|
Persekitaran rumah boleh dihiasi dengan tanaman yang juga merupakan sayuran. |
Hobi bercucuk tanam merupakan satu hobi yang bukan sahaja dapat mengisi masa lapang malah ia juga memberikan banyak faedah lain sekiranya bahan tanaman bukan sahaja boleh digunakan semula malah ada di antaranya yang boleh dijual. Banyak tumbuhan herba dan rempah yang sesuai dijadikan sebagai tanaman dalam masa yang sama amat cantik sebagai hiasan.
Mari kita lihat serba ringkas beberapa tanaman yang mudah ditanam dan mempunyai faedah seperti yang dinyatakan di atas.
Pandan
|
Pandan di pinggir halaman rumah. |
Pandan boleh ditanam terus di atas tanah atau di dalam pasu. Penjagaannya juga tidak cerewet. Pandan mempunyai pelbagai kegunaan daripada masakan, pewarna, pewangi, penghalau serangga dan boleh juga digunakan untuk membuat bunga rampai. Saiz pokok pandan boleh dikawal menggunakan saiz bekas tanamannya. Sekiranya ia di tanam di atas tanah, ia perlu dikawal bagi mengelakkan ia merebak terlalu besar (sekiranya perlu).
Penggunaan tanah yang hitam adalah baik untuk pandan. Kawasan yang redup dan tanah yang lembab juga adalah sesuai. Sekiranya ditanam di dalam pasu pastikan ia tidak mempunyai terlalu banyak tunas bagi memastikan saiz daunnya cukup besar.
Cili Padi
|
Cili padi yang sihat menghasilkan buah yang cantik. |
Cili padi dan lain-lain cili (cili besar/ cili benggala) juga sesuai sebagai tanaman hiasan rumah. Namun pokoknya mungkin tidak bertahan untuk tempoh yang terlalu lama dan anda sentiasa perlu menukar dengan pokok yang baru. Pokok cili juga sering menjadi serangan ulat kutu daun. Jadi anda mungkin boleh menyemburnya menggunakan pencuci pinggan (penggunaan racun serangga adalah tidak digalakkan bagi tujuan keselamatan).
Pokok-pokok cili akan kelihatan menarik sekiranya ia cukup subur. Apatah lagi apabila ia dipenuhi dengan buah yang sihat berwarna merah apabila masak. Jangka hayatnya juga sebenarnya bergantung kepada penjagaan. Namun begitu anda tidak perlu merasa risau kerana ia sememangnya adalah tanaman berjangka pendek.
Serai
|
Serai sesuai ditanam di pinggir rumah. |
Serai juga merupakan antara herba penting yang boleh ditanam di sekitar rumah. Walaupun ia boleh ditanam di dalam pasu, serai lebih menarik sekiranya ditanam di atas tanah. Apa yang penting tanah yang digunakan untuk tanaman serai perlu mempunyai saliran yang baik kerana ia mudah rosak sekiranya berkeadaan lembab.
Seperti juga pandan, serai amat penting dalam kebanyakan masakan terutamanya bagi resepi dari SE Asia. Serai yang subur akan kelihatan rimbun dan cantik. Sekiranya serai anda telah menjadi kecil dan tua, anda dinasihatkan menggantikan keseluruhan rumpun serai tersebut bagi membolehkan rumpun baru tumbuh dengan lebih subur.
Cekur Manis
|
Cekur manis dengan buahnya. |
Cekur manis atau dikenali juga sebagai pucuk manis merupakan tanaman yang sesuai untuk tanaman di atas tanah dan juga di dalam pasu. Saiznya yang agak sederhana tinggi, baik sebagai hiasan dan juga dalam masa yang sama merupakan sayuran yang enak. Ia boleh dicantas untuk dijadikan sayuran dan dibiarkan untuk terus bertunas kembali seperti biasa.
Cekur manis ditanam dari keratan batangnya selain daripada biji. Tanaman menggunakan tanah hitam adalah baik untuk cekur manis. Penjagaannya yang mudah juga menjadikan ia satu lagi pilihan yang baik.
Puding Belacan
|
Cantik sebagai hiasan, puding belacan juga enak dalam masakan. |
Puding belacan mempunyai daun dalam satu warna sahaja. Namun ia mempunyai bunga dan bentuk daunnya juga tidak kurang menarik. Sekiranya dijaga dengan rapi ia tetap kelihatan cantik sebagai tanaman hiasan. Namun apa yang paling menarik mengenai puding belacan adalah ia digunakan di dalam masakan rendang yang amat digemari di beberapa negeri di Semenanjung.
Penjagaan puding belacan juga tidak cerewet, sekiranya ia telah menumbuhkan tunas. Tanah subur yang gembur akan menghasilkan daun yang cukup lebar dan sesuai untuk masakan. Ia perlu dicantas untuk mengelakkan nya dari mencapai ketinggian yang terlalu tinggi. Pada masa yang sama, ia juga mempunyai bunga bersaiz kecil yang akan menambahkan lagi keunikannya sebagai tanaman hiasan.
Kunyit dan Halia
|
Kunyit yang subur mempunyai daun yang berkilau. |
Kunyit dan halia merupakan antara herba yang menarik untuk ditanam di halaman dan juga di dalam pasu. Kunyit yang subur bukan sahaja cantik, malah daunnya merupakan antara bahan masakan yang agak penting dalam membangkitkan aroma masakan yang menyelerakan.
Walaupun kunyit dan halia mempunyai penjagaan yang lebih kurang serupa, namun ia mempunyai bentuk fizikal yang sedikit berbeza di antara kedua jenis tumbuhan ini. Kunyit sesuai ditanam di dalam pasu menggunakan tanah bakar dengan pencahayaan yang cukup namun tidak terdedah terus kepada cahaya matahari.
Bawang
|
Bawang antara herba yang paling mudah ditanam. |
Bawang putih dan bawang merah kedua-duanya boleh ditanam dengan mudah di dalam bekas kecil atau pasu. Daun bawang bukan sahaja sesuai untuk masakan, malah boleh digunakan sebagai hiasan tambahan, juga perasa di dalam hampir setiap masakan.
Tanah subur yang berpasir sesuai digunakan kerana bawang tidak sesuai untuk tanah yang terlalu lembab. Kawasan dengan pencahayaan penuh seperti di hadapan tingkap dapur boleh dimanfaatkan untuk membesarkan pokok bawang ini. Tanamkan lebihan bawang yang digunakan ke dalam tanah dan tunggu sahaja sehingga ia mengeluarkan hasil daunnya yang memberangsangkan.
Saderi
|
Sayuran segar terus dari pasu di rumah anda. |
Saderi seperti juga bawang, ditanam daripada lebihan yang digunakan untuk masakan. Tanah subur berpasir juga digunakan untuk membesarkan tunggul saderi yang telah digunakan untuk masakan tadi. Pastikan ia tidak kering sebelum ditanam ke dalam tanah yang telah disediakan.
Kawasan seperti tingkap dapur merupakan antara kawasan yang menyediakan pencahayaan yang sesuai untuk saderi. Namun kaki lima luar rumah juga boleh digunakan untuk menempatkan tanaman saderi anda (namun elakkan pancaran terus terik matahari). Ia akan terus mengeluarkan daun yang boleh digunakan untuk masakan selagi tidak diambil berlebihan dan menyebabkan tunggul utamanya mati.
|
Ruangan dalam rumah juga boleh digunakan untuk menyimpan pokok-pokok kecil. |
Banyak lagi sayuran dan herba yang boleh ditanam dengan kaedah yang ringkas seperti ini. Walaupun ia secara umumnya bukanlah merupakan tanaman hiasan, namun semua pasti setuju bahawa setiap tanaman yang sihat adalah amat cantik dipandang. Penanaman tanaman seperti ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga, malah ia juga adalah lebih sihat kerana anda sendiri dapat mengetahui samada anda menggunakan racun serangga atau bahan kimia berbahaya dalam proses pembesarannya. Ia juga salah satu penghargaan atas hasil usaha anda membesarkannya.