangkan kandungan air di dalamnya menjadi 14 – 18% sahaja.

Collecting nectar
Lebah madu mengumpulkan nektar bunga.

Lebah-lebah juga mempunyai struktur kumpulan yang mirip kepada semut dimana terdapat lebah pekerja, lebah pengawal, raja dan permaisuri lebah. Lebah-lebah dewasa kebiasaannya akan keluar mengumpulkan madu daripada pelbagai jenis bunga dan apabila dibawa pulang ke sarang proses yang seterusnya akan disambung oleh lebah-lebah yang lebih muda untuk menukarkannya menjadi madu.

Lebah-lebah pekerja keluar mencari bunga yang kaya dengan nektar. Menggunakan salur yang dipanggil ‘proboscis’, lebah ini akan menghisap nektar bunga dan disimpan di dalam perut simpanan yang dipanggil ‘perut madu’. Lebah-lebah akan terus mengumpulkan nektar bunga-bungaan sehingga ‘perut madu’ ini penuh sebelum kembali semula ke sarang.

Anatomi lebah madu.

Di dalam ‘perut madu’ ini terdapat enzim yang menukarkan gula komplek kepada gula ringkas, di mana dalam bentuk ini ia tidak akan mudah membentuk kristal. Proses ini dikenali sebagai songsangan.

Kembali ke sarang dengan ‘perut madu’ yang penuh, lebah pekerja akan mengeluarkan madu tersebut dan memberikannya pula kepada lebah-lebah pekerja di sarang. Proses pemprosesan gula ini akan disambung oleh lebah-lebah pekerja di sarang sehingga gula tersebut betul-betul dihuraikan. Setelah proses songsangan ini betul-betul sempurna barulah lebah-lebah tadi akan mengeluarkannya semula dan ditempatkan ke dalam ruang-ruang sel di dalam sarang lebah. Proses yang seterusnya dimana lebah akan mengibaskan sayapnya dengan pantas untuk mengeringkan lagi air yang terkandung di dalam madu tersebut. Apabila kering, madu akan menjadi semakin pekat dan sel-sel madu ini akan ditutup dengan kemas untuk tujuan digunakan pada masa akan datang.

Lebah liar, atau dikenali sebagai lebah tualang.

Seekor lebah pekerja dikatakan hanya mampu menghasilkan kira-kira 1/12 sudu besar madu sepanjang hayatnya. Namun begitu dengan hasil usaha sekumpulan lebah ia mampu menghasilkan sehingga 200 lb (90.7 kg) madu setahun.


Lebah-lebah menghasilkan madu untuk digunakan sebagai simpanan pada musim-musim di mana makanan sukar didapati. Selain itu juga madu-madu yang dihasilkan oleh lebah adalah berbeza mengikut jenis lebah dan kawasan di mana ia mendapatkan sumber nektar bunganya.



Free Download



Arkib Blog