Memaparkan catatan dengan label kursus online. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kursus online. Papar semua catatan

Rabu, 16 Disember 2015

Ingin Mengasah Bakat Menjadi Pelukis Manga?

Langkah-langkah melukis manga untuk latihan.

Manga sememangnya menjadikan sesuatu perkara lebih menarik untuk diikuti. Maka dengan itu tidak hairanlah mengapa ia bukan sahaja menjadi satu budaya penting di Jepun malah digunakan dengan meluas untuk segala macam aspek kehidupan terutama dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Jadi ia bukan sahaja digunakan untuk komik-komik seperti di negara kita, malah karakter manga ini turut digunakan untuk menjelaskan undang-undang trafik. Selain itu juga borang untuk jawatan kosong juga turut dihiasi dengan karakter manga yang menerangkan proses mengisi borang tersebut.

Oleh kerana negara kita masih belum menggunakan manga dengan begitu serius seperti Jepun, maka keperluan untuk mengasah bakat-bakat baru yang mampu menghasilkan manga adalah penting – supaya ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Dipadankan pula dengan teknologi maklumat, kemudahan untuk mempelajari teknik manga dan penghasilannya juga adalah jauh lebih menjimatkan berbanding suatu masa dahulu. Ini kerana penghasilan manga secara digital ternyata dapat mengurangkan banyak kos.

Kali ini kita akan melihat bagaimana untuk mendapatkan informasi mengenai teknik-teknik melukis manga melalui ‘internet’. Jadi bagi mereka yang berminat bolehlah mendapatkan beberapa maklumat asas bagi anda mengasah bakat dalam menghasilkan manga ini. Mungkin dari sini nanti anda dapat menghasilkan manga anda dan dikongsi bersama dengan para peminat manga yang lain – atau mungkin menjadi kerjaya anda di masa akan datang.

Asas penghasilan manga perlulah dimulakan secara biasa, iaitu menggunakan pensil, pen komik, kertas dan dakwat. Ini bagi membolehkan anda membentuk asas yang kuat dalam membina karakter manga anda sendiri. Namun secara perlahan-lahan anda bolehlah terus belajar mengenai cara penghasilan manga secara digital – di mana ia akan membantu anda menghasilkan manga sendiri dengan lebih murah dan mudah untuk menemui para peminat.

Di sini saya akan kongsikan beberapa laman web yang menyediakan panduan untuk anda mengasah bakat melukis manga. Terdapat beberapa tutorial yang anda boleh pilih mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. Pertama adalah tutorial biasa berbentuk teks – bagi yang mempunyai talian internet yang berkelajuan rendah dan sederhana. Manakala anda boleh mengikuti juga panduan berbentuk video yang menunjukkan cara yang lebih mudah untuk difahami dan diikuti. Anda juga digalakkan untuk membeli buku-buku panduan melukis manga bagi menambahkan lagi panduan dalam melukis manga ini secara lebih serius.

Panduan yang baik mudah diikuti.

Antara contoh karakter manga.

Antara laman web yang anda boleh ikuti adalah seperti berikut;


Manga tutorial menyediakan panduan yang lengkap dari segi konsep sehinggalah kepada penghasilan karakter, mimik muka, emosi, rupa bentuk dan sebagainya. Ia juga turut menyediakan tutorial dalam bentuk teks dan video. Terdapat juga artikel-artikel yang membincangkan perkara-perkara penting mengenai dunia manga dalam menghasilkan manga yang baik. Selain itu ia juga menyediakan forum bagi membolehkan para peminat dunia manga berkongsi masalah dan pandangan. Buku-buku berkaitan manga juga boleh didapati dari website ini. Jadi ia merupakan satu website yang lengkap untuk memudahkan kerja-kerja mengasah bakat anda dalam dunia manga.


Merupakan satu lagi laman yang menyediakan banyak panduan berguna kepada anda yang berminat untuk mempelajari tentang kaedah penghasilan manga. Terdapat banyak bahan menarik dari Manga University ini samada secara percuma mahupun yang berbayar. Namun begitu, buku panduan berbentuk e-book juga boleh dibeli dengan harga yang amat berpatutan. Panduan asas disediakan secara percuma melalui link “How to draw manga”. Sekiranya anda ingin menjadi ‘mangaka’ yang lebih serius, anda mungkin boleh memilih untuk mengikuti kursus di rumah dengan panduan daripada pelukis-pelukis manga yang lebih profesional. Melalui laman ini juga, anda boleh mengikuti panduan berbentuk video.

Penghasilan manga menggunakan 'software' lebih menjimatkan.

Penghasilan 'comic strip' juga memerlukan latihan.

Anda juga boleh mengikuti panduan melukis manga menggunakan apps melalui telefon pintar anda. Antara apps yang disediakan sebagai contohnya adalah “Draw Anime - Manga Tutorials” (aplikasi Android). Aplikasi ini menyediakan video-video tutorial yang mudah untuk diikuti terus dari telefon anda.

Video-video panduan ini juga boleh didapati terus melalui YouTube dengan mudah. Jadi anda perlulah bijak mencari bahan panduan yang dapat membantu anda bersesuaian dengan keperluan latihan anda. Pastikan juga anda meneruskan latihan anda secara berterusan bagi memastikan hasil yang lebih baik dan pantas. Antara kemahiran-kemahiran yang perlu anda kuasai dapat dilihat dalam laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Antara panduan berguna 'mangaka'.

Bagi menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya, anda perlulah juga mengikuti panduan-panduan yang berguna seperti yang dikongsikan oleh mereka yang arif di dalam bidang ini. Banyak artikel yang dapat menerangkan kepada anda tentang bagaimana anda menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya seperti “Magnificent Manga: 10 Beginner Drawing Manga Tips”. Jadi, anda perlulah kreatif dalam menyusun strategi latihan anda sendiri – ataupun lakukan secara berkumpulan dengan mereka yang mempunyai minat yang sama dengan anda.


Sebelum saya menamatkan artikel kali ini, ingin saya berpesan supaya anda terus membuat perhatian tentang kegunaan manga dalam kehidupan harian – anda boleh membuat tinjauan mengenai perkara ini di kedai buku Jepun seperti Kinokuniya misalnya. Dimana anda akan dapati buku panduan memasak juga dihasilkan dalam bentuk manga. Amat menarik! Anda juga mungkin boleh menghasilkan kerja-kerja anda dalam bentuk manga nanti.






Free Download



Ahad, 12 April 2015

MOOC Peluang Keemasan Menambah Pengetahuan

Online Learning
Pembelajaran secara online boleh diikuti dengan lebih mudah.

MOOC singkatan kepada ‘massive open online course’, merupakan kursus-kursus yang disediakan melalui web. Mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan mendapat sambutan menjelang 2012 sehingga kini terdapat ribuan kursus yang disediakan oleh universiti-universiti terkemuka mahupun orang persendirian bagi membantu sesiapa sahaja untuk menambahkan ilmu di dalam bidang yang diminati.

Melalui MOOC ini maka lebih mudah bagi kebanyakan individu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di dalam bidang tertentu mendapat kemudahan untuk mengikuti kursus-kursus yang disediakan yang kebanyakannya secara percuma. Walaupun ia tidak memberikan anda segulung ijazah, namun ilmu yang ditimba melalui kursus-kursus ini tidak kurang hebatnya dengan mengikuti kursus-kursus di dalam kelas. Malah ada di antaranya yang memerlukan anda menghasilkan tugasan yang sama dan mengambil peperiksaan untuk penilaian.

Selain itu juga melalui MOOC anda dapat mengikuti kursus dengan lebih menjurus kepada bidang yang berkaitan dengan minat anda tanpa perlu mencampur adukkan dengan subjek-subjek lain seperti mengikuti program yang dijalankan oleh sesebuah universiti. Ini dapat menjimatkan masa malah membolehkan anda memberikan sepenuh tumpuan kepada pelajaran tersebut. Manakala dengan bahan-bahan yang disediakan melalui internet – anda boleh mengikutinya pada bila-bila masa 24 jam sehari.

Berikut adalah beberapa kelebihan yang disediakan melalui MOOC;


  • Bertepatan dengan sebarang tetapan yang mempunyai sambungan ke internet (web atau Wi-Fi)
  • Disediakan dalam pelbagai bahasa (Kebanyakannya Bahasa Inggeris)
  • Sebarang kaedah secara online
  • Mejangkau zon waktu mahupun batasan sempadan
  • Penyediaan dan penyampaian dalam masa yang lebih singkat
  • Bahan berkaitan boleh dikongsi secara bersama
  • Lebih informal
  • Hubugan dengan rakan lain dengan mudah
  • Mudah mengelakkan kekangan batasan sesebuah institusi (peraturan)
  • Tidak menghadkan pelbagai pra-syarat untuk mengikuti kursus yang diminati
  • Mempertingkatkan suasana pembelajaran dengan penyediaan ruang perbincangan
  • Menyediakan ruang untuk pembelajaran berterusan
MOOC Provider
Sebahagian institusi penyumbang isi pembelajaran.

Bagi mengiktuti kursus-kursus MOOC ini anda bolehlah mendaftarkan diri di beberapa laman web yang disediakan khas untuk proses pendaftaran. Walaupun ada diantaranya yang mengenakan bayaran (untuk tujuan persijilan dan sebagainya), anda boleh membuat pilihan sendiri mengikut keperluan anda. Kebanyakan kursus ini turut disediakan oleh universiti terkemuka dan mempunyai bahan kursus yang amat berkualiti. Jadi amatlah sayang sekiranya anda tidak menggunakan peluang ini dengan baik – kerana tidak mustahil ia akan mengenakan bayaran untuk masa-masa akan datang.

Antara penyedia kursus-kursus MOOC adalah seperti berikut;

Penyedia
Komersil (Keuntungan)
Akses Percuma
Bayaran Pensijilan
Kredit Institusi
Petrolessons
Ya
Tidak
Ya
Sebahagian
EdX
Tidak
Ya
Ya
Tidak
Cousera
Ya
Ya
Ya
Sebahagian
Udacity
Ya
Tidak
Ya
Sebahagian
Udemy
Ya
Sebahagian
Ya
Sebahagian
P2PU
Tidak
Ya
Tidak
Tidak


Malah untuk sekadar menambahkan kemahiran di dalam sesuatu perkara sahaja anda boleh mengikuti pelbagai bahan yang disediakan secara percuma dari iTunesU, Khan Academy, Open Culture, Academic Earth, Open Access Journals, Open Education Consortium, Codecedemy dan banyak lagi. Anda boleh mengikuti senarai ini di sini.

Kursus-kursus yang disediakan secara online ini bukanlah ala kadar seperti kursus yang biasa anda hadiri. Malah banyak diantaranya dihasilkan dengan teliti oleh badan-badan pendidikan professional seperti HarvardX, MIT, Berkeley, Boston University, TU Delft, Cornell University dan banyak lagi. Malah universiti-universiti tempatan juga sudah mula menyediakan kursus dalam bentuk ini di OpenLearning.


MOOC Explanation
Secara ringkas dan padat mengenai MOOC.

Berbanding daripada anda menghabiskan masa untuk menunggu peluang mendapat tawaran belajar di universiti yang memerlukan belanja puluhan, hingga ratusan ribu ringgit tanpa sebarang jaminan anda akan mampu membayar semula pinjaman pelajaran PTPTN anda – yang akhirnya akan membebankan diri anda sendiri. Apa yang anda perlukan sebenarnya adalah pengetahuan dan usaha untuk menampilkan kemahiran dalam bidang yang anda ceburi.


Janganlah menghabiskan masa anda menuding jari kepada orang lain. Mulakanlah dengan mengambil tindakan untuk memperbaiki kemahiran anda dan menggunakannya sebaik mungkin. Akhir sekali, jangan lupa kongsi-kongsikan berita baik ini kepada semua.









Free Download



Ahad, 9 Februari 2014

Ingin Belajar Daripada Universiti Terkemuka Hanya Dari Rumah

Universiti Harvad merupakan universiti tertua di US.


Pengalaman belajar daripada universiti terkemuka dunia mungkin merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan kini anda boleh mencubanya hanya dari rumah. Apa yang menarik anda pasti tertanya-tanya apakah perbezaan yang menjadikan universiti-universiti terkemuka ini berbeza daripada yang lainnya. Bagaimana pula apabila universiti-universiti ini memberi anda peluang mengikuti kursus mereka secara online dengan PERCUMA!

Oleh kerana internet merupakan sebahagian daripada keperluan gaya hidup masa kini dalam mendapatkan maklumat, sosial dan juga dalam berbelanja, maka telah tiba masanya kursus-kursus berkualiti daripada universiti-universiti terkemuka ini juga disampaikan secara online. Malah usaha ini bukanlah baru diperkenalkan cuma ianya disampaikan dengan lebih baik mengikut struktur yang sama seperti yang disampaikan di dalam kelas malah sesetengahnya lebih baik kerana turut disampaikan secara ‘interactive’.

Antara dua institusi pengajian tinggi yang giat berusaha menjalankan kursus mereka secara online ini adalah MIT (Massachusetts Institute of Technology) dan juga Harvard University. Malah jumlah universiti yang turut mengumbang ke arah yang sama semakin bertambah dengan pelbagai kursus terbaik yang cuba ditawarkan. Kursus-kursus ini turut disampaikan melalui organisasi-organisasi seperti;


Kursus-kursus yang ditawarkan melalui organisasi-organisasi tersebut adalah disediakan daripada beberapa universiti-universiti terkemuka dengan pelbagai kaedah menarik yang sedikit berbeza daripada satu organisasi dengan organisasi yang lain. Jadi sekiranya anda ingin mengikuti sesuatu kursus tersebut secara mendalam anda mungkin boleh membuat tinjauan di beberapa laman web seperti yang disenaraikan di atas bagi melihat kelebihan-kelebihan yang ditawarkan (dari segi kemudahan pengantara muka, penyampaian dan peralatan kursus yang disediakan).

Walaupun ada antara organisasi yang sedia menyediakan sijil dan sebagainya namun ia bukanlah menjadi satu kemestian. Malah isi kandungan kurus-kursus ini mungkin boleh membantu anda untuk memahami sesuatu perkara yang bukan menjadi bidang anda sebelumnya semasa di universiti atau kolej. Oleh kerana kaedah penyampaian yang lengkap mengikut keseluruhan modul, maka ia mudah difahami sekiranya anda mengikutinya mengikut turutan yang betul.

Selain daripada itu juga anda boleh membuat perbandingan bagaimana penyampaian dan isi kandungan di dalam sesuatu kurus yang ditawarkan oleh universiti-universiti terkemuka ini. Apa yang membuatkan mereka menjadi sebuah institusi yang menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti melalui penyampaian isi kandungan kursus yang ditawarkan. Isi kandungan, penyampaian, interaksi, kuiz, tutorial dan ujian yang membuatkan pelajar lebih memahami secara mendalam bagi setiap tajuk perbincangan. Malah ada juga isi yang disampaikan secara ‘interactive’ yang membolehkan pelajar memahami isi kandungan dengan membuat eksperiman ringkas secara ‘online’.

Antara university-universiti yang memberi sumbangan kepada program ini antaranya:

MIT merupakan pusat pengajian yang mempunyai reputasi yang tinggi.

  • Berklee College of Music
  • California Institute of Technology
  • Carnegie Mellon University
  • Columbia University
  • Cornell University
  • Darthmouth College
  • Harvard University
  • Massachusetts Institute of Technology
  • New York University
  • Princeton University
  • Standford University
  • The George Washington University
  • The University of Chicago
  • University of California, Berkeley
  • University of California, Irvine
  • University of California, Los Angeles
  • University of California, San Diego
  • University of California, San Francisco
  • University of Houston
  • University of Michigan
  • University of Notre Dame
  • University of Oxford
  • Wesleyan University
  • Yale University

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai universiti-universiti tersebut anda bolehlah membuat tinjauan melalui internet tentang kursus-kursus terbaik yang ditawarkan. Ini kerana setiap universiti mempunyai bidang kepakaran masing-masing walaupun secara kasarnya kesemua kursus yang ditawarkan adalah baik belaka.

Anda juga perlu meneliti sesuatu kursus yang ditawarkan untuk mengetahui syarat-syarat yang ditentukan seperti tarikh kursus dan ujian-ujian yang perlu dilakukan dan samada sijil disertakan ataupun tidak. Bagi sesetengah kursus, sijil hanya diberikan dengan beberapa syarat tertentu. Walaubagaimanapun anda masih boleh mengikuti kursus ini tanpa menerima sebarang sijil.


Diharap semoga kita mengambil peluang ini sementara ianya disediakan secara percuma. Carilah kursus yang boleh membantu anda dalam memperbaiki kelemahan anda dalam bidang pekerjaan ataupun yang dapat membantu anda mencapai cita-cita yang anda impikan. Jadikan modal yang anda belanjakan untuk membayar talian internet anda lebih berbaloi.


Free Download



Arkib Blog